Showing posts with label cetusan minda. Show all posts
Showing posts with label cetusan minda. Show all posts

Sunday, August 11, 2013

Al-Ghazwul Fikri (peperangan minda)

Al-Ghazwul Fikri telah sekian lama melanda dunia Islam. Ianya adalah dari dua patah perkataan iaitu al-Ghazw dan al-Fikr. Al-Ghazw bermakna perang atau serangan manakala al-Fikr pula bermakna pemikiran (minda).

Dari segi definisi secara umum, ianya adalah satu gugusan usaha yang dilakukan oleh satu pihak atau bangsa untuk menjajah pihak atau bangsa yang lain dengan mempengaruhi mindanya sehingga mereka menghala ke arah yang sama.

Strategi Al-Ghazwul Fikri yang dilakukan oleh pihak musuh Islam ini dalam mengawal minda umat Islam boleh diklaskan sebagai::

Pertama – Tasykik, iaitu gerakan yang berupaya menciptakan keraguan dan kedangkalan (superficiality) aqidah umat Islam terhadap ajaran agamanya. Misalnya, tindakan segelintir manusia yang menyerang (memperlecehkan) Al-Qur’an dan Hadits, menghina Nabi Muhammad S.A.W atau berkempen bahawa hukum Islam tidak sesuai dengan tuntutan cara hidup zaman sekarang.

Kedua – Tasywih, iaitu gerakan yang berupaya menghilangkan kebanggaan umat Islam terhadap ajaran agamanya. Anologinya dengan memberikan gambaran Islam secara buruk sehingga timbul rasa rendah diri (inferiority) di kalangan umat Islam. Di sini, mereka melakukan penceritaan (naratif) negatif tentang agama Islam melalui media massa dan ceramah dengan menggambarkan bahawa agama Islam itu kelihatan menyeramkan, kejam, sadis, radikal dan lain-lain istilah yang kurang menyenangkan pendengarnya.

Ketiga – Tadzwib, iaitu usaha pencairan budaya dan pemikiran (dilution of culture and thought). Di sini, kuffar dan munafiqin telah mencampur-adukkan antara hak dan batil di antara ajaran Islam dan bukan Islam. Sehingga umat Islam kekeliruan dan kebingungan untuk mendapatkan bimbingan atau pedoman hidup.

Keempat – Taghrib, iaitu usaha menceritakan kelebihan pihak luar Islam dengan mengalak atau mendorong umat Islam untuk menerima pemikiran dan budaya mereka seperti sekularisme, pluralisme, nasionalisme songsang, dan liberalisme.



Perkara ini telah diberi amaran didalam Al quran juga hadith Nabi:

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah S.W.T Itulah petunjuk (yang benar)”; dan Sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, Maka Allah S.W.T tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu.” (Al-Baqarah ayat 120)

“Daripada Abu Said Al-Khudri R.A daripada Nabi S.A.W sabda baginda: Kamu pasti akan mengikut jejak langkah umat sebelum kamu sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta hingga kalau mereka masuk ke lubang biawak pun tentu kamu mengikutnya. Kami berkata: Wahai Rasulullah, adakah maksudmu Yahudi dan Nasrani? Kata baginda: Siapa lagi (jika bukan mereka).” - (Bukhari)

Hari ini, telah jelas bagaimana Al-Ghazwul Fikri ini dilakukan saban waktu oleh pihak musuh Islam. Lantaran itu, cara yang utama dalam menangkis serangan minda dari pihak musuh Islam adalah dengan menghidupkan sentiasa usaha dakwah dimana, hati dan pemikiran disatukan pertama-tamanya untuk bagaimana mengajak insan semua termasuk diri agar sentiasa cuba menuju jalan Allah.

Monday, December 20, 2010

Cetusan minda - 7

Insan memerlukan cetusan-cetusan minda saban waktu dalam aktiviti-aktiviti kehidupannya kerana kehidupan insan adalah berbeza dengan haiwan. Haiwanat mempunyai aktiviti kehidupan yang tiada evolusi mindanya yang mana biarpun berpuluh ribu tahun kehadirannya dimuka bumi, tetaplah sama cara likaran kehidupannya dari suatu generasi kesuatu generasi, sedangkan insan, dunia telah menyaksikan begitu drastik evolusi perubahan-perubahan yang berlaku dari suatu abad kesuatu abad atau suatu generasi kesuatu generasi kesan dari cetusan-cetusan minda yang dilahirkannya.

Ini kerana tunjak evolusi kehidupan insan adalah berpusat pada fikirannya dan evolusi yang dimaksudkan adalah dari apa yang diutarakan oleh fikirannya atau dari pencapaian kefahamannya keatas sesuatu, bukan mengenai evolusi jasad atau tubuh-badannya. Diatas fikirannya juga adalah yang membezakan antara insan dan haiwanat dan tentulah fikirannya adalah berkenaan juga dengan perasaannya.

Saban waktu, insan menghadirkan cetusan-cetusan mindanya dalam berbagai-bagai bentuk, dari beberapa patah perkataan hingga ke berjilid-jilid yang dicatitkan, dari ungkapan-ungkapan yang biasa hingga kepada yang begitu berat atau mendalam maksudnya, dari garis-garis lakaran biasa hingga kepenghasilan bentuk seni yang bernilai tinggi dan seterusnya untuk perkara-perkara yang lain. Hanya pertanyaannya, untuk apakah semua itu?

Apakah hanya untuk mengisi kekosongan ruang usia insan sebagaimana cetusan-cetusan minda dari sudut hiburan yang telah mencapai berbillion-billion hasilnya saban hari samada dari yang berbentuk tulisan-tulisan, bunyi-bunyian dan seterusnya, yang mana kini telah mengisi setiap saat waktu kehidupan insan, iaitu dari ia membuka matanya sehinggalah kembali terlelap seperti contohnya dari corong-corong radio, television, MP-player, internet, novel-novel cinta dan lain-lain?

