Showing posts with label realiti - kenyataan. Show all posts
Showing posts with label realiti - kenyataan. Show all posts

Sunday, April 10, 2011

Realiti - kenyataan 7


Dalam dunia Melayu, sesejak dahulu lagi dunia ini dikenali sebagai dunia maya. Perkataan maya adalah berasal dari perkataan Sanskrit yang bermaksud tidak nyata, tidak pasti, illusi, delusi, helah (Maya – illusion, unreality, deception, fraud, trick, sorcery, witchcraft magic, an unreal or illusory image, phantom & etc). Manakala bila dikatakan dunia maya bermakna dunia yang tidak nyata, dunia ilusi, dunia delusi, dunia helah, dunia yang tidak pasti dan lain-lain.

Anehnya generasi-generasi insan terdahulu sesejak beribu-ribu kurun lepas telah memperkatakan bahawa dunia ini sebenarnya adalah tidak konkrit, tidak nyata, hanya tempat ilusi atau sebagai tempat ujian. Sedang kini juga, terdapat para ilmuan yang mengkaji dan berpendapat bahawa semua yang wujud didunia ini sebenarnya adalah dibawah balikan dari simulasi dan rangsangan keatas panca-indera insan itu sendiri. Iaitu pemahaman akan kewujudan sesuatu dipersekitarannya atau dunia luar diri insan adalah dari tanggapan-tanggapan yang terbina dari signal-signal elektron didalam otaknya iaitu pemikirannya serta seterusnya memberi reaksi-reaksi pada perasaannya, yang bermakna juga bahawa dunia ini adalah sebenarnya tidak konkrit, tidak nyata, hanya tempat ilusi atau dalam kata lain adalah seperti realiti virtual.

(J.R. Minkel yang menulis artikel berjudul "The Hollow Universe" (Alam semesta yang kosong), menyatakan bahawa adalah keliru jika menganggap segala kebendaan yang wujud sebagai sesuatu yang benar-benar memiliki keberadaan yang mutlak berdasarkan kefahaman yang insan dapati dari panca-inderanya. Minkel juga menyatakan bahawa sejumlah ilmuan menamakan gagasan ini sebagai “teori segalanya“ dan para ilmuan tersebut menganggap teori ini sebagai tahap pertama dalam menjelaskan sifat sebenar alam semesta ini)

Realiti virtual (Virtual reality) diterjemahkan sebagai realiti maya dalam bahasa Melayu, iaitu suatu keadaan dimana simulasi-simulasi atau rangsangan yang diciptakan oleh komputer mampu membina sesuatu yang dikatakan realti atau nyata. Realiti virtual adalah seperti penerbitan gambar-gambar 3D (tiga dimensi) yang dilakukan dengan komputer dimana kelihatan sebagai nyata dan hidup dengan bantuan sejumlah peralatan-peralatan tertentu seperti bunyi-bunyian dan lain-lain, dimana dengan bantuan semua efek-efek ini, simulasi atau rangsangan lingkungan maya mencipta salinan realiti yang sedemikian nyata sehingga insan mampu terpedaya dengan gambar atau bayangan yang tidak nyata ini dan mengalami pengalaman sebagaimana sesuatu yang benar-benar realiti bagi dirinya.

Seakan begitulah realiti kehidupan insan dialam dunia maya ini yang sebenarnya bergantung dengan peranan simulasi-simulasi dan rangsangan-rangsangan yang berlaku serta pemahaman perasaan dan pemikirannya keatas perkara atau keadaan tersebut. Setiap insan melihat akan kewujudan dunia realiti buat dirinya adalah melalui simulasi dan rangsangan ini. Samada simulasi dan rangsangan ini dari segala yang diambil oleh dirinya dari dunia luar iaitu seperti pengetahuan dari pengalaman yang dicapai oleh panca-indera hidup sesejak dilahirkan atau juga dari fitrah dalaman diri insan.

Dan apa yang dikatakan realiti yang wujud dari simulasi-simulasi akan sesuatu perkara atau keadaan dirinya, itu semua sebenarnya merupakan ujian bagi dirinya, kerana hakikatnya, dunia darul asbab atau dunia tempat bersebab ini bukanlah suatu yang konkrit atau bersifat mutlak keberadaannya. Dengan memahami bahawa dunia ini sebenarnya tidak konkrit atau tidak bersifat mutlak keberadaannya, seorang penganut Islam wajar menyedari, yang konkrit dan mutlak sifatnya adalah segala perintah Tuhannya, seperti bila dirinya dalam keadaan bekerja lantaran mencari rezeki, bersolat 5 waktu dalam waktunya adalah lebih utama dari terus bekerja dan meninggalkan solatnya. Ini kerana, masa untuk bersolat iaitu 5 hingga 10 minit yang dilakukannya adalah suatu yang benar-benar konkrit dan bersifat mutlak lantaran amalan itu adalah perintah Tuhannya, sedang yang lainnya adalah tidak konkrit atau bersifat mutlak dan hanya berlalu ditelan detik masa serta sebagai ujian untuk bagaimana dirinya hidup didunia ini.

Contohnya seorang yang dibawah perasaan lapar dimana perasaan lapar tersebut adalah datang dari simulasi dirinya yang perlu mendapat makanan pada sekian-sekian waktu. Seterusnya kaitan dari simulasi ini, maka segala pengetahuan, pengalaman, budaya pemakanan, persekitaran samada mudah mendapat makanan atau sebaliknya, mencipta keadaan akan bagaimana dirinya mendapatkan makanan serta bagaimana menyediakannya. Namun dari keadaan ini, lapar adalah sebenarnya ujian buat dirinya iaitu samada dirinya melakukan sesuatu yang bercanggah dengan kebenaran seperti mencuri atau memakan makanan haram (kecuali dalam keadaan darurat) atau dirinya tetap berusaha mendapat makanan yang halal. Seperti seseorang yang dalam keadaan lapar kerana berpuasa, apakah dirinya menahan kelaparannya kerana menyedari akan itu suatu perintah buat dirinya dan akan datang suatu realiti masa yang sebenarnya, dimana dirinya akan mendapat segala yang dihajati dan tidak akan merasa lapar lagi (disurga) atau dirinya merosakkan puasanya dengan memakan sesuatu lantaran kelaparannya.

