Showing posts with label Budaya dan pengertiannya. Show all posts
Showing posts with label Budaya dan pengertiannya. Show all posts

Saturday, November 13, 2010

Sembang budaya - 15

Memisahkan secara total antara budaya dengan agama adalah sebahagian proses sekularisasi (Secularization), dimana segala unsur-unsur agama cuba diasingkan daripada aktiviti kehidupan seharian atau dalam kata lain, menuju kepada suatu kehidupan yang bukan berlandaskan unsur-unsur agama. Mereka yang berpegang pada pendapat sekularism, berpendapat bahawa dalam proses modernisasi dan rasionalisasi, segala autoriti atau keutamaan agama, wajar dihapuskan.

Proses sekularisasi ini bermula dibenua Eropa kerana kegagalan agama Kristian untuk diselaraskan dengan kebangkitan tamadun dunia baru diEropa terutama dizaman pencerahan (Enlightenment). Contohnya pergeseran antara agama dengan kebangkitan dunia baru Eropa adalah seperti Galileo (1564-642 M) yang berpendapat bahawa bumi bukan pusat universe tetapi pendapat ini ditentang pihak gereja dan kerana autoriti yang dimiliki oleh pihak gereja, maka Galileo dihumban kedalam penjara dan segala kajian dan pendapat Galileo tersebut cuba dihapuskan.

Lalu, dalam proses sekularisasi, usaha pertama yang dilakukan adalah menukar tampok pemerintahan kepada sekularism iaitu konsep dimana antara agama dan kuasa pemerintah atau yang mempunyai autoriti tertinggi wajar dipisahkan agar suara-suara yang mengancam proses modernisasi dan rasionalisasi dapat dikawal.

Proses sekularisasi ini kemudiannya tersebar keseluruh alam dalam berbagai keadaan seperti contohnya Parti Komunis diChina yang melakukan proses menghapuskan segala kepercayaan silam atau karut orang Cina lalu ditukarkan kepada pegangan tidak beragamanya iaitu ideologi Komunis. Prose sekularisasi ini biarpun dikaitkan dengan sistem penjajah namun hakikatnya, ia bukan proses penjajahan tetapi ia proses perubahan sebagaimana yang terjadi dibenua Eropa, benua China dan seterusnya. Ia dikaitkan dengan penjajahan adalah kerana yang memperkenalkannya adalah pihak dari benua Eropa yang mana dizaman itu, lazimnya pihak penjajah adalah dari benua Eropa.

Namun bila proses sekularisasi ini cuba diserapkan kedalam dunia Islam, maka terjadinya proses kemunduran buat dunia Islam (kemunduran bukan sahaja dari sudut duniawi, malah lebih teruk adalah kemunduran dari sudut fikiran dan kerohanian) kerana hakikatnya, ajaran agama Islam yang sekiranya difahami dan diamalkan dengan cara yang sebenar, adalah mengatasi segala unsur-unsur yang dikatakan kebaikan dari sekularism. Malah dizaman keemasan kekerajaan Islam, dunia mengalami proses kearah modernisasi dan pemikiran rationalism yang dikatakan lazimnya disangka bermula dizaman Yunani, dapat diterjemahkan akan ertinya yang sebenar oleh pemikir-pemikir Islam diwaktu itu.

Hatta teleskop yang digunakan oleh Galileo (meninggal - 1442M) untuk mengkaji angkasa-raya dan peredaran bumi, telah dimulai oleh Abu Ishaq ibn Jundub (meninggal - 767M) yang juga mengkaji akan alam semesta diwaktunya. Untuk memerhati alam angkasa-raya yang begitu jauh jaraknya, Abu Ishak ibn Jundub telah menemui prinsip-prinsip untuk mencipta alat-alat asas untuk teleskop. Dan dari alat-alat asas inilah, ia berkembang sehinggalah kepada teleskop-telesop modern yang terdapat hari ini. (Muslim Contributions to science)

Sebegitu juga ahli-ahli falak yang lain seperti Al-Battani (meninggal – 929M) yang dikenali diEropa sebagai Albategni atau Albatenius dan pengarang kitab al-Zij al-Sabi, Abd Rahman Al-Sufi (903-986 M), Al-Biruni dan Ibn Yunus (meninggal – 1009M) yang mengkaji alam cekrawala. Dan ini disokong oleh pemerintah-pemerintah Islam atau yang memegang autoriti seperti dizaman keemasan Islam iaitu zaman Khalifah Al Maimun diBaghdad (830M), yang terkenal dengan Bayt Al Hikmahnya, yang merupakan sebuah perpustakaan besar buat kutipan kitab-kitab dari berbagai-bagai ilmu pengetahuan serta juga dari berbagai-bagai kajian.

Yang jelas, asas dari ajaran agama Islam bukan menghalang insan menggunakan semaksimum fikirannya, menggunakan segala alat-alat untuk memudahkan kehidupannya didunia, menggunakan tenaganya untuk mengurus alam kehidupannya, tetapi asas dari ajaran agama Islam adalah sebagai sempadan atau pedoman buat insan untuk bagaimana terus meneroka kehidupannya saban detik dialam dunia yang dianggap sementara ini, dengan keadaan yang sewajar sebagai hamba kepada Pencipta alam.

Kerana itu, tiada kata proses sekularisasi iaitu memisahkan budaya kehidupan seharian atau aktiviti-aktiviti harian dengan agama dalam dunia Islam. Malah sebaliknya, bagaimana setiap amalan dari ajaran agama Islam dapat dihidupkan dalam budaya kehidupan seharian agar dapat membantu insan meneruskan kehidupannya dalam keadaan yang terlindung dari segala keburukan mahupun kesilapan jalan hidup yang diambil.

Contohnya, solat lima waktu yang diwajibkan buat setiap muslim, disamping terutamanya insan itu sendiri sentiasa berhubung dengan Penciptanya, ia dapat menumpukan tumpuannya yang mana ini membantu menenangkan jiwa serta fikiran, membahagikan jadual waktu sehariannya kerana setiap solat adalah mengikut tertib peredaran alam (seperti dari waktu subuh kepada waktu matahari tenggelam), menjaga kebersihan diri kerana solat mewajibkan kebersihan diri disetiap waktu solat didirikan. Semua ini amatlah membawa kesan positif atau kebaikan pada setiap insan bila dihidupkan dalam budaya kehidupan sehariannya, apatah lagi dari sudut mendapat keredhaan dari Penciptanya.

Sebagaimana juga contohnya dengan solat Jumaat seminggu sekali yang diwajibkan kepada kaum lelaki muslimin (kecuali ada sesuatu keuzuran atau perkara-perkara yang menghalang seperti bermusafir dan lain-lain) mahupun solat berjemaah setiap hari atau juga musim Haji diMekah untuk lelaki dan wanita muslim, dimana setiap lapisan masyarakat tidak kira dari sudut hartanya, statusnya, warna kulitnya, perbezaan pandangan-pandangan yang dimilikinya dan seterusnya bertemu dalam suasana bersama-sama sujud mencecahkan dahi kebumi, yang mana ini membantu membina suatu budaya pemikiran yang positif iaitu akan kefahaman bahawa insan semuanya adalah sama.

Justeru itu, lantaran tiada pengasingan antara budaya kehidupan seharian dengan ajaran agama Islam buat penganutnya, maka usaha wajar dikerahkan agar ajaran agama Islam dapat dihidupkan dimana-mana ceruk kehidupan, samaada dirumah-rumah, diladang-ladang, dikedai-kedai, dipejabat-pejabat, ditempat-tempat pengajian dan seterusnya kerana segala yang berkaitan dengan ajaran agama Islam (samaada berbentuk fardu, sunnah, harus mahupun berbentuk larangan dan seterusnya) sekiranya dilakukan dengan cara yang benar dan dihidupkan dalam budaya kehidupan seharian, ia membantu penganut agama Islam itu sendiri samaada untuk individu mahupun buat kelompok-kelompok masyarakat dimana-mana sahaja mereka berada.


Monday, November 01, 2010

Sembang budaya - 14

Mangkuk salad (salad bowl) atau mosaik budaya (Cultural mosaic) adalah suatu konsep dimana integrasi berbagai-bagai jenis budaya dalam masyarakat multi-kultur. Ia adalah amat berbeza dengan konsep mencampurkan segala budaya menjadi satu (melting pot).

Mosaik budaya adalah dimana masing-masing mengekalkan identiti budaya masing-masing namun dapat hidup bersama antara berbagai-bagai budaya dalam keadaan bertoleransi antara satu sama lain disamping menerima akan kewujudan budaya lain.

Biarpun adanya unsur-unsur plurarlisme dalam mozaik budaya iaitu suatu struktur yang wujudnya interaksi antara berbagai budaya yang menunjukkan rasa saling menghormati dan toleransi serta tidak menghasilkan konflik asimilasi antara satu sama lain namun untuk penganut Islam, terdapat perbezaan akan erti pluralisme yang mana setiap agama tidak dianggap sama atau kata lain, tiada pluralisme untuk agama.

Sebagaimana agama Islam bersikap toleransi terhadap agama-agama selain Islam, namun dalam pada itu, agama Islam tidak menganggap semua agama adalah sama. Mengikut pandangan agama Islam, jelas wujudnya perbezaan antara agama Islam dengan agama-agama yang lain, iaitu agama Islam tidak menganggap Tuhan yang disembah oleh penganut agama Islam adalah Tuhan yang sama disembah oleh penganut agama-agama lain (lakum diinukum wa liya diin - untuk kamu agama kamu dan untuk aku agamaku).

Prinsip mosaik budaya ini telah melahirkan kejayaan dalam proses multi-kultur dimana berbagai-bagai budaya dapat hidup bersama dengan suasana yang aman. Dimana juga, nilai-nilai yang baik atau positif dari kewujudan berbagai budaya dapat diharmonikan dibawah kelompok-kelompok masyarakat yang hidup bersama dalam bentuk kepelbagaian budaya.

Kelompok-kelompok berbagai masyarakat yang tinggal diKanada atau Malaysia dalam keadaan lebih aman dibandingkan ditempat-tempat lain yang kerap berlaku permusuhan atau pergeseran antara masyarakatnya, adalah contoh proses mozaik budaya yang mana adanya permuafakatan atau kesefahaman untuk hidup bersama dalam suatu keadaan wujudnya berbagai-bagai kebudayaan.

Dalam pada itu, untuk mengekalkan keharmonian dalam kepelbagaian budaya terutama didaerah wujudnya masyarakat asal yang telah mempunyai  kekerajaan yang berdaulat, maka lazim adanya kontrakt social (Social contract) iaitu suatu perjanjian kesefahaman akan hak-hak penduduk asal serta juga hak-hak penduduk yang datang berhijrah kesitu, samada dalam bentuk bertulis atau tidak.

Kontrakt social ini bukan menafikan atau menolak kehadiran budaya mereka yang berhijrah kesitu, tetapi melindungi agar budaya penduduk asal tidak tergugat contohnya bahasa asal disesuatu tempat serta juga kenyataan akan kedatangan penduduk yang berhijrah kesitu bukan dalam bentuk penjajahan atau sebagai bangsa yang ingin mendominan budaya dan kuasa tetapi kedatangan adalah dari faktor-faktor seperti untuk mencari rezeki, untuk mencari penempatan baru, untuk mencari perlindungan (contohnya pelarian-pelarian politik atau ekonomi) dan seterusnya dalam keadaan aman dibawah naugan negara baru yang dimukimi.

Keruntuhan budaya (Culture collapse) pula adalah bilamana tiadanya ciri-ciri yang positif atau yang mendukung kearah kebenaran didalam budaya sesuatu masyarakat. Mahupun didalam sesuatu budaya yang ciri-ciri positifnya bercampur dengan banyaknya ciri-ciri negatif.  Ianya berkaitan juga dengan kerendahan moral (moral decline) iaitu semakin berkurangnya nilai-nilai yang baik dalam sesuatu kebudayaan dan tersebarnya perilaku penampilan masyarakat yang melanggar tata-susila kehidupan atau melanggar kesopanan.

