Friday, February 18, 2011

Batas sempadan - 9

Kebebasan adalah berkait-rapat dengan keamanan atau kesejahteraan.Tuntutan untuk mengekalkan kebebasan adalah keamanan atau kesejahteraan. Tanpa ini, apa yang dikatakan kebebasan akan berakhir dalam waktu yang singkat atau memerlukan tenaga demi tenaga saban waktu untuk mempertahankan sesuatu yang dikatakan kebebasan.

Seperti bila dikatakan apa itu kebebasan jiwa, maka perasaan dan fikiran yang menjadi tunjak untuk pengertian apa itu jiwa, memerlukan suatu cara hidup atau suatu jalan hidup yang membawa kearah kesejahteraan yang sebenar. Dan tanpa suatu cara atau jalan hidup yang membawa kearah kesejahteraan yang sebenar berserta hak-haknya, kebebasan jiwa yang dimiliki adalah bersifat sementara atau palsu, sebagaimana seorang yang ketagihan candu yang merasa bebas jiwanya hanya disaat bila dia mendapat candu namun hakikatnya, hidupnya berlanjutan menderita diatas ketagihan candunya.

Apa sahaja medium selain dari yang membawa kearah kesejahteraan yang sebenar hatta medium yang dari zahirnya kelihatan membawa kearah kesejahteraan tetapi medium itu hanyalah berupa alat digunakan untuk mencapai segala kehendak nafsu dirinya sendiri, maka semua itu membawa kearah terbelenggunya jiwa dan kearah penghambaan total diri insan kepada duniawi atau kebendaan.

Contohnya seorang yang mendakwahkan kebenaran Islam dengan menggunakan ayat-ayat yang begitu menakjubkan tetapi niat utamanya adalah untuk menampilkan kehebatan dirinya (riak) atau untuk sesuatu tujuan seperti hanya untuk meraih kekuasaan, maka segala usahanya adalah membawa kearah yang membelenggukan dan menderitakan jiwa, bukan kearah kesejahteraan (sebagaimana semua rejim-rejim yang zalim yang menyatakan bahawa mereka akan membawa rakyatnya kearah negara yang penuh kesejahteraan, tetapi apa yang dilakukan adalah hanya menambahkan kekayaan diri serta sekutunya dengan merampas harta negara yang merupakan hak-hak bagi rakyatnya, menyebabkan rakyat dan negaranya berada dalam kesusahan dengan dibebani tekanan-tekanan hidup saban waktu, bukannya kesejahteraan sebagaimana yang didakwahkan). Manakala seseorang yang mungkin tidak begitu fasih atau pandai, tetapi dirinya berusaha mendakwahkan kebenaran Islam dengan niat utamanya adalah untuk mendapat pengampunan dan keredhaan Allah serta bagaimana dirinya dapat bersama-sama dengan insan-insan lain untuk menuju kearah kebenaran, adalah kalangan mereka yang benar-benar menuju kearah kesejahteraan yang sebenar dan kearah kebebasan jiwanya dari terbelenggu oleh tipu-daya duniawi.

Setiap insan wajar sahaja menggunakan medium-medium tertentu untuk mendapat apa yang dikatakan atau dirasanya sebagai suatu jalan kearah kebebasan jiwanya, namun tanpa mencapai kesejahteraan sebenar buat jiwanya, segalanya adalah hanya sebagai dadah-dadah yang menenangkan tetapi realitinya, dirinya bukanlah dalam kesejahteraan yang sebenar atau bukan dalam perjalanan menuju kearah kesejahteraan yang sebenar. 
Atas itu, usaha bukan sahaja mendapatkan medium-medium untuk kebebasan, tetapi yang utama adalah menyedari apa itu kebenaran dan jalan untuk mencapai kearah kesejahteraan yang sebenar.

Contohnya medium untuk mencapai apa yang dikatakan kebebasan jiwa dengan meluahkan perasaan dan fikiran, yang merupakan salah satu bentuk komunikasi antara dunia dalaman diri seseorang dengan dunia luar dirinya, dimana setiap hari insan meluahkan apa yang terpendam atau dialami oleh perasaan mahupun apa yang membebani fikirannya, namun seakan tiada penghujungnya dalam mana kenyataannya ramai yang semakin meluahkan perasaan atau fikirannya, semakin tertekan pula jiwa mereka dan lumrahnya juga terjadi, medium meluahkan perasaan atau fikiran ini menjadi suatu ketagihan yang bukan menyelesaikan apa yang menekan jiwanya tetapi hanya merupakan suatu keseronokan yang sementara.

