Budaya berfikir adalah antara tunjak kepada kewujudan sesuatu kebudayaan kerana asal perkataan budaya itu sendiri iaitu buddhayah, yang diambil dari bahasa Sanskrit (bermakna perkara-perkara yang berkaitan dengan budi dan akal insan), boleh diberikan erti juga bahawa kehadiran sesuatu kebudayaan adalah sebabnya dari pemikiran insan.
Budaya berfikir bukanlah bermaksud angan-angan kosong, termenung membuang waktu atau berfikir atas sesuatu sebab seperti rindu, dendam, benci, dengki dan sebagainya tetapi lebih diertikan kepada pemikiran yang membina sesuatu seperti penghasilan idea-idea mahupun pandangan-pandangan yang bernas, mencari penyelesaian keatas sesuatu masaalah (brainstorming), menghuraikan sesuatu yang bermakna buat kehidupan, visionari, daya kreatif, innovasi, pemikiran yang menghasilkan bahan-bahan penulisan ilmiah, memikirkan cara menyelamatkan umat dan seterusnya.
Budaya berfikir kenyataannya juga bukanlah milik segelintir masyarakat seperti golongan elit, para seniman, think-tank, pihak atasan dan sebagainya tetapi ia adalah milik setiap insan hatta kanak-kanak seharusnya dilatih agar memiliki budaya berfikir dalam konsep yang membawa kearah hidup yang positif. Memperkatakan budaya berfikir hanya milik sekelompok insan atau hanya buat segelintir masyarakat samalah dengan seorang pelukis yang memperkatakan bahawa seni itu hanyalah berbentuk lukisan, sedangkan apa yang diperkatakan adalah suatu kesilapan diatas ketiada-fahamannya akan erti sebenar seni.
Berfikir hakikatnya adalah fitrah insan, dalam mana tanpa menggunakan fikiranya saban waktu, jadilah kewujudannya seperti haiwanat didunia ini. Menegah budaya berfikir adalah suatu kezaliman yang amat besar, kerana budaya berfikir itu adalah hak setiap insan. Hanya apa yang wajar diusahakan adalah sempadan atau pedoman buat budaya berfikir kerana tanpa sempadan atau pedoman, insan akan mencipta kehancuran demi kehancuran dari pemikirannya biarpun pada awalnya ia menyangka itu membawa kebaikan, sebagaimana telah termaktub dalam sejarah demi sejarah kehidupan insan.
Apa yang difikir insan adalah asasnya dari pandangan semesta (Weltanshauung), iaitu persepsi terhadap dunia yang dipenghunikan atau kefahamannya akan apa dan bagaimana kewujudan segala dalam alam hidupnya, dalam mana dari situlah insan membina seterusnya suatu kebudayaan dan kebudayaan ini kemudiannya mampu mempengaruhi serta memberi kesan pada pemikiran mahupun cara hidup pada insan lain atau generasi seterusnya.
Seperti suatu pusingan ekologi sistem contohnya awan yang menurunkan hujan, lalu airnya yang mengalir atau bertakung akan membantu kehidupan dialam ini, kemudiannya tersejat keudara menjadi awan dan awan ini menurunkan kembali air tersebut sebagai hujan dalam pusingan ekologinya, sebegitulah misalnya akan fikir insan itu mampu mencipta suatu budaya dan budaya ini pula kemudianya mampu mempengaruhi akan cara insan untuk berfikir seterusnya.
Pandangan semesta samaada dari individu mahupun masyarakat adalah dari keunikan gabungan pengalaman-pengalaman buat alam yang diduduki dimana pengalaman-pengalaman ini kemudiannya menjadi kutipan-kutipan yang bersambung-sambung dari satu masa kesatu masa atau dari suatu generasi kesuatu generasi. Dalam kata lain, apa yang diketahui hari ini serta apa yang terbina hari ini, asalnya adalah dari pengalaman-pengalaman insan-insan yang lepas terutama bila adanya catitan-catitan atau data-data yang tersimpan dan dapat disampaikan seterusnya kepada generasi-generasi kemudian.
Seperti contohnya peta dunia atau rupa akan bentuk muka bumi yang diduduki, suatu waktu dahulu, insan dari pengalamannya hanya mengetahui apa yang dapat dicapai oleh pandangan mata-kasarnya, kerana itu ada yang menganggap dunia ini bentuknya seperti diatas sebuah papan yang mana bila seseorang berjalan kehujung dunia, ia akan terjatuh dari papan tersebut, namun kemudian diatas pengalaman bahawa tiada pula berlaku kejatuhan bila insan mengembara atau berlayar ketempat apa yng dianggap dahulunya hujung dunia, mengubah akan persepsinya tentang keadaan dunia ini. Lalu juga kemudiannya dari pengalaman-pengalaman insan yang kerap bergerak keseluruh sudut dunia maka terciptanya peta-peta akan rupa bentuk dunia ini. Proses sebegini akhirnya menghasilkan suatu persepsi yang pasti akan rupa-bentuk alam ini, apatah lagi buat generasi kini yang dapat melihat bentuk alam ini dari sudut jauh diangkasa.
Pandangan semesta atau persepsi tentang alam ini buat individu mahupun masyarakat akan sentiasa berkembang atau menjadi luas akan pengertian setiap sesuatu dialam ini terutamanya dizaman ini yang mana dunia semakin mengecil dengan segala kemudahan modern seperti dari sudut mudahnya mengakses data berkenaan sesuatu bahan, mudahnya untuk berkomunikasi dari segala penjuru dunia, adanya pengangkutan untuk bergerak kemana-mana dan pantas, sudut teknologi yang semakin maju dimana-mana dan seterusnya.
Namun apakah semua itu membantu insan mencapai suatu pemikiran yang tinggi, maju bertamadun dan membina segala kebaikan buat diri juga buat alam yang diduduki sedangkan apa yang terjadi adalah sebaliknya iaitu pencemaran misalnya dari sudut pemikiran mahupun budaya hidup yang dicipta oleh insan dari masa kesemasa. Alam yang didudukinya ini pun semakin tenat diatas pencemaran yang berterusan dilakukan insan, dalam mana biarpun ada usaha untuk memulihkannya atau meminimumkan pencemaran tersebut namun aktiviti-aktiviti terutamanya dari sudut komercial (yang berterusan melakukan pencemaran seperti pencemaran udara, air dan lain-lain) adalah saban hari lebih besar dari usaha pemulihannya.
Sebagaimana biarpun ada aktiviti-aktiviti insan untuk memulihkan budaya berfikir dikalangan insan, namun jiwa kebendaan atau jiwa tamak insan lain wajar memusnahkan atau menenggelamkan proses-proses pemulihan ini. Seperti contohnya, ada kalangan para seniman yang berusaha menggunakan wadah seni dalam memperkatakan mahupun memperjuangkan sesuatu yang hak, tetapi terpaksa berdepan dengan berjuta-juta pihak yang lain yang menggunakan wadah seni hanya untuk mengaut keuntungan atau kepopulariti semata-mata dengan menghalalkan apa sahaja cara untuk itu biarpun caranya adalah menghancurkan serta merendahkan sendiri tentang apa itu erti sebenar suatu seni.
Justeru itu, dalam menghidupkan budaya berfikir, perlunya suatu garisan sempadan atau pedoman buat insan yang mana dengan itu, dapat ia seperti menilai pandangan semestanya dengan sesuatu yang hak lalu membaiki, membentuk, menapis unsur-unsur negatif disamping memahami kebenaran dan berdiri diatas kebenaran. Dan didalam ajaran agama Islam, telah ditunjukkan akan apa itu sempadan serta pedoman untuk insan menghadirkan budaya fikirnya.
Bersambung...
No comments:
Post a Comment