Friday, January 28, 2011

Batas sempadan - 5

Dalam memperkatakan dimana batas sempadan akan hak-hak buat individu atau sesuatu masyarakat, dunia telah dan akan sentiasa bergolak tidak kira dizaman apa. Samada antara kanak-kanak kecil yang bergaduh kerana barang permainan mereka, adik-beradik atas perebutan harta warisan, suami-isteri, jiran-tetangga, kelompok-kelompok yang mempunyai perbezaan ideologi atau atas perkara-perkara yang bertentangan dan seterusnya kepada negara dengan suatu negara yang lain.

Dalam mana masing-masing akan meletakan apakah batas sempadan yang dipercayai itu adalah kebenaran, itu adalah miliknya, itulah yang sepatutnya dan seterusnya manakala antara kebenaran dengan sebaliknya adalah telah tersimpul hanya kebiasaannya kabur lantaran sesuatu kepentingan atau keadaan.

Juga disebalik semua segala peristiwa yang terjadi, lazimnya terselit hikmah atau iktibar untuk diambil kira. Kekadang terjadinya suatu petaka buruk adalah sebab untuk suatu kebaikan sebegitu juga sebaliknya. Kerana sejarah kehidupan insan tidak pernah tenang untuk suatu jangka masa yang panjang, biar apa pun yang diusahakan. Namun hanya, mereka yang giat berusaha kearah kebaikan dan keamanan tidak kira dalam keadaan apa, merekalah yang sentiasa akan mendapat imbalan kebaikan kembali.

Hari ini, dunia menyaksikan akan perubahan demi perubahan drastik yang berlaku sesejak dari beberapa abad yang lepas. Dari peperangan dunia pertama dan kedua yang menyebabkan merosotnya kuasa penjajah sehingga menjadi faktor banyaknya negara-negara yang dijajah berpeluang mencapai kemerdekaan, pertukaran tampok-tampok pemerintahan juga ideologi. Seterusnya kepada runtuhnya blok-blok komunis dan kini kepada tumbangnya satu-persatu rejim-rejim diktaktor didunia Arab. Hatta China yang merupakan satu-satu kuasa besar yang masih mempertahankan ideologi komunisnya, telah merubah ideologinya dalam bentuk yang lebih terbuka.

Mengapakah perubahan secara drastik ini terjadi dimana setiap insan lebih cenderung untuk memperjuangkan hak-hak kebebasannya dibandingkan dengan zaman silam. Mungkinkah kerana batas sempadan buat cara sistem pemerintahan majoriti penduduk dunia adalah kini dalam menuju acuan falsafah liberalisme, yang mana ideologi dari falsafah ini pertama-tamanya memperjuangkan hak-hak setiap individu? Atau mungkinkah ini semua terjadi kerana penduduk dunia kini lebih matang akan hak-hak masing-masing serta adanya alat-alat atau peluang untuk meraihnya? Atau mungkinkah kerana informasi yang batas sempadannya semakin meluas, pengetahuan yang sesiapa sahaja wajar meraihnya serta dunia komunikasi yang semakin tiada halangan dimana-mana?

Bila memperkatakan bahawa ini adalah dari kesan falsafah liberalisme, maka pengenalan kepada falsafah liberalisme ini yang mana sistem demokrasi (samada republik atau raja berpelembagaan) adalah merupakan sebahagian darinya, bukanlah dari sistem penjajahan tetapi dari kebangkitan atas kesedaran sesetengah pihak dibenua Eropa yang memperjuangkan kebebasan untuk mengubah keadaan dunia mereka yang dianggap dalam kegelapan pemikiran dan kezaliman diatas kuasa autoritarianisme yang hanya dipegang sekian lama oleh sekelompok kecil pihak atasan.

Seperti autoriti penuh yang dipegang oleh pihak diraja dan juga dengan pihak atasan gereja yang mempunyai segala kekebalan dari undang-undang yang wujud, membuat pihak lain terutama pihak awam kehilangan hak-hak mereka serta hidup dalam keadaan tertindas, menyebabkan kebangkitan diabad ke-16, ke-17, ke-18 dan abad-abad seterusnya dibawah falsafah liberalisme ini, untuk menukar keadaan seperti contohnya kewujudan sistem raja berpelembagaan dimana kuasa pihak diraja tiada lagi mempunyai kekuasaan mutlak serta tiada mempunyai kekebalan mengatasi undang-undang.

