Showing posts with label Persepsi / Tanggapan. Show all posts
Showing posts with label Persepsi / Tanggapan. Show all posts

Wednesday, June 16, 2010

Persepsi / Tanggapan - 6


Penghuraian atau rumusan apa itu dunia disekitar insan adalah melalui persepsi yang dimilikinya dan persepsi ini dilapisi oleh deria-deria termasuk akalnya untuk kefahaman yang dimiliki akan apa itu sesuatu tersebut.

Samaada deria insan melakukan kesilapan atau tidak mahupun apa yang diterima oleh deria insan berupa suatu kesilapan atau tidak, dari situ ia memahami apakah atau bagaimanakah sesuatu tersebut kerana pengantungan melalui penerimaan deria-derianya.

Contohnya dari warna kanta kaca-mata serta bagaimana kanta tersebut, membuat seseorang melihat dunia luar dirinya. Sekiranya kuning warna kantanya, maka kuninglah dunia luar dilihatnya, sebegitu juga dengan warna-warna yang lain. Sekiranya suatu kanta kaca untuk mereka yang rabun jauh digunakan oleh mereka yang rabun jauh, maka jelas pandangannya tetapi sekiranya digunakan oleh mereka yang rabun dekat atau sihat penglihatannya, maka kanta untuk rabun jauh itu mengaburkan pandangan mereka.

Efek (effect) keatas sesuatu juga dapat menukar akan apa sebenarnya sesuatu atau perkara yang diterima oleh deria-deria lalu membuat persepsi berlandaskan pada efek tersebut bukan kepada keadaannya yang sebenar. Contohnya seseorang yang menangkap seekor ikan bilis yang kecil tetapi diceritakan pada temannya akan begitu besar ikan yang ditangkap, begitu payah sehingga hampir tenggelam sampahnya lantaran besarnya ikan tersebut membuat temannya menpercayai akan ceritanya berlatarkan efek-efek melalui tangan, muka dan kesungguhan yang dilakukannya.

Seperti juga dimisalkan bahawa dunia ini adalah patung usang seorang wanita yang tidak berroh tetapi diefekkan dengan segala macam make-up sehinggakan ia kelihatan hidup dan jelita yang membuatkan ramai pemuda bermati-matian untuk mengahwininya.

Mungkin diatas rasionalnya fikiran, diatas keyakinan diri serta pada pendirian diri akan apa sesuatu tersebut, seseorang insan dapat menapis segala maklumat yang diterima oleh derianya. Seperti dari ilmu, pengalaman atau fitrah insaniah yang asli menerbitkan fikiran rasional akan erti sebenar sesuatu tersebut, dari keyakinan berlantaskan kebenaran dapat ia menterjemahkan sesuatu tersebut dan mahupun dari pendirian diri yang cenderung pada kebenaran dapat ia menapis sesuatu yang diterima oleh deria-derianya.

Namun lazimnya yang berlaku, diri insan sedari awal disumbatkan dengan segala kedustaan seperti disumbatkan dengan efek-efek buat kehebatan duniawi atau kebendaan, bukan rupa sebenar kehidupan didunia fana ini, lantas ia tertipu dalam persepsi dusta dengan mempercayai akan kehebatan duniawi atau kebendaan dan melupai kehebatan sebenar Pencipta alam yang menjadikan segala-galanya dan segalanya tertakluk dibawah kekuasaan Pencipta alam.

Sebagaimana duit syilling 50 cent didekatkan didepan mata seseorang, lalu apa yang dilihat dan dimengertikan hanyalah rupa bentuk serta nilai duit syilling tersebut sedangkan pandangan gunung-ganang yang besar lagi tinggi terjegat didepan dirinya tidak dilihatnya lantaran pandangannya tertutup oleh duit syilling 50 cent tersebut.