Medium dengan meluahkan perasaan atau fikiran ini mungkin dapat meredakan tekanan jiwa yang dialami atau menghuraikan kekusutan jiwanya disuatu-suatu masa seperti seorang jejaka yang jatuh-cinta kepada seorang gadis, mendapat ruang untuk menyatakan perasaan cintanya kepada gadis tersebut maka redalah perasaan dan fikirannya, tetapi risiko kemudiannya mungkin pula dihimpit oleh tekanan-tekanan yang lain seperti sigadis menolak atau mempertawakannya. Atau mungkin sigadis menerima cintanya tetapi timbul masaalah-masaalah lain yang membebani perasaan dan fikirannya seperti bagaimana meminang sigadis, masaalah penerimaan keluarga, masaalah belanja kahwin, masaalah dalam bercinta dan lain-lain atau mungkin masaalah yang lebih buruk bila kedua-duanya terlanjur melakukan perbuatan yang menyebabkan sigadis kehamilan sebelum mereka bernikah.

Hari ini sebenarnya, medium meluahkan perasaan dan fikiran telah sampai diperingkat batas sempadan tertinggi yang belum pernah dialami oleh insan-insan sebelum zaman ini. Medium meluahkan perasaan dan fikiran adalah contohnya dari bentuk tulisan-tulisan, suara-suara, gambar-gambaran dan lain-lain iaitu seperti surat-surat, majalah-majalah, buku-buku atau kitab-kitab dan seterusnya menjadi kini begitu drastik dengan kehadiran medium elektronik seperti internet yang jauh lebih mudah dan terbuka dalam meluahkan perasaan dan fikiran seseorang.

Disamping itu, bukan sahaja medium meluahkan perasaan dan fikiran insan telah sampai keperingkat tertinggi, tetapi proses pengisian kepada perasaan dan fikiran insan juga telah berada ditahap yang amat berbeza dengan generasi zaman silam. Pengisian samada yang berbentuk negatif atau positif adalah merupakan proses yang berlaku saban detik iaitu dari segala aktiviti dipersekitarannya. Bahkan bukan sahaja dipersekitaran dirinya, malah dari apa yang berlaku diseluruh dunia seperti berita-berita politik, peperangan, hiburan-hiburan, fashion-fashion pakaian dan lain-lain yang tersaji disurat-surat akhbar, majalah-majalah, media-media elektronik dan seterusnya. Seakan-akan dunia hari ini tidak mengenal apa itu erti kesunyian atau kebosanan diatas proses aktiviti insan yang rancak hari ini, tetapi apakah itu kenyataan atau kebenaran? Apakah semakin insan berpeluang meluahkan apa sahaja yang menekan perasaannya serta apa sahaja yang terlintas difikirannya dapat membebaskan jiwanya serta tetap dalam kesejahteraan?

Berbalik kepada kaitan kesejahteraan dengan kebebasan jiwa, pertanyaan pertamanya, apakah erti sebenar suatu kesejahteraan. Tentunya masing-masing akan menghuraikanya mengikut fahaman masing-masing. Kerana itu, pertamanya perlu akui, segala pada diri insan wajar sahaja berubah-ubah keadaan dirinya diatas fahaman yang dimiliki. Dan perubahan sesuatu fahaman buat diri insan ini berlaku diatas evolusi perasaan dan fikiran dalam hidupnya yang berkait antara dirinya dengan alam sekitarnya untuk menuju kearah kebenaran atau sebaliknya.

Fahaman yang diperolehi oleh insan wajar seterusnya mengatur sesuatu detik kehidupan yang dilalui atau kehidupan yang diingini seperti contohnya seorang remaja nakal yang suka menunggang motosikalnya dengan laju tanpa mempedulikan pihak lain, diatas fahamannya itu adalah suatu yang dapat menonjolkan kehebatannya tetapi kemudian dirinya terlibat dengan kemalangan dimana menyebabkan seorang kanak-kanak yang tidak bersalah mengalami kecederaan yang parah, lalu timbul suatu fahaman yang lain pada dirinya iaitu bahawa membawa motosikal secara laju tanpa berhati-hati bukanlah sesuatu yang menonjolkan kehebatan dirinya, tetapi sesuatu yang membawa kecelakaan, dimana fahaman ini membuat dirinya menjadi seorang yang lebih berhati-hati bila menunggang motosikalnya.