Maka dengan beranggapan bahawa dunia ini adalah realitinya konkrit dan kehidupan realiti insan hanyalah semata-mata buat waktunya didunia ini membuat insan melakukan apa sahaja untuk memenuhi segala rangsangan dirinya sedangkan dengan memahami bahawa dunia ini bukan konkrit, tidak bersifat mutlak keberadaannya serta adanya realiti sebenar selepas kematian membuatkan insan sentiasa berwaspada didalam kehidupan yang singkat didunia fana ini.

Penyangkalan akan bahawa dunia material/kebendaan ini benar-benar konkrit wujud atau merupakan sesuatu yang benar-benar mutlak keberadaannya adalah juga suatu tamparan buat insan-insan yang berjiwa kebendaan, berfalsafahkan hidupnya dibawah falsafah kebendaan dan hanya menghabiskan kehidupan sehariannya buat mengejar kebendaan sehinggakan ada yang bertuhankan kebendaan. Ini kerana, dengan penyangkalan ini, bermakna dunia kebendaan bukanlah sesuatu yang konkrit serta bersifat mutlak selama-lamanya, tetapi hanya suatu ilusi atau asbab yang berupa ujian keatas insan selama mana hayatnya dimuka-bumi ini.

Atas itu juga, insan memerlukan simulasi-simulasi dan rangsangan-rangsangan akan realiti adanya dunia akhirat yang benar-benar mutlak keberadaannya dan ini adalah bermula dari keyakinan atau keimanannya yang benar akan kewujudan serta hari pembalasan selepas kematian. Dengan membawa diri kedalam lingkungan amal-soleh, lingkungan mereka-mereka yang sentiasa memperkatakan atau mendakwahkan kebenaran, targhib-targhib akan pembalasan buat kebaikan yang dilakukan mahupun tarhib diatas pembalasan buat kesalahan yang dilakukan, insan membina lingkungan rangsangan dunia maya yang tidak bersifat mutlak keberadaannya kepada rangsangan dunia akhirat yang bersifat mutlak keberadaannya.




Friday, April 08, 2011

Realiti - kenyataan 6


Berbalik pada faktor-faktor yang digunakan untuk memahami apakah sebenarnya akan suatu realiti, faktor dari sudut pandangan sosial, kultural, empiris dan metafizik perlu dikaitkan antara satu sama lain kerana hanya berdasarkan semata-mata dari suatu faktor sahaja adalah tidak mencukupi.

Contohnya, apakah seorang gadis yang kelihatan begitu cantik serta seorang jejaka yang kacak dengan pakaian yang bergaya dan anggota tubuh-badan yang tidak cacat, realitinya sentiasa memiliki peribadi yang mulia? Sedangkan begitu ramai yang zahirnya kelihatan indah tetapi mempunyai perilaku yang buruk dengan hidup penuh kemaksiatan, tipu-daya dan malah rata-rata penjenayah dari yang digelar jenayah kolar putih sehingga jenayah jalanan adalah dari kalangan mereka yang bertubuh sihat tanpa cacat. Namun inilah realiti dari sudut majoriti pandangan social iaitu penampilan zahir dikatakan mencerminkan penampilan yang baik, sedangkan hanya melalui penampilan zahir, ianya bukanlah sebagai kayu-ukur yang sebenar untuk menilai seseorang tersebut.

Atau contoh lain dimana terdapat dikalangan suatu masyarakat yang membenarkan nikah sesama jenis, sedangkan ini adalah suatu kesalahan dan kesilapan yang amat besar, serta bercanggah dengan fitrah insaniah tidak kira dari bangsa mana pun, tetapi lantaran majoriti pandangan sosial buat masyarakat disesuatu tempat tersebut beranggapan bahawa perkahwinan sebegitu adalah menunjukkan realiti akan hak asasi setiap individual, maka ia dibenarkan. Jadi jelas disini, semata-mata mengikut pandangan sosial sesuatu tempat
dan keadaan, adalah tidak mencukupi untuk mengadili apakah realiti kebenaran atau mahupun apakah erti realiti kehidupan insan bersama fitrahnya yang tersendiri.

Sebegitu juga hanya berpandukan dari sudut pandangan kultural akan apakah realiti adalah tidak mencukupi kerana pandangan kultural hanyalah bergantung kepada musim sesuatu cara hidup yang berligar disekian-sekian waktu, tempat atau zaman. Contohnya, pada pandangan budaya seperti musik yang menjadi trend disesuatu masa, seseorang yang hebat menyanyi mengikut trend tersebut dikatakan realitinya beliau adalah seniman ulung, sedangkan sebalik itu, penyanyi tersebut hanya memiliki suara yang merdu serta bijak bermain alatan musik tetapi tiada langsung mendalami akan erti seni kehidupan dan tidak cuba mendalami akan erti apa itu kehidupan. Dalam mana semua liriknya adalah tiada bererti langsung atau penuh kekosongan maknanya serta caranya diciplak dari pemuzik-pemuzik barat semata-mata, dimana ini menunjukkkan realitinya bahawa penyanyi tersebut bukanlah kategori insan yang benar-benar seni jiwanya tetapi realitinya adalah seorang peniru yang hebat.

