Friday, May 27, 2011

Sebab dan akibat - 13

Dalam memahami akan sebab dan akibat dalam dunia ini, lazimnya metode hipotesis digunakan buat menduga serta meneliti sebelum sesuatu jawapan yang konkret dihasilkan akan apakah sebab dan akibat sesuatu tersebut.

Hipotesis (hypo – dibawah dan thesis – pendirian) adalah berasal dari bahasa Yunani bermakna akan pendapat yang ditegakkan, dimana ia merupakan jawapan terhadap sesuatu hal dan jawapan ini masih dalam kategori yang seharusnya dibuktikan kebenarannya atau jawapan ini masih boleh dipertikaikan oleh pihak lain sekiranya mereka menemukan jawapan yang lebih terbukti akan kebenarannya.

Setiap lapisan insan wajar sahaja melakukan hipotesisnya tersendiri melalui apa yang diketahui atau melalui pengalaman yang dilalui seperti seorang ibu yang menyediakan makanan dari cendawan yang diambil dari kebun dibelakang rumahnya, namun bila didapati dirinya serta keluarganya mengalami cirit-birit lantaran memakan hidangan cendawan tersebut, maka timbul kemudiannya akan hipotesis bahawa cendawan tersebut adalah beracun dan tidak boleh dimakan. Hatta kanak-kanak wajar sahaja melakukan hipotesis mereka tersendiri dalam ruang dan masa kehidupan yang dilalui, kerana kemampuan berfikir yang setiap insan miliki.

Sedang hipotesis ilmiah adalah suatu percubaan dalam mendapat jawapan akan sesuatu tersebut dengan kaedah penelitian yang mendalam dengan ilmu-ilmu pengetahuan serta diuji berulang kali. Setelah diuji dan didapati sesuatu jawapan tersebut mirip pada kebenaran, maka ia digelar sebagai teori, namun begitu, ia masih terbuka untuk penelitian dan perdebatan buat seterusnya, sekiranya pihak lain dapat membuktikan jawapan yang lebih ideal atau lebih tepat.

Atas itu juga, segala ilmu pengetahuan dialam ini sebenarnya belum bersifat konkret iaitu benar-benar dikuasai oleh insan kerana segalanya boleh sahaja masih boleh diperdebatkan atau diperdalami, dalam mana kemungkinan, adanya jawapan-jawapan lain buat sesuatu tersebut dihari muka. Mungkin jawapan sesuatu ilmu pengetahuan akan sesuatu dialam ini dapat dipergunakan disesuatu zaman, namun kemudian, generasi seterusnya menemukan jawapan lain yang lebih baik kegunaannya untuk kehidupan insan. Mahupun sebaliknya iaitu jawapan yang sedia ada adalah sebaik-baik jawapan, sedang generasi kemudian pula menemukan jawapan yang lain yang disangka itu adalah kebenaran sedangkan ianya tidak.

Atau mungkin juga, lantaran kehidupan yang dilalui berubah seperti contohnya berubah cuaca-cuaca didunia ini akibat pencemaran yang dilakukan oleh insan, maka kemudiannya ditemui jawapan yang baru akan sebab dan akibat berlakunya cuaca buruk yang melanda tidak henti-henti dimana-dimana dan dari situ dicuba akan sebab dan akibat yang lain untuk menghindari akan cuaca buruk tersebut.

Segalanya dalam ilmu ilmiah sebenarnya masih dalam kemungkinan-kemungkinan dan ini berbeza dengan ilmu wahyu dimana ilmu wahyu bukanlah kemungkinan-kemungkinan. Ilmu wahyu adalah ketetapan atas kebenaran, hanya-sanya ia memerlukan kefahaman dan petunjuk buat tafsiran sebenar serta pengamalan yang sebenar, natijah dari kefahaman tersebut. (kecuali sesuatu ajaran atau kitab tersebut telah bertukar dari yang asli, dimana adanya campur-tangan insan yang menokok-tambahkan, maka ia bukan seratus-peratus ilmu wahyu tetapi ilmu wahyu yang dicampur-adukkan dengan ilmu ilmiah insan atau ilmu dari insan disesuatu zaman dimana ia ditokok-tambahkan).

Tetapi disamping itu, antara ilmu wahyu dan ilmu ilmiah, kerap terjadinya pergeseran yang mana membawa impak yang besar, sesejak dahulu lagi. Contohnya terjadinya gerakan besar-besaran diEropa untuk mengawal kekuasaan gereja kerana dilihat sekian lama menyekat kebangkitan ilmu ilmiah dibenua Eropa, dimana seterusnya timbulnya gejala sekular yang memisahkan antara agama dengan duniawi. Pergeseran ini adalah seperti contohnya, Galileo dipenjara hanya kerana pendapatnya bahawa bukan matahari yang mengelilingi bumi tetapi sebaliknya, bumi yang mengelilingi matahari dan ini bercanggah dengah pegangan pihak gereja agama Kristus. Sebegitu juga pergeseran umur dunia yang dikatakan hanya berumur lebih kurang 10,000 tahun mengikut pendapat pihak gereja, sedangkan penemuan ilmiah menyatakan bahawa dunia ini telah berusia lebih dari 6 billion tahun atau mahupun menjangkau sehingga 18 billion tahun.

Sebaliknya, sekiranya diteliti dengan mendalam, dalam dunia Islam, pergeseran antara ilmu wahyu dan ilmu ilmiah tidaklah begitu ketara kecuali pada sesuatu topik atau tema tertentu yang amat bercanggah seperti contohnya pendapat pengikut fahaman evolusi yang amat bercanggah dengan ilmu wahyu yang menyatakan bahawa insan adalah dari keturunan Adam dan Hawa.

Contoh akan tiadanya pergeseran antara ilmu wahyu dan ilmu ilmiah didalam dunia Islam adalah seperti usia sebenar dunia ini, dimana tidaklah terdapat didalam Al Quran mahupun didalam hadis akan keterangan untuk itu. Sebaliknya apa yang digambarkan atau diibaratkan adalah akan bagaimana kekuasaan Allah dalam ruang dan masa alam jagad raya ini. Sebagaimana dinyatakan dalam ayat ke-4, surah Al-Maarij akan sehari itu adalah bersamaan dengan lima puluh ribu tahun kiraan insan didunia ini:

تَعۡرُجُ ٱلۡمَلَـٰٓٮِٕڪَةُ وَٱلرُّوحُ إِلَيۡهِ فِى يَوۡمٍ۬ كَانَ مِقۡدَارُهُ ۥ خَمۡسِينَ أَلۡفَ سَنَةٍ۬

Para malaikat dan Jibril menghadap Tuhan, dalam sehari, bersamaan dengan lima puluh ribu tahun.” (70:4)

Sebegitu juga dengan kejadian asal akan seluruh alam jagat raya ini sebagaimana dalam ayat ke-30, surah Al-Anbiya serta ayat ke-11, surah Fussilat, terdapat ayat menerangkan bagaimana kejadian asal alam jagad raya ini serta bahan asalnya dijadikan oleh Allah:

أَوَلَمۡ يَرَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوٓاْ أَنَّ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضَ ڪَانَتَا رَتۡقً۬ا فَفَتَقۡنَـٰهُمَا‌ۖ وَجَعَلۡنَا مِنَ ٱلۡمَآءِ كُلَّ شَىۡءٍ حَىٍّ‌ۖ أَفَلَا يُؤۡمِنُونَ 

Dan apakah orang-orang yang kafir tidak mengetahui bahwasanya langit dan bumi itu keduanya dahulu adalah suatu yang padu, kemudian Kami pisahkan antara keduanya. Dan dari air Kami jadikan segala sesuatu yang hidup. Maka mengapakah mereka tiada juga beriman? (21:30)

ثُمَّ ٱسۡتَوَىٰٓ إِلَى ٱلسَّمَآءِ وَهِىَ دُخَانٌ۬ فَقَالَ لَهَا وَلِلۡأَرۡضِ ٱئۡتِيَا طَوۡعًا أَوۡ كَرۡهً۬ا قَالَتَآ أَتَيۡنَا طَآٮِٕعِينَ

Kemudian Dia menunjukkan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit sedang langit itu masih berupa asap; lalu Dia berfirman kepadanya dan kepada bumi: Turutlah kamu berdua akan perintahKu, samada dengan sukarela atau dengan paksa! Keduanya menjawab: Kami berdua sedia menurut patuh dengan sukarela; (41:11)

Kenyataan dari ilmu wahyu ini malah sekiranya diselidik oleh pakar-pakar ilmu ilmiah akan mengkaguminya sebagaimana Professor Alfred Kroner sendiri berkata, "Bila memikirkan dari mana Muhamad datang....saya menyangka ianya amat mustahil untuk beliau (Nabi Muhamad) mengetahui segala asal usul alam jagad raya ini, kerana saintis mengetahuinya hanya tempoh beberapa tahun yang lepas dengan segala peralatannya yang canggih serta teknologi terkini".  Lalu katanya lagi, "Seseorang yang tidak tahu berkenaan nuklear fizik 1400 tahun dahulu, saya rasa bukanlah dalam keadaan yang kenyataannya itu adalah dari dirinya sendiri (tetapi dari wahyu), contohnya kenyataan akan bumi dan langit itu berasal dari sumber yang sama".



Bersambung...

- Dalam pada itu, perlu ditegaskan disini bahawa Al-Quran bukanlah kitab sains, tetapi kitab buat petunjuk buat sekelian insan. Ianya adalah kebenaran buat petunjuk akan kebesaran Allah menjadikan segalanya dan kenyataan bahawa segala asbab termasuk apa sahaja sebab dan akibat dialam ini adalah dibawah kekuasaan Allah semata-mata.


Monday, May 23, 2011

Sebab dan akibat - 12

Bagaimanakah emosi insan mampu memainkan peranan utama dalam mempengaruhi sebab dan akibat dialam ini? Apakah kelebihan yang dimiliki oleh insan sehingga mampu mempengaruhi sebab dan akibat berbanding dengan kehidupan lain dialam ini?