Atau seperti contoh seorang pelajar yang diajar akan sekian-sekian perkara menyebabkan terjadinya sesuatu perkara yang lain, sedangkan apa yang dipelajarinya adalah suatu yang silap namun ini menjadi suatu fahaman buat dirinya kerana itu yang dipelajarinya, tetapi kemudian, pelajar tersebut menemukan suatu jawapan baru yang lebih logik namun bercanggah dengan apa yang dipelajarinya sebelum ini, maka diatas rasional dan yakinnya pada jawapan yang baru ditemui, fahaman diri pelajar tersebut akan sebab yang menyebabkan sesuatu itu terjadi, berubah pada jawapan baru yang ditemui (seperti diajar bahawa hanya yang zahirnya iaitu contohnya pelita menyala kerana adanya bahan-api iaitu minyak-tanah, tetapi kemudian diajar akan hakikat bahawa yang menyalakan pelita adalah kuasa Penciptanya, seperti yang memberikan tenaga bahan-api untuk matahari agar dapat bersinar setiap hari sesejak jutaan tahun adalah kuasa Penciptanya).

Saban waktu, dari usia remaja sehingga meningkat dewasa, mahupun seterusnya kealam mereka yang dikatakan berumur, insan akan mengambil sesuatu dari alam persekitarannya buat suatu fahaman tentang apakah itu suatu kehidupan atau apakah erti pada setiap perkara yang dilalui. Fahaman buat sesuatu tersebut samada yang berbentuk kebenaran atau sebaliknya atau bercampur aduk antara kedua-duanya adalah arus hidup yang dilalui oleh setiap insan, samada disedari atau tidak.Seperti contohnya apakah fahaman tentang kebebasan dan apakah batas sempadan buatnya.

Segala pengetahuan yang dipelajari atau pengalaman yang ditimba sepanjang usia seseorang insan akan menjadi dalil-dalil serta fungsi utama dalam menentukan akan bentuk fahaman yang dimiliki untuk sesuatu atau apakah sesuatu tersebut. Disinilah pentingnya usaha-usaha keatas arah menuju kebenaran yang wajar dilakukan berlanjutan tanpa henti-henti disetiap masa dan zaman, kerana usaha-usaha keatas arah kebenaran inilah yang akan mengiring atau mengimbangi pengetahuan serta pengalaman yang ada pada setiap insan agar sentiasa berada didalam batas-batas sempadan kebenaran dan sentiasa mempunyai fahaman yang benar tentang kehidupan yang dilalui.

Dan atas fungsi berkemampuan berubah-ubah fahaman yang dimiliki oleh setiap insan, pihak-pihak yang mendakwahkan kebenaran atau seseorang yang melakukan usaha-usaha untuk kearah kebenaran sewajarnya tidak berputus-asa diatas usahanya kerana kemungkinan hari ini kelihatan begitu ramai pihak-pihak lain yang sentiasa melakukan kesilapan atau menuju kearah kemungkaran diatas fahaman salah mereka, tetapi tidak mustahil  (atas hidayat Allah) pihak-pihak tersebut kemudiannya mendapat fahaman yang benar, dimana mereka pula yang akan sama-sama memperjuangkan kebenaran. (Seperti kalangan bangsa Arab yang pada mulanya menolak ajaran Nabi Muhamad serta mencerca Nabi Muhamad, tetapi kemudiannya setelah mendapat hidayat dengan fahaman yang benar mengikut tunjuk-ajar Nabi Muhamad, mereka  ini kemudiannya bukan sahaja beriman mengikut apa yang dibawa oleh Nabi Muhamad, tetapi sebagai mereka-meraka yang membantu mengembangkan ajaran Nabi Muhamad s.a.w.)


