Monday, December 06, 2010

Cetusan minda - 3

Untuk menghasilkan cetusan-cetusan minda yang baik dari masa kesemasa, memerlukan proses-proses pembetulan minda (taslih, taslihat), sehingga tercapai sesuatu yang benar-benar dikira bermanfaat. Pembetulan berbeza dengan pembaharuan minda (tajdid) kerana sesuatu yang memerlukan pembaharuan adalah sesuatu yang telah wujud dengan baik atau sempurna, hanya setelah melalui detik-detik waktu, ia terhakis atau menjadi lupus yang mana memerlukan pembaharuan tetapi pembetulan adalah dimana ada kesilapan atau kesalahan, diperbetulkan mahupun diperbaiki sehingga menjadi sempurna.

Pembetulan adalah juga dilakukan bila sesuatu tersebut tidak lagi relevan dengan waktu terkini atau waktu akan datang. Seperti contohnya, suatu waktu dahulu, cetusan-cetusan minda dipusatkan kepada usaha kemerdekaan tanah-air oleh pejuang-pejuang tanah-air, kerana waktu itu, tanah-air adalah dalam gengaman pihak penjajah, namun setelah kemerdekaan dicapai, maka cetusan-cetusan minda adalah kemudiannya dipusatkan kepada bagaimana untuk pengisian akan kemerdekaan atau bagaimana mengekalkan kemerdekaan yang telah dicapai.

Atau contohnya, cetusan-cetusan untuk mendapatkan kebebasan bersuara yang merupakan impian sesetengah pihak dahulu, kini telah menjadi kenyataan, dimana siapa sahaja boleh bersuara terutamanya dalam dunia komunikasi internet seperti dengan web-web, blog, facebook dan sebagainya. Maka cetusan-cetusan minda untuk kebebasan bersuara ini kini wajar diperbetulkan kearah pengisian akan kebebasan bersuara yang diperolehi. Iaitu perlunya sentiasa diperbetulkan dengan cara nasihat dan sebagainya, agar pandapat-pendapat atau cetusan minda dalam kebebasan bersuara ini benar-benar dapat dimanfaatkan untuk dibawa kearah yang lebih positif atau kearah kebaikan.

Contohnya juga, mungkin ditanah besar China, masih dipusatkan kepada usaha-usaha mendapatkan kebebasan bersuara yang mana tiada siapa sehingga kini boleh bersuara atau mengkritik kerajaan komunisnya, tetapi dikebanyakan negara lain, termasuk Malaysia, sesiapa sahaja boleh bersuara atau mengkritik kerajaan pemerintah. Hanya-sanya yang perlu dijaga ialah tidak melakukan kritikan-kritikan yang menimbulkan suasana ketegangan sesama kaum yang berbilang bangsa ataupun yang mengundang kearah keburukan mahupun keperingkat bangsa sendiri akhirnya merempat mahupun menjadi hamba dinegaranya sendiri akibat hilangnya kuasa upaya lantaran kritikan yang lahir dari fitnah-fitnah politik semata-mata atau dendam kesumat yang tiada penghujungnya antara sesama sendiri.

Untuk insan dalam melalui proses-proses pembetulan mindanya sehingga benar-benar menuju kearah kematangan atau mencapai pengertian yang sebenar adalah medan kehidupan seharian yang dilalui tidak kira dimana sahaja mahupun apa keadaan dirinya. Medan ini tentunya akan berubah-ubah mengikut suasana samada umur mahupun keadaan persekitaran atau wajar sahaja dalam keadaan berulang-ulang yang sama setiap hari, dalam mana yang menjadi kepastiannya, tidak sesaat pun detik kehidupan yang telah berlalu dapat dikembalikan.

Medan kehidupan seharian adalah guru yang paling akrab dan merupakan yang paling baik sekiranya seseorang tersebut bijak menjejaki kehidupannya sendiri biarpun apa kondisinya. Ianya adalah sebenarnya suatu lapangan latihan untuk diri belajar dan mengerti sebelum usia berakhir, iaitu sebelum kedatangan kematian, kerana bila kematian menjelang, tiada apa yang dapat dicetuskan oleh minda insan melainkan apa yang telah tersebati didalam hatinya.