Kerana itu, untuk mendapat persepsi sebenar akan kehidupan ini, perlunya suatu usaha berlanjutan menceritakan kebenaran, menceritakan kebesaran Maha Pencipta, menceritakan akan hidup didunia fana ini hanya sementara serta adanya neraka dan syurga, membacakan akan ayat-ayat yang difirmankan oleh Pencipta alam, membaca hadis-hadis sabdaan Nabi Muhamad s.a.w serta dari mereka-mereka yang berada dijalan yang hak agar persepsi hidup tidak bergantung hanya kepada ainul-yakin (keyakinan melalui apa yang dilihat) atau keyakinan dari apa yang dicapai oleh deria-derianya akan tetapi keyakinan sebenar kepada segala yang dinyatakan oleh Pencipta alam melalui utusannya Nabi Muhamad s.a.w.

Monday, June 14, 2010

Persepsi / Tanggapan - 5


Persepsi atau tanggapan keatas sesuatu mungkin hanyalah mainan minda, namun dalam pada itu, ia lazimnya memainkan peranan penting dalam mengambil sesuatu keputusan hatta kekadang ia keperingkat menentukan keputusan hitam-putih atau hidup-mati seseorang.

Contohnya, diatas persepsi yang salah, suatu pasangan remaja yang menyangka bahawa hidup remaja mereka adalah indah serta tiada apa dapat mengatasi perasaan cinta yang dimiliki mereka sehinggalah sigadis mengandung atas keterlanjuran pasangan tersebut melakukan perzinaan yang mana membuat kehidupan sigadis seterusnya menjadi derita.

Mahupun contohnya persepsi penjudi yang menyangka bahawa melalui perjudian, mungkin dia dapat merubah kehidupannya untuk menjadi kaya dan senang-lenang, tetapi kenyataannya, telah berjuta-juta insan saban hari diseluruh dunia kehilangan hartanya, kehilangan kerjanya hatta kepada kehilangan keluarganya diatas ketagihnya kepada perjudian.

Persepsi yang salah adalah berpunca dari berbagai-bagai perkara seperti dari kesilapan maklumat tentang sesuatu, kekurangan bukti akan sesuatu tersebut, kesilapan dalam pengamatan terhadap sesuatu lantaran terlalu menumpukan pada sesuatu yang lain (seperti kes sigadis diatas yang hanya mengutamakan cinta sehingga terjebak dalam petaka hidupnya), pengaruh-pengaruh negatif yang mengundang kepada keinginan nafsu dan seterusnya.

Persepsi adalah juga berkaitan dengan hipotesis atau hipotesa (Yunani- Hypothesis iaitu hypo/dibawah dan thesis/pendirian bererti dibawah pendirian atau pendapat yang ditegakkan) sebuah istilah yang digunakan iaitu untuk mencuba memberi jawapan sementara mengikut pendirian atau pendapat diri mahupun mengikut kaedah sebagaimana lazim dirinya berfikir samaada secara sedar mahupun terarah diatas sesuatu sebab.

Seperti contohnya, bila terdengar anjing menyalak ditengah malam maka disangka adanya pencuri maka bila benar adanya pencuri maka benar dugaan atau hipotesisnya sedang bila sebaliknya iaitu tiada pencuri, hanyalah jiran disebelah rumah balik lewat malam atau sesuatu sebab yang lain, maka hipotesisnya adalah keliru dan salah.

Terbentuknya persepsi atau tanggapan keatas sesuatu adalah kerana peranan besar dari sesuatu yang didakwah atau diri didakwahkan. Sekiranya sesuatu dakwah tersebut adalah kebenaran dan hak, maka benarlah persepsi yang dimiliki sementara sekiranya sesuatu dakwah tersebut adalah dusta atau tidak benar (dakyah), maka sebegitulah juga persepsi yang dimiliki.

Lantas dari itu, perlunya didakwahkan kebenaran saban waktu kerana ia adalah asbab untuk mendapat persepsi buat kebenaran serta terbinanya keyakinan berasaskan kebenaran yang membawa kepada pendirian diri.

