Sunday, December 18, 2022

Masa 3

Hakikat masa adalah suatu yang mutlak dan bukan relatif. Relatif, iaitu penilaian individu atau kelompok manusia terhadap sesuatu yang berbeza-beza bergantung dari sudut pandangan yang dinilai. 

 Relatif merupakan sesuatu yang perlu dibandingkan atau dirujuk untuk menentukan nilainya. Berbeza dengan mutlak yang hasilnya pasti dan tidak boleh diganggu-gugat, tiada kontroversial serta tidak perlu lagi menggunakan perbandingan sebagai acuan seperti halnya dengan relatif. 

 Misalnya perkataan seperti keindahan atau kebenaran itu relatif. Kalimat ini menunjukkan bahawa keindahan atau kebenaran itu tidak boleh dinilai hanya dari satu sisi sahaja atau dari satu sudut pandangan seseorang sahaja untuk menilai. 

Ini kerana keindahan atau kebenaran dianggap baik atau benar biasanya juga dinilai relatif, tergantung dari budaya dan juga penilaian mereka yang menilainya. Lawan dari kata relatif adalah mutlak. Jika relatif merupakan sesuatu yang hasilnya akan berbeza, bergantung dari sudut pandangan, pengalaman atau pengetahuan orang yang menilainya, sedangkan mutlak merupakan sesuatu yang jelas dan hampir tidak boleh diperdebatkan. Contohnya 1 + 1 = 2 dan ini merupakan hasil yang mutlak dan wajar dipersetujui oleh semua. 

 Masa hanya menjadi relatif bila ianya digunakan untuk suatu dimensi ruang dan keadaan seperti contohnya di Swiss, waktu ini adalah pukul 12 tengah malam sedangkan diwaktu yang sama, di Malaysia waktunya adalah 6 pagi. Berada di detik yang sama namun berbeza waktu lantaran ruang dan keadaan yang berbeza. 

Contoh lainnya, seseorang yang meninggal pada pukul 12 tengah malam di Swiss (iaitu pukul 6 pagi waktu Malaysia), waktunya mungkin berbeza-beza kerana perbezaan tempat namun detik kematiannya adalah sama kerana hakikat masa itu mutlak, bukan relatif. 

Masa kedatangan detik kematian itu mutlak, tiada siapa yang dapat menyanggahnya. Hatta yang duduk dalam roket yang bergerak dengan kelajuan cahaya, bila tiba masa kematiannya, ia tidak dapat mengelak walau sesaat kerana hakikat masa adalah mutlak dan masa tidak akan terhenti biar pun dalam kelajuan cahaya. 