Medan kehidupan juga adalah ruang untuk insan dalam proses mencapai kesedaran (Consciousness) iaitu suatu proses yang berlangsung melalui tahap pencapaian dari panca-inderanya, kemudian kepada kefahaman dan dan seterusnya kepada pengertian yang lebih mendalam. Dikatakan ruang untuk proses kesedaran adalah kerana medan kehidupan sendiri merupakan dunia realiti dan tempat pratiknya apa itu suatu kehidupan buat setiap insan dan dari ruang tersebut ia melahirkan pengalaman-pengalaman kehidupan. 

Dalam mana, semestinya ada diisi dengan suasana kebenaran serta konsep-konsep kebenaran dari sudut agama kerana pengajaran dari medan kehidupan lazimnya membentuk ilmu pengalaman (empirical) dan biarpun ilmu pengalaman melahirkan sebahagian besar ilmu-ilmu yang diketahui dan membantu insan dalam pembangunan dalam dunia hari ini, contohnya segala hasil-hasil dari bidang saintifik iaitu fizik, biologi dan sebagainya sehingga buat perkiraan tarikh-tarikh; atau bidang seni musik sehingga ke seni mempertahankan diri dan seterusnya kepada segala penciptaan alatan-alatan manusia yang ada hari ini, namun ilmu dari pengalaman manusia adalah lazimnya berbentuk lahiriah dan ianya tidak mencukupi bila membicarakan persoalan batiniah atau rohaniah yang mana manusia itu sendiri terdiri dari aspek-aspek lahiriah dan batiniah.


Bersambung...

Sunday, December 05, 2010

Cetusan minda - 2

Cetusan minda insan mampu mencipta keadaan sekitarnya, mengubah akan cara kehidupan atau mengolah arah kehidupannya. Malah cetusan minda yang dihasilkan oleh seorang insan mampu memberi kesan pada pihak lain samaada untuk individu lainnya, masyarakat mahupun keperingkat keseluruh alam.

Sejauh mana seseorang tersebut menghasilkan cetusan mindanya juga mampu meletakkan ditahap mana dirinya, contohnya, seseorang yang kurang serba-serbi dari sudut duniawi tetapi bijak mengunakan fikirannya, menghasilkan cetusan-cetusan minda yang berbentuk positif dan memberi kesan kebaikan, akan berada ditahap yang tinggi atau mulia berbanding seseorang yang mempunyai segala kebendaan duniawi atau segala kepandaian dari sudut duniawi, tetapi tidak bijak menggunakan fikirannya untuk menghasilkan cetusan minda yang membawa hasil positif atau menuju kelandasan kebenaran.

Dalam menyampaikan cetusan-cetusan minda, dengan mengunakan alat-alat samada dalam pengantaraan bahasa harian, tulisan-tulisan, gambaran-gambaran, tanda-tanda yang digunakan seperti isyarat, berbentuk bunyi-bunyian mahupun yang lain-lain dan dengan menggunakan medium-medium seperti hasil artifaknya, buku-buku, segala yang berkaitan dengan media komunikasi termasuk blog-blog, facebook dan seterusnya, seseorang insan harus sedar dan merasa tanggung-jawab dari apa yang dizahirkan dari fikirannya.

Atas rasa tanggung-jawab kesan cetusan minda yang dihasilkan, samaada untuk dirinya mahupun pihak lain, membuat diri insan saban waktu akan meningkat kesuatu tahap-tahap fikiran yang lebih tinggi dari apa yang dimilikinya atau dalam kata lain, kematangannya meningkat. Disamping, pihak seterusnya yang mengembangkan atau mengikuti cetusan minda darinya, seperti teman-teman, para pembaca, para audien atau sesiapa sahaja yang disajikan cetusan mindanya serta kemungkinan untuk generasi seterusnya, akan mendapat faedah kebaikan.

