Wednesday, December 06, 2006

Kesenian dunia Islam

Kesenian yang dihasilkan dalam dunia umat Islam, lazimnya suatu kesenian yang bercorak saujana atau sebagai "seni infiniti" (tanpa sempadan). Biarpun pada lahirnya kelihatan terikat pada aturan-aturan seperti tiadanya bentuk-bentuk mahluk hidup, tetapi dari sebalik itu, wujudnya suatu seni yang berpadu pada imaginasi penghasilnya sendiri tanpa atau kurang terkesan pada suasana mahupun mahluk sekitarnya. Sebagaimana penyataan estetik yang dinamakan "Arabesque", iaitu antara contohnya adalah lakiran, ukiran atau lukisan berbentuk geometrik yang dibentuk berulang-ulang atau sambung-menyambung, atau kekadang diselangi dengan tulisan-tulisan khat dari huruf Arab (Jawi), merupakan suatu identiti yang selaras dengan prinsip-prinsip estetik ideologi Islam. "Arabesque", memancarkan suatu penghasilan nilai saujana (infiniti) untuk pemerhatinya, iaitu sesuatu yang dihidangkan diluar lingkungan ruang-masa.
Penafsiran terhadap kesenian Islam yang menolak seni yang membabitkan bentuk mahluk hidup, kekadang juga melahirkan seni berbentuk "abstrak", iaitu melahirkan bentuk-bentuk atau adunan warna-warna yang penuh rahsia tersendiri. Sayugia ditekankan, dalam Islam, segala ciptaan Allah adalah indah dan mempunyai ciri-ciri tersendiri, lantas itu, tidaklah wajar bagi seorang Islam menghina atau memandang buruk pada mahluk-mahluk ciptaan Allah, dan penghasilan seni-seni Islam bukanlah untuk menandingi kehebatan ciptaan Allah, malah asas penghasilan seni-seni Islam adalah untuk mengajak pemerhati mengerti akan kebesaran dan kehebatan Allah, disamping mensyukuri anugerah Allah yang mana membenarkan setiap insan melahirkan atau menzahirkan sesuatu menurut ilham individu samaada diatas kertas, diukiran kayu-kayu dan seterusnya dan dalam mana berpandu pada garis-garis petunjuk yang ditunjukkan oleh Nabi Muhamad s.a.w.
Seni-seni mahupun kebudayaan menyeluruh selain daripada Islam biasanya menganggap dan menumpukan manusia sebagai "ukuran bagi semua perkara", atau alam satu-satunya penentu, manakala seni-seni mahupun kebudayaan menyeluruh Islam adalah sebaliknya iaitu berasaskan pada tumpuan untuk Allah, dan sifat-sifat AgungNya, disamping penghormatan keatas kemuliaan maqam yang diduduki oleh Nabi Muhamad s.a.w. sebagai Nabi terakhir yang diutus sebagai rahmat untuk sekelian alam. Dan dengan itu juga, lazimnya seni-seni mahupun kebudayaan menyeluruh didalam Islam mempunyai matlamat yang sama atau selari dengan matlamat Al Quran, iaitu mengajar dan memperkukuhkan wawasan setiap insan tentang matlamat atau maksud arah tuju sebenar hidupnya didunia yang sementara ini.

Thursday, November 09, 2006

Pengajian dan pengertian budaya

Petikan dari kata-kata Prof Dr Sidek Baba- Pengajian budaya sekat liberalisasi Barat
Keupayaan berfikir perlu dipertingkat untuk tapis pengaruh sekular

