Thursday, March 12, 2009

Bahasa dan penampilannya - 3



Dari segi penampilan bahasa dalam apa medium pun, nada memainkan suatu faktor yang mewarnakan sesuatu bahasa tersebut. Nada hadir dari deria zahir hingga kepada perasaan dan pemikiran seseorang insan samaada disedari atau pun tidak, samaada disengajakan ataupun sebaliknya. Contohnya bila seseorang tersebut merasa suatu kesakitan, dia akan meraungkan nada kesakitan biarpun dalam keadaan tidak disengajakan mahupun disengajakan atas berbagai-bagai faktor seperti untuk mendapatkan perhatian atau bantuan.

Nada juga berkemampuan membentuk penjelasan untuk pengertian-pengertian bahasa yang dilahirkan atau dinyatakan. Contohnya untuk bahasa percakapan, patah perkataan "mahu kemana", yang mana bila dinyatakan dengan nada yang rendah, ia menjadi suatu pertanyaan sebaliknya bila dinyatakan dengan nada yang tinggi, ia merupakan suatu kemarahan.

Manakala dalam bahasa penulisan, nada dimainkan samaada melalui bahasa gambaran atau tulisan-tulisan sebelum mahupun seterusnya, kerana tanpa gabungan sebegini, sesuatu yang disampaikan wajar sahaja berubah makna pada penerima atau pembacanya. Contohnya seorang yang menulis disuatu ruangan komen blogger "mahu kemana", tanpa suatu gambaran atau gabungan, mungkin sahaja menjadi suatu pertanyaan, suatu jenaka atau pun dimengertikan sebagai suatu sindiran.

Tanpa kewujudan nada, segala bahasa penampilan bagaikan suatu filem yang bertajuk layar lasak, tetapi pelakonnya hanya duduk diatas kerusi tanpa melakukan suatu pergerakan dan tiada apa-apa yang aktif sehingga tamat filem tersebut. Sebegitulah contohnya sekiranya tanpa nada dalam kehidupan insan, kerana kenyataannya kehidupan insan itu sendiri penuh dengan nada-nadanya dan ia hadir dalam seribu rentak untuk mewarnai kehidupan seharian juga menghidupkan sesuatu watak yang ditampilkan.

Namun dari semua itu, adanya perbezaan nada insan yang memahami kebesaran Pencipta, bahawa segalanya milik Pencipta, segalanya tertakluk kepada kehendak Pencipta berbanding kepada nada insan yang hanya mengakui akan kebesaran dirinya atau kebesaran kebendaan. Nada sumbang insan yang tidak menyedari akan kebesaran Pencipta wajar menyumbang kepada kerosakan diri mahupun persekitarannya. Ini kerana ia merubah nada fitrah sebenar insaniah yang dijadikan oleh Penciptanya dan adanya aturan-aturan yang digariskan oleh Penciptanya. Kerana insan itu sendiri dijadikan fitrahnya bernada hamba biarpun ia berkedudukan tinggi seperti seorang raja, seorang wazir, seorang pengurus, profesor dan seterusnya. Dalam mana bila fitrah insaniah yang bernada hamba kepada Penciptanya, namun dirobahnya sebagai nada seorang yang bukan hamba PenciptaNya, maka lahirlah kezaliman, kemungkaran, kesombongan dan keburukan-keburukan lain untuk seterusnya.

Dan kenyataannya juga, nada-nada yang melatari buat kehidupan setiap insan pastinya berubah-rubah, dari nada bahasa kanak-kanak, meningkat dewasa hingga keperingkat matang dan terakhir bila waktu meninggalkan alam kehidupan didunia ini. Manakala nada seorang yang menyangka dia akan selama-lamanya tinggal didunia ini tentu tidak sama dengan nada seorang yang memahami, dalam kehidupan ini, dia hanyalah seperti seorang pengembara, datang singgah lalu sampai waktunya terpaksa meninggalkan pergi....