Sebaliknya, tanpa merasa apa-apa tanggung-jawab atas kesan cetusan minda yang dihasilkan, biarpun banyaknya cetusan minda yang dihasilkan atau pun kelihatan hebat diatas bergulong-gulong sijilnya, seseorang insan serta pihak lain yang terbabit mengikuti cetusan mindanya, wajar sahaja menjadi bertambah rendah taraf pemikirannya, menjadi jumud biarpun disangka diri adalah yang termaju, ketinggalan mahupun ketahap menjadi lebih hina dari haiwan diatas fikiran yang hanya berlandaskan nafsu diri semata-mata.

Seperti contohnya seorang penyanyi atau seniman yang menghabiskan hayatnya saban waktu dalam usia-usia kehidupannya untuk menghasilkan sesuatu yang dalam kategori tiada berfaedah langsung untuk para audien atau para peminatnyanya mahupun untuk dirinya sendiri, iaitu dari gaya yang ditonjolkan yang bertentangan dengan nilai-nilai kemanusian sehinggalah keperingkat bibit-bibit lirik, lukisan, skrip-skrip filem dan lain-lain yang tiada apa-apa nilai kesenian yang positif dan ini seterusnya hanyalah mengundang kejumudan untuk para audien atau para peminatnya.

Atau contohnya, seorang yang menghasilkan cetusan-cetusan minda yang hanyalah bergantung kepada maklumat yang dipelajarinya sedangkan apa yang dipelajarinya sebenarnya tidaklah sesuai untuk dipratikkan kerana ia sesuatu yang akan menghasilkan kesan pencemaran alam atau banyaknya kesan sampingan buruk darinya yang menjejaskan kehidupan semula-jadi dipersekitaran.

Cetusan minda yang menghasilkan keadaan negatif adalah pertamanya kerana insan berfikir bukan dalam konteks yang sewajarnya atau berfikir tanpa mengaitkan maksud cetusan mindanya dengan landasan akan kemana dan apa maksud hayat sebenar insan, tetapi hanya berfikir dilandasan untuk memenuhi keperluan atau hajat hidup serta permintaan nafsunya semata-mata.

Cetusan minda yang berbentuk negatif juga kerana terhasil oleh fikiran yang samada cetek pengalaman mahupun pengetahuan, kurang pengajian tentang perkara yang menjadi cetusan mindanya, tidak sensitif akan suasana atau kehidupan dipersekitaran, tidak melakukan analisa terhadap bahan cetusan mindanya sertanya tergopoh-gapah dalam menzahirkan cetusan mindanya.

Insan wajar sahaja melakukan kesilapan demi kesilapan, sebagaimana lazimnya, inilah salah-satu proses dalam suatu kehidupan yang mana tiada yang sempurna, namun sebagai suatu kewujudan dalam dunia sementara ini, proses kehidupan insan untuk menuju erti kejayaan sebenar dalam kehidupan, mewajibkan proses kearah pemurnian fikiran. Dimana proses pemurnian fikiran seterusnya akan menghasilkan cetusan-cetusan minda yang benar-benar membawa kebaikan serta membina suatu kehidupan mahupun yang lebih baik saban hari.

Bersambung...

Saturday, December 04, 2010

Cetusan minda - 1

Saban waktu, insan melahirkan cetusan-cetusan minda yang samada membawa kesan yang baik atau sebaliknya dalam kehidupan, mahupun ia hanya sesuatu yang berlalu seperti jarum jam yang tergantung didinding yang berlalu setiap saat dan sampai ketikanya ia berputar kembali ketempat yang ditinggalkan. 

Dalam mana cetusan-cetusan minda dari kaitan berfikir insan ini wajar sahaja meletus dan menghangatkan suasana kehidupan seseorang mahupun untuk masyarakat umum seterusnya ataupun ia hanya mainan minda dalam berfikir, yang hadir dalam kehidupan seharian dengan keadaan samada menyenangkan atau merumitkan minda serta membina minda atau sebaliknya.

Kekadang, insan berada dalam suatu keadaan dimana ia dikatakan tidak berfikir, namun hakikatnya, insan sebenarnya sentiasa menggunakan otaknya untuk berfikir samada tentang segala yang berkaitan dengan keperluan hidupnya mahupun kepada maksud hidupnya, iaitu sedari bangunnya dari tidur sehingga seseorang tersebut kembali tidur. Dan dari usia yang mana insan mampu berfikir sehinggalah keakhir hayatnya yang tidak mampu lagi untuk berfikir seperti dalam keadaan nyanyuk mahupun atas pengaruh sesuatu seperti mabuk, khayal, tekanan perasaan keterlaluan atas sebab sesuatu dan sebagainya.