Apakah dalam memenuhi keperluan kehidupan seharian samada pengajiannya, pekerjaannya, pengangkutannya, tempat-tempat penginapannya dan seterusnya mahupun hanya dipusatkan kepada perkara-perkara yang dapat memenuhi selera nafsu mengikut cita-rasa setiap insan tanpa melibatkan maksud sebenar kehadirannya dimuka bumi?

Tentunya jawapan dari kebanyakkan insan adalah bahawa segalanya terpulanglah pada setiap individu memilih cara yang dikehendaki terutama dalam dunia yang dikatakan kebebasan adalah milik mutlak peribadi dan sesiapa sahaja berhak keatas kebebasan atau kehendaknya serta mengurus kearah mana kehidupan yang diingini. Dalam mana juga, masing-masing mahu mencari kebahagian sebagaimana apa yang dimengertikan serta mencapai kehidupan-kehidupan yang diimpikan.

Sedangkan hakikatnya, buat setiap insan adanya tahap-tahap kesedaran yang wajar dicapai untuk memahami akan kehadirannya dialam ini. Dalam mana, tanpa mencapai tahap kesedaran ini, maka arus kehidupan yang dibinanya hanyalah menuju kearah kehancuran biarpun ia menyatakan bahawa itu adalah membawa kearah kebahagian.

Seperti contohnya, insan begitu hebat mengejar segala arus dunia kemodernan atau dunia terkini dengan segala teknologinya, namun tiada kesedaran diatas implikasi atau kesan buruk yang hadir bersama arus ini, dimana dengan segala pencemaran yang dilakukan, telah membawa kehancuran bukan sahaja kepada kehidupan insan itu sendiri, tetapi kepada alam semulajadi berserta segala kehidupan haiwanat didalamnya.

Sebegitu juga dengan peperangan demi peperangan yang dilakukan oleh mereka-mereka yang dikatakan menerajui pentas dunia tetapi tiada kesedaran, membuat berjuta insan lain menderita berbanding hanya segelintir sahaja yang mengutip faedah dari peperangan-peperangan tersebut.

Kerana itu, insan sentiasa memerlukan kesedaran (Consciousness) agar tidak terperangkap dalam jerangkap yang dibinanya sendiri. Dengan kesedaran yang ada, insan bukan sahaja sentiasa berwaspada akan langkah-langkah yang dilalui dalam kehidupannya, tetapi juga menyediakan iklim kehidupan yang lebih baik untuk generasi kemudian serta juga untuk alam semulajadi dengan segala haiwanat didalamnya. Manakala untuk mereka yang beriman, tahap kesedaran yang cuba dicapai, bukan sahaja menjanjikan kejayaan didunia, tetapi adalah untuk persediaan kehidupan akhiratnya.

Bilamana insan mencapai kesedaran tahap nafs lawwamah, ia berolah kesedaran dalam menilai sesuatu tersebut, menyaring apa itu baik dan buruk serta cuba mengatur langkah hidupnya dibawah konsep-konsep yang dinilaikan sebagai kebaikan tetapi tahap lawwamah tidak mencukupi kerana ianya adalah dalam tahap penilaian dan wajar sahaja berubah-ubah kerana belum stabil pendirian, lantaran itu memerlukan suatu perjuangan yang sebenar dalam kehidupannya saban waktu, tidak kira apa kedudukannya, tidak kira apa status duniawinya, tidak kira samada memiliki bergunung-gunung ijazah atau tidak, tidak kira bersendirian atau mempunyai ahli keluarga yang ramai, tidak kira dimana dirinya berada untuk mencapai tahap kesedaran yang lebih tinggi iaitu tahap nafs mutmainah.

Kesedaran dalam tahap nafs mutmainah, iaitu keadaan diri yang telah benar-benar beriman, tenang, menyintai keadaan kehidupan dirinya yang menuju kepada Penciptanya, menyedari akan tanggung-jawabnya sebagai khalifah keatas alam ini dan seterusnya sentiasa mendapat bimbingan dan keredhaan dari Penciptanya, tidak terdapat didalam kamus-kamus insan-insan selain dari kaum muslimin, kerana proses-proses kearah ini mewajibkan pertama-tamanya keyakinan yang sebenar kepada Allah Taala, Tuhan semesta alam dan berada dalam ketaatan dialam peraturan kehidupan mengikut jalan petunjuk Nabi Muhamad s.a.w.

Lantas dari itu, amatlah diperlukan saban waktu, cetusan-cetusan minda yang murni untuk mencapai atau mengarah kearah kesedaran yang sebenar iaitu tahap nafs mutmainah, cetusan-cetusan minda yang mengingatkan diri kepada Pencipta alam (zikirullah), cetusan-cetusan minda yang membuat diri faham tentang kewujudannya dialam semesta ini, cetusan-cetusan minda yang membuat diri berada dalam golongan ulu al-bab dalam mana kemudiannya, mereka-mereka yang telah mencapainya, wajar sahaja berkemampuan menghadirkan pula cetusan-cetusan minda yang begitu bernilai atau berkemampuan membantu insan-insan yang lain untuk sama-sama menuju kearah mencapai kejayaan buat didunia dan akhirat.


Ulu al-bab yang disebut didalam Al-Qur’an yang bererti “mereka yang menyebut dan mengingati Allah (yadhkurun Allah) semasa mereka berdiri, duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan (yatafakkarun) tentang penciptaan langit dan bumi:

الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَى جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَذَا بَاطِلا سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ (١٩١)

- (iaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan Kami, Tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha suci Engkau, Maka peliharalah Kami dari siksa neraka. (Surah Ali Imran: 191)

Friday, December 17, 2010

Cetusan minda - 6

Cetusan minda lahir dari apa yang difikirkan dan amat terkait dengan apa yang membaluti perasaan diri seseorang insan. Ini kerana, diatas fungsi otak yang merupakan suatu alat adaptor antara perasaannya dengan dunia luaran dirinya dan sebagai anggota alat yang paling akrab dengan hati insan, selama-mana ia masih dalam kategori waras atau siuman.