Bersambung…

Masa 2

Masa adalah sebenarnya sesuatu bukan dalam dimensi ruang dan keadaan yang diketahui manusia tetapi ianya adalah jauh lebih besar, iaitu merangkumi didalamnya segala yang wujud. Dari sekecil mahluk atau objek yang ada sehingga sebesar objek sang suria serta lohong hitam termasuk semua yang diketahui manusia sehingga hari ini seperti graviti dan materi lainnya, semuanya dirangkumi masa. Masa di dunia fana ini bermula bila bermulanya alam ini dan berakhirnya bila terjadinya kiamat, namun selepas itu, masa tetap wujud dalam bentuk kiraan akhirat. Sebagaimana Rasulullah s.a.w bersabda, “Orang miskin (kalangan orang Muslim) akan memasuki syurga setengah hari terlebih dahulu dari orang kaya (kalangan orang muslim). Setengah hari ini akan sama dengan 500 tahun (menurut ukuran dunia)”. Atas itu, masa akan sentiasa bergerak hatta ke alam kemudian dan ianya seakan infiniti, tiada penghujung (melainkan alam syurga yang abadi yang tidak memerlukan lagi kewujudan masa). Dalam pada itu, di dunia, masa dikaitkan dengan punca tarikan graviti, iaitu pusingan mengelilingi matahari, maka terjadilah ukuran-ukuran pada masa sedang hakikatnya masa itu tetap sama berjalan tidak kira diukur mengikut ruang dan keadaan tempatan. Contohnya, masa di bumi dikira sehari mempunyai 24 jam, 1440 minit atau 86,400 saat. Lantas segala masa diperkirakan mengikut kiraan tersebut, dari kiraan kelajuan sesuatu objek, sesuatu hayat, siang-malam dan seterusnya. Sedang di Mars, seharinya dalam 24 jam 37 minit, Jupiter dalam 10 jam sehari (9 jam 56 minit) manakala Venus dalam 5,832 jam sehari, bermakna bila manusia menduduki planet lain, maka masa kehidupan sehariannya bukan lagi sebagaimana lazimnya 24 jam dibumi, tetapi berubah mengikut kiraan waktu tempatan di planet tersebut. Di Mars, yang setahun adalah 687 hari kiraan bumi (bumi setahun 365 hari), maka bila sekumpulan manusia yang purata umur mereka 50 tahun pergi untuk menetap di Mars, maka umurnya adalah dalam lingkungan setengah dari itu, namun secara fizikal, mereka tidak akan menjadi bertambah muda dan panjang usianya, hanya masa yang dilalui berubah mengikut kiraan Mars. Di Planet Jupiter yang seharinya hanya dalam 10 jam, bermakna siang dan malamnya hanya dalam 5 jam (sekiranya diukur di garisan tengah khatulistiwa Jupiter). Jika dibahagikan aktiviti seharian, maka 3 jam untuk tidur, 3 jam untuk bekerja dan 3 jam untuk berehat bersama keluarga (dan selebihnya, 56 minit untuk masjid). Waktu sholatnya juga rapat, kemungkinan antara zohor dengan asar hanya setengah jam bezanya. Dimana, tidak bermakna seseorang yang menetap di Jupiter tidak perlu bersholat 5 waktu sehari kerana waktu sholat singkat antara satu sholat dengan sholat yang lain tetapi dirinya tetap wajib bersholat 5 waktu sehari kerana itu adalah suatu kefarduan tidak kira dimana seseorang tersebut berada lantaran sholat terikat dengan hakikat kewujudan masa bukan terikat pada ruang dan keadaan (kecuali sesuatu keuzuran seperti bermusafir yang boleh menjamakkan sholatnya, kedatangan bulan buat kaum wanita dll. seperti atas qiyas ulama cth.nya bila manusia berada diplanet Venus yang dalam seharinya adalah 5,832 jam sehari). Bersambung…

Friday, December 16, 2022

Masa - 1

Masa tetap berjalan biar pun dalam kelajuan cahaya. Teori yang menyatakan masa akan terhenti atau bergerak perlahan dalam kelajuan cahaya adalah salah kerana masa tidak pernah berhenti atau bergerak perlahan. 

 Dalam teori yang menyatakan masa terhenti pada kelajuan cahaya, bila sesuatu objek mencapai had kelajuan menghampiri kelajuan cahaya dalam vakum, ruang memendek sepenuhnya kepada lebar sifar dan masanya perlahan sehingga pada detik terhenti. 

Dalam kata lain, bila bergerak pada kelajuan cahaya, maka sesuatu objek tersebut tidak mengalami masa kerana masa membeku. Sedangkan masa tidak pernah berhenti atau bergerak perlahan tidak kira selaju mana sesuatu tersebut bergerak tetapi apa yang terjadi adalah pada perubahan dimensi ruang serta keadaan, seperti sesuatu objek tersebut akan sampai ke destinasinya dalam waktu yang singkat serta keadaan apa yang berlaku dalam tempoh tersebut. 