Contohnya, suatu negara yang begitu pesat dengan segala kemodernan serta kemakmuran hidup rakyatnya, namun majoriti rakyatnya mempunyai moral yang rendah dengan banyaknya maksiat, perjudian, rasuah dan lain-lain, maka negara itu sebenarnya mengalami keruntuhan budaya biarpun penduduk negara tersebut menganggap sebaliknya. Dalam mana, akan menjadi begitu tingginya kes-kes jenayah, kes buli, kes ragut dan lain-lain mahupun sehingga kepada kes-kes bunuh diri.

Keruntuhan budaya membawa kepada keruntuhan masyarakat (Social collapse) dan seterusnya membawa kepada kebinasaan atas segala yang dibina sebagaimana lazimnya sebagai punca akan kehancuran atau kejatuhan tamadun-tamadun yang silam.

Bersambung...

Friday, October 22, 2010

Sembang budaya - 13

Hari ini pertembungan budaya bukan antara Timur dengan Barat tetapi pertembungan budaya adalah dimana bertemunya perbezaan-perbezaan ciri-ciri sesuatu budaya diatas nilai-nilai yang didukung mahupun unsur-unsur yang dibawa serta dipertengahkan dan pertembungan budaya ini berlaku dimana-mana hatta didalam suatu kelompok masyarakat yang sama.

Masing-masing mengadili akan kebenaran budaya hidupnya diatas dasar keadaan seperti suasana atau persekitaran yang mempengaruhi, keadaan dalam memenuhi keperluan hidup, keadaan dari tekanan-tekanan hidup, akal mahupun nafsu yang berperanan melahirkan hajat atau keinginan akan sesuatu cara hidup, adat atau tradisi dari jalur keturunan, agama yang dianuti, pengetahuan atau pengalaman yang dimiliki, taraf kehidupan dan seterusnya.

Biarpun perbezaan ciri-ciri sesuatu budaya dengan budaya yang lain sebenarnya adalah bergantung kepada nilai-nilai yang ada pada sesuatu budaya, namun pada asasnya, nilai-nilai diatas fitrah insan dimana sahaja adalah sama, hanya-sanya segalanya berubah dalam ruang dan waktu akan kewujudan insan mengikut apa yang dialaminya, apa yang mengolah jiwa dirinya, fikirannya serta kehendak nafsu diri dalam mana perkara -perkara ini mampu mempengaruhi akan keadaan individu atau mahupun suatu kelompok masyarakat samaada kecil atau besar jumlahnya.

Lazimnya masyarakat dunia membahagikan pertembungan budaya kepada zon seperti zon Timur dengan zon Barat sedangkan hakikatnya, terutama dizaman penjajahan bentuk kuno telah berakhir dan bermulanya zaman globalisasi, fakta akan pertembungan budaya antara Timur dan Barat tidak lagi begitu releven. Mungkin dominan akan sesuatu kekuatan seperti ketenteraan dan ekonomi dari sesuatu zon, maka penamaan diberi seperti zon Timur atau Barat, namun hakikatnya, budaya hidup yang ada disesuatu zon adalah tidak jauh berubahnya dengan zon lain terutama bila dimana-mana wujudnya multi-kultur atau percampuran kepelbagaian bentuk budaya.

Seperti bila memperkatakan budaya Amerika Syarikat dan benua Eropa yang berada dalam zon Barat, dalam mana hakikatnya hari ini, budaya hidup diAmerika Syarikat benua Eropa adalah tidak jauh bezanya dengan budaya-budaya yang hidup ditempat lain, malah contohnya kebudayaan Islam hari ini adalah juga merupakan sebahagian dari multi-kultur diAmerika Syarikat dan benua Eropa, yang mana ramainya jumlah penduduk Islam disitu hidup dengan cara kebudayaan Islam. Mahupun dunia zon Timur, apa yang dikatakan budaya pihak barat, lazimnya hari ini merupakan sebahagian dari corak budaya hidup disitu, contohnya kebudayaan Kristian yang hari ini telah tersebar luas dalam kehidupan seharian samaada disedari atau tidak, serta malah ramainya jumlah penduduk yang menganut agama Kristian seperti dinegara Filipine dan tempat lain-lain.

Pertembungan budaya dunia hari ini adalah lebih wajar dinamakan diatas pembahagian seperti antara negara maju, membangun atau mundur, kepada kuatnya pegangan nilai-nilai kemanusian atau tidak, kepada kuatnya pegangan moral mahupun tata-susila kehidupan sesuatu masyarakat atau tidak, peranan dari segala bentuk produk aktiviti insan samada membawa kebaikan atau tidak, antara yang mempunyai kekuatan pengaruh atau sebaliknya dan seterusnya. Terutamanya budaya hidup dalam bentuk globalisasi samada datangnya dari sudut ideologi, pandangan hidup, pengetahuan dari pusat-pusat pengajian, maklumat-maklumat dari mass media atau internet, tekanan-tekanan hidup, cara berpakaian, musik-musik hiburan, filem-filem yang tersebar luas dan seterusnya, adalah kenyataannya tiada jauh berbeza dimana sahaja disudut dunia hari ini.

Contohnya pertembungan budaya yang berlaku disesuatu tempat atau dalam kelompok masyarakat yang sama adalah seperti kaum Cina diMalaysia yang hanya terikat pada undang-undang sivil lalu bebas meminum arak, berjudi mahupun perlakuan zina, bertembung dengan budaya kehidupan kaum Melayu yang mana perkara-perkara tersebut adalah merupakan perkara terlarang (tabu) sesejak dahulu, dalam mana juga kaum Melayu terikat bukan sahaja dengan undang-undang sivil tetapi juga dengan undang-undang syariat. (tidak dinafikan kaum Cina juga mempunyai budaya kehidupan berunsur kebaikan-kebaikan yang lain serta ramai kaum Cina menghindari budaya hidup bebas ini, sebagaimana ramai juga kalangan kaum Melayu yang terbabit dalam gejala social, namun yang diperkatakan disini adalah akan pertembungan budaya hidup yang ketara disamping kewujudan undang-undang yang berbeza diatas pertembungan budaya disesuatu tempat) 

Pergelisihan dari pertembungan budaya yang memperkatakan antara hak dengan yang batil (yang membawa unsur-unsur kebaikan dengan sebaliknya) sentiasa berlaku setiap zaman serta tempat dan sejarah telah menyaksikan bahawa pihak-pihak yang mendokong hak atau kebenaran akan sentiasa berada dipihak yang menang biarpun kekadang ia mengambil tempoh masa yang lama dan pengorbanan yang tinggi untuk usaha itu. Ini adalah diatas dasar setiap insan, fitrahnya ingin menuju kearah kebenaran, mencari kebenaran dan menyedari apa itu kebenaran biarpun pada awalnya, dikaburi kebatilan atas sesuatu sebab dalam keadaan atau masa yang dilalui.

Justeru itu, persoalannya apakah pihak yang berada dipihak budaya yang benar sentiasa berlanjutan memperjuangkan kebenaran dan mempertahankan kebenaran atau ia menyerah kalah lalu mengasimilasikan diri kedalam budaya pihak yang penuh kebatilan? Sebegitu juga, apakah pihak yang berada dipihak budaya yang benar bersedia memperbaiki kelemahan mahupun kesilapan atau tetap berkeras dalam mana kelemahan mahupun kesilapan, disertai sikap ekstrem, memudahkan pihak batil menghancurkannya?

Bersambung...

Monday, October 18, 2010

Sembang budaya - 12

Budaya bangsa terbahagi kepada dua pengertian iaitu pengertian pertama adalah dimana suatu kelompok masyarakat yang menghuni disebuah negara yang bersempadan, berkongsi akan cara budaya hidup seperti dari bahasa resmi yang dipertuturkan sehingga pada cara struktur kehidupan seharian, biarpun dalam bentuk multi-kultur kerana terdapat berbagai-bagai kaum dibawahnya.

Contohnya perkataan budaya bangsa Indonesia atau budaya bangsa Malaysia sedangkan hakikatnya, kaum-kaum yang berasal dari Nusantara adalah hampir sama akar budayanya. Perbezaan atas penamaan ini adalah kerana geo-politik yang menjelaskan sempadan sesebuah negara dan dari itu, dirujuk erti bangsa kepada negara yang dimukimi (nation state). Segalanya dipisahkan diatas nama sesuatu bangsa yang berkaitan dengan sesebuah negara atau sempadan negara, bukan pada bangsa yang berkaitan dengan keturunan atau sesuatu kaum.

Manakala pengertian kedua budaya bangsa adalah berkaitan kepada keturunan, etnik atau sesuatu kaum, biarpun bukan dalam satu negara atau mahupun terpisah tempat mukim mereka dari sudut geografi dan politik namun mereka tetap disatukan atas nama etnik atau kaum mereka seperti contohnya budaya bangsa Tuareg dipadang sahara yang mana kedudukan mereka adalah antara negara Algeria, Mauritania serta Moroko atau juga seperti bangsa Kurdish yang mana adalah bangsa yang menduduki wilayah yang termasuk dalam negara Iraq, Iran dan Turkei.

Budaya induk bangsa sekiranya dikatakan budaya bangsa sesebuah negara (nation state), maka lazimnya ia merupakan budaya pihak majoriti dalam sesebuah negara. Yang mana, unsur-unsur budaya bangsa ini adalah budaya induk yang mendominan disesuatu tempat, tidak kira samaada dari masyarakat yang berasal dari situ sesejak beribu tahun, atau berhijrah dari tempat lain lalu menetap disitu atau mahupun dominan sesuatu budaya bangsa keatas bangsa lain dengan pengaruh seperti ketenteraan, ideologi, komunikasi seperti mass-media dan lain-lain serta juga pengaruh sesuatu pegangan seperti agama yang dianuti dan seterusnya.

Seperti benua Eropa yang budaya induknya adalah dari budaya penduduk asal benua Eropa yang merupakan pihak majoriti dalam mana begitu banyak sub-kultur didalamnya hari ini terutamanya dengan penghijrahan penduduk dari benua lain kesitu, manakala benua Amerika yang budaya induknya adalah lebih kepada penduduk yang berasal dari luar benua Amerika seperti dari Eropa mahupun dari Afrika dalam mana budaya induk bangsanya bukan budaya kaum asli seperti Red-Indian yang merupakan pihak minoriti disitu, sebagaimana juga dengan Singapora yang budaya induknya bukan lagi budaya penduduk asal iaitu budaya orang Melayu-Islam tetapi budaya induknya adalah budaya penduduk Singapora yang berasal dari Tanah Besar Cina.

Kesan budaya induk sesuatu bangsa adalah contohnya, biarpun sesebuah negara itu digelar negara Islam, tetapi pihak majoriti dalam negara tersebut tidak mengamalkan ajaran Islam, malah wujud banyak unsur-unsur yang bertentangan dengan ajaran Islam seperti tiada larangan berjudi, makan ditempat terbuka dibulan Ramadan, pasangan yang belum bernikah bebas tinggal bersama dan seterusnya, maka negara itu hakikatnya bukanlah negara Islam kerana ciri-ciri utama budaya induk bangsa tersebut tiada langsung mengambarkan ciri-ciri keIslaman.

Namun sebaliknya, biarpun sesetengah pihak tidak bersetuju akan sesebuah negara itu disebut sebagai negara Islam, tetapi pihak majoriti dalam negara tersebut adalah beragama Islam dan jelas melaksanakan banyaknya unsur-unsur ajaran agama Islam atau mahupun perkara-perkara yang selari dengan ajaran agama Islam, maka negara tersebut tetap layak disebut negara Islam kerana budaya induknya cenderung kepada ciri-ciri keIslaman biarpun negara tersebut belum sampai tahap melaksanakan sepenuhnya hukum-hukum dari ajaran agama Islam.