Wednesday, March 04, 2009

Bahasa dan penampilannya - 2




Bahasa adalah merupakan suatu alat yang paling diperlukan dalam konteks komunikasi dan hadir dalam berbagai bentuk seperti butir-butir patah perkataan, tulisan-tulisan, bahasa dalam bentuk gambaran samaada dari objek-objek mahupun warna-warni, bahasa pergerakan tubuh-badan, bahasa isyarat dan seterusnya. Hadir dengan mengikut nada-nada tersendiri seperti contohnya samaada berbudi bahasa atau sebaliknya.

Bahasa lazimnya hadir antara perasaan dan pemikiran, dan ditampilkan sebagaimana perasaan yang dialami atau diatur-kawal mengikut pemikiran diri. Sebagai contoh seorang tua melihat seorang anak muda membonceng motor dengan laju didepannya, dari perasaan marah tanpa memikir, dia mengeluarkan bahasa kasar melaknat dan mengharap agar kecelakaan menimpa anak muda tersebut atau sebaliknya, dengan perasaan simpati memikirkan mungkin kemalangan menimpa anak muda tersebut, dia berdoa petunjuk dan pelindungan mahupun menasihati anak muda tersebut.

Seorang penyajak, seorang penyanyi, seorang penulis, seorang ahli politik dan seterusnya, hanya dengan mengikut perasaannya tanpa memikirkan apakah objektif sebenar yang disampaikan, bentuk bahasa penyampaiannya akan kelihatan kekosongan. Contohnya bahasa-bahasa ikhlan dimedia-media samaada media cetak atau elektronik, yang mempunyai objektif atau matlamat bagaimana apa yang disampaikan dapat menarik kepada apa yang diikhlankan. Disini, suatu usaha menarik perasaan dan lantas juga membuat pemikiran yang melihat ikhlan tersebut menuju padanya. Dan bahasa-bahasa ikhlan sendiri tampil dengan kemampuan memanipulasi perasaan mahupun pemikiran dalam mana, seluruh dunia sebenarnya saban waktu bergerak dibawah arus tersebut. Hanya pertanyaan, apakah yang diikhlankan merupakan sesuatu yang mendatangkan kemanfaat atau sebaliknya.

Objektif atau matlamat tentang apa yang hendak disampaikan adalah pemangkin pada setiap sesuatu bentuk bahasa yang digunakan. Sejauh mana objektif yang hendak disampaikan, sekuat itulah isi penampilannya. Kekadang, ianya adalah suatu yang amat kecil dipandangan mata seperti berbahasa salam samada ucapan "Assalamualaikum", "Selamat pagi" dan seterusnya, hanyalah dua-tiga patah perkataan namun kerana ada objektif beradab lahir bersama dalam berbahasa sebegitu, ia wajar sahaja membawa kesan kebaikan biarpun sedikit seperti perasaan dihormati, disenangi dan seterusnya. Atau pun bahasa sindiran, mungkin hanya dua-tiga patah namun wajar melukakan hati yang disindir.

Dan dengan kehadiran jaringan-jaringan internet yang mana mampu melepasi segala sempadan-sempadan penghalang dalam berkomunikasi, setiap insan mampu sahaja menampilkan apa sahaja bentuk bahasa yang dikehendaki. Tetapi dalam pada itu juga, ramai yang terperangkap diatas perasaan mahupun pemikirannya. Contohnya dalam forum-forum, chat-chat online atau blog-blog terutama yang memperkatakan tentang politik semasa dan seterusnya, segalanya mudah untuk mencurahkan apa sahaja perasaan tanpa berlapik diatas papan-papan keyboard. Mungkin masing-masing mempunyai objektif tersendiri namun lazimnya ramai yang terperangkap dalam suatu arus kehidupan yang bukan seperti dialam kehidupan realiti. Segala perasaan seperti contohnya perasaan marah, perasaan kecewa, perasaan bangga diri, perasaan gembira dan seterusnya dapat dicurahkan semahu-mahunya berserta dengan pemikiran yang hanya ditumpukan disitu saban waktu, tanpa tembuk penghalang. Dan ini adalah suatu kebenaran dimana terdapat berjuta-juta insan yang terbelenggu didepan kaca monitor komputernya siang dan malam tanpa menyedari, waktu kehidupannya dialam realiti semakin terbuang kosong. Terbelenggu dalam bahasa elektroniknya......



bersambung....