Sebagaimana 2 kenderaan, yang satu bergerak 30 km sejam manakala satu lagi bergerak 100 km sejam, tentunya kenderaan yang bergerak 100 km sejam akan sampai lebih awal ke destinasi yang sama. Keadaan objek yang bergerak dalam sesuatu kelajuan, akan mengalami suatu perubahan detik masa dalam ruangnya, contohnya seorang yang menulis suatu pesanan melalui telefon bimbitnya dalam suatu kenderaan yang bergerak pantas ke destinasi yang singkat tidak dapat melengkapkan tulisan pesanannya berbanding yang menulis pesanan yang sama namun dalam kenderaan yang bergerak jauh lebih perlahan. 

Dengan kelajuan wireless atau internet yang kini dengan 5G atau 6G (dan melihat akan kepesatan teknologi manusia hari ini), mungkin suatu hari nanti akan mencapai lebih laju hatta sampai dapat menandingi kelajuan cahaya. Dan hari ini, wireless boleh mencapai jauh lebih laju dari kelajuan bunyi. https://spectrum.ieee.org/noisecanceling-techs-edge-is... https://news.yale.edu/2022/05/03/internet-speed-light

Saturday, April 17, 2021

Austronesia - bhg. 10

Kaitan dengan leluhur keturunan dan kepercayaan. Sebenarnya, ujian DNA hanya dapat mengesan asal leluhur seseorang kembali sekitar 1,000 tahun yang lepas atau 50 generasi sebelumnya. Selebihnya ianya masih amat kesamaran dan sampai saat ini, belum ada teknoloji untuk menjejak data yang 100% benar. 

Apatah lagi untuk dikaitkan sesuatu bangsa tersebut samada dari leluhur Sam, Ham atau Yafets (anak nabi Nuh a.s) yang telah beratus-ribu tahun terdahulu. 

Tambahan pula atas beberapa faktor seperti contohnya banyak kacukan atau kahwin campur, asimilasi atas penguasaan suatu bangsa keatas bangsa yang lain, berlaku mutasi genetik diantara penduduk atau individu yang diuji dll. Lebih 80,000 tahun yang lalu, sekitar kawasan berpasir yang luas di Semenanjung Arab adalah padang rumput yang subur. Sepuluh ribu tasik kuno dan tulang dari haiwan seperti kuda nil dan mamalia akuatik telah dijumpai di seluruh wilayah.

Didapati juga jejak yang ada sejak lebih dari 80,000 tahun dan juga dijumpai tulang jari manusia dekat tapak tasik Arab Saudi kuno yang disebut Al Wusta. Disamping itu, terdapat lukisan kuno di Jebbah dan al-Shwemas yang berusia lebih 10,000 tahun. 

Sememangnya Tanah Arab dahulu begitu maju dan bertamadun tinggi sebagaimana riwayat kaum Aad, Kaum Tsamud. Sabaan dll. Dan dari situ juga agama bertauhid Tuhan yang satu sentiasa wujud. 

Mereka ini adalah dari jalur keturunan Sam bin Nuh. (Terdapat juga segelintir dari keturunan Ham dan Yafeth yang berulang-alik ke situ) Contohnya juga, Petra (dari πέτρα petra, "batu" dalam bahasa Yunani; bahasa Arab: البتراء, al-Bitrā, sebuah situs arkeologikal di Ma'an, Jordania yang dibangunkan oleh kaum purba Arab, Nabataeans. 

Ianya pernah merupakan pusat penting buat perniagaan bangsa Arab dengan dunia luar. UNESCO mengambarkan ianya sebagai "salah satu peninggalan kultural yang paling penting dalam peradaban manusia" Tapak Al Sibetah memelihara lumpur dan endapan dari dasar sungai, sejak 160.000 tahun. Ditemui bukti lima fasa basah, di mana sungai-sungai mengalir dan lumpur ditumpahkan. 

Pada waktu kering, terdapat sedikit aliran air dan kurang kelodak yang terbaring. Fasa basah pertama berlaku antara 160,000 hingga 150,000 tahun yang lalu, dan yang paling baru adalah sekitar 55,000 tahun yang lalu. Dari sini, bila kawasannya mula menjadi kurang sesuai untuk diduduki lantaran keadaan cuaca yang semakin membahang, maka bermulanya gelombang besar-besaran penghijrahan dari Timur Tengah ke alam Nusantara dan seterusnya melahirkan bangsa Melayu Austronesia. 