Sebagaimana jelas melalui fakta akan kebenaran bahawa Malaysia adalah negara Islam diatas ciri-ciri budaya induk Melayu-Islam, ditambah lagi akan dari sejarah-sejarah yang telah beratus-ratus tahun usianya akan kewujudan Kekerajaan yang berdaulat yang mengamalkan sistem bercirikan ajaran Islam. Membantah akan kebenaran bahawa Malaysia adalah negara Islam diatas fakta budaya induk bangsanya bercirikan budaya Islam (Melayu-Islam) adalah seperti seorang peguam yang membantah akan sesuatu fakta kebenaran, biarpun peguam tersebut tahu akan kebenaran tersebut namun tetap cuba diputar-belitkan fakta kebenaran dengan segala kepakarannya melalui undang-undang kerana membela anak guamannya yang bersalah.

Justeru itu, sekiranya Malaysia dikuasai oleh majoriti masyarakat bukan Islam, melalui sistem pilihanraya demokrasi dan tiadanya sistem berpelembagaan beraja, maka budaya induknya akan berubah kepada budaya masyarakat bukan Islam, dalam mana budaya Melayu-Islam akan menjadi salah satu sub-kultur iaitu budaya sampingan dengan budaya induk tersebut. Dalam erti kata yang lain, budaya induk yang mendominan lebih berkuasa untuk menyusun struktur kehidupan masyarakat disesuatu tempat tersebut seperti contohnya, tiada lagi undang-undang syariat atau terbatas hanya untuk perkara-perkara seperti perkahwinan atau kematian sedang segala yang lain diurus dibawah undang-undang sivil dan sekiranya begitu, Malaysia tidak layak lagi digelar sebagai negara Islam.

Bersambung...

Thursday, October 14, 2010

Sembang budaya - 11

Tekanan budaya bermaksud budaya kehidupan yang menghasilkan tekanan dan dari situ timbulnya impak positif atau negatif, contohnya impak negatif adalah seperti "anorexia nervosa" iaitu menahan lapar atau hilang selera atas beberapa sebab seperti salah satu darinya, keterlaluan menjaga kelansingan tubuh-badan untuk kelihatan menarik kerana dari tekanan budaya persekitarannya yang menghendaki penampilan bertubuh langsing.

Mahupun sesuatu yang menyebabkan timbulnya gejala-gejala social diatas kesulitan-kesulitan yang timbul dari tekanan sesuatu budaya contohnya perhubungan seks sebelum nikah kerana adat-adat setempat yang menyebabkan kesulitan untuk bernikah sedangkan kehidupan dipersekitaran adalah terlalu bebas bercampurnya antara lelaki dan wanita bukan muhrim, disamping unsur-unsur yang membawa kepada ransangan untuk seks seperti dari media-media atau internet adalah berleluasan.

Sebegitu juga dengan kepercayaan karut serta khurafat yang telah menjadi umum kerana tekanan budaya dari sesuatu kepercayaan, atau rasuah-rasuah yang diperas oleh pihak tertentu mahupun peniaga-peniaga yang melakukan penipuan dalam perniagaan mereka adalah dari tekanan budaya hidup yang mengejar kebendaan.

Disamping itu, tekanan budaya bermaksud juga dimana atas sebab sesuatu tekanan, maka terwujudnya suatu budaya kehidupan yang baru atau menyebabkan sesuatu budaya tersebut berlanjutan dihidupkan dalam rangka-rangkanya tersendiri contohnya sub-budaya yang wujud disamping budaya induk. Dalam mana, dari tekanan kerana faktor-faktor tertentu keatas sesuatu budaya hidup, ia juga memungkinkan kehadiran sesuatu tindak-balas yang positif atau yang membawa kebaikan.

Tidak dinafikan, banyaknya kehadiran budaya-budaya yang wujud dipersekitaran dunia hari ini adalah berkaitan dengan tindak-balas dari tekanan keatas budaya hidup yang dilalui. Contohnya seperti revolusi keatas sesuatu kehidupan yang menekan, mewujudkan berbagai bentuk budaya baru yang lebih merdeka bentuknya diseluruh dunia, atau kebangkitan-kebangkitan perjuangan untuk mempertahankan budaya hidup setempat dari dipengaruhi oleh budaya sipenjajah dalam mana sekaligus, proses ini lazimnya adalah juga proses memperbaharui budaya hidup setempat untuk bersaing dengan budaya-budaya penjajah atau bekas penjajah yang bersifat negatif.

Sebegitu juga dengan kewujudan beribu jenis sub-kultur diseluruh dunia, terutamanya jenis sub-kultur yang dikategorikan sebagai budaya tandingan kepada budaya induk disesuatu tempat adalah lazimnya berkaitan dengan tekanan-tekanan keatas budaya hidup yang dimiliki lalu samada dirancang mahupun tidak, ditampilkan secara terbuka atau bergerak dalam senyap, ia membawa impak kepada berbagai-bagai bentuk penampilan samada dari cara berpakaian, bertutur-kata, berfikir, tulisan-tulisan, bunyi-bunyian, penghasilan bahan artifak dan seterusnya.

Kewujudan sub-kultur dalam budaya induk setempat kebiasaanya adalah kerana perbezaan usia, jantina, bangsa atau kaum, kelas social, perbezaan agama, perbezaan ideologi, perbezaan minat atau hajat dan seterusnya, manakala sub-kultur yang dikategorikan sebagai budaya tandingan kepada budaya induk adalah dimana suatu pihak seperti pihak budaya induk tidak dapat memberikan apa yang dihajati untuk dijadikan sebagai suatu cara hidup, lalu atas perbezaan pandangan ini, maka wujudnya sub-kultur atau suatu budaya yang menawarkan cara hidup yang lebih baik, mahupun juga sebagai cara hidup yang dihajati.

Contohnya, sesuatu masyarakat yang budaya induknya terlalu mengejar kebendaan sehingga wujudnya tekanan kerja yang stress setiap hari, institusi keluarga yang runtuh dengan meningkatnya jumlah perceraian, ramainya remaja yang rosak moral kerana orang tuanya sibuk bekerja siang-malam dalam mana tiada masa mendidik anak-anak mereka, menyebabkan sekelompok insan mewujudkan sub-kultur iaitu cara budaya hidup yang berbeza dari budaya induk tersebut, untuk melindungi mereka dan ahli keluarga mereka dari kehancuran seperti yang terjadi kepada masyarakat yang mengikuti arus budaya induk tersebut.

Bersambung...

Monday, October 11, 2010

Sembang budaya - 10

Ungkapan seorang bayi yang lahir, fitrahnya suci bak kain putih yang kemudiannya dicorak-warnakan oleh keadaan sekitar, seperti orang-tuanya, teman-teman dan lain-lain adalah misal yang paling baik untuk menyatakan bagaimana budaya hidup disesuatu tempat mahupun dari sesuatu keadaan dapat mencorak akan penampilan dari sudut lahiriah seperti cara berpakaian, bertutur-kata dan sebagainya, serta juga mempengaruhi jiwa dan fikiran sekelompok masyarakat mahupun individu-individu dalam masyarakat tersebut.

Seperti mereka-mereka yang dalam suatu persekitaran budaya kehidupan yang sihat atau positif adalah lazimnya menuju kearah membentuk ketenangan jiwa serta kecerdasan fikiran, disamping dapat membantu antara satu sama lain menuju kearah suatu kehidupan yang lebih damai, biar pun kekadang timbulnya masaalah-masaalah yang lumrah terjadi dimana-mana, namun dapat diselesaikan atau dapat diminimumkan sesuatu permasaalahan tersebut.

Sedang sebaliknya atas faktor-faktor budaya kehidupan dalam gejala tidak sihat atau negatif maka akan terjadinya banyak tekanan-tekanan jiwa yang dialami dalam sesuatu masyarakat, biarpun masyarakat tersebut kelihatan begitu maju serta modernnya hidup mereka (terdapat perbezaan makna antara tekanan jiwa dengan tidak waras, kecuali pada tahap tekanan jiwa yang teramat berat sehingga mencapai tahap hilang kewarasan), seperti tekanan jiwa dari bentuk kegelisahan jiwa, kemurungan, kebingungan, kesedihan yang berlanjutan dan seterusnya malah sehingga tahap membunuh diri mahupun menampilkan segala tingkah-laku yang menyalahi norma kehidupan seperti hubungan sejenis, penagihan dadah, kelahiran anak luar nikah yang meningkat dan sebagainya.

Ini kerana, bila seseorang insan terjebak dalam budaya hidup gejala tidak sihat, wajar membuat dirinya saban waktu dalam keadaan melakukan perkara-perkara yang terlarang atau terperangkap dalam kehidupan yang cenderung kepada kemungkaran, dalam mana semakin lumrah perbuatan terlarang atau kemungkaran dalam hidupnya, semakin gelap hatinya dan ini akan bercanggah dengan fitrah aslinya yang mana menghasilkan konflik dalaman sehinggalah terjadinya tekanan-tekanan jiwa dalam dirinya samada disedari atau tidak. Keadaan negatif sebegini menular dan berkembang dengan lebih meluas dikalangan masyarakat, bila dikatakan ia terjadi untuk jumlah kelompok individu-individu yang besar.

Sebagaimana juga budaya hidup sekitar yang mencabar dimana kezaliman, penindasan, ketidak-adilan, keegoan dan seterusnya wajar membuat tekanan-tekanan yang darinya lahirlah personaliti-personaliti yang resah mahupun mentaliti-mentaliti mementingkan diri sendiri, diatas nama untuk hidup. Atau pun sebagaimana insan-insan yang lahir dizon-zon peperangan adalah berbeza dengan insan-insan yang tinggal dizon-zon aman, atau kawasan yang padat dan penuh jenayah adalah berbeza dengan insan-insan yang tinggal dikawasan yang aman dan selamat dari jenayah-jenayah.

Dalam mana, tidak kira apa taraf atau keadaan sekelompok masyarakat tersebut mahupun untuk individu-individu, selagi tiadanya usaha-usaha saban waktu untuk membentuk budaya hidup yang membawa kearah kebaikan, atau usaha-usaha mengekang mahupun meminimunkan gejala-gejala budaya negatif, maka kesan samaada untuk diri mahupun untuk generasi seterusnya adalah dalam suatu risiko yang besar.

Memang diakui, hakikatnya, ramai yang lahir dalam gejala budaya persekitaran yang tidak sihat atau negatif adalah bukan pilihan mereka, sebagaimana seseorang yang lahir dari keluarga yang berpecah-belah tentunya bukan pilihan dirinya, kerana tiada siapa yang dapat menentukan atau menukar taqdir akan dimana dan bagaimana dia dilahirkan, hanya-sanya usaha perlu dilakukan oleh setiap pihak untuk menuju kepada suatu kehidupan yang lebih baik terutamanya buat jiwa dan fikirannya. (Segalanya adalah taqdir, namun insan diberi ikhtiar kerana dunia ini adalah medan ujian)

Justeru dari itu, budaya mendakwahkan kebenaran dalam kehidupan seharian, tidak kira apa keadaannya, contohnya samaada dalam keadaan aman atau tidak, adalah suatu usaha yang benar-benar membantu kearah kebaikan bila ianya dilakukan secara ikhlas dan berhikmah, dalam mana yang berdakwah mendapat faedah dari sudut kerohanian seperti jiwa dan fikirannya serta lahiriahnya lebih terlindung dari melakukan kemungkaran, manakala insan lain juga mendapat faedah dari usaha dakwah tesebut. Dan disamping itu, dapat mewujudkan dimana-mana samada dikota besar atau pun kawasan pendalaman, suasana-suasana persekitaran dalam budaya hidup yang sihat atau positif.

Brsambung...

