Dalam dunia Melayu, sesejak dahulu lagi dunia ini dikenali sebagai dunia maya. Perkataan maya adalah berasal dari perkataan Sanskrit yang bermaksud tidak nyata, tidak pasti, illusi, delusi, helah (Maya – illusion, unreality, deception, fraud, trick, sorcery, witchcraft magic, an unreal or illusory image, phantom & etc). Manakala bila dikatakan dunia maya bermakna dunia yang tidak nyata, dunia ilusi, dunia delusi, dunia helah, dunia yang tidak pasti dan lain-lain.
Anehnya generasi-generasi insan terdahulu sesejak beribu-ribu kurun lepas telah memperkatakan bahawa dunia ini sebenarnya adalah tidak konkrit, tidak nyata, hanya tempat ilusi atau sebagai tempat ujian. Sedang kini juga, terdapat para ilmuan yang mengkaji dan berpendapat bahawa semua yang wujud didunia ini sebenarnya adalah dibawah balikan dari simulasi dan rangsangan keatas panca-indera insan itu sendiri. Iaitu pemahaman akan kewujudan sesuatu dipersekitarannya atau dunia luar diri insan adalah dari tanggapan-tanggapan yang terbina dari signal-signal elektron didalam otaknya iaitu pemikirannya serta seterusnya memberi reaksi-reaksi pada perasaannya, yang bermakna juga bahawa dunia ini adalah sebenarnya tidak konkrit, tidak nyata, hanya tempat ilusi atau dalam kata lain adalah seperti realiti virtual.
(J.R. Minkel yang menulis artikel berjudul "The Hollow Universe" (Alam semesta yang kosong), menyatakan bahawa adalah keliru jika menganggap segala kebendaan yang wujud sebagai sesuatu yang benar-benar memiliki keberadaan yang mutlak berdasarkan kefahaman yang insan dapati dari panca-inderanya. Minkel juga menyatakan bahawa sejumlah ilmuan menamakan gagasan ini sebagai “teori segalanya“ dan para ilmuan tersebut menganggap teori ini sebagai tahap pertama dalam menjelaskan sifat sebenar alam semesta ini)
Realiti virtual (Virtual reality) diterjemahkan sebagai realiti maya dalam bahasa Melayu, iaitu suatu keadaan dimana simulasi-simulasi atau rangsangan yang diciptakan oleh komputer mampu membina sesuatu yang dikatakan realti atau nyata. Realiti virtual adalah seperti penerbitan gambar-gambar 3D (tiga dimensi) yang dilakukan dengan komputer dimana kelihatan sebagai nyata dan hidup dengan bantuan sejumlah peralatan-peralatan tertentu seperti bunyi-bunyian dan lain-lain, dimana dengan bantuan semua efek-efek ini, simulasi atau rangsangan lingkungan maya mencipta salinan realiti yang sedemikian nyata sehingga insan mampu terpedaya dengan gambar atau bayangan yang tidak nyata ini dan mengalami pengalaman sebagaimana sesuatu yang benar-benar realiti bagi dirinya.
Seakan begitulah realiti kehidupan insan dialam dunia maya ini yang sebenarnya bergantung dengan peranan simulasi-simulasi dan rangsangan-rangsangan yang berlaku serta pemahaman perasaan dan pemikirannya keatas perkara atau keadaan tersebut. Setiap insan melihat akan kewujudan dunia realiti buat dirinya adalah melalui simulasi dan rangsangan ini. Samada simulasi dan rangsangan ini dari segala yang diambil oleh dirinya dari dunia luar iaitu seperti pengetahuan dari pengalaman yang dicapai oleh panca-indera hidup sesejak dilahirkan atau juga dari fitrah dalaman diri insan.