Suatu yang pasti, semua ciptaan Pencipta alam adalah sempurna. Pencipta alam telah mencipta segalanya dengan kadar keupayaan masing-masing dan setiap darinya sempurna dalam kejadian bentuk masing-masing. Hatta ular yang tidak berkaki dan bertangan, dijadikan sebegitu sempurna dalam ruang dan masa kehidupannya, dimana contohnya tiadalah ular tersebut mengalami tekanan jiwa atau masaalah-masaalah lain yang dihadapi oleh insan, tetapi dalam keadaan kehidupan tersendirinya yang selesa. Mungkin yang digusarkan hanyalah bagaimana mendapat makanan atau bagaimana melindungi diri dari mara-bahaya, sebagaimana kehidupan-kehidupan yang lain.

Kelebihan insan keatas kehidupan lain dialam ini hanyalah kerana dijadikan dengan kelebihan akan dirinya memiliki akal dan dari situ, berkemampuan melakukan pilihan namun setiap dari tindak-tanduknya akan dipersoalkan, berbeza dengan haiwanat yang mana haiwanat tidaklah boleh dipersalahkan lantaran tindak-tanduk fitrah mereka. Disamping tubuh badan insan dijadikan dalam bentuk yang begitu pratikal untuk segala aktiviti buat dirinya untuk berkemampuan beraksi sebagaimana kejadian akal yang dimiliki dimana ini memberi kelebihan untuk insan mengolah alam ini. Diberikan kelebihan dan diberikan juga tanggung-jawap atas kelebihan tersebut.

Kejadian insan jelas bukanlah dari sudut evolusi kerana memang sesejak asal kejadian insan adalah sebagaimana keadaan diri generasinya kini. Mungkin disesuatu masa adanya generasinya bertubuh lebih tegap dan besar atau sebaliknya mahupun berumur panjang atau pendek, namun itu bukanlah dari proses evolusi sebagaimana yang didakwakan oleh pengikut fahaman evolusi. Apatah bila memperkatakan tentang kejiwaan seperti emosi dan lain-lain, dimana kalau mengikut tertib evolusi, tentulah hal-hal kejiwaan insan juga kini semakin jauh lebih baik dari insan-insan terdahulu namun nyata tiada langsung bukti akan hal tersebut, malah kerap didapati, insan-insan terdahulu lebih mulia dan sihat dari sudut kejiwaan mereka dibandingkan dengan generasi terkini yang begitu ramai mengalami tekanan jiwa yang teruk mahupun melakukan tindak-tanduk yang jauh lebih barbarian dari generasi terdahulu.

Emosi bukanlah terdiri dari materi atau jirim tetapi berkaitan dengan apa yang dirasa seperti haba atau bunyi-bunyian yang juga bukan terdiri dari materi dialam ini biarpun semuanya itu memerlukan ruang dan masa dalam alam ini. Emosi adalah reaksi diri yang lahir dari apa yang dialami oleh perasaan diri berlatar-belakangkan segala data tentang kehidupan ini yang disemadikan dalam diri sesejak kelahirannya seperti dari fitrah diri, genetik yang diwarisi dari orang tuanya, budaya cara hidup yang dilalui, pegangan yang dianuti, persekitaran hidup yang ditempuh dan seterusnya.

Emosi adalah dimiliki oleh setiap kehidupan dialam ini seperti haiwanat, jin mahupun insan, dimana emosi adalah aktiviti dalam jiwa yang samada ditampilkan keluaran diri atau zahir, mahupun dipendamkan dalam diri sebegitu sahaja. (Malah tumbuh-tumbuhan serta kejadian lainnya juga memiliki emosi dalam bentuk minimum sebagaimana contohnya dikatakan langit dan gunung-ganang mahu sahaja memusnahkan insan lantaran kederhakaan insan kepada Allah. Atau segala dialam ini bertasbih, berzikir memuji akan kebesaran Allah, hanya insan dan jin yang tidak mendengarnya)

Emosi, suatu perasaan dalam yang digolahkan oleh panca-indera seseorang terhadap segala dipersekitarannya, menampilkan terjemahan diri terhadap sesuatu kejadian, melalui sumber didalam diri seperti melalui perspektif mahupun persepsi yang terbina dari masa kesemasa dan samada fitrahnya sebegitu atau dicorakkan oleh persekitaran akan apa yang tersemadi didalam rangka perasaannya. Emosi menjelmakan reaksi buat seseorang dan berbentuk positif, negatif atau neutral. Positif seperti contohnya rasa riang, suka, segan dan lain-lain, contoh negatif adalah seperti tekanan jiwa, kemarahan, cemburu buta, dengki dan lain-lain manakala contoh neutral adalah seperti sikap bersahaja, selamba dan lain-lain.

Jadi diatas keupayaan insan berakal yang membuatnya berbeza dengan haiwanat biarpun masing-masing memiliki emosi, meletakkan insan dalam keadaan yang beremosi dan berakal, mampu berperanan mempengaruhi sebab dan akibat dialam ini seperti mengolah, mengatur, merubah dan seterusnya hatta kepada yang mengundang musibah buat alam ini seperti peperangan yang menghancurkan segalanya, percemaran alam semesta, kehancuran kehidupan lain dialam ini kerana ujian-ujian senjata-senjata pemusnah besar-besaran, permusuhan demi permusuhan, penindasan dan seterusnya.

Tindakan insan yang bersabit dengan emosi berunsur kebenaran mampu membuat diri insan menggunakan akalnya ketahap kecerdikan yang sebenar, sedang sebaliknya dengan emosi berunsur kebatilan, membuat insan bukan sahaja menolak kelebihan akal yang dimiliki untuk meraih kebenaran, malah mampu mempengaruhi sebab dan akibat dialam ini untuk kearah kemusibahan atau keburukan mahupun kepada kehancuran total (Sebagaimana jelas tercatit akan peristiwa kaum-kaum terdahulu yang dihancurkan secara total oleh Pencipta alam kerana keingkaran mereka kepada kebenaran lantaran dibalut emosi kebatilan, sedangkan telah diutuskan Nabi untuk menunjuk jalan kearah kebenaran kepada mereka).


Bersambung...

Saturday, May 21, 2011

Sebab dan akibat - 11

Tertakluknya sebab dan akibat pada ruang dan masa adalah dibawah kaitan darinya dengan materi atau jirim dialam ini. Materi iaitu segala yang wujud dialam ini dalam bentuk pepejal, cecair, gas dan plasma, dimana ia mempunyai jisim, memerlukan ruang dan mengandungi zarah-zarah terdiri dari atom atau molekul. Kewujudannya adalah dalam bentuk sesuatu yang begitu amat halus sehinggalah kepada sesuatu yang amat besar seperti matahari.

Lazimnya, apa yang dikatakan materi atau jirim dialam ini juga boleh berubah dari suatu keadaan fizik kesuatu keadaan fizik yang lain melalui beberapa proses seperti contohnya pembakaran atau pemanasan yang menyebabkannya mendidih, melebur, tersejat dan lain-lain. Serta juga proses pembekuan atau pemeluwapan iaitu proses perubahan materi daripada gas kepada cecair seperti misalnya embun yang asalnya adalah wap air diudara yang berubah menjadi air embun dipagi hari lantaran penyejukan yang berlaku diudara.

Contoh materi dialam ini adalah terdiri dari air, udara, batu, besi, kayu, tumbuh-tumbuhan dan seterusnya kepada segala yang wujud sehingga juga termasuk bumi mahupun segala yang ada dialam jagat-raya ini. Lazimnya materi dalam bentuk pepejal mempunyai lahiriah yang kental seperti contohnya batu atau kayu, materi yang berbentuk cecair mempunyai lahiriah yang lembut serta berubah bentuk mengikut acuan persekitaranya seperti contohnya air dan manakala materi yang berbentuk gas adalah mempunyai lahiriah ringan yang sampaikan tidak kelihatan bentuknya seperti udara dan wap. Sedang contoh plasma adalah seperti kilat, nyalaan api mahupun matahari (saintis kini cuba mengkaji plasma dalam percubaan untuk mencipta tenaga nuklear fussion yang berskala reaktor).

Berbalik pada kaitan sebab dan akibat dengan materi atau jirim, dari kaitan ini, maka terjadinya segala kesan-kesan dialam ini dalam bentuk lahiriah atau apa yang dikatakan dunia nyata. Ia adalah punca yang mempengaruhi seterusnya akan segala aktiviti-aktiviti dalam kewujudan alam ini, samada untuk kehidupan insan atau haiwanat mahupun untuk keseluruhan alam ini seperti aktiviti-aktiviti yang mempengaruhi cuaca dan lain-lain.

Sebagaimana sebab yang dilihat membawa akibat yang bermanfaat seperti sistem ekologi yang mendatangkan hujan serta kestabilan cuaca, tumbuh-tumbuhan yang membekalkan oksigen, lapisan-lapisan gas yang mengurangkan bahana haba matahari dari sampai kemuka bumi dan seterusnya. Hatta dalam kehidupan seharian insan, dirinya memerlukan hampir semua sebab dan akibatnya berkaitan dengan materi dialam ini seperti udara yang dihirup, air yang diminum, kenderaan dari bahan keluli, bahan-bakar yang digunakan saban hari, tumbuhan yang menghasilkan bahan makanan dan seterusnya.

Sebab adanya udara yang segar membawa insan dapat bernafas sedangkan sebab udara yang tercemar mengakibatkan kemudaratan besar pada insan, sebab dari bahan-bahan yang mati seperti tumbuhan yang mati maka adanya bahan-api seperti kewujudan minyak dari dalam bumi yang berasal dari kehidupan yang mati sedang tanpa bahan-bahan api ini, insan akan mengalami kesukaran tambahan dalam dunia modern ini dimana hampir keseluruhan pengangkutan samada didarat mahupun diudara memerlukan bahan-bahan api ini.

Sebegitu juga, sebab yang dilihat membawa akibat musibah dimuka bumi seperti aktiviti-aktiviti gunung berapi, gempar bumi, ribut taufan dan lain-lain sehinggalah yang datang dari luar bumi seperti komet atau solar tsunami yang berkemampuan mematikan segala sistem elektronik dimuka bumi ini dan lain-lain yang semuanya berkaitan dengan materi dialam ini. Disamping itu, sebahagian besar musibah yang berlaku adalah lantaran insan hari ini telah cuba mengexplotasikan secara maksimum segala bahan-bahan api mahupun segala yang ada alam ini secara keterlaluan terutama diatas permintaan kehidupan dalam kegilaan insan mengejar dunia kebendaan.