Dalam mana risalah sempurna yang dibawa oleh Nabi Muhamad s.a.w adalah yang perlu didakwahkan saban waktu kerana ia adalah kebenaran hakiki untuk sekelian alam mahupun sekian zaman dan untuk kesejahteraan serta kejayaan buat kehidupan didunia dan seterusnya kehidupan diakhirat.

Bersambung...

Saturday, June 12, 2010

Persepsi / Tanggapan - 4


Sesuatu tersebut diduga sebagai hakikat atau kenyataan lazimnya berdasarkan persepsi yang dimiliki oleh pemiliknya. Namun sering-kali sesuatu yang bukan hakikat diduga sebagai hakikat manakala sesuatu yang hakikat diduga sebaliknya.

Dari itu juga, terdapat sentiasa perbezaan pendapat mahupun seterusnya kepada perbalahan atau sehingga kepada pertumpahan darah disebabkan perbezaan persepsi terhadap sesuatu perkara yang mana biarpun pada hakikatnya ia adalah suatu perkara yang sama.

Contohnya bila dikatakan tentang budaya kehidupan yang dizahirkan dalam kehidupan seharian insan, tentunya wujud hari ini beribu ragam bentuk budaya kehidupan, samaada sesuatu budaya kehidupan itu hanya untuk sesetempat, sesekumpulan atau pun sesuatu budaya kehidupan yang telah menjangkau keseluruh pelusuk alam, melahirkan perbezaan tentang arah atau cara hidup yang diinginkan berpandukan pergertian persepsi dari budaya kehidupan yang dituruti.

Sedangkan pada hakikatnya, setiap insan yang hidup didunia ini melalui suatu perjalanan kehidupan yang sama iaitu hadir didunia fana ini dan menuju kepada kehidupan yang abadi iaitu kehidupan selepas kematiannya.

Perbezaan sesuatu yang hakikat dengan sesuatu yang bukan hakikat adalah seperti contohnya sekeping gambar harimau ditunjukkan kepada seekor rusa, tentunya sirusa tidak menunjukkan sebarang perasaan ketakutan, malah dilumat dan ditelan gambar harimau tersebut berbanding dengan seekor harimau yang sebenar dibawa menghampiri sirusa.

Ini kerana gambar harimau biarpun dizahirkan rupa harimau namun ia tetap bukan hakikat siharimau berbandingkan harimau yang sebenarnya ditampilkan. Sebegitulah ramainya insan disetiap zaman tenggelam dalam kesilapan pengertian hakikat dunia sebenar atau kehidupan sebenar yang dilaluinya saban hari.

Ramai insan yang persepsinya menyangkanya dunia ini adalah segalanya dan seluruh daya-upaya dicurahkan hanya pada kehidupan duniawi sedangkan hakikatnya bila kematian menjelma, bererti berakhirlah kehidupan dunia yang sementara. Sebagaimana Syaidina Ali r.a pernah berkata, yang maksudnya bahawa dunia ini adalah mimpi dan terjaganya dari mimpi adalah bila kematian menjelma.

Dunia fana ini adalah sebenarnya seperti fata-morgana, yang mana hakikatnya merupakan medan ujian untuk insan dan dunia ini bukanlah tempat sebenar untuk kehidupan yang hakiki seperti misalnya perbezaan alam persekolahan dengan dunia pekerjaan yang mana dialam persekolahan merupakan medan ujian untuk mendapat pekerjaan kemudiannya berbanding alam pekerjaan itu sendiri yang memerlukan lebih penumpuan kerana tanggung-jawab yang dibebani.

Jesteru itu, apakah jalan untuk insan mengenal hakikat sebenarnya kehidupan untuk dirinya? Ini tentulah berbalik kembali kepada apa kehendak Pencipta alam itu sendiri yang mencipta segalanya. Mencipta tempat dan waktu serta insan itu sendiri.


