Saturday, April 30, 2011

Sebab dan akibat - 1


Sebab dan akibat, suatu perkataan yang lazimnya kedengaran dan menjadi perbualan atau pengajian sesejak dahulu lagi. Atas itu juga, dunia hari ini berubah dari semasa kesemasa, dari keadaan yang dikatakan primitif kepada keadaan yang dikatakan bertamadun, dari hanya berjalan kaki ke berkenderaan dan seterusnya kepada segala aktiviti-aktiviti kehidupan seharian insan. Dalam mana boleh dikatakan, atas pertanyaan sebab dan akibat, dunia modern hari ini terbina.

Ini kerana lantaran sebab dan akibat, segala yang berkaitan dengan alam ini seperti penyebab-penyebab segala sesuatu dialam ini serta apa yang dapat dihasilkan atau apa akibat dari sesuatu sebab dialam ini, didalami dan dipergunakan untuk kemudahan bagi membantu kehidupan seharian insan dimana sahaja. Contohnya dengan mengaji akan sebab adanya bahan-bahan binaan yang kukuh seperti simen, batu serta besi maka insan hari ini dapat membina binaan yang lebih kukuh serta tahan lama hatta sehingga hari ini, insan dapat memenuhi seluruh kota-kota didunia ini dengan bangunan-bangunan pencakar langitnya.

Kehidupan harian insan samada dikehendaki sebegitu atau cuba dihindari, adalah terikat dengan sebab dan akibat. Ini kerana dunia ini adalah dunia darul asbab, iaitu dunia bersebab. Dengan memahami, mempelajari serta mengkaji sebab dan akibat akan segalanya yang ada dialam ini, iaitu antara sebab yang mendatangkan akibat kebaikan mahupun kemudaratan, insan diseluruh dunia menjalani kehidupan sehariannya. Dari hari ke sehari, insan mengumpul segala pengalaman yang diperolehi akan sebab dan akibat dan seterusnya dari situ menjadi pengetahuan buat insan. Pengetahuan dari pengalaman adalah lumrahnya bersabit dengan pengalaman dari sebab dan akibat sesuatu tersebut.

Contohnya seorang tabib yang melalui pengalaman akan sebab-sebab penyakit aneh yang dialami oleh pesakitnya seperti dari sesuatu jenis kuman, akibat-akibat yang terhasil dari kehadiran kuman tersebut didalam tubuh pesakitnya serta seterusnya bagaimana mengubatinya, dimana pengalaman ini dikumpul dan disampaikan sebagai pengetahuan kepada pihak-pihak lain kemudiannya atau sebagaimana juga contohnya seorang petani yang berpengalaman akan sebab-sebab yang dapat menyuburkan tanaman mengikut musim dan keadaan tempatnya yang mana pengalaman ini diturunkan kepada generasi kemudian sebagai suatu pengetahuan. Dan seterusnya juga kepada segala aktiviti-aktiviti harian yang bersangkut-paut dengan pengalaman-pengalaman akan sebab dan akibat dari sesuatu dialam ini.

Menghindari kehidupan dari segala yang berkaitan dengan sebab dan akibat adalah nyata sesuatu yang amat mustahil dan boleh dikatakan tiada siapa dapat melalui tahap kehidupan sebegitu. Contohnya tiada siapa pun yang boleh hidup didunia ini tanpa sebab air atau udara, kerana disebabkan tanpa adanya air atau udara, bukan sahaja insan malah merangkumi segala kehidupan dialam ini akan mengalami kepupusan, namun dalam pada itu, insan masih berkemampuan mencuba meminimumkan segala yang berkaitan dengan sebab dan akibat dalam kehidupan sehariaannya seperti mengurangkan sebab-sebab dari bentuk keperluaan hidupnya, terutamanya setelah terbukti akan banyaknya akibat-akibat keburukan yang terjadi dimuka-bumi ini adalah diatas memenuhi sebab-sebab keperluaan dalam kehidupan insan disepanjang zaman.