Liberalisme ini sebenarnya juga mengalami proses-proses pembaikan dari suatu abad kesuatu abad dimana sehinggalah hari ini, ia merupakan asas tunjang ideologi majoriti negara didunia hari ini. Ini termasuk dengan sentiasa memasuki elemen-elemen baru yang berkaitan dengan moral disamping yang berkaitan dengan budaya serta kepercayaan kedalamnya. Kerana biasa terjadi, mereka yang dikatakan liberal dimana prinsipnya adalah memperjuangkan kebebasan, tetapi kemudiannya merampas atau membatasi kebebasan pihak lain seperti contohnya pemaksaan keatas sistem pengundian kepada pihak yang berkecuali atau tidak mahu mengundi, sedangkan itu juga adalah suatu kebebasan samada seseorang tersebut mahu mengundi atau tidak.

Apatah lagi dengan tindakan ketenteraan yang sewenang-wenangnya dilakukan oleh sesebuah negara bertaraf kuasa dunia keatas negara lain diatas slogan kebebasan dan demokrasi sehingga menyebabkan berjuta-juta insan yang tidak berdosa terkorban dalam mana juga negara yang mahu didemokrasikan (seperti contohnya Iraq atau Afghanistan), bukannya menjadi lebih aman, malah semakin menuju kearah kehancuran dengan pergolakan dalamannya. Ditambah juga kenyataan bahawa negara contoh utama falsafah liberalisme iaitu Amerika Syarikat inilah yang membantu dan menaugi diktaktor-diktaktor yang merampas hak-hak rakyatnya dengan berbagai kekejaman, seperti dibeberapa negara Arab termasuk juga diktaktor-diktaktor yang dahulunya berkuasa diAmerika Selatan tetapi kini  telah ditumbangkan.

Justeru disini jelas dunia hari ini memerlukan pembaikan dalam langkah kearah liberalisme mereka dan dalam menentukan batas sempadan buat suatu tindakan dibawah nama kebebasan, yang mana batas sempadan ini bukanlah ditentukan sewenang-wenangnya oleh sesuatu pihak seperti dengan kuasa veto oleh negara yang menyalah-gunakan kuasa veto ini untuk menghalalkan darah penduduk Palestine buat Israel.

Bersambung...

Wednesday, January 26, 2011

Batas sempadan - 4


Dalam hubungan antara individu atau sesuatu kelompok masyarakat dengan masyarakat yang lain, samada berkaitan dengan unsur budaya, kepercayaan mahupun apa sahaja cara hidup, terdapatnya batas sempadan samada yang termaktub atas sesuatu etika yang berkaitan dengannya atau pun atas pendirian diri individu masing-masing.

Tembuk batas sempadan ini wujud seperti dari unsur-unsur perbezaan taraf hidup, taraf pemikiran, jantina, usia, bidang yang diminati, pegangan yang dianuti dan seterusnya dan ini adalah sesuatu yang lumrah berlaku dimana-mana kerana kehidupan insan itu sendiri wujud dari beribu macam rentak, tidak seperti haiwanat yang hampir sama sahaja rentak kehidupan yang dilalui.

Untuk memecah tembuk batas sempadan ini, maka terdapatnya proses-proses seperti yang dikenali sebagai integrasi iaitu kesefahaman dan tolak-ansur antara pihak-pihak yang terbabit atau proses asimilasi iaitu dimana sesuatu pihak meninggalkan cara bentuk kehidupannya, lalu menyerap atau meniru cara bentuk kehidupan pihak yang lain.

Dalam pada itu, perlu diakui, pihak-pihak yang mendominasikan sesuatu cara kehidupan akan lebih cenderung menghendaki pihak lain mengasimilasikan diri mereka kedalam unsur pihak yang mendominasi, biarpun dikatakan itu suatu proses integrasi. Bagaimana pun, lazim juga terjadi dimana pihak yang mendominasikan sesuatu tempat atau cara hidup, bersikap terbuka kepada semua pihak untuk samada mengikut cara bentuk kehidupan mereka atau sebaliknya.