Bersambung...

Sunday, May 02, 2010

Persepsi / Tanggapan - 3


Persepsi atau tanggapan adalah lazimnya hadir dari rumusan apa yang ada didalam benak hati serta fikiran dari setiap individu dan ini wajar sahaja membuahkan perbezaan dari makna atau tafsiran akan sesuatu tersebut biarpun objek yang diperkatakan adalah sama.

Contohnya, dua orang banduan yang dibebaskan setelah tamat tempoh mereka dipenjara, yang mana seorang darinya bertaubat dari tindakan salah yang dilakukan manakala seorang lagi tidak pernah merasa bersalah malah berbangga atas kesalahan yang dilakukan, tentunya memberi kesan perbezaan pada tanggapan buat kehidupan seterusnya yang ingin dibina antara kedua banduan tersebut. Tambahan pula sekiranya ada banduan yang ketiga yang tidak bersalah namun dihukum penjara kerana dituduh bersalah.

Atau contohnya dua orang gadis yang mana seorang darinya adalah bersifat mentaati Penciptanya dan tertanam dibenak hati serta fikirannya untuk amat berhati-hati agar dirinya terlindung dari perkara-perkara yang membawa kemarahan Penciptanya tentunya tidak sama dengan seorang gadis lain yang bersifat yang tidak mentaati Penciptanya dan meminati dunia bebas-lepas yang mana ingin mengikut apa sahaja yang dikehendakinya.

Atau juga contohnya sesebuah bangsa yang terdidik dengan sopan-santun, menghormati hak-hak insan lain, menepati waktu, jujur, tidak terburu-buru mengejar duniawi (iaitu diseimbangkan adalah keperluan lahiriah dan batiniah seperti undang-undangnya yang menghadkan waktu kerja tidak lebih dari 42 jam seminggu, kedai-kedai diarahkan beroperasi pada waktu terhad atau diarahkan tutup waktu solat dll), baitul-mal atau wang rakyat digunakan sebaik mungkin membantu rakyat dan seterusnya tentulah tidak sama dengan bangsa yang tiada adab atau sopan-santun, masing-masing hanya mementingkan diri sendiri, bekerja seluruh upaya untuk duniawi hatta melakukan banyak penipuan, pihak berkuasa tidak mempedulikan rakyatnya dan seterusnya.

Contoh-contoh diatas adalah untuk mengambarkan akan kesan perbezaan dari rumusan terhadap sesuatu persepsi tersebut kerana apa yang ada dibenak hati serta fikiran mempengaruhi akan erti apa sahaja yang diterima melalui deria-deria seseorang individu atau masyarakat (untuk tanggapan umum).

Ini kerana istilah persepsi sendiri adalah suatu proses aktiviti dalaman individu mahupun untuk masyarakat umum dalam memberikan kesan-kesan pada sesuatu rumusan, penilaian, pendapat, tafsiran atau interpretasi buat sesuatu berdasarkan maklumat, pengalaman, pengetahuan, fitrah insaniah mahupun dari cita-rasa diri atau nafsu yang terbina dalam waktu-waktu kehidupan yang dilalui.

Melalui persepsi yang dirumuskan, insan dapat mengenali dunia persekitarnya, iaitu keseluruhan dunia yang terdiri dari segala makhluk dengan segala kejadian dialam ini. Dalam mana apa yang dipersepsikan dapat ia mengenali dunia persekitarannya dan dunia persekitarannya juga mempengaruhi apa yang akan dipersepsikan seterusnya.

Sedang batas dunia persekitaran kini lebih jauh luasnya dengan adanya segala alat-alat komunikasi, alat-alat untuk meraih pengetahuan, penjalanan yang mudah dilakukan untuk kemana-mana, bahan-bahan bacaan hampir apa sahaja topiknya mudah didapati mahupun dengan kehadiran beribu-ribu bentuk media-media dalam kehidupan dunia modern yang semakin ligat atau pantas. Dan kesan buruk atas semakin luasnya batas dunia persekitaran adalah juga begitu banyak terjadi.