Dari pertanyaan, pengajian, perbualan dan seterusnya, akan kaitan dengan sebab dan akibat ini juga, maka lahirnya berbagai pandangan sehingga kepada pegangan diatas sesuatu pendapat seperti kewujudan pandangan rasionalism yang mencari jawapan yang rasional dan logik, dimana ini membuat terhindarnya kepercayaan karut-marut. Ini adalah sesuatu yang telah membawa suatu pencerahan kepada dunia silam yang dipenuhi dengan kepercayaan karut-marut dimana-mana sahaja. Kepercayaan karut-marut ini nyatanya begitu payah diubah namun dunia hari ini terutama disebelah dunia barat, telah menyaksikan bagaimana gerakan dari kesan sebab dan akibat ini telah mengatasi masaalah-masaalah zaman gelap mereka suatu abad dahulu.

Namun dari itu juga, lantaran tiada bimbingan atau petunjuk sebenar kearah kebenaran, maka insan berkemungkinan besar mencapai atau menghampiri tahap pemikiran athiest iaitu tidak mempercayai adanya kuasa-kuasa ghaib yang menguasai segala sebab dan akibat dan mahupun tidak mempercayai akan kewujudan Tuhan itu sendiri. Seperti juga bagaimana sebab dan akibat ini telah menyumbangkan kepada kebangkitan ideologi sekularisme.

Sebenarnya, segala sebab dan akibat itu sendiri bukanlah merupakan sesuatu yang mutlak atau berada didalam suatu kategori yang benar-benar pasti. Seorang muslim bila sahaja memahami, mempelajari, memerhati akan segala sebab dan akibat dialam ini, wajar menyakini bahawa disebalik segala sebab dan akibat adalah kekuasaan Allah semata-mata. Sebagaimana sebab kelahiran mengakibatkan kehadiran suatu nyawa didunia ini tetapi yang memberi nyawa dan membenarkan berlakunya kelahiran adalah dibawah kuasa Allah semata-mata. Sebegitu juga dengan sebab kematian mengakibatkan kehilangan nyawa, tetapi yang mematikan dan mengizinkan berlakunya kematian adalah dibawah kuasa Allah semata-mata.

Sebab adanya bahan-api maka adanya cahaya yang menyinar namun Allah mampu melakukan apa sahaja sebagaimana matahari yang bersinar saban hari sedari jutaan tahun dahulu, dimana sehingga kini para saintis tidak mengetahui apakah bahan-api yang digunakan oleh matahari untuk memiliki tenaga yang sebegitu hebat. Atau kerana sekian-sekian ubat, pesakit-pesakit mampu diubati, namun banyaknya kes-kes terjadi, dimana dua orang pesakit yang mengidap sekian-sekian penyakit yang sama dan mengambil ubat-ubatan yang sama, kemudiannya seorang darinya sembuh manakala seorang lagi, menjadi bertambah sakit sehingga meninggal dunia. Ini kerana, ubat tersebut hanyalah asbab, namun yang memberi manfaat dan syifat hanyalah dibawah kekuasaan Allah semata-mata.

Penyangkalan akan sebab dan akibat itu adalah suatu yang mutlak atau pasti inilah membuat pertembungan antara pemikiran Imam Ghazali dengan ibn Rushd dimana Imam Ghazali menyangkal bahawa segala sebab dan akibat itu semua suatu yang pasti kerana yang pasti adalah kekuasaan Allah semata-mata dan segalanya berlaku, bertindak, beraksi dan sebagainya adalah semata-mata dengan kekuasaan Allah sahaja. Imam Ghazali membawa konsep integrasi antara metafizik menurut pandangan Islam dengan fizik sedang Ibn Rushd lebih melihat dari sudut pengkajian sains atau fizik semata-mata, namun semata-mata melihat dari sudut fizik adalah suatu yang amat merbahaya terutama buat golongan yang tidak kukuh asas agama mereka atau lemah keyakinan mereka kepada Allah.


Bersambung...


