Dalam lipatan waktu kehidupan insan tidak kira abad keberapa dan dimana, berlaku dan berlalu berjuta-juta perkara dari cetusan minda insan yang mana mampu meninggalkan pengaruh mahupun mampu menarik perhatian dan seterusnya mampu membuat diri insan melalui kehidupan mengikut sesuatu cetusan minda tersebut samaada melalui cara berfikir atau perasaannya yang disedari, mahupun tingkah-laku atau penampilan diri yang berlaku secara tidak disedari atau spontan.
Dalam mana, cetusan-cetusan minda yang terlintas dari unsur kebaikan menghasilkan arah tuju kearah kebaikan dalam kehidupan, mengkaji lebih dalam akan apa itu erti kebaikan, usaha untuk mendapatkan apa yang dikatakan kebaikan serta mengekalkannya sedang sebaliknya iaitu cetusan-cetusan minda yang terlintas dari unsur kejahatan menghasilkan arah tuju kehidupan yang merosakkan, membawa minat kearah negatif serta menanamkan tabiat-tabiat mungkar dalam diri yang payah untuk dihilangkan.
Penilaian akan apakah sesuatu cetusan minda ini penting kerana apa yang dipilihnya, itulah yang dihidupkan atau bakal dilalui dan ini juga menyebabkan ia mengabaikan sesuatu faktor yang lain seperti contohnya seorang pemuda atau pemudi yang begitu terpesona dengan kehidupan dikota-raya dengan suasana bebas antara muda-mudi, maka diusahakan dengan segala kemampuannya untuk meletakkan dirinya dalam suasana sebegitu dan biarpun hakikatnya ramai yang menderita, namun diabaikannya akan faktor yang menderitakan kerana penumpuan hanya pada cetusan minda akan kehebatan kehidupan terkini dikota-kota besar.
Ini kerana, insan dan segala mahluk yang hidup bersifat fitrahnya terbatas yang mana tiadalah kemampuannya untuk menguasai atau meneliti akan segala sudut unsur-unsur kehidupan yang dilaluinya seperti misalnya bila ia melihat disebelah kanan maka terlepaslah pandangannya dari sebelah kiri, sebegitu juga bila ia melihat kesebelah atas maka terlepaslah pandangannya dari melihat kesebelah bawah. Keterbatasan fitrah ini hatta untuk mahluk-mahluk yang mempunyai kelebihan tersendiri seperti labah-labah yang mempunyai mata yang lebih dari dua, bagaimana pun tidak mampu menggunakan mata-matanya mengawal segala pergerakkan disekitarnya, dimana terjadi keadaan labah-labah ini menjadi mangsa pada sang burung.
Hakikat akan keterbatasan kemampuan insan termasuk pemikirannya adalah jelas biarpun ada pihak yang cuba menafikan dengan alasan bahawa kepesatan dunia modern hari ini yang penuh dengan ilmu pengetahuan, dimana dunia hari ini mempunyai hampir apa sahaja data-data pengetahuan tentang segala jalur kehidupan dan dengannya insan mampu sentiasa memilih atau berada dijalan kebenaran, tetapi pihak-pihak ini terlepas pandang bahawa insan adalah mahluk yang bersifat pelupa, alpa, lalai mahupun tidaklah secerdik yang dibangga-banggakan.
Contohnya, seseorang yang memiliki suatu ruang bilik yang dipenuhi oleh layar skrin komputer, dimana setiap komputer dilengkapkan dengan hardisk yang berkapasiti tera-bit dan setiapnya disimpan berbagai-bagai bentuk maklumat atau ilmu pengetahuan seperti dilengkapi dengan segala program untuk menghasilkan kreativiti, dilengkapi dengan segala jenis kitab-kitab dan seterusnya dengan pengetahuan yang lain, tetapi tentunya, mereka yang memilikinya akan hanya lebih memberi tumpuan untuk apa yang diminati atau yang memberangsangkan diri kerana seseorang yang melakukan sesuatu perkara, ia tidak mampu melakukan perkara-perkara yang lain atau memberi tumpuan pada perkara-perkara yang lain pada masa yang sama.
Dimana perhatiannya saban waktu akan ditumpukan pada layar skrin komputer yang terdapatnya perkara-perkara yang amat diminati untuk diikuti seperti contohnya web youtube berbentuk video hiburan, facebook atau sosial network, blog-blog atau web politik dan seterusnya yang menyemangatkan dirinya untuk duduk mengadap komputernya biarpun berjam-jam dalam mana juga skrin-skrin layar komputer yang lain hanya dibiarkan terbuka tanpa diambil perhatian atau mungkin hanya sekali-sekala atas sesuatu keperluan.
Sebegitulah hakikatnya kehidupan seharian insan, biarpun begitu banyak perkara yang berlaku atau berlalu, namun hakikatnya, setiap insan hanya akan memberi tumpuan kepada perkara-perkara yang diminati atau sebati dengan dirinya dan tanpa disedari, ia meninggalkan perkara-perkara yang lain biarpun perkara tersebut kekadang merupakan sesuatu yang begitu bernilai buat dirinya. Atas itu, mustahaknya pemilihan kepada apa itu cetusan-cetusan minda yang mempengaruhi dirinya. Kerana kesilapan memilih, membuat waktu kehidupan yang singkat ini hanya menjadi sia-sia mahupun menyebabkan diri menjadi kerugian dikemudian hari.
Lantas dari itu juga, insan wajarlah sentiasa berpesan-pesan kearah kebaikan dan mencegah kemungkaran, sebagaimana ini juga adalah tanggung-jawab yang telah diamanahkan, dalam mana dengan mengambil tanggung-jawab ini, bukan sahaja setiap insan dapat membantu kearah pemilihan buat cetusan-cetusan minda yang membawa kearah kebaikan, tetapi ia juga menyebabkan setiap diri insan tersebut berkemampuan menghasilkan saban waktu cetusan-cetusan dari mindanya sendiri yang membawa kearah kebaikan.
Bersambung...
No comments:
Post a Comment