Sedang hanya berpandukan pandangan empiris adalah juga tidak memadai untuk mengadili apakah realiti sebenar akan sesuatu tersebut kerana pengetahuan dari pengalaman insan adalah sentiasa terbatas mengikut keadaan, tempat serta masanya, sebagaimana jika seseorang tersebut adalah seorang wanita disekian-sekian umur, tentu pengalamannya yang seterusnya membicarakan apakah sesuatu yang rasional atau logik tersebut bergantung semata-mata dari pengalaman sudut kewanitaannya sebegitu juga dengan seorang lelaki yang berada disekian-sekian umur, tempat dan keadaan sedangkan untuk memperkatakan apakah suatu realiti yang menyeluruh, memerlukan suatu dimensi yang menjangkau segala aspek.

Kerana itu, disamping pandangan social, kultural serta empiris merupakan pandangan yang penting dalam menafsirkan apakah suatu realiti tersebut, pandangan metafizik adalah merupakan suatu keutamaan, dimana, bukan semata-mata zahir yang diadili, tetapi juga merangkumi yang batin. Namun dalam hal ini juga, suatu petunjuk amat diperlukan oleh insan kerana insan wajar sahaja hanyut dalam dunia pemikiran falsafahnya yang tidak berasas, dunia yang karut-marut diatas fantasinya serta dunia khurafat dari persepsi-persepsi salahnya.

Seperti pegangan penganut animisme yang mempercayai akan realiti kewujudan hal-hal ghaib atau kuasa disebalik alam semula-jadi (supernatural) tetapi lantaran tidak difahami dan tiada petunjuk yang sebenar, maka dipercayai akan pokok atau batu-batu sekian-sekian mempunyai kuasa, lalu dilakukan upacara menyembah serta menghidangkan sesuatu pada objek-objek ini, sedangkan itu semua adalah sesuatu yang karut-marut. Sebegitu juga dengan mempercayai kewujudan hantu-hantu yang menakutkan sedangkan disebalik itu, ianya hanyalah suatu kehidupan selain insan yang digelar jin dan mereka juga hidup bermasyarakat dimana ada yang baik dan yang sebaliknya.

Atas itu, pada penganut agama Islam, ajaran agama Islam itu sendiri adalah pintu untuk memahami apakah sebenarnya realiti kehidupannya didunia ini dan buat kehidupan seterusnya kerana dari ajaran agama Islam itu sendiri, terbentuknya pandangan social atau masyarakat akan apa itu realiti kebenaran yang dicari, kebudayaan yang ada batas-batasnya dalam memahami realiti budaya kehidupan, pengalaman yang bukan sahaja dari abad ini tetapi dari seawal sejarah kewujudan insan yang pertama dan seterusnya petunjuk buat makna metafizik akan apakah realiti kehidupan insan itu sendiri dari sudut zahir dan disebalik alam zahir iaitu alam batin serta akan realiti kewujudan Pencipta alam yang Maha Esa yang menguasai segala-galanya. Sedang realiti yang hakiki, tanpa pedoman dan petunjuk dari ajaran Islam, insan bukan sahaja tidak memahami akan kewujudan penciptanya, tetapi akan maksud kewujudan dirinya sendiri didunia ini tidak difahami.


Bersambung...

Tuesday, April 05, 2011

Realiti - kenyataan 5


Sebagaimana ada perbezaan antara berjaga dengan tidur, sebegitulah suatu realiti dengan suatu mimpi, imaginasi, khayalan, ilusi dan segala sepertinya. Namun begitu, seseorang yang berjaga tidak semestinya sentiasa dalam keadaan yang dikatakan benar-benar sedar seperti seorang yang tidak tidur tetapi dalam keadaan mabuk, ralek, berangan, khayal atas sesuatu bahan, pemikirannya dibawah sesuatu kawalan dan lain-lain. Dimana dalam keadaan sesuatu yang dikatakan realiti, tidak semestinya insan yang berada didalam keadaan realiti itu menyedari akan keadaan realitinya yang sebenar atau juga keadaan dimana seorang yang menyedari akan keadaan realitinya namun tiada berkemampuan melakukan sesuatu keatasnya seperti seorang yang dalam keadaan keretanya terbabas dan terlangar sebatang pokok, namun dirinya yang tersepit dan cedera-parah, tidak mampu melakukan apa-apa melainkan hanya menanti datangnya bantuan.

Untuk memahami pemaknaan suatu realiti, ada beberapa faktor yang digunakan seperti berdasarkan pandangan sosial, kultural, empiris serta metafizik. Secara ringkasnya, pandangan sosial adalah pandangan umum masyarakat dalam menafsirkan apa itu suatu kehidupan atau apakah sesuatu keadaan tersebut, kultural pula adalah kebudayaaan yang dihidupkan dan seterusnya pemahaman dari sesuatu budaya tersebut samada sesuatu kebudayaan yang berupa warisan dari dahulu atau yang baharu, manakala empiris pula adalah suatu keadaan yang amat bergantung pada bukti atau pencapaian panca-indera seperti setelah melalui percubaan atau pengamatan, dalam kata lain, pengetahuan hasil dari pengalaman.

Sedang metafizik adalah penjelasan asal atau hakikat objek (fizik) didunia, seperti sumber kewujudan sesuatu tersebut, kenyataan akan kewujudan sesuatu tersebut, sebab-sebab kewujudannya dan seterusnya kepada perkara-perkara sesuatu yang berkaitan dengan perkara-perkara yang ghaib atau tidak dilihat dengan pandangan zahir. Fizik (physikos-alamiah dan physis-alam) iaitu pengetahuan meluas tentang alam semula-jadi serta bagaimana memahami serta mengambil faedah darinya. Dari itu adanya pengajian-pengajian ilmu-ilmu sains samada dari zaman dahulu sehinggalah kezaman terkini, yang memperkatakan akan segala dialam semula-jadi ini serta seterusnya kepada segala yang berkaitan dengan insan seperti penemuan ilmu-ilmu yang dapat membantu kehidupan seharianya. 