Monday, April 18, 2011

Simulasi & stimulasi


Simulasi & stimulasi 
rekaan iblis dan sidajal,
mengarang sarang maya,
muat-turun skrip-skrip ngilu,
layar skrin dibalik bayangan,
menempel didewan kehidupan,
gelagat watak-watak insan mati jiwa,
yang berjalan mengheret sekujur tubuh,
dengan semakin memberat didera masa,
daging waja, urat wayar bersimpul keliru,
berotak kelkatu, menuju cahaya palsu,
dihayuni irama sipagan-pagan,
diruang tak bertingkap,
tak berpintu.



zarch-17.4.11

Sunday, April 10, 2011

Realiti - kenyataan 7


Dalam dunia Melayu, sesejak dahulu lagi dunia ini dikenali sebagai dunia maya. Perkataan maya adalah berasal dari perkataan Sanskrit yang bermaksud tidak nyata, tidak pasti, illusi, delusi, helah (Maya – illusion, unreality, deception, fraud, trick, sorcery, witchcraft magic, an unreal or illusory image, phantom & etc). Manakala bila dikatakan dunia maya bermakna dunia yang tidak nyata, dunia ilusi, dunia delusi, dunia helah, dunia yang tidak pasti dan lain-lain.

Anehnya generasi-generasi insan terdahulu sesejak beribu-ribu kurun lepas telah memperkatakan bahawa dunia ini sebenarnya adalah tidak konkrit, tidak nyata, hanya tempat ilusi atau sebagai tempat ujian. Sedang kini juga, terdapat para ilmuan yang mengkaji dan berpendapat bahawa semua yang wujud didunia ini sebenarnya adalah dibawah balikan dari simulasi dan rangsangan keatas panca-indera insan itu sendiri. Iaitu pemahaman akan kewujudan sesuatu dipersekitarannya atau dunia luar diri insan adalah dari tanggapan-tanggapan yang terbina dari signal-signal elektron didalam otaknya iaitu pemikirannya serta seterusnya memberi reaksi-reaksi pada perasaannya, yang bermakna juga bahawa dunia ini adalah sebenarnya tidak konkrit, tidak nyata, hanya tempat ilusi atau dalam kata lain adalah seperti realiti virtual.

(J.R. Minkel yang menulis artikel berjudul "The Hollow Universe" (Alam semesta yang kosong), menyatakan bahawa adalah keliru jika menganggap segala kebendaan yang wujud sebagai sesuatu yang benar-benar memiliki keberadaan yang mutlak berdasarkan kefahaman yang insan dapati dari panca-inderanya. Minkel juga menyatakan bahawa sejumlah ilmuan menamakan gagasan ini sebagai “teori segalanya“ dan para ilmuan tersebut menganggap teori ini sebagai tahap pertama dalam menjelaskan sifat sebenar alam semesta ini)

Realiti virtual (Virtual reality) diterjemahkan sebagai realiti maya dalam bahasa Melayu, iaitu suatu keadaan dimana simulasi-simulasi atau rangsangan yang diciptakan oleh komputer mampu membina sesuatu yang dikatakan realti atau nyata. Realiti virtual adalah seperti penerbitan gambar-gambar 3D (tiga dimensi) yang dilakukan dengan komputer dimana kelihatan sebagai nyata dan hidup dengan bantuan sejumlah peralatan-peralatan tertentu seperti bunyi-bunyian dan lain-lain, dimana dengan bantuan semua efek-efek ini, simulasi atau rangsangan lingkungan maya mencipta salinan realiti yang sedemikian nyata sehingga insan mampu terpedaya dengan gambar atau bayangan yang tidak nyata ini dan mengalami pengalaman sebagaimana sesuatu yang benar-benar realiti bagi dirinya.