Monday, March 02, 2009

Bahasa dan penampilannya - 1


Kehadiran setiap bahasa adalah benar-benar suatu yang unik dalam mana setiap bahasa tersemadi didalamnya berpuluh-puluh ribu perkataan yang masing-masing membawa sesuatu makna. Dalam mana untuk menyampaikan sesuatu atau mengambarkan sesuatu, patah-patah perkataan yang digunakan adalah begitu bererti. Ianya memainkan peranan sesejak mula kewujudan insan sebagai perantaraan dalam menyampaikan apa yang didalam diri hingga kepersekitaran.

Kerana ini adalah sebahagian dari unsur kompleks kejadian insan, iaitu mempunyai lingkaran komunikasi yang hebat sekiranya dibandingkan dengan kehidupan lain iaitu haiwanat. Malah dalam hal ini juga, biarpun bila seseorang tersebut bisu misalnya, dia masih mampu mengungkap apa didalam dirinya hingga kepersekitarannya melalui bentuk-bentuk bahasa alternatif seperti dengan mimik muka, tangannya dan sebagainya.

Setiap bangsa samaada yang merangkupi bangsa-bangsa besar jumlah penduduknya atau pun besar pengaruhnya dalam mana sekali-gus meluas bahasanya seperti Mandarin, Arab, Melayu, Inggeris, Urdu, latin dan lain-lain, kebiasaannya bahasa-bahasa tersebut pada setiap zaman akan dilengkapi dengan patah-patah perkataan baru samaada diambil dari bahasa lain atau pun wujud patah-patah perkataan baru mengikut perkembangan masa atau permintaan semasa.

Bahasa juga melambangkan bangsanya, dan dari situ juga terbinanya tamadun disesuatu tempat samaada dari sudut budaya kehidupan, penyampaian kepercayaan, rukun tata cara kehidupan seharian dan seterusnya kepada pembinaan struktur generasi kemudian.
Dan bahasa juga yang sekiranya didalami, tentu sahaja terserlah akan ketinggian atau kemunduran sesuatu bangsa. Misalnya bahasa Melayu, bila didalami, bahasa ini sebenarnya dimiliki oleh bangsa yang berfikiran tinggi samaada disudut pengertian zahir dan batin mahupun dari sudut kefalsafahan kehidupan hariannya.

Contohnya yang jelas, bila memperkatakan tentang perasaan yang mana diakhir abad-abad ini, pengajian tentang psykologi begitu mendalam memperkatakannya, sedang dalam bahasa Melayu sendiri, ianya adalah suatu topik yang lumrah diperkatakan sesejak dahulu. Sebagaimana didalam bahasa Melayu banyaknya ungkapkan tentang perasaan atau berkait dengan hati seperti kecil hati, besar hati, sakit hati, susah hati, pedih hati, makan hati, suka hati dan seterusnya sehinggalah perkataan amuk dalam menyatakan suatu tekanan jiwa yang maha hebat sehingga lupa diri, luas dipergunakan diseluruh dunia.