Dan apa yang dikatakan realiti yang wujud dari simulasi-simulasi akan sesuatu perkara atau keadaan dirinya, itu semua sebenarnya merupakan ujian bagi dirinya, kerana hakikatnya, dunia darul asbab atau dunia tempat bersebab ini bukanlah suatu yang konkrit atau bersifat mutlak keberadaannya. Dengan memahami bahawa dunia ini sebenarnya tidak konkrit atau tidak bersifat mutlak keberadaannya, seorang penganut Islam wajar menyedari, yang konkrit dan mutlak sifatnya adalah segala perintah Tuhannya, seperti bila dirinya dalam keadaan bekerja lantaran mencari rezeki, bersolat 5 waktu dalam waktunya adalah lebih utama dari terus bekerja dan meninggalkan solatnya. Ini kerana, masa untuk bersolat iaitu 5 hingga 10 minit yang dilakukannya adalah suatu yang benar-benar konkrit dan bersifat mutlak lantaran amalan itu adalah perintah Tuhannya, sedang yang lainnya adalah tidak konkrit atau bersifat mutlak dan hanya berlalu ditelan detik masa serta sebagai ujian untuk bagaimana dirinya hidup didunia ini.
Contohnya seorang yang dibawah perasaan lapar dimana perasaan lapar tersebut adalah datang dari simulasi dirinya yang perlu mendapat makanan pada sekian-sekian waktu. Seterusnya kaitan dari simulasi ini, maka segala pengetahuan, pengalaman, budaya pemakanan, persekitaran samada mudah mendapat makanan atau sebaliknya, mencipta keadaan akan bagaimana dirinya mendapatkan makanan serta bagaimana menyediakannya. Namun dari keadaan ini, lapar adalah sebenarnya ujian buat dirinya iaitu samada dirinya melakukan sesuatu yang bercanggah dengan kebenaran seperti mencuri atau memakan makanan haram (kecuali dalam keadaan darurat) atau dirinya tetap berusaha mendapat makanan yang halal. Seperti seseorang yang dalam keadaan lapar kerana berpuasa, apakah dirinya menahan kelaparannya kerana menyedari akan itu suatu perintah buat dirinya dan akan datang suatu realiti masa yang sebenarnya, dimana dirinya akan mendapat segala yang dihajati dan tidak akan merasa lapar lagi (disurga) atau dirinya merosakkan puasanya dengan memakan sesuatu lantaran kelaparannya.
Maka dengan beranggapan bahawa dunia ini adalah realitinya konkrit dan kehidupan realiti insan hanyalah semata-mata buat waktunya didunia ini membuat insan melakukan apa sahaja untuk memenuhi segala rangsangan dirinya sedangkan dengan memahami bahawa dunia ini bukan konkrit, tidak bersifat mutlak keberadaannya serta adanya realiti sebenar selepas kematian membuatkan insan sentiasa berwaspada didalam kehidupan yang singkat didunia fana ini.
Penyangkalan akan bahawa dunia material/kebendaan ini benar-benar konkrit wujud atau merupakan sesuatu yang benar-benar mutlak keberadaannya adalah juga suatu tamparan buat insan-insan yang berjiwa kebendaan, berfalsafahkan hidupnya dibawah falsafah kebendaan dan hanya menghabiskan kehidupan sehariannya buat mengejar kebendaan sehinggakan ada yang bertuhankan kebendaan. Ini kerana, dengan penyangkalan ini, bermakna dunia kebendaan bukanlah sesuatu yang konkrit serta bersifat mutlak selama-lamanya, tetapi hanya suatu ilusi atau asbab yang berupa ujian keatas insan selama mana hayatnya dimuka-bumi ini.
Atas itu juga, insan memerlukan simulasi-simulasi dan rangsangan-rangsangan akan realiti adanya dunia akhirat yang benar-benar mutlak keberadaannya dan ini adalah bermula dari keyakinan atau keimanannya yang benar akan kewujudan serta hari pembalasan selepas kematian. Dengan membawa diri kedalam lingkungan amal-soleh, lingkungan mereka-mereka yang sentiasa memperkatakan atau mendakwahkan kebenaran, targhib-targhib akan pembalasan buat kebaikan yang dilakukan mahupun tarhib diatas pembalasan buat kesalahan yang dilakukan, insan membina lingkungan rangsangan dunia maya yang tidak bersifat mutlak keberadaannya kepada rangsangan dunia akhirat yang bersifat mutlak keberadaannya.
No comments:
Post a Comment