Sunday, August 10, 2008

Maya (ilusi) - 3


Didalam alam maya ini, sentiasa hadir perkataan "mungkin" untuk sesuatu yang mana sesuatu itu wajar sahaja berubah samaada dari sudut sesuatu tersebut sendiri mahupun dari pengaruh luaran sesuatu tersebut. Yang mana situasi, bentuk, rupa atau apa sahaja dari sesuatu tersebut "mungkin" sahaja berubah-rubah misalnya hari yang panas kehujan, sihat kesakit, pagi kepetang, hadir dalam kehidupan atau pergi dari kehidupan dan seterusnya.

Perkataan "mungkin" yang berasal daripada bahasa Arab dan telah sebati digunakan didalam Bahasa Melayu bukanlah bermakna "dualiti"(sebagaimana dualiti adalah bererti dua sifat yang berlawanan seperti malam-siang,lelaki-perempuan,hitam-putih dll) tetapi membawa erti adanya berbagai jalan, rupa, penyelesaian, suasana dan lain-lain untuk sesuatu yang dinyatakan berkaitan dengan perkataan mungkin. Misalnya dari warna hitam-putih mungkin adanya warna kelabu.

Dalam pertuturan untuk perkara yang lepas, perkataan mungkin adalah lebih menjurus kepada kebaikan kerana ia lebih menyampaikan adanya suatu pilihan lain, suatu alternatif dari yang dilalui atau yang berlaku, adanya suatu cubaan memperbaiki
dan lain-lain berbandingkan dengan perkataan "kalau", yang lebih menjurus maknanya kepada kekecewaan, ketidak penerimaan terhadap apa yang berlaku atau taqdir sesuatu itu berlaku, penyesalan dan lain-lainnya.(Sebagaimana adanya perbezaan antara
"Probability" dengan "if")

Lantas berpijak diatas perkataan mungkin, segalanya dialam maya ini dipengaruhi oleh kemungkinan, yang mana membawa maksud juga bahawa, tiada yang tetap (kecuali apa yang ditetapkan dan ditunjukkan oleh Pencipta alam). Sebagai contoh, seseorang itu mempunyai I.Q yang tinggi, tetapi kemungkinan E.Qnya rendah atau sebaliknya, seseorang yang begitu mendalami sesuatu bidang tetapi kemungkinan besar dia tidak menguasai segala bidang, seseorang yang mempunyai segala harta-benda tetapi kemungkinan jiwanya tertekan, sesebuah negara yang kelihatan begitu maju dari segi kebendaan tetapi kemungkinan rakyatnya ramai yang mengalami keruntuhan moral, sesesuatu keputusan yang dilihat sebagai penyelesaian buat masaalah kehidupan harian tetapi kemungkinan membawa kesan jangka-panjang yang buruk dan seterusnya.

Atau ubat yang pahit tetapi kemungkinan ubat tersebut membantu mencegah sesuatu penyakit, suasana perkampungan-perkampungan yang kelihatan bosan kehidupannya buat seseorang yang sentiasa bergerak pantas tetapi kemungkinan suasana tersebut dapat menenangkan jiwa, aktiviti-aktiviti amal jariah seperti membantu golongan tidak berupaya, menziarahi sesamanya, berpesan-pesan kearah kebaikan dan lain-lain
yang dilihat sebagai membazirkan waktu tetapi kemungkinan itu adalah suatu yang membawa kebaikan besar pada diri dan masyarakat, kehidupan yang tidak berkiblatkan kebendaan yang dilihat sebagai kemunduran tetapi kemungkinan itulah kehidupan yang membawa ketenangan serta melindungi diri dan masyarakat dan seterusnya.

Dalam arus kemungkinan-kemungkinan ini, insan lazim sahaja bereksperimen, mencari penyelesaian keatas sesuatu masaalah, berteka-teki mahupun ia terjebak kedalam sesuatu masaalah, namun darinya juga lahir kefahaman, kematangan, kejayaan, kegagalan dan lain-lainnya. Segala yang dicipta insan samaada untuk kegunaan harian mahupun untuk melalui kehidupan harian lazimnya dibawah faktor ini, misalnya kemungkinan membina roda-roda yang berpusing dapat membantu melancarkan pergerakkan benda-benda berat, lantas dari situ, diciptanya roda dalam berbagai bentuk dan cara dan sehingga kehari ini, penggunaan keatasnya sentiasa dipertingkatkan dalam berbagai bentuk dan sentiasa diperbaharui.