Sedang cara bentuk pemaksaan asimilasi sekiranya sesuatu pihak ingin bergabung dengan pihak lain adalah seperti contohnya, pihak yang berada atau yang bertaraf kaya-raya mahupun menganggap dirinya telah jauh maju, tentu sahaja menghendaki pihak lain yang sekiranya ingin bersama mereka, mengikut atau meniru kehidupan mereka yang penuh kemewahan serta kesombongan, kerana sekiranya pihak yang kurang berada hanya mengintegrasikan diri mereka kedalam kelompok yang berada (iaitu membawa unsur ketidak-beradaan mereka kedalam kelompok yang berada), kelompok yang berada tersebut tentu sahaja tidak akan menerima atau dalam erti kata lain memandang rendah serta hina diatas jurang perbezaan mereka, sebagaimana mereka yang berada didalam kasta atasan memandang rendah kasta bawahan atau kasta pariah.

Jadi perkataan integrasi bukanlah untuk kes-kes sebegini, lantaran ini adalah jelas suatu bentuk pemaksaan asimilasi dan menyatakan pemaksaan asimilasi sebagai integrasi adalah merupakan suatu sikap hipokrit yang amat besar, sebagaimana terdapatnya pihak dinegara yang melaungkan persamaan hak-hak untuk setiap insan dibawah slogan liberialisme mereka, tetapi untuk penganut agama lain yang menetap disitu, dirampas hak mereka untuk mengamalkan agama mereka seperti tidak dibenarkan wanita Islam bertudung dan lain-lain.

Sebagaimana hipokritnya kenyataan seorang bekas perdana menteri sebuah negara pulau yang mahukan orang Melayu-Islam yang merupakan penduduk asal negara pulau tersebut, mengurangkan pengamalan ajaran Islam mereka agar dapat mengintegrasikan diri mereka dalam masyarakat Cina-Singapore, sedangkan ini bukanlah proses integrasi, tetapi merupakan unsur pemaksaan asimilasi dalam mencairkan jati-diri seorang Melayu-Islam.

Integrasi sebenar antara sesuatu masyarakat kedalam suatu masyarakat lainnya adalah bila seseorang tersebut mengekalkan jati-diri atau cara masyarakat dirinya, kemudian bergabung dengan masyarakat lain diatas unsur-unsur kesefahaman dan kebaikan bersama (seperti dibawah naugan negara yang sama, kehidupan persekitaran yang sama dan lain-lain), bukan meninggalkan jati-diri mereka atau mengurangkan jati-diri, kerana itu adalah bentuk asimilasi, bukan integrasi.

Apatah lagi buat kes untuk penduduk asal sesebuah tempat, yang lazimnya pihak luar yang datang kesitulah yang harus mengintegrasikan diri mereka kedalam penduduk asal sesebuah tempat, bukannya penduduk asal tersebut (melainkan ia adalah atas kerelaan mereka).


Bersambung...

Monday, January 24, 2011

Batas sempadan - 3


Insan, kejadiannya adalah diantara batasan-batasan atau sempadan yang wujud dalam kehidupanya dengan kebebasan-kebebasan yang sewajarnya dimiliki. Sempadan atau kebebasan yang terhad oleh lingkungan tubuh-badan serta suasana persekitaran fizikal dengan sempadan atau kebebasan buat fikiran yang lebih jauh batasnya dari bentuk fizikal seperti contohnya seseorang memikirkan untuk melakukan kebaikan atau dosa adalah tidak sama dengan melakukannya.

Samada bagaimanakah sempadan yang wajar melingkungi insan agar hidupnya terlindung dari segala kemudaratan didalam dunia ini dan seterusnya selepas kematiannya serta bentuk kebebasan yang wajar dimiliki dimana merupakan maslahah atau kebaikan buat diri insan, dengan bagaimanakah sempadan yang membatasi segala pergerakan insan sehingga segala aktiviti berkaitan kehidupannya terbantut serta corak kebebasan yang dimiliki sehingga menghasilkan masfadah atau keburukan, adalah suatu pertanyaan mahupun suatu perjuangan yang mana telah menumpahkan darah dengan berlakunya peperangan demi peperangan dalam sejarah kewujudan insan sedari awal lagi.