BUDAYA dalam pengertian yang luas adalah pancaran daripada budi dan daya. Seluruh apa yang difikir, dirasa dan direnung diamalkan dalam bentuk daya menghasilkan kehidupan. Budaya adalah cara hidup sesuatu bangsa atau umat. Makna budaya pada hari ini dibatasi dengan maksud lagu, muzik, tarian, lakonan dan kegiatan seumpamanya.
Budaya tidak lagi dilihat sebagai pancaran ilmu dan pemikiran yang tinggi dan murni dari sesuatu bangsa untuk mengatur kehidupan berasaskan peradaban.
Globalisasi yang melakukan hegemoni atau penguasaan dalam hampir semua kehidupan manusia amat besar kesannya terhadap umat Islam. Pengaruh globalisasi tidak saja subur dalam aspek maklumat tetapi juga amat luar biasa dikembangkan dalam bidang hiburan popular Barat, bidang keilmuan dan penyelidikan, aspek teknologi canggih dan dominasi sistem ekonomi kapitalis-liberal, bidang bahasa dan sistem nilai sehingga menyebabkan proses pembaratan dan pengliberalan berlaku dalam semua aspek kehidupan umat Islam.
Memang ada aspek berbanding yang boleh dimanfaatkan daripada globalisasi, tetapi yang pastinya pengukuhan cara hidup sekular dan liberal semakin kuat. Umat Islam semacam menghadapi krisis identiti dan tidak mampu menawarkan corak budaya serta jalur kehidupan yang mantap berasaskan acuan sendiri. Perubahan dalam maksud yang luas tidak boleh dibatasi secara pengasingan. Perkembangan teknologi maklumat dan telekomunikasi umpamanya menjadikan dunia ini suatu daerah yang semakin kecil dan dekat.
Namun begitu, upaya keilmuan dalam menghasilkan perisian dan program berasaskan acuan sendiri menjadi terbatas menyebabkan pengaruh globalisasi tidak dapat dielakkan malah meletakkan umat Islam sebagai pengguna berorientasi kebaratan. Umat Islam tidak wajar menentang Barat mahupun Timur tetapi proses pembaratan yang menghakis aspek budaya, nilai dan pemikiran murni semakin terancam dan sebahagian besar generasi muda seakan selesa dengan proses yang sedang berlaku.
Apa yang sedang berlaku kini adalah jelmaan terhadap corak kehidupan yang berlaku sebelum 19 70-an iaitu ada kesedaran baru di kalangan generasi muda dan umat Islam untuk menjadikan Islam sebagai sumber budaya serta cara hidup. Ia berkembang selama lebih 30 tahun dan kini sedang menghadapi gugatan pengaruh globalisasi yang amat menekan.
Walaupun ada usaha sesetengah pihak untuk memperkasa budaya tradisi, ia berlaku dalam upaya yang terbatas dan kadang-kadang boleh bersimpang siur. Memerdekakan budaya tidak harus dilihat memutar jarum jam ke belakang sebaliknya dilihat sebagai asas pengukuhan jati diri di samping tidak menolak aspek positif yang berkembang di Barat dan Timur.Acuan budaya Islam umpamanya tidak menolak faktor menyumbang dari tamadun atau budaya lain.
Dengan kekuatan akidah, ilmu dan syariah orang Islam, pemahaman yang baik terhadap kekuatan tamadun silam menjadi faktor penyaring yang berkesan bagaimana kreativiti boleh berlaku dalam budaya, tetapi tetap mengekalkan jati diri Islami.
Pantun sebagai genre puisi Melayu asli mengalami proses pemurnian isi dan maksud apabila elemen Islam dimasukkan ke dalamnya. Syair, gurindam, pepatah-petitih, seloka, nazam, qitah dan seumpamanya melalui proses peMelayuan dan pengIslaman.Walaupun genre puisi itu daripada sumber budaya lain tetapi ia tetap menjadi sebahagian pengucapan seni yang murni, ilmu yang memancarkan kebijaksanaan dan melambangkan pemikiran tinggi kalangan umat Melayu.
Pada hari ini apabila upaya berfikir umat Islam menjadi lesu, daya kreativiti seni menjadi malap, aspek budaya tidak difahami secara tuntas, menyebabkan kemandulan budaya berlaku.
Akhirnya media elektronik mempamerkan dengan gagah aspek budaya menerusi iklan komersial yang mendukung budaya Barat, drama menggambarkan konflik dan tragedi tidak berkesudahan, filem menggambarkan kekecewaan hambar dalam percintaan, rasa pasrah menyalahi takdir, adegan seks murahan merangsang nafsi.Tidak iklan yang mengambil kira budaya setempat amat kaya dengan kesantunan, drama yang merangsang ke arah keluarga bahagia dan nilai murni yang harus didukung, filem pancaran peradaban tinggi patut dikongsi, rasa kekecewaan yang tidak membawa jalan putus asas dan dorongan untuk maju dalam acuan sendiri.
Di sini perlunya azam budaya (cultural will) yang tinggi di kalangan umat memanfaatkan perkembangan teknologi media untuk menghasilkan kreativiti yang sifatnya dinamik tetapi terkandung imej jati diri yang jelas.Sekolah dan institut pengajian tinggi harus memberi fokus terhadap pengajian budaya dan seni supaya di kalangan warga umat terdedah dengan potensi pemahaman budaya secara lebih jelas. Ia bakal mendorong penghasilan kreativiti seni dan budaya yang sifatnya berkembang tetapi dalam acuan sendiri.
Jika tidak, pembelenguan budaya dari faktor luar akan terus gagah dan penampilan budaya sendiri semakin terpinggir, akhirnya pemahaman budaya hanya dalam batas upacara atau majlis tertentu. Ia akan mengekalkan umat Islam sebagai umat pengguna terhadap sumber orang lain dan tidak mampu lahir sebagai umat penyumbang terhadap pembinaan budaya murni untuk umat manusia. Azam budaya memerlukan penyuburan ilmu sepadu, kreativiti tinggi dan bersifat maju.





Sunday, October 22, 2006

Sejarah Islam diEropah

Islam : Muslim History


1 Std. 28 Min. 52 Sek. - 06.02.2006
- Sejarah Islam yang mana ada kaitan dengan pencerahan dan ketamadunan Eropah. Kehadiran Islam dibenua Eropah selama beberapa ratus tahun, sebenarnya adalah juga salah-satu faktor yang mempengaruhi kebudayaan mahupun cara hidup dan pemikiran modern yang kita dapati hingga kehari ini.

Friday, October 13, 2006

Artistry in Colour

Artistry in Colour


34 Min. 26 Sek. - 09.09.2006
Artistry in Colour : Bagaimana kita melihat kehebatan Allah dalam PenciptaanNya dialam maya, bagaimana semuanya indah teratur bersama warna-warna masing-masing.

Falls Sie Probleme bei der Wiedergabe des Videos haben, kopieren Sie bitte den folgenden Link in Ihren Browser:
http://video.google.com/videoplay?docid=334049323070518684&q=label%3Aislam&pr=goog-sl