Dikatakan merupakan adaptor antara perasaan dengan dunia luar dirinya, adalah kerana fikiran insan merupakan pemangkin buat kewujudan dirinya didunia realiti ini. Dari adaptor ini, hati insan mampu mengorak fikirannya saban detik dan seterusnya kepada cara kehadiran dirinya didunia nyata sebagaimana fikiran insan adalah salah satu pintu untuk persepsi dirinya kepada dunia luar atau sebaliknya iaitu mampu membawa perkara-perkara dari dunia luar dirinya, kepenghayatan kedalam perasaannya.

Fikiran insan akan sentiasa berubah-ubah mengikut suasana persekitaran, seperti contohnya cuaca disesuatu tempat dapat mempengaruhi akan perasaan seseorang, dan ini semua seterusnya membuat hati insan sentiasa bergolak-galih mengikut suasana persekitarannya. Segala yang dilalui atau diketahui melalui segala medium suasana kehidupan seharian wajar membawa kesan kepada apa kefahaman yang dimiliki dan dari kefahaman ini kemudiannya lahirlah cetusan-cetusan minda yang dilakukan.

Begitu juga dengan melalui medium dari dalam diri sendiri iaitu pertimbangan-pertimbangan berlandaskan sesuatu sifat seperti sifat kejujuran atau sebaliknya sifat hipokrit, sifat keikhlasan dalam mencari kebenaran atau sebaliknya sifat hanya untuk menonjolkan diri seperti dari sifat takebur dan lain-lain, sifat ihsan atau sifat tiada peri-kemanusiaan, pengetahuan mahupun pengalaman yang dimiliki atau dari kenaifan mahupun kejahilan dan seterusnya. Dimana, dari semua unsur-unsur sifat ini, mampu memberi kesan pada cetusan-cetusan minda yang dilakukan oleh insan.

Unsur kepercayaan yang dimiliki dari dalaman diri juga mampu memberi kesan kepada kebaikan mahupun sebaliknya bergantung diatas sejauh mana fakta kebenaran dimiliki serta juga bagaimana keadaan individu tersebut sendiri seperti contohnya kepercayaan akan kewujudan mahluk-mahluk halus (Jin) yang mana ada fakta menunjukkkan kewujudan mereka dengan kejadian kes-kes para-normal namun bila keterlaluan mempercayainya serta menjejak segala yang berkaitan dengannya sehingga membawa kepada amalan khurafat atau pegangan karut-marut, tentunya ia mempengaruhi secara negatif akan apa yang dipercayai kewujudan didunia ghaib dengan penampilan diri didunia nyata.

Kaitan antara hati dan fikiran insan adalah fitrah kejadian diri insan dimana adanya keupayaan untuk melakukan pertimbangan dengan menyelami kedalam perasaannya akan penilaian antara kebenaran dengan kedustaan. Keupayaan untuk melakukan pertimbangan antara kebenaran dengan kedustaan adalah dikatakan pada tahap nafs lawwamah, dimana adanya kesedaran diri dan selama mana hatinya belum dibaluti sepenuhnya dengan kegelapan atau karat kebatilan lantaran berlanjutan saban waktu dalam hayatnya memenuhi kehendak-kehendak hawa-nafsunya (nafs amarah-bisu).

Keadaan bila perasaan diri insan yang telah dibaluti dengan penguasaan dari perkara-perkara batil atau bukan perkara hak, maka dirinya dikaburi akan apa itu erti kebenaran terutama diatas sesuatu sebab seperti hanya semata-mata mementingkan diri, kepopulariti diri, kerakusan diri dan lain-lain, lalu apa yang dicetuskan adalah sesuatu yang wajar sahaja membawa kerosakan, yang mana bukan hanya pada pihak lain, malah untuk dirinya sendiri biarpun tidak disedari.

Seseorang insan yang ada kesedaran dalam peringkat nafs lawwamah, menyedari atau cuba meneliti apa itu perbezaan suatu kebenaran dengan kebatilan biarpun dirinya belum mencapai erti apa itu sesuatu kebenaran, sedang mereka yang tiada kesedaran langsung atau dalam peringkat dikuasai nafs amarah-bisu, tiadalah atau sukarlah untuk dirinya memahami apa itu erti kebenaran kerana hakikatnya, diri insan tersebut telah buta mata-hatinya untuk membuat penilaian, seperti seorang yang tidur yang tidak memahami langsung akan realiti sebenar dunia disekitarnya.


Bersambung...

Tuesday, December 14, 2010

Cetusan minda - 5

Dalam lipatan waktu kehidupan insan tidak kira abad keberapa dan dimana, berlaku dan berlalu berjuta-juta perkara dari cetusan minda insan yang mana mampu meninggalkan pengaruh mahupun mampu menarik perhatian dan seterusnya mampu membuat diri insan melalui kehidupan mengikut sesuatu cetusan minda tersebut samaada melalui cara berfikir atau perasaannya yang disedari, mahupun tingkah-laku atau penampilan diri yang berlaku secara tidak disedari atau spontan.

Dalam mana, cetusan-cetusan minda yang terlintas dari unsur kebaikan menghasilkan arah tuju kearah kebaikan dalam kehidupan, mengkaji lebih dalam akan apa itu erti kebaikan, usaha untuk mendapatkan apa yang dikatakan kebaikan serta mengekalkannya sedang sebaliknya iaitu cetusan-cetusan minda yang terlintas dari unsur kejahatan menghasilkan arah tuju kehidupan yang merosakkan, membawa minat kearah negatif serta menanamkan tabiat-tabiat mungkar dalam diri yang payah untuk dihilangkan.

Penilaian akan apakah sesuatu cetusan minda ini penting kerana apa yang dipilihnya, itulah yang dihidupkan atau bakal dilalui dan ini juga menyebabkan ia mengabaikan sesuatu faktor yang lain seperti contohnya seorang pemuda atau pemudi yang begitu terpesona dengan kehidupan dikota-raya dengan suasana bebas antara muda-mudi, maka diusahakan dengan segala kemampuannya untuk meletakkan dirinya dalam suasana sebegitu dan biarpun hakikatnya ramai yang menderita, namun diabaikannya akan faktor yang menderitakan kerana penumpuan hanya pada cetusan minda akan kehebatan kehidupan terkini dikota-kota besar.

