Dalam dunia yang semakin menuju kearah kebebasan, targhib iaitu usaha mendorong kearah kebaikan adalah lebih utama berbanding usaha tarhib iaitu usaha memberi amaran. Ini kerana usaha tarhib (seperti memberi amaran dan seterusnya kepada tindakan mencegah iaitu nahil mungkar) lazimnya adalah merupakan batas sempadan yang tersemadi sebagai undang-undang dan dilakukan oleh penguat-kuasa, sedang usaha targhib (seperti mengajak kearah kebaikan iaitu amar maa`ruf) adalah usaha yang terbuka dimana boleh dilakukan oleh sesiapa dan bila-bila masa sahaja, samada dari orang-orang awam mahupun pihak umarah (pemerintah).
Kewujudan sesuatu batas sempadan buat kebebasan adalah seperti ubat-ubatan bagi seorang pesakit yang memerlukannya. Dan ini tentunya ia bergantung kepada apa yang dikatakan sesuatu itu batas sempadan kerana sekiranya ia adalah dari sesuatu kebenaran atau yang hak, maka ia adalah seperti ubatan-ubatan manakala sekiranya ia adalah dari kemungkaran atau kezaliman, maka ia adalah seperti racun yang menambahkan sesuatu penyakit.
Hari ini, penceraian antara suami dan isteri adalah suatu yang lumrah dan tinggi statistik pasangan yang bercerai dimana sahaja tidak kira bangsa, negara mahupun agama. Hatta setengah kepercayaan yang tidak membenarkan penceraian seperti Nasrani atau Hindu, kini ramai penganutnya yang bercerai kerana kebebasan yang dikecapi oleh setiap pasangan adalah dalam tahap yang berbeza dengan zaman silam, dalam memilih cara hidup mahupun pasangan hidup.
Sebegitu juga pergeseran antara pengikut yang mengikut berbeza parti politik dimana saban waktu, permusuhan ini tiada henti-henti dan seterusnya kepada perkara-perkara lain yang membawa fitnah seperti fitnah-fitnah yang timbul dari berbagai unsur hiburan yang dihidangkan dari beribu bentuk media-media, jenayah remaja mahupun keruntuhan moral yang berleluasan tambahan dengan kehadiran dunia internet yang tiada sempadan, adalah kerana penyalahan-guna kebebasan atau tidak memahami akan apa erti kebebasan yang dikecapi.
Ini termasuk juga mereka-mereka yang mengklaimkan bahawa diri mereka menguasai segala ilmu agama atau kalangan cerdik-pandai yang memiliki ribuan sijil-sijil tetapi apa yang dilakukan oleh mereka hanyalah mencari kesalahan demi kesalahan pihak lain kerana tiada kefahaman akan kebebasan buat ilmu-ilmu yang dimiliki, yang sepatutnya digunakan untuk mencari penyelesaian demi pemyelesaian keatas masaalah-masaalah yang dihadapi oleh insan-insan hari ini.
Sedangkan kebebasan adalah suatu anugerah yang wajar dihargai. Tanpa kebebasan, insan terbelenggu samada fizikal dirinya mahupun fikiran atau perasaanya. Kebebasan bukan sahaja bermaksud dari bentuk luaran tetapi yang utama adalah dari dalaman dirinya iaitu kebebasan jiwanya dari dibelenggu oleh duniawi atau kebendaan.
Tanpa mengecapi kebebasan jiwa, insan akan menderita serta kehidupannya adalah seperti robot dan ini seterusnya ditampilkan oleh dirinya dalam kehidupan seharian tanpa disedari. Hatta mereka yang tinggal dalam komuniti yang begitu maju atau modern, terdapat ramai yang menderita kerana jiwanya terbelenggu seperti contohnya begitu tinggi statistik akan kes-kes stress, kemurungan atau tekanan jiwa dan lain-lain, terutama dikota-kota besar.
Mungkin para pakar jiwa akan melakukan beribu jenis terapi untuk menyembuhkan atau mungkin sipesakit akan berlanjutan mengambil ubat-ubat penenang buat dirinya, namun kenyataannya, terdapat begitu ramainya insan-insan lain yang angkanya mungkin berbillion, yang tidak memahami akan tekanan jiwa yang dialami, menggunakan berbagai-bagai medium tersendiri untuk mencari ketenangan atau sebagai ubat-ubatan untuk mengurangkan tekanan hidupnya dalam erti mencari kebebasan jiwanya yang terbelenggu.
Ada yang akan memenuhi setiap ruang masa dengan berbagai-bagai bentuk hiburan mahupun yang mengambil dadah, minuman-minuman keras dan lain-lain, dimana lazimnya tidak disedari akan kaitan sesuatu yang diminati atau yang dituruti dengan apa yang dihadapi oleh jiwanya, seperti golongan mereka yang terkena histeria yang menggunakan medium meluangkan perasaan habis-habisan dengan menjerit-jerit untuk melepaskan tekanan jiwa yang dihadapi.
Bersambung...
No comments:
Post a Comment