Seakan begitulah realiti kehidupan insan dialam dunia maya ini yang sebenarnya bergantung dengan peranan simulasi-simulasi dan rangsangan-rangsangan yang berlaku serta pemahaman perasaan dan pemikirannya keatas perkara atau keadaan tersebut. Setiap insan melihat akan kewujudan dunia realiti buat dirinya adalah melalui simulasi dan rangsangan ini. Samada simulasi dan rangsangan ini dari segala yang diambil oleh dirinya dari dunia luar iaitu seperti pengetahuan dari pengalaman yang dicapai oleh panca-indera hidup sesejak dilahirkan atau juga dari fitrah dalaman diri insan.

Dan apa yang dikatakan realiti yang wujud dari simulasi-simulasi akan sesuatu perkara atau keadaan dirinya, itu semua sebenarnya merupakan ujian bagi dirinya, kerana hakikatnya, dunia darul asbab atau dunia tempat bersebab ini bukanlah suatu yang konkrit atau bersifat mutlak keberadaannya. Dengan memahami bahawa dunia ini sebenarnya tidak konkrit atau tidak bersifat mutlak keberadaannya, seorang penganut Islam wajar menyedari, yang konkrit dan mutlak sifatnya adalah segala perintah Tuhannya, seperti bila dirinya dalam keadaan bekerja lantaran mencari rezeki, bersolat 5 waktu dalam waktunya adalah lebih utama dari terus bekerja dan meninggalkan solatnya. Ini kerana, masa untuk bersolat iaitu 5 hingga 10 minit yang dilakukannya adalah suatu yang benar-benar konkrit dan bersifat mutlak lantaran amalan itu adalah perintah Tuhannya, sedang yang lainnya adalah tidak konkrit atau bersifat mutlak dan hanya berlalu ditelan detik masa serta sebagai ujian untuk bagaimana dirinya hidup didunia ini.

Contohnya seorang yang dibawah perasaan lapar dimana perasaan lapar tersebut adalah datang dari simulasi dirinya yang perlu mendapat makanan pada sekian-sekian waktu. Seterusnya kaitan dari simulasi ini, maka segala pengetahuan, pengalaman, budaya pemakanan, persekitaran samada mudah mendapat makanan atau sebaliknya, mencipta keadaan akan bagaimana dirinya mendapatkan makanan serta bagaimana menyediakannya. Namun dari keadaan ini, lapar adalah sebenarnya ujian buat dirinya iaitu samada dirinya melakukan sesuatu yang bercanggah dengan kebenaran seperti mencuri atau memakan makanan haram (kecuali dalam keadaan darurat) atau dirinya tetap berusaha mendapat makanan yang halal. Seperti seseorang yang dalam keadaan lapar kerana berpuasa, apakah dirinya menahan kelaparannya kerana menyedari akan itu suatu perintah buat dirinya dan akan datang suatu realiti masa yang sebenarnya, dimana dirinya akan mendapat segala yang dihajati dan tidak akan merasa lapar lagi (disurga) atau dirinya merosakkan puasanya dengan memakan sesuatu lantaran kelaparannya.

Maka dengan beranggapan bahawa dunia ini adalah realitinya konkrit dan kehidupan realiti insan hanyalah semata-mata buat waktunya didunia ini membuat insan melakukan apa sahaja untuk memenuhi segala rangsangan dirinya sedangkan dengan memahami bahawa dunia ini bukan konkrit, tidak bersifat mutlak keberadaannya serta adanya realiti sebenar selepas kematian membuatkan insan sentiasa berwaspada didalam kehidupan yang singkat didunia fana ini.

Penyangkalan akan bahawa dunia material/kebendaan ini benar-benar konkrit wujud atau merupakan sesuatu yang benar-benar mutlak keberadaannya adalah juga suatu tamparan buat insan-insan yang berjiwa kebendaan, berfalsafahkan hidupnya dibawah falsafah kebendaan dan hanya menghabiskan kehidupan sehariannya buat mengejar kebendaan sehinggakan ada yang bertuhankan kebendaan. Ini kerana, dengan penyangkalan ini, bermakna dunia kebendaan bukanlah sesuatu yang konkrit serta bersifat mutlak selama-lamanya, tetapi hanya suatu ilusi atau asbab yang berupa ujian keatas insan selama mana hayatnya dimuka-bumi ini.

