Segala sebab dan akibat dalam alam ini, nyatanya termaktub dalam kerangka ruang dan masa sebagaimana keseluruhan alam jagat raya termasuk segala kehidupan dan kewujudan dialam ini adalah dalam kerangka ruang dan masa. Namun apakah makna akan ruang dan masa itu sendiri?
Sebenarnya pengertian buat ruang dan masa tentang keseluruhan jagat-raya ini, dalam konteks yang belum berkemampuan untuk insan memiliki pengetahuan tentangnya. Apa yang difahami atau diketahui oleh insan tentang ruang dan masa melalui apa yang mampu dicapai seperti melalui pemerhatiannya, pengajian, pengiraan dan seterusnya, hanyalah tertakluk dalam ruang dan waktu yang terjadi dibumi yang dipenghunikan.
Contohnya, bila dikatakan waktu yang dipergunakan untuk kiraan, adalah pada batasan waktu yang ada dibumi ini sedangkan waktu tersebut sebenarnya tidak relevan untuk planet lain. 24 jam adalah kiraan putaran bumi dipaksinya dalam orbitnya untuk mengelilingi matahari, namun terdapat planet lain yang waktunya hanya 10 jam sehari atau ada yang waktunya melebihi 48 jam sehari berpandukan pada jarak, kelajuan putaran dipaksinya serta pergerakan diorbitnya untuk mengelilingi matahari.
Kerana itu, tidak mustahil terdapat planet lain digalaksi lain yang peredaran waktu yang dikatakan masa sehari baginya iaitu bersamaan satu malam dan siang, adalah berupa 100 tahun bagi masa dibumi kerana keadaan galaksi dan planet tersebut jauh lebih besar serta putaran dipaksinya adalah berbeza, membuatkan waktu yang diambil untuk mencapai masa sehari bersama malam dan siangnya adalah jauh lebih lama. Atau sebaliknya, tidak mustahil terdapat planet lain yang waktu dikatakan sehari bersama siang dan malamnya hanyalah 4 jam lantaran pusingan dipaksinya yang pantas serta orbit putaran untuknya mengelilingi mataharinya juga adalah singkat.
Mungkin contoh-contoh tersebut kelihatan ganjil kerana keterbiasaan insan akan ruang dan waktu dibumi ini, namun hakikatnya inilah kenyataannya bahawa insan dengan segala sebab dan akibatnya adalah dalam lingkungan ruang dan waktu yang dipenghunikan. Dari sebab terjadinya siang dan malam yang mengakibatkan kiraan detik-detik saat yang kian berlalu hinggalah keruang tempat atau keadaan berlakunya sesuatu sebab dan akibat tersebut yang semuanya adalah asas buat kesan pada segala pergerakan aktiviti kehidupan mahupun kewujudan segalanya didunia ini.
Lantaran itu juga, amatlah mustahil untuk insan kembali kewaktu yang lepas (time travel) kerana dunia ini darul asbab dan segala sebab dan akibat adalah bersabit dengan ruang dan waktunya. Fantasi yang menyatakan akan insan mampu kembali kewaktu silam adalah jauh dari kebenaran kerana itu menghancurkan makna kewujudan segala kausaliti, iaitu hubungan sebab dan akibat yang bersabit dengan ruang dan masa dalam kehidupan didunia ini. Malah kehidupan itu sendiri menjadi tiada nilai tanpa kestabilan ruang dan masa, kerana kestabilan ruang dan masalah yang memberi nilai akan kewujudan sesuatu kehidupan tersebut.
Hatta sesuatu yang jauh dari apa yang dikatakan logik dalam hayat insan wajar berlaku seperti contohnya seorang anak muda kembali kezaman silam dengan "time travel machine", lalu semasa dia berada dizaman tersebut, bertemu dia dengan seorang gadis dan jatuh cinta pada gadis tersebut yang muda beberapa tahun darinya, sedangkan gadis tersebut sebenarnya adalah neneknya yang tidak diketahui. Kemudian lantaran cintanya, maka sipemuda tersebut bernikah dengan gadis tersebut, jadi apakah status anak mereka? Apakah mungkin anak tersebut juga kemudian bila telah dewasa melakukan time travel dan seterusnya berlaku pengulangan segala episod-episod dusta ini? Ini semua adalah dongengan semata-mata sebagaimana dongengnya memperkatakan segala roh akan mengalami kelahiran kembali dalam berbagai-bagai bentuk jasad kehidupan didunia ini, dimana mengakibatkan berlakunya kisah roh tersebut yang berada dalam jasad yang lain bernikah dengan salah seorang cucu ataupun moyangnya.
Sebab dan akibat tidak dapat dipisahkan dengan ruang dan waktu selama adanya hayat insan mahupun selama adanya kewujudan dunia ini. Ruang dan waktu merupakan rel-rel atau jalan buat segala sebab dan akibat bergerak, sebagaimana perumpamaan lokomotiv keretapi yang menarik gerabak-gerabaknya memerlukan rel-relnya untuk bergerak dengan kelajuan 1670km sejam untuk mencapai distinasinya dalam tempoh 24jam, dimana tanpa rel-relnya, maka tidak mampu keretapi tersebut bergerak atau sekiranya rel-relnya berlaku kerosakan seperti terputus dan sebagainya, maka terbabaslah keretapi tersebut.
Bersambung...
- Ruang dan masa didunia dialam fana ini hanyalah seperti sekelip mata dibandingkan dengan dunia akhirat dan segala sebab dan akibat dialam akhirat adalah tidak dapat digambarkan dengan sebenarnya, hanya melalui perumpaman-perumpaman yang mampu dicapai oleh akal insan seperti contohnya, insan yang terakhir memasuki syurga akan mendapat sepuluh kali ganda dari dunia ini.
- Lantaran itu, wajar setiap muslim menyakini akan ruang dan masa bersama segala sebab dan akibat yang bersabit dengannya dialam fana ini hanyalah berupa ujian untuk insan, sedangkan alam akhiratlah berupa kehidupan yang sebenar-benarnya.
No comments:
Post a Comment