Bila memperkatakan tentang kenyataan batas atau sempadan yang mempengaruhi diseluruh dunia hari ini, samada dari bentuk pemerintahan iaitu sistem demokrasi, ekonomi serta budaya, wajar rasanya dikaji kembali suatu proses pemikiran yang kini telah menjadi suatu pratikal dimana-mana benua diseluruh dunia, yang mana proses pemikiran ini bermula dibenua Eropa antara abad ke-16 dan abad ke-17 dan seterusnya merupakan suatu pemangkin buat perubahan dibenua Amerika Syarikat bila dipratikkan dan kesan seterusnya menjadi suatu ikutan diseluruh dunia.

Proses pemikiran ini adalah digelar Liberalisme (berasal dari bahasa latin: liber, yang bermaksud bebas serta liberty yang bermaksud konsep kebebasan), iaitu suatu falsafah pemikiran yang meletakkan kebebasan sebagai suatu nilai politik tertinggi. Seseorang yang mengikuti pemikiran bentuk liberalisme dipanggil seorang liberal. Namun perlu ditegaskan, tidak semua yang mempunyai unsur pemikiran yang selari dengan liberalisme namun mempunyai ciri tersendiri yang membezakannya dengan fahaman liberalisme adalah digelar liberal.

Konsep liberalisme adalah terutamanya menekankan prinsip-prinsip akan kebebasan setiap insan keatas hak-hak dirinya seperti hak individu keatas harta miliknya, kebebasan berfikir, kebebasan bersuara, peluang yang sama rata tanpa mengira latar-belakang seperti warna kulit dan lain-lain. Sebegitu juga konsep kebebasan buat masyarakat umum seperti ekonomi pasaran bebas, batasan keatas kuasa sesuatu kerajaan, sistem pengundian iaitu sistem demokrasi dimana semua rakyat mempunyai hak-hak menentukan pemerintah mereka.

Konsep liberalisme ini tidak dinafikan membawa banyaknya kebaikan atau sesuatu yang positif dimana ia telah merubah keadaan dunia silam yang penuh peperangan mahupun penghambaan kepada keadaan dunia yang lebih aman hari ini, namun begitu, biarpun ia kelihatan suatu yang sempurna serta suatu penyelesaian buat kehidupan insan yang bermasyarakat, terdapat kekurangan serta kelemahan terutama bergantung kepada cara pratikalnya, suasana sesuatu tempat atau zaman, ketelusan sesuatu pihak yang berkuasa serta bila bertembung dengan dunia realiti kehidupan insan yang dibaluti dengan segala unsur budaya kehidupan serta kepercayaan yang dipegangi.

Hatta dibenua yang bermulanya konsep fahaman ini, mengambil berkurun-kurun lamanya untuk menterjemahkannya kedalam kehidupan nyata dan kenyataannya, sehingga kini, mereka belum dapat mencapai sepenuhnya mahupun melengkapinya. Contohnya diskriminasi akan diatas perbezaan warna kulit, jantina mahupun kepercayaan yang sehingga kini masih lagi menjadi isu-isu yang tidak pernah luput.

Juga contohnya tentang isu-isu kawalan mutlak sesebuah kerajaan keatas rakyatnya yang mudah dimanipulasi melalui undang-undang ciptaan manusia itu sendiri (yang bila-bila sahaja mampu dirubah mengikut kehendak mereka-mereka yang berkuasa) seperti dengan cerita terrorist yang diada-adakan, lalu sesebuah kerajaan tersebut mendapat hak untuk sewenang-wenangnya mencerobohi hak-hak peribadi sesiapa sahaja yang dikehendaki.

Kerana itu, ada perbezaan antara konsep liberalisme seperti yang tercatit diatas dengan liberalisme yang berkaitan dengan kepercayaan atau agama dimana contohnya didalam agama Islam, konsep kebebasan serta hak setiap insan itu sendiri adalah suatu keutamaan, tetapi yang membezakannya adalah dimana kebebasan insan tertakluk dalam rangka sempadan perintah Allah mengikut contoh yang dibawa oleh Nabi Muhamad.

Manakala mereka yang membawa konsep fahaman yang digelar Islam liberal, adalah wajar ditolak kerana cuba melangkaui sempadan perintah Allah dengan menafsirkan sendiri apa itu sesuatu hukum dengan menggunakan alasan hak-hak seorang insan, sedangkan hak-hak seorang insan tidak pernah merupakan sesuatu yang muktamad dimilikinya.