Atas itu juga, insan memerlukan simulasi-simulasi dan rangsangan-rangsangan akan realiti adanya dunia akhirat yang benar-benar mutlak keberadaannya dan ini adalah bermula dari keyakinan atau keimanannya yang benar akan kewujudan serta hari pembalasan selepas kematian. Dengan membawa diri kedalam lingkungan amal-soleh, lingkungan mereka-mereka yang sentiasa memperkatakan atau mendakwahkan kebenaran, targhib-targhib akan pembalasan buat kebaikan yang dilakukan mahupun tarhib diatas pembalasan buat kesalahan yang dilakukan, insan membina lingkungan rangsangan dunia maya yang tidak bersifat mutlak keberadaannya kepada rangsangan dunia akhirat yang bersifat mutlak keberadaannya.




Friday, April 08, 2011

Realiti - kenyataan 6


Berbalik pada faktor-faktor yang digunakan untuk memahami apakah sebenarnya akan suatu realiti, faktor dari sudut pandangan sosial, kultural, empiris dan metafizik perlu dikaitkan antara satu sama lain kerana hanya berdasarkan semata-mata dari suatu faktor sahaja adalah tidak mencukupi.

Contohnya, apakah seorang gadis yang kelihatan begitu cantik serta seorang jejaka yang kacak dengan pakaian yang bergaya dan anggota tubuh-badan yang tidak cacat, realitinya sentiasa memiliki peribadi yang mulia? Sedangkan begitu ramai yang zahirnya kelihatan indah tetapi mempunyai perilaku yang buruk dengan hidup penuh kemaksiatan, tipu-daya dan malah rata-rata penjenayah dari yang digelar jenayah kolar putih sehingga jenayah jalanan adalah dari kalangan mereka yang bertubuh sihat tanpa cacat. Namun inilah realiti dari sudut majoriti pandangan social iaitu penampilan zahir dikatakan mencerminkan penampilan yang baik, sedangkan hanya melalui penampilan zahir, ianya bukanlah sebagai kayu-ukur yang sebenar untuk menilai seseorang tersebut.

Atau contoh lain dimana terdapat dikalangan suatu masyarakat yang membenarkan nikah sesama jenis, sedangkan ini adalah suatu kesalahan dan kesilapan yang amat besar, serta bercanggah dengan fitrah insaniah tidak kira dari bangsa mana pun, tetapi lantaran majoriti pandangan sosial buat masyarakat disesuatu tempat tersebut beranggapan bahawa perkahwinan sebegitu adalah menunjukkan realiti akan hak asasi setiap individual, maka ia dibenarkan. Jadi jelas disini, semata-mata mengikut pandangan sosial sesuatu tempat
dan keadaan, adalah tidak mencukupi untuk mengadili apakah realiti kebenaran atau mahupun apakah erti realiti kehidupan insan bersama fitrahnya yang tersendiri.

Sebegitu juga hanya berpandukan dari sudut pandangan kultural akan apakah realiti adalah tidak mencukupi kerana pandangan kultural hanyalah bergantung kepada musim sesuatu cara hidup yang berligar disekian-sekian waktu, tempat atau zaman. Contohnya, pada pandangan budaya seperti musik yang menjadi trend disesuatu masa, seseorang yang hebat menyanyi mengikut trend tersebut dikatakan realitinya beliau adalah seniman ulung, sedangkan sebalik itu, penyanyi tersebut hanya memiliki suara yang merdu serta bijak bermain alatan musik tetapi tiada langsung mendalami akan erti seni kehidupan dan tidak cuba mendalami akan erti apa itu kehidupan. Dalam mana semua liriknya adalah tiada bererti langsung atau penuh kekosongan maknanya serta caranya diciplak dari pemuzik-pemuzik barat semata-mata, dimana ini menunjukkkan realitinya bahawa penyanyi tersebut bukanlah kategori insan yang benar-benar seni jiwanya tetapi realitinya adalah seorang peniru yang hebat.