Manakala meta (meta-setelah/disebalik dll) adalah suatu ayat penambahan kepada ayat lain untuk membawa makna disebalik sesuatu tersebut seperti contohnya metadata untuk suatu foto, dimana metadata memperkatakan maklumat bukan sahaja akan foto tersebut tetapi maklumat mendalam disebalik foto tersebut seperti siapa yang mengambil gambar tersebut, bila waktu diambil gambar tersebut, kenapa diambil gambar tersebut dan lain-lain.

Suatu pertanyaan, untuk apakah perlunya memahami akan keadaan sesuatu realiti tersebut? Apakah hanya untuk suatu kajian demi kajian yang penghujungnya hanya berakhir tanpa faedah? Sedangkan sebenarnya, dengan memahami atau mendalami keadaan sesuatu realiti, maka mudah untuk usaha-usaha samada memperbaiki keadaan tersebut, merubah kearah keadaan yang lebih baik atau melakukan usaha mengekalkan sesuatu keadaan tersebut sekiranya didapati bahawa ia adalah benar-benar sesuatu yang membawa kebaikan.

Contohnya dalam memahami realiti budaya kehidupan konsum masyarakat modern hari ini dimana saban hari diasak dengan berjuta-juta barangan-barangan yang dipasarkan, sedangkan, apa yang diperlukan untuk kehidupan sehariannya adalah jauh kecil bilangannya daripada apa yang dikonsumkan. Atau juga juga akan realiti dizaman tanpa batas internet, yang mana berupaya mengubah segala aktiviti kehidupan samada individu mahupun masyarakat umumnya.

Apakah realiti budaya konsum masyarakat modern hari ini berserta dunia tanpa batasnya membawa kealam yang jauh lebih baik dari kehidupan dahulu atau sebaliknya menenggelamkan ramainya insan kedalam suatu lapangan kehidupan yang berbentuk realiti maya (virtual reality - realiti maya dimana simulasi persekitaran yang dihasilkan oleh komputer)? Mungkin suatu waktu dahulu, pengertian buat realiti maya hanyalah terhad untuk sesuatu pengalaman visual lantaran berinteraksi dengan komputer lalu menghasilkan simulasi pada panca-inderanya, seperti permainan yang menggunakan segala alat bantuan iaitu sarung tangan berwayar, helmet yang mempunyai skrin untuk menampilkan imej-imej, pembesar suara yang menghasilkan bunyi-bunyian bagi menghidupkan suasana dan seterusnya.

Namun kini, pengertian buat maksud realiti maya juga adalah lebih meluas kepada segala aktiviti kehidupan seharian dan seterusnya kepada perasaan dan pemikiran yang disimulasikan oleh sesuatu yang membawa dirinya kealam dunianya tersendiri. Contohnya seorang yang menghabiskan selama bertahun-tahun begitu banyak waktunya saban hari didalam laman-laman social (facebook, blog-blog dan lain-lain) untuk berinteraksi dengan teman-teman dialam mayanya, tidak menyedari bahawa dirinya kehilangan suasana bermasyarakat yang sebenar didalam kehidupan seharian (seperti tingginya kes-kes perceraian yang mana antara sebabnya adalah lantaran berinteraksi dengan kenalan didunia mayanya, keluarganya sendiri diabaikan untuk meluangkan masa buat mereka).


Bersambung...


Thursday, March 31, 2011

Realiti - kenyataan 4


Realiti atau kenyataan bila dikaitkan dengan kebenaran atau sebaliknya, akan sentiasa menimbulkan suatu pertanyaan, kerana lazimnya sesuatu yang dikatakan realiti, sebenarnya masih lagi boleh lagi dihuraikan, dipertimbangkan atau dipertikaikan akan kaitannya dengan kebenaran.

Sebagaimana filem-filem yang penuh dengan efek-efek mahupun jalan ceritanya yang digarap dengan begitu mendalam yang dilihat dilayar-layar wayang, membuat akan sesuatu yang digambarkan kelihatan hidup dalam dunia yang realiti sehingga mampu menghasilkan tindak-balas dari perasaan penontonnya seperti menitiskan air-mata dan lain-lain atau mahupun seperti pengaruh sesuatu genre musik yang menghasilkan tindak-balas yang digayakan seterusnya dalam kehidupan pendengarnya sehingga disangkakan itulah realiti kewujudan suatu seni yang wajar dihidupkan sedangkan itu semua hanya efek-efek yang ditimbulkan. Sebegitulah seterusnya kepada banyaknya perkara-perkara dalam kehidupan seharian insan yang mana disangkanya adalah realiti sedangkan itu hanya ilusi atau efek-efek dalam kehidupan yang terhasil dari delusi.

Dunia hari ini sebenarnya telah menyaksikan sebahagian besar sejarah terdahulu atau sejarah yang akan dibina diatas realiti yang terhasil dari efek delusi. Delusi adalah suatu persepsi atau tanggapan yang diwujudkan didunia nyata sedangkan itu adalah suatu yang tidak berasas, belum ada kepastian atau bukan kebenaran. Contoh realiti yang dibentuk oleh delusi yang begitu banyak tercatit dalam sejarah adalah seperti seorang pemimpin sesebuah negara yang menganggap dengan memperhebatkan kegiatan ketenteraannya dengan menawan sewenang-wenangnya negara-negara jiran atau yang lemah, maka negara tersebut digeruni serta banyaknya wilayah-wilayah yang berada dibawah kekuasaannya namun kesan realiti sebenarnya dari delusi ini adalah peperangan dan permusuhan yang tidak henti-henti dimana-mana sahaja dan membawa musibah samada untuk rakyat negara tersebut mahupun rakyat negara-negara yang diserang.