Ini kerana, insan dan segala mahluk yang hidup bersifat fitrahnya terbatas yang mana tiadalah kemampuannya untuk menguasai atau meneliti akan segala sudut unsur-unsur kehidupan yang dilaluinya seperti misalnya bila ia melihat disebelah kanan maka terlepaslah pandangannya dari sebelah kiri, sebegitu juga bila ia melihat kesebelah atas maka terlepaslah pandangannya dari melihat kesebelah bawah. Keterbatasan fitrah ini hatta untuk mahluk-mahluk yang mempunyai kelebihan tersendiri seperti labah-labah yang mempunyai mata yang lebih dari dua, bagaimana pun tidak mampu menggunakan mata-matanya mengawal segala pergerakkan disekitarnya, dimana terjadi keadaan labah-labah ini menjadi mangsa pada sang burung.

Hakikat akan keterbatasan kemampuan insan termasuk pemikirannya adalah jelas biarpun ada pihak yang cuba menafikan dengan alasan bahawa kepesatan dunia modern hari ini yang penuh dengan ilmu pengetahuan, dimana dunia hari ini mempunyai hampir apa sahaja data-data pengetahuan tentang segala jalur kehidupan dan dengannya insan mampu sentiasa memilih atau berada dijalan kebenaran, tetapi pihak-pihak ini terlepas pandang bahawa insan adalah mahluk yang bersifat pelupa, alpa, lalai mahupun tidaklah secerdik yang dibangga-banggakan.

Contohnya, seseorang yang memiliki suatu ruang bilik yang dipenuhi oleh layar skrin komputer, dimana setiap komputer dilengkapkan dengan hardisk yang berkapasiti tera-bit dan setiapnya disimpan berbagai-bagai bentuk maklumat atau ilmu pengetahuan seperti dilengkapi dengan segala program untuk menghasilkan kreativiti, dilengkapi dengan segala jenis kitab-kitab dan seterusnya dengan pengetahuan yang lain, tetapi tentunya, mereka yang memilikinya akan hanya lebih memberi tumpuan untuk apa yang diminati atau yang memberangsangkan diri kerana seseorang yang melakukan sesuatu perkara, ia tidak mampu melakukan perkara-perkara yang lain atau memberi tumpuan pada perkara-perkara yang lain pada masa yang sama.

Dimana perhatiannya saban waktu akan ditumpukan pada layar skrin komputer yang terdapatnya perkara-perkara yang amat diminati untuk diikuti seperti contohnya web youtube berbentuk video hiburan, facebook atau sosial network, blog-blog atau web politik dan seterusnya yang menyemangatkan dirinya untuk duduk mengadap komputernya biarpun berjam-jam dalam mana juga skrin-skrin layar komputer yang lain hanya dibiarkan terbuka tanpa diambil perhatian atau mungkin hanya sekali-sekala atas sesuatu keperluan.

Sebegitulah hakikatnya kehidupan seharian insan, biarpun begitu banyak perkara yang berlaku atau berlalu, namun hakikatnya, setiap insan hanya akan memberi tumpuan kepada perkara-perkara yang diminati atau sebati dengan dirinya dan tanpa disedari, ia meninggalkan perkara-perkara yang lain biarpun perkara tersebut kekadang merupakan sesuatu yang begitu bernilai buat dirinya. Atas itu, mustahaknya pemilihan kepada apa itu cetusan-cetusan minda yang mempengaruhi dirinya. Kerana kesilapan memilih, membuat waktu kehidupan yang singkat ini hanya menjadi sia-sia mahupun menyebabkan diri menjadi kerugian dikemudian hari.

Lantas dari itu juga, insan wajarlah sentiasa berpesan-pesan kearah kebaikan dan mencegah kemungkaran, sebagaimana ini juga adalah tanggung-jawab yang telah diamanahkan, dalam mana dengan mengambil tanggung-jawab ini, bukan sahaja setiap insan dapat membantu kearah pemilihan buat cetusan-cetusan minda yang membawa kearah kebaikan, tetapi ia juga menyebabkan setiap diri insan tersebut berkemampuan menghasilkan saban waktu cetusan-cetusan dari mindanya sendiri yang membawa kearah kebaikan.


Bersambung...

Tuesday, December 07, 2010

Cetusan minda - 4

Salah satu medium untuk cetusan minda adalah inspirasi atau ilham yang hadir. Dalam mana kehadirannya adalah samada sesuatu yang memberi manfaat atau sebaliknya, serta juga kesan yang ditinggalkan untuk kehidupan mahupun aktiviti yang berkaitan dengannya.

Inspirasi yang hadir atau cuba dihadirkan, tentunya bergantung kepada apa dan siapa serta bidang apa yang lazimnya dikaitkan untuk kehadirannya, disamping juga kaitan dengan persekitaran kehidupan yang wujud. Seperti contohnya, seorang penyajak akan sentiasa mengerahkan fikirannya untuk mencari inspirasi berkaitan dengan sajaknya dan sebegitu juga seterusnya pada bidang-bidang yang lain, hatta seorang suri-rumah juga mengerahkan fikirannya untuk mencari inspirasi mengatur dekorative buat ruang rumahnya.

Dalam pada itu, kehadiran inspirasi adalah lebih dikatakan bukan dibawah kesedaran (unconscious) dan ini suatu keunikan kerana insan sewajarnya berada didalam kesedaran tetapi inspirasi pula adalah sesuatu yang tiba-tiba datang dalam benak fikiran dan mampu melakukan cetusan-cetusan minda, yang mana kekadang boleh mencapai ketahap mempengaruhi penghuni dunia.

Contohnya pengaruh-pengaruh inspirasi dari sesuatu musik, filem-filem atau apa sahaja sebagaimana yang terbentang dipapan-papan iklan dan seterusnya juga kepada perkara-perkara yang lain yang tersebar diseluruh penjuru dunia. Cuma hanya pertanyaannya, apakah ia sesuatu yang memberi manfaat dan mengundang kearah kebaikan atau sebaliknya mengundang kearah kemungkaran mahupun kearah yang tiada memberi apa-apa manfaat, iaitu hanya mensia-siakan usia kehidupan insan?