Sedang hanya berpandukan pandangan empiris adalah juga tidak memadai untuk mengadili apakah realiti sebenar akan sesuatu tersebut kerana pengetahuan dari pengalaman insan adalah sentiasa terbatas mengikut keadaan, tempat serta masanya, sebagaimana jika seseorang tersebut adalah seorang wanita disekian-sekian umur, tentu pengalamannya yang seterusnya membicarakan apakah sesuatu yang rasional atau logik tersebut bergantung semata-mata dari pengalaman sudut kewanitaannya sebegitu juga dengan seorang lelaki yang berada disekian-sekian umur, tempat dan keadaan sedangkan untuk memperkatakan apakah suatu realiti yang menyeluruh, memerlukan suatu dimensi yang menjangkau segala aspek.

Kerana itu, disamping pandangan social, kultural serta empiris merupakan pandangan yang penting dalam menafsirkan apakah suatu realiti tersebut, pandangan metafizik adalah merupakan suatu keutamaan, dimana, bukan semata-mata zahir yang diadili, tetapi juga merangkumi yang batin. Namun dalam hal ini juga, suatu petunjuk amat diperlukan oleh insan kerana insan wajar sahaja hanyut dalam dunia pemikiran falsafahnya yang tidak berasas, dunia yang karut-marut diatas fantasinya serta dunia khurafat dari persepsi-persepsi salahnya.

Seperti pegangan penganut animisme yang mempercayai akan realiti kewujudan hal-hal ghaib atau kuasa disebalik alam semula-jadi (supernatural) tetapi lantaran tidak difahami dan tiada petunjuk yang sebenar, maka dipercayai akan pokok atau batu-batu sekian-sekian mempunyai kuasa, lalu dilakukan upacara menyembah serta menghidangkan sesuatu pada objek-objek ini, sedangkan itu semua adalah sesuatu yang karut-marut. Sebegitu juga dengan mempercayai kewujudan hantu-hantu yang menakutkan sedangkan disebalik itu, ianya hanyalah suatu kehidupan selain insan yang digelar jin dan mereka juga hidup bermasyarakat dimana ada yang baik dan yang sebaliknya.

Atas itu, pada penganut agama Islam, ajaran agama Islam itu sendiri adalah pintu untuk memahami apakah sebenarnya realiti kehidupannya didunia ini dan buat kehidupan seterusnya kerana dari ajaran agama Islam itu sendiri, terbentuknya pandangan social atau masyarakat akan apa itu realiti kebenaran yang dicari, kebudayaan yang ada batas-batasnya dalam memahami realiti budaya kehidupan, pengalaman yang bukan sahaja dari abad ini tetapi dari seawal sejarah kewujudan insan yang pertama dan seterusnya petunjuk buat makna metafizik akan apakah realiti kehidupan insan itu sendiri dari sudut zahir dan disebalik alam zahir iaitu alam batin serta akan realiti kewujudan Pencipta alam yang Maha Esa yang menguasai segala-galanya. Sedang realiti yang hakiki, tanpa pedoman dan petunjuk dari ajaran Islam, insan bukan sahaja tidak memahami akan kewujudan penciptanya, tetapi akan maksud kewujudan dirinya sendiri didunia ini tidak difahami.


Bersambung...

Tuesday, April 05, 2011

Realiti - kenyataan 5


Sebagaimana ada perbezaan antara berjaga dengan tidur, sebegitulah suatu realiti dengan suatu mimpi, imaginasi, khayalan, ilusi dan segala sepertinya. Namun begitu, seseorang yang berjaga tidak semestinya sentiasa dalam keadaan yang dikatakan benar-benar sedar seperti seorang yang tidak tidur tetapi dalam keadaan mabuk, ralek, berangan, khayal atas sesuatu bahan, pemikirannya dibawah sesuatu kawalan dan lain-lain. Dimana dalam keadaan sesuatu yang dikatakan realiti, tidak semestinya insan yang berada didalam keadaan realiti itu menyedari akan keadaan realitinya yang sebenar atau juga keadaan dimana seorang yang menyedari akan keadaan realitinya namun tiada berkemampuan melakukan sesuatu keatasnya seperti seorang yang dalam keadaan keretanya terbabas dan terlangar sebatang pokok, namun dirinya yang tersepit dan cedera-parah, tidak mampu melakukan apa-apa melainkan hanya menanti datangnya bantuan.

