Setiap insan memerlukan kebebasan buat dirinya, hanya bezanya apakah akan erti suatu kebebasan tersebut serta dimana batas sempadan kebebasan tersebut bergantung dibawah skop yang dimengertikan yang mana ia berubah-ubah mengikut personaliti seseorang, gaya atau kehidupan, cara berfikir, persekitaran, zaman yang dilalui, pegangan hidup dan seterusnya.
Dari seorang ibu yang memerlukan ruang kebebasan dalam bagaimana dirinya mengasuh anaknya atau menguruskan rumah-tangganya sendiri sehinggalah juga kepada anak-anak kecil yang memerlukan ruang kebebasan untuk dirinya bermain sambil belajar akan kehidupan disekitarnya.
Sebegitu juga, dari seseorang insan yang memperkatakan kebebasan buat dirinya untuk berkata-kata, menyampaikan apa yang dirasa, berfikir, menjalankan kehidupan sebagaimana yang dikehendaki sehinggalah kepada kebebasan buat masyarakat dalam menjalankan kehidupan seharian mereka dari pihak lain seperti cengkaman pemerintah yang kejam serta tamak.
Sesiapa pun hakikatnya tidak mahu dijadikan hamba kepada yang lain apatah lagi dilahirkan sebagai hamba yang mana sesejak lahirnya, telah bertuankan seseorang dan seluruh kehidupannya didambakan untuk tuannya, seperti dalam sistem penghambaan suatu ketika dahulu diseluruh dunia, tetapi kini telah dihapuskan (namun sistem penghambaan ini sebenarnya masih dijalankan dalam beberapa bentuk lain oleh pihak yang tidak bertanggung-jawab seperti tertera disini: Arrested Development, modern salvery).
Ini kerana fitrah insan sebenarnya dijadikan untuk merdeka dari bentuk penghambaan kepada segala mahluk kerana dirinya secara fitrah dijadikan semata-mata untuk menghambakan diri pada Penciptanya. Segala yang dilalui mengikut takdir atau cara kehidupan adalah merupakan ujian untuk dirinya memahami akan dirinya dijadikan adalah semata-mata untuk penghambaan kepada Penciptanya.
Sebaliknya sekiranya insan gagal memahami akan fitrah dirinya untuk semata-mata pertamanya mendambakan diri pada Penciptanya atas berbagai sebab seperti tidak mengenal Penciptanya, maka tanpa disedarinya, dirinya akan mendambakan diri pada sesuatu yang dianggap Penciptanya seperti pada batu-batu, patung-patung mahupun emas-emas, wang-ringgit dan lain-lain.
Fitrah penghambaan diri insan kepada Pencipta sebenarnya adalah berbentuk mutlak tanpa syarat dimana dalam keadaan atau apa sahaja situasi, tetap ia wajib mendambakan dirinya pada Penciptanya sedang untuk mahluk-mahluk lain yang dicipta oleh Pencipta, adanya syarat atau sebab-sebab mengapa ia mendambakan diri pada mereka.
Contohnya seorang isteri yang mendambakan dirinya kepada suami yang dikahwini tertakluk pada syarat kerana sisuami adalah tempat dirinya bernaung, tempat berlindung, teman hidup, ayah kepada anak-anaknya dan lain-lain. Sebegitu juga dengan sisuami dan seterusnya kepada masyarakat yang mendambakan diri mereka pada Raja atau pemerintah mereka, adalah terikat kerana sesuatu syarat kerana tanpa syarat ini, kebebasan mereka tidak akan diberi pada yang didambakan.
Hari ini, dalam mana dunia semakin berubah kearah yang lebih bebas iaitu sesiapa sahaja wajar mendapatkan hak-haknya, dimana juga syarat-syarat untuk seseorang mengorbankan kebebasannya lazimnya adalah telah termaktub seperti seorang pekerja yang berkerja dibawah majikannya 8 jam sehari adalah kerana dirinya dibayar sebegitu bersama dengan hak-haknya sebagai pekerja iaitu berehat dan lain-lain.