Sebegitu juga dengan contoh yang berlaku saban waktu diseluruh dunia dengan angka berbillion-billion insan mengalami realiti yang tercipta oleh delusi iaitu seperti mempercayai akan adanya kuasa-kuasa ghaib disebalik objek-objek seperti patung-patung, lalu menyembahnya atau lantaran hanya mengejar kebendaan sehingga tidak disedari akan realiti dirinya mendambakan seluruh kehidupannya pada kebendaan yang dikejari.

Manakala contoh-contoh kecil yang berlaku akan gangguan delusi yang berlaku saban waktu pada individu-individu adalah seperti seseorang yang merasa dirinya hebat lalu membawa penampilan realiti akan kesombongannya, seseorang yang merasa begitu sayang kepada hartanya serta takut keterlaluan akan kekurangan hartanya membuat realiti dirinya sebagai seorang yang kedekut, merasa akan dirinya penuh berilmu lalu memandang rendah pada pihak lain, merasa disihir orang, dirinya diintip dan diekori oleh sesuatu dan lain-lain. Hari ini juga dimana dengan segala alat komunikasi terkini seperti dengan laman-laman social dimana setiap detik boleh berkomunikasi dengan pihak lain samada yang digemari atau dibenci membuat insan mudah sahaja mendapat gangguan delusi seperti contohnya seseorang merasa dicintai oleh seseorang yang baru dikenali dari sebuah laman social (facebook dan lain-lain) sedangkan dirinya hanya dipermain-mainkan, seseorang merasa dirinya diperli atas sesuatu tulisan dan atau juga kepada perkara-perkara yang lain-lain.

Pertanyaan dan kajian akan kewujudan sesuatu yang realiti yang dikaitkan dengan kebenaran dengan sesuatu yang disebaliknya adalah suatu pertanyaan sedari dahulu lagi terutamanya buat mereka yang mencari-cari pengertian akan sebenarnya kewujudannya didunia ini tidak kira dibenua mana pun. Ianya boleh dikatakan suatu yang wajar difikirkan oleh sesiapa sahaja tidak kira apa status atau siapa diri mereka kerana proses berfikir bukan sahaja milik sesuatu pihak namun dalam pada itu, perlunya suatu petunjuk untuk menuju kearah yang dikatakan kebenaran kerana tanpa petunjuk yang sebenar maka jadilah seperti contohnya bila diperkatakan alam batin, terdapat mereka yang menganggap atau menafsirkan hanya sebagai alam yang penuh ilmu-ilmu sihir, jin-jin dan lain-lain kerana maklumat yang salah sedangkan maksud alam batin adalah suatu penyataan meluas tentang alam disebalik alam zahir.

Dan sayugia dikatakan untuk penganut agama Islam, agama Islam adalah sebagai suatu petunjuk dan penyata kepada segala apakah yang dikatakan sebagai kebenaran serta bagaimanakah hidup menuju kearah kebenaran, seperti akan kewujudan insan dialam semula-jadi dengan fitrahnya dimana antara alam zahir dan batin dan seterusnya kepada akan kuasa sebenar yang berkuasa diatas segala sebab-sebab terjadinya sesuatu dialam ini. Disamping itu juga, sekiranya ajaran agama Islam diamalkan dengan sempurna, ianya dapat melindungi diri dari gangguan delusi yang mampu mencipta realiti palsunya, seperti contohnya seseorang yang bersolat 5 waktu sehari dengan penuh tertib dan khusyuk dapat membuat fikirannya tenang dan ini seterusnya melindungi fikirannya dari mengalami gangguan-gangguan delusi.


Bersambung...

Saturday, March 26, 2011

Realiti - kenyataan 3


Suasana memainkan peranan utama buat apakah yang dikatakan kewujudan suatu realiti kehidupan kerana kesan yang timbul darinya. Diatas pengaruh suasana juga, apa yang dikatakan realiti itu mampu sahaja berubah dari masa kesemasa. Suasana akan seseorang insan, sekelompok masyarakat mahupun keperingkat global seterusnya adalah pencorak bentuk realiti dimasa hadapan. Bak diibaratkan saiz pakaian dengan saiz tubuh-badan yang mana saiz pakaian terpaksa mengikut saiz tubuh-badan, sebegitulah kewujudan sesuatu realiti itu terpaksa mengikut akan suasana yang wujud.

Suasana mencipta akan kewujudan realiti adalah contohnya seperti suasana kehidupan sekitar yang penuh kemungkaran tanpa beradab akan menghasilkan realiti masyarakat yang bergelumbang dengan kemaksiatan dan gejala buruk social yang teruk, disamping kehidupan yang penuh bermasaalah dan penuh ketakutan. Sebaliknya, suasana kehidupan sekitar penuh kebaikan, adab-sopan, tolong-menolong, hormat-menghormati serta sentiasa berpesan-pesan kearah kebaikan akan menghasilkan realiti masyarakat yang hidup dalam keharmonian atau menuju kearah kehidupan yang aman-damai.

Hari ini, dengan adanya segala peralatan modern yang semakin canggih dari hari kehari, seluruh pergerakan atau komunikasi antara insan seluruh dunia seakan mampu dilakukan hanya dengan satu tekanan jari sahaja, dibandingkan dengan suatu ketika dahulu yang amat payah untuk insan bergerak dari suatu daerah kesuatu daerah, dari suatu benua kesuatu benua mahupun begitu payah komunikasi antara insan. Hatta kepada perkara-perkara yang lain seperti dari berbagai bentuk perniagaan, penyampaian media-media samada berbentuk berita atau hiburan dan seterusnya kepada penyebaran bentuk-bentuk pemikiran seperti sesuatu idealisme, luahan minda-minda, bahan-bahan kreativiti dan seterusnya, hari ini mampu tersebar dan berligar dimana-mana sahaja sudut bumi dengan sekelip mata.