Untuk memahami pemaknaan suatu realiti, ada beberapa faktor yang digunakan seperti berdasarkan pandangan sosial, kultural, empiris serta metafizik. Secara ringkasnya, pandangan sosial adalah pandangan umum masyarakat dalam menafsirkan apa itu suatu kehidupan atau apakah sesuatu keadaan tersebut, kultural pula adalah kebudayaaan yang dihidupkan dan seterusnya pemahaman dari sesuatu budaya tersebut samada sesuatu kebudayaan yang berupa warisan dari dahulu atau yang baharu, manakala empiris pula adalah suatu keadaan yang amat bergantung pada bukti atau pencapaian panca-indera seperti setelah melalui percubaan atau pengamatan, dalam kata lain, pengetahuan hasil dari pengalaman.

Sedang metafizik adalah penjelasan asal atau hakikat objek (fizik) didunia, seperti sumber kewujudan sesuatu tersebut, kenyataan akan kewujudan sesuatu tersebut, sebab-sebab kewujudannya dan seterusnya kepada perkara-perkara sesuatu yang berkaitan dengan perkara-perkara yang ghaib atau tidak dilihat dengan pandangan zahir. Fizik (physikos-alamiah dan physis-alam) iaitu pengetahuan meluas tentang alam semula-jadi serta bagaimana memahami serta mengambil faedah darinya. Dari itu adanya pengajian-pengajian ilmu-ilmu sains samada dari zaman dahulu sehinggalah kezaman terkini, yang memperkatakan akan segala dialam semula-jadi ini serta seterusnya kepada segala yang berkaitan dengan insan seperti penemuan ilmu-ilmu yang dapat membantu kehidupan seharianya. 

Manakala meta (meta-setelah/disebalik dll) adalah suatu ayat penambahan kepada ayat lain untuk membawa makna disebalik sesuatu tersebut seperti contohnya metadata untuk suatu foto, dimana metadata memperkatakan maklumat bukan sahaja akan foto tersebut tetapi maklumat mendalam disebalik foto tersebut seperti siapa yang mengambil gambar tersebut, bila waktu diambil gambar tersebut, kenapa diambil gambar tersebut dan lain-lain.

Suatu pertanyaan, untuk apakah perlunya memahami akan keadaan sesuatu realiti tersebut? Apakah hanya untuk suatu kajian demi kajian yang penghujungnya hanya berakhir tanpa faedah? Sedangkan sebenarnya, dengan memahami atau mendalami keadaan sesuatu realiti, maka mudah untuk usaha-usaha samada memperbaiki keadaan tersebut, merubah kearah keadaan yang lebih baik atau melakukan usaha mengekalkan sesuatu keadaan tersebut sekiranya didapati bahawa ia adalah benar-benar sesuatu yang membawa kebaikan.

Contohnya dalam memahami realiti budaya kehidupan konsum masyarakat modern hari ini dimana saban hari diasak dengan berjuta-juta barangan-barangan yang dipasarkan, sedangkan, apa yang diperlukan untuk kehidupan sehariannya adalah jauh kecil bilangannya daripada apa yang dikonsumkan. Atau juga juga akan realiti dizaman tanpa batas internet, yang mana berupaya mengubah segala aktiviti kehidupan samada individu mahupun masyarakat umumnya.