Materialisme adalah fahaman bahawa dunia materi ini adalah suatu yang mutlak kewujudannya lantas kehidupan sehariannya adalah semata-mata amat bergantung pada materi. Fahaman materialisme ini bukan sahaja dianut oleh mereka-mereka yang tidak mempercayai akan kewujudan Pencipta alam, tetapi juga kalangan ramai yang mempercayai kewujudan Pencipta alam namun lemah keyakinannya diatas kekuasaan sebenar Pencipta alam yang mencipta dan menguasai segala materi yang wujud serta juga yang menguasai sebenar-benarnya akan segala sebab dan akibat.

Dalam pada itu juga, suatu hal yang lazimnya dilupai oleh insan, adalah peranan emosi insan yang berupaya mempengaruhinya sebab dan akibat dalam kaitannya dengan materi, iaitu samada untuk membawa kearah kebaikan atau keburukan. Emosi insan adalah salah satu tunjak buat kecerdikannya serta seterusnya kepada penggunaan akalnya untuk kebaikan atau juga sebaliknya iaitu sebagai tunjak buat kejahilannya serta seterusnya kepada perilaku yang membawa kearah kebinasaan.

Ini kerana, Pencipta alam telah menjadikan insan dengan kemampuan-kemampuan yang dianugerahkan kepada insan untuk mengolah alam ini serta diberi pilihan untuk memilih jalan kearah kebaikan atau sebaliknya, namun kerana kenaifan serta hanya mengikut hawa-nafsu semata-mata, insan lazimnya memilih kearah jalan yang membawa kebinasaan dan kemusnahan buat alam semesta mahupun buat dirinya.


Bersambung...




Thursday, May 19, 2011

Sebab dan akibat - 10

Segala sebab dan akibat dalam alam ini, nyatanya termaktub dalam kerangka ruang dan masa sebagaimana keseluruhan alam jagat raya termasuk segala kehidupan dan kewujudan dialam ini adalah dalam kerangka ruang dan masa. Namun apakah makna akan ruang dan masa itu sendiri?

Sebenarnya pengertian buat ruang dan masa tentang keseluruhan jagat-raya ini, dalam konteks yang belum berkemampuan untuk insan memiliki pengetahuan tentangnya. Apa yang difahami atau diketahui oleh insan tentang ruang dan masa melalui apa yang mampu dicapai seperti melalui pemerhatiannya, pengajian, pengiraan dan seterusnya, hanyalah tertakluk dalam ruang dan waktu yang terjadi dibumi yang dipenghunikan.

Contohnya, bila dikatakan waktu yang dipergunakan untuk kiraan, adalah pada batasan waktu yang ada dibumi ini sedangkan waktu tersebut sebenarnya tidak relevan untuk planet lain. 24 jam adalah kiraan putaran bumi dipaksinya dalam orbitnya untuk mengelilingi matahari, namun terdapat planet lain yang waktunya hanya 10 jam sehari atau ada yang waktunya melebihi 48 jam sehari berpandukan pada jarak, kelajuan putaran dipaksinya serta pergerakan diorbitnya untuk mengelilingi matahari.

Kerana itu, tidak mustahil terdapat planet lain digalaksi lain yang peredaran waktu yang dikatakan masa sehari baginya iaitu bersamaan satu malam dan siang, adalah berupa 100 tahun bagi masa dibumi kerana keadaan galaksi dan planet tersebut jauh lebih besar serta putaran dipaksinya adalah berbeza, membuatkan waktu yang diambil untuk mencapai masa sehari bersama malam dan siangnya adalah jauh lebih lama. Atau sebaliknya, tidak mustahil terdapat planet lain yang waktu dikatakan sehari bersama siang dan malamnya hanyalah 4 jam lantaran pusingan dipaksinya yang pantas serta orbit putaran untuknya mengelilingi mataharinya juga adalah singkat.

Mungkin contoh-contoh tersebut kelihatan ganjil kerana keterbiasaan insan akan ruang dan waktu dibumi ini, namun hakikatnya inilah kenyataannya bahawa insan dengan segala sebab dan akibatnya adalah dalam lingkungan ruang dan waktu yang dipenghunikan. Dari sebab terjadinya siang dan malam yang mengakibatkan kiraan detik-detik saat yang kian berlalu hinggalah keruang tempat atau keadaan berlakunya sesuatu sebab dan akibat tersebut yang semuanya adalah asas buat kesan pada segala pergerakan aktiviti kehidupan mahupun kewujudan segalanya didunia ini.

Lantaran itu juga, amatlah mustahil untuk insan kembali kewaktu yang lepas (time travel) kerana dunia ini darul asbab dan segala sebab dan akibat adalah bersabit dengan ruang dan waktunya. Fantasi yang menyatakan akan insan mampu kembali kewaktu silam adalah jauh dari kebenaran kerana itu menghancurkan makna kewujudan segala kausaliti, iaitu hubungan sebab dan akibat yang bersabit dengan ruang dan masa dalam kehidupan didunia ini. Malah kehidupan itu sendiri menjadi tiada nilai tanpa kestabilan ruang dan masa, kerana kestabilan ruang dan masalah yang memberi nilai akan kewujudan sesuatu kehidupan tersebut.

Hatta sesuatu yang jauh dari apa yang dikatakan logik dalam hayat insan wajar berlaku seperti contohnya seorang anak muda kembali kezaman silam dengan "time travel machine", lalu semasa dia berada dizaman tersebut, bertemu dia dengan seorang gadis dan jatuh cinta pada gadis tersebut yang muda beberapa tahun darinya, sedangkan gadis tersebut sebenarnya adalah neneknya yang tidak diketahui. Kemudian lantaran cintanya, maka sipemuda tersebut bernikah dengan gadis tersebut, jadi apakah status anak mereka? Apakah mungkin anak tersebut juga kemudian bila telah dewasa melakukan time travel dan seterusnya berlaku pengulangan segala episod-episod dusta ini? Ini semua adalah dongengan semata-mata sebagaimana dongengnya memperkatakan segala roh akan mengalami kelahiran kembali dalam berbagai-bagai bentuk jasad kehidupan didunia ini, dimana mengakibatkan berlakunya kisah roh tersebut yang berada dalam jasad yang lain bernikah dengan salah seorang cucu ataupun moyangnya.

Sebab dan akibat tidak dapat dipisahkan dengan ruang dan waktu selama adanya hayat insan mahupun selama adanya kewujudan dunia ini. Ruang dan waktu merupakan rel-rel atau jalan buat segala sebab dan akibat bergerak, sebagaimana perumpamaan lokomotiv keretapi yang menarik gerabak-gerabaknya memerlukan rel-relnya untuk bergerak dengan kelajuan 1670km sejam untuk mencapai distinasinya dalam tempoh 24jam, dimana tanpa rel-relnya, maka tidak mampu keretapi tersebut bergerak atau sekiranya rel-relnya berlaku kerosakan seperti terputus dan sebagainya, maka terbabaslah keretapi tersebut.


Bersambung...


  • Ruang dan masa didunia dialam fana ini hanyalah seperti sekelip mata dibandingkan dengan dunia akhirat dan segala sebab dan akibat dialam akhirat adalah tidak dapat digambarkan dengan sebenarnya, hanya melalui perumpaman-perumpaman yang mampu dicapai oleh akal insan seperti contohnya, insan yang terakhir memasuki syurga akan mendapat sepuluh kali ganda dari dunia ini.
  • Lantaran itu, wajar setiap muslim menyakini akan ruang dan masa bersama segala sebab dan akibat yang bersabit dengannya dialam fana ini hanyalah berupa ujian untuk insan, sedangkan alam akhiratlah berupa kehidupan yang sebenar-benarnya.


Monday, May 16, 2011

Sebab dan akibat - 9

Pertanyaan mengapa, kenapa atau bagaimana adalah sesuatu yang mengungkitkan kewujudan sebab dan akibat akan sesuatu tersebut. Saban hari, pertanyaan-pertanyaan sebegini adalah suatu yang lumrah dalam mana juga ia amat berkaitan dengan kausaliti iaitu hubungan antara sebab dan akibat dengan jawapan yang diperlukan untuk pertanyaan-pertanyaan tersebut adalah jawapan yang dikira dalam bentuk rasional.

Sedang rasional adalah suatu proses menghasilkan pengetahuan dengan berfikir dimana kaedah-kaedah logik adalah sebagai alatan utamanya. Seperti contohnya pertanyaan akan mengapa sesuatu tumbuhan tersebut hanya berbuah setahun sekali dan kenapa hanya disekian-sekian musim serta seterusnya, bagaimanakah cara untuk menjadikan tumbuhan tersebut berbuah lebih dari sekali dalam setahun.

Maka secara rasional dikatakan kerana selepas kedatangan musim hujan dihujung tahun memainkan peranan sebab tumbuh-tumbuhan tersebut berbuah dengan kaedah logik melalui perkiraan bulan kedatangan musim hujan serta bulan dimana tumbuhan tersebut mula berbuah. Dari situ seterusnya difikirkan jalan bagaimana untuk menjadikan tumbuhan tersebut berbuah lebih dari sekali dalam tempoh setahun seperti menyediakan suasana seakan selepas musim hujan iaitu dengan membina aliran air yang sempurna serta tanah yang dibaja atau dilakukan kacukan dengan tumbuhan lain (pokok kahwin).

Contoh diatas adalah bagaimana proses pengalian keatas apa yang dikatakan sebab dan akibat akan sesuatu tersebut dan bagaimana mengenali sesuatu hal tersebut lalu dapat dikait-gunakan dalam kehidupan insan melalui cara rasional dan kenyataannya, insan sehingga kehari ini, sentiasa cuba untuk memahami, mengaji serta memanfaatkan segala faktor-faktor sebab dan akibat dialam ini.

Penguasaan keatas faktor-faktor sebab dan akibat ini seterusnya wajar sahaja membuat sesuatu bangsa tersebut jauh maju kedepan, sebagaimana bangsa-bangsa diEropa yang cuba menguasai kefahaman keatas setiap sebab dan akibat dialam ini bukan sahaja sesuatu yang berbentuk materi tetapi sesuatu yang mendalam seperti dari sudut falsafah akan sesuatu tersebut dan seterusnya sehingga keperingkat pratikal atau kepada penghasilan kewujudan materi yang dihajati buat dimanfaatkan atau diexploitasikan pengunaannya.

Mungkin sesuatu sebab tersebut belum dapat diterima dikalangan ramai lantaran tidak memahami atau belum mempunyai pengetahuan tentangnya seperti contohnya akan kewujudan atom-atom yang diperkatakan sesejak zaman kuno India, Yunani mahupun didalam Islam sebagaimana yang dikatakan oleh Imam Asyari (874 - 936), dan kemudiannya, Ludwig Boltzman (Austria, 1844 - 1906) juga memperkatakan akan adanya kewujudan atom tetapi ideanya ini ditolak kerana kekurangan bukti-bukti. Atas tekanan jiwa, akhirnya Ludwig Boltzman mengambil keputusan membunuh diri.

Namun idea Bolztman ini sebenarnya adalah suatu yang benar, dimana setahun sebelum Boltzman membunuh diri, Albert Einstein (1879 - 1955) telah mengeluarkan kertasnya akan kewujudan atom yang mana telah mengubah perspektif dunia tentang kewujudan atom serta semua dialam ini adalah berasas dari atom, serta juga merubah dunia kepada pengenalan suatu tenaga hebat luar-biasa atom yang membantu dapat kehidupan insan, mahupun juga sebagai pemusnah besar-besaran buat kehidupan insan.

Penemuan atom Albert Einstein ini adalah sebenarnya bermula bukan dari kertas-kertas kiraan dan sebagainya tetapi dari pada debunga-debunga bunga yang diletakkan diatas air, yang mana jika dilihat kedalamnya, didapati akan kelompok-kelompok hitam halus dari debunga bunga ini bergerak-gerak dengan aktive dan sebab yang mengerakkannya adalah atom-atom. Sedang sebenarnya Robert Brown (Scottish) 80 tahun sebelum Albert Einstein, telah menemui fakta akan bagaimana debunga-debunga halus ini bergerak-gerak secara aktive dan beliau telah menyatakan akan adanya atom-atom yang mengerakkannya, namun beliau kekurangan alat-alatan untuk membuktikannya.

Sebab dan akibat dari penemuan atom-atom ini kemudiannya menjadi simbul kekuasaan atau kemajuan bagi sesebuah negara yang memiliki pengetahuan untuk menghasilkan tenaga atom mahupun senjata atom. Malah mereka yang memiliki tenaga atom ini suatu waktu dahulu berupaya mencorak atau memberi kesan pada suasana politik dunia, dimana juga menjadi model untuk ditiru oleh pihak-pihak lain seterusnya.

Sedang dalam bertindak sebagai pihak yang terdepan diatas penguasaan buat sebab dan akibat dari atom-atom ini, semua pihak-pihak terbabit wajar sahaja mengakui bahawa sebab dan akibat yang diketahui atau dikuasai bukanlah sebenar-benarnya dimiliki dalam bentuk yang menjamin akan ianya benar-benar sesuatu mutlak manfaatnya kerana adanya besar risiko-risiko dari akibat-akibat buruk diluar jangkaan yang boleh sahaja berlaku bila-bila masa sahaja, seperti kebocoran reaktor yang menyebabkan radioaktive tersebar seperti kes-kes diChernobyl atau diFukushima, serta juga sisa-sisa bahan radioaktive yang tidak dapat dilupuskan dimana ini merupakan sesuatu yang amat merbahaya buat kehidupan insan.

Ini kerana, insan sebenarnya tidak pernah menguasai sepenuhnya akan sesuatu sebab dan akibat tersebut seperti contohnya, seseorang yang memiliki kereta laju yang tercanggih dengan segala peralatan keselamatan, namun terlibat juga dalam kemalangan dalam keadaan yang tidak disangka-sangka seperti jambatan yang dilalui tiba-tiba sahaja roboh menyebabkan kereta tersebut terjunam kedalam sungai yang dalam lagi deras airnya.

Biar begitu rasional dengan kaedah berfikir secara logik, biar telah didalami akan pemahaman terhadap sesuatu sebab dan akibat dan telah dapat dimanfaatkan secara maksimum, namun insan sebenarnya tidak pernah memiliki secara mutlak apa sahaja sebab dan akibat dialam ini. Ini kerana, yang memiliki secara mutlak keseluruhannya adalah Pencipta alam semata-mata dan Pencipta alam boleh menukar sesuatu yang disangka memberi manfaat kepada kemudaratan, sebegitu juga sesuatu yang disangka memberi kemudaratan, boleh memberi manfaat.


Bersambung...





Saturday, May 14, 2011

Sebab dan akibat - 8

Kehidupan insan terikat pada sebab dan akibat kerana fitrahnya dijadikan antara fitrah haiwanat dan malaikat, dimana haiwanat adalah bernafsu tanpa akal manakala malaikat adalah suatu kehidupan yang tidak bernafsu tetapi berakal. Sekiranya insan hanya mengutamakan akalnya tanpa mengikut pedoman atau petunjuk dari penciptanya, maka nafsunya akan mengaburkan pandangan insan akan kebenaran. Sedang tanpa menggunakan akalnya, menyebabkan insan bertindak hanya mengikut nafsu atau emosinya semata-mata yang mana wajar meletakkan darjatnya ketaraf yang hina.

Tamadun-tamadun yang lepas jelas menunjukkan bangsa yang membangun tanpa memberi peluang untuk proses akal membangun adalah lebih cenderung menjadi bangsa yang barbarian, penakluk yang ganas dan kejam serta bersistemkan sistem primitif manakala bangsa yang membangun dengan akal diberi peluang mengambil tempat, lebih cenderung menjadi bangsa yang lebih matang sifatnya atau cuba memperbaiki keadaan yang wujud untuk menjadi lebih baik dengan sistem kehidupan yang lebih teratur.

Ini jelas sedari tamadun kuno India, China, Yunani dan lain-lain termasuk juga dalam tamadun sejarah Islam. Pada permulaan zaman keemasan Islam berkembang, keutamaan akan pentingnya penggunaan akal diberi tumpuan, dimana rata-rata rakyatnya dari segala peringkat diberi kemudahan untuk itu. Contohnya, setiap lapisan rakyat mahupun pemerintah diberi keutamaan untuk dapat membaca, sebagaimana penekanan dalam agama Islam itu sendiri akan kepentingan ilmu buat setiap insan samada lelaki atau wanita. Ini seterusnya membantu membina tamadun yang menuju kearah yang kecermerlangan disamping menjadi pusat penerokaan ilmu. Dalam mana kemudiannya juga, insan dari segenap pelusuk datang kesitu tanpa masaalah untuk menimba pengetahuan.

Namun dari itu, kesan penekanan semata-mata kepada penggunaan akal tanpa mengimbangkan pada keutamaan wahyu atau amalan yang diperintahkan oleh Allah menyebabkan sesuatu yang negatif seperti kemunculan golongan Mutazilah yang menumpukan semata-mata keatas keutamaan akal, membawa kearah kesongsangan fikiran.

Sedang kemudiannya, Abu al-Hasan al-Ashari atau Imam Ashari (260H/874M - 324H/936M) yang bukan sahaja telah berjaya membenteras gejala Mutazilah, tetapi lebih dari itu, beliau juga telah membuat batu tanda buat batas untuk insan berfikir. Dan seterusnya dari situ, maka zaman keemasan Islam terus melonjak dalam suasana yang terkawal pemikirannya, dimana juga adalah merupakan asas pada dunia modern yang dikenali hari ini. Imam Ashari yang lahir dalam abad ketiga selepas hijrah adalah dari keturunan Abu Musa Asyaari, iaitu salah seorang sahaba Nabi Muhamad, dan Abu Musa Asyaari adalah juga merupakan sahaba yang membuat perantaraan perdamaian dalam pergeseran antara Muawiyah dan Syaidina Ali.

Jasa Imam Ashari ini amatlah besar, kerana pencerahan yang dilakukannya buat pedoman buat umat Islam mahupun yang lain, terutama dalam mengimbangi kekuatan akal dan dengan memahami akan kewujudan serta keagungan Pencipta alam. Dan sebagaimana zaman keemasan dunia Islam sewaktu dahulu yang telah berkembang jauh maju, dalam mana juga umat Islam tetap terpelihara aqidah mereka lantaran landasan yang ditampilkan oleh Imam Ashari, sebegitulah sehingga kehari ini, sekiranya umat Islam hendak terus meneroka dan mendalam akan pemaknaan segala yang ada dialam ini dengan pengunaan akalnya, wajarnya mereka mengikut tanda batu batas yang ditunjukkan oleh Imam Ashari agar terlindung akan aqidah mereka.

Imam Ashari bukanlah membawa pembaharuan didalam agama Islam tetapi melakukan penerangan serta penafsiran yang jelas mengikut kaedah asas yang sebenar agar tiada umat Islam yang terkeliru. Seperti bila memperkatakan akan zat Allah, melalui kata-kata atau kalam atau juga pemaknaan dari pengertian seseorang, maka tanpa petunjuk atau penerang dari ulama-ulama terdahulu seperti Imam Ashari (Asyariyyah) atau Imam Abu Mansur (Maturidi), wajar sahaja seseorang tersebut melakukan kesilapan dalam pemaknaan buat pengertian. Contoh bila adanya ayat akan Allah berada diatas Arsy (kerusi Arsy) bukanlah boleh dibayangkan melalui akal seperti akan bentuk zahir dan sebagainya tetapi ayat ini membawa maksud semata-mata tentang kebesaran Allah meliputi segalanya. (Ini kerana terdapatnya ayat-ayat muhkam iaitu jelas akan maknanya serta ayat mutasyabih iaitu samar-samar akan maknanya)

Ini adalah teramat penting untuk pertama-tamanya memahami akan keagungan dan kebesaran Allah dan memahami apa batas kemampuan akal insan, contohnya diwaktu bila penyelidikan atau pemahaman yang mendalam dilakukan keatas kausaliti iaitu berhubung dengan sebab dan akibat tentang segala yang diketahui atau diterokai dialam ini, sebagai seorang Islam, wajar menyakini akan kesan sebenar disebalik sebab dan akibat adalah dibawah kekuasaan Allah semata-mata, dimana juga seterusnya bagaimana Allah yang memberi kesan untuk segala sebab dan akibat bukanlah boleh dibayangkan oleh akal insan kerana akal insan itu sendiri, sampai disuatu peringkat, amat terbatas keadaannya.

Insan boleh sahaja cuba menyelidik atau cuba memahami akan sesuatu yang berkaitan dengan sebab dan akibat dipersekitaran alam kerana dunia yang dipenghunikan dicipta dalam bentuk darul asbab, seperti contoh sekiranya seseorang tersebut mendapat sesuatu penyakit, wajarlah ia cuba mencari penawar atau ubat untuk penyakitnya kerana Nabi Muhamad telah bersabda yang lebih kurang maksudnya, bahawa semua penyakit mempunyai penawarnya kecuali mati. 

Namun yang utama ditegaskan oleh Nabi Muhamad adalah bahawa yang menjadikan kehidupan, penyakit, penawar mahupun kematian adalah semuanya dibawah kekuasaan Allah semata-mata dimana sekiranya Allah kehendaki, maka insan akan bertemu dengan penawar untuk penyakitnya sedangkan sekiranya Allah tidak mengkehendaki, biarpun seseorang tersebut telah bertemu penawarnya, tetap penyakitnya tidak sembuh-sembuh. Disinilah akal insan wajar diikat kepada keyakinan bahawa Allahlah yang sebenarnya berkuasa diatas segala sebab dan akibat.

Sedangkan sekiranya mengikut akal insan semata-mata iaitu akal insan bebas mengikut apa sahaja yang mahu difikirkan, tentu sahaja insan mahu mengunakan akalnya untuk berfikir tanpa batasan, tetapi dengan tanpa batasan bila insan menggunakan akalnya, maka terpesonglah pemikiran insan sebagaimana terpesongnya pemikiran pengikut fahaman evolusi yang mencari sebab asal kejadian insan lalu membuat kesimpulan adanya evolusi iaitu pengantungan semata-mata keatas hukum alam dalam sebab kejadian asal insan serta mahluk lain didunia ini.

Batasan dalam penggunaan akal ini juga adalah suatu jurang perbezaan antara agama Islam dengan segala selain darinya, dimana selain darinya selalu mengambarkan bagaimana rupa Pencipta alam melalui gambaran zahir yang cuba dicapai oleh akal mereka. Sedangkan untuk agama Islam, Pencipta alam iaitu Allah dengan segala yang diciptaNya adalah amat berbeza. Dimana segala apa sahaja dialam ini samada dibumi mahupun keseluruhan alam semesta serta apa sahaja termasuk ruang dan masa adalah dicipta oleh Allah, sedang Allah yang mencipta segalanya adalah maha agung dan maha suci dari menyerupai dari segala apa yang diciptaNya.

Zaman Keemasan Islam terus berkembang dibawah petunjuk oleh Imam Ashari buat sekian waktunya sehinggalah disuatu keadaan kemudiannya dimana pemikiran-pemikiran Islam kelihatan terlalu cenderung kepada falsafah Yunani kerana ruang yang diberi buat berfikir, namun gejala ini seterusnya diperbaiki oleh Imam Ghazali. Hanya selepas Imam Ghazali, Ibn Rusd yang mengkritik Imam Ghazali sebenarnya tanpa menyedari, beliau telah membuka kembali pintu fitnah buat kesalah-fahaman dalam pengunaan akal insan.


Bersambung...

Sebab dan akibat - 7

Pemerhatian dan seterusnya kepada pemahaman keatas sesuatu sebab dan akibat adalah berkaitan besar dengan akal kerana akallah yang menilai, melakukan analisa, menduga, memilih dan seterusnya membuat keputusan diatas sesuatu yang logik dan berfakta. Lantaran kemampuan akal insan inilah yang membezakan insan dengan kehidupan-kehidupan yang lain didunia ini, dimana ia merupakan faktor sebab dan akibat utama akan keadaan atau bagaimanakah kewujudan insan dalam ruang dan masanya didunia ini.

Dalam pada itu, bila insan meletakkan bahawa akalnya adalah semata-mata sebagai tempat tertinggi, maka sampai suatu peringkat, tidak akan difahaminya lagi akan hakikat sebenar kewujudannya. Seperti hari ini, lantaran insan telah mencapai berbagai-bagai sumber ilmu pengetahuan seperti dibidang sains, maka akibat dari itu, lahirlah tanggapan bahawa kehidupan ini, yakni segala sebab dan akibat hanyalah bersifat hukum alam atau bersifat sains dan matematik sebagaimana yang diketahui oleh akalnya, bukan sebagai kejadian yang Pencipta alam jadikan.

Contohnya mereka yang bertuhankan hukum alam iaitu pengikut fahaman evolusi, tidak dapat lagi memahami akan hakikat bahawa alam ini dijadikan oleh Penciptanya sebagai suatu tempat untuk berjuta-juta spesies sesejak dahulu lagi dalam keadaan yang begitu komplek dan unik. Ini kerana mereka melihat hanya dari sudut pengajian dan keangguhan ilmu yang dimiliki, bukan dari sudut keunikan dan keindahan alam itu sendiri.

Sedangkan kenyataannya betapa uniknya alam ini dengan berbagai-bagai kehidupan didalamnya adalah seperti berbagai-bagai spesies burung yang biarpun hampir keseluruhan species-species burung ini mempunyai bentuk atau kemampuan yang sama iaitu mampu terbang, bertelor, berparuh dan berbulu, namun masing-masing akan kekal dalam spesiesnya sehinggakan tiada pernah berlakunya perkahwinan campur antara spesies burung-burung ini.

Fenomena ini dapat dilihat disetiap kewujudan spesies-spesies lain dialam ini, iaitu samada yang masih wujud atau yang telah pupus. Ini kerana terdapatnya suatu kuasa yang maha tinggi yang telah mencipta berjuta-juta spesies-spesies didunia ini dan memprogramkan (menciptakan segalanya dengan ketetapan/qadar) alam ini sebegini, dimana juga ruang dan masa untuk setiap kehidupan tersebut telah ditetapkan. Sedangkan kalau mengikut pandangan evolusi yang menyatakan segala kehidupan adalah dari evolusi, tentunya perkahwinan campur adalah suatu yang lazim terjadi dikalangan kelompok yang sama evolusinya seperti contohnya dari dikalangan spesies burung-burung kerana semua spesies ini dikatakan oleh mereka, berasal dari gen atau asas sama yang tidak membezakan mereka.

Pengikut fahaman evolusi juga menyatakan fakta seleksi alam, yang mana dalam umur jutaan atau billion tahun kewujudan kehidupan dialam ini, maka terjadinya proses seleksi alam, iaitu dari masa kesemasa, hanya yang kuat atau yang terpilih akan terus hidup dan dari situ terbentuklah proses evolusi seterusnya, seperti sehingga kepada kewujudan bentuk insan hari ini. Namun jelas nyata, apa yang dikatakan fakta oleh pengikut evolusi ini hanyalah teori yang dicipta oleh mereka berlandaskan tulang-tulang atau tengkorak lama yang ditemui yang mana didapati tengkorak-tengkorak ini dalam berbagai bentuk dan disangka dapat dibayangkan bagaimana rupa serta cara kehidupan mahluk-mahluk yang wujud dari tengkorak tersebut.

Teori ini jelas janggal namun diakui begitu sempurna oleh pengikut fahaman evolusi. Ini pertamanya, pengikut fahaman evolusi adalah terlalu sempit ruang pemikiran mereka yang hanya berlandaskan pengetahuan yang dikatakan ilmu sains, mathematik dan sebagainya, kerana itu melihat alam ini dalam sudut yang sempit iaitu segala spesies adalah dari asas yang sama serta segala spesies didunia ini hanya dalam lingkungan yang sama. Sedangkan sekiranya seseorang tersebut bersifat tawaduk dengan melihat dan mengaji alam ini, akan mengagumi keunikan serta bagaimana kompleksnya dengan berjuta-juta kehidupan yang berbeza dari satu sama lain iaitu dari tumbuh-tumbuhan, haiwanat, insan serta juga seterusnya kepada jinnat.

Dimana juga akan menyedari akan hakikat yang sebenar bahawa yang menghidupkan dan mematikan segalanya serta yang menjadikan bagaimanakah segalanya terbentuk dalam ruang dan masa kewujudanya, adalah Allah semata-mata, bukan seleksi alam. Lihat sahaja fakta bagaimana burung pipit yang kecil dan dilihat tidak berdaya, mampu bertahan hidup dimana-mana sahaja hatta dinegara-negara yang suhunya dibawah minus bila kedatangan musim sejuk, sedangkan burung-burung yang bersaiz besar dan kuat darinya terpaksa terbang kedaerah berhawa panas seperti Afrika untuk menyelamatkan diri disamping melindungi generasinya dari mengalami kematian atau kepupusan sekiranya tetap tinggal dan menghadapi musim sejuk.

Agama Islam sebenarnya tidak menolak akan kelebihan akal yang dimiliki insan serta kemampuan sebab dan akibat dari akal ini, dimana tidak menolak akan ilmu pengetahuan yang digali oleh insan dari apa bidang pun seperti ilmu sains, ilmu alam, biologi, fizik, literature dan seterusnya, tetapi wajarlah berada dalam konteks bahawa segalanya diciptakan oleh Allah semata-mata dan wajar mengikut petunjuk melalui utusanNya, nabi Muhamad agar insan tidak memilih jalan yang salah atau menuju jalan yang salah yang akhirnya membinasakan dirinya sendiri.


Bersambung...



Sunday, May 08, 2011

Sebab dan akibat - 6


Dalam soal sebab dan akibat, terdapatnya pertembungan fikiran yang mampu memberi impak yang besar kepada insan serta generasi kemudian, yang mana pertembungan fikiran ini terjadi dari perbezaan kefahaman, pegangan, kepercayaan, pengalaman, pengetahuan dan seterusnya.

Contohnya pertembungan fikiran dalam sesuatu subjek penting berkaitan dengan aqidah atau kepercayaan adalah seperti perbezaan buat kefahaman sebab dan akibat akan asal kehidupan insan didunia ini dari kalangan yang mengikut pegangan evolusi iaitu para etheist atau pengikut Charles Darwin, reinkarnasi (reincarnation) iaitu penganut Hindu dan Buddist serta dengan perbezaan kreasionisme (creationis) iaitu buat penganut agama samawi seperti penganut agama Yahudi, penganut agama Kristian dan penganut agama Islam.

Pengikut evolusi mempercayai bahawa hukum alam adalah benar-benar suatu kepastian yang mutlak dan absolut tanpa ada kewujudan kuasa Pencipta alam, dimana mempercayai kehidupan yang ada adalah dari evolusi kehidupan terdahulu seperti contohnya dari ikan berubah kepada katak kemudian kera dan seterusnya menjadi insan, manakala pengikut reinkarnasi (reincarnation) mempercayai akan bila berlakunya kematian, roh seseorang tersebut akan dihidupkan kembali didunia ini dalam berbagai-bagai bentuk kehidupan jasad lain seperti sebagai haiwan atau tumbuhan dan lain-lain, sedang kreasionisme (creationis) iaitu buat penganut agama samawi, mempercayai bahawa segala kehidupan bermula dalam keadaan bentuknya yang ditentukan oleh Pencipta alam seperti insan adalah bermula dari Adam dan Hawa bukan melalui proses evolusi, dimana juga roh buat setiap kehidupan bermula bukan dari sebab reinkarnasi.

Masing-masing dari kalangan yang berbeza pendapat ini mengemukakan dalil-dalilnya yang mana jika dinilai dengan rasional dan mendalam serta dibawah pegangan kitab Taurat-Injil-Zabur dan Quran, kepercayaan pengikut evolusi yang hanya melihat dari sudut lahiriah wajar ditolak kerana jelas didapati bahawa setiap unsur kejadian dialam ini adalah terbentuk dari unsur-unsurnya tersendiri sebagaimana kompleks, teratur serta tersusun kemas kejadiannya. Seperti contohnya, bunga A akan membiakkan jenis bunga A biar pun beribu tahun melainkan adanya campur-tangan asing seperti insan yang melakukan cantuman antara bunga A dan B. Sebegitu juga dengan segala haiwanat mahupun insan yang masing-masing mempunyai sel-sel tersendiri yang berbeza antara satu sama lain serta membentuk jasad kejadian masing-masing yang begitu unik. Disamping itu juga, jelas kehidupan haiwanat dan insan bukan sahaja berbentuk lahiriah tetapi juga batiniah.

Mungkin pengikut evolusi cuba memberi dalil akan evolusi yang berlaku adalah mengambil tempoh jutaan tahun lalu kerana itu, insan hari ini tidak menyedari atau melihat akan proses evolusi ini, tetapi suatu pertanyaan yang dilupai oleh pengikut evolusi sedang pertanyaan ini adalah merupakan dalil mereka iaitu apakah pengikut evolusi ini telah hidup jutaan tahun atau berumur jutaan tahun untuk melihat atau mengalami pengalaman akan terjadinya evolusi ini sedangkan tiada satu bukti pun yang dapat ditunjukkan bahawa suatu bentuk makhluk berubah pada bentuk mahluk yang lain. Fosil-fosil dari tapak Sulaiman atau siput-siput laut tetap berbentuk yang sama sehingga kehari ini biarpun dikatakan telah jutaan tahun fosil-fosil tersebut.

Manakala pengikut reinkarnasi pula memberi dalil melalui spiritual atau batiniah bahawa kehidupan yang hadir seperti dari kelahiran bayi mahupun haiwanat yang lain serta termasuk tumbuh-tumbuhan adalah dari pusingan roh yang hidup seperti contohnya bila seseorang meninggal, rohnya akan dibangkitkan dalam bentuk jasad yang lain contohnya jasad kuda, babi, kera, cacing dan lain-lain bergantung atas perbuatannya dalam kehidupan yang lepas.

Mungkin dikatakan proses reinkarnasi dimana insan hidup kemudian mati dan kemudian kembali hidup dalam percubaan mencapai tahap insan yang tinggi kedudukannya (Nirvana) sebelum mengakhiri proses reinkarnasi ini, iaitu suatu evolusi roh untuk mencapai roh yang dikatakan sempurna. Namun apakah ini juga bermakna sekiranya telah berpuluh-puluh kurun dirinya melalui proses mati dan dihidupkan dalam bentuk lain lantaran belum mencapai kedudukan yang tinggi kerana sering melakukan kesalahan dalam hidupnya, bermakna dirinya juga telah beribu kali berkahwin dengan pasangan hidup yang berbeza-beza dari berbagai jenis kehidupan, beribu kali melahirkan anak dari berbagai jenis kehidupan serta beribu kali merasa kesakitan dari kematian? Apakah mungkin seorang wanita melahirkan bayi yang roh sibayi adalah merupakan roh moyangnya dimana bermakna dirinya melahirkan moyangnya?

Sedang kreasionisme iaitu kalangan agama-agama samawi menjelaskan akan kehidupan ini nyata antara dunia lahiriah dengan dunia batiniah. Bagaimana jelas setiap kehidupan tersebut adalah dalam bentuk tersendiri samada lahiriah atau batiniah. Jasad atau lahiriah sesuatu kehidupan tetap sama seperti contohnya, bentuk jasad insan tetap sama biarpun beribu tahun, hanya-sanya kemungkinan generasi kemudian kelihatan sihat kerana pemakanan yang seimbang dan berkhasiat atau generasi terdahulu lebih tegap kerana kehidupan persekitaran yang sihat namun asas bentuknya sama dimana insan tetap insan, tiada evolusi dari kera yang berbulu lebat berubah menjadi bentuk insan.

Sebegitu juga dengan batiniah atau kerohaniah dimana setiap roh memiliki hanya suatu jasad yang sama selama tempoh hidupnya dimana tiada terjadi bentuk jasad-jasad yang roh-rohnya berubah-ubah dari berbagai-bagai bentuk kehidupan dan kematian dalam proses evolusi rohnya untuk menjadi roh tertinggi atau lengkap.

Dimana juga penjelasan yang jelas dari agama Islam bahawa kejadian insan bukanlah dari turutan mahluk-mahluk yang lebih rendah atau turutan roh-roh yang lebih rendah tetapi setiap kehidupan tersebut adalah dijadikan dalam bentuk mulia dan setiap bayi adalah dilahirkan suci tanpa dosa, hanya kemudian selama tempuh hidup mereka yang hanya sekali sahaja didunia ini, apakah mereka berusaha untuk mencapai martabat yang mulia dengan mentaati Penciptanya atau menurunkan darjat mereka menjadi hina dengan menurut semata-mata kehendak nafsu mereka.

Disamping itu, dalam agama Islam, jelas sebab dan akibat bukanlah tertakluk semata-mata pada hukum alam kerana hukum alam itu sendiri bukannya suatu yang mutlak atau absolut tetapi tertakluk kepada kehendak Allah sebagaimana contohnya hidayat atau petunjuk adalah semata-mata dari Allah sahaja. Sebegitulah juga bahawa segala kejadian didunia ini terbentuk adalah sebenarnya dibawah sunnahtullah iaitu ketetapan dari Allah semata-mata.

Atau contoh lainnya, mengikut kiraan hukum alam, bumi ini mampu menampung kehidupan diatasnya untuk ratusan abad lagi, tetapi Allah berkuasa menghantar berbagai-bagai musibah seperti contohnya tiba-tiba sebiji komet yang tidak diketahui dari mana, menghancurkan kehidupan dipermukaan bumi dengan sekelip mata atau kehadiran sesuatu virus yang tidak dikenali yang mana virus ini dengan tempuh yang singkat telah meyebabkan kematian hampir seluruh insan dimuka bumi ini.


Bersambung...


Friday, May 06, 2011

Sebab dan akibat - 5


Pemahaman dan penguasaan keatas sebab dan akibat membuat sesuatu bangsa atau kelompok masyarakat mahupun seseorang individu tersebut mampu mengatasi pihak lain. Kemajuan dari sesuatu pihak juga lazimnya diukur atas sedalam mana pihak tersebut memanfaatkan pengetahuan samada dari pengalaman terhadap sesuatu sebab dan akibat atau pengetahuan dari sesuatu sebab dan akibat yang diperolehi secara terus dari sesuatu sumber.

Sebab dan akibat samada berbentuk dari sudut lahiriah mahupun batiniah adalah sesuatu yang berkaitan dengan pemaknaan buat kewujudan insan dialam semesta ini dimana dunia ini sendiri digelar darul asbab atau tempat bersebab. Hanya perbezaannya apakah sesuatu sebab dan akibat itu benar-benar diperuntukkan untuk menampung kehidupan insan dan insan memerlukannya atau sesuatu yang hanya memenuhi waktu-waktu kehidupan insan didunia ini tanpa memberi faedah yang sebenar disepanjang usianya didunia ini atau kata lain iaitu sebab dan akibat yang memudaratkan serta memusnahkan kehidupan insan.

Dalam pada semua itu, umat Islam wajar memahami apakah sebab dan akibat serta juga pengertian sebenar disebalik segala sebab dan akibat yang mana dengan sumber-sumber ini, zaman keemasan umat Islam akan berulang kembali namun sebaliknya sekiranya umat Islam tetap hanya sebagai peniru yang meniru pemahaman pihak lain keatas sebab dan akibat, maka umat Islam akan terus-menerus berada dibawah umat lain, digolak-galih menurut kemahuan mereka dan mahupun menjadi mangsa penipuan diatas segala pemahaman sebab dan akibat dari pihak lain yang akhirnya merugikan umat Islam sendiri.

Sesuatu yang dikatakan begitu wajar diketahui oleh setiap umat Islam adalah pertama-tamanya makna yang mendalam atau makna sebenar bila memperkatakan akan sesuatu yang berkaitan dengan sebab dan akibat. Contohnya bila dikatakan sipolan-polan telah mencipta kenderaan yang dapat bergerak dengan menggunakan air adalah jauh sama sekali bezanya bila menyatakan bahawa Allah menciptakan segala kehidupan dari air. Atau bila memperkatakan fungsi alam semula-jadi seperti eko-system dan sebagainya, umat Islam wajar mempercayai bahawa semua kejadian yang dikatakan kejadian alam semula-jadi adalah sebenarnya dibawah sunnahtullah, iaitu dibawah ketetapan kekuasaan Allah semata-mata.

Sebegitu juga bila memperkatakan fitrah diri insan, wajar mempercayai bahawa Allah yang telah mencipta insan dengan menetapkan bagaimana akan fitrah diri insan. Iaitu insan adalah suatu mahluk yang fitrahnya berada diantara kehidupan haiwanat dengan malaikat. Tiadalah menjadi suatu kesalahan bila memperkatakan tentang alam semula-jadi atau fitrah berkenaan diri insan tetapi pertama-tamanya adalah keyakinan bahawa itu semua adalah dibawah ketetapan dari Allah semata-mata. Malah dengan memerhatikan segala yang berkenaan alam semula-jadi ini, sewajarnya membawa insan lebih mengenal penciptanya dan mengagumi akan kebesaran penciptanya.

Konsep pemahaman buat sebab dan akibat dalam kehidupan insan dan memahami kuasa sebenar disebalik segala sebab dan akibat adalah suatu yang amat jelas dalam ajaran Islam. Sebagaimana contohnya dalam sebuah hadits yang meriwayatkan:

عَنْ أَنَسِ بْنَ مَالِكٍ يَقُولُ قَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَعْقِلُهَا وَأَتَوَكَّلُ أَوْ أُطْلِقُهَا وَأَتَوَكَّلُ قَالَ اعْقِلْهَا وَتَوَكَّلْ
Dari Anas bin Malik ra, ada seseorang berkata kepada Rasulullah s.a.w, ‘Wahai Rasulullah s.a.w, aku ikat kendaraanku lalu aku bertawakal, atau aku lepas ia dan aku bertawakal?’ Rasulullah s.a.w menjawab, ‘Ikatlah kendaraanmu lalu bertawakallah.” (HR. Tirmidzi)

"Ikatlah kenderaanmu", bermakna sebab dan akibat dalam kehidupan seharian dimana jelas sebab dengan kenderaan atau untanya, seseorang tersebut dapat bergerak dengan mudah, dapat mengangkut barang-barang keperluan dirinya dan sebagainya dan sekiranya seseorang tersebut tidak mengikat untanya, kemungkinan besar mengakibatkan untanya melarikan diri, dimana ini seterusnya membuat seseorang tersebut mengalami kepayahan samada untuk keperluan dirinya bergerak dan lain-lain atau juga menimbulkan masaalah dengan pihak lain seperti mengakibatkan perasaan syak-wasangka buat sesuatu pihak lain yang dituduh mencuri untanya.

Sedang "bertawakal" adalah pemahaman bahawa segala sebab dan akibat adalah semata-mata dibawah kekuasaan Allah semata-mata. Iaitu samada untanya masih disitu atau melarikan diri mahupun dilarikan oleh pihak lain, maka Allah sahajalah yang telah menetapkan sebegitu, namun diatas tawakal, redha, sabar mahupun bersyukur buat ketetapan Allah, maka ia menjadi sebab insan meraih kedudukan yang mulia sebagai seorang hamba Allah.

Disamping itu, Nabi Muhamad juga telah mengajar umat Islam akan sebab dan akibat yang bukan semata-mata berbentuk kebendaan atau duniawi tetapi pertama-tamanya adalah berbentuk amalan-amalan. Amalan yang dilakukan oleh umat Islam samada amalan tersebut merupakan sebab yang mengakibatkan kesejahteraan, kejayaan, perlindungan dan seterusnya kepada perkara-perkara lain yang membawa kebaikan buat kehidupan didunia dan akhirat atau merupakan sebab yang mengakibatkan kecelakaan, musibah dan seterusnya kepada perkara-perkara lain membuat diri insan kerugian didunia mahupun diakhirat.

Dimana juga dengan keyakinan bahawa Allah tidak memerlukan segala sebab amalan-amalan insan untuk memberi akibat pada sesuatu tetapi Allah menetapkan sebab-sebab amalan tersebut sebagai ujian buat diri insan didunia ini. Sebagaimana contohnya, Allah tidak memerlukan sesiapa pun untuk membuat matahari bersinar setiap hari buat sekian lama, tetapi Allah jadikan matahari sebagai ujian untuk insan, iaitu samada dalam cuaca sejuk atau panas, insan tetap wajar mentaati Allah dan menyakini akan kekuasaan Allah semata-mata.


Bersambung...


Wednesday, May 04, 2011

Sebab dan akibat - 4

Asas sebab dan akibat ini adalah bila sesuatu tersebut difikirkan dalam bentuk logik dan berfakta, dimana juga penghasilan fakta diatas fakta adalah suatu yang lumrah dalam pencarian keputusan untuk mendapat keputusan yang dikatakan tepat buat sesuatu tersebut. Dengan adanya fakta berkaitan akan sesuatu sebab dan akibat, keputusannya membuat insan memahami lebih mendalam akan sesuatu perkara, hal, keadaan, tindak-balas, reaksi dan seterusnya dialam ini dan dengan ini dapat insan mempunyai ilmu tentangnya dan dapat mengambil manfaat dari alam ini. 

Dan sesuatu fakta tersebut, samada akan diakui kebenarannya atau pun mungkin berdepan dengan kehadiran fakta yang lain untuk menyangkal fakta pertama yang dikeluarkan, dalam usaha menentukan samada sesuatu tersebut masih dalam kategori kemungkinan atau seseuatu yang telah benar-benar dapat dipastikan.

Contohnya, ramai umat Islam sewaktu dahulu yang mempercayai penipuan yang menyatakan bahawa Neil Amstrong memeluk agama Islam dengan fakta yang dikatakan bahawa beliau mendengar azan ketika mendarat dibulan, sedangkan fakta yang sebenar, dirinya sendiri mengaku akan dirinya tidak mendengar azan dibulan dan tidak pernah menganut agama Islam disamping fakta yang lain adalah telah nyata akan bukti bahawa insan belum pernah sampai kebulan.

Dan fakta diatas fakta yang lain untuk menyangkal akan insan belum pernah sampai kebulan adalah contohnya, satelite yang pertama iaitu Sputnik 1 telah dilancarkan pada tahun 1957, (yang mana idea tentang satelite ini telah wujud pada tahun 1869 dalam cerita fiksyen bertajuk bertajuk "The Brick Moon") dan kini ada 560 satelite yang dikatakan masih berfungsi dari sejumlah 8000 yang dihantar keorbit bumi. Semua satelite ini berputar mengelilingi bumi dengan tarikan graviti bumi seperti bagaimana bulan mengelilingi bumi dalam orbitnya atau bumi dalam orbitnya mengelinggi matahari. Tetapi yang menjadi suatu persoalan, semasa Amerika Syarikat menghantar astronautnya kebulan, mengapa hanya Amerika Syarikat yang dapat merakam pendaratan tersebut dan menyiarkannya keseluruh dunia, sedang mengapa satelite Soviet Union tidak mampu merakam dengan teropong satelitenya? Apakah Soviet Union waktu itu tiada teknologi teleskop-satelite?

Sedang kini, dikatakan teknologi insan telah dapat mencipta teleskop-teleskop yang canggih yang dapat meneropong kealam jagat-raya, tetapi mengapakah teleskop-teleskop ini (contohnya teleskop angkasa Hubble), tidak mampu meneropong kebulan untuk melihat tempat pendaratan serta peralatan yang ditinggalkan dibulan semasa pendaratan astronaut Amerika Syarikat pada tahun 1969, sedangkan dibulan tiada apa-apa aktiviti yang berlaku seperti ribut dan lain-lain yang dapat memusnahkan semua bahan-bahan bukti tentang pendaratan insan kebulan ditarikh tersebut.


Atau contohnya dalam mana insan ghairah mencari tenaga-tenaga bahan-api yang dapat digunakan seperti cuba meneliti akan sebab matahari dapat menyinar, terdapat fakta yang dihuraikan bahawa matahari mendapat tenaganya melalui proses fusi nuklearnya, yang mana juga didapati proses fusi nuklear ini tidak banyak menghasilkan sisa-sisa radioaktiv yang merbahaya seperti proses fissi nuklear yang digunakan direaktor-reaktor nuklear seluruh dunia (sisa-sisa radioaktive merbahaya yang tidak mampu dilupuskan). Dimana sehingga kehari ini insan belum dapat menghasilkan reaktor yang menghasilkan tenaga melalui fusi nuklear. Apa yang telah dicapai adalah bom hidrogen yang memusnahkan kehidupan dalam keadaan yang mengerunkan, bukan sebagai bahan-api yang membantu kehidupan insan.



Fakta diatas teori big bang dan proses selepas itu mewujudkan elemen-elemen gas seperti hidrogen dan helium dan seterusnya menghasilkan core matahari dengan fusi nuklear yang berlaku untuk menghasilkan tenaganya yang begitu hebat saban hari. Namun bagaimanakah pembakaran ini dapat berlaku tanpa gangguan untuk berbilion-billion tahun (seperti terjadi kekurangan gas hidrogen dan lain-lain) serta dimana, apakah sumber sebenar bahan-apinya masih belum terjawab atau tergantung dalam teori demi teori. Lalu terdapat fakta diatas fakta dikalangan saintis seperti Prof.  Oliver Manual dari Amerika Syarikat yang menyatakan bahawa fakta yang sebenar adalah matahari menghasilkan pembakarannya dari bahan-bahan metal bukan hidrogen dimana beliau telah menampilkan bukti-bukti untuk menyokong kenyataan beliau.


Sebegitulah seterusnya untuk semua prinsip kausiliti yang mana fakta mahupun fakta diatas fakta adalah penting untuk membuktikan kaitan segala yang berkaitan buat sesuatu sebab dan akibat. Ini termasuk juga dengan hal-hal batiniah seperti bila menyelidik sesuatu contohnya, fakta bahawa sebab yang mengakibatkan ramainya insan-insan mengalami kemurungan, keruntuhan akhlak, pergolakan dalam perebutan kuasa dan seterusnya yang mana membawa kearah kemusnahan samada untuk alam, kehidupan lain seperti haiwanat dan malah untuk diri insan sendiri, adalah kerana kehidupan mengejar kebendaan semata-mata membuat insan lupa akan jiwanya yang fitrahnya memerlukan sesuatu ketenangan hakiki bukan ketenangan artificial (tiruan) dan diciptakan oleh Penciptanya dengan maksud untuk mengabdikan diri kepada Penciptanya bukan kepada kebendaan.


Sedang telah nyata, fakta demi fakta yang membuktikan akibat kemusnahan samada yang dilakukan oleh insan mahupun musibah yang ditimpakan keatas insan diatas sebab perilaku salahnya telah terbukti didalam sejarah-sejarah dari seawal kehadiran insan.



Bersambung...


Monday, May 02, 2011

Sebab dan akibat - 3


Tidak keterlaluan bila dikatakan dunia Eropa barat atau keseluruhan dunia amnya, sebenarnya terhutang budi kepada para-para pemikir Islam seperti seperti Al-Kindi, Al-Farabi, Ibn Sina (Avicenna), Ibn Rushd (Averroes), Ibn Al-Haytham (Alhacen), Al-Biruni dan lain-lain termasuk Imam Ghazali kerana telah menyumbang kepada asas-asas pemikiran modern hari ini dan membantu bagi proses pencerahan minda buat dunia Eropa Barat.

Dimana tidak dinafikan juga akan sumbangan para pemikir Yunani yang hadir 2-3 abad sebelum kelahiran nabi Isa a.s, namun usaha pemikir-pemikir falsafah Yunani ini tidak dapat mengambil tempat didunia benua Eropa Barat kerana hampir keseluruhannya waktu itu dibawah hegemoni kuasa Roman dan seterusnya dibawah ajaran Kristus yang berbeza persepsinya dengan pemikiran falsafah Yunani.

Hanya lewat setelah pemikir-pemikir Islam melakukan pengajian mendalam buat segala ilmu termasuk ilmu dari pemikir Yunani iaitu dengan meneliti dan memperbaikinya, maka dunia Eropa kemudiannya diperkenalkan kepada dunia pemikiran Islam dan Yunani. Sebagaimana prinsip kausaliti yang berkaitan dengan logika menyebabkan seterusnya kepada gelombang proses pencerahan dan merubah secara drastik keadaan didunia Eropa yang sebelumnya dikatakan sebagai zaman kegelapan.

Disamping itu, dalam dunia Islam sendiri, Imam Ghazali telah menyangkal cara pemikir-pemikir Islam sebelumnya seperti Ibn Sina, Ibn Farabi dan lain-lain dalam kitabnya Tahafud al-Falasifah, dimana Imam Ghazali sebenarnya telah berperanan meluruskan kembali cara pemikiran yang dilakukan oleh pemikir-pemikir Islam diwaktu itu kerana impak keburukan yang disedarinya sekiranya pemikir-pemikir Islam waktu itu terus hanyut dalam arus falsafah Yunani, termasuk kesan jangka panjang kepada generasi kemudianya. Sebagaimana ahli falsafah Perancis, Etienne Gilson (1884-1978) penulis buku "History of Philosophy", menyatakan bahawa pemikiran Ibn Rushd adalah sebenarnya merupakan akar bagi pandangan rasionalisme didunia Eropa dan dari pandangan ini seterusnya juga digunakan oleh para athiest iaitu mereka yang tidak mempercayai akan kewujudan Tuhan untuk menentang wahyu serta disamping juga menyumbang kepada lahirnya sekularisme iaitu pemisahan antara hal dunia dengan agama.

Berbalik kepada sebab dan akibat, sebab dan akibat juga lazimnya berada dalam kategori kemungkinan kerana masih banyak persoalan tentang sesuatu sebab dan akibat belum terjawab atau masih hanya berbentuk teori. Seperti contohnya matahari bersinar saban waktu dikatakan mendapat tenaganya dengan membakar gas pada daerah core atau intinya dalam sebuah proses yang dikatakan fusi nuklear dan hampir keseluruhan terdiri dari hidrogen serta helium. Sebegitu juga dikatakan saiz core matahari sekian-sekian besar namun semuanya adalah masih dalam kategori teori iaitu masih dalam bentuk kemungkinan-kemungkinan kerana tiada insan yang mampu menghampiri matahari untuk memahami akan keadaan yang sebenar-benarnya. Sesuatu kemungkinan itu diperkirakan telah menjadi kepastian adalah setelah diselidik secara terperinci berulang-ulang kali dan dengan adanya alat-alatan untuk membantu untuk memastikannya seperti raksa yang digunakan untuk menyukat suhu atau haba yang terhasil oleh matahari dipermukaan bumi.

Atau seperti sewaktu dahulu, para pengkaji astronomi menyangkal bahawa matahari yang berputar mengelilingi bumi, namun mereka yang menyangkal ini tiada mempunyai peralatan yang cukup untuk membuktikan kepastian akan hal tersebut, hanya-sanya bila insan kini mampu menghantar peralatannya seperti satelite serta teropong terbang keluar keatmosphera bumi, maka gambaran yang jelas akan bagaimana pergerakan bumi mengelilingi matahari dapat dibuktikan.

Namun begitu, suatu yang dikatakan kepastian, wajar sahaja berubah menjadi hanya kemungkinan-kemungkinan diatas bukti-bukti yang menyanggahnya seperti contohnya, dikatakan pada tahun 1969, insan telah sampai kebulan, namun bila dilihat bukti-bukti yang menyanggahnya, ianya hanyalah seakan suatu kemungkinan, iaitu segala yang ditayangkan hanyalah sebuah rakaman yang dilakukan distudio, lantaran untuk mendapat nama atau keuntungan.

Sebagaimana pertanyaan, mengapakah sehingga kini, Amerika Syarikat tidak berkemampuan menghantar insan kebulan, sedangkan bulan wajar sahaja menjadi tempat yang ideal untuk negara-negara nuklear mendepotkan sisa-sisa nuklear mereka yang amat berbahaya dan sehingga kini masih tiada cara untuk melupuskannya. Dimana juga, biarpun kini setelah lebih dari empat dekad berlalu dari tarikh yang dikatakan insan telah sampai kebulan, namun yang mampu dilakukan hanyalah berligar-ligar mengelilingi atmosphera bumi. Atau pertanyaan lain adalah bagaimanakah kapal angkasa yang digunakan untuk mendarat dibulan yang bersaiz begitu kecil mampu mendarat tanpa meninggalkan apa-apa kesan pembakaran yang besar pada tempat pendaratannya serta bagaimana ia mampu terbang meninggalkan bulan sebegitu mudah seakan helikopter terbang meninggalkan landasannya? 

Sebegitulah juga suatu pemikiran atau hal yang berkaitan dengan prinsip kausaliti iaitu hubungan antara sebab dan akibat, selama-mana ia belum dapat dibuktikan kebenarannya, ianya hanyalah dalam kategori kemungkinan-kemungkinan dimana sebaliknya juga, sesuatu yang telah dikatakan suatu kepastian tetapi terdapat bukti kemudiannya yang kukuh untuk menyanggah, maka ia berubah kepada kategori hanya suatu kemungkinan-kemungkinan.


Bersambung...








Tajuk

Abbasiyah (1) altruisme - ikram (3) Aqidah (1) art video (20) Bahasa dan penampilan (5) Bangsa Melayu (7) batas sempadan (9) Berita (15) Besi (1) Biography solihin (1) Budaya dan pengertiannya (16) catitan (2) cerdik/bodoh dan antaranya (6) cetusan minda (8) cinta dan syahwat (3) Doha - Qatar (2) Eid Mubarak (5) Fantasia falasi (3) Fibonacci (1) Filem (1) Fungsi seni (1) gangsa (1) hukum (6) huruf (2) hutang (1) ijtima (1) Iklan (2) imitasi dan memori (1) infiniti (5) jalan2 (2) kebangsaan/nationalisme (2) kebebasan bersuara (1) Kelahiran kesenian yang mengubah warna dunia. (1) Kembali sebentar tentang erti seni (Islam) (1) kerja otak (1) Kesenian dunia Islam (1) konsep kendiri (3) konspirasi (1) Lentok tangan (1) Malaysia (3) Maslahah atau mafsadah (1) Maya (ilusi) (4) Melaka (1) Melayu (2) Melayu dan Islam (9) minda (2) musik (2) nukilan rasa (1) Pantang dalam berkarya (1) Pause (6) Pengajian dan pengertian budaya (1) Perasaan dan pemikiran (5) Persepsi / Tanggapan (6) pointillism (2) populasi dunia (9) Produk sejarah (11) Program dan hayat (2) prosa (4) ramadan (2) realiti - kenyataan (7) Sajak (21) Sangkaan (2) sebab dan akibat (18) sejarah (10) Sejarah mengubah/terubah (5) Sejarah seni dalam kehidupan insan (1) Sejarah video (1) Seni Bahasa (2) Seni dalam imiginasi (1) seni kata (1) Seni logam (3) Seni textil (budaya berpakaian) (2) Seni-seni mempertahankan diri (1) sound (1) Srivijaya (3) Sunda (6) Tahap kesederhanaan (1) Tahap-tahap kehidupan (14) tenung bintang (1) Terkesan dengan suasana (2) Tradisional dalam makna (1) Ukuran dan kayu pengukurnya (2) updated (1) Usia manusia (3) vision (1) wang (7) Wujudkah kosong? (2) zarzh slide (12)

Catitan lalu

Insuran & Road Tax Online

tetangga