Sunday, September 10, 2006

Seni dalam imiginasi, imitasi dan memori

Pada kaca-mata saya yang serba dhaif ini, seni adalah suatu titik yang berubah-rubah diatas kertas yang kosong yang mana biasanya menarik perhatian atau ditinggalkan. Seni juga bagaikan tumbuh-tumbuhan yang menghasilkan bunga dengan warna tersendiri yang tumbuh meliar atau dijaga disuatu padang yang gersang, dan biasanya bunga-bunga ini harum dan lebah-lebah yang mengambil madunya, boleh pula dijadikan syifat (ubat atau penawar), tetapi ada juga tumbuh-tumbuhan yang beracun dan menghasilkan bunga-bunga yang beracun, mahupun tumbuh-tumbuhan yang mengandungi paras racun yang mengkhayalkan sebagaimana titik disuatu kertas yang kosong yang mampu mengurik kata-kata yang indah mahupun kata-kata cemuhan.
Bidang kesenian bukanlah suatu yang baru, ia hadir sejak kehadiran manusia dimuka-bumi yang mana Allah telah memberi sedikit kudrat untuk manusia untuk mengatur, merubah mahupun mencorak kehidupannya. Atas daya untuk meneruskan hidup, manusia awalnya terpaksa belajar menyesuaikan diri pada alam-sekitar, misalnya cara berpakaian yang asalnya, Nabi Adam dan Hawa mengambil daun-daun disyurga untuk menutup aurat mereka yang ditelanjangkan kerana memakan buah larangan, sebegitu juga bila dihantar kemuka bumi, mereka terpaksa mengunakan akal untuk mencari jalan seterusnya untuk hidup dimuka bumi. Dan dari itu, lahirlah seterusnya idea-idea mengubah pakaian yang dipakai dan seterusnya beralih kepada perkara-perkara yang lain dalam kehidupan seharian.
Manusia yang dilahirkan dengan akal yang ada padanya element imaginasi (khayalan), imitasi (peniruan) dan memori (ingatan)dan dari situlah kehidupan seterusnya hingga kehari ini mahupun dimasa depan,diukur dan dirancang. Contohnya seseorang itu bercita-cita menjadi sesesuatu watak bila dia dewasa nanti, samaada dr, cikgu, uztaz, seniman, pahlawan, isteri raja, peniaga dll kerana imaginasinya memberitahu itu adalah pilihan terbaik, imitasinya meniru samada dari keluarganya, sekitarnya atau pengetahuannya daripada sesuatu dan mahupun dari memori yang dialaminya bahawa dia pernah melihat sianu yang dikatakan berjaya dalam watak yang ingin dicapainya. Atau juga dari tekanan dan desakan hidup yang dialami yang terpendam dalam memorinya dan membuat imaginasinya cuba memikirkan jalan keluar dalam-mana dia akan imitasi (meniru) mereka yang diketahuinya telah berjaya keluar dari tekanan dan desakan hidup yang dialaminya.
Dalam pada itu, Allah Taala dengan rahmatNya sentiasa menghantar para-para Nabi untuk membantu manusia membentuk rangka kenyataan sebenar, kenapa dan kemana seterusnya kehidupan ini. Hinggalah kepada Nabi yang terakhir iaitu Nabi Muhamad s.a.w yang dihantar oleh Allah kepada manusia dengan suatu rangka atur-cara kehidupan yang tidak boleh dirubah dan ia bersifat menyeluruh untuk sekelian alam dan waktu hinggakan bila Nabi Isa diturunkan kembali, beliau juga akan hidup dalam rangka atur-cara kehidupan yang dibawa oleh Nabi Muhamad s.a.w.
Rangka atur-cara yang dibawa oleh Nabi Muhamad s.a.w yang ada dalam Al Quran dan Sunnah-sunnahnya, bukanlah menyekat imaginasi manusia atau menidakan memori manusia, mahupun menafikan bahawa manusia bersifat imtasi (meniru) tetapi ia adalah rangka yang melindungi dan memberi pedoman kemana dan bagaimana seterusnya manusia harus menghala tuju kehidupannya. Memberi petunjuk bagaimana menampilkan imaginasi dalam bentuk bermoral dan beradab mulia, mempunyai pengalaman atau memori dari mereka-mereka yang telah berjaya didunia dan akhirat dan mahupun meniru, imitasi cara mereka yang diberi petunjuk oleh Allah dalam menjalani seterusnya babak-babak kehidupan seharian.
Contohnya, suatu ketika dahulu, manusia tidak kisah dengan auratnya dan tiada syariat yang diturunkan untuk menutup aurat, kerana waktu itu unsur-unsur pemikiran manusia keatas adegen lucah kurang atau tidak ditampilkan sebagaimana hari ini kita lihat, ianya memainkan peranan besar dari bab hiburan dan begitu banyak adengan lucah dieksploit atau dihebahkan hinggakan kanak-kanak kecil tahu dan berkeinginan dan inilah salah-satu faktor gejala buruk yang melanda manusia hari ini yang menyebabkan banyaknya kes-kes rogol dll. Jadi syariat yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w (seperti contoh bagaimana menutup cara menutup dan bagaimana hendak mengubah potongan pakaian) adalah lengkap dan hingga keakhir zaman yang mana melindungi dan menjadi pedoman seterusnya buat insan sekelian bagaimana dan kemana arah yang dituju dan harus dipilih.

- Kebudayaan dalam pandangan Islam -

Friday, September 08, 2006

Tradisional dalam makna 1

Tradisional yang datang dari perkataan latin "traditio", bermakna menyerahkan, menyampaikan, melangsungkan, mewarisi atau mewariskan dalam erti sesuatu yang diperturunkan atau dilanjutkan dalam struktur keturunan, kelompok dan juga dari kepercayaan sesuatu masyarakat.

Tradisional lebih berbentuk budaya, adat, pemikiran atau juga dari segi kebendaan dalam kehidupan sesuatu masyarakat yang diteruskan oleh generasi kemudian. Tradisional terdahulu yang diperturunkan pada generasi terkemudian dalam kegiatan harian yang ditampilkan melalui corak atau rentak kehidupan dan biasanya tanpa perlu nota atau catitan kecuali bila kita memperkatakan tradisional yang berhubung dengan keagamaan. Kerana tradisional yang berasaskan cara hidup melalui keagamaan, biasanya diperturunkan beralaskan catitan, nota atau dipanggil kitab-kitab.

Lalu dari situlah letaknya asas-asas cara kehidupan sesuatu kaum atau masyarakat, contohnya, masyarakat yang berugama Islam, yang adanya tradisi silam dari daerah masing-masing yang diadukan dengan pegangan atau kepercayaan yang dianuti yang unsur-unsurnya diambil dari Al Quran dan Sunnah Nabi Muhamad s.a.w.

Dan lazimnya, tradisi silam yang masih diamalkan atau dilanjutkan dari generasi lepas, sewajarnya tidak bercanggah dengan segala ajaran Islam itu sendiri, seperti majlis perkahwinan atau walimah, yang digalakkan juga didalam Islam, tetapi didalam Islam tidak digalakan melakukan pembaziran (mengikut kemampuan masing-masing), dewan untuk lelaki dan perempuan diasingkan dan tiada majlis persandingan yang mana dipertontonkan pada umum pihak pengantin, sedangkan dalam tradisi Melayu lama, majlis itu biasanya diadakan diluar kemampuan (yang mana biasanya menyusahkan pihak pengantin atau juga merumitkan proses perkahwinan), atau pergaulan lelaki dan perempuan yang bukan mahram tidak diambil berat dan mahupun majlis persandingan yang diambil dari tradisi Hindu sebagaimana masyarakat Melayu dahulunya adalah penganut agama Hindu.

Jadi dalam konteks ini, bila segala amalan yang bertentang dengan ajaran Islam harus dielakkan, maka timbulnya suatu tradisi yang boleh dipanggil tradisi Islam diNusantara, yang mana adanya adat atau tradisi kedaerahan tetapi dirangka dibawah ajaran Islam.

Sebagaimana kita lihat Islam dari China hingga hujung Marroko, yang pada asasnya sama, samaada dari sudut Aqidah, Ibadat, Muamalat, Muaasyarat, Akhlakqiyat semuanya sama (mungkin perbezaan sedikit atas tafsiran mahzab masing-masing), hanya yang ketara adalah terdapat perbezaan dari tradisi-tradisi generasi lepas yang wujud dalam kehidupan seharian seperti dari sudut pemakanan, kegiatan harian, cara pemikiran atau sifat-sifat penduduk setempat, mahupun dari sudut keperluan harian seperti reka bentuk binaan, tekstil-tekstil yang dihasilkan dan seterusnya.