Dan ini tentunya membuat sesuatu suasana sebagaimana yang dihajati oleh sesetengah pihak, mudah tersebar dan wujud dimana-mana dan seterusnya terciptalah suatu realiti kehidupan darinya. Contohnya bentuk suasana sesuatu kehidupan yang bebas yang dirakamkan difilem-filem lalu filem-filem tersebut disebarkan diseluruh sudut dunia, dimana seterusnya mempengaruhi akan kewujudan realiti kehidupan yang bebas dimana-mana. Atau contohnya bentuk sesuatu suasana masyarakat yang hidup dalam keamanan dan keadilan, yang tersebar dimana-mana dan ini seterusnya mempengaruhi akan masyarakat-masyarakat ditempat-tempat lain untuk juga berusaha keatas kewujudan realiti adanya keamanan dan keadilan.

Semuanya berada antara yang hak dan batil dan masing-masing cuba mengambil tempatnya dalam membentuk apakah yang dikatakan kewujudan suatu realiti dimana samada yang hak dan batil dicampur-adukkan atau adanya pertembungan dalam perbezaan antara keduanya. Dalam mana juga, ramai yang tidak menyedari bahawa realiti diri mereka sedang dibentuk atau dicorak oleh sesuatu saban waktu lantaran suasana kehidupan yang mereka lalui seperti contohnya suasana kehidupan kini ramainya para remaja yang duduk berjam-jam sehari didepan komputer atau telefon bimbit dengan talian internetnya tanpa sesuatu yang bermanfaat, tidak menyedari akan realiti diri mereka iaitu minda mereka telah dikuasai oleh sesuatu dan seterusnya realiti kehidupan mereka tercorak dari situ.

Seperti suasana kehidupan yang hanya mengejar kebendaan atau hanya yang zahir menyebabkan ramai yang tidak menyedari akan tekanan batin atau kekosongan rohanian kerana tidak diendahkan faktor ini, dimana atas tekanan-tekanan batin atau kekosongan rohanian ini seterusnya membuat akan kegelisahan jiwa dan juga menghasilkan suatu realiti mentaliti insan yang tidak berakhlak, tiada semangat tolong-menolong, masing-masing hanya mementingkan diri sendiri dan tindas menindas antara satu sama lain menjadi suatu perkara yang lumrah.

Realiti adalah suatu yang nyata namun begitu, sesuatu yang dikategorikan sebagai sesuatu yang nyata wajar sahaja berubah maknanya bila dikaitkan antara sesuatu yang zahir iaitu sesuatu yang dicapai dengan panca-indera luaran seperti pandangan, pendengaran atau sentuhan, dengan sesuatu yang batin seperti perasaan dalaman atau pemikiran seseorang insan.

Kekadang juga, dari suasana yang wujud, timbulnya suatu yang dikatakan realiti tetapi hakikat sebenarnya itu bukan realiti, hanya ilusi atau realiti yang dibentuk dari delusi seperti contohnya kesan dari suasana yang panas terik menghasilkan pandangan fata-morgana, iaitu kelihatan realiti adanya tasik atau tompokan air melalui panca-indera pandangan sedangkan itu bukanlah realiti, hanya wujud kerana pantulan dari cermin yang terhasil dari udara panas (sebegitulah suasana duniawi mampu menghidang suatu kehidupan yang ramai menyangka itulah realiti kehidupan yang dicari, sedangkan semua itu hanyalah ilusi yang membuat waktu-waktu kehidupan didunia yang singkat ini terbuang kosong dan kerugian).


Bersambung...

Friday, March 11, 2011

Realiti - kenyataan 2


Insan, sebenarnya sesejak lahir kedunia ini, belajar untuk memahami dan merumuskan apakah realiti buat dirinya. Rumusan-rumusan ini adalah dibina dari segala data yang diambil dari persekitaran kehidupannya melalui panca-inderanya dan data-data ini akan setiap waktu berkembang dan menjadi pengalaman serta pengetahuan buat dirinya.

Data-data ini adalah seperti contohnya cara pemakanan, fashion-fashion pakaian yang digayakan atau cara pemakaian seharian, reka-bentuk atau cara penempatan kediaman, informasi atau maklumat samada dari bentuk klasik atau modern, pekerjaan atau pengajian yang dilakukan atau diusahakan, hiburan serta pengaruhnya dalam kehidupan seharian, amal-ibadat dalam mengikut kepercayaan, amal kebajikan yang dihidupkan disesuatu tempat, mungkar yang ada dipersekitaran dan seterusnya.

Dalam pada itu, insan bukanlah suatu robot yang mana hanya mengumpul segala data dan analisa serta rumusan yang disimpulkan hanya mengikut data-data yang disimpan tetapi sebaliknya insan akan menganalisa dan kemudian merumus segala data-data yang diperolehi dengan perasaannya seperti keyakinan, keperluan atas sesuatu, kehendak diri, hajat atau cita-cita, tekanan-tekanan emosi, kebencian, kerisauan dan sebagainya.

Atas itu, untuk kesimpulan apakah bentuk sesuatu realiti yang wujud serta apakah realiti yang dihajati atau digusari buat masa hadapan, maka terdapat perbezaan diantara insan-insan dimana sahaja, disamping tidak dinafikan wujudnya persamaan kolektif seperti suatu masyarakat membuat kesimpulan yang sama buat bentuk sesuatu realiti tetapi berbeza dengan masyarakat yang lain.

Contohnya bentuk suatu realiti buat seorang kanak-kanak atau remaja adalah tidak sama dengan mereka yang dewasa dan telah memikul tanggung-jawab sebagai ayah atau ibu. Pada sikanak-kanak, realiti dunianya mungkin hanya berkisar tentang alam persekolahannya, teman-teman sebaya serta barang-barang permainan atau hiburanya tetapi buat siayah atau siibu, dunia realitinya adalah penuh tugas dan tanggung-jawab yang perlu diuruskan saban waktu.