Kemungkinan-kemungkinan juga wujud dalam bentuk lahirian atau batiniah, nyata atau ghaib, sesuatu yang jelas atau sebaliknya, logik atau tidak dan seterusnya. Misalnya adalah jelas dengan beranggota sempurna maka seseorang itu dapat bergerak bebas tetapi bagaimana pula dengan yang beranggota sempurna tetapi tidak dapat bergerak langsung, mungkinkah dia lumpuh, koma atau mungkinkah roh didalam jasadnya yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar telah keluar dari jasadnya? Seorang yang kelihatan begitu sihat mental dan fizikalnya, tiba-tiba meracau-racau, mungkinkah dia mengalami tekanan jiwa, histiria atau dalam pengaruh sesuatu bahan yang mengkhayalkan? Seorang yang kelihatan begitu terpelajar lalu dipilih mengetuai sesuatu masyarakat tetapi tindakan-tindakannya mengundang kehancuran kepada masyarakat tersebut, mungkinkah dia tidak berpengalaman, mementingkan diri sendiri dan seterusnya? Atau seseorang yang mempercayai sesuatu batu, pokok, patung-patung dan lain-lain dapat membantu dalam penyelesian masaalah kehidupan hariannya, tetapi apakah mungkin benda-benda yang tiada langsung bermaya dapat membantunya?

Begitulah dunia maya ini yang terikat dibawah perkataan "mungkin" atau kemungkinan dan kerana adanya ikhtiar serta dugaan yang diberikan kepada insan, Pencipta Alam tidak membiarkan insan hanyut begitu sahaja dalam kemungkinan-kemungkinan insan itu sendiri, tetapi diutusNya para-para anbiya hinggalah kenabi terakhir dan seterusnya dipikul oleh umat nabi terakhir untuk membimbing insan sekelian kearah suatu kebenaran biarpun insan itu sendiri melalui kehidupannya dalam seribu kemungkinan. Dalam mana rangka kehidupan yang ditunjukkan oleh Rasulullah adalah benteng agar umat terlindung daripada kemungkinan-kemungkinan buruk menimpa mereka didunia dan diakhirat.

Bersambung....

Friday, August 01, 2008

Maya (ilusi) - 2


Alam maya, yang mana dalam menghadapi kehidupan seharian dalam waktu-waktu dialam maya, sentiasa adanya suasana atau keadaan bermaya mahupun tidak bermaya. Dari segi fizikal hingga ke mental, lahiriah ke batiniah. Bermaya atau berkeupayaan untuk sesuatu perkara, bidang, ruang, permintaan kehidupan dan seterusnya adalah suatu ikatan yang utama dalam menghadapi kehidupan dialam maya.

Kerana kewujudan setiap sesuatu dialam maya ini bergantung kepada sesuatu asbab, menyabitkan keupayaan sesuatu itu terletak keatas faktor asbabnya. Contohnya sebagaimana yang diketahui melalui penderiaan kasar, bahawa setiap yang hidup bergantung kepada kewujudan air, dari segala haiwan hingga ketumbuh-tumbuhan. Dan dari dari situ juga hadirnya akan keupayaan sesuatu tempat untuk menyediakan dataran untuk kehidupan, kerana semakin kontang kawasannya, maka semakin mengecillah peluang untuk kehidupan samaada untuk tumbuh-tumbuhan hingga ke haiwanat. Disamping bergantung kepada faktor lainnya seperti qualiti air tersebut, quantiti, bahan kandungan air tersebut ( seperti air laut yang masin, untuk kehidupan darat adalah suatu yang tidak sesuai, tetapi untuk kehidupan laut, ia memang memerlukannya) dan seterusnya. Malah bila ia berlebihan pula, ianya sebaliknya berupaya memudaratkan kehidupan itu sendiri seperti fonemena ribut-banjir dan lain-lain.

Sebagaimana juga, untuk menghadirkan sesuatu tenaga yang samaada untuk menjanakan cahaya, membakar dan seterusnya memerlukan asbab seperti minyak, arang batu dan lain-lain bahan pembakar, tetapi bila diperhatikan matahari mahupun didalam bumi sendiri, adanya tenaga yang hebat yang belum dikenali dengan begitu pastinya dari mana sumber tenaganya yang tidak putus-putus, tetapi tetap saban waktu ia berupaya menghasilkan haba yang dahsyat yang mana juga membantu kelangsungan kehidupan dialam maya ini. Dan sebagaimana asbab air, asbab haba juga sekiranya ia berlebihan, ia bakal memusnahkan kehidupan yang bergantung keatasnya seperti gunung-gunung berapi yang mengeluarkan lahar-laharnya, sinar matahari yang tinggi menembusi atmosphera bumi dan seterusnya.