Contohnya, seseorang yang telah memenuhi segala hak keatas dirinya serta juga keluarganya, namun itu bukan muktamad kerana adanya hak-hak jiran dan insan lainnya seperti fakir miskin yang wajar cuba dipenuhi biarpun itu tidak termaktub didalam mana-mana undang-undang perlembagaan. Sebegitu juga mereka yang berkata akan kebebasan untuk sesuatu perlakuan seperti contohnya kehidupan sosial yang bebas tetapi bagaimana pula kesan-kesan keburukan kepada insan-insan lain terutamanya generasi seterusnya iaitu baka-baka kelahiran dari perhubungan luar nikah?

Bersambung...

Sunday, January 16, 2011

Batas sempadan - 2


Lazimnya dalam kehidupan insan, bukan diri insan yang menyatakan bahawa sekian-sekian adalah sempadan buat dirinya, tetapi sempadan-sempadan terbina diatas tahap-tahap keupayaan insan, suasana sekitar kehidupannya disuatu-suatu zaman, tembok-tembok budaya atau kepercayaan yang dipegangi, iaitu samada dalam bentuk individu atau kolektifiti.

Namun dalam pada itu, terdapat batas atau sempadan yang dilakar sendiri oleh insan mengikut keadaan kehidupan mereka, iaitu keadaan pemikiran mahupun perasaannya seperti sesuatu ideologi, persepsi, andaian serta dugaan, peristiwa-peristiawa yang dilalui, pergolakan hidup dipersekitaran, kesan dari media-media dan seterusnya. Samada lakaran sempadan sesuatu tersebut dari suatu penilaian yang bijak atau sebaliknya iaitu suatu kenaifan serta tidak matang mahupun samada ia adalah berlandaskan kebenaran atau kebatilan, ia adalah suatu persoalan kemudiannya.

Wujudnya batas atau sempadan buat insan adalah kerana faktor-faktor tertentu yang mana kehidupan insan bergantung atau berkaitan dengannya, dalam suasana yang mempengaruhi atau dipengaruhi disesuatu masa dan wajar berubah dari masa kesemasa mengikut zaman yang dilalui, dibawah kewujudan insan itu sendiri iaitu dalam kehendak untuk memenuhi keperluan diri mahupun akan maksud sebenar kewujudan insan didunia ini.

Contohnya, dalam likaran kehidupan insan, suatu waktu dahulu (sebelum syariat Islam diturunkan) adalah suatu perkara yang lumrah dimana-mana seluruh sudut dunia, wanita-wanita tidak menutup keseluruhan auratnya kerana suasana yang tidak terlalu terbuka serta kurangnya pengaruh perkara-perkara yang mengesploitasikan tubuh-badan wanita seperti kini dengan berbagai-bagai bentuk media, apatah lagi dengan internet yang bersifat tiada sempadan, maka cara berpakaian untuk menutup aurat adalah suatu kewajaran untuk melindungi para-para wanita itu sendiri. (Dimana juga telah termaktub bila syariat agama Islam diturunkan, akan kewajipan kaum muslimat menutup keseluruhan aurat tubuh-badannya)

Sebegitu juga contohnya diatas perubahan suasana atau keadaan kehidupan, sewaktu waktu dahulu, siapa sahaja wajar memiliki senjata dan membawanya kemana-mana seperti keris, pedang, tombak, pistol, senapang dan lain-lain sebagai pelindung untuk dirinya, namun kini ia adalah menjadi suatu kesalahan bila seorang awam membawa senjata tersebut kemana sahaja yang dikehendaki, kerana suasana kehidupan diseluruh sudut dunia yang telah berubah.

Hakikatnya, insan dijadikan dalam situasi antara adanya ruang keupayaan untuk membuat pilihan atau ikhtiar, dengan situasi yang tiada langsung ruang keupayaan untuk membuat pilihan atau ikhtiar. Situasi dalam kehidupan yang dilalui seperti adanya suasana suka atau duka, kaya atau miskin, panas atau sejuk, cerdik atau tidak cerdik, bertuah atau tidak bertuah dan seterusnya, dimana telah ditakqirkan bagaimana akan kehadirannya seseorang dalam sesuatu situasi tersebut dengan adanya ruang ikhtiar untuk mencapai atau menghindarinya atau tiada langsung ruang untuk membuat pilihan atau ikhtiar merubahnya.

