Apakah
takrif sebenar akan perkataan bodoh, dimana ia merupakan suatu patah
perkataan yang biar pun tiada siapa suka ditujukan padanya tetapi
merupakan suatu yang selalunya menghiburkan khalayak ramai tidak kira
apa kedudukan mahupun zaman mereka.
Ambil
sahaja watak badut, tidak kira siapa sahaja disebalik topeng badut,
ianya tentulah menghiburkan khalayak ramai bergantung akan sebaik
mana tindakan-tindakan yang dianggap bodoh, dilakukan sebaik mungkin. Sekiranya sibadut beralih
watak seperti berwatak pintar atau watak serius maka tentulah ianya tidak lagi
menghiburkan audien.
Dan
bukan sahaja watak badut tetapi begitu banyak lagi sehingga tidak
dapat dikira akan watak-watak lain yang melakukan tindakan-tindakan
bodoh untuk menarik perhatian ramai terutama dalam hal berkaitan dengan sesuatu yang menghiburkan. Malah ada kalangan mereka
yang begitu berjaya dengan watak bodohnya sehingga dikenali diseluruh
dunia dan ditonton segala peringkat umur seperti Mr Bean, yang
nama sebenarnya Rowan Atkinson dan adalah kalangan lepasan Oxford.
Perkataan
bodoh lazimnya ditujukan buat sesuatu individu mahupun sekelompok
ramai untuk menyatakan bahawa ianya tidak pintar, tidak cerdik, tidak
menggunakan akalnya untuk berfikir, melakukan sesuatu diluar
kewajaran atau kewarasan, mereka yang rendah I.Qnya, mereka yang
buta-huruf atau rendah pelajarannya, mereka yang hidup ketinggalan
zaman dan seterusnya. Namun apakah benar semua tanggapan tersebut?
Apakah
mereka yang dikatakan kalangan bukan bodoh tiada sifat kebodohan
dalam dirinya? Mereka yang berpelajaran tinggi, berkedudukan tinggi,
berketurunan kelas atasan, hidup dalam kalangan masyarakat yang maju,
hidup dalam zaman zenith atau kemuncak sesuatu tamadun dan
seterusnya, apakah mereka-mereka ini tiada sifat kebodohan dalam diri
mereka?
Sifat
kebodohan ini sebenarnya ada dalam setiap insan sama seperti sifat
kecerdikan, hanya-sanya bergantung sifat manakah yang besar menguasai
seseorang dalam kehidupannya setiap saat. Seseorang tersebut mungkin
sahaja dapat mengecilkan sifat-sifat kebodohan dalam dirinya lalu
dianggap kalangan cerdik-pandai, namun ini tidak melenyapkan akan
sifat kebodohan yang masih dimiliki. Atau sebaliknya iaitu seseorang yang dianggap bodoh, tetap ada kecerdikan pada dirinya selama
mana akalnya masih waras.
Ianya
juga bergantung dari sudut mana dimaksudkan akan sesuatu kebodohan
tersebut. Contohnya seseorang tersebut mungkin sahaja kalangan mereka
yang memiliki timbuhan sijil-sijil dan namanya tersebar disetiap
pelusuk alam sebagai pakar utama bidang fizik tetapi
penemuan-penemuan yang dihasilkannya jelas membawa kesan mudarat
secara besar-besaran pada kehidupan dialam ini, dan dirinya
menyedari akan hal itu, maka dirinya bukanlah cerdik tetapi kalangan
mereka yang memiliki kebodohan bertahap tinggi.
Atau
juga seseorang yang melakukan suatu pemikiran yang dianggap hebat
lalu dipuja serta dianuti disesetengah negara, dimana dirinya
diangkat sebagai seorang cerdik-pandai tetapi dirinya tidak menyedari
bahawa segala pemikirannya membawa kesan yang amat buruk pada
khalayak ramai seperti pertumpahan darah yang tidak henti-henti,
penindasan, kezaliman dan seterusnya (contohnya Karl Max dengan
ideologi komunisnya), tentulah insan yang dianggap cerdik-pandai
tersebut sebenarnya seorang yang memiliki kebodohan yang amat
dahsyat kesan buruknya.
Sebegitu
juga, seseorang yang memiliki keupayaan seperti suatu pengetahuan
yang dipelajari sekian lama dan dapat dimanfaat buat khalayak ramai
tetapi pengetahuan itu tidak disebarkan untuk khalayak ramai atau
digunakan hanya untuk urusan buat mendapat imbuhan, tentunya juga
tindakan ini adalah suatu kebodohan. Ini juga adalah seperti tindakan
bodoh seorang yang hafis Al-Quran yang tidak mengajarkan Al-Quran
pada yang lain serta tidak mengamalkan ajaran Islam tetapi menggunakannya hanya untuk mendapat imbuhan
seperti dimajlis-majlis pertandingan membaca Al-Quran.
Bersambung...
No comments:
Post a Comment