Berbalik dengan kenyataan bahawa inspirasi yang hadir bukan dibawah kesedaran, justeru dari itu juga, dikatakan inspirasi adalah suatu rahsia anugerah yang datang terutama yang berkaitan dengan inspirasi yang mencetuskan minda yang memberi manfaat dan petunjuk buat insan-insan lain seterusnya, manakala sebaliknya iaitu sesuatu inspirasi yang membawa kearah kemudaratan atau tidak bermanfaat, ia adalah suatu rahsia musibah yang dibisikkan kepada insan dan lazimnya berkaitan dengan hawa-nafsu insan serta hasutan musuh utama manusia iaitu syaitan.

Anugerah ini adalah suatu yang kekadang bukan dalam kiraan logik atau rasional insan seperti contohnya lebah-lebah yang mendapat inspirasi akan bunga mana yang madunya wajar diambil disamping mengetahui akan perbezaan antara bunga-bunga yang beracun atau tidak. Sebegitu juga, ia mengetahui jalan pulangnya ia kesarang tanpa tersesat dipertengahan jalan.

Atau ikan salmon yang mendapat inspirasi untuk bertelor jauh diatas pergunungan air tawar biarpun ia hidup dilautan air masin. Lalu bagaikan dipandu oleh suatu petunjuk, ikan-ikan salmon akan sedaya upaya berenang melawan arus sungai, melawan segala rintangan seperti air-terjun mahupun besarnya risiko kehilangan nyawanya dibaham oleh haiwan lain seperti helang atau beruang, hanya untuk sampai kepuncak gunung, bertelor dan kemudian mengakhiri riwayatnya disitu. Proses sebegini juga akan dilakukan oleh generasi kegenerasi yang seterusnya.

Yunani kuno mempercayai bahawa inspirasi adalah anugerah dari Muse, iaitu para-para dewi yang mereka menganggapnya sebagai sumber ilmu pengetahuan dan inspirasi seni. Sebegitu juga dengan penganut agama-agama yang lain yang ada pandangannya yang berbeza.

Manakala bagi penganut agama Islam, sesuatu inspirasi yang membawa kearah kebenaran dan kebaikan adalah petunjuk dari Tuhan semesta alam iaitu Allah Taala, sedang sebaliknya iaitu sesuatu inspirasi yang membawa kearah kemungkaran atau kemaksiatan adalah dari syaitan yang sentiasa membisikan hasutan kejahatan kedalam hati insan.

Didalam ajaran Islam, inspirasi atau ilham adalah berbeza dengan wahyu, dimana wahyu adalah hanya diutus kepada para utusan Allah dan pintu wahyu telah tertutup setelah risalah agama Islam disempurnakan kepada Nabi Muhamad s.a.w. Manakala Inspirasi adalah seperti ibu Nabi Musa a.s yang mendapat ilham untuk menghanyutkan Nabi Musa a.s yang ketika itu baru dilahirkan didalam bakul, untuk menyelamatkan nyawa Nabi Musa a.s dari dibunuh oleh askar-askar Firaun yang ditugaskan oleh Firaun untuk membunuh setiap bayi lelaki yang lahir, dimana Firaun telah mendapat alamat akan kelahiran seorang bayi lelaki yang akan mengugat kekuasaannya.

Bersambung...


- Telah dinyatakan didalam Al-Quran bagaimana petunjuk dari Allah kepada sekelian mahluk ciptaan-Nya:


رَبُّنَا ٱلَّذِىٓ أَعۡطَىٰ كُلَّ شَىۡءٍ خَلۡقَهُ ۥ ثُمَّ هَدَىٰ

  • Tuhan kami ialah yang telah memberikan kepada tiap-tiap sesuatu: kejadian semula-jadinya yang sesuai dengannya, kemudian Dia memberi petunjuk kepadanya akan cara menggunakannya. (Surah Thaaha; ayat 50) (Hada atau hidayat adalah bermaksud petunjuk dari Tuhan pencipta alam)

Monday, December 06, 2010

Cetusan minda - 3

Untuk menghasilkan cetusan-cetusan minda yang baik dari masa kesemasa, memerlukan proses-proses pembetulan minda (taslih, taslihat), sehingga tercapai sesuatu yang benar-benar dikira bermanfaat. Pembetulan berbeza dengan pembaharuan minda (tajdid) kerana sesuatu yang memerlukan pembaharuan adalah sesuatu yang telah wujud dengan baik atau sempurna, hanya setelah melalui detik-detik waktu, ia terhakis atau menjadi lupus yang mana memerlukan pembaharuan tetapi pembetulan adalah dimana ada kesilapan atau kesalahan, diperbetulkan mahupun diperbaiki sehingga menjadi sempurna.

Pembetulan adalah juga dilakukan bila sesuatu tersebut tidak lagi relevan dengan waktu terkini atau waktu akan datang. Seperti contohnya, suatu waktu dahulu, cetusan-cetusan minda dipusatkan kepada usaha kemerdekaan tanah-air oleh pejuang-pejuang tanah-air, kerana waktu itu, tanah-air adalah dalam gengaman pihak penjajah, namun setelah kemerdekaan dicapai, maka cetusan-cetusan minda adalah kemudiannya dipusatkan kepada bagaimana untuk pengisian akan kemerdekaan atau bagaimana mengekalkan kemerdekaan yang telah dicapai.

Atau contohnya, cetusan-cetusan untuk mendapatkan kebebasan bersuara yang merupakan impian sesetengah pihak dahulu, kini telah menjadi kenyataan, dimana siapa sahaja boleh bersuara terutamanya dalam dunia komunikasi internet seperti dengan web-web, blog, facebook dan sebagainya. Maka cetusan-cetusan minda untuk kebebasan bersuara ini kini wajar diperbetulkan kearah pengisian akan kebebasan bersuara yang diperolehi. Iaitu perlunya sentiasa diperbetulkan dengan cara nasihat dan sebagainya, agar pandapat-pendapat atau cetusan minda dalam kebebasan bersuara ini benar-benar dapat dimanfaatkan untuk dibawa kearah yang lebih positif atau kearah kebaikan.

