Wednesday, February 25, 2015
Antara wang fiat dan wang emas - 6
Rizab pertukaran asing (Foreign exchange reserves atau Forex reserves) ialah istilah yang digunakan bagi pertukaran matawang asing dan emas, hak pengeluaran istimewa (SDR) dan kedudukan rizab IMF. Sedang rizab antarabangsa rasmi atau rizab antarabangsa ialah simpanan matawang asing dan bon yang disimpan oleh bank pusat dan pihak berkuasa kewangan. Aset-aset bank pusat ini dipegang dalam pelbagai matawang kebanyakannya dalam dolar AS, Euro, Paun UK dan Yen Jepun, dan matawang ini digunakan untuk menjamin liabiliti iaitu pengeluaran matawang tempatan dan deposit rizab bank-bank lain dengan bank pusat, oleh kerajaan atau institusi kewangan. Pada mulanya hanya terdiri daripada emas dan perak namun di bawah sistem Bretton Woods, dolar AS menjadi matawang rizab dan matawang ini juga menjadi sebahagian daripada aset rizab antarabangsa rasmi sesebuah negara. Dari tahun 1944-1968, dolar AS boleh ditukarkan kepada emas melalui Sistem Rizab Persekutuan AS, tetapi selepas tahun 1968 hanya bank pusat boleh menukarkan dolar kepada emas daripada rizab emas rasmi. Selepas wang fiat mengambil alih nilai emas dan perak, tiada lagi institusi atau individu boleh menukarkan dolar AS atau matawang utama kepada emas daripada rizab emas rasmi.
Kerana ianya tidak hanya terdiri daripada emas dan perak, maka risiko sesebuah negara kerugian berbilion-bilion dolar AS adalah besar lantaran nilainya mudah turun-naik. Contohnya, pada pertengahan April 1993 sahaja, Malaysia mengalami kerugian sebanyak RM9,300 juta akibat urusniaga pertukaran asing. Menteri Kewangan ketika itu, tidak memahami sepenuhnya konsep Ringgit luar pesisir dengan berpendapat istilah “Ringgit luar pesisir” merujuk kepada kewujudan fizikal wang itu diluar negara, terutama di Singapura. Maka segala usaha dilakukan oleh kerajaan agar wang tunai tidak mengalir keluar daripada Malaysia, Sebenarnya, perbezaan diantara ringgit luar pesisir dengan Ringgit dalam negeri bukanlah bergantung kepada keadaan samada ringgit itu memang wujud dan berada di Malaysia atau pun tidak kerana selain daripada sejumlah kecil Ringgit yang dimiliki pemegang wang atau bank luar negara, wang itu sebenarnya masih berada dalam negara.
Apabila ringgit dijual atau berlakunya jual-beli dan sebagainya, apa yang berlaku ialah pemilikan Ringgit itu berpindah daripada akaun penjual kepada akaun pembeli berkenaan didalam bank tempatan mahupun bank asing, dimana tiada tunai yang bertukar tangan secara fizikal, tetapi hanya nilainya yang berubah didalam buku bank diantaranya. Sebegitu juga, apabila seorang peniaga matawang meminjam Ringgit, perkara yang sama berlaku dimana pihak yang memberi pinjaman, biasanya bank antarabangsa asing, hanya memindahkan pemilikan Ringgit itu kepada peminjam kedalam buku akaunnya dan buku akaun bank Malaysia yang memegang Ringgit itu. Selepas itu, peniaga berkenaan boleh membuat jualan singkat terhadap Ringgit dengan menyerahkannya hanya setelah nilainya diturunkan dan ini sekali lagi boleh dibuat dengan memindahkan kedalam buku akaun pembeli seterusnya.
Pada tahun 1998, perkara ini berlaku kembali dengan permainan speculator matawang. Dengan keupayaan membuat laveraj (laverage) sehingga 20 kali ganda daripada modal para speculator, dana lindung nilai mereka mempunyai kekuatan yang luar biasa. Ini bermakna, mereka boleh menggunakan kedudukan gearan (gearing) itu untuk menentang bank pusat yang hanya boleh menggunakan posisi tunai mereka sahaja. Selain dengan dana lindung nilai, mereka juga mempunyai kecenderungan untuk bertindak secara berkelompok, menjual dan membeli sesama sendiri dan seterusnya sehingga mampu mempengaruhi naik dan turun nilai matawang bagi memaksimumkan keuntungan. Mereka tidak membeli ringgit atau mana-mana matawang untuk membayar perkhidmatan dan barangan kerana mereka sebenarnya tidak memerlukan pun wang tersebut selain untuk memanipulasi dan spekulasi terhadapnya. Bagi mereka, wang ialah satu komoditi, sama sahaja dengan komoditi lain yang diniagakan dibursa komoditi, dimana dalam pasaran hadapan komoditi, kewujudan fizikal wang itu tidak mustahak.