Apakah realiti budaya konsum masyarakat modern hari ini berserta dunia tanpa batasnya membawa kealam yang jauh lebih baik dari kehidupan dahulu atau sebaliknya menenggelamkan ramainya insan kedalam suatu lapangan kehidupan yang berbentuk realiti maya (virtual reality - realiti maya dimana simulasi persekitaran yang dihasilkan oleh komputer)? Mungkin suatu waktu dahulu, pengertian buat realiti maya hanyalah terhad untuk sesuatu pengalaman visual lantaran berinteraksi dengan komputer lalu menghasilkan simulasi pada panca-inderanya, seperti permainan yang menggunakan segala alat bantuan iaitu sarung tangan berwayar, helmet yang mempunyai skrin untuk menampilkan imej-imej, pembesar suara yang menghasilkan bunyi-bunyian bagi menghidupkan suasana dan seterusnya.

Namun kini, pengertian buat maksud realiti maya juga adalah lebih meluas kepada segala aktiviti kehidupan seharian dan seterusnya kepada perasaan dan pemikiran yang disimulasikan oleh sesuatu yang membawa dirinya kealam dunianya tersendiri. Contohnya seorang yang menghabiskan selama bertahun-tahun begitu banyak waktunya saban hari didalam laman-laman social (facebook, blog-blog dan lain-lain) untuk berinteraksi dengan teman-teman dialam mayanya, tidak menyedari bahawa dirinya kehilangan suasana bermasyarakat yang sebenar didalam kehidupan seharian (seperti tingginya kes-kes perceraian yang mana antara sebabnya adalah lantaran berinteraksi dengan kenalan didunia mayanya, keluarganya sendiri diabaikan untuk meluangkan masa buat mereka).


Bersambung...


Tajuk

Abbasiyah (1) altruisme - ikram (3) Aqidah (1) art video (20) Bahasa dan penampilan (5) Bangsa Melayu (7) batas sempadan (9) Berita (15) Besi (1) Biography solihin (1) Budaya dan pengertiannya (16) catitan (2) cerdik/bodoh dan antaranya (6) cetusan minda (8) cinta dan syahwat (3) Doha - Qatar (2) Eid Mubarak (5) Fantasia falasi (3) Fibonacci (1) Filem (1) Fungsi seni (1) gangsa (1) hukum (6) huruf (2) hutang (1) ijtima (1) Iklan (2) imitasi dan memori (1) infiniti (5) jalan2 (2) kebangsaan/nationalisme (2) kebebasan bersuara (1) Kelahiran kesenian yang mengubah warna dunia. (1) Kembali sebentar tentang erti seni (Islam) (1) kerja otak (1) Kesenian dunia Islam (1) konsep kendiri (3) konspirasi (1) Lentok tangan (1) Malaysia (3) Maslahah atau mafsadah (1) Maya (ilusi) (4) Melaka (1) Melayu (2) Melayu dan Islam (9) minda (2) musik (2) nukilan rasa (1) Pantang dalam berkarya (1) Pause (6) Pengajian dan pengertian budaya (1) Perasaan dan pemikiran (5) Persepsi / Tanggapan (6) pointillism (2) populasi dunia (9) Produk sejarah (11) Program dan hayat (2) prosa (4) ramadan (2) realiti - kenyataan (7) Sajak (22) Sangkaan (2) sebab dan akibat (18) sejarah (10) Sejarah mengubah/terubah (5) Sejarah seni dalam kehidupan insan (1) Sejarah video (1) Seni Bahasa (2) Seni dalam imiginasi (1) seni kata (1) Seni logam (3) Seni textil (budaya berpakaian) (2) Seni-seni mempertahankan diri (1) sound (1) Srivijaya (3) Sunda (6) Tahap kesederhanaan (1) Tahap-tahap kehidupan (14) tenung bintang (1) Terkesan dengan suasana (2) Tradisional dalam makna (1) Ukuran dan kayu pengukurnya (2) updated (1) Usia manusia (3) vision (1) wang (7) Wujudkah kosong? (2) zarzh slide (12)

Catitan lalu

Insuran & Road Tax Online

tetangga