Thursday, October 07, 2010

Sembang budaya - 9

Hakikatnya, agama Islam yang melahirkan kebudayaan Islam bukan sebaliknya. Sebagaimana dari segala yang termaktub didalam al-Quran dan hadith, maka lahirlah suatu budaya hidup cara Islam samaada dari sesuatu yang berunsur perintah atau larangan, dari segala cara hidup Nabi Muhamad s.a.w, atau mahupun sesuatu selari dengan garis-garis panduan yang ada didalam ajaran agama Islam.

Kerana itu, adanya perbezaan antara penganut agama Islam yang menghidupkan kebudayaan Islam dalam kehidupan mereka dengan mereka yang bukan Islam tetapi hidup dalam budaya yang selari dengan agama Islam. Mahupun pihak yang ketiga iaitu mereka yang beragama Islam tetapi tidak hidup dalam budaya hidup cara Islam atau bercampur-campur kebudayaaan hidupnya yang mana, ada lebih cenderong kepada budaya hidup cara Islam, manakala ada cenderong kepada budaya hidup yang diluar konteks ajaran agama Islam.

Lantas dari itu, pertanyaannya, apakah kebudayaan Islam atau ciri-ciri budaya hidup yang lahir dari agama Islam, apakah yang dikatakan budaya yang selari dengan garis-garis panduan yang ada didalam ajaran agama Islam (seperti dari tradisi tempatan atau adat penduduk Islam disesuatu daerah) serta apakah budaya hidup yang selari dengan kehendak agama Islam sedang budaya hidup tersebut bukan dari agama Islam atau daerah penduduk agama Islam?

Pertama-tamanya haruslah difahami akan hubung-kait antara agama Islam dengan fitrah asli kejadian insan itu sendiri yang mana, agama Islam adalah agama hanif, iaitu cenderong kepada kebenaran serta kebaikan. Manakala fitrah asli insan itu sendiri sebenarnya cenderong kepada kebenaran dan cenderong untuk menuju kepada Pencipta dirinya. (Agama Islam ini sebenarnya wujud seawal kewujudan insan didunia ini sendiri iaitu dari Nabi Adam a.s. Dan kedatangan Nabi Muhamad s.a.w yang merupakan Nabi terakhir adalah pelengkap kepada segalanya)

Tetapi, biarpun keadaan insan itu secara fitrah aslinya cenderong kepada kebenaran, namun diri insan itu juga adalah bersifat naif yang mana biar sehebat mana ilmunya, sekaya mana hartanya, sekuat mana dirinya, namun hakikat ia adalah penuh kekurangan dan kelemahan sebagaimana perkataan insan itu sendiri berkait dengan perkataan nisyan iaitu lupa.

Naifnya insan adalah seperti lazimnya ramai yang hidup mengharungi sesuatu pengaruh kebudayaan hidup dipersekitarannya, dalam mana masing-masing mahu dikatakan hidup dalam budaya yang terkini sedangkan budaya yang dikatakan terkini itu adalah suatu yang akan ketinggalan zaman juga akhirnya. Dalam kata lain, naifnya insan adalah kerana ramai yang tidak mengerti apakah atau kemanakah budaya kehidupan yang dilalui, hanya mengikuti apa sahaja dipersekitarannya, biarpun itu membawa kearah kehancuran. (Berbeza dengan para anbiya, mereka sentiasa sedar dan peka tentang keadaan kehidupan dipersekitaran mereka)

Dalam mana, masing-masing sanggup menghabiskan segala tenaga, fikiran serta kewangan untuk mencapai kehidupan mengikut aliran budaya yang diminati atau diri dipengaruhi, namun akhirnya, usianya berlalu kosong tanpa disisi dengan sesuatu yang benar-benar berfaedah dan malah dari itu, fikiran serta hatinya terbelenggu dalam kegelapan sebagaimana seorang yang begitu mencintai musik, hatinya sentiasa terdendang irama musik yang diminati sedangkan hakikatnya, hatinya mati kerana tidak digunakan untuk berzikir kepada Allah.

Dan dari itu juga, insan bukan sahaja membawa dirinya melangkah setiap hari kedalam budaya hidup yang membawa kehancuran atau membawa kearah kekosongan jiwa, tetapi juga meninggalkan kesan-kesan atau pengaruh yang negatif pada insan-insan lain untuk mengikuti langkah-langkah kearah kehancuran.

Ini kerana sesuatu bentuk budaya kehidupan, mampu mengubah akan pendirian seseorang mahupun sekelompok masyarakat samaada berbentuk positif atau negatif. Contohnya budaya atas mengikut suatu aliran musik atau suatu gaya hidup yang bertunjak kepada sesuatu hiburan semata-mata maka akan melahirkan jiwa yang ujub serta hipokrit. Dalam mana seseorang itu wajar sahaja merasa ujub diatas kehebatan dirinya apatah lagi bila seseorang tersebut, namanya terkenal dimana-mana dalam mana juga, segala upayanya adalah semata-mata dibawah perkataan berhibur sedangkan segala yang dibawanya hanyalah kekosongan makna hidup atau tidak membawa apa-apa faedah pun.

Sebegitu juga mereka-mereka yang terpengaruh diatas gaya sesuatu budaya hidup mahupun sebagai peminat setia contohnya dari sesuatu aliran musik atau fashion, akan mereka begitu bangga dengan keadaan diri mereka yang disangkakan paling kehadapan serta terkini dan segala tindakan keatas bentuk budaya hidup tersebut adalah semata-mata untuk berhibur, berpoya-poya mahupun menunjuk-nunjuk yang mana ini semua melahirkan jiwa yang ujub, hipokrit mahupun jumud biarpun dirasakan hebat diatas dorongan semangat-semangat palsu.

Ini berbeza bila seseorang mengambil atau mengikuti sesuatu budaya hidup namun bukan semata-mata sebagai “Pak Turut“ atau bukan semata-mata dalam bentuk hiburan seharian, tetapi didalami akan pengertian mengapa dibawa sesuatu budaya tersebut kedalam kehidupan seharian, yang mana ini dapat membantu membina jiwa serta fikiran. Seperti samaada untuk suatu perjuangan hidup, suatu kelangsungan hidup, suatu yang membawa kehidupan kearah kebenaran, suatu yang membawa jiwa kearah ketenangan hakiki, suatu yang membawa kedamaian, suatu yang membawa jawapan kepada pencarian diatas makna kehidupan didunia ini, suatu yang dapat membantu mencapai tahap fikiran yang benar dan seterusnya.

Bersambung...


Tuesday, September 28, 2010

Sembang budaya - 8

Pemaknaan budaya adalah bergantung dari perspektif mana ia dilihat dan ditafsir. Contohnya pemaknaan yang wujud dari sudut bahasa telah ada perbezaannya walaupun lazimnya dimengertikan sebagai makna yang sama seperti dari bahasa Melayu yang diambil dari bahasa Sanskrit bererti antara budi dan akal dimana pemaknaan kebudayaan itu lebih cenderong kepada perkara-perkara positif atau kesenian, dari bahasa Latin yang digunakan didalam bahasa Inggeris disebut kultur bererti pengolahan cara hidup dalam aktiviti kehidupan samaada membawa kepada bentuk positif atau negatif sedang dalam bahasa Arab, ia disebut tsaqaafah iaitu ertinya cenderong kepada sesuatu aktiviti atau kehidupan insan yang membina kepada peradaban hidup.

Manakala dari perspektif erti budaya secara menyeluruh, ia adalah bersangkutan kepada kehidupan insan iaitu berkaitan dengan perasaan, pemikiran, perilaku, penampilan, struktur kehidupan, hasil-kerja dan seterusnya dalam mana merangkumi tindakan-tindakan dari kehidupan seperti keadaan kehidupan yang dilalui, amalan seharian seperti cara disiplin hidup, kerja atau usaha yang dilakukan sehingga pada cara pemakanan, pemikiran saban waktu dan penghasilan yang dilakukan seperti bahan artifak sehingga kepada segala peralatan yang diperlukan.

Dari itu, perubahan-perubahan sosial yang berlaku dalam sesuatu kelompok masyarakat mahupun individu-individu adalah berkaitan dengan perubahan-perubahan kebudayaan yang dihidupkan atau telah sedia-ada dipersekitaran seperti samaada sesuatu perubahan yang membawa kearah peradaban yang membina atau perubahan yang membawa kepada kehancuran mahupun gejala kemerosotan moral dikalangan masyarakat atau individu-individu.

Contohnya, mengikut kebudayaan dari sesuatu kepercayaan atau adat tradisi setempat, perkara-perkara yang merangsangkan pada perilaku perbuatan seks, adalah begitu dikawal (tabu) samaada tidak langsung membicarakannya atau hanya kalangan pasangan yang bernikah tetapi hari ini, ia telah menjadi suatu yang lumrah dimana-mana samaada dalam bentuk tulisan, kata-kata (seperti gurauan, maki-makian dan lain-lain), gambar-gambaran dan seterusnya apatah lagi dengan fungsi internet yang mana sesiapa sahaja yang tiada idea, akan menggunakan ini sebagai daya penarik seperti untuk pembaca kepada ruangan tulisan mereka dan ini semuanya membawa kesan keruntuhan moral diatas ransangan yang terbuka keatas perilaku tersebut.

Sebegitu juga contohnya perkara-perkara lain seperti berjudi atau minuman-minuman yang memabukkan dalam masyarakat contohnya yang mengamalkan kebudayaan Islam seperti Malaysia atau Indonesia, ia lazimnya sesuatu yang dicegah namun kini ia menjadi sebahagian dari budaya hidup disitu samaada bentuk loteri sehingga pembinaan besar-besaran kasino-kasino mahupun dari jualan todi-todi murah-murahan sehingga kepada pembukaan bar-bar atau kelab-kelab malam dan ini semua wajarnya mampu mengubah perspektif masyarakat umum atau individu sesuatu tempat tentang apakah itu sesuatu yang benar-benar ditegah dan amat merbahaya atau masih ada lagi ruang bertolak-ansur terhadap perkara-perkara tersebut.

Ini seterusnya menyebabkan berlakunya perubahan sosial dikalangan masyrakatnya kerana perubahan budaya hidup yang dialami dimana suatu waktu dahulu, budaya hidupnya amat tabu atau mengawal akan perkara-perkara yang mengundang kepada kerosakan moral namun kini, apa yang dikatakan unsur-unsur kerosakan moral itu telah menjadi suatu budaya yang lumrah pula. Dalam mana, krisis kejutan budaya (culture shock) terutamanya buat anak-anak muda-mudi yang kurang pengetahuan agama atau pegangan hidup akan terjadi.

Disudut lain, perubahan-perubahan sosial kearah yang positif juga berlaku diatas perubahan-perubahan kebudayaan hidup seperti budaya hidup sesetengah masyarakat Eropa atau Jepun yang berdisplin serta teratur struktur masyarakatnya mempengaruhi masyarakat-masyrakat ditempat lain untuk menjejaki budaya hidup sebegitu dan membangun masyarakatnya dalam bentuk yang lebih teratur.

Contohnya, disesetengah tempat, pemandu kereta tidak akan memberi laluan pejalan kaki untuk melintas biarpun ada garisan untuk pejalan kaki melintas, sedang dikebanyakkan negara Eropa, adalah suatu kemestian buat pemandu kereta berhenti dan memberi laluan pada pejalan kaki (budaya pemandu yang berdedikasi mengurangkan kemalangan dijalan-raya). Atau contohnya adalah menjadi kewajipan pada kerajaan-kerajaan dinegara-negara Eropa untuk memberi sara-hidup bulanan pada mereka yang tidak berkemampuan atau tiada kerja (dengan ini mengurangkan juga jenayah-jenayah seperti ragut, samun, pecah-rumah dan lain-lain), sedangkan dinegara-negara lain, mereka yang tidak berkemampuan atau miskin, lazimnya tiada bantuan langsung keatas mereka, hanya bergantung kepada sedekah-sedekah insan lain yang prihati.