Dikatakan seseorang insan tidak berfikir adalah mungkin ia tidak menggunakan fikirannya untuk apa yang dimaksudkan pada sesuatu ketika, tetapi ini tidak bermakna ia tidak berfikir, sebagaimana contohnya seseorang yang ralek, iaitu seorang yang fikirannya tidak digunakan untuk menumpukan perhatian pada sesuatu perkara, dalam mana itu bukan bermakna ia tidak menggunakan fikirannya, tetapi kerana fikirannya ditumpukan kepada sesuatu perkara yang lain mahupun dikatakan melayang dalam dunia fantasi atau lamunannya tersendiri.

Keadaan ini dikaitkan samada adanya kehadiran kesedaran seseorang akan keberadaannya disuatu-suatu ketika atau keadaan, dimana sebaliknya adalah bila seseorang tersebut tidak menyedari berlaku akan sesuatu mahupun tidak menyedari keadaan sesuatu diatas sesuatu faktor-faktor tertentu yang mempengaruhi mindanya.

Kesedaran (Consciousness) adalah sedar akan tingkah, perbuatan mahupun keadaan samaada dari dalaman diri mahupun untuk luaran diri seperti dunia persekitarannya. Kesedaran bila dikatakan dari perasaan dalaman diri adalah memahami tingkah atau perbuatannya seperti dari apa yang difikirkan sehingga kepada ungkapan kata-kata atau peri-laku tubuh badan, mengenal akan apa dilakukan seperti mengingati keadaan atau perbuatan, dalam keadaan sihat otak iaitu siuman atau tidak dalam keadaan memabukkan mahupun khayal yang tidak terkawal oleh diri, berjaga dari tidur, perasan akan impak dari tingkahnya dan seterusnya yang berkaitan akan makna kesedaran diri.

Manakala kesedaran yang dikatakan berkaitan untuk persekitaran adalah menyedari keadaan sekitar atau cuba memahami keadaan sekitar serta implikasi dari sesuatu dipersekitaran iaitu samada dipersekitaran dirinya, masyarakatnya mahupun keperingkat dunia umumnya. Kesedaran tentang persekitaran adalah seperti mengerti akan buruk-baik pengaruh-pengaruh hidup dipersekitaran, memahami atau mencari jalan yang dapat melindungi diri dan masyarakat dari gejala yang membawa petaka, mengerti akan impak dari sesuatu seperti arus kehidupan yang membawa kearah kebaikan atau sebaliknya dan seterusnya.

Kesedaran seseorang insan mahupun sekelompok masyarakat wajar juga digugat atau dilemahkan atas sesuatu faktor seperti pengaruh luar dari persekitaran atau aktiviti yang berlaku dalam kehidupan seharian yang melalaikan. Juga dari faktor dalaman diri iaitu dari perasaan nafsu atau kehendak hajat diri yang mana membuat anggota-anggota tubuh badan seperti kaki, tangan, lidah sehinggalah otaknya, digunakan semata-mata berfikir berlandaskan kehendak hawa-nafsunya.

Contohnya faktor tertentu yang mempengaruhi dan melemahkan kesedaran atau perhatian seseorang adalah seperti seorang anak muda yang merasa begitu bangga sekali dengan kenderaan yang dipandunya, lalu menekan minyak keretanya untuk memandu selaju yang dimahu sehingga hilang pertimbangan akalnya untuk berfikir dengan cara yang benar atau bijak menganalisakan suasana jalan-raya yang dipandunya sehinggalah terjadinya kemalangan ngeri. Dalam mana, pemuda tersebut sebenarnya masih berfikir tetapi tanpa kesedaran dan dilantasan yang salah berpandukan perasaan bangganya yang tidak bertempat, bukan diatas kesedaran.