Contohnya, sewaktu dahulu, mereka yang tinggal diperdalaman atau didalam hutan, wanita mahupun jejakanya hampir sahaja tidak berpakaian, namun tetap mereka beradab yang mana zuriat-zuriat dilahirkan dalam lingkungan berayah-beribu kerana persepsi mereka pada keghairahan seks tidak seperti mereka-mereka yang tinggal dikota-kota yang mana bahan-bahan rangsangan kepada keghairahan seks begitu meluas seperti dari media-media dan lain-lain, dalam mana persepsi untuk melakukan hubungan seks adalah tinggi dan ini membuat segala yang dilihat (seperti dari deria visual) menambahkan desakan kepada perlakuan itu.

Maka dari itu, kawalan demi kawalan dilakukan terutama dinegara yang begitu banyak kes-kes pembuangan bayi atau pembunuhan bayi diatas keterlanjuran melakukan zina namun kekadang kesilapan diatas kawalan juga terjadi contohnya dinegara-negara Eropah, untuk mengawal agar kurangnya kelahiran bayi dari dari keluarga yang tidak bernikah atau remaja bawah umur, digunakan kondom mahupun dengan cara mencegah dari mengandung (seperti pil-pil mahupun suntikan) sedangkan pergaulan bebas atau cara berpakaian yang mendedahkan aurat, tidak dikawal.

Yang mana membuat perlakuan zina tetap berterusan dan malah lebih terbuka dalam mana ia menjadi suatu tanggapan umum akan lumrahnya perlakuan seks diluar nikah dan tidak lagi menjadi masaalah besar, sedangkan perlakuan sebegini merosakkan institusi kekeluargaan dan mengundang akan datangnya mala-petaka yang amat besar.

Apakah dengan luasnya batas dunia dipersekitaran membantu menjadi insan yang positif, optimist, tenang dan seterusnya dalam mana menaruh juga harapan dan ketakutan pada Penciptanya atau membuatnya semakin jauh dari norma-norma fitrah insaniah, semakin menderita jiwanya serta semakin jauh dari Penciptanya?

Atas itu persoalannya, apakah yang membentuk keinginan, hajat, kerisauan, pengharapan dan seterusnya didalam benak hati mahupun fikiran buat setiap individu. Apakah jalan atau penunjuk agar sentiasa adanya dibenak hati serta fikiran insan akan rangsangan untuk melakukan kebaikan dan menghindari kemungkaran?


Bersambung...

Thursday, April 08, 2010

Persepsi / Tanggapan - 2


Mungkin dalam bahasa kegunaan harian, antara persepsi dengan tanggapan, ia tidak membawa perbezaan atau digunakan sebagai perkataan yang sama, namun boleh dikatakan juga bahawa kedua-dua perkataan ini ada perbezaannya sebagaimana contohnya, persepsi adalah proses penerimaan dari deria-deria dan dari situ muncul tanggapan-tanggapan tentang sesuatu tersebut.

Ungkapan tentang makna perkataan tanggapan telah digunakan oleh bangsa Melayu sesejak dahulu-kala lagi untuk menyatakan tentang suatu aktiviti dalaman diri seseorang insan seperti dari perasaan atau pemikirannya manakala perkataan persepsi (perception) adalah diambil dari perkataan Latin (perceptio, percipio) yang membawa maksud menerima.

Perkataan persepsi ini bila didalami maka wujudlah definisi-definisinya sebagaimana antara contoh yang cuba dihuraikan oleh sesetengah pihak iaitu:

1) Persepsi merupakan proses pengorganisasian dan penginterpretasian terhadap rangsang (stimulus) oleh individu sehingga didapat diertikan apakah sesuatu tersebut dan merupakan aktiviti yang terintegrasi dalam diri individu (Davidoff)

2) Persepsi ialah interpretasi tentang apa yang diinderakan atau dirasakan oleh individu (Bower).