Sunday, February 13, 2011

Batas sempadan - 8

Antara apa itu kebebasan dengan sempadan yang membatasi kebebasan insan, kekadang kelihatan kedua-duanya seakan bertentangan. Ini terjadi diatas kefahaman yang dimiliki akan apa itu kebebasan dan apa itu batas sempadan. Kefahaman samada berunsur dari sesuatu kepercayaan atau pegangan, ideologi, budaya hidup, dari segala dipersekitaran yang mempengaruhi, dari yang dipelajari, dari pengalaman hidup, dari bentuk tekanan-tekanan dan seterusnya.

Contohnya, perbezaan pemahaman buat makna kebebasan atau liberalisasi oleh pihak-pihak seperti golongan yang tiada pegangan, golongan Islam liberal, golongan extremist konsevertive dan golongan wasata (pertengahan) yang mana masing-masing ada garisan apa itu kebebasan dan apa itu batas sempadan buat kebebasan.

Pada golongan yang tiada pegangan, kebebasan adalah suatu yang dianggap bersifat mutlak dan mereka menganggap bahawa kehidupan mereka adalah milik mereka sepenuhnya dimana apa sahaja yang diingini atau dihajati wajar diperolehi tanpa halangan daripada mana-mana batas sempadan. Maka dari itu, terjadilah segala unsur yang membawa kepada suatu kehidupan yang bebas lepas, tetapi kenyataannya, ini menzahirkan keruntuhan moral dan akhlak seperti unsur yang membawa kepada perzinaan dengan gambar imej-imej yang terbuka auratnya dimana seterusnya perzinaan itu sendiri adalah menjadi suatu kebiasaan, judi dalam segala bentuk termasuk kasino-kasino dibuka secara besar-besaran, arak mahupun kilang-kilang memprosesnya adalah suatu yang lumrah dan seterusnya yang mana membawa kearah kehancuran hidup.

Golongan Islam liberal pula adalah yang masih menganggap mereka mempunyai pegangan agama, tetapi segala elemen liberalisasi atau kebebasan mahu dibawa kedalam ajaran agama Islam sedangkan ini merupakan suatu kesilapan yang amat besar kerana ajaran agama Islam tidak boleh ditafsirkan sewenang-wenangnya mengikut nafsu atau pendapat sendiri. Sebagaimana juga kesilapan yang dilakukan oleh golongan yang menolak bertaqliq atau mengikut satu-satu mahzab kerana menyangka mereka mampu menafsir sendiri segala hukum-ahkam agama, sedangkan ini adalah suatu bidang yang amat luas yang memerlukan penelitian yang tidak mampu dilakukan terutamanya oleh pihak awam.

Manakala golongan extremist konsevertive adalah lazimnya mereka menyangkal segala unsur kebebasan dan mengadakan fatwa sewenang-wenangnya, dalam mana juga mudah mengkafirkan atau membidaahkan pihak lain yang tidak sefahaman dengan mereka biarpun ianya hanyalah berupa pendapat peribadi mereka. Mereka-mereka ini kebiasaannya cenderung untuk berada dibawah pemerintahan berbentuk autokrasi, iaitu pemerintahan yang mengawal segalanya dibawah kekuasaannya tidak kira samada ia adalah dalam suatu kezaliman atau tidak.

Sedang golongan wasata (pertengahan-sederhana) akan melihat dari perspektif yang berbeza iaitu kebebasan itu adalah suatu keperluan tetapi ia bukan matlamat, dimana unsur liberalisasi atau kebebasan yang tidak bertentangan dengan agama Islam dibenarkan dengan langkah berhati-hati (seperti contohnya kewujudan sesuatu sistem pemerintahan yang membawa kearah keadilan, perniagaan yang tiada unsur riba, pengajian yang tidak bercanggah dengan fakta-fakta dari ajaran Islam dan lain-lain), manakala sesuatu unsur yang bertentangan dengan agama Islam akan ditolak, berserta juga segala penafsiran hukum-ahkam agama tanpa rujukan Quran, hadith dan juga ulama-ulama mahzab terdahulu adalah ditolak kerana kekhuatiran sesuatu yang akan menjejaskan kemurnian agama Islam.