Dalam bahasa Arab, tradisional disebut "Taqali", dan taqali Islam adalah berlandaskan Al Quran dan sunnah-sunnah dari kehidupan Rasulullah, yang mana sunnah-sunnah itu sendiri terbahagi pada bahagian- bahagian iaitu :

1- Sunnah Fi´liyah iaitu pekerjaan, perbuatan, gerak-laku, perkataan yang mana dapat diambil dari sirat (dari kisah kehidupannya), surat (apa yang dilahirkan seperti adab seharian, cara berpakaian dll), sarirah (apa yang disabdakan yang berupa hukum-hakam) oleh Nabi Muhamad s.a.w.

2- Sunnah Taqririyah, yang didiamkan oleh Nabi Muhamad s.a.w atas sesuatu perilaku sahaba dan sahabi, samaada dilihatnya sendiri atau dari perkhabaran seperti contohnya membiarkan sahaba berzikir dengan dengan bahan biji tamar, batu dll sebagai tasbih, mengunakan wang yang diperolehi dari negara bukan Islam, mempergunakan harta yang diusahakan sesama sebelum Islam, membiarkan kalangan mereka memakan Dhab (biawak pasir) biarpun Nabi Muhamad s.a.w sendiri tidak memakannya dll.

3- Sunnah Hammiyah, iaitu sesuatu yang diingini oleh Nabi Muhamad s.a.w untuk melakukannya, tetapi belum kesempatan sehingga wafatnya seperti berpuasa pada 9 Muharam, justeru itu ada dikalagan ulama menganggap sunnat berpuasa pada tanggal 9 Muharam.

Tuesday, July 25, 2006

Cillah travel out

One True Media Slide of zar zh travel art


zar zh travel art


Asalammualaikum, slide photo travel art, mari kita bersiar-siar sebentar...

- See Slide of zar zh travel art online. -

- Dairy perjalanan saya -

- zar zh cillah-out web -



Slide of zar zh travel art






Saturday, July 15, 2006

Budaya dan pengertiannya- 1


Budaya (buddhayah) yang berasal dari bahasa Sanskrit yang mana merupakan ayat yang dijamak dari perkataan "buddhi" (budi atau akal), yang mana bererti sesuatu yang bersangkut-paut dengan budi dan akal seseorang atau sesesuatu kelompok masyarakat.

Manakala didalam bahasa Inggris, yang mana perkataan budaya bermaksud "Culture", dan banyaknya penafsiran tentangnya, tetapi didalam pergertian ayatnya adalah dari ayat Latin iaitu "Colera", bererti mengolah atau mengerjakan sesuatu, misalnya sesuatu yang berkaitan denan bercucuk-tanam disebut, "Argi-culture".

Sedangkan dalam bahasa Arab, budaya adalah disebut "Tsaqaafa", iaitu sesuatu yang ada kaitan dengan ketamadunan atau peradaban hidup. Jadi dalam konteks perkataan budaya ini, adalah sesuatu yang lahir dalam kehidupan seseorang atau sekelompok masyarakat yang mana dari situ, tertampilnya rentak atau cara kehidupan seharian, cara pemikiran, perlakuan dan seterusnya.

Budaya boleh dikatakan hadir dari permintaan-permintaan kepada hajat atau keperluan kehidupan seseorang atau sekelompok masyarakat, yang mana antara unsur-unsur kebudayaan adalah seperti, kemudahan untuk kehidupan seharian (seperti peralatan, kenderaan dll), pendapatan hasil kerja untuk menampung kehidupan (bertani, berburu dll), kekeluargaan atau organasasi sosial (bermasyarakat, berkumpulan dll), tutur-bahasa seharian (samaada bahasa ibunda atau bahasa lain yang digunakan seharian), kepercayaan dan pengamalan dari agama yang dianuti, kesenian-kesenian dari cita-rasa seseorang mahupun sekelompok masyarakat, stuktur pengolahan masyarakat (politik), tradisi-tradisi atau adat-adat yang silam yang dihidupkan dalam kehidupan seharian dan seterusnya.



- Sebagaimana Al Quran menghasilkan budaya yang sihat untuk manusia, manakala Al Quran sendiri bukanlah hasil budaya manusia (Al Quran adalah pedoman untuk manusia).

Thursday, July 06, 2006

Kembali sebentar tentang erti seni (Islam).

Menurut pengertian bahasa, seni- suatu penampilan jiwa, fikiran, cita-rasa, minat bersama bakat yang sedia ada atau bakat yang diasah dalam liputan masa adalah suatu proses dari diri insan sendiri, dan ini merupakan sinonim dari ilmu yang didapati samaada dari pengalaman, pusat pengajian-pengajian, peristiwa-peristiwa yang mengorak sejarah, suasana alam sekitar mahupun dari kehidupan yang dilaluinya seharian dan seterusnya.

Seni biasanya ditampilkan kealam nyata dalam intisari, ekspresi mahu pun kreatifitas seseorang insan, yang mana setiap insan yang menampilkan seninya, memilih sendiri peraturan dan parameter untuk penghasilan seninya. Disamping itu juga, lazimnya insan yang menampilkan hasil seninya adalah melalui pengaruh dari luar dirinya, seperti dari hasil seni insan lainnya samaada insan lainnya itu hadir dimasa ini atau pun dari masa yang lampau, sebegitu juga pengaruh dari daerah yang didudukinya seperti dari traditional sesuatu tempat mahu pun dari pengaruh global seperti hari ini, yang mana dunia seakan-akan tiada sempadan lagi.

Dalam seni Islam, seperti juga tentang bab-bab yang lain, seperti bidang astronomi, sainstifik dan lain-lain, akliah (akal) tidak dapat dipisahkan dengan naqliah (wahyu) dan juga petunjuk-petunjuk dari Nabi Muhamad s.a.w. Yang mana bererti, dalam mana kita mengunakan akal dan cita-rasa diri untuk mengeluarkan ilham-ilham dalam menghasilkan sesuatu hasil seni samaada dari sudut seni bahasa, lukisan-lukisan dan seterusnya, kita masih terikat dengan sempadan-sempadan yang ditetapkan oleh Allah, sebagaimana yang ditunjukkan oleh Nabi Muhamad s.a.w.

