Sesuatu yang berisi tentunya tidak sama dengan sesuatu yang kosong, namun pertanyaannya, apakah benar yang berisi itu adalah sentiasa sesuatu yang baik? Apakah kekosongan hanya bermakna sesuatu yang tidak baik atau tiada apa-apa kesan kebaikan darinya? Atau apakah kekosongan hanya berkaitan dengan kebosanan yang menyelubungi kehidupan?
Dunia insan dipenuhi oleh segala perkara dari hajat-hajat kehidupannya. Dari perasaan sehingga pemikiran insan, sedari kecilnya sehingga usia tuanya, diisi dengan segala perkara-perkara berkenaan dengan hajat duniawinya. Dan hari ini, dunia insan telah mencapai tahap nafsu yang selesa, dimana apa sahaja kehendak nafsunya, dapat diisi, namun apakah itu suatu kebaikan?
Setiap hari, kehidupan insan lazimnya diisi dengan segala aktivit-aktiviti yang berlaku dipersekitarannya yang sibuk seperti contohnya dari bunyi musik radio seawal bangun pagi, bunyi bising serta keadaan sibuk dijalanan, kesibukan bekerja, kesibukan dirumah, alat-alat elektronik dengan segala layar dan bunyi-bunyiannya, suara-suara dipersekitaran seperti bertelegah atau mengumpat dan lain-lain, adegan-adegan dalam kehidupan seharian yang stress dan seterusnya, membuat diri insan tentunya penuh terisi dengan duniawinya, tetapi apakah itu suatu kebaikan bila saban hari ianya berlanjutan tanpa henti, tambahan untuk suatu jangka masa yang panjang?
Sebenarnya, kekosongan adalah sebahagian dari diri insan itu sendiri dan malah pengertian akan apa itu kekosongan, dicipta oleh insan samaada dari patah perkataan untuk menyebutnya mahupun dari perasaan serta fikiran insan yang menterjemahkannya.
Contohnya beberapa insan yang berbeza latar-belakang serta minat, berdiri dipantai melihat lautan luas yang kosong didepannya, maka tafsiran dari panca-indera mereka yang melihatnya akan berubah-ubah mengikut perasaan dan fikiran masing-masing. Mungkin ada yang melihat dan menganggap itu hanya suatu kekosongan dan kebosanan, ada yang melihat dan berfikir akan keindahan alam, ada yang mula mendapat ilham untuk dirinya seperti untuk lukisan atau tulisan, ada yang melihat akan rezeki didepannya, ada yang merasa akan kebesaran Pencipta alam, ada yang merasa kegerunan melihat ombak yang datang menghempas pantai dan seterusnya.
Kenyataannya, insan memerlukan setiap hari adanya detik-detik untuk dirinya mengosongkan perasaan serta fikiranya dari duniawi atau kebendaan. Mengosongkan diri dari duniawi atau kebendaan, bermakna melapangkan diri agar perasaan serta fikiran diri tidak terlalu dibelenggu oleh hal-hal duniawi. Ini kerana fitrah asli diri insan, yang memerlukan kebebasan dari dibelenggu oleh duniawi atau kebendaan untuk dirinya terus meneroka alam kehidupannya dengan erti ketenangan yang sebenar atau memahami dengan lebih mendalam akan alam kehidupannya.
Hatta dari sudut duniawi, untuk seseorang mendalami duniawinya, ia memerlukan suatu asas yang kosong buat dirinya sentiasa kembali agar dapat dilakari seterusnya duniawinya seperti seorang pelukis yang melukis, dalam mana sebanyak mana ia melukis, ia tetap memerlukan suatu kertas lukisan yang kosong untuk melukis seterusnya lukisan-lukisan yang lain. Tanpa kertas lukisan yang kosong, maka lukisan yang ada akan bercelaru kerana ditimbuni oleh warna-warna setiap kali pelukis tersebut hendak melukis.
Memang tidak dinafikan bahawa duniawi atau kebendaan mampu memberi insan kepuasan, kebahagian dan lain-lain, namun kejadian insan adalah bukan hanya dari unsur duniawi atau kebendaan tetapi dari sudut kerohanian. Dan malah sudut kerohanian atau sudut dalaman diri insan sendiri adalah rupa sebenar siapakah diri insan yang sebenar. Sebagaimana penampilan sebenar diri insan untuk dunia luarannya adalah dari dalaman dirinya, iaitu seperti dari sudut perasaan dan fikirannya.
Namun tanpa memberi ruang untuk mengosongkan diri dari duniawi seperti contohnya kerana terlalu mengejar kebendaan siang dan malam atau terlalu dihanyut oleh hiburan-hiburan, membuat dirinya tidak dapat menghayati apakah erti sebenar kehidupannya didunia ini. Ramai insan yang sebegini, akhirnya semakin sesat jalan hidupnya atau semakin bercelaru perasaan dan fikirannya, ditimpa tekanan jiwa, dirundung kemurungan, melakukan kegiatan-kegiatan seperti pengambilan dadah, minuman-minuman keras, maksiat dan lain-lain yang mana semuanya semakin membinasakan dirinya.
Kerana itu, insan memerlukan tempoh-tempoh dalam saat kehidupanya untuk mengosongkan dirinya dari ikatan duniawi, dimana sebanyak mana hatinya terlepas dari ikatan duniawi (seperti diusahakan untuk mendekati Penciptanya mengikut jalan yang ditunjukkan oleh Nabi Muhamad serta para-para solihin terdahulu), sebanyak itu jugalah dirinya sendiri mendapat faedah kebaikan buat kerohaniannya. Dan sekiranya diusahakan berterusan, tercapailah ia tahap zuhud yang sebenar, yang mana duniawi tidak akan dapat mengisi hatinya dan dirinya tidak akan terkesan pada duniawi biarpun hidup persekitarannya dipenuhi duniawi.
Untuk mengisi sesuatu kedalam gelas yang telah penuh atau mengisi air yang bersih kedalam gelas yang dipenuhi air yang kotor adalah suatu yang tidak berfaedah. Untuk mengisinya adalah dengan mengosongkan gelas tersebut dahulu serta membersihkannya, sebegitulah contohnya untuk mengisi kebesaran Ilahi kedalam hati insan adalah suatu kemusykilan atau kepayahan selama mana hati dan fikiran insan dipenuhi oleh duniawi, kerana itu perlunya berterusan selama mana kehidupan insan didunia ini, usaha mengosongkan hatinya dari kebesaran duniawi agar kebesaran Ilahi dapat mengisinya.
Insan, sekiranya ia menafikan kewujudan alam ghaib yang disangka hanya kekosongan, maka dimanakah rohnya? Kemanakah pergi roh seseorang insan bila dia meninggal dunia, yang mana jasadnya tetap ada namun tidak berkemampuan langsung bergerak berbanding seseorang yang masih hidup atau masih berroh? Begitu juga, setelah rohnya keluar, maka jasadnya akan reput dengan waktu yang singkat sedangkan selama jasadnya berroh, tubuhnya tidak akan reput biarpun bertahun-tahun dia didalam keadaan koma.
Sedang, alam kubur yang kosong dari segala aktiviti kehidupan duniawi dan kebendaan, dimana insan kemudiannya mampu mencapai pengertian yang sebenarnya akan kewujudannya, namun semua aktiviti insan untuk menyelamatkan dirinya dari azab yang berkekalan adalah terlewat kerana didalam alam kubur, tiada apa yang mampu dilakukan melainkan hanya menanti azab atau rahmat keatasnya.
No comments:
Post a Comment