Bukti disebabkan permainan spekulator mata wang adalah dengan pengaliran keluar kira-kira 115 bilion Dolar AS dari lima negara utama yang mengalami krisis ketika itu iaitu Korea, Thailand, Indonesia, Filipina dan Malaysia, sejak bermula krisis sehingga September 1998. Cara aktiviti spekulasi ini menyebabkan kejatuhan matawang sesebuah negara adalah sekiranya nilai matawang sesebuah negara diramalkan akan turun, para spekulator akan bertindak menjual matawang tersebut dikedua-dua pasaran semerta dan pasaran hadapan. Apabila nilai matawang tersebut benar-benar-turun, maka matawang tersebut akan dibeli kembali pada kadar yang murah. Perbezaan antara jualan dengan belian adalah keuntungan yang akan diperoleh oleh spekulator. Begitu juga sekiranya sesuatu matawang akan dinaikkan nilainya, spekulator akan membeli matawang tersebut dipasaran semerta dan pasaran kehadapan. Apabila nilai matawang tersebut betul-betul meningkat, spekulator akan menjual dengan memperoleh keuntungan daripada urusniaga tersebut.
Selain daripada faktor permainan spekulator, faktor lain adalah krisis keyakinan pada ekonomi dan politik sesebuah negara adalah penting, lantaran itulah sifat asal wang fiat yang diciptakan dari atas angin atau tanpa sandaran, hanya keyakinan. Dari itu, jumlah risab simpanan sesebuah negara memainkan peranan melindungi ekonominya kerana faktor keyakinan oleh pihak pedagang mata wang dan pelabur terhadap sesuatu mata wang yang diniagakan ini selalunya dipengaruhi oleh keadaan ekonomi dan politik sesuatu negara yang mata wangnya terlibat. Sekiranya keadaan ekonomi dan politik sesebuah negara itu kurang meyakinkan, para pelabur, pedagang ataupun spekulator akan menjual mata wang negara tersebut di pasaran. Ini adalah realiti apa yang telah berlaku ke atas negara-negara di Asia baru-baru ini. Disebabkan dasar-dasar ekonomi dan politik yang tidak disenangi atau kurang diyakini mempengaruhi perdagangan pasaran terutamanya kepada pedagang, pelabur dan spekulator terhadap aliran kadar pertukaran sesuatu mata wang. Pertumbuhan ekonomi yang pesat di negara-negara Asia Tenggara telah diikuti oleh pertumbuhan pesat kredit sektor swasta dan inflasi harga aset, termasuk di pasaran hartanah dan pasaran saham, ini meningkatkan kebimbangan bahawa kadar tukaran para pelabur ini tidak dapat dipertahankan. Beberapa petunjuk ekonomi makro ini mendedahkan bibit masalah sejak beberapa tahun sebelum krisis lagi terutama di Thailand, Indonesia dan Korea.
Apabila berlaku masalah di Thailand, para pelabur terutama pelabur asing melihatnya sebagai suatu risiko, lebih-lebih lagi apabila mereka melihat rantau ini sebagai satu gagasan bersama (sebagaimana gagasan Europa), dimana mereka menganggap Malaysia, Thailand, Indonesia dan Filipina ini berada dalam satu kumpulan ekonomi dan mempunyai ciri-ciri dan struktur ekonomi yang sama. Jika sekiranya terdapat kelemahan struktur di Thailand dan Filipina umpamanya, mereka menganggap kelemahan itu juga wujud dalam ekonomi Malaysia, sedangkan tanggapan itu tidak benar. Jadi berdasarkan itu, mereka menarik keluar pelaburan mereka dari negara-negara Asia dan disebabkan pelabur asing menarik keluar modal mereka, pengaruh mereka ini menular kepada pelabur tempatan yang menyebabkan mereka turut menarik keluar modal kerana terpengaruh dan tidak mahu mengalami kerugian.
Dalam pada itu, rizab antarabangsa atau rizab pertukaran asing sesebuah negara-negara yang terbabit memiliki peranan mempengaruhi faktor keyakinan ini. Negara yang ekonomi mereka boleh bertahan ialah yang mempunyai tinggi nilai rizab pertukaran asing seperti Jepun, Taiwan, China, Hong Kong dan Singapura. Dari segi pengurusan ekonomi, tidak semestinya banyak perbezaan tetapi kerana negara-negara yang memiliki banyak rizab pertukaran asingnya, membuatkan pihak yang hendak melakukan permainan spekulator akan berfikir beberapa kali sebelum bertindak. Sebaliknya berbeza untuk menjatuhkan baht Thailand, buat para spekulator ianya amat mudah kerana simpanan Thailand hanya cukup untuk membeli bagi tempoh empat bulan sahaja.