3) Persepsi merupakan suatu proses pengenalan mahupun proses memberi erti terhadap lingkungan individu (Gibson).

4) Persepsi juga dikenali sebagai persepsi sosial yang mana merupakan suatu proses yang terjadi dalam diri seseorang yang bertujuan untuk mengetahui, menginterpretasi dan mengevaluasi orang lain yang dipersepsikan, baik mengenai sifatnya, kualitinya ataupun keadaan lain yang ada dalam diri orang yang dipersepsikan sehingga terbentuk gambaran mengenai individu yang menjadi objek persepsi tersebut. (Lindzey & Aronson).

6) Persepsi adalah pengalaman tentang objek, peristiwa, atau hubungan-hubungan yang diperoleh dengan menyimpulkan informasi dan menafsirkan pesan. (Rakhmat Jalaludin )

Kesimpulannya, erti persepsi adalah merupakan suatu proses penerimaan diri melalui deria-deria yang dimiliki untuk suatu pemahaman terhadap setiap yang berada dalam lingkungan deria-derianya. Atau dalam kata yang lain, dari proses penerimaan melalui deria-derianya, setiap insan membentuk tanggapan-tanggapan dalam dirinya tentang apakah setiap sesuatu tersebut.

Persepsi yang pertama (iaitu sesejak bayi untuk insan mengenal dan memahami kehidupan dunia yang dimulainya) yang lazimnya digunakan oleh setiap insan yang sempurna anggota tubuh badannya adalah persepsi visual, iaitu apa yang didapati dari panca-indera penglihatannya.

Persepsi ini seterusnya berlaku pada segala deria yang lain seperti persepsi bunyian iaitu dari pendengaran, persepsi perabaan iaitu dari sentuhan, persepsi pembauan iaitu dari yang dihidu serta persepsi rasa iaitu dari apa yang dirasa oleh lidah, untuk suatu proses pengertian, pemahaman makna mahupun maklumat (iaitu membentuk tanggapan) pada dunia yang diterokainya dan dirakam dalam dirinya buat pengalaman serta pengetahuan seterusnya.

Kemudiannya untuk waktu-waktu seterusnya, segala objek atau sesuatu samada dari sudut warna, bentuk, rupa, nama, keadaan, rasa, berat, bunyi-bunyian yang didengar sehinggalah kepada hembusan-hembusan udara mahupun bau-bauan dapat ditafsir secara automatik oleh pemikiran mahupun perasaannya dan serta dapat juga diungkap seperti melalui patah-patah kata, tulisan-tulisan, gambar-gambaran dan seterusnya kerana persepsi yang didapati dari panca-indera diolah atau ditafsir akan maknanya oleh pemikiran mahupun perasaan insan dari data-data yang ada pada dirinya seperti dari sudut pengalaman mahupun pengetahuan.

Manakala sesuatu yang diluar dari pengalaman mahupun pengetahuannya, akan cuba dihubung-kaitkan kepada sesuatu yang diketahuinya seperti seseorang melihat seekor haiwan yang tidak pernah dilihat olehnya seumur hidup, lalu dicuba meneka apakah jenis haiwan tersebut dengan mengambil gambaran bentuk haiwan lain yang diketahuinya hampir serupa. (sebelum ia mendapat kepastian dari sumber yang baru tentang haiwan tersebut)

Dan tentu sahaja kerap juga berlaku kesilapan dalam penafsiran insan keatas sesuatu tersebut kerana persepsi yang dimiliki oleh insan sendiri adalah terhad sebagaimana segala yang ada dalam dirinya. Hatta segala yang dialami dalam hidupnya juga amat terbatas atas sesuatu faktor dan persepsinya wajar sahaja berligar hanya dalam batas-batas tersebut.


Bersambung...