Sebegitu juga dengan perkara-perkara yang lain, tetapi dunia Arab masih lagi kelihatan ketinggalan. Samada yang dibawah kekuasaan Rajanya yang mana lazimnya kekayaan mahupun jawatan-jawatan utama hanya dikuasai oleh Raja berserta ahli-keluarganya, mahupun negara yang digelar negara demokrasi yang mana Presiden dan ahli-keluarganya sahajalah yang berhak memegang segala tampok pemerintahan utama mahupun membolot kekayaan negara.
Dalam mana, rakyatnya menderita atau dalam suasana yang bukan mudah untuk menjalani kehidupan seharian, mereka-mereka yang berkuasa seperti para Raja mahupun presiden berserta ahli-keluarga mereka pula hidup dalam penuh kemewahan yang berlebihan diatas dasar merampas harta negara yang sepatutnya dikongsi oleh rakyatnya atau dikendalikan untuk kemakmuran negara. Kerana itu, mereka bukanlah insan yang wajar lagi didambakan diri oleh rakyat mereka tetapi mereka harus ditumbangkan atau dikurangkan kuasa mereka, kerana keadilan terutamanya dari pemimpin adalah lebih utama didalam agama Islam.
Sedangkan syarat Raja atau pemimpin dimuliakan dan ditaati adalah kerana tanggung-jawab serta tugas yang dipikulkan sebagai pemimpin bukan sahaja sebagai adat-traditional (mungkin suatu zaman dahulu, namun zaman semakin berubah), dimana juga rakyat tidaklah perlu lagi sibuk berpolitik atau bercakaran untuk merebut kuasa saban waktu atau juga tidak lagi risau akan keutamaan bersama seperti keutamaan dalam beragama, namun sekiranya sebaliknya yang berlaku dimana Raja atau pemimpin tertinggi hanya mementingkan diri dan kekuasaan, melakukan kezaliman serta mereka menolak tuntutan-tuntutan agama, dalam mana tidak memenuhi syaratnya sebagai pemimpin, maka terjadilah kerosakan kepada rakyatnya mahupun penjajahan akan kembali keatas umat Islam seperti dizaman silam.
Berbalik kepada erti batas sempadan kebebasan, diri insan sendiri dalam apa sahaja kehidupan yang dilaluinya, sebenarnya tidak pernah bebas dari suatu batas sempadan. Contohnya, seorang yang berkeinginan untuk memakan apa sahaja pun juga terdapat batas yang mana dia tidak mampu lagi untuk menyuap walaupun sesuap makanan kedalam mulutnya kerana perutnya telah penuh. Dan selebih itu juga, dirinya akan mendapat berbagai-bagai penyakit sekiranya dirinya membiasakan diri makan keperingkat batas sempadan apa yang termampu dimakan. Manakala terdapat batas bukan dalam bentuk fizikal seperti makanan yang halal, bersih mahupun berkhasiat yang mengikat dirinya.
Sebegitu juga dengan perkara-perkara yang lain dan kemuncaknya adalah kebebasan insan yang dibatasi oleh sempadan waktu kehidupan yang dilalui dimana dirinya tidak pernah bebas dari detik waktu yang berlalu yang semakin membawa dirinya disuatu detik kepenghujung tidak kira siapa dirinya termasuklah Raja Mesir iaitu firaun-firaun yang dengan memperhambakan rakyatnya untuk membina Piramid, kerana menyangka dengan adanya piramid ini, dirinya dapat menembusi batas umurnya, dapat hidup seterusnya sebagaimana yang diinginkan namun tetap kecundang tanpa sedikit pun keupayaannya untuk terus hidup didunia ini. Yang tinggal hanyalah jasadnya yang diawetkan tanpa roh berserta tinggalan segala perhiasan emas-emasnya disekitar jasadnya yang tiada langsung dapat membantu dirinya.
Bersambung.
No comments:
Post a Comment