Sebegitu juga seseorang yang dikatakan perasan, dimana ungkapan ini adalah lazimnya ditujukan kepada seseorang yang mengunakan fikirannya berlandaskan semata-mata diatas perasaannya seperti seseorang pemuda yang menyintai seorang gadis, dimana sigadis tidak langsung mengendahkan sipemuda, tetapi sipemuda beranggapan sebaliknya sampaikan kata-kata cacian sigadis, dianggap atau difikir oleh sipemuda hanyalah sebagai kata-kata merajuk sigadis yang mahu dipujuk. Atau sebaliknya iaitu seorang gadis yang perasan dirinya dipuja dan diminati ramai, sedangkan sebaliknya, diri sigadis tersebut tidak menyedari bahawa dirinya nanti hanya mahu dipergunakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggung-jawab yang berhajat untuk memuaskan nafsu mereka.

Mungkin contoh kes-kes diatas tentang faktor yang mampu melemahkan kesedaran hanyalah membabitkan individu-individu yang kecil bilangannya atau membawa kesan yang kecil, tetapi bagaimana pula kesannya bila ia membabitkan sekelompok insan yang berjumlah begitu ramai seperti contohnya sesebuah negara yang sewenang-wenangnya mencabul dan menghancurkan kehidupan rakyat dinegara lain atau kehidupan rakyat dinegaranya sendiri dihancurkan hanya diatas cetusan-cetusan minda dari fikiran sesekumpulan elite yang mabuk kuasa?

Bersambung...

Friday, December 03, 2010

Menjamah salji

Salji telah kembali,
membawa ribu mimpi,
dikala malam adalah hari,
dan dalam kegelapan berlari,
alam kelam kehilangan gegendang,
kerana sunyi dari kicauan siburung,
hatta siburung hantu telah membatu,
juga tiada lagi nyanyian siserangga,
yang lazimnya, kugiran balkoni,
juga tiada daun-daun hijau,
untuk diriuh ungkas senja,
hanya siikan bisu,
yang bertelor dilopak-lopak air beku,
bersama siitik gebu,
yang kebal kakinya tidak berbalut,
serta sipipit kecil,
yang ditakdirkan menempuh segala musim.



Thursday, December 02, 2010

Wujudkah kosong? - 2

Sesuatu yang berisi tentunya tidak sama dengan sesuatu yang kosong, namun pertanyaannya, apakah benar yang berisi itu adalah sentiasa sesuatu yang baik? Apakah kekosongan hanya bermakna sesuatu yang tidak baik atau tiada apa-apa kesan kebaikan darinya? Atau apakah kekosongan hanya berkaitan dengan kebosanan yang menyelubungi kehidupan?

Dunia insan dipenuhi oleh segala perkara dari hajat-hajat kehidupannya. Dari perasaan sehingga pemikiran insan, sedari kecilnya sehingga usia tuanya, diisi dengan segala perkara-perkara berkenaan dengan hajat duniawinya. Dan hari ini, dunia insan telah mencapai tahap nafsu yang selesa, dimana apa sahaja kehendak nafsunya, dapat diisi, namun apakah itu suatu kebaikan?

Setiap hari, kehidupan insan lazimnya diisi dengan segala aktivit-aktiviti yang berlaku dipersekitarannya yang sibuk seperti contohnya dari bunyi musik radio seawal bangun pagi, bunyi bising serta keadaan sibuk dijalanan, kesibukan bekerja, kesibukan dirumah, alat-alat elektronik dengan segala layar dan bunyi-bunyiannya, suara-suara dipersekitaran seperti bertelegah atau mengumpat dan lain-lain, adegan-adegan dalam kehidupan seharian yang stress dan seterusnya, membuat diri insan tentunya penuh terisi dengan duniawinya, tetapi apakah itu suatu kebaikan bila saban hari ianya berlanjutan tanpa henti, tambahan untuk suatu jangka masa yang panjang?

Sebenarnya, kekosongan adalah sebahagian dari diri insan itu sendiri dan malah pengertian akan apa itu kekosongan, dicipta oleh insan samaada dari patah perkataan untuk menyebutnya mahupun dari perasaan serta fikiran insan yang menterjemahkannya. 