Untuk realiti dimasa hadapan, sikanak-kanak mungkin mahu dikatakan dalam kategori mereka yang berjaya mengikut realiti apa yang disimpulkan melalui alam persekitaran serta perkara-perkara yang mempengaruhinya, atau mungkin sikanak-kanak mahu mengubah realiti apa yang dikatakan kategori mereka yang berjaya kerana tekanan-tekanan hidup yang dialami seperti contohnya pemberontakan jiwa kanak-kanak yang lahir dari keluarga pincang sedangkan orang-tuanya adalah berjawatan tinggi, anak-anak luar nikah yang diketawakan oleh masyarakat sekelilingnya sedangkan itu bukan kesalahannya, anak-anak yang hidup dialam peperangan yang kehilangan ahli keluarganya serta sebahagian tubuh-badannya dan atau sebab-sebab lainnya.

Sedang bentuk realiti masa hadapan buat mereka yang telah dewasa atau telah memikul tanggung-jawab sebagai ayah atau ibu, mungkin bukan lagi untuk cita-cita sebagaimana dialam kanak-kanaknya tetapi lebih daripada kesan kehidupan yang ada dan bagaimana kehidupan tersebut diteruskan. Samada dirinya telah mencapai apa yang dikatakan kategori mereka yang berjaya atau tidak, yang utama adalah bagaimana dirinya dapat meneruskan kehidupannya disamping sentiasa dapat menguruskan segala tanggung-jawab yang dipikulnya.

Sebegitu juga contohnya sekelompok masyarakat yang menetap dipendalaman yang jauh dari komunikasi dengan dunia luarnya seperti didesa-desa pinggir rimba mahupun didalam rimba, tentu jauh berbeza pandangan sudutnya tentang apakah bentuk suatu realiti akan kehidupan yang dilalui dengan sekelompok masyarakat yang tinggal dikota besar.

Dan mungkin untuk bentuk realiti masa hadapan, generasi mereka yang menetap dipendalaman hutan tersebut mahu merubah keadaan mereka untuk menjadi kalangan kategori mereka yang dikatakan maju atau modern, sedang mungkin generasi mereka yang tinggal dikota-kota besar pula mencari-cari suatu realiti hidup yang damai dari hiruk-piruk kota serta tekanan hidup disitu seperti mengambarkan sebagaimana damainya kehidupan didesa-desa atau kehidupan yang jauh dari segala beban-beban yang menekan jiwa.

Perbezaan-perbezaan akan apakah bentuk suatu realiti serta apakah realiti yang dihajati adalah suatu perkara yang lumrah dimana-mana namun yang menjadi persoalannya adalah kesan yang dibawa dari sesuatu realiti yang wujud serta realiti yang dihajati buat masa hadapan.Terutamanya buat mereka yang mempercayai akan realiti adanya hari selepas kematian, kerana realiti kematian serta perhitungan selepas kematian adalah sesuatu yang amat perit serta bukan suatu yang mudah untuk dilalui.

Bersambung...

Thursday, March 10, 2011

Realiti - kenyataan 1

Apakah realiti serta apakah kaitannya dengan kehidupan seharian dari seorang individu sehingga kepada sekelompok masyarakat. Apakah makna suatu realiti buat kehidupan disesuatu tempat dan zaman seperti diabad-abad silam, abad ini mahupun abad mendatang serta apakah pengaruh yang menghasilkan pemaknaan akan sesuatu yang dikatakan realiti tersebut?

Lazimnya diketahui bahawa realiti atau kenyataan adalah bermakna sesuatu yang nyata atau jelas dari sudut pencapaian panca-indera insan seperti melalui penglihatan, pendengaran, bau-bauan dan lain-lain mahupun sesuatu yang didalam kemampuan pengiraan insan seperti segala yang dapat diukur, dinamakan, dibentuk dan lain-lain dan serta juga sesuatu yang dapat dirumuskan secara logik atau rasional melalui bahasa, lukisan, ukiran dan sebagainya. Dalam kata lain, realiti atau kenyataan lazimnya adalah sesuatu yang benar-benar wujud bersama bukti diatas fakta-fakta kebenaran akan kewujudanya.

Namun apakah semua yang wujud itu benar-benar terbukti kebenarannya sedangkan lumrahnya bila dikatakan realiti akan sesuatu kehidupan atau keadaan, berbagai-bagai pihak akan membawa fakta-faktanya tersendiri yang berbeza antara satu sama lain dalam merumus apakah sesuatu yang dikatakan realiti. Seperti contohnya sesuatu kes yang berjalan dimahkamah dimana masing-masing iaitu pihak pendakwa dan pihak yang didakwa akan meletakan fakta-fakta masing-masing untuk pihak hakim serta para juri mengadili dan memutuskan apakah realiti akan kejadian dalam sesuatu kes tersebut (dimana kekadang terjadi kes-kes pihak bersalah dilepaskan atau sebaliknya iaitu pihak yang tidak bersalah tersilap dihukum).

Keadaan dimana terjadinya kebenaran bercanggah dengan fakta-fakta atau kebenaran bercanggah dengan apa yang dirumus serta difahami, memerlukan pertanyaan pertamanya akan apakah yang dimaksudkan akan kebenaran itu sendiri. Dan apakah yang dimaksudkan akan sesuatu kebenaran ini sebenarnya mampu memberi kesan kepada apakah yang dikatakan realiti atau kenyataan, buat seseorang individu atau sekelompok masyarakat mahupun juga buat penghuni dunia keseluruhannya.