Misal akan situasi yang telah ditaqdirkan dan tiada diberi ruang ikhtiar untuk melakukan sesuatu keatasnya adalah seperti umur yang meningkat dan seterusnya menuju alam kematian yang mana tiada siapa dapat berikhtiar menghindarinya. Sebegitu juga, sesuatu situasi yang telah ditaqdirkan namun jika diikhtiar menukarnya, mengakibatkan kesan yang amat buruk pada diri seperti kelahiran jantina sebagai seorang lelaki namun bila diikhtiarkan menukar jantinanya, maka musibah dan petaka yang mendatang.

Manakala misalnya sesuatu situasi yang telah ditaqdirkan namun diberi pilihan untuk berikhtiar keatasnya adalah seperti seorang yang lemah lalu dicuba dengan gigih melatih dirinya menjadi seorang yang tegap, seorang yang tidak tahu membaca lalu diikhtiarkan agar dirinya belajar membaca, seorang yang hidup dalam kehidupan sekitar yang penuh kemungkaran lalu berhijrah kedaerah lain untuk menyelamatkan dirinya dan seterusnya.

Diatas berkemampuan melakukan pilihan atau ikhtiar buat sesuatu perkara, bermakna juga bahawa insan berkemampuan melakar sempadan buat dirinya dan atas itu, insan sentiasa memerlukan suatu penunjuk kearah kebenaran serta apa itu erti kebenaran kerana jika hanya mengikut kehendak nafsu insan, maka ramai yang memilih untuk melepasi segala sempadan yang wujud buat dirinya dan seterusnya berada dalam suatu lapangan yang sebebas-bebasnya, sedangkan itu adalah suatu yang mustahil kerana ia adalah sesuatu yang menuju kearah kehancuran atau kemusnahan total.


Bersambung...

Tajuk

Abbasiyah (1) altruisme - ikram (3) Aqidah (1) art video (20) Bahasa dan penampilan (5) Bangsa Melayu (7) batas sempadan (9) Berita (15) Besi (1) Biography solihin (1) Budaya dan pengertiannya (16) catitan (2) cerdik/bodoh dan antaranya (6) cetusan minda (8) cinta dan syahwat (3) Doha - Qatar (2) Eid Mubarak (5) Fantasia falasi (3) Fibonacci (1) Filem (1) Fungsi seni (1) gangsa (1) hukum (6) huruf (2) hutang (1) ijtima (1) Iklan (2) imitasi dan memori (1) infiniti (5) jalan2 (2) kebangsaan/nationalisme (2) kebebasan bersuara (1) Kelahiran kesenian yang mengubah warna dunia. (1) Kembali sebentar tentang erti seni (Islam) (1) kerja otak (1) Kesenian dunia Islam (1) konsep kendiri (3) konspirasi (1) Lentok tangan (1) Malaysia (3) Maslahah atau mafsadah (1) Maya (ilusi) (4) Melaka (1) Melayu (2) Melayu dan Islam (9) minda (2) musik (2) nukilan rasa (1) Pantang dalam berkarya (1) Pause (6) Pengajian dan pengertian budaya (1) Perasaan dan pemikiran (5) Persepsi / Tanggapan (6) pointillism (2) populasi dunia (9) Produk sejarah (11) Program dan hayat (2) prosa (4) ramadan (2) realiti - kenyataan (7) Sajak (22) Sangkaan (2) sebab dan akibat (18) sejarah (10) Sejarah mengubah/terubah (5) Sejarah seni dalam kehidupan insan (1) Sejarah video (1) Seni Bahasa (2) Seni dalam imiginasi (1) seni kata (1) Seni logam (3) Seni textil (budaya berpakaian) (2) Seni-seni mempertahankan diri (1) sound (1) Srivijaya (3) Sunda (6) Tahap kesederhanaan (1) Tahap-tahap kehidupan (14) tenung bintang (1) Terkesan dengan suasana (2) Tradisional dalam makna (1) Ukuran dan kayu pengukurnya (2) updated (1) Usia manusia (3) vision (1) wang (7) Wujudkah kosong? (2) zarzh slide (12)

Catitan lalu

Insuran & Road Tax Online

tetangga