Contohnya juga, mungkin ditanah besar China, masih dipusatkan kepada usaha-usaha mendapatkan kebebasan bersuara yang mana tiada siapa sehingga kini boleh bersuara atau mengkritik kerajaan komunisnya, tetapi dikebanyakan negara lain, termasuk Malaysia, sesiapa sahaja boleh bersuara atau mengkritik kerajaan pemerintah. Hanya-sanya yang perlu dijaga ialah tidak melakukan kritikan-kritikan yang menimbulkan suasana ketegangan sesama kaum yang berbilang bangsa ataupun yang mengundang kearah keburukan mahupun keperingkat bangsa sendiri akhirnya merempat mahupun menjadi hamba dinegaranya sendiri akibat hilangnya kuasa upaya lantaran kritikan yang lahir dari fitnah-fitnah politik semata-mata atau dendam kesumat yang tiada penghujungnya antara sesama sendiri.

Untuk insan dalam melalui proses-proses pembetulan mindanya sehingga benar-benar menuju kearah kematangan atau mencapai pengertian yang sebenar adalah medan kehidupan seharian yang dilalui tidak kira dimana sahaja mahupun apa keadaan dirinya. Medan ini tentunya akan berubah-ubah mengikut suasana samada umur mahupun keadaan persekitaran atau wajar sahaja dalam keadaan berulang-ulang yang sama setiap hari, dalam mana yang menjadi kepastiannya, tidak sesaat pun detik kehidupan yang telah berlalu dapat dikembalikan.

Medan kehidupan seharian adalah guru yang paling akrab dan merupakan yang paling baik sekiranya seseorang tersebut bijak menjejaki kehidupannya sendiri biarpun apa kondisinya. Ianya adalah sebenarnya suatu lapangan latihan untuk diri belajar dan mengerti sebelum usia berakhir, iaitu sebelum kedatangan kematian, kerana bila kematian menjelang, tiada apa yang dapat dicetuskan oleh minda insan melainkan apa yang telah tersebati didalam hatinya.

Medan kehidupan juga adalah ruang untuk insan dalam proses mencapai kesedaran (Consciousness) iaitu suatu proses yang berlangsung melalui tahap pencapaian dari panca-inderanya, kemudian kepada kefahaman dan dan seterusnya kepada pengertian yang lebih mendalam. Dikatakan ruang untuk proses kesedaran adalah kerana medan kehidupan sendiri merupakan dunia realiti dan tempat pratiknya apa itu suatu kehidupan buat setiap insan dan dari ruang tersebut ia melahirkan pengalaman-pengalaman kehidupan. 

Dalam mana, semestinya ada diisi dengan suasana kebenaran serta konsep-konsep kebenaran dari sudut agama kerana pengajaran dari medan kehidupan lazimnya membentuk ilmu pengalaman (empirical) dan biarpun ilmu pengalaman melahirkan sebahagian besar ilmu-ilmu yang diketahui dan membantu insan dalam pembangunan dalam dunia hari ini, contohnya segala hasil-hasil dari bidang saintifik iaitu fizik, biologi dan sebagainya sehingga buat perkiraan tarikh-tarikh; atau bidang seni musik sehingga ke seni mempertahankan diri dan seterusnya kepada segala penciptaan alatan-alatan manusia yang ada hari ini, namun ilmu dari pengalaman manusia adalah lazimnya berbentuk lahiriah dan ianya tidak mencukupi bila membicarakan persoalan batiniah atau rohaniah yang mana manusia itu sendiri terdiri dari aspek-aspek lahiriah dan batiniah.


Bersambung...

Sunday, December 05, 2010

Cetusan minda - 2

Cetusan minda insan mampu mencipta keadaan sekitarnya, mengubah akan cara kehidupan atau mengolah arah kehidupannya. Malah cetusan minda yang dihasilkan oleh seorang insan mampu memberi kesan pada pihak lain samaada untuk individu lainnya, masyarakat mahupun keperingkat keseluruh alam.

Sejauh mana seseorang tersebut menghasilkan cetusan mindanya juga mampu meletakkan ditahap mana dirinya, contohnya, seseorang yang kurang serba-serbi dari sudut duniawi tetapi bijak mengunakan fikirannya, menghasilkan cetusan-cetusan minda yang berbentuk positif dan memberi kesan kebaikan, akan berada ditahap yang tinggi atau mulia berbanding seseorang yang mempunyai segala kebendaan duniawi atau segala kepandaian dari sudut duniawi, tetapi tidak bijak menggunakan fikirannya untuk menghasilkan cetusan minda yang membawa hasil positif atau menuju kelandasan kebenaran.

Dalam menyampaikan cetusan-cetusan minda, dengan mengunakan alat-alat samada dalam pengantaraan bahasa harian, tulisan-tulisan, gambaran-gambaran, tanda-tanda yang digunakan seperti isyarat, berbentuk bunyi-bunyian mahupun yang lain-lain dan dengan menggunakan medium-medium seperti hasil artifaknya, buku-buku, segala yang berkaitan dengan media komunikasi termasuk blog-blog, facebook dan seterusnya, seseorang insan harus sedar dan merasa tanggung-jawab dari apa yang dizahirkan dari fikirannya.

Atas rasa tanggung-jawab kesan cetusan minda yang dihasilkan, samaada untuk dirinya mahupun pihak lain, membuat diri insan saban waktu akan meningkat kesuatu tahap-tahap fikiran yang lebih tinggi dari apa yang dimilikinya atau dalam kata lain, kematangannya meningkat. Disamping, pihak seterusnya yang mengembangkan atau mengikuti cetusan minda darinya, seperti teman-teman, para pembaca, para audien atau sesiapa sahaja yang disajikan cetusan mindanya serta kemungkinan untuk generasi seterusnya, akan mendapat faedah kebaikan.

Sebaliknya, tanpa merasa apa-apa tanggung-jawab atas kesan cetusan minda yang dihasilkan, biarpun banyaknya cetusan minda yang dihasilkan atau pun kelihatan hebat diatas bergulong-gulong sijilnya, seseorang insan serta pihak lain yang terbabit mengikuti cetusan mindanya, wajar sahaja menjadi bertambah rendah taraf pemikirannya, menjadi jumud biarpun disangka diri adalah yang termaju, ketinggalan mahupun ketahap menjadi lebih hina dari haiwan diatas fikiran yang hanya berlandaskan nafsu diri semata-mata.

Seperti contohnya seorang penyanyi atau seniman yang menghabiskan hayatnya saban waktu dalam usia-usia kehidupannya untuk menghasilkan sesuatu yang dalam kategori tiada berfaedah langsung untuk para audien atau para peminatnyanya mahupun untuk dirinya sendiri, iaitu dari gaya yang ditonjolkan yang bertentangan dengan nilai-nilai kemanusian sehinggalah keperingkat bibit-bibit lirik, lukisan, skrip-skrip filem dan lain-lain yang tiada apa-apa nilai kesenian yang positif dan ini seterusnya hanyalah mengundang kejumudan untuk para audien atau para peminatnya.

Atau contohnya, seorang yang menghasilkan cetusan-cetusan minda yang hanyalah bergantung kepada maklumat yang dipelajarinya sedangkan apa yang dipelajarinya sebenarnya tidaklah sesuai untuk dipratikkan kerana ia sesuatu yang akan menghasilkan kesan pencemaran alam atau banyaknya kesan sampingan buruk darinya yang menjejaskan kehidupan semula-jadi dipersekitaran.

Cetusan minda yang menghasilkan keadaan negatif adalah pertamanya kerana insan berfikir bukan dalam konteks yang sewajarnya atau berfikir tanpa mengaitkan maksud cetusan mindanya dengan landasan akan kemana dan apa maksud hayat sebenar insan, tetapi hanya berfikir dilandasan untuk memenuhi keperluan atau hajat hidup serta permintaan nafsunya semata-mata.

Cetusan minda yang berbentuk negatif juga kerana terhasil oleh fikiran yang samada cetek pengalaman mahupun pengetahuan, kurang pengajian tentang perkara yang menjadi cetusan mindanya, tidak sensitif akan suasana atau kehidupan dipersekitaran, tidak melakukan analisa terhadap bahan cetusan mindanya sertanya tergopoh-gapah dalam menzahirkan cetusan mindanya.

Insan wajar sahaja melakukan kesilapan demi kesilapan, sebagaimana lazimnya, inilah salah-satu proses dalam suatu kehidupan yang mana tiada yang sempurna, namun sebagai suatu kewujudan dalam dunia sementara ini, proses kehidupan insan untuk menuju erti kejayaan sebenar dalam kehidupan, mewajibkan proses kearah pemurnian fikiran. Dimana proses pemurnian fikiran seterusnya akan menghasilkan cetusan-cetusan minda yang benar-benar membawa kebaikan serta membina suatu kehidupan mahupun yang lebih baik saban hari.

Bersambung...

Saturday, December 04, 2010

Cetusan minda - 1

Saban waktu, insan melahirkan cetusan-cetusan minda yang samada membawa kesan yang baik atau sebaliknya dalam kehidupan, mahupun ia hanya sesuatu yang berlalu seperti jarum jam yang tergantung didinding yang berlalu setiap saat dan sampai ketikanya ia berputar kembali ketempat yang ditinggalkan. 

Dalam mana cetusan-cetusan minda dari kaitan berfikir insan ini wajar sahaja meletus dan menghangatkan suasana kehidupan seseorang mahupun untuk masyarakat umum seterusnya ataupun ia hanya mainan minda dalam berfikir, yang hadir dalam kehidupan seharian dengan keadaan samada menyenangkan atau merumitkan minda serta membina minda atau sebaliknya.

Kekadang, insan berada dalam suatu keadaan dimana ia dikatakan tidak berfikir, namun hakikatnya, insan sebenarnya sentiasa menggunakan otaknya untuk berfikir samada tentang segala yang berkaitan dengan keperluan hidupnya mahupun kepada maksud hidupnya, iaitu sedari bangunnya dari tidur sehingga seseorang tersebut kembali tidur. Dan dari usia yang mana insan mampu berfikir sehinggalah keakhir hayatnya yang tidak mampu lagi untuk berfikir seperti dalam keadaan nyanyuk mahupun atas pengaruh sesuatu seperti mabuk, khayal, tekanan perasaan keterlaluan atas sebab sesuatu dan sebagainya.

Dikatakan seseorang insan tidak berfikir adalah mungkin ia tidak menggunakan fikirannya untuk apa yang dimaksudkan pada sesuatu ketika, tetapi ini tidak bermakna ia tidak berfikir, sebagaimana contohnya seseorang yang ralek, iaitu seorang yang fikirannya tidak digunakan untuk menumpukan perhatian pada sesuatu perkara, dalam mana itu bukan bermakna ia tidak menggunakan fikirannya, tetapi kerana fikirannya ditumpukan kepada sesuatu perkara yang lain mahupun dikatakan melayang dalam dunia fantasi atau lamunannya tersendiri.

Keadaan ini dikaitkan samada adanya kehadiran kesedaran seseorang akan keberadaannya disuatu-suatu ketika atau keadaan, dimana sebaliknya adalah bila seseorang tersebut tidak menyedari berlaku akan sesuatu mahupun tidak menyedari keadaan sesuatu diatas sesuatu faktor-faktor tertentu yang mempengaruhi mindanya.

Kesedaran (Consciousness) adalah sedar akan tingkah, perbuatan mahupun keadaan samaada dari dalaman diri mahupun untuk luaran diri seperti dunia persekitarannya. Kesedaran bila dikatakan dari perasaan dalaman diri adalah memahami tingkah atau perbuatannya seperti dari apa yang difikirkan sehingga kepada ungkapan kata-kata atau peri-laku tubuh badan, mengenal akan apa dilakukan seperti mengingati keadaan atau perbuatan, dalam keadaan sihat otak iaitu siuman atau tidak dalam keadaan memabukkan mahupun khayal yang tidak terkawal oleh diri, berjaga dari tidur, perasan akan impak dari tingkahnya dan seterusnya yang berkaitan akan makna kesedaran diri.

Manakala kesedaran yang dikatakan berkaitan untuk persekitaran adalah menyedari keadaan sekitar atau cuba memahami keadaan sekitar serta implikasi dari sesuatu dipersekitaran iaitu samada dipersekitaran dirinya, masyarakatnya mahupun keperingkat dunia umumnya. Kesedaran tentang persekitaran adalah seperti mengerti akan buruk-baik pengaruh-pengaruh hidup dipersekitaran, memahami atau mencari jalan yang dapat melindungi diri dan masyarakat dari gejala yang membawa petaka, mengerti akan impak dari sesuatu seperti arus kehidupan yang membawa kearah kebaikan atau sebaliknya dan seterusnya.

Kesedaran seseorang insan mahupun sekelompok masyarakat wajar juga digugat atau dilemahkan atas sesuatu faktor seperti pengaruh luar dari persekitaran atau aktiviti yang berlaku dalam kehidupan seharian yang melalaikan. Juga dari faktor dalaman diri iaitu dari perasaan nafsu atau kehendak hajat diri yang mana membuat anggota-anggota tubuh badan seperti kaki, tangan, lidah sehinggalah otaknya, digunakan semata-mata berfikir berlandaskan kehendak hawa-nafsunya.

Contohnya faktor tertentu yang mempengaruhi dan melemahkan kesedaran atau perhatian seseorang adalah seperti seorang anak muda yang merasa begitu bangga sekali dengan kenderaan yang dipandunya, lalu menekan minyak keretanya untuk memandu selaju yang dimahu sehingga hilang pertimbangan akalnya untuk berfikir dengan cara yang benar atau bijak menganalisakan suasana jalan-raya yang dipandunya sehinggalah terjadinya kemalangan ngeri. Dalam mana, pemuda tersebut sebenarnya masih berfikir tetapi tanpa kesedaran dan dilantasan yang salah berpandukan perasaan bangganya yang tidak bertempat, bukan diatas kesedaran.

Sebegitu juga seseorang yang dikatakan perasan, dimana ungkapan ini adalah lazimnya ditujukan kepada seseorang yang mengunakan fikirannya berlandaskan semata-mata diatas perasaannya seperti seseorang pemuda yang menyintai seorang gadis, dimana sigadis tidak langsung mengendahkan sipemuda, tetapi sipemuda beranggapan sebaliknya sampaikan kata-kata cacian sigadis, dianggap atau difikir oleh sipemuda hanyalah sebagai kata-kata merajuk sigadis yang mahu dipujuk. Atau sebaliknya iaitu seorang gadis yang perasan dirinya dipuja dan diminati ramai, sedangkan sebaliknya, diri sigadis tersebut tidak menyedari bahawa dirinya nanti hanya mahu dipergunakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggung-jawab yang berhajat untuk memuaskan nafsu mereka.

Mungkin contoh kes-kes diatas tentang faktor yang mampu melemahkan kesedaran hanyalah membabitkan individu-individu yang kecil bilangannya atau membawa kesan yang kecil, tetapi bagaimana pula kesannya bila ia membabitkan sekelompok insan yang berjumlah begitu ramai seperti contohnya sesebuah negara yang sewenang-wenangnya mencabul dan menghancurkan kehidupan rakyat dinegara lain atau kehidupan rakyat dinegaranya sendiri dihancurkan hanya diatas cetusan-cetusan minda dari fikiran sesekumpulan elite yang mabuk kuasa?

Bersambung...
Btn_brn_77x28

Tajuk

Abbasiyah (1) altruisme - ikram (3) Aqidah (1) art video (20) Austronesia (10) Bahasa dan penampilan (5) Bangsa Melayu (7) batas sempadan (9) Berita (15) Besi (1) Biography solihin (1) Budaya dan pengertiannya (16) catitan (2) cerdik/bodoh dan antaranya (6) cetusan minda (8) cinta dan syahwat (3) Doha - Qatar (2) Eid Mubarak (5) falsafah (2) Fantasia falasi (3) Fibonacci (1) Filem (2) fitrah (1) Fungsi seni (1) gangsa (1) hukum (6) huruf (2) hutang (1) ijtima (1) Iklan (2) imitasi dan memori (1) infiniti (5) jalan2 (2) kebangsaan/nationalisme (2) kebebasan bersuara (1) Kelahiran kesenian yang mengubah warna dunia. (1) Kembali sebentar tentang erti seni (Islam) (1) kerja otak (1) Kesenian dunia Islam (1) komunikasi (1) konsep kendiri (3) konspirasi (1) Lagu (1) Lentok tangan (1) Malaysia (3) Masa (10) Maslahah atau mafsadah (1) Maya (ilusi) (4) Melaka (1) Melayu (2) Melayu dan Islam (9) minda (2) musik (2) nukilan rasa (1) Pantang dalam berkarya (1) Pause (6) Pembetulan sejarah (3) Pengajian dan pengertian budaya (1) Perasaan dan pemikiran (5) Persepsi / Tanggapan (6) pointillism (2) populasi dunia (9) Produk sejarah (11) Program dan hayat (2) prosa (4) ramadan (2) realiti - kenyataan (7) Sajak (22) Sangkaan (2) sebab dan akibat (18) sejarah (14) sejarah Islam Nusantara (1) sejarah Melayu (4) Sejarah mengubah/terubah (5) Sejarah seni dalam kehidupan insan (1) Sejarah video (1) Seni Bahasa (2) Seni dalam imiginasi (1) seni kata (1) Seni logam (3) Seni textil (budaya berpakaian) (2) Seni-seni mempertahankan diri (1) sound (1) Srivijaya (3) Sunda (6) Tahap kesederhanaan (1) Tahap-tahap kehidupan (14) tenung bintang (1) Terkesan dengan suasana (2) Tradisional dalam makna (1) Ukuran dan kayu pengukurnya (2) updated (1) Usia manusia (3) vision (1) wang (7) Wujudkah kosong? (2) zarzh slide (12)

Catitan lalu

Insuran & Road Tax Online

tetangga