Contoh lain adalah seperti dengan kedatangan kebudayaan Islam yang sebenar disesuatu tempat, maka perubahan sosial besar-besaran kearah positif berlaku seperti kurangnya maksiat-maksiat atau perkara-perkara yang membawa kearah maksiat, kewujudan baitul-mal yang membantu mereka yang miskin, semangat tolong-menolong dan berpesan-pesan kearah kebaikan, penghapusan riba-riba yang menekan mereka yang berhutang, bersopan-santun dan perasaan hormat-menghormati antara muda dengan tua, bertimbang-rasa hatta kepada haiwan dan seterusnya. (Selari dengan perkataan budaya iaitu tsaqaafah yang membina peradaban)

Bersambung...



Saturday, September 25, 2010

Sembang budaya - 7

Keadaan atau suasana yang membentuk sesuatu kebudayaan hidup adalah bermakna kesan dari persekitaran samaada masyarakatnya, dari taraf kehidupannya, dari bentuk muka-bumi yang diduduki, dari iklim setempat, dari keadaan yang aman atau huru-hara dan seterusnya. Dalam mana, impak dari keadaan atau suasana yang membentuk sesuatu budaya hidup, samaada disedari atau tidak, ia lazimnya menjadi sebati dalam diri buat menghadapi kehidupan seharian, sehingga bahkan membentuk mentaliti yang dimiliki.

Seperti contohnya masyarakat asal yang menetap diMalaysia iaitu masyarakat Melayu dibandingkan dengan masyarakat dari benua lain yang datang keMalaysia, dimana budaya bekerja masyarakat yang datang dari benua lain lebih rajin atau gigih dari masyarakat Melayu, bukan kerana mentaliti masyarakat Melayu pemalas, tetapi kerana kesuburan bumi Malaysia yang diduduki sejak beribu-ribu tahun yang mana kehidupan disitu adalah amat mudah, selesa cuacanya serta tanahnya yang subur membuat budaya kerja masyarakat Melayu bersederhana sahaja berbanding masyarakat yang datang dari benua lain yang lazimnya mereka mengalami banyak kepayahan ditempat asal mereka atas berbagai sebab dan ini menzahirkan kesungguhan mereka dalam mencari rezeki.

Sebagaimana negara-negara yang mempunyai empat musim setahun iaitu musim panas, musim gugur, musim sejuk dan musim bunga, yang mana masyarakat disitu bekerja keras mengatur hasil pendapatan bergantung pada musimnya seperti persedian dimusim panas sebelum kedatangan musim sejuk. Juga dari sudut cermatnya menjaga simpanan hasil yang didapati untuk menghadapi musim-musim yang mana tiada apa hasil diperolehi berbanding dinegara-negara beriklim tropika yang sepanjang tahun hampir sama sahaja iklimnya dan tidak memerlukan persedian besar untuk menghadapi musim-musim yang lain.

Manakala negara-negara beriklim panas mahupun berpadang pasir, kebiasaannya dikatakan negara yang mundur atau rakyat yang tidak progresif sebenarnya bukan kerana mentaliti masyarakatnya primitif atau ketinggalan, tetapi kerana iklim disitu membuat segala aktiviti-aktiviti sehariannya terhad. Segala kehidupan disitu adalah dalam rythmus yang perlahan terutama ditengah-hari hingga beberapa jam sebelum matahari terbenam. Ini seterusnya membawa kesan kepada corak budaya kehidupan yang amat perlahan. (Kenyataan ini jelas bila singgah atau menetap dinegara yang suhunya melebihi 40 darjah dan hidup disitu tanpa kemudahan-kemudahan modern seperti penghawa dingin dan sebagainya)

Mungkin kini, diatas faktor budaya kehidupan modern yang menular disetiap benua dengan membawa suatu iklim kehidupan yang hampir sama diseluruh dunia dimana kehidupan hari ini dipenuhi dengan segala kemudahan-kemudahan yang wujud dari dunia modern seperti contohnya dari segala barang-barang elektronik yang memudahkan kehidupan seharian, keperluaan hidup mudah didapati samaada dari bahan makanan, pakaian-pakaian mahupun segala peralatan yang diperlukan, media-media yang membawa segala berita-berita dan seterusnya. Samaada seseorang itu berkemampuan memiliki kemudahan-kemudahan tersebut dengan cara tunai atau hutang, ia persoalan yang sama dimana-mana penjuru dunia hatta dinegara-negara maju.

Dari suatu sudut, dunia modern hari ini telah mengubah pola pemikiran insan dan cara hidupnya menuju suatu budaya globalisasi. Yang mana disetiap penjuru dunia, insan cuba mencapai apa yang dikatakan produk budaya terkini atau kehidupan yang dikatakan “update”, tetapi dari sudut lain, faktor ini juga membuka ruang untuk hegemoni atau dominasi budaya negara-negara maju terhadap negara yang membangun atau negara yang mundur. Dalam mana, masyarakat-masyarakat negara-negara yang membangun atau mundur biasanya bertindak mengambil apa sahaja dari negara-negara maju dan menganggap itu suatu corak hidup terkini yang wajar dicontohi (mungkin diatas sebab kesan dominasi budaya hidup dari zaman penjajahan) tanpa memahami dari apakah latar sesuatu budaya tersebut.

Contohnya budaya dari aliran musik rock & roll, rock dan seterusnya kepada aliran musik lain yang lahir darinya, ramai masyarakat diluar benua Amerika menganggap itu suatu budaya terkini, tambahan diatas kecenderongan sesetengah pihak kepada kehidupan masyarakat kulit putih yang dikatakan sentiasa terkini (update) kerana pengaruh hegemoni masyarakat kulit putih keatas dunia sesejak zaman penjajahan, sedangkan disebalik semuanya itu, irama musik-musik ini adalah berasal dari irama musik blues iaitu dari masyarakat kulit hitam yang merupakan hamba-sahaya dibenua Amerika suatu waktu dahulu. Aliran musik blues ini adalah irama yang berasal dari budaya hidup dipadang-padang kapas tempat masyarakat kulit hitam ditindas serta diperhambakan, sebagaimana juga irama musik jazz yang kini telah menguasai suatu taraf yang tinggi antara musik-musik dunia.

Hegemoni sesuatu budaya keatas budaya lainnya berlaku antaranya kerana perasaan inferio iaitu perasaan rendah terhadap budaya sendiri lalu mengambil budaya lain (cultural-cringe), seperti contohnya terdapat kalangan masyarakat Islam yang segan keatas kebudayaan Islamnya sendiri, lalu menganggap segala budaya yang datang dari luar, terutama dari masyarakat kulit putih adalah budaya terbaik membuat mereka meninggalkan kebudayaan Islamnya dan mengambil sepenuhnya corak hidup budaya lain, sedangkan ini menyebabkan mereka kehilangan pegangan mahupun jati-diri.

Berbalik kepada keadaan atau suasana mampu membentuk sesuatu kebudayaan, sebegitulah dunia modern hari ini yang tiada sempadan, telah membentuk suatu budaya hidup yang berlainan dari sebelumnya dimana-mana sahaja dipenjuru alam dan ini juga mempengaruhi mentaliti insan didunia hari ini. Hatta diMekah hari ini, keadaannya amat berbeza dari suatu waktu dahulu yang mana kini segalanya dalam bentuk budaya pasca-modenisme (post-modernism) tersendiri, sedang rohaniah beribadat masih kekal dikalangan hamba-hamba yang sentiasa ingin menuju kepada Penciptanya.

- Pasca-modenisme (Post-modernism) adalah dari perkataan: pasca bermaksud selepas, sesudah atau setelah manakala modernisme ialah konsep berkaitan hubungan insan dengan lingkungan sekitarnya di zaman modern.

Bersambung...

Thursday, September 23, 2010

Sembang budaya - 6

Fad, gaya atau trend adalah membudayakan sesuatu corak atau rentak hidup yang lazimnya hadir dalam keadaan menyemangatkan seseorang atau sesuatu kelompok masyrakat namun kemudiannya setelah waktu berlalu ia ditinggalkan mahupun diganti kepada corak atau rentak hidup yang lain.

Ia adalah suatu tingkah-laku yang timbul dari kecenderongan perasaan diatas sesuatu sebab seperti usia, minat atas sesuatu pengaruh, perasaan dalam mencuba meneroka suatu corak kehidupan, pendorong untuk menghasilkan suatu bentuk kreativiti, terkesan dengan suasana sekitar yang berlaku, perasaan seperti kehadapan atau maju atas kelainan gaya hidup, perasaan memberontak keatas sesuatu dan lain-lain.

Lazimnya juga, ia wajar sahaja dianggap bahawa itulah satu-satunya cara hidup yang hendak dituju dan itulah satu-satu cara hidup yang paling kehadapan seperti seorang anak muda yang hidup ditahun 80an dan mula berjinak-jinak dengan musik rock, maka padanya, tiadalah kehidupan tanpa berambut panjang dan bergitar, namun setelah waktu berlalu seperti setelah berusia dan melalui fasa kehidupan yang lain, terasa pula baginya suatu kelucuan bila anak-anaknya terkejut melihat gambar-gambar dirinya diwaktu muda berambut panjang.

Kesan dari fad,gaya atau trend adalah seperti sekumpulan anak muda yang mengikuti sesuatu aliran musik, maka terbentuklah budaya hidup mengikut fashion-fashion dari aliran musik tersebut dimana kecenderongan wajar sahaja mengubah segala perilaku, penampilan, cara bertutur bahasa, cara menghabiskan usia-usia seharian, cara bersosial, cara pemikiran yang dibentuk dan malah ia mampu memberi kesan kepada kepercayaan yang dipegangi bergantung bagaimana mendalamnya ia mengikuti aliran musik tersebut, kepada latar-belakang seperti keluarga yang mendidiknya serta suasana kehidupannya.

Contohnya, mungkin pada anak-muda berlatarkan keluarga yang beragama serta suasana kehidupannya dipenuhi mereka-mereka yang sentiasa berpesan-pesan kearah kebaikan, maka padanya, sesuatu aliran musik itu hanya suatu gaya mahupun minat dan bukan suatu pegangan hidup tetapi untuk anak muda lain yang tiada berlatarkan keluarga yang beragama yang membuat dirinya tidak tahu apa-apa tentang pegangan kepercayaannya serta dimana jiwanya kosong, maka aliran musik ini wajar sahaja mengambil tempat bukan sahaja sebagai budaya hidupnya tetapi sebagai pegangan kepercayaan hidupnya.

Ini kerana kenyataannya yang mana kesan dari sesuatu budaya yang dihidupkan didalam kehidupan seharian, bukan hanya pada lahiriah tetapi kepada rohaniah, dalam mana sesuatu kesan buruk darinya wajar meninggalkan padah seterusnya didalam kehidupan seseorang seperti contohnya anak-anak gadis yang mengikut suatu aliran kehidupan bebas dengan fashion dan musik terkini dan hidup penuh hiburan didiskotek-diskotek atau dikonsert-konsert dimana bercampur-gaul bebas antara bukan muhrim, berakhir dengan kehancuran moral yang menyebabkan dia mengandung anak-luar nikah atau diperhambakan oleh anasir-anasir jahat.

Disudut lain, ia wajar sahaja membawa kearah materialism atau jiwa kebendaan sebagai contoh budaya pop kultur (popular culture) iaitu penghasilan bahan-bahan yang tujuannya hanya untuk diperkenalkan (popular) dan dikonsumi oleh ramai pengguna. Dihasilkan dengan berbagai-bagai tarikan dalam mana kurang dititik-beratkan pada nilai dari sudut penghasilan suatu kesenian mahupun dari fitrah insaniah kerana lazimnya tujuan utamanya adalah mengaut keuntungan disamping memeriahkan aktiviti-aktiviti dalam masyarakat biarpun kebanyakan produk-produknya tiada bernilai langsung untuk suatu kehidupan.