Tentang teori keluar dari Afrika (out of Africa), terdapat error atau kesilapan besar yang ramai tidak menyedari bahawa dibawah pandangan teori ini, bahawa semua manusia keluar dari Afrika (out of Africa theory), ianya sebenarnya berlandaskan teori evolusi Darwin. 

Mungkin dari gelombang manusia yang setelah berada di Afrika, sekumpulan darinya kemudian berhijrah keluar mencari penempatan baru yang lebih sesuai dan ini bukan bermakna semua keturunan manusia berasal dari Afrika. 

Teori evolusi Darwin dimana dari monyet berevolusi kepada manusia primitif di benua Afrika dan kemudiannya tersebar ke merata dunia melalui beberapa penemuan yang tidak berfakta seperti contohnya penemuan tulang purba (lucy) yang dikatakan ada kaitan dengan Homo Sapian (manusia), sedangkan langsung tiada kaitan spesies terdahulu dengan Homo Sapian. (penulis pernah ke Ethiopia dan melihat sendiri tulang-tulang purba tersebut untuk sudut pengkajian) 

Sesungguhnya juga tidak benar menyatakan bahawa bangsa Arab adalah bangsa yang sedari awal primitif dan tidak tahu apa-apa. Zaman Jahiliah iaitu zaman sebelum kedatangan agama Islam, dimana bangsa Arab tinggal dalam dunia Jahiliahnya dan penuh karut-marut adalah kerana proses devolusi dimana proses devolusi ini telah pernah terjadi kepada setiap bangsa di seluruh sudut dunia. 

Proses devolusi juga terjadi kepada bangsa Austronesia dimana bangsa Austronesia ini kemudiannya menganut kepercayaan paganisme iaitu Animisme, kepercayaan bahawa objek, tempat dan makhluk memiliki intipati rohani yang berbeza serta Totemism, kepercayaan di mana manusia dikatakan mempunyai hubungan mistik dengan makhluk roh, seperti binatang atau tumbuhan dan bertuhankan pada mahluk-mahluk yang dianggap memiliki kuasa. 

Kepercayaan ini juga membina suatu kebudayaan yang masih dapat dikesan pada setiap suku-suku atau kaum dari rumpun bangsa Austronesia. Asasnya, kebudayaan hidup berkaitan alam sekitar namun kerap penuh dengan dunia mistik, sihir dan tahyul atas kepercayaan akan kuasa alam dan sampai peringkat mempertuhankannya. 

Hatta kalangan rumpun bangsa Melayu, terdapat segelintir yang masih mengamal dan memiliki kepercayaan paganisme ini biarpun hampir 100% rumpun bangsa Melayu adalah penganut agama Islam. Seperti pengamalan ilmu hitam dll. Mungkin ini terjadi kerana proses dakwah Islam belum sepenuhnya merangkumi segenap pelusuk dan taraf di kalangan rumpun bangsa Melayu. 

Yang menjadi pertanyaan, bagaimanakah kepercayaan animisme-totemism atau dipanggil paganisme ini dapat berkembang keseluruh pelusuk dunia dengan ke-samaan yang dimiliki dari satu sama lain? 

Tamat  - Maaf, semua kajian saya samada terdahulu seperti di blogspot, ebook dll. dan kini di facebook adalah berbentuk bacaan santai dan majalah untuk memberi ruang, terutama untuk saya, mendalami serta membuka minda (Weltanschauung) akan sesuatu topik kerana itu saya tidak senaraikan reference atau rujukan. Namun saya sentiasa berhati-hati agar segala tulisan saya selari dengan pegangan agama Islam ASWJ. Terpulanglah pada apa pandangan pembaca, hanya dinasihatkan sekiranya ada keraguan, sila buat kajian sendiri seperti mencari bahan sumber dll.