Golongan wasata ini juga menolak fatwa yang sewenang-wenangnya dilemparkan biarpun oleh seseorang yang bergelar ulama terkemuka (seperti membidaahkan atau mengkafirkan pihak lain dengan sewenang-wenangnya), kerana prinsip keadilan serta kebebasan dibawah batas sempadan agama Islam adalah diutamakan. Seperti contohnya, seseorang yang berzikir dengan caranya sendiri iaitu samada mengunakan digital tashbih atau menguatkan suaranya, tidaklah digelar dengan sewenang-wenangnya sebagai golongan bidaah dholalah melainkan terdapat sesuatu yang benar-benar bertentangan dengan agama Islam seperti berzikir dengan memukul tubuh-badan sendiri sehingga berdarah seperti yang dilakukan oleh golongan yang memuja keterlaluan Syaidina Hassan dan Syaidina Hussien.

Dalam pada itu, golongan wasata ini juga terbahagi kepada beberapa pihak bergantung kepada pihak mana yang menyatakan atau menampilkan bahawa mereka adalah golongan wasata. Atas itu, ciri-ciri pihak wasata yang sebenar mengikut pandangan Ahlu Sunnah wal Jamah adalah mereka yang bersikap sederhana dan bertolak-ansur kepada pihak lain, sedang disamping itu, mereka tetap mengekalkan ciri-ciri pegangan agama mereka tanpa bertolak-ansur diatas pegangan agama mereka. Seperti contohnya, mereka akan berintegrasi kedalam masyarakat yang bukan Islam tetapi tidak akan berasimilasi dengan meninggalkan unsur-unsur pegangan agama Islam mereka untuk meniru atau mengambil unsur-unsur pihak lain.

Bersambung...



Tuesday, February 08, 2011

Batas sempadan - 7

Dalam dunia yang semakin menuju kearah kebebasan, targhib iaitu usaha mendorong kearah kebaikan adalah lebih utama berbanding usaha tarhib iaitu usaha memberi amaran. Ini kerana usaha tarhib (seperti memberi amaran dan seterusnya kepada tindakan mencegah iaitu nahil mungkar) lazimnya adalah merupakan batas sempadan yang tersemadi sebagai undang-undang dan dilakukan oleh penguat-kuasa, sedang usaha targhib (seperti mengajak kearah kebaikan iaitu amar maa`ruf) adalah usaha yang terbuka dimana boleh dilakukan oleh sesiapa dan bila-bila masa sahaja, samada dari orang-orang awam mahupun pihak umarah (pemerintah).

Kewujudan sesuatu batas sempadan buat kebebasan adalah seperti ubat-ubatan bagi seorang pesakit yang memerlukannya. Dan ini tentunya ia bergantung kepada apa yang dikatakan sesuatu itu batas sempadan kerana sekiranya ia adalah dari sesuatu kebenaran atau yang hak, maka ia adalah seperti ubatan-ubatan manakala sekiranya ia adalah dari kemungkaran atau kezaliman, maka ia adalah seperti racun yang menambahkan sesuatu penyakit.

Hari ini, penceraian antara suami dan isteri adalah suatu yang lumrah dan tinggi statistik pasangan yang bercerai dimana sahaja tidak kira bangsa, negara mahupun agama. Hatta setengah kepercayaan yang tidak membenarkan penceraian seperti Nasrani atau Hindu, kini ramai penganutnya yang bercerai kerana kebebasan yang dikecapi oleh setiap pasangan adalah dalam tahap yang berbeza dengan zaman silam, dalam memilih cara hidup mahupun pasangan hidup.

Sebegitu juga pergeseran antara pengikut yang mengikut berbeza parti politik dimana saban waktu, permusuhan ini tiada henti-henti dan seterusnya kepada perkara-perkara lain yang membawa fitnah seperti fitnah-fitnah yang timbul dari berbagai unsur hiburan yang dihidangkan dari beribu bentuk media-media, jenayah remaja mahupun keruntuhan moral yang berleluasan tambahan dengan kehadiran dunia internet yang tiada sempadan, adalah kerana penyalahan-guna kebebasan atau tidak memahami akan apa erti kebebasan yang dikecapi.

