Wednesday, September 15, 2010

Sembang budaya - 2

Lazimnya perkataan budaya dikaitkan dengan kesenian kerana sesuatu penghasilan kesenian atau artifak itu wajar sahaja menghasilkan suatu corak budaya hidup yang mempengaruhi akan perilaku insan, pakaiannya, rentak-rentak kehidupannya, bunyi-bunyian, tutur-bahasa atau kesasteraannya, kehendak atau keinginannya, penghasilan segala hiasan atau dekoratif dalam keperluaan, reka-bentuk dari tempat penginapan sehingga kepengangkutan dan seterusnya.

Yang mana juga lumrahnya dari corak hidup yang terhasil dari sesuatu penghasilan kesenian atau artifak, ianya diwarisi dan sehinggalah kemudiannya menjadi tradisi generasi kegenerasi dan ini seterusnya merangkakan ciri-ciri khas untuk sesuatu kebudayaan. Malah mungkin juga keperingkat menjadi suatu adat turun-temurun yang diamalkan dan dipertahankan.

Namun kenyataannya, perkataan budaya sendiri mengandung maksud yang lebih meluas merangkumi bukan hanya dari penghasilan sesuatu kesenian atau artifak, tetapi dari segala kaitan dengan aktiviti-aktiviti seperti dari kepercayaan, pegangan hidup, idealism (sesuatu dari dalaman diri seperti dari pemikiran atau perasaan), realism (sesuatu luaran diri yang wujud bersifat konkrit dan nyata), pengetahuan, pengaruh hidup dan seterusnya dalam kehidupan insan samada yang membawa kesan kebaikan atau sebaliknya, samaada suatu yang berlandaskan yang hak atau yang batil atau pun bercampur-aduk antaranya.

Kesan sesuatu kebudayaan keatas insan adalah seperti seorang pengarah filem yang mengarah sebuah filem, lalu dilakonkan oleh pelakon-pelakonnya dengan watak-watak dari skrip-skrip yang telah ditulis, bunyi-bunyian yang dilantunkan, reka-bentuk atau suasana yang melatarkan filem tersebut dan sehinggalah kepakaian yang dipakai seperti dari warna kainnya mahupun potongan pakaiannya. Yang mana bahawa dalam misal ini, kebudayaan itu adalah pengarahnya manakala insan-insan yang mengikuti kebudayaan itu adalah pelakon-pelakonnya.

Kebudayaan yang mengajak kearah kebaikan, ianya seperti suatu filem yang jalan ceritanya adalah tentang watak pihak yang baik sedang kebudayaan yang mengajak kearah kejahatan adalah seperti suatu filem yang jalan ceritanya tentang watak pihak yang jahat. Hanya-sanya buat filem tersebut, segala watak yang diarahkan oleh pengarah filem tersebut, berakhir bila tamatnya lakonan itu tetapi buat sesuatu kebudayaan yang dihidupkan dalam kehidupan, watak-watak dari kebudayaan tersebut adalah watak-watak sebenar buat diri atau masyarakat dalam kehidupan yang dilalui.

Ini kerana, dari sesuatu budaya itu, seseorang atau sekelompok masyarakat wajar sahaja menampilkan cara kehadiran mereka, cara pemikiran, cara berpakaian malah sehingga cara ia mencipta keadaan suasana dipersekitaran kehidupan mereka disamping mempengaruhi atau dipengaruhi.

Lantas dari itu, pertanyaannya, bagaimanakah ciri-ciri sesuatu kebudayaan tersebut, apakah ia mengajak kearah kebaikan atau mengajak kearah kejahatan mahupun kehancuran? Apakah sesuatu kebudayaan itu hanya menjanjikan kejayaan material atau fizikal tetapi menderitakan rohaniah atau sebaliknya atau mahupun membawa kejayaan dan kebahagian hakiki? Apakah akibat dari sesuatu kebudayaan itu bila dibawa atau dihidupkan kedalam kehidupan diri dan masyarakat?

Dalam pada itu, sesuatu kebudayaan itu adalah juga bersifat abstrak yang kehadirannya kekadang adalah spontan dan pantas mempengaruhi seseorang atau masyarakat atas sesuatu sebab. Dimana diatas sifat abstraknya itu, lazim juga sesuatu yang diduga membawa kebaikan tetapi sebaliknya ia membawa keburukan atau diduga ia membawa keburukan tetapi ia membawa kebaikan dan mahupun kesan darinya yang bercampur-aduk antara yang hak dengan yang batil.