Austronesia - bhg. 9

Kaitan dengan perladangan dan kehidupan persekitaran. Lazimnya, dunia hari mengukur bermulanya kemajuan serta peradaban sesebuah komuniti adalah dengan bermulanya perladangan dimana dikatakan lewat 6000 SM, iaitu sesuatu kawasan tersebut mula berevolusi maju lantaran bermulanya aktiviti perladangan sedangkan ini tidak benar kerana sehingga ke hari ini, banyak kawasan yang telah berkurun-kurun adanya perladangan tetapi tidak maju. Perladangan, iaitu pertanian serta penternakan sebenarnya bermula sejak seawal manusia berada dimuka-bumi, iaitu zaman Nabi Adam a.s, dimana manusia telah mengatur kehidupannya dengan pertanian dan penternakan untuk kelangsungan kehidupan. Ibnu Abbas r.a meriwayatkan bahawa makanan yang pertama kali dimakan oleh Adam a.s dimuka-bumi adalah bahan makanan yang dibawa oleh Jibrail, iaitu berupa tujuh biji gandum. Adam a.s bertanya: "Apa ini" Jibrail menjawab: "Ini makanan yang berasal dari pohon terlarang yang dulu engkau dilarang memakannya, tapi tetap memakannya". Adam a.s bertanya: "Apa yang mesti aku lakukan terhadap biji gandum ini" Jibrail menjawab: "Tanamlah biji-biji tersebut di bumi" Dalam riwayat lain, anak Nabi Adam a.s yang pertama iaitu Qabil adalah seorang petani manakala adiknya Habil merupakan seorang penternak. Lantaran itu, dimana-mana manusia berhijrah, akan bermulanya usaha pertanian dan penternakan untuk kesinambungan kehidupan mereka. Disamping itu, ada komuniti yang kerap berpindah-randah (cthnya hari ini kaum Nomad atau Badawi dipadang pasir atau kaum yang berpindah-pindah dalam hutan) tidak menumpukan pada pertanian atau penternakan lantaran suasana sekitar kehidupan mereka sebegitu. Mereka lebih menumpukan hanya kepada hasil buruan saban waktu atau tumbuhan yang mudah didapati dipersekitaran dan mudah dibawa pergi. Terdapat juga komuniti berjumlah kecil kalangan manusia yang keluar samada melarikan diri dari sesuatu bala-petaka atau mengembara untuk membina hidup baru, namun kemudian terperangkap didalam hutan rimba lalu terpaksa memulakan kehidupan didalamnya dengan belajar mengesuaikan diri. Ini menjadikan mereka kemudiannya kaum primitif atau ketinggalan. Jesteru itu, pernahkah para pengkaji terutama kalangan para penganut teori evolusi membayangkan bagaimana keadaan mereka 3-4 orang terperangkap didalam hutan tebal tanpa bertemu langsung jalan keluar dan dalam keadaan dhaif bekalan-alatan hidup yang dibawa serta tiada kemahiran hidup, apakah setelah bertahun-tahun mahupun kegenerasi seterusnya akan hidup dalam keadaan primitif atau maju? Atau keadaan dimana sekumpulan manusia yang melarikan diri dari tanah-airnya akibat musibah besar yang melanda, mereka amat tergesa-gesa menyelamatkan diri, jadi apa yang dibawa bersama kalau tidak hanya sehelai sepinggang? Sebegitulah keadaan manusia yang menyelamatkan diri mereka kemudian terpaksa memulakan hidup baru dari peringkat awal tanpa apa-apa yang dimiliki. Tambahan kalau yang terselamat adalah kalangan mereka yang kurang berkemahiran atau kurang pengetahuan. Hari ini juga, lantaran menemukan sekian-sekian tengkorak yang terpelihara dari dimusnahkan oleh alam seperti tengkorak-tengkorak dalam gua, yang ditemui disampingnya alat-alat berburu primitif lalu itu dikatakan sebagai manