Sunday, December 09, 2012

Cinta dan syahwat (love and lust) - 3


Dunia hari ini mahupun sedari dahulu jelas lumrahnya dicorakkan atas lantasan cinta dan syahwat insan, samada yang berunsur positif atau negatif. Contohnya, hampir keseluruhan apa yang terbentang dari aliran kebendaan adalah berprinsipkan cinta dan syahwat dimana tentunya juga dari prinsip cinta dan syahwat ini ada unsur positifnya seperti terbina tamadun-tamadun ulung dengan kebudayaan hidup, akan tetapi lantaran tidak dapat mengendalikan atau menstabikan prinsip cinta dan syahwat pada jalan yang benar, maka selalunya yang positif bertukar menjadi negatif dan segalanya berakhir juga dengan kehancuran.

Insan dari dalaman dirinya sehinggalah luaran penampilan diri iaitu contohnya pemakaian, tingkah-laku dan seterusnya dicorakkan dengan keadaan yang berlaku disekitarnya. Dan disinilah bagaimana kesan cinta dan syahwat dipersekitaran memainkan peranan utama mencorakkkan insan. Namun malangnya cinta dan syahwat berunsur negatif yang lazimnya mudah menguasai keadaan hatta sampai keperingkat terdapat begitu ramainya insan yang dirinya dimanipulasikan sehinggakan perlakuan serta pertuturan sehariannya bagaikan skrip-skrip yang telah ditulis dan dirinya hanyanya pelakon-pelakon yang memainkan watak-watak berunsur negatif yang sama sedari dahulu dan dimana sahaja.

Kesilapan demi kesilapan yang terjadi adalah kerana kesalah-fahaman atas apakah prinsip sebenar cinta dan syahwat dimana kesalahan-kesalahan ini boleh berlanjutan sehingga menjadi begitu parah tanpa dapat dibaiki lantaran syahwat menguasai segala apa yang diertikan sebagai cinta. Contohnya kaum Luth yang binasa dihancurkan keseluruhannya (melainkan Nabi Luth serta beberapa pengikutnya yang mengikut jalan lurus terselamat) lantaran kesalah-fahaman akan erti cinta dan syahwat sehingga keperingkat begitu parah dimana homoseksual, lesbien dan sebagainya adalah sesuatu yang dipandang biasa dan tidak lagi menjadi perbuatan sumbang pada masyarakat tersebut.

Sebegitu juga akan kebanyakkan kemusnahan yang berlaku akibat peperangan demi peperangan dalam sejarah insan adalah lantaran cinta dan syahwat insan keatas duniawi, keatas kekuasaan, keangguhan dan seterusnya sehinggakan membuat mereka bertindak merampas sewenang-wenangnya hak-hak pihak lain dan buta dalam mengenal apa itu erti kedamaian. Fitnah menfitnah, berhasad-dengki, dendam mendendami antara satu sama lain dan seterusnya sifat-sifat mazmumah iaitu sifat-sifat buruk atau dalam kata lain memiliki mentaliti yang buruk serta jahil adalah hasil dari syahwat menguasai segala apa yang diertikan sebagai cinta.

Sifat-sifat insaniah yang baik dan buruk adalah berlandaskan pada hati insan dimana cinta dan syahwat juga adalah unsur yang terbina dari hati insan. Dan dari hati ini, ia seterusnya menampilkan ciri-ciri akan keadaan sebenar seseorang insan.

Nabi Muhamad s.a.w telah bersabda:

“Ketahuilah! Bahawa di dalam badan ada seketul daging; apabila ia baik, maka baiklah badan seluruhnya dan apabila ia rosak, maka rosaklah sekaliannya. Ketahuilah! Itulah yang dikatakan hati.“ (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dan bukanlah diertikan dengan hati berbentuk fizikal tetapi keadaan dalaman diri insan iaitu perasaan dan seterusnya kearah pemikiran yang terbentuk dalam dirinya. Dari itu, langkah pertama untuk mengendalikan cinta dan syahwat agar sentiasa berada dijalan kebenaran adalah dengan mendidik dan menjaga hati dari keburukkan dan ini memerlukan usaha serta ilmu kearah tersebut sehinggakan sampai disuatu tahap peringkat, hati akan dapat terus merasa atau menilai apakah sesuatu itu hak atau sebaliknya. 

Mendidik agar celek hati atau dalam kata lain, celek mata hati agar dapat bertindak menuju kebaikan dan menghindari kemungkaran. "Barang siapa yang buta di dunia ini, niscaya di akhirat (nanti) ia akan lebih buta (pula) dan lebih tersesat dari jalan (yang benar)." (Surah Al Isra ayat 72) "... sesungguhnya bukan buta mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang di dalam dada." (Surah Al-Hajj ayat 46)

Sedang pintu pertama buat cinta dan syahwat, lumrahnya dari mata kepala yang melihat dan menilai sesuatu tersebut tetapi hakikatnya hanya dengan mata kepala sahaja, insan tidak mampu menilai kebaikan yang sebenar dan malah dengan mata kepala sahaja, ianya telah membawa ramainya insan terjerumus kelembah kehinaan mahupun kemungkaran lantaran cinta dan syahwatnya.

Bersambung...

Friday, December 07, 2012

Cinta dan syahwat (love and lust) - 2

Sesejak awal kejadian insan, masalah besar yang dilalui oleh insan adalah lantaran cinta dan syahwat sehinggalah terjadinya pembunuhan pertama dalam sejarah insan dimana Qabil telah membunuh Habil. Sehingga kini mahupun seterusnya buat kurun-kurun kewujudan insan dialam ini, tidak kira dimana sahaja mahupun apa bangsanya, masalah ini terus berlanjutan terutamanya dikalangan remaja dimana usia-usia ini merupakan permulaan mengalami sindrom cinta dan syahwat. Bahkan bukan sahaja kalangan para remaja malah kesan darinya berlanjutan hatta kepada mereka yang jauh lanjut usianya.

Dari sesekecil masalah seperti cemburu dan sebagainya, sehinggalah kepada kerosakan moral seperti perlakuan-perlakuan sumbang serta lain-lain dan  mahupun kepada tindakan rogol atau kejam seperti membunuh bayi luar nikah adalah berkaitan dengan cinta dan syahwat. Tentulah tidak dinafikan akan kesan positif serta faedah darinya buat insan seperti menghasilkan perkahwinan yang bahagia, tetapi yang besar dikhuatiri adalah kesan negatif darinya yang mana bukan sahaja masyarakat yang kuat pegangan agamanya mengkhuatirinya, malah mereka yang hidup dalam dunia bebas lepas akan khuatir apakah akan berlaku pada remaja-remaja atau generasi-generasi mereka.

Syahwat yang lazimnya dikatakan maknanya kehendak atau hasrat buat seksual sebenarnya memiliki pengertian yang jauh lebih luas. Kalimat syahwat berasal dari bahasa Arab syahiya-syaha yasyha-syahwatan, secara lughawi bererti menyukai atau menyenangi iaitu dimana kecenderungan jiwa terhadap apa yang dikehendaki atau dihasratkan (nuzu’ an nafs ila ma turiduhu). Dalam kata lain, ianya adalah kecenderungan hati yang mampu membawa kejurang yang payah dibendung buat sesuatu yang bersifat indera dan fizikal insan.

Sebagaimana cinta adalah fitrah insan, sebegitu juga dengan syahwat, yang merupakan fitrah insan yang harus dikendalikan. Setiap insan memiliki fitrah mencintai, menghajati atau berkehendak pada sesuatu yang didambakan. Insan sentiasa berkeinginan memiliki, menguasai, meraih, menikmati dan memanfaatkan sesuatu yang mereka pandang sebagai hajat dalam detik kehidupan namun dari itu, untuk berada dalam lantasan kebaikan atau positif, wajarlah insan mengendali cinta dan syahwatnya agar terlindung dari kemungkaran, keburukan atau perkara yang membawa kehancuran moral diri mahupun kehidupan bermasyarakat seterusnya.

Dalam Al-Quran dinyatakan akan erti syahwat seperti didalam surah Al-Imran:

زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ ٱلشَّهَوَٲتِ مِنَ ٱلنِّسَآءِ وَٱلۡبَنِينَ وَٱلۡقَنَـٰطِيرِ ٱلۡمُقَنطَرَةِ مِنَ ٱلذَّهَبِ وَٱلۡفِضَّةِ وَٱلۡخَيۡلِ ٱلۡمُسَوَّمَةِ وَٱلۡأَنۡعَـٰمِ وَٱلۡحَرۡثِ‌ۗ ذَٲلِكَ مَتَـٰعُ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا‌ۖ وَٱللَّهُ عِندَهُ ۥ حُسۡنُ ٱلۡمَـَٔابِ  

" Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (surga)." (Surah Al-Imran ayat 14)

Dalam ayat ini, kecintaan kepada apa-apa yang diingini atau syahwat, dimisalkan pada jenis-jenis hajat kehidupan iaitu: wanita-wanita (cth pasangan hidup), anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan (cth kenderaan), binatang-binatang ternak dan sawah ladang (cth milik harta kediaman, rumah dan sebagainya) yang mana semuanya ini adalah ujian buat insan dalam bagaimana mengendalikan cinta dan syahwatnya.

Dari ujian ini, nyatanya ramai insan kecundang sehingga menjadikan sesuatu hajat dalam hidupnya sebagai maksud hidupnya, sedangkan maksud hidup insan hanyalah dijadikan untuk beribadat serta mengabdikan diri pada Allah. Atas menjadikan hajat sebagai maksud, insan melupakan Penciptanya dan mendambakan kehidupannya pada jalan yang akhirnya membinasakan diri serta masyarakat umum seterusnya.

Allah dengan rahmat-Nya. sentiasa memberi petunjuk agar insan kembali pada kebenaran namun yang menjadi penghalang utama untuk insan sentiasa berada dilandasan kebenaran adalah hawa-nafsu syahwat insan itu sendiri. Ini dinyatakan dalam surah an-Nisa:

وَٱللَّهُ يُرِيدُ أَن يَتُوبَ عَلَيۡڪُمۡ وَيُرِيدُ ٱلَّذِينَ يَتَّبِعُونَ ٱلشَّہَوَٲتِ أَن تَمِيلُواْ مَيۡلاً عَظِيمً۬ا

"Dan Allah hendak menerima taubatmu, sedang orang-orang yang mengikuti hawa nafsunya bermaksud supaya kamu berpaling sejauh-jauhnya (dari kebenaran)." (Suran an-Nisa ayat 27)

Bersambung...

Tajuk

Abbasiyah (1) altruisme - ikram (3) Aqidah (1) art video (20) Bahasa dan penampilan (5) Bangsa Melayu (7) batas sempadan (9) Berita (15) Besi (1) Biography solihin (1) Budaya dan pengertiannya (16) catitan (2) cerdik/bodoh dan antaranya (6) cetusan minda (8) cinta dan syahwat (3) Doha - Qatar (2) Eid Mubarak (5) Fantasia falasi (3) Fibonacci (1) Filem (1) Fungsi seni (1) gangsa (1) hukum (6) huruf (2) hutang (1) ijtima (1) Iklan (2) imitasi dan memori (1) infiniti (5) jalan2 (2) kebangsaan/nationalisme (2) kebebasan bersuara (1) Kelahiran kesenian yang mengubah warna dunia. (1) Kembali sebentar tentang erti seni (Islam) (1) kerja otak (1) Kesenian dunia Islam (1) konsep kendiri (3) konspirasi (1) Lentok tangan (1) Malaysia (3) Maslahah atau mafsadah (1) Maya (ilusi) (4) Melaka (1) Melayu (2) Melayu dan Islam (9) minda (2) musik (2) nukilan rasa (1) Pantang dalam berkarya (1) Pause (6) Pengajian dan pengertian budaya (1) Perasaan dan pemikiran (5) Persepsi / Tanggapan (6) pointillism (2) populasi dunia (9) Produk sejarah (11) Program dan hayat (2) prosa (4) ramadan (2) realiti - kenyataan (7) Sajak (22) Sangkaan (2) sebab dan akibat (18) sejarah (10) Sejarah mengubah/terubah (5) Sejarah seni dalam kehidupan insan (1) Sejarah video (1) Seni Bahasa (2) Seni dalam imiginasi (1) seni kata (1) Seni logam (3) Seni textil (budaya berpakaian) (2) Seni-seni mempertahankan diri (1) sound (1) Srivijaya (3) Sunda (6) Tahap kesederhanaan (1) Tahap-tahap kehidupan (14) tenung bintang (1) Terkesan dengan suasana (2) Tradisional dalam makna (1) Ukuran dan kayu pengukurnya (2) updated (1) Usia manusia (3) vision (1) wang (7) Wujudkah kosong? (2) zarzh slide (12)

Catitan lalu

Insuran & Road Tax Online

tetangga