Ini termasuk juga mereka-mereka yang mengklaimkan bahawa diri mereka menguasai segala ilmu agama atau kalangan cerdik-pandai yang memiliki ribuan sijil-sijil tetapi apa yang dilakukan oleh mereka hanyalah mencari kesalahan demi kesalahan pihak lain kerana tiada kefahaman akan kebebasan buat ilmu-ilmu yang dimiliki, yang sepatutnya digunakan untuk mencari penyelesaian demi pemyelesaian keatas masaalah-masaalah yang dihadapi oleh insan-insan hari ini.

Sedangkan kebebasan adalah suatu anugerah yang wajar dihargai. Tanpa kebebasan, insan terbelenggu samada fizikal dirinya mahupun fikiran atau perasaanya. Kebebasan bukan sahaja bermaksud dari bentuk luaran tetapi yang utama adalah dari dalaman dirinya iaitu kebebasan jiwanya dari dibelenggu oleh duniawi atau kebendaan.

Tanpa mengecapi kebebasan jiwa, insan akan menderita serta kehidupannya adalah seperti robot dan ini seterusnya ditampilkan oleh dirinya dalam kehidupan seharian tanpa disedari. Hatta mereka yang tinggal dalam komuniti yang begitu maju atau modern, terdapat ramai yang menderita kerana jiwanya terbelenggu seperti contohnya begitu tinggi statistik akan kes-kes stress, kemurungan atau tekanan jiwa dan lain-lain, terutama dikota-kota besar.

Mungkin para pakar jiwa akan melakukan beribu jenis terapi untuk menyembuhkan atau mungkin sipesakit akan berlanjutan mengambil ubat-ubat penenang buat dirinya, namun kenyataannya, terdapat begitu ramainya insan-insan lain yang angkanya mungkin berbillion, yang tidak memahami akan tekanan jiwa yang dialami, menggunakan berbagai-bagai medium tersendiri untuk mencari ketenangan atau sebagai ubat-ubatan untuk mengurangkan tekanan hidupnya dalam erti mencari kebebasan jiwanya yang terbelenggu.

Ada yang akan memenuhi setiap ruang masa dengan berbagai-bagai bentuk hiburan mahupun yang mengambil dadah, minuman-minuman keras dan lain-lain, dimana lazimnya tidak disedari akan kaitan sesuatu yang diminati atau yang dituruti dengan apa yang dihadapi oleh jiwanya, seperti golongan mereka yang terkena histeria yang menggunakan medium meluangkan perasaan habis-habisan dengan menjerit-jerit untuk melepaskan tekanan jiwa yang dihadapi.

Bersambung...

Tuesday, February 01, 2011

Batas sempadan - 6

Setiap insan memerlukan kebebasan buat dirinya, hanya bezanya apakah akan erti suatu kebebasan tersebut serta dimana batas sempadan kebebasan tersebut bergantung dibawah skop yang dimengertikan yang mana ia berubah-ubah mengikut personaliti seseorang, gaya atau kehidupan, cara berfikir, persekitaran, zaman yang dilalui, pegangan hidup dan seterusnya.

Dari seorang ibu yang memerlukan ruang kebebasan dalam bagaimana dirinya mengasuh anaknya atau menguruskan rumah-tangganya sendiri sehinggalah juga kepada anak-anak kecil yang memerlukan ruang kebebasan untuk dirinya bermain sambil belajar akan kehidupan disekitarnya.

Sebegitu juga, dari seseorang insan yang memperkatakan kebebasan buat dirinya untuk berkata-kata, menyampaikan apa yang dirasa, berfikir, menjalankan kehidupan sebagaimana yang dikehendaki sehinggalah kepada kebebasan buat masyarakat dalam menjalankan kehidupan seharian mereka dari pihak lain seperti cengkaman pemerintah yang kejam serta tamak.

Sesiapa pun hakikatnya tidak mahu dijadikan hamba kepada yang lain apatah lagi dilahirkan sebagai hamba yang mana sesejak lahirnya, telah bertuankan seseorang dan seluruh kehidupannya didambakan untuk tuannya, seperti dalam sistem penghambaan suatu ketika dahulu diseluruh dunia, tetapi kini telah dihapuskan (namun sistem penghambaan ini sebenarnya masih dijalankan dalam beberapa bentuk lain oleh pihak yang tidak bertanggung-jawab seperti tertera disini: Arrested Development, modern salvery).