Perkara yang sama telah berlaku pada Mexico pada hujung tahun 1994, dimana sebelumnya ekonomi Mexico telah meningkat pesat sejak 1982, namun Bank pusatnya yang mempunyai kira-kira $ 28 bilion rizab pertukaran asing yang membantu Peso agar tetap stabil, mula menukar hutang jangka pendek dalam mata wang peso, menjadikan bon dalam mata wang dolar. Penukaran tersebut mengakibatkan penurunan rizab pertukaran asing dan peningkatan hutang. Apabila kerajaan akhirnya memutuskan untuk menurunkan nilai mata wangnya pada bulan Disember 1994, kerajaan telah membuat kesalahan besar kerana biarpun pada awalnya nilai mata wangnya turun dengan sedikit tetapi ini menyebabkan pelabur asing menarik diri manakala permainan spekulator mula menggalakkan nilai tukar Peso jatuh rendah dengan drastik untuk mengaut keuntungan yang akhirnya melingkupkan ekonomi Mexico dan Mexico terpaksa berhutang dengan IMF.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Tajuk
Abbasiyah
(1)
altruisme - ikram
(3)
Aqidah
(1)
art video
(20)
Austronesia
(10)
Bahasa dan penampilan
(5)
Bangsa Melayu
(7)
batas sempadan
(9)
Berita
(15)
Besi
(1)
Biography solihin
(1)
Budaya dan pengertiannya
(16)
catitan
(2)
cerdik/bodoh dan antaranya
(6)
cetusan minda
(8)
cinta dan syahwat
(3)
Doha - Qatar
(2)
Eid Mubarak
(5)
falsafah
(2)
Fantasia falasi
(3)
Fibonacci
(1)
Filem
(2)
fitrah
(1)
Fungsi seni
(1)
gangsa
(1)
hukum
(6)
huruf
(2)
hutang
(1)
ijtima
(1)
Iklan
(2)
imitasi dan memori
(1)
infiniti
(5)
jalan2
(2)
kebangsaan/nationalisme
(2)
kebebasan bersuara
(1)
Kelahiran kesenian yang mengubah warna dunia.
(1)
Kembali sebentar tentang erti seni (Islam)
(1)
kerja otak
(1)
Kesenian dunia Islam
(1)
komunikasi
(1)
konsep kendiri
(3)
konspirasi
(1)
Lagu
(1)
Lentok tangan
(1)
Malaysia
(3)
Masa
(10)
Maslahah atau mafsadah
(1)
Maya (ilusi)
(4)
Melaka
(1)
Melayu
(2)
Melayu dan Islam
(9)
minda
(2)
musik
(2)
nukilan rasa
(1)
Pantang dalam berkarya
(1)
Pause
(6)
Pembetulan sejarah
(3)
Pengajian dan pengertian budaya
(1)
Perasaan dan pemikiran
(5)
Persepsi / Tanggapan
(6)
pointillism
(2)
populasi dunia
(9)
Produk sejarah
(11)
Program dan hayat
(2)
prosa
(4)
ramadan
(2)
realiti - kenyataan
(7)
Sajak
(22)
Sangkaan
(2)
sebab dan akibat
(18)
sejarah
(14)
sejarah Islam Nusantara
(1)
sejarah Melayu
(4)
Sejarah mengubah/terubah
(5)
Sejarah seni dalam kehidupan insan
(1)
Sejarah video
(1)
Seni Bahasa
(2)
Seni dalam imiginasi
(1)
seni kata
(1)
Seni logam
(3)
Seni textil (budaya berpakaian)
(2)
Seni-seni mempertahankan diri
(1)
sound
(1)
Srivijaya
(3)
Sunda
(6)
Tahap kesederhanaan
(1)
Tahap-tahap kehidupan
(14)
tenung bintang
(1)
Terkesan dengan suasana
(2)
Tradisional dalam makna
(1)
Ukuran dan kayu pengukurnya
(2)
updated
(1)
Usia manusia
(3)
vision
(1)
wang
(7)
Wujudkah kosong?
(2)
zarzh slide
(12)
Catitan lalu
Paut-paut
- Cillah mind blog
- Chill garage blog
- Zar art mind
- Mind zikir
- zarzh scribd
- Fukaahah - joke
- dzar-ardh web
- Zar homepage mind
- Cengkerik Web
- zarq-biru web
- zar4freesurf web
- The Salam blog
- Made from words
- Salaam.co.uk art
- Azhar 313 blog
- Ismadi-Fade to black
- Kepaknyamuk blog
- Dj Irwan blog
- Ziarah76 blog
- Ben Krenmaut blog
- Hamka k.mayat blog
- Fakir Fikir blog
- 2121 Studio blog
- Abdullah Jones blog
- Rayau menyasau blog
- Payabesarpedas blog
- Jiwarasa blog
- Gayour Blog
- Dunia penyair
- Risalah proseni.blog
- Pyanhabib blog
- Rajawali art gallery
- Sketsa Azlan Adam
- akhi zubair blog
- Zar Travel Mind
- Zanas wordpress
- Line clear.com
- Oweis art
- Jamil Art
- Muslim Directory
No comments:
Post a Comment