Misalnya, lukisan-lukisan yang tiada dilukis bentuk mahluk-mahluk hidup, karangan-karangan ayat dari sudut sajak atau cerpen misalnya, harus sentiasa selari dengan ayat-ayat Al Quran (yang mana termaktubnya ajaran Islam) mahu pun hadis-hadis atau paling kurang tiada karangan-karangan ayat yang bercanggah dengan prinsip-prinsip Islam, begitu juga dengan penghasilan bunyi-bunyian, yang tiada instrument seperti seruling atau sesuatu yang sepertinya (trompet dll), petikan-petikan gitar mahupun gambus sendiri, ianya bukan berasal dari seni asli Islam biarpun biasanya dimainkan dalam nasyhid-nasyhid yang berlirikkan lirik-lirik tentang agama.

Manakala seni-seni photo yang dihasikan dari kamera-kamera, dikalangan alim-ulamak ada yang memberitahu dibenarkan selama-mana gambar-gambar yang diambil tidak bercanggah dengan hukum harian Islam seperti tiada gambar seseorang yang menunjukkan auratnya, dan gambar-gambar yang ada bentuk mahluk-mahluk hidup itu pun bukan untuk digantung didinding-dinding apatah lagi untuk dipuja-puja.

- Jamil Art -

Monday, June 19, 2006

Seni logam 1

Sesejak dahulu lagi, manusia belajar mencipta alat-alat untuk melindungi diri, untuk kegunaan harian seperti membajak atau berburu jua untuk menghiasi diri, lalu berbagai bahan-bahan digunakan samaada dari tulang-tulang, kayu-kayan, batu-batu dan seterusnya.

Penemuaan yang terbesar dalam sejarah manusia adalah logam-logam yang bahannya bukan sahaja mudah dibentuk dan lebih kuat dari bahan yang lain, malah ianya tahan lama dan bernilai tinggi jika dibandingkan dengan-dengan bahan-bahan yang lain. Pada permulaannya, bahan logam digunakan terutamanya untuk senjata-senjata tetapi lama-kelamaan, kerana terdapatnya berbagai-bagai jenis logam, ianya digunakan untuk kegunaan lain yang seterusnya dalam kehidupan seharian.

Contohnya bahan logam emas, yang tiada terkesan dengan suasana sekitar seperti cuaca atau tarikh begitu bernilai hingga kehari kini, malah sistem kewangan kini adalah terikat pada nilai logam ini.

Diriwayatkan pada kita bagaimana Raja Zulkarnian yang dalam perjalanan kembaranya bersama askarnya dari arah matahari terbenam, terserempak dengan segolongan kaum manusia yang meminta bantuannya untuk menghadapi kaum Yajud- Majud, yang mana Kaum Yajud- Majud ini adalah suatu kaum buas yang kerjanya hanya melakukan kerosakan, kemusnahan dan menganggu manusia. Lalu dia diilhamkan oleh Allah untuk membina benteng bagi memenjarakan kaum Yajud- Majud agar tidak keluar dimuka-bumi, hingga satu saat yang ditetapkan oleh Allah nanti. Raja Zulkarnian telah memerintah untuk membina suatu benteng yang kukuh yang diperbuat daripada besi-besi, diselang-seli dengan tembaga, yang mana logam-logam jika diadukan adalah lebih baik dan tahan lama dari hanya satu jenis logam sahaja.(Seperti pedang-pedang Jepun mahu-pun Taming-Sari yang diberitakan, 7 jenis logam diadukan didalamnya Taming- Sari)

Juga diriwayatkan bagaimana Allah mengajar dan memberi kelebihan untuk Nabi Daud a.s tentang usaha keatas logam-logam, yang mana diberitakan, era bahan logam bermula disini dan yang mana merubah seterusnya sejarah kehidupan manusia. Didalam Al- Quran sendiri terdapatnya suatu surah yang dinamakan surah Hadid (besi).

Thursday, June 08, 2006

Seni textil 2 (budaya berpakaian) dalam Islam.



Pakaian adalah sesuatu yang secara fitrahnya adalah sebahagian daripada jasad manusia itu sendiri, seperti rambut atau kuku yang mana ada fungsi untuk tubuh-badannya. Contohnya buah-buahan yang memerlukan kulitnya, dengan ada kulitnya, buah-buahan itu tahan lama, segar dan boleh dibawa kemana-mana, tetapi bila buah-buahan itu tanpa kulitnya, seperti pisang tanpa kulitnya, begitu mudah berubah warna dan rosak.

Atau durian yang mahal harganya tetapi lembut dan sedap isinya, memerlukan kulit-durinya untuk melindungi nilainya. Begitulah manusia dengan pakaiannya yang tidak kira pakaian tersebut mahal atau murah harganya, lama atau baru, ianya memainkan peranan utama dalam penampilan perwatakkan seseorang.

Diriwayatkan, seseorang yang memakai pakaian sederhana kerana sifat tawaduk, (rendah diri) walaupun ia mampu untuk berpakaian yang berharga mahal, diakhirat kelak dia akan dipanggil dihadapan seluruh manusia dan dipakaikan dengan pakaian istimewa dari syurga.

Juga pernah Abu Bakar r.a bertanya pada Nabi Muhamad, apakah berpakaian indah itu termasuk dalam sifat takebur (sombong), Nabi Muhamad memberitahu, Allah itu Jamil (Indah) dan suka pada sesuatu yang indah. Jadi dalam konsep Islam, ianya terbuka pada seseorang itu sendiri, yang penting, bagaimana kita mengikut syarat-syarat yang ditetapkan oleh Allah, cara berpakaian yang menutup aurat, dan cara yang terbaik adalah cara yang ditunjukkan oleh Nabi Muhamad s.a.w.

Dalam design-design pakaian bahagian luar , haruslah berbentuk labuh atau tidak ketat hingga menampakkan bentuk tubuh-badan terutama untuk wanita. Manakala untuk kaum lelaki, pakaian-pakaian yang dari kain sutera tidak dibenarkan, sebagaimana juga perhiasan dari emas-emas. Warna-warna yang digunakan pun lazimnya warna yang sederhana dan tegas, bukan warna yang memancar seperti warna kuning tua atau merah tua, kecuali untuk kaum wanita, itu pun bukan untuk pakaian bahagian luar.