Contohnya seseorang yang usia-usianya hidup dalam aliran budaya yang gemarkan keamanan, membencikan peperangan, hidup tanpa kebendaan atau secara bersederhana, bersifat merendah diri, zuhud dunia dan seterusnya, tidak mestinya dia adalah seorang “hippies“ yang pergaulan mereka bebas antara lelaki dan perempuan dan mengambil dadah serta juga tidak semestinya dia seorang yang melepaskan segala tanggung-jawabnya sebagai seorang insan didunia seperti tanggung-jawab seorang ayah kepada anak-anaknya.

Terdapat juga pertindihan-pertindihan budaya hidup atau bercampur-aduk berbagai budaya dalam kehidupan seseorang atau sesuatu masyarakat contohnya seorang anak muda yang mendakwahkan akan cara hidup kebudayaan Islam tetapi dirinya seharian hidup dalam suatu budaya lain seperti sesuatu budaya hiburan, ia kemungkinan kelihatan suatu kebiasaan dan tidak membawa kesan apa-apa tetapi bila anak muda tersebut yang mendakwahkan sesuatu yang hak tetapi disamping itu, ia mendakyahkan juga batil seperti pakaian yang menjolok mata atau pergaulan bebas bukan muhrim maka ini adalah suatu kategori budaya hipokrit atau budaya kepura-puraan.

Sebagaimana dalam arus politik, biasa juga terjadi budaya hipokrit atau kepura-puraan kerana terdapatnya golongan yang hanya berkeinginan berkuasa atau menduduki tempat yang tertinggi dikalangan masyarakat serta sanggup melakukan apa sahaja untuk itu tetapi mereka sebenarnya tiada abiliti atau berkemampuan diatas tugas sebegitu. Lalu apa yang terjadi, hanyalah kepura-puraan mereka untuk melakukan sesuatu untuk masyarakat sedangkan apa yang mereka rancangkan hanyalah pertamanya untuk keuntungan peribadi yang mana kesannya bukanlah sesuatu yang baik. Dimana masyarakat dibawahnya terpaksa menanggung kesilapan itu dan malah kemungkinan terpaksa pula kemudiannya dibawah imperialism-kultur penjajah yang menjajah mereka.

Bersambung...

No comments:

Btn_brn_77x28

Tajuk

Abbasiyah (1) altruisme - ikram (3) Aqidah (1) art video (20) Austronesia (10) Bahasa dan penampilan (5) Bangsa Melayu (7) batas sempadan (9) Berita (15) Besi (1) Biography solihin (1) Budaya dan pengertiannya (16) catitan (2) cerdik/bodoh dan antaranya (6) cetusan minda (8) cinta dan syahwat (3) Doha - Qatar (2) Eid Mubarak (5) falsafah (2) Fantasia falasi (3) Fibonacci (1) Filem (2) fitrah (1) Fungsi seni (1) gangsa (1) hukum (6) huruf (2) hutang (1) ijtima (1) Iklan (2) imitasi dan memori (1) infiniti (5) jalan2 (2) kebangsaan/nationalisme (2) kebebasan bersuara (1) Kelahiran kesenian yang mengubah warna dunia. (1) Kembali sebentar tentang erti seni (Islam) (1) kerja otak (1) Kesenian dunia Islam (1) komunikasi (1) konsep kendiri (3) konspirasi (1) Lagu (1) Lentok tangan (1) Malaysia (3) Masa (10) Maslahah atau mafsadah (1) Maya (ilusi) (4) Melaka (1) Melayu (2) Melayu dan Islam (9) minda (2) musik (2) nukilan rasa (1) Pantang dalam berkarya (1) Pause (6) Pembetulan sejarah (3) Pengajian dan pengertian budaya (1) Perasaan dan pemikiran (5) Persepsi / Tanggapan (6) pointillism (2) populasi dunia (9) Produk sejarah (11) Program dan hayat (2) prosa (4) ramadan (2) realiti - kenyataan (7) Sajak (22) Sangkaan (2) sebab dan akibat (18) sejarah (14) sejarah Islam Nusantara (1) sejarah Melayu (4) Sejarah mengubah/terubah (5) Sejarah seni dalam kehidupan insan (1) Sejarah video (1) Seni Bahasa (2) Seni dalam imiginasi (1) seni kata (1) Seni logam (3) Seni textil (budaya berpakaian) (2) Seni-seni mempertahankan diri (1) sound (1) Srivijaya (3) Sunda (6) Tahap kesederhanaan (1) Tahap-tahap kehidupan (14) tenung bintang (1) Terkesan dengan suasana (2) Tradisional dalam makna (1) Ukuran dan kayu pengukurnya (2) updated (1) Usia manusia (3) vision (1) wang (7) Wujudkah kosong? (2) zarzh slide (12)

Catitan lalu

Insuran & Road Tax Online

tetangga