Tuesday, April 06, 2010

Persepsi / Tanggapan - 1


Saban waktu tanpa disedari atau tidak, insan sekeliannya menghadapi kehidupan seharian berlandaskan tanggapan-tanggapan yang lahir dari dalam dirinya.

Berlakunya tanggapan-tanggapan terhadap sesuatu tersebut keatas fikiran mahupun perasaan insan adalah dari gerak-hatinya (seperti dari sifat fitrah insaniahnya), dari sangkaan-sangkaan samada yang berfakta atau tidak, dari sesuatu luaran yang mempengaruhi apa yang difikir atau dirasa (seperti pengaruh persekitaran samaada dari keluarga, teman-teman, alam kehidupan atau kebudayaan yang dilalui mahupun seperti dari media-media dan seterusnya) dan dari sesuatu yang telah menjadi pegangan hidupnya (seperti agama yang dianuti atau pendapat-pendapat yang dituruti).

Dengan tanggapan-tanggapan ini, insan mengolah alam persekitaraannya mahupun alam dirinya. Malah tanggapan seseorang insan mampu berkembang iaitu mempengaruhi seterusnya insan-insan lain disekitarnya hatta kepada masyarakat sekelian yang kemudiannya membentuk suatu tanggapan-tanggapan komuniti.

Antara kebenaran dan kedustaan, antara yang pasti atau tidak, antara yang memudaratkan atau memanfaatkan, antara yang mendamaikan atau merunsingkan dan seterusnya, semuanya terhasil bersilang-silang antara satu sama lain dari tanggapan-tanggapan yang dimiliki oleh insan.

Tanggapan-tanggapan yang dimiliki oleh insan wajar juga menukarkan sesuatu kebenaran menjadi kedustaan terutama bila tanggapan-tanggapan sebegini tidak berpijak kepada fakta, pengalaman, pengetahuan atau maklumat yang sebenar tetapi tanggapan-tanggapan sebegini hanyalah berpegang pada sangkaan-sangkaan atau dugaan-dugaan yang tiada pasti kebenarannya.

Sebagaimana juga dari tanggapan-tanggapan insan terutama yang berpijak kepada fakta kebenaran, sesuatu yang terselit sejuta kedustaan dapat ditukar kepada kebenaran bilamana insan-insan menganggap itu suatu kedustaan lalu mengambil langkah berhati-hati seperti contohnya dunia tanpa sempadan internet yang menjanjikan kebebasan mutlak pada individu, bilamana disedari diatas tanggapan akan ada kedustaan disitu, maka akan ditapis atau dinilai apakah yang dikatakan membawa kebaikan mahupun keburukan dari sesuatu tersebut.

Insan lazimnya membina apa yang dianggap realiti-realiti kehidupan atau apakah kenyataan suatu kehidupan adalah dari tanggapan-tanggapannya. Hatta berlaku sesuatu kenyataan yang tidak benar, diambil dan diperturunkan dari satu generasi kesatu generasi kerana tanggapan masyarakat disitu bahawa itu adalah suatu realiti kebenaran contohnya suatu kaum yang mempercayai perlunya melakukan pengorbanan pada gunung-gunung berapi agar gunung tersebut tidak meletup dan mengeluarkan lanar-lanar berapi yang memusnahkan segalanya, maka saban tahun dikorbankan sesuatu untuk gunung berapi tersebut hanya kerana tanggapan mereka bahawa itu adalah suatu kewajaran.

Atau contohnya negara yang merupakan pengeluar senjata-senjata utama dunia yang menganggap perlunya peperangan dimana-mana penjuru dunia kerana dengan itu, penjualan senjata mereka yang bertrillion-trillion keuntungannya dapat diragut, maka berlakulah propaganda-propaganda untuk mengaburi mata warga dunia akan kebenaran disebalik peperangan-peperangan yang dicetuskan.