Dari situ juga menunjukkan betapa beradabnya bangsa Melayu kerana mengambil kira akan perasaan insan lain, bukan hanya dari zahirnya. Malah patah-patah perkataan tentang perasaan yang mana merupakan suatu yang batin, wujudnya begitu banyak digunakan dalam kehidupan seharian seperti tunjuk perasaan, perasan, rasa tertekan, rasa kecewa, rasa gembira, rasa cemburu, rasa kasihan, rasa bangga diri, rasa segan, rasa terluka dan seterusnya. Ditambah dengan kemasukkan Islam dirantau nusantara, terutama yang ada kena-mengena dengan aliran tasawuf, maka berkembang pesat kedalam ungkapan bahasanya terutama disudut kerohanian seperti yang berkaitan dengan dalam diri insan atau penampilan luar iaitu akhlak.

Dalam mana juga, kehebatan seseorang itu bukan diukur hanya melalui luarannya seperti bergulung-gulung ijazah yang dimilikinya, kehebatan dalam berpidato dan sebagainya tetapi juga melalui penampilan yang datang dari dalaman dirinya. Contohnya, seseorang yang kelihatan berilmu hebat pada mereka yang belum mengenalnya, tetapi mempunyai budi-pekerti yang rendah seperti membidaahkan orang lain sesuka hatinya, memperkecilkan orang lain, mencerca atau mengeji tanpa bukti yang kukuh dan seterusnya, membuatnya diukur sebagai seorang yang hina kerana penampilan dalaman dirinya yang tiada berakhlak.



bersambung.....
Btn_brn_77x28

Tajuk

Abbasiyah (1) altruisme - ikram (3) Aqidah (1) art video (20) Austronesia (10) Bahasa dan penampilan (5) Bangsa Melayu (7) batas sempadan (9) Berita (15) Besi (1) Biography solihin (1) Budaya dan pengertiannya (16) catitan (2) cerdik/bodoh dan antaranya (6) cetusan minda (8) cinta dan syahwat (3) Doha - Qatar (2) Eid Mubarak (5) falsafah (2) Fantasia falasi (3) Fibonacci (1) Filem (2) fitrah (1) Fungsi seni (1) gangsa (1) hukum (6) huruf (2) hutang (1) ijtima (1) Iklan (2) imitasi dan memori (1) infiniti (5) jalan2 (2) kebangsaan/nationalisme (2) kebebasan bersuara (1) Kelahiran kesenian yang mengubah warna dunia. (1) Kembali sebentar tentang erti seni (Islam) (1) kerja otak (1) Kesenian dunia Islam (1) komunikasi (1) konsep kendiri (3) konspirasi (1) Lagu (1) Lentok tangan (1) Malaysia (3) Masa (10) Maslahah atau mafsadah (1) Maya (ilusi) (4) Melaka (1) Melayu (2) Melayu dan Islam (9) minda (2) musik (2) nukilan rasa (1) Pantang dalam berkarya (1) Pause (6) Pembetulan sejarah (3) Pengajian dan pengertian budaya (1) Perasaan dan pemikiran (5) Persepsi / Tanggapan (6) pointillism (2) populasi dunia (9) Produk sejarah (11) Program dan hayat (2) prosa (4) ramadan (2) realiti - kenyataan (7) Sajak (22) Sangkaan (2) sebab dan akibat (18) sejarah (14) sejarah Islam Nusantara (1) sejarah Melayu (4) Sejarah mengubah/terubah (5) Sejarah seni dalam kehidupan insan (1) Sejarah video (1) Seni Bahasa (2) Seni dalam imiginasi (1) seni kata (1) Seni logam (3) Seni textil (budaya berpakaian) (2) Seni-seni mempertahankan diri (1) sound (1) Srivijaya (3) Sunda (6) Tahap kesederhanaan (1) Tahap-tahap kehidupan (14) tenung bintang (1) Terkesan dengan suasana (2) Tradisional dalam makna (1) Ukuran dan kayu pengukurnya (2) updated (1) Usia manusia (3) vision (1) wang (7) Wujudkah kosong? (2) zarzh slide (12)

Catitan lalu

Insuran & Road Tax Online

tetangga