Ini kerana fitrah insan sebenarnya dijadikan untuk merdeka dari bentuk penghambaan kepada segala mahluk kerana dirinya secara fitrah dijadikan semata-mata untuk menghambakan diri pada Penciptanya. Segala yang dilalui mengikut takdir atau cara kehidupan adalah merupakan ujian untuk dirinya memahami akan dirinya dijadikan adalah semata-mata untuk penghambaan kepada Penciptanya.

Sebaliknya sekiranya insan gagal memahami akan fitrah dirinya untuk semata-mata pertamanya mendambakan diri pada Penciptanya atas berbagai sebab seperti tidak mengenal Penciptanya, maka tanpa disedarinya, dirinya akan mendambakan diri pada sesuatu yang dianggap Penciptanya seperti pada batu-batu, patung-patung mahupun emas-emas, wang-ringgit dan lain-lain.

Fitrah penghambaan diri insan kepada Pencipta sebenarnya adalah berbentuk mutlak tanpa syarat dimana dalam keadaan atau apa sahaja situasi, tetap ia wajib mendambakan dirinya pada Penciptanya sedang untuk mahluk-mahluk lain yang dicipta oleh Pencipta, adanya syarat atau sebab-sebab mengapa ia mendambakan diri pada mereka.

Contohnya seorang isteri yang mendambakan dirinya kepada suami yang dikahwini tertakluk pada syarat kerana sisuami adalah tempat dirinya bernaung, tempat berlindung, teman hidup, ayah kepada anak-anaknya dan lain-lain. Sebegitu juga dengan sisuami dan seterusnya kepada masyarakat yang mendambakan diri mereka pada Raja atau pemerintah mereka, adalah terikat kerana sesuatu syarat kerana tanpa syarat ini, kebebasan mereka tidak akan diberi pada yang didambakan.

Hari ini, dalam mana dunia semakin berubah kearah yang lebih bebas iaitu sesiapa sahaja wajar mendapatkan hak-haknya, dimana juga syarat-syarat untuk seseorang mengorbankan kebebasannya lazimnya adalah telah termaktub seperti seorang pekerja yang berkerja dibawah majikannya 8 jam sehari adalah kerana dirinya dibayar sebegitu bersama dengan hak-haknya sebagai pekerja iaitu berehat dan lain-lain.

Sebegitu juga dengan perkara-perkara yang lain, tetapi dunia Arab masih lagi kelihatan ketinggalan. Samada yang dibawah kekuasaan Rajanya yang mana lazimnya kekayaan mahupun jawatan-jawatan utama hanya dikuasai oleh Raja berserta ahli-keluarganya, mahupun negara yang digelar negara demokrasi yang mana Presiden dan ahli-keluarganya sahajalah yang berhak memegang segala tampok pemerintahan utama mahupun membolot kekayaan negara.

Dalam mana, rakyatnya menderita atau dalam suasana yang bukan mudah untuk menjalani kehidupan seharian, mereka-mereka yang berkuasa seperti para Raja mahupun presiden berserta ahli-keluarga mereka pula hidup dalam penuh kemewahan yang berlebihan diatas dasar merampas harta negara yang sepatutnya dikongsi oleh rakyatnya atau dikendalikan untuk kemakmuran negara. Kerana itu, mereka bukanlah insan yang wajar lagi didambakan diri oleh rakyat mereka tetapi mereka harus ditumbangkan atau dikurangkan kuasa mereka, kerana keadilan terutamanya dari pemimpin adalah lebih utama didalam agama Islam.

Sedangkan syarat Raja atau pemimpin dimuliakan dan ditaati adalah kerana tanggung-jawab serta tugas yang dipikulkan sebagai pemimpin bukan sahaja sebagai adat-traditional (mungkin suatu zaman dahulu, namun zaman semakin berubah), dimana juga rakyat tidaklah perlu lagi sibuk berpolitik atau bercakaran untuk merebut kuasa saban waktu atau juga tidak lagi risau akan keutamaan bersama seperti keutamaan dalam beragama, namun sekiranya sebaliknya yang berlaku dimana Raja atau pemimpin tertinggi hanya mementingkan diri dan kekuasaan, melakukan kezaliman serta mereka menolak tuntutan-tuntutan agama, dalam mana tidak memenuhi syaratnya sebagai pemimpin, maka terjadilah kerosakan kepada rakyatnya mahupun penjajahan akan kembali keatas umat Islam seperti dizaman silam.

