Thursday, April 09, 2009

Fantasia falasi - 2




Fantasia falasi adalah gambaran yang direka atau terjelma dan diyakini ianya adalah realiti seperti kerana sesuatu suasana contohnya seorang yang berada didalam suatu bilik gelap yang asing baginya, maka secara spontan terjelmalah berbagai-bagai andaian atau fantasi bergantung kepada perasaan dan pemikirannya. Mungkin untuk seorang yang berjiwa penakut atas pengalaman silam, maklumat-maklumat yang diserap atau sebagainya akan menyebabkan dia berfantasi kemungkinan mahluk yang menyeramkan akan menjelma manakala untuk seorang yang mempunyai jiwa pemberani, mungkin tidak berfantasi akan kewujudan mahluk yang menyeramkan, malah fikirannya giat mengandaikan cara-cara untuk bagaimana keluar dari bilik yang gelap tersebut atau mencari bahan untuk menerangkan bilik tersebut.

Lalu dalam berfantasi, suatu realiti mungkin wujud darinya, seperti contoh diatas, pada yang berfantasi akan kewujudan mahluk yang menyeramkan, bila tiba-tiba terdengar suatu suara, maka terus bulu romanya akan berdiri dan malah sesuatu objek yang hadir terus dilihatnya sebagai suatu mahluk yang menyeramkan dan inilah fantasia falasi, suatu yang realiti pada kaca-matanya biarpun ianya bukan realiti atau belum pasti apakah benar sesuatu tersebut namun wujud padanya sebagaimana yang difantasikannya.

Ini berlaku dalam berbagai-bagai keadaan kehidupan yang dilalui oleh insan dan mengikut kes-kes yang dialaminya. Contoh kes yang lain, seorang yang begitu benci pada jirannya, maka segala gerak-geri jirannya diperhatikan dengan penuh prasangka lalu wujudnya fantasia falasi bahawa jirannya menanam bahan sihir pada sudut rumahnya biarpun realitinya, jirannya yang ketika lalu disitu, hanya tunduk sebentar untuk mengikat tali-kasutnya yang terbuka.

Dan dari kes-kes yang kecil yang tanpa meninggalkan apa-apa kesan, sehinggalah kepada kes-kes yang amat besar yang meragut berjuta nyawa serta kemusnahan besar-besaran keatas harta-benda lantaran fantasia falasi seperti contohnya terjadi pada negara Iraq, yang mana Amerika Syarikat berfantasia falasi bahawa negara Iraq mempunyai senjata pemusnah besar-besaran yang mana membahayakan kepentingannya atau kepentingan sekutunya, lalu diserang dan dihancurkan segala infrastruktur negara Iraq dan rakyat Iraq kemudiannya tinggal menderita disamping berterusan berperang diantara mereka sendiri. Semuanya hanyalah dari fantasia falasi yang meninggalkan kesan yang amat perit.

Dalam bab yang mungkin dianggap seni oleh sesuatu pihak, fantasia falasi juga telah meninggalkan kesan yang amat buruk seperti seorang produser filem berfantasi diatas nafsu-hawanya lalu mereka filem-filem yang menggunakan wanita-wanita mahupun lelaki-lelaki sebagai objek-objek untuk menampilkan apa yang difantasikan tanpa batas syariat. Maka filem-filemnya pun tersebar diseluruh dunia yang mana dari situ,kesan seterusnya pada remaja atau insan lain yang melihat filem tersebut, amat berbahaya kerana meruntuhkan adab-adab kesusilaan. Dan pada insan lain yang menonton filem tersebut, bukan setakat itu, malah mungkin seluruh kehidupan mendatangnya pula akan sentiasa berterusan melihat filem-filem sebegitu dan sentiasa berfantasi tentang apa yang ditontonkan dan malah contohnya bila melihat seorang gadis keseorangan, timbullah fantasia falasinya yang gadis tersebut juga berfantasi sepertinya lalu kemudiannya menyebabkan antara kenapa banyaknya kes-kes rogol terjadi.

Atau penulis-penulis yang menulis hanya bergantung dari fantasinya samaada benar atau tidak, bukan kepada fakta yang sebenar, maka lahirlah nanti pembaca-pembacanya yang berfantasia falasi mengikut segala kedustaan yang ditulisnya…

Bersambung…

Saturday, April 04, 2009

Fantasia falasi - 1



Dalam melalui siri babak-babak pemikiran harian, insan biasa sahaja terjebak dalam fantasia falasinya, yang mana pemikirannya bermain diatas suatu pentas yang bukan realiti malah pentas ini wajar mencundangkannya kedalam suatu gaung ngeri dan adakalanya terperangkap untuk sekian waktunya tanpa ada jalan keluar darinya. Terbelenggu didalam suatu pemikiran gelap lagi mengundahkan seakan didalam peti duri dan tidak berjumpa kunci untuk keluar dari situ.

Fantasia falasi (false) atau juga berbagai-bagai perkataan yang boleh membawa erti sepertinya iaitu sangsi keterlaluan, was-was, salah-sangka, curiga tanpa asas, buruk sangka, membayangkan suatu yang tiada kebenaran, mempercayai sesuatu yang salah, tahyul, khurafat, syu`ul zan dan seterusnya.

Fantasia falasi ini lahir dari pergolakan persekitaran kehidupan yang dilalui, pengaruh persekitaran, suatu kehidupan yang disangka membawa peradapan sedangkan ia suatu kehidupan yang membawa kemusnahan, tekanan jiwa lantaran tiada ketenangan, kerana dendam, dari titik-titik dosa atau kesilapan yang memerangkapkan, dari perasaan keegoan, perasaan keterlaluan individual, perasaan kebendaan, perasaan cemburu, perasaan takut (samaada dari cerita yang didengar atau pengalaman peribadi diatas sesuatu atau dari khayalan), perasaan kebergantungan tetapi kepada perkara yang tiada asas kebenaran, perasaan yang terhimpit dari tekanan sekitar, perasaan yang lahir dari pengalaman pahit ditipu oleh insan lain dan seterusnya.

Kehadiran fantasia falasi ini biasanya kerana kecetekan pengetahuan, kedaifan pengalaman, kekurangan maklumat yang sebenar mahupun sangkaan-sangkaan dari rekaan yang tidak berasas. Hadir juga dari desakan luaran seperti hasutan-hasutan yang salah, masaalah kehidupan yang dilalui dan tidak diketahui cara penyelesaiannya lalu mereka sendiri pandangan-pandangan untuk penyelesaiannya dan seterusnya. Contohnya, seorang petani yang setelah beberapa tahun bercucuk tanam diladangnya, kemudian ladangnya semakin kurang subur lalu mempercayai akan semangat tanah, yang mana mempercayai bahawa dia harus mengorban atau menghidangkan sesuatu untuk semangat tanahnya agar menjadi subur sedangkan sebenarnya dia harus membajakan tanahnya atau menjarakkan masa tanaman sejenis kerana sekiranya dia berterusan menanam tanaman-tanaman yang sama diladangnya untuk jarak-jarak yang rapat maka kesuburan tanah tersebut menjadi berkurangan. Atau seorang suami yang cemburu keterlaluan pada isterinya lalu sentiasa berfantasia falasi yang menghasilkan sangkaan-sangkaan keburukan yang dilakukan oleh isterinya lalu menuduh tanpa asas sehingga keperingkat perceraian.

Fantasia falasi ini mungkin sahaja pada peringkat rendah, ianya tidak membahayakan namun ia mampu mencapai suatu tahap yang membawa kerosakan pada diri mahu pun masyarakat. Sebagaimana contohnya dari kepercayaan khurafat iaitu mempercayai adanya kuasa-kuasa ghaib pada benda yang mati, pada patung-patung, pada batu-batu dan seterusnya yang merupakan kepercayaan yang begitu menyimpang dari kebenaran. Atau contohnya dari sikap suka memandang rendah insan lain lalu menganut fantasia falasi bahawa insan lain terutama mereka yang berkedudukan rendah darinya adalah suatu yang hina atau buruk sebagaimana fantasia falasi seorang yang berpegang pada prinsip kehidupan berkasta, yang mana mereka dikasta atas menganggap kasta dibawah adalah hina, atau mereka yang menerajui pandangan semua dari kulit putih adalah baik lalu memandang rendah pada mereka yang berkulit hitam dan seterusnya.

Pada suatu peringkat juga, fantasia falasi ini yang bagaikan suatu penyakit mampu menjalar pada setiap bangsa, peringkat, kedudukan dan seterusnya dalam mana tidak dinafikan juga kekadang adanya kebaikan lahir darinya bila mana pada tahap minimum sebagaimana seorang insan yang mengunci pintu rumahnya dengan berfantasi kemungkinan pencuri akan memasuki jika dibiarkan terbuka dan ini adalah suatu persediaan yang baik dalam menghadapi kemungkinan-kemungkinan yang buruk, namun jika sampai berpuluh-puluh kunci dipasang pada pintunya, maka ini adalah suatu fantasia falasi yang kronik.