Reality of Hijab
The Muslim Woman
Desert Store

Thursday, June 01, 2006

Seni textil 1 (budaya berpakaian) dalam Islam.


Berpakaian seperti juga tempat tinggal, makanan, keluarga, kenderaan yang mana semua ini bukanlah maksud hidup dalam Islam, tetapi memainkan peranan hajat (keperluan utama) dalam kehidupan seharian.

Sesejak Nabi Adam dan isterinya termakan buah larangan disyurga, segala pakaian syurga mereka tertanggal dan Nabi Adam bersama isterinya terpaksa mengambil daun-daun pohon disyurga untuk menutupi aurat (badan) mereka kerana lahirnya sifat malu diri.

Sesejak awal lagi, manusia dikurniakan oleh Allah sifat malu diri, jadi mereka yang tidak merasa malu bila tubuh badannya (auratnya) dilihat orang sebenarnya telah terhakis sifat fitrah manusiawinya. Dan bila Nabi Adam dan isterinya diturunkan kebumi, bermulalah era budaya berpakaian yang direka-corakkan gayanya.

Dimana-mana kita pergi, samaada dikawasan maju atau kawasan yang terpencil jauh dari kemajuan, kita akan bertemu alat tenun. Dari Amazon, kepulauan pasifik, Asia, Afrika hingga Europa, asal alat menenun textil adalah sama, ini menunjukkan juga bahawasanya manusia itu berasal dari satu keturunan yang sama.

Dan dari masa kesemasa, alatnya berubah bentuk hingga kini adanya mesin-mesin canggih dalam indusri pembuatan textil. Begitu juga dengan rekaan-rekaan pakaian, yang mana rekaan-rekaan pakaian-pakaian pun berubah-rubah mengikut keadaan, peraturan, kemampuan, cuaca atau kegemaran semasa.

Rekaan-rekaan pakaian bolehlah diibaratkan seperti gelas yang 2dl, quantiti air yang dituang dalam gelas adalah sama dalam setiap masa, tetapi bentuk dan dari apa gelas direka, berbeza-beza mengikut suasana semasa, seperti ada gelas yang bulat, meninggi, bersegi-segi dan sebagainya dan dibuat dari bahan berbeza seperti dari tanah liat, kaca, perak dan sebagainya.

Begitulah rekaan-rekaan pakaian yang berubah-rubah mengikut kehendak atau suasana semasa. Dibenua-benua yang diduduki oleh orang-orang Islam, biasanya budaya berpakaian adalah berkait-rapat dengan peraturan dalam Islam, disamping juga warna-warna atau corak-corak textil samaada dari sumber kedaerahan atau sesuatu yang baru, digubal mengikut peraturan Islam (tiadanya bentuk mahluk hidup). -Sesuatu yang jelas, cara keserdahanaan berpakaian sunnah Rasulullah s.a.w adalah suatu yang tidak dimakan zaman dan sentiasa hidup disetiap zaman.


-(bersambung)


Shukr.co.uk

Friday, May 26, 2006

Seni-seni mempertahankan diri dalam Islam.


Seni mempertahankan diri memang digalakkan dalam dunia Islam. Sayugianya diterangkan terlebih dahulu, Islam adalah ajaran yang mengalakkan perdamaian, disamping menentang segala bentuk keganasan atau tindakan ganas terhadap orang-lain. Bagaimanapun digalakkan terhadap tindakan mempertahankan ugama, diri, maruah, keluarga, melindungi mereka-mereka yang dizalimi mahupun juga mempertahankan harta-benda atau tanah-air.

Daripada itu jugalah, lahirnya seni-seni mempertahankan diri dalam dunia Islam, seperti contoh kesenian keatas peralatan yang digunakan untuk mempertahankan diri. Ukiran atau kesenian keatas peralatan seperti pedang (pisau, keris dll), perisai (samaada untuk badan, tangan dll), pemanah, topi-topi besi, senapang- senapang, mariam-mariam dan seterusnya.

Berlatih memanah (atau sesuatu sepertinya), berlatih pedang, melontar tombak dan menunggang kuda memang digalakkan walaupun ketika didalam suasana aman, yang mana kegiatannya adalah lebih merupakan kegiatan-kegiatan sukan.

Dimana-mana pun dibenua Islam, kita akan ketemu akan keunikan peralatan mempertahankan diri, seperti ukiran-ukiran diulu-ulu pedang, keris, perisai-perisai dan seterusnya. Kemahiran tukang-tukang pembuat pedang atau peralatan mempertahankan diri memang dikagumi sesejak dahulu.

Seni pembuatannya samaada terus dari ciri keIslaman atau dari seni-seni tradisional sesuatu daerah lalu digubal mengikut kehendak Islam seperti tiadanya bentuk-bentuk mahluk hidup, atau juga seni keatas kaligrafi dengan mengunakan bahan-bahan keras dari pelbagai besi atau logam, maupun keatas kulit-kulit haiwan dan sebagainya.
Sebelum kedatangan Islam, banyaknya amalan-amalan syirik, kepercayaan-kepercayaan khurafat, sihir-sihir, karut-marut atau bergantung pada mahluk-mahluk halus wujud dalam seni-seni mempertahankan diri, tetapi dengan kehadiran kemurnian Islam, segala bentuk amalan-amalan sebegitu dihapuskan.

Begitu juga, dalam seni mempertahankan diri, pentingnya pemusatan perhatian, mengawal nafas, mengawal gerakan badan dan suasana, samaada dari Jepun, China, Nusantara atau ditempat lain, banyaknya amalan bertapa (meditation), atau pergerakan seperti Tai Chi, Qiqong dll, tetapi didalam Islam, diperintahkan menunaikan sembahyang, dan melalui sembahyang 5 waktu sehari (dan sembahyang sunat) bila dilakukan dengan betul dan khusyuk, ianya adalah suatu pergerakan kombinasi yang cukup hebat untuk tubuh-badan. (Niat kita lakukan untuk Allah dan Allah menganugerahkannya untuk kebaikan kita), begitu juga dengan amalan membaca Al Quran atau berzikir yang mana melatih kita memusatkan perhatian dan nafas.

-Semoga Allah memberi kita kefahaman-

http://www.ashokaarts.com
http://www.oriental-arm.co

Monday, May 22, 2006

Ketinggian dan kemuliaan seni-seni Islam.


Dengan turunnya wahyu dan kedatangan Al Quran, telah merobah dunia dengan hebat sekali, atau lebih wajar dikatakan ia mengubah budaya dan sastera umat Islam. Dalam masyarakat yang berbahasa Arab, ramai yang memeluk Islam hanya dengan mendengar ayat Al Quran sahaja. Ketinggian peradaban sastera mereka sebelum Islam telah memudahkan mereka memahami dan mengakui kemuliaan dan keagungan Al Quran. Sebelumnya, mereka memandang tinggi keatas diri mereka, tetapi bila diperdengarkan ayat-ayat Al Quran, sedarlah mereka, adanya sesuatu yang mengatasi segala-galanya. Dalam sejarah dunia orang-orang Islam, Al Quran merupakan ideal sastera yang mutlak dan tidak dapat ditandingi. Sebelum negara-negara Islam dijajahi, hampir semua sastera yang dihasilkan oleh orang Islam menampilkan ciri-ciri dari ajaran Al Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w. yang mana juga huruf-hurufnya dicatit dalam huruf jawi yang mana ada keunikannya tersendiri.
Genre sastera atau seni Islam adalah universal. Khutbah, Bayan, risalah, Maqamah (cerpen), qissah (cerita-cerita bermoral seperti kisah sahaba), qasidah (piusi), maqalah (rencana tentang sesuatu) dan seterusnya, semuanya lebih bersifat universal (alamiah). Begitu juga dari sudut lukisan atau ukiran, yang mana kerana dalam Islam tidak dibenarkan melukis bentuk mahluk hidup, maka seninya merangkupi bentuk bebas yang lebih bersifat terbuka dan membuka minda. Dan seperti juga seni musiknya, yang pada aslinya, tidak dibenarkan mengunakan instrument-instrument seperti gitar, seruling dan lain-lain, hanya berpandu pada suara, gendang (tabla dll) dan ini bermakna, penyampaian maksud irama atau senikata yang direka memainkan peranan utama. Penampilan hasil dari jiwa fikiran yang bersih lagi cergas pereka musiknya, bukan penampilkan kehebatan dari sesuatu instrument. Seninya lebih mengundang penampilan dari diri dan bukan dari atas sifat hipokrit.
Al Quran sendiri, berapa juta kali kita membacanya atau mendengarnya, kita tidak akan bosan bahkan sampai suatu titik, kita akan lebih menghayatinya, sedangkan yang lain-lain, sampai satu ketika, kita akan merasa bosan, contoh satu lagu yang popular yang kita dengar, bila kita kerap berulang-ulang mendengarnya, maka akan lahir kebosanan padanya.
www.zakariya.net
www.uga.edu/IslamArt

Wednesday, May 17, 2006

Seni Bahasa - 1


Seni atas bahasa adalah sesuatu yang begitu luas cabangnya dan memainkan peranan yang begitu penting dalam sejarah manusia. Telah diriwayatkan pada kita, bahawa telah diturunkan suhuf (bahan peringatan bertulis) pada Nabi Syith, anak kepada Nabi Adam a.s, dan ini bermakna bahawa sejarah penulisan yang berasaskan budaya yang tinggi dan penuh kebenaran telah bermula sesejak generasi pertama manusia lagi.

Hari ini begitu banyaknya bahasa-bahasa yang dituturkan, dari bahasa utama seperti Bahasa Arab, English, Urdu, Mandarin, Melayu dan lain-lain hinggakan ke bahasa-bahasa daerah atau tempatan, dan setiap bahasa mempunyai begitu banyak ayat-ayat serta pengertiaannya. Hanya Allah yang Maha Mengetahui dan Memahami seluruh ayat-ayat yang dicatit maupun kata-kata yang dituturkan diseluruh dunia.

Dalam sejarah Islam, bahasa bukanlah maksud tetapi adalah alat yang begitu penting dalam penyebaran Islam, penghayatan hidup sebagai seorang Islam maupun pengayaan dalam melalui rentak-rentak hidup sebagai seorang Islam. Sahaba r.a dan kemudian para Tabi-Tabien dan seterusnya para pendakwah telah berhijrah keempat penjuru dunia dan walaupun kebanyakkan kawasan yang didatangi mereka, penduduknya tidak tahu berbahasa Arab, tetapi Islam berjaya disebarkan.

China, misalnya, suatu ketika dahulu, tiada siapa pun boleh bertutur Bahasa Arab, tetapi dari abad permulaan Islam hingga kini, talah berjuta-juta orang China menganut agama Islam dan ramai Alim-Ulamak China boleh bertutur bahasa Arab dan paling kurang untuk orang awam, mereka mampu bersembahyang dalam bahasa Arab yang mana merupakan suatu kewajipan.

Seni keatas bahasa dalam Islam adalah dalam konteks yang mana mempunyai maksud-maksud yang mulia yang mengundang keatas kecergasan dalam berfikir, menghayati kebesaran Ilahi, menanamkan perasaan-perasaan murni, dan bagaimana mendapat keredhaan Allah melalui keikhlasan dalam berkarya atau beramal. Inilah bezanya seni keatas bahasa Islam dengan seni keatas bahasa cara yang lain.

Dari sudut bayan, sajak, cerpen, pelukis/pengukir khat-khat, dalam bidang suara (penyair atau maupun penyanyi) dan seterusnya haruslah memahami apa itu kehendak Islam sendiri. Samaada yang berpengalaman dan berbakat tinggi atau yang dipermulaan dan cuba mengasah bakat, maupun yang hanya menjadikannya minat, asas penting dalam berseni bahasa, ianya digunakan untuk mengajak diri dan orang lain meniti jalan lurus dan bagaimana dapat meletakkan rasa keAgungan Allah Taala kedalam hati serta mengikut garis panduan yang ditunjuk oleh Rasulullah s.a.w. Ini semua akan menjanjikan kejayaan kerana kejayaan sebenarnya adalah bilamana kita dapat keredhaan Allah dan diampunkannya. Sedangkan segala yang lainnya akan berlalu pergi ditelan masa.


- Arabic Language -

Tuesday, May 16, 2006

Kelahiran kesenian yang mengubah warna dunia.


Sebelum kedatangan dan permulaan Islam diTanah Arab, Tanah Arab sudah dipenuhi dan terkenal dari segi keseniannya terutama dari segi seni bahasanya. Peradaban keseniannya adalah tinggi dan kota Mekah adalah tempat perhimpunan besar untuk seluruh Tanah Arab setiap tahun.

Cuma bezanya, selepas kedatangan Islam, segala seninya yang berlandaskan dari kejahiliahan, dari fikiran karut-marut, dongengan atau khayalan semata-mata serta dari bentuk hiburan yang melampau telah dihapuskan dan digantikan dengan kemuliaan seni Islam yang bermatlamat dan martabat.

Seni Islam yang berlandaskan dari ciri-ciri keserdahanaan telah berjaya mengubah warna-warna bukan setakat diTanah Arab, tetapi diseluruh dunia. Para-para sahaba dan kemudian para Tabi-Tabien dan seterusnya para pendakwah Islam telah berhijrah keempat penjuru dunia untuk mengembangkan ajaran Islam, dan dengan ini, kesenian Islam pun bermula dimana-mana, warna-warna seni dunia pun beralih pada warna-warna seni Islam.

Hari ini, lantaran kejahilan umat kini dan pengaruh duniawi yang berlebih-lebihan, menyebabkan umat hari ini meninggalkan keaslian seni Islam dan terburu-buru mengejar seni- seni lainnya yang sebenarnya mengembalikan umat hari ini pada zaman jahiliah, yang mana seninya lebih banyak mengundang kepada unsur dan sifat keburukan dari unsur dan sifat kebaikan. Semoga Allah melindungi dan memberi kita semua hidayat.

Fungsi seni Islam.



Dalam kesenian Islam, sesuatu hasil seni itu bukanlah suatu tambahan yang sia-sia pada karya seni atau sekadar untuk kecantikan yang tidak berprinsip, atau untuk populariti maupun mengejar duniawi. Ia juga bukanlah suatu cara untuk memuaskan citarasa untuk mereka yang mencari hiburan semata-mata. Ia sama sekali tidak harus dianggap untuk memenuhi ruang-ruang kosong sesuatu ciptaan seni.

Sebaliknya, kesenian dalam dunia Islam yang terdapat pada sesuatu abad dalam sejarah Islam, dari dahulu hingga kini memenuhi 4 fungsi utama yang tersendirinya menampilkan maksud dan kepentingannya:

1- Corak-corak atau hasil-hasil seni Islam berlandaskan peringatan kepada keesaan Allah ( Tuhan Yang Satu)

2- Pembentukan daripada sesuatu asbab atau objek seperti kayu, batu, kertas-kertas dan lain-lain, maupun suara, dibentuk untuk menghayati kebesaran Ilahi, atau keistimewaan anugerah Ilahi keatas manusia, bukan keistimewaan diri manusia atau mahluk yang lain (dalam seni islam tidak dibenarkan mengukir atau melukis bentuk manusia atau mahluk hidup lainnya, maupun menyanjungi seseorang insan berlebih-lebihan, sehinggakan Nabi Muhamad s.a.w sendiri memberitahu, janganlah kamu mengagung-agungkan Daku sebagaimana umat Nabi Isa mengagungkan Nabi Isa a.s.)

3- Suatu seni yang bertujuan memalingkan minat atau perhatian pemerhati daripada unsur-unsur keduniaan dan ciri-cirinya kepada satu pernyataan dan makna-makna yang lebih tinggi dan lebih utama disegi maksud hidup atau tujuan hidup.

4- Terdapat juga pada tradisi atau kesenian yang lainnya, iaitu menampilkan sesuatu yang indah atau mempunyai ciri tersendiri berlatar-belakangkan pengaruh etnik, daerah atau dari sausana dan permintaan semasa (selama mana ia dalam garis-garis yang ditunjukkan oleh Nabi Muhamad s.a.w).
Btn_brn_77x28

Tajuk

Abbasiyah (1) altruisme - ikram (3) Aqidah (1) art video (20) Austronesia (10) Bahasa dan penampilan (5) Bangsa Melayu (7) batas sempadan (9) Berita (15) Besi (1) Biography solihin (1) Budaya dan pengertiannya (16) catitan (2) cerdik/bodoh dan antaranya (6) cetusan minda (8) cinta dan syahwat (3) Doha - Qatar (2) Eid Mubarak (5) falsafah (2) Fantasia falasi (3) Fibonacci (1) Filem (2) fitrah (1) Fungsi seni (1) gangsa (1) hukum (6) huruf (2) hutang (1) ijtima (1) Iklan (2) imitasi dan memori (1) infiniti (5) jalan2 (2) kebangsaan/nationalisme (2) kebebasan bersuara (1) Kelahiran kesenian yang mengubah warna dunia. (1) Kembali sebentar tentang erti seni (Islam) (1) kerja otak (1) Kesenian dunia Islam (1) komunikasi (1) konsep kendiri (3) konspirasi (1) Lagu (1) Lentok tangan (1) Malaysia (3) Masa (10) Maslahah atau mafsadah (1) Maya (ilusi) (4) Melaka (1) Melayu (2) Melayu dan Islam (9) minda (2) musik (2) nukilan rasa (1) Pantang dalam berkarya (1) Pause (6) Pembetulan sejarah (3) Pengajian dan pengertian budaya (1) Perasaan dan pemikiran (5) Persepsi / Tanggapan (6) pointillism (2) populasi dunia (9) Produk sejarah (11) Program dan hayat (2) prosa (4) ramadan (2) realiti - kenyataan (7) Sajak (22) Sangkaan (2) sebab dan akibat (18) sejarah (14) sejarah Islam Nusantara (1) sejarah Melayu (4) Sejarah mengubah/terubah (5) Sejarah seni dalam kehidupan insan (1) Sejarah video (1) Seni Bahasa (2) Seni dalam imiginasi (1) seni kata (1) Seni logam (3) Seni textil (budaya berpakaian) (2) Seni-seni mempertahankan diri (1) sound (1) Srivijaya (3) Sunda (6) Tahap kesederhanaan (1) Tahap-tahap kehidupan (14) tenung bintang (1) Terkesan dengan suasana (2) Tradisional dalam makna (1) Ukuran dan kayu pengukurnya (2) updated (1) Usia manusia (3) vision (1) wang (7) Wujudkah kosong? (2) zarzh slide (12)

Catitan lalu

Insuran & Road Tax Online

tetangga