Berbalik kepada erti batas sempadan kebebasan, diri insan sendiri dalam apa sahaja kehidupan yang dilaluinya, sebenarnya tidak pernah bebas dari suatu batas sempadan. Contohnya, seorang yang berkeinginan untuk memakan apa sahaja pun juga terdapat batas yang mana dia tidak mampu lagi untuk menyuap walaupun sesuap makanan kedalam mulutnya kerana perutnya telah penuh. Dan selebih itu juga, dirinya akan mendapat berbagai-bagai penyakit sekiranya dirinya membiasakan diri makan keperingkat batas sempadan apa yang termampu dimakan. Manakala terdapat batas bukan dalam bentuk fizikal seperti makanan yang halal, bersih mahupun berkhasiat yang mengikat dirinya.

Sebegitu juga dengan perkara-perkara yang lain dan kemuncaknya adalah kebebasan insan yang dibatasi oleh sempadan waktu kehidupan yang dilalui dimana dirinya tidak pernah bebas dari detik waktu yang berlalu yang semakin membawa dirinya disuatu detik kepenghujung tidak kira siapa dirinya termasuklah Raja Mesir iaitu firaun-firaun yang dengan memperhambakan rakyatnya untuk membina Piramid, kerana menyangka dengan adanya piramid ini, dirinya dapat menembusi batas umurnya, dapat hidup seterusnya sebagaimana yang diinginkan namun tetap kecundang tanpa sedikit pun keupayaannya untuk terus hidup didunia ini. Yang tinggal hanyalah jasadnya yang diawetkan tanpa roh berserta tinggalan segala perhiasan emas-emasnya disekitar jasadnya yang tiada langsung dapat membantu dirinya.

Bersambung.

Tajuk

Abbasiyah (1) altruisme - ikram (3) Aqidah (1) art video (20) Bahasa dan penampilan (5) Bangsa Melayu (7) batas sempadan (9) Berita (15) Besi (1) Biography solihin (1) Budaya dan pengertiannya (16) catitan (2) cerdik/bodoh dan antaranya (6) cetusan minda (8) cinta dan syahwat (3) Doha - Qatar (2) Eid Mubarak (5) Fantasia falasi (3) Fibonacci (1) Filem (1) Fungsi seni (1) gangsa (1) hukum (6) huruf (2) hutang (1) ijtima (1) Iklan (2) imitasi dan memori (1) infiniti (5) jalan2 (2) kebangsaan/nationalisme (2) kebebasan bersuara (1) Kelahiran kesenian yang mengubah warna dunia. (1) Kembali sebentar tentang erti seni (Islam) (1) kerja otak (1) Kesenian dunia Islam (1) konsep kendiri (3) konspirasi (1) Lentok tangan (1) Malaysia (3) Maslahah atau mafsadah (1) Maya (ilusi) (4) Melaka (1) Melayu (2) Melayu dan Islam (9) minda (2) musik (2) nukilan rasa (1) Pantang dalam berkarya (1) Pause (6) Pengajian dan pengertian budaya (1) Perasaan dan pemikiran (5) Persepsi / Tanggapan (6) pointillism (2) populasi dunia (9) Produk sejarah (11) Program dan hayat (2) prosa (4) ramadan (2) realiti - kenyataan (7) Sajak (22) Sangkaan (2) sebab dan akibat (18) sejarah (10) Sejarah mengubah/terubah (5) Sejarah seni dalam kehidupan insan (1) Sejarah video (1) Seni Bahasa (2) Seni dalam imiginasi (1) seni kata (1) Seni logam (3) Seni textil (budaya berpakaian) (2) Seni-seni mempertahankan diri (1) sound (1) Srivijaya (3) Sunda (6) Tahap kesederhanaan (1) Tahap-tahap kehidupan (14) tenung bintang (1) Terkesan dengan suasana (2) Tradisional dalam makna (1) Ukuran dan kayu pengukurnya (2) updated (1) Usia manusia (3) vision (1) wang (7) Wujudkah kosong? (2) zarzh slide (12)

Catitan lalu

Insuran & Road Tax Online

tetangga