Kerap juga terjadi, sesuatu unsur yang membawa asbab yang jelas kesan dari asbab tersebut sendiri, boleh berubah. Seperti contohnya, atas faktor asas asbab kejadiaan air iaitu H2O, unsur hidrogen yang merupakan asbab pembakaran dan juga oksigen yang merupakan juga asbab membantu pembakaran tetapi bila dicantumkan menjadi molekul air yang begitu berlawanan dengan segala asbab asasnya yang membantu pembakaran dan malah air berupaya digunakan untuk mencegah kebakaran. Namun diatas unsur asasnya itu, ia dapat pula mengalirkan elektrik yang pada mata kasar adalah bertentangan dengan keupayaan air itu sendiri.

Selain itu, adanya suatu keupayaan yang tidak dapt dilihat dengan mata kasar, hanya dirasai seperti oleh deria sentuhan iaitu udara, bau-bauan, rasa-rasa yang terdapat contohnya didalam makanan, buah-buahan dan lain-lain, bunyi-bunyian, haba dan seterusnya. Mahupun juga keupayaan diatas perasaan insan itu sendiri seperti atas rasa cintanya kepada sesuatu, ia sanggup berkorban apa sahaja, atas rasa takutnya keatas sesuatu, ia merasa tidak aman, atas rasa gembiranya pada sesuatu, ia merasa selesa dan seterusnya. Sedang dalam diri insan itu sendiri, tersimpan sejuta rahsia keupayaan, dari akalnya hingga kejantungnya yang saban detik berupaya mengepam darah keseluruh anggota badan melalui pembuluh-pembuluh darah yang begitu seni saiz salurannya tetapi bila dicantumkan, berkilometer panjangnya.

........bersambung



Keupayaan untuk kelangsungan kehidupan dialam maya, jelas pasti telah diatur akan tahap-tahapnya keupayaan sesuatu tersebut yang mana juga melihatkan adanya suatu kuasa ghaib yang Maha Agung yang melepasi segala faktor asbab dan yang menghadirkan segala asbab. Yang Maha Agung yang menyusun segalanya dibawah tertib yang dikehendakiNya.

Tajuk

Abbasiyah (1) altruisme - ikram (3) Aqidah (1) art video (20) Bahasa dan penampilan (5) Bangsa Melayu (7) batas sempadan (9) Berita (15) Besi (1) Biography solihin (1) Budaya dan pengertiannya (16) catitan (2) cerdik/bodoh dan antaranya (6) cetusan minda (8) cinta dan syahwat (3) Doha - Qatar (2) Eid Mubarak (5) Fantasia falasi (3) Fibonacci (1) Filem (1) Fungsi seni (1) gangsa (1) hukum (6) huruf (2) hutang (1) ijtima (1) Iklan (2) imitasi dan memori (1) infiniti (5) jalan2 (2) kebangsaan/nationalisme (2) kebebasan bersuara (1) Kelahiran kesenian yang mengubah warna dunia. (1) Kembali sebentar tentang erti seni (Islam) (1) kerja otak (1) Kesenian dunia Islam (1) konsep kendiri (3) konspirasi (1) Lentok tangan (1) Malaysia (3) Maslahah atau mafsadah (1) Maya (ilusi) (4) Melaka (1) Melayu (2) Melayu dan Islam (9) minda (2) musik (2) nukilan rasa (1) Pantang dalam berkarya (1) Pause (6) Pengajian dan pengertian budaya (1) Perasaan dan pemikiran (5) Persepsi / Tanggapan (6) pointillism (2) populasi dunia (9) Produk sejarah (11) Program dan hayat (2) prosa (4) ramadan (2) realiti - kenyataan (7) Sajak (21) Sangkaan (2) sebab dan akibat (18) sejarah (10) Sejarah mengubah/terubah (5) Sejarah seni dalam kehidupan insan (1) Sejarah video (1) Seni Bahasa (2) Seni dalam imiginasi (1) seni kata (1) Seni logam (3) Seni textil (budaya berpakaian) (2) Seni-seni mempertahankan diri (1) sound (1) Srivijaya (3) Sunda (6) Tahap kesederhanaan (1) Tahap-tahap kehidupan (14) tenung bintang (1) Terkesan dengan suasana (2) Tradisional dalam makna (1) Ukuran dan kayu pengukurnya (2) updated (1) Usia manusia (3) vision (1) wang (7) Wujudkah kosong? (2) zarzh slide (12)

Catitan lalu

Insuran & Road Tax Online

tetangga