Contohnya beberapa insan yang berbeza latar-belakang serta minat, berdiri dipantai melihat lautan luas yang kosong didepannya, maka tafsiran dari panca-indera mereka yang melihatnya akan berubah-ubah mengikut perasaan dan fikiran masing-masing. Mungkin ada yang melihat dan menganggap itu hanya suatu kekosongan dan kebosanan, ada yang melihat dan berfikir akan keindahan alam, ada yang mula mendapat ilham untuk dirinya seperti untuk lukisan atau tulisan, ada yang melihat akan rezeki didepannya, ada yang merasa akan kebesaran Pencipta alam, ada yang merasa kegerunan melihat ombak yang datang menghempas pantai dan seterusnya.

Kenyataannya, insan memerlukan setiap hari adanya detik-detik untuk dirinya mengosongkan perasaan serta fikiranya dari duniawi atau kebendaan. Mengosongkan diri dari duniawi atau kebendaan, bermakna melapangkan diri agar perasaan serta fikiran diri tidak terlalu dibelenggu oleh hal-hal duniawi. Ini kerana fitrah asli diri insan, yang memerlukan kebebasan dari dibelenggu oleh duniawi atau kebendaan untuk dirinya terus meneroka alam kehidupannya dengan erti ketenangan yang sebenar atau memahami dengan lebih mendalam akan alam kehidupannya.

Hatta dari sudut duniawi, untuk seseorang mendalami duniawinya, ia memerlukan suatu asas yang kosong buat dirinya sentiasa kembali agar dapat dilakari seterusnya duniawinya seperti seorang pelukis yang melukis, dalam mana sebanyak mana ia melukis, ia tetap memerlukan suatu kertas lukisan yang kosong untuk melukis seterusnya lukisan-lukisan yang lain. Tanpa kertas lukisan yang kosong, maka lukisan yang ada akan bercelaru kerana ditimbuni oleh warna-warna setiap kali pelukis tersebut hendak melukis.

Memang tidak dinafikan bahawa duniawi atau kebendaan mampu memberi insan kepuasan, kebahagian dan lain-lain, namun kejadian insan adalah bukan hanya dari unsur duniawi atau kebendaan tetapi dari sudut kerohanian. Dan malah sudut kerohanian atau sudut dalaman diri insan sendiri adalah rupa sebenar siapakah diri insan yang sebenar. Sebagaimana penampilan sebenar diri insan untuk dunia luarannya adalah dari dalaman dirinya, iaitu seperti dari sudut perasaan dan fikirannya.

Namun tanpa memberi ruang untuk mengosongkan diri dari duniawi seperti contohnya kerana terlalu mengejar kebendaan siang dan malam atau terlalu dihanyut oleh hiburan-hiburan, membuat dirinya tidak dapat menghayati apakah erti sebenar kehidupannya didunia ini. Ramai insan yang sebegini, akhirnya semakin sesat jalan hidupnya atau semakin bercelaru perasaan dan fikirannya, ditimpa tekanan jiwa, dirundung kemurungan, melakukan kegiatan-kegiatan seperti pengambilan dadah, minuman-minuman keras, maksiat dan lain-lain yang mana semuanya semakin membinasakan dirinya.

Kerana itu, insan memerlukan tempoh-tempoh dalam saat kehidupanya untuk mengosongkan dirinya dari ikatan duniawi, dimana sebanyak mana hatinya terlepas dari ikatan duniawi (seperti diusahakan untuk mendekati Penciptanya mengikut jalan yang ditunjukkan oleh Nabi Muhamad serta para-para solihin terdahulu), sebanyak itu jugalah dirinya sendiri mendapat faedah kebaikan buat kerohaniannya. Dan sekiranya diusahakan berterusan, tercapailah ia tahap zuhud yang sebenar, yang mana duniawi tidak akan dapat mengisi hatinya dan dirinya tidak akan terkesan pada duniawi biarpun hidup persekitarannya dipenuhi duniawi.