Dengan itu juga, bukan sahaja pihak yang berperang memerlukan peralatan senjata, malah negara yang tidak berperang bersedia membeli dari sekecil-kecil pistol sehingga jet-jet pejuang yang berbillion-billion harganya diatas tanggapan bahawa kemungkinan perang juga akan meletus dikawasan mereka. Dalam mana, belanjawan sesebuah negara terutama dinegara yang tidak membangun yang mampu menampung keperluan rakyatnya, digunakan berbillion setiap tahun hanya untuk membeli senjata-senjata atau peralatan perang.

Sedang dengan sesuatu tanggapan sebaliknya, insan mampu membina kebaikan-kebaikan pada dunia realitinya seperti contohnya dengan tanggapan-tanggapan perlunya diutamakan alam semula-jadi dari hanya mengejar keuntungan semata-mata, maka dengan ini, berbagai-bagai langkah dilakukan agar alam semula-jadi dipersekitarannya dipelihara dari dimusnahkan sewenang-wenangnya dan yang mana dari tanggapan sebegitu, kebaikan juga bukan hanya untuk diri insan sendiri tetapi juga makhluk-makhluk lain dialam persekitarannya serta seterusnya untuk generasi terkemudian biarpun kebaikan-kebaikan tersebut tidak disedari diwaktu-waktu terdekat.

Bersambung....
Btn_brn_77x28

Tajuk

Abbasiyah (1) altruisme - ikram (3) Aqidah (1) art video (20) Austronesia (10) Bahasa dan penampilan (5) Bangsa Melayu (7) batas sempadan (9) Berita (15) Besi (1) Biography solihin (1) Budaya dan pengertiannya (16) catitan (2) cerdik/bodoh dan antaranya (6) cetusan minda (8) cinta dan syahwat (3) Doha - Qatar (2) Eid Mubarak (5) falsafah (2) Fantasia falasi (3) Fibonacci (1) Filem (2) fitrah (1) Fungsi seni (1) gangsa (1) hukum (6) huruf (2) hutang (1) ijtima (1) Iklan (2) imitasi dan memori (1) infiniti (5) jalan2 (2) kebangsaan/nationalisme (2) kebebasan bersuara (1) Kelahiran kesenian yang mengubah warna dunia. (1) Kembali sebentar tentang erti seni (Islam) (1) kerja otak (1) Kesenian dunia Islam (1) komunikasi (1) konsep kendiri (3) konspirasi (1) Lagu (1) Lentok tangan (1) Malaysia (3) Masa (10) Maslahah atau mafsadah (1) Maya (ilusi) (4) Melaka (1) Melayu (2) Melayu dan Islam (9) minda (2) musik (2) nukilan rasa (1) Pantang dalam berkarya (1) Pause (6) Pembetulan sejarah (3) Pengajian dan pengertian budaya (1) Perasaan dan pemikiran (5) Persepsi / Tanggapan (6) pointillism (2) populasi dunia (9) Produk sejarah (11) Program dan hayat (2) prosa (4) ramadan (2) realiti - kenyataan (7) Sajak (22) Sangkaan (2) sebab dan akibat (18) sejarah (14) sejarah Islam Nusantara (1) sejarah Melayu (4) Sejarah mengubah/terubah (5) Sejarah seni dalam kehidupan insan (1) Sejarah video (1) Seni Bahasa (2) Seni dalam imiginasi (1) seni kata (1) Seni logam (3) Seni textil (budaya berpakaian) (2) Seni-seni mempertahankan diri (1) sound (1) Srivijaya (3) Sunda (6) Tahap kesederhanaan (1) Tahap-tahap kehidupan (14) tenung bintang (1) Terkesan dengan suasana (2) Tradisional dalam makna (1) Ukuran dan kayu pengukurnya (2) updated (1) Usia manusia (3) vision (1) wang (7) Wujudkah kosong? (2) zarzh slide (12)

Catitan lalu

Insuran & Road Tax Online

tetangga