Budaya popular juga disebut budaya plastik yang mana ringan, murah, berbagai-bagai warna "memancar" namun ia mudah rosak atau menjadi tidak menarik dalam waktu yang singkat biasanya diperkenalkan secara drastik oleh madia massa (mass media) dengan tujuan mencapai maksimum pelanggan diatas sesuatu produk-produknya.

Tidak dinafikan bahawa dari fad, gaya atau trend adanya kebaikan kerana ia mendorong suatu kreativiti, suatu semangat kehadapan, suatu yang membuat waktu-waktu hidup tidak dihabiskan dengan kosong serta malah sesuatu yang menjadi sumber pendapatan namun masaalahnya, ia lazimnya membuat individu atau masyarakat yang mengkonsumi sesuatu produk atau sesuatu aliran darinya, bakal menjadi mangsa-mangsa yang mana disumbatkan kepada mereka setiap waktu produk-produk yang wajar dimiliki atau dibeli sedang itu sebenarnya sesuatu yang tidak bermanfaat.

Contohnya, keluaran-keluaran berbagai aliran musik telah menghasilkan berpuluh juta jenis irama diseluruh dunia, yang lazim objeknya hanyalah untuk mengaut keuntungan atau untuk mempopularkan sesebuah band serta individu dimana kebanyakannya samaada tiada nilai disudut penghasilan sesuatu seni mahupun hanya membawa pengaruh-pengaruh negatif, tetapi diatas drastiknya sesuatu media massa memperkenalkannya dikalangan masyarakat umum, maka ramailah yang kehidupannya hanya digunakan untuk mengikut perkembangan-perkembangan musik-musik tersebut dimana segala tenaga, fikiran serta kewangan dikorbankan keatas itu dan ini jelaslah adalah suatu pembaziran yang amat besar serta mensia-siakan waktu kehidupan yang singkat didunia fana ini.

Bersambung...

Tuesday, September 21, 2010

Sembang budaya - 5

Budaya berfikir adalah antara tunjak kepada kewujudan sesuatu kebudayaan kerana asal perkataan budaya itu sendiri iaitu buddhayah, yang diambil dari bahasa Sanskrit (bermakna perkara-perkara yang berkaitan dengan budi dan akal insan), boleh diberikan erti juga bahawa kehadiran sesuatu kebudayaan adalah sebabnya dari pemikiran insan.

Budaya berfikir bukanlah bermaksud angan-angan kosong, termenung membuang waktu atau berfikir atas sesuatu sebab seperti rindu, dendam, benci, dengki dan sebagainya tetapi lebih diertikan kepada pemikiran yang membina sesuatu seperti penghasilan idea-idea mahupun pandangan-pandangan yang bernas, mencari penyelesaian keatas sesuatu masaalah (brainstorming), menghuraikan sesuatu yang bermakna buat kehidupan, visionari, daya kreatif, innovasi, pemikiran yang menghasilkan bahan-bahan penulisan ilmiah, memikirkan cara menyelamatkan umat dan seterusnya.

Budaya berfikir kenyataannya juga bukanlah milik segelintir masyarakat seperti golongan elit, para seniman, think-tank, pihak atasan dan sebagainya tetapi ia adalah milik setiap insan hatta kanak-kanak seharusnya dilatih agar memiliki budaya berfikir dalam konsep yang membawa kearah hidup yang positif. Memperkatakan budaya berfikir hanya milik sekelompok insan atau hanya buat segelintir masyarakat samalah dengan seorang pelukis yang memperkatakan bahawa seni itu hanyalah berbentuk lukisan, sedangkan apa yang diperkatakan adalah suatu kesilapan diatas ketiada-fahamannya akan erti sebenar seni.

Berfikir hakikatnya adalah fitrah insan, dalam mana tanpa menggunakan fikiranya saban waktu, jadilah kewujudannya seperti haiwanat didunia ini. Menegah budaya berfikir adalah suatu kezaliman yang amat besar, kerana budaya berfikir itu adalah hak setiap insan. Hanya apa yang wajar diusahakan adalah sempadan atau pedoman buat budaya berfikir kerana tanpa sempadan atau pedoman, insan akan mencipta kehancuran demi kehancuran dari pemikirannya biarpun pada awalnya ia menyangka itu membawa kebaikan, sebagaimana telah termaktub dalam sejarah demi sejarah kehidupan insan.

Apa yang difikir insan adalah asasnya dari pandangan semesta (Weltanshauung), iaitu persepsi terhadap dunia yang dipenghunikan atau kefahamannya akan apa dan bagaimana kewujudan segala dalam alam hidupnya, dalam mana dari situlah insan membina seterusnya suatu kebudayaan dan kebudayaan ini kemudiannya mampu mempengaruhi serta memberi kesan pada pemikiran mahupun cara hidup pada insan lain atau generasi seterusnya.

Seperti suatu pusingan ekologi sistem contohnya awan yang menurunkan hujan, lalu airnya yang mengalir atau bertakung akan membantu kehidupan dialam ini, kemudiannya tersejat keudara menjadi awan dan awan ini menurunkan kembali air tersebut sebagai hujan dalam pusingan ekologinya, sebegitulah misalnya akan fikir insan itu mampu mencipta suatu budaya dan budaya ini pula kemudianya mampu mempengaruhi akan cara insan untuk berfikir seterusnya.

Pandangan semesta samaada dari individu mahupun masyarakat adalah dari keunikan gabungan pengalaman-pengalaman buat alam yang diduduki dimana pengalaman-pengalaman ini kemudiannya menjadi kutipan-kutipan yang bersambung-sambung dari satu masa kesatu masa atau dari suatu generasi kesuatu generasi. Dalam kata lain, apa yang diketahui hari ini serta apa yang terbina hari ini, asalnya adalah dari pengalaman-pengalaman insan-insan yang lepas terutama bila adanya catitan-catitan atau data-data yang tersimpan dan dapat disampaikan seterusnya kepada generasi-generasi kemudian.

Seperti contohnya peta dunia atau rupa akan bentuk muka bumi yang diduduki, suatu waktu dahulu, insan dari pengalamannya hanya mengetahui apa yang dapat dicapai oleh pandangan mata-kasarnya, kerana itu ada yang menganggap dunia ini bentuknya seperti diatas sebuah papan yang mana bila seseorang berjalan kehujung dunia, ia akan terjatuh dari papan tersebut, namun kemudian diatas pengalaman bahawa tiada pula berlaku kejatuhan bila insan mengembara atau berlayar ketempat apa yng dianggap dahulunya hujung dunia, mengubah akan persepsinya tentang keadaan dunia ini. Lalu juga kemudiannya dari pengalaman-pengalaman insan yang kerap bergerak keseluruh sudut dunia maka terciptanya peta-peta akan rupa bentuk dunia ini. Proses sebegini akhirnya menghasilkan suatu persepsi yang pasti akan rupa-bentuk alam ini, apatah lagi buat generasi kini yang dapat melihat bentuk alam ini dari sudut jauh diangkasa.

Pandangan semesta atau persepsi tentang alam ini buat individu mahupun masyarakat akan sentiasa berkembang atau menjadi luas akan pengertian setiap sesuatu dialam ini terutamanya dizaman ini yang mana dunia semakin mengecil dengan segala kemudahan modern seperti dari sudut mudahnya mengakses data berkenaan sesuatu bahan, mudahnya untuk berkomunikasi dari segala penjuru dunia, adanya pengangkutan untuk bergerak kemana-mana dan pantas, sudut teknologi yang semakin maju dimana-mana dan seterusnya.

Namun apakah semua itu membantu insan mencapai suatu pemikiran yang tinggi, maju bertamadun dan membina segala kebaikan buat diri juga buat alam yang diduduki sedangkan apa yang terjadi adalah sebaliknya iaitu pencemaran misalnya dari sudut pemikiran mahupun budaya hidup yang dicipta oleh insan dari masa kesemasa. Alam yang didudukinya ini pun semakin tenat diatas pencemaran yang berterusan dilakukan insan, dalam mana biarpun ada usaha untuk memulihkannya atau meminimumkan pencemaran tersebut namun aktiviti-aktiviti terutamanya dari sudut komercial (yang berterusan melakukan pencemaran seperti pencemaran udara, air dan lain-lain) adalah saban hari lebih besar dari usaha pemulihannya.

Sebagaimana biarpun ada aktiviti-aktiviti insan untuk memulihkan budaya berfikir dikalangan insan, namun jiwa kebendaan atau jiwa tamak insan lain wajar memusnahkan atau menenggelamkan proses-proses pemulihan ini. Seperti contohnya, ada kalangan para seniman yang berusaha menggunakan wadah seni dalam memperkatakan mahupun memperjuangkan sesuatu yang hak, tetapi terpaksa berdepan dengan berjuta-juta pihak yang lain yang menggunakan wadah seni hanya untuk mengaut keuntungan atau kepopulariti semata-mata dengan menghalalkan apa sahaja cara untuk itu biarpun caranya adalah menghancurkan serta merendahkan sendiri tentang apa itu erti sebenar suatu seni.

Justeru itu, dalam menghidupkan budaya berfikir, perlunya suatu garisan sempadan atau pedoman buat insan yang mana dengan itu, dapat ia seperti menilai pandangan semestanya dengan sesuatu yang hak lalu membaiki, membentuk, menapis unsur-unsur negatif disamping memahami kebenaran dan berdiri diatas kebenaran. Dan didalam ajaran agama Islam, telah ditunjukkan akan apa itu sempadan serta pedoman untuk insan menghadirkan budaya fikirnya.

Bersambung...

Sunday, September 19, 2010

Sembang budaya - 4

Bahasa memainkan elemen penting dalam sesuatu kebudayaan kerana ia adalah suatu alat utama dalam komunikasi mahupun dalam catitan-catitan atau gambaran-gambaran tentang segala yang berkaitan tentang sesuatu kehidupan atau sesuatu kebudayaan. Bahasa juga dikatakan jambatan antara peradaban dengan kebudayaan.

Bahasa iaitu samaada berbentuk tulisan, lisan (bunyi-bunyian), gerakan bahasa isyarat, gambaran-gambaran, lakaran-lakaran dan seterusnya yang berkaitan dengan komunikasi dalam tujuan menyampaikan sesuatu maksud atau menampilkan sesuatu, kini telah berada diera yang mana segala bentuk-bentuk tersebut dapat disatukan seperti melalui filem-filem, slide-show dan lain-lain, dan dapat disebarkan melalui internet dalam beberapa saat sahaja keseluruh penjuru dunia.

Bagaimana pun, asas utama bahasa adalah yang diungkapkan melalui lisan (bunyi-bunyian) atau tulisan merupakan suatu warisan asas dalam pengenalan akan kebudayaan bersama untuk sesebuah bangsa atau kaum. Dalam kata lain, penggunaan sesuatu bahasa wajar sahaja mencerminkan gambaran rupa akan kebudayaan sesebuah bangsa.

Lazimnya sesebuah bangsa mempunyai suatu bahasa induk untuk menyatukan mereka dalam suatu masyarakat biarpun didalamnya terdapat berbagai-bagai bentuk budaya seperti multi-kultur, yang mana bahasa induk tersebut memainkan peranan sebagai penyatuan buat semua budaya dibawahnya hingga terbentuk suatu kebudayaan bangsa sesebuah negara. (Hanya terkecuali negara Switzerland kerana sesejak awal pembentukann negaranya yang kini telah berusia lebih 700 tahun, ia adalah gabungan daerah berbahasa German, daerah berbahasa Perancis, daerah berbahasa Itali dan Suise Romance membuatnya memiliki 4 bahasa kebangsaan dan sebagai negara neutral ditengah-tengah Eropa)

Ini kerana bahasa memainkan suatu elemen penting dalam membantu pembentukan peradaban kebudayaan sesebuah bangsa yang sebagaimana contohnya diEropa, buku-buku berbahasa Yunani dan Latin diterjemahkan kedalam bahasa-bahasa Eropa yang lain sehingga banyak perkataan Yunani dan Latin dipinjam kedalam bahasa Inggris, German dan sebagainya serta kemudiannya juga buku-buku ilmiah dari dunia Islam yang berbahasa Arab diterjemahkan kedalam bahasa-bahasa Eropa yang mana ini semua membantu membentuk peradaban proses kebudayaan baru Eropa.