Kewujudan sesuatu yang dikatakan realiti atau kenyataan adalah juga dicipta oleh insan kesan seperti dari cita-rasa, fikiran, tindak-balas, reaksi, sikap atau mentaliti, pegangan atau kepercayaan, persepsi atau sangkaan dan seterusnya, iaitu samada sesuatu yang berbentuk kebaikan atau sebaliknya. (Hanya-sanya sebagai seorang muslim, wajar memahami dahulu akan perbezaaan makna lafas dengan makna hakikat dimana makna lafas adanya ikhtiar buat insan kerana dunia ini “darul asbab“ - iaitu terjadinya sebab-sebab adalah ujian buat insan didunia ini- tetapi dalam itu, wajar pertama-tamanya mempercayai akan hakikat takdir bahawa semuanya terjadi dibawah ketetapan dari Tuhan yang esa)

Contohnya realiti yang dicipta oleh insan adalah seperti suatu kemalangan berlaku dimana pemandunya cedera parah kerana kepalanya terhantuk cermin kereta lantaran tidak memakai tali-pinggang kalendar, sedangkan dalam kes pelanggaran yang sama, pemandunya kurang mengalami kecederaan kerana memakai tali-pinggang kalendar. Atau kereta yang dipandunya tiada mempunyai ciri-ciri keselamatan bila terjadinya kemalangan kerana direka oleh syarikat kereta yang hanya mementingkan keuntungan semata-mata, berbanding dengan kereta-kereta yang dikeluarkan oleh syarikat kereta yang mengutamakan keselamatan pembeli kereta buatannya.


Segala unsur-unsur yang dihidupkan dialam persekitaraan, berkemampuan menghasilkan realiti kehidupan seperti yang membawa keburukan contohnya unsur yang menyebabkan terjadinya banyak perzinaan dimana seterusnya menghasilkan realiti anak-anak luar nikah yang dibuang atau dibunuh, terjadinya perceraian yang tinggi statistiknya kerana realiti kehidupan yang bebas antara bukan muhrim seperti perhubungan dengan social-net iaitu facebook dan lain-lain, tingginya kes-kes tekanan jiwa kerana realiti kehidupan yang menghimpit jiwa, kebuluran atau kelaparan disesuatu tempat kerana realiti mereka-mereka yang kaya tidak mengeluarkan zakat untuk membantu mereka yang tidak berkemampuan atau kerajaannya tidak cekap mengurus rakyatnya, penderitaan mahupun kematian kerana realiti akan keadaan tegang atau perang yang meletus dan seterusnya.

Sebegitu juga unsur-unsur dipersekitaran yang membawa kepada realiti kebaikan seperti suasana kehidupan yang sihat menghasilkan realiti insan-insan yang lebih ceria, alam pekerjaan yang tidak menekan samada dari jenis pekerjaan itu sendiri atau masa pekerjaan yang seimbang dengan masa yang diluahkan untuk diri serta keluarga menghasilkan realiti kehidupan insan yang lebih tenang dan bahagia, adap-adap akhlak yang dijaga menghasilkan realiti kehidupan yang lebih harmoni antara satu sama lain, berpesan-pesan kearah kebaikan menghasilkan insan-insan yang ada perasaan akan bertanggung-jawab dan seterusnya.


Bersambung...


Btn_brn_77x28

Tajuk

Abbasiyah (1) altruisme - ikram (3) Aqidah (1) art video (20) Austronesia (10) Bahasa dan penampilan (5) Bangsa Melayu (7) batas sempadan (9) Berita (15) Besi (1) Biography solihin (1) Budaya dan pengertiannya (16) catitan (2) cerdik/bodoh dan antaranya (6) cetusan minda (8) cinta dan syahwat (3) Doha - Qatar (2) Eid Mubarak (5) falsafah (2) Fantasia falasi (3) Fibonacci (1) Filem (2) fitrah (1) Fungsi seni (1) gangsa (1) hukum (6) huruf (2) hutang (1) ijtima (1) Iklan (2) imitasi dan memori (1) infiniti (5) jalan2 (2) kebangsaan/nationalisme (2) kebebasan bersuara (1) Kelahiran kesenian yang mengubah warna dunia. (1) Kembali sebentar tentang erti seni (Islam) (1) kerja otak (1) Kesenian dunia Islam (1) komunikasi (1) konsep kendiri (3) konspirasi (1) Lagu (1) Lentok tangan (1) Malaysia (3) Masa (10) Maslahah atau mafsadah (1) Maya (ilusi) (4) Melaka (1) Melayu (2) Melayu dan Islam (9) minda (2) musik (2) nukilan rasa (1) Pantang dalam berkarya (1) Pause (6) Pembetulan sejarah (3) Pengajian dan pengertian budaya (1) Perasaan dan pemikiran (5) Persepsi / Tanggapan (6) pointillism (2) populasi dunia (9) Produk sejarah (11) Program dan hayat (2) prosa (4) ramadan (2) realiti - kenyataan (7) Sajak (22) Sangkaan (2) sebab dan akibat (18) sejarah (14) sejarah Islam Nusantara (1) sejarah Melayu (4) Sejarah mengubah/terubah (5) Sejarah seni dalam kehidupan insan (1) Sejarah video (1) Seni Bahasa (2) Seni dalam imiginasi (1) seni kata (1) Seni logam (3) Seni textil (budaya berpakaian) (2) Seni-seni mempertahankan diri (1) sound (1) Srivijaya (3) Sunda (6) Tahap kesederhanaan (1) Tahap-tahap kehidupan (14) tenung bintang (1) Terkesan dengan suasana (2) Tradisional dalam makna (1) Ukuran dan kayu pengukurnya (2) updated (1) Usia manusia (3) vision (1) wang (7) Wujudkah kosong? (2) zarzh slide (12)

Catitan lalu

Insuran & Road Tax Online

tetangga