Seperti kekronikan fantasia falasi insaniah kepada Penciptanya yang membuatnya menyangka Penciptanya berkedudukan begitu rendah, misalnya menyangka rupa Penciptanya adalah bertubuh seperti insaniah, seperti haiwan dan seterusnya, atau menyangka Penciptanya beranak-pinak, atau berupa mahluk-mahluk yang mengerikan, atau menetap disuatu tempat seperti dibatu-batu, pokok-pokok, disesuatu tempat diangkasa raya dan lain-lain atau menyangka Penciptanya mempunyai kelemahan-kelemahan dan seterusnya yang mana fantasia falasi ini melingkupkan sendiri fantasi murni yang dimiliki insaniah yang dicipta serta memudaratkan pemikiran insaniah sendiri seperti terbelenggu dalam fantasi tahyul dan khurafatnya lantas merugikan dirinya.

Manakala dalam media dari curahan sesuatu yang disangka seni seperti fantasia falasi seorang penulis, pemuzik, pengarah filem-filem dan seterusnya yang mana segala fantasia falasinya, dicurahkan diatas karyanya dan mana wajar mempengaruhi dan menarik pembaca atau penonton lainnya untuk berfikir diatas fantasia falasinya. Dan lazimnya ia merupakan suatu permintaan yang tinggi pada karya-karyanya yang berlatarkan fantasia falasi dalam mana juga dia dapat mengaut begitu banyak keuntungan. Sedangkan inti-pati dari karyanya adalah suatu kekosongan tanpa erti. Malah lahirnya peminat-peminatnya yang berfantasia falasi sepertinya sehingga pada sesuatu tingkat, peminat-peminat ini menjadi seakan penganut-penganut pula pada fantasia falasi tersebut.

Antara kesan dari fantasia falasi yang kronik wajar juga menjadikan seseorang itu pengumpat iaitu sentiasa berfantasia buruk kepada insan lain dan menampilkan fantasia falasinya melalui umpatan-umpatannya, atau seorang yang tidak berpandangan jauh kerana pemikiran sehariannya dibelenggui oleh fantasia falasinya, tidak optimus, tidak terbuka mindanya mahupun hatinya tidak ada rahmat dan seterusnya……

Bersambung….

Tajuk

Abbasiyah (1) altruisme - ikram (3) Aqidah (1) art video (20) Bahasa dan penampilan (5) Bangsa Melayu (7) batas sempadan (9) Berita (15) Besi (1) Biography solihin (1) Budaya dan pengertiannya (16) catitan (2) cerdik/bodoh dan antaranya (6) cetusan minda (8) cinta dan syahwat (3) Doha - Qatar (2) Eid Mubarak (5) Fantasia falasi (3) Fibonacci (1) Filem (1) Fungsi seni (1) gangsa (1) hukum (6) huruf (2) hutang (1) ijtima (1) Iklan (2) imitasi dan memori (1) infiniti (5) jalan2 (2) kebangsaan/nationalisme (2) kebebasan bersuara (1) Kelahiran kesenian yang mengubah warna dunia. (1) Kembali sebentar tentang erti seni (Islam) (1) kerja otak (1) Kesenian dunia Islam (1) konsep kendiri (3) konspirasi (1) Lentok tangan (1) Malaysia (3) Maslahah atau mafsadah (1) Maya (ilusi) (4) Melaka (1) Melayu (2) Melayu dan Islam (9) minda (2) musik (2) nukilan rasa (1) Pantang dalam berkarya (1) Pause (6) Pengajian dan pengertian budaya (1) Perasaan dan pemikiran (5) Persepsi / Tanggapan (6) pointillism (2) populasi dunia (9) Produk sejarah (11) Program dan hayat (2) prosa (4) ramadan (2) realiti - kenyataan (7) Sajak (21) Sangkaan (2) sebab dan akibat (18) sejarah (10) Sejarah mengubah/terubah (5) Sejarah seni dalam kehidupan insan (1) Sejarah video (1) Seni Bahasa (2) Seni dalam imiginasi (1) seni kata (1) Seni logam (3) Seni textil (budaya berpakaian) (2) Seni-seni mempertahankan diri (1) sound (1) Srivijaya (3) Sunda (6) Tahap kesederhanaan (1) Tahap-tahap kehidupan (14) tenung bintang (1) Terkesan dengan suasana (2) Tradisional dalam makna (1) Ukuran dan kayu pengukurnya (2) updated (1) Usia manusia (3) vision (1) wang (7) Wujudkah kosong? (2) zarzh slide (12)

Catitan lalu

Insuran & Road Tax Online

tetangga