Untuk mengisi sesuatu kedalam gelas yang telah penuh atau mengisi air yang bersih kedalam gelas yang dipenuhi air yang kotor adalah suatu yang tidak berfaedah. Untuk mengisinya adalah dengan mengosongkan gelas tersebut dahulu serta membersihkannya, sebegitulah contohnya untuk mengisi kebesaran Ilahi kedalam hati insan adalah suatu kemusykilan atau kepayahan selama mana hati dan fikiran insan dipenuhi oleh duniawi, kerana itu perlunya berterusan selama mana kehidupan insan didunia ini, usaha mengosongkan hatinya dari kebesaran duniawi agar kebesaran Ilahi dapat mengisinya.

Insan, sekiranya ia menafikan kewujudan alam ghaib yang disangka hanya kekosongan, maka dimanakah rohnya? Kemanakah pergi roh seseorang insan bila dia meninggal dunia, yang mana jasadnya tetap ada namun tidak berkemampuan langsung bergerak berbanding seseorang yang masih hidup atau masih berroh? Begitu juga, setelah rohnya keluar, maka jasadnya akan reput dengan waktu yang singkat sedangkan selama jasadnya berroh, tubuhnya tidak akan reput biarpun bertahun-tahun dia didalam keadaan koma.

Sedang, alam kubur yang kosong dari segala aktiviti kehidupan duniawi dan kebendaan, dimana insan kemudiannya mampu mencapai pengertian yang sebenarnya akan kewujudannya, namun semua aktiviti insan untuk menyelamatkan dirinya dari azab yang berkekalan adalah terlewat kerana didalam alam kubur, tiada apa yang mampu dilakukan melainkan hanya menanti azab atau rahmat keatasnya.


Btn_brn_77x28

Tajuk

Abbasiyah (1) altruisme - ikram (3) Aqidah (1) art video (20) Austronesia (10) Bahasa dan penampilan (5) Bangsa Melayu (7) batas sempadan (9) Berita (15) Besi (1) Biography solihin (1) Budaya dan pengertiannya (16) catitan (2) cerdik/bodoh dan antaranya (6) cetusan minda (8) cinta dan syahwat (3) Doha - Qatar (2) Eid Mubarak (5) falsafah (2) Fantasia falasi (3) Fibonacci (1) Filem (2) fitrah (1) Fungsi seni (1) gangsa (1) hukum (6) huruf (2) hutang (1) ijtima (1) Iklan (2) imitasi dan memori (1) infiniti (5) jalan2 (2) kebangsaan/nationalisme (2) kebebasan bersuara (1) Kelahiran kesenian yang mengubah warna dunia. (1) Kembali sebentar tentang erti seni (Islam) (1) kerja otak (1) Kesenian dunia Islam (1) komunikasi (1) konsep kendiri (3) konspirasi (1) Lagu (1) Lentok tangan (1) Malaysia (3) Masa (10) Maslahah atau mafsadah (1) Maya (ilusi) (4) Melaka (1) Melayu (2) Melayu dan Islam (9) minda (2) musik (2) nukilan rasa (1) Pantang dalam berkarya (1) Pause (6) Pembetulan sejarah (3) Pengajian dan pengertian budaya (1) Perasaan dan pemikiran (5) Persepsi / Tanggapan (6) pointillism (2) populasi dunia (9) Produk sejarah (11) Program dan hayat (2) prosa (4) ramadan (2) realiti - kenyataan (7) Sajak (22) Sangkaan (2) sebab dan akibat (18) sejarah (14) sejarah Islam Nusantara (1) sejarah Melayu (4) Sejarah mengubah/terubah (5) Sejarah seni dalam kehidupan insan (1) Sejarah video (1) Seni Bahasa (2) Seni dalam imiginasi (1) seni kata (1) Seni logam (3) Seni textil (budaya berpakaian) (2) Seni-seni mempertahankan diri (1) sound (1) Srivijaya (3) Sunda (6) Tahap kesederhanaan (1) Tahap-tahap kehidupan (14) tenung bintang (1) Terkesan dengan suasana (2) Tradisional dalam makna (1) Ukuran dan kayu pengukurnya (2) updated (1) Usia manusia (3) vision (1) wang (7) Wujudkah kosong? (2) zarzh slide (12)

Catitan lalu

Insuran & Road Tax Online

tetangga