Sebegitu juga dengan bangsa Jepun yang membawa buku-buku ilmiah dari dunia Eropa dan diterjemahkan kedalam bahasa Jepun sehingga membantu proses kebangkitan peradaban buat kebudayaan bangsa Jepun dan seterusnya mampu setanding mahupun mengatasi peradaban Eropa.

Contoh lain adalah Korea atau China, menggunakan bahasa mereka dalam proses mengekalkan serta meningkatkan kebudayaan mereka. Mungkin China berbeza sedikit kerana kebudayaannya yang ada hari ini lebih kepada kebudayaan yang wujud dari ideologi Komunis, dimana sewaktu awal revolusi Komunisnya, kaum muda ditanah China begitu keras untuk menghapuskan segala kebudayaan warisan mereka sehingga banyaknya pertumpahan darah serta penyiksaan dilakukan kepada mereka yang dipanggil kaum tua, iaitu pihak yang cuba mempertahankan kebudayaan warisan China. Dalam begitu pun, ideologi Komunis diserapkan dalam kebudayaan China dengan perantaraan bahasa Cina sehingga menghasilkan suatu peradaban kebudayaan komunis China.

Langkah-langkah mengekalkan bahan-bahan ilmiah kekal didalam bahasa asing tanpa menterjemahkannya kedalam bahasa sendiri, menyebabkan hanya sekelompok yang boleh berbahasa asing sahaja dapat mengakses bahan ilmiahnya manakala yang lain hanya bergantung kepada yang memahami bahasa asing tersebut dan ini wajar membuat sesuatu proses peningkatan peradaban dalam rangka kebudayaan sendiri bergerak perlahan atau ketinggalan dalam arus dunia yang semakin pantas bersaing antara satu sama lain.

Atau disudut lain, (contohnya dalam menanam budaya membaca) kesilapan adalah menterjemahkan banyaknya buku-buku dari bahasa asing yang bukan bahan ilmiah seperti novel cinta, novel seram dan lain-lain yang mana bahan bacaan ini kurang membantu peningkatan proses peradaban dalam rangka kebudayaan sendiri dikalangan rakyat marhain, sedangkan yang membantu proses peningkatan kebudayaan seperti buku-buku yang mengandungi bahan ilmiah atau juga seperti kitab-kitab agama contohnya karangan ulama-ulama tersohor Ahlu Sunnah wa Jamaah, tidak diterjemahkan dengan banyak, mahu pun diletakkan harga yang terlalu tinggi untuk buku yang diterjemahkan, membuat hanya segelintir sahaja yang berpeluang memiliki buku-buku tersebut.

Maka kesan seterusnya iaitu pihak awam yang tidak memahami bahasa Arab atau bahasa-bahasa asing yang lain serta tidak berkemampuan untuk memiliki buku-buku terjemahan bahan ilmiah yang tinggi harganya akan meminggirkan usaha untuk menggali bahan ilmiah dari dunia luar mereka dan ini jelas telah merugikan proses peradaban kebudayaan bangsa Melayu.

Sedang bila sebaliknya banyak usaha-usaha menterjemahkan bahan-bahan ilmiah kedalam bahasa Melayu seperti contohnya menterjemahkan Al Quran kedalam bahasa Melayu sewaktu dahulu, maka ia telah mendorong kepada peningkatan kefahaman agama Islam serta membantu penyebaran agama Islam itu sendiri dirantau Nusantara dalam mana juga, banyaknya perkataan-perkataan Arab dipinjam dalam kamus bahasa Melayu. Dan ini membantu membentuk peradaban kebudayaan Melayu-Islam sebagaimana yang dikenali hari ini.

Bersambung...

Friday, September 17, 2010

Sembang budaya - 3

Budaya adalah sebenarnya suatu proses sepanjang hayat insan dan wajar sahaja berlaku perubahan atau pembaharuan diatas sesuatu faktor. Ini kerana sesuatu budaya itu adalah suatu cara hidup seseorang atau sesuatu masyarakat dan merekalah yang menghidupkan, melakukan pindaan, merombak, menokok-tambah, melengkapkan atau meninggalkannya.

Proses budaya adalah seperti berlaku pindaan-pindaan keatasnya samaada untuk memperbaharuinya atau pun kerana sesuatu sebab yang lain seperti proses kepelbagaian budaya disatukan (melting-port), proses imperialism-kulture iaitu pemaksaan budaya pihak penjajah keatas budaya tanah jajahannya, perasaan inferio iaitu perasaan rendah terhadap budaya sendiri lalu mengambil budaya lain (cultural-cringe), penetrasi-kultur iaitu kemasukan pengaruh suatu kebudayaan kedalam kebudayaan yang lain seperti dengan jalan damai lantaran komunikasi antaranya dan dari faktor-faktor lain seterusnya.

Akulturasi iaitu proses sosial suatu kebudayaan masyarakat yang didatangi dengan unsur-unsur kebudayaan asing yang mana kemudiannya diterima dan diolah kedalam kebudayaannya tanpa menghilangkan unsur-unsur kebudayaan aslinya sendiri. Disudut lain, proses kedatangan budaya asing adalah seperti pengaruh sesuatu gaya hidup (trend/fad) yang melanda atau mahupun pengenalan sebahagian elemen budaya oleh berbagai-bagai kelompok masyarakat (cultural appropriation).

Terdapat juga kebudayaan yang ciri-ciri khasnya tidak akan berubah atau tidak boleh dirombak seperti kebudayaan Islam tetapi ia hanya mengalami proses pasang-surut dalam peredaran zaman bergantung kepada pengamalan, kefahaman, komunikasi dalam penyebarannya serta keadaan individu atau masyarakat disesuatu tempat untuk menghidupkan atau meninggalkannya.

Dalam proses pindaan atau perubahan keatas sesuatu kebudayaan, penghijrahan atau pergerakan sekelompok masyarakat dari suatu benua kebenua yang lain atau dari suatu daerah kedaerah yang lain, memainkan peranan utama. Ini kerana selain berhijrah, mereka juga membawa kebudayaan mereka bersama dan dengan ini, terjadinya perubahan sosial budaya bila sesuatu kebudayaan melakukan hubungan dengan suatu kebudayaan yang lain.

Penghijrahan sekelompok masyarakat ini sentiasa berlaku, dari dahulu-kala sehinggalah kini dan penghijrahan ini adalah kerana beberapa faktor seperti tekanan hidup ditempat asal contohnya peperangan, kebuluran dan lain-lain mahupun kerana faktor-faktor ekonomi atau juga kerana keinginan untuk meneroka kehidupan ditempat lain. Diabad ini, pelancong-pelancong yang melancong diseluruh dunia adalah juga sebahagian faktor darinya.

Manakala gejala globalisasi iaitu seakan dunia hari ini tiada lagi sempadan dalam mana mudahnya komunikasi antara insan tidak kira dimana sahaja mereka berada seperti melalui alat-alat komunikasi contohnya internet, pengaruh media-media samaada berita-berita mahupun hiburan-hiburan, ekonomi seperti perjanjian perdagangan bebas atau mahupun kemasukan secara drastik barang-barang produk dari suatu negara kenegara yang lain atas permintaan-permintaan seperti dari suatu gaya hidup dan lain-lain, adalah juga menyumbangkan kepada proses-proses pindaan atau perubahan keatas sesuatu budaya.

Proses budaya melalui gejala globalisasi tidak dinafikan ada kebaikannya bila-mana pintu komunikasi antara budaya diseluruh dunia terbuka yang mana membuat mudahnya antara satu sama lain berkenalan, memahami akan kewujudan berbagai-bagai kebudayaan penghuni dunia lalu menghormati antara satu sama lain dan disamping penambahan pengetahuan yang lebih luas dari berbagai aspek. Terutama dizaman ini yang mana mudah untuk insan bergerak dengan pantas kemana-mana sahaja sudut dunia disamping atmospera dunia yang lebih aman dari waktu-waktu dahulu.

Bagaimana pun, terdapat juga kesan keburukannya dari gejala globalisasi terutamanya dari sudut komercial atau perdagangan bila-mana hanya keuntungan sahaja yang diutamakan tanpa mengendahkan faktor-faktor lain. Ini membuat budaya-budaya negatif mudah memasuki setiap daerah tanpa mengira ciri-ciri positif kebudayaan asli disesuatu daerah, apatah lagi sesuatu daerah itu belum bersedia diatas perubahan-perubahan yang mendatang, membuat terutama kaum remajaanya mudah terjebak dalam arus budaya-budaya negatif.

Sebagaimana contohnya perubahan budaya hidup petani-petani kecil atau negara-negara yang masih diarus ketinggalan dari serba-serbi dan belum bersedia untuk memasuki pasaran terbuka, namun terpaksa menghadapi semuanya itu, menyebabkan samaada mereka akhirnya kehilangan segala-galanya kerana produk mereka yang dari seginya kurang kuatiti dan kualiti jika dibandingkan dengan produk-produk luar atau pun mereka terpaksa menanggung hutang demi hutang bersama interest yang perlu dibayar dalam percubaan mereka untuk berdepan dengan syarikat-syarikat gergasi dari luar.

Bersambung...

Wednesday, September 15, 2010

Sembang budaya - 2

Lazimnya perkataan budaya dikaitkan dengan kesenian kerana sesuatu penghasilan kesenian atau artifak itu wajar sahaja menghasilkan suatu corak budaya hidup yang mempengaruhi akan perilaku insan, pakaiannya, rentak-rentak kehidupannya, bunyi-bunyian, tutur-bahasa atau kesasteraannya, kehendak atau keinginannya, penghasilan segala hiasan atau dekoratif dalam keperluaan, reka-bentuk dari tempat penginapan sehingga kepengangkutan dan seterusnya.

Yang mana juga lumrahnya dari corak hidup yang terhasil dari sesuatu penghasilan kesenian atau artifak, ianya diwarisi dan sehinggalah kemudiannya menjadi tradisi generasi kegenerasi dan ini seterusnya merangkakan ciri-ciri khas untuk sesuatu kebudayaan. Malah mungkin juga keperingkat menjadi suatu adat turun-temurun yang diamalkan dan dipertahankan.

Namun kenyataannya, perkataan budaya sendiri mengandung maksud yang lebih meluas merangkumi bukan hanya dari penghasilan sesuatu kesenian atau artifak, tetapi dari segala kaitan dengan aktiviti-aktiviti seperti dari kepercayaan, pegangan hidup, idealism (sesuatu dari dalaman diri seperti dari pemikiran atau perasaan), realism (sesuatu luaran diri yang wujud bersifat konkrit dan nyata), pengetahuan, pengaruh hidup dan seterusnya dalam kehidupan insan samada yang membawa kesan kebaikan atau sebaliknya, samaada suatu yang berlandaskan yang hak atau yang batil atau pun bercampur-aduk antaranya.

Kesan sesuatu kebudayaan keatas insan adalah seperti seorang pengarah filem yang mengarah sebuah filem, lalu dilakonkan oleh pelakon-pelakonnya dengan watak-watak dari skrip-skrip yang telah ditulis, bunyi-bunyian yang dilantunkan, reka-bentuk atau suasana yang melatarkan filem tersebut dan sehinggalah kepakaian yang dipakai seperti dari warna kainnya mahupun potongan pakaiannya. Yang mana bahawa dalam misal ini, kebudayaan itu adalah pengarahnya manakala insan-insan yang mengikuti kebudayaan itu adalah pelakon-pelakonnya.

Kebudayaan yang mengajak kearah kebaikan, ianya seperti suatu filem yang jalan ceritanya adalah tentang watak pihak yang baik sedang kebudayaan yang mengajak kearah kejahatan adalah seperti suatu filem yang jalan ceritanya tentang watak pihak yang jahat. Hanya-sanya buat filem tersebut, segala watak yang diarahkan oleh pengarah filem tersebut, berakhir bila tamatnya lakonan itu tetapi buat sesuatu kebudayaan yang dihidupkan dalam kehidupan, watak-watak dari kebudayaan tersebut adalah watak-watak sebenar buat diri atau masyarakat dalam kehidupan yang dilalui.

Ini kerana, dari sesuatu budaya itu, seseorang atau sekelompok masyarakat wajar sahaja menampilkan cara kehadiran mereka, cara pemikiran, cara berpakaian malah sehingga cara ia mencipta keadaan suasana dipersekitaran kehidupan mereka disamping mempengaruhi atau dipengaruhi.

Lantas dari itu, pertanyaannya, bagaimanakah ciri-ciri sesuatu kebudayaan tersebut, apakah ia mengajak kearah kebaikan atau mengajak kearah kejahatan mahupun kehancuran? Apakah sesuatu kebudayaan itu hanya menjanjikan kejayaan material atau fizikal tetapi menderitakan rohaniah atau sebaliknya atau mahupun membawa kejayaan dan kebahagian hakiki? Apakah akibat dari sesuatu kebudayaan itu bila dibawa atau dihidupkan kedalam kehidupan diri dan masyarakat?

Dalam pada itu, sesuatu kebudayaan itu adalah juga bersifat abstrak yang kehadirannya kekadang adalah spontan dan pantas mempengaruhi seseorang atau masyarakat atas sesuatu sebab. Dimana diatas sifat abstraknya itu, lazim juga sesuatu yang diduga membawa kebaikan tetapi sebaliknya ia membawa keburukan atau diduga ia membawa keburukan tetapi ia membawa kebaikan dan mahupun kesan darinya yang bercampur-aduk antara yang hak dengan yang batil.

Contohnya seseorang yang usia-usianya hidup dalam aliran budaya yang gemarkan keamanan, membencikan peperangan, hidup tanpa kebendaan atau secara bersederhana, bersifat merendah diri, zuhud dunia dan seterusnya, tidak mestinya dia adalah seorang “hippies“ yang pergaulan mereka bebas antara lelaki dan perempuan dan mengambil dadah serta juga tidak semestinya dia seorang yang melepaskan segala tanggung-jawabnya sebagai seorang insan didunia seperti tanggung-jawab seorang ayah kepada anak-anaknya.

Terdapat juga pertindihan-pertindihan budaya hidup atau bercampur-aduk berbagai budaya dalam kehidupan seseorang atau sesuatu masyarakat contohnya seorang anak muda yang mendakwahkan akan cara hidup kebudayaan Islam tetapi dirinya seharian hidup dalam suatu budaya lain seperti sesuatu budaya hiburan, ia kemungkinan kelihatan suatu kebiasaan dan tidak membawa kesan apa-apa tetapi bila anak muda tersebut yang mendakwahkan sesuatu yang hak tetapi disamping itu, ia mendakyahkan juga batil seperti pakaian yang menjolok mata atau pergaulan bebas bukan muhrim maka ini adalah suatu kategori budaya hipokrit atau budaya kepura-puraan.

Sebagaimana dalam arus politik, biasa juga terjadi budaya hipokrit atau kepura-puraan kerana terdapatnya golongan yang hanya berkeinginan berkuasa atau menduduki tempat yang tertinggi dikalangan masyarakat serta sanggup melakukan apa sahaja untuk itu tetapi mereka sebenarnya tiada abiliti atau berkemampuan diatas tugas sebegitu. Lalu apa yang terjadi, hanyalah kepura-puraan mereka untuk melakukan sesuatu untuk masyarakat sedangkan apa yang mereka rancangkan hanyalah pertamanya untuk keuntungan peribadi yang mana kesannya bukanlah sesuatu yang baik. Dimana masyarakat dibawahnya terpaksa menanggung kesilapan itu dan malah kemungkinan terpaksa pula kemudiannya dibawah imperialism-kultur penjajah yang menjajah mereka.

Bersambung...

Tuesday, September 14, 2010

Sembang budaya - 1


Budaya atau kultur adalah suatu perkataan yang telah sebati dalam kehidupan seharian seseorang insan mahupun sesuatu masyarakat kerana kehidupan insan itu sendiri adalah berpaut pada sesuatu ciri-ciri kebudayaan yang dihidupkan atau yang ada dipersekitaran samaada dari sesuatu ciri yang telah lama wujud atau pun sesuatu yang baharu.

Selama insan itu hidup, selama itulah adanya budaya yang dihidupkan kerana kaitan budaya dengan insan adalah seperti kaitan bernyawa dengan bergerak, bernafas, berjalan dan lain-lain. Hatta seseorang insan yang cuba melarikan diri dari segala bentuk budaya kehidupan atau segala aktiviti kehidupan seperti kehidupan bermasyarakat dan lain-lain juga tanpa disedarinya, ia telah menghidupkan suatu budaya kehidupan menyendiri atau budaya isolasi diri dari dunia luar.

Ini kerana budaya bukan hanya berkaitan tentang kehidupan bermasyarakat atau berkomunikasi tetapi lebih dari itu, ia adalah berkaitan dengan setiap insan kerana kehadiran sesuatu budaya itu sendiri adalah dari kehidupan yang dilalui insan samada dari sudut aktiviti yang dilakukan, dari pemikiran, dari perasaan, kepercayaan yang dianuti, keadaan alam yang dipenghunikan, persekitaran yang wujud, tekanan-tekanan kehidupan, arus kehidupan yang dilalui, kesenian yang dihasilkan dan seterusnya.

Hanya dari itu, untuk budaya yang berkaitan dengan kehidupan bermasyarakat atau sejumlah kelompok samaada yang kecil atau besar jumlahnya, ia amat penting kerana kesan berterusan darinya seperti dari suatu generasi kegenerasi atau suatu kehidupan kepada kehidupan lainnya dalam penghasilan perilaku, cara pertuturan, cara berpakaian, cara berfikir, cara berkarya-seni, cara-cara menghasilkan peralatan kehidupan, cara menyusun struktur kehidupan, cara berorganisasi, cara bertindak dalam menyelesaikan masaalah kehidupan dan seterusnya hatta kepada suatu kehidupan yang membawa kepada kedamaian atau pergolakan yang berpanjangan.

Ini kerana, perkataan budaya atau kultur itu sendiri terkandung didalamnya suatu pengertian yang amat luas, kepelbagaian mahupun kompleks dimana unsur-unsurnya meliputi dari segala kegiatan atau aktiviti kehidupan sekelian insan.

Sebagaimana misalnya dari kewujudan sesuatu kebudayaan kehidupan, maka lahir berbagai-bagai pengertian akan ciri-ciri khasnya seperti bila diperkatakan berkaitan tentang kepercayaan maka adanya kebudayaan Islam, kebudayaan Hindu, kebudayaan Kristien dan lain-lain manakala tentang sesuatu kehidupan masyarakat atau bangsa maka adanya kebudayaan Barat, kebudayaan Timur, kebudayaan warisan, kebudayaan modern, kebudayaan Melayu, kebudayaan Cina, kebudayaan India dan lain-lain.

Juga dari perkataan budaya atau kultur dalam kehidupan bermasyarakat atau berbagai-bagai bangsa ini, maka wujudnya istilah-istilah mengikut proses masing-masing seperti multi-kultur (Multiculture), inter-kultur (Intercultural), imperialism-kultur (Cultural Imperialism), trans-kultur (Transculturation), sub-kultur (Subculture), akulturasi (acculturation) dan seterusnya.

Contohnya dari kepelbagaian budaya, wujudkan perkataan multi-kultur iaitu dalam sesuatu masyarakat, terhasilnya kehidupan budaya yang beraneka jenis dengan ciri-ciri khas masing-masing yang berbeza antara satu sama lain tetapi semua wujud bersama didalam suatu masyarakat (Negara atau bangsa iaitu suatu jumlah yang besar) atau kepelbagaian budaya yang ciri-ciri khas masing-masing disatukan atau diadukan dalam sesuatu masyarakat yang digelar "melting-pot", manakala sub-kultur pula adalah bentuk-bentuk budaya yang kecil serta tersendiri cirinya tetapi wujud disamping ciri-ciri kebudayaan dominan sesuatu masyarakat.

Dari kepelbagaian bentuk budaya, adalah juga diperkatakan tentang asimilasi (asimilasi adalah kemasukan sesuatu budaya kepada budaya yang lain sehingga menghilangkan ciri-ciri khasnya dengan mengambil ciri-ciri budaya lain atau membentuk suatu kebudayaan yang baru), integrasi (integrasi adalah kemasukan suatu budaya kepada budaya lain tanpa menghilangkan ciri-ciri khas masing-masing) dan serta kesan-kesan dari kepelbagaian budaya iaitu samaada yang berbentuk positif atau negatif, mahupun toleransi atau batas antara budaya-budaya tersebut.

Bersambung...
Btn_brn_77x28

Tajuk

Abbasiyah (1) altruisme - ikram (3) Aqidah (1) art video (20) Austronesia (10) Bahasa dan penampilan (5) Bangsa Melayu (7) batas sempadan (9) Berita (15) Besi (1) Biography solihin (1) Budaya dan pengertiannya (16) catitan (2) cerdik/bodoh dan antaranya (6) cetusan minda (8) cinta dan syahwat (3) Doha - Qatar (2) Eid Mubarak (5) falsafah (2) Fantasia falasi (3) Fibonacci (1) Filem (2) fitrah (1) Fungsi seni (1) gangsa (1) hukum (6) huruf (2) hutang (1) ijtima (1) Iklan (2) imitasi dan memori (1) infiniti (5) jalan2 (2) kebangsaan/nationalisme (2) kebebasan bersuara (1) Kelahiran kesenian yang mengubah warna dunia. (1) Kembali sebentar tentang erti seni (Islam) (1) kerja otak (1) Kesenian dunia Islam (1) komunikasi (1) konsep kendiri (3) konspirasi (1) Lagu (1) Lentok tangan (1) Malaysia (3) Masa (10) Maslahah atau mafsadah (1) Maya (ilusi) (4) Melaka (1) Melayu (2) Melayu dan Islam (9) minda (2) musik (2) nukilan rasa (1) Pantang dalam berkarya (1) Pause (6) Pembetulan sejarah (3) Pengajian dan pengertian budaya (1) Perasaan dan pemikiran (5) Persepsi / Tanggapan (6) pointillism (2) populasi dunia (9) Produk sejarah (11) Program dan hayat (2) prosa (4) ramadan (2) realiti - kenyataan (7) Sajak (22) Sangkaan (2) sebab dan akibat (18) sejarah (14) sejarah Islam Nusantara (1) sejarah Melayu (4) Sejarah mengubah/terubah (5) Sejarah seni dalam kehidupan insan (1) Sejarah video (1) Seni Bahasa (2) Seni dalam imiginasi (1) seni kata (1) Seni logam (3) Seni textil (budaya berpakaian) (2) Seni-seni mempertahankan diri (1) sound (1) Srivijaya (3) Sunda (6) Tahap kesederhanaan (1) Tahap-tahap kehidupan (14) tenung bintang (1) Terkesan dengan suasana (2) Tradisional dalam makna (1) Ukuran dan kayu pengukurnya (2) updated (1) Usia manusia (3) vision (1) wang (7) Wujudkah kosong? (2) zarzh slide (12)

Catitan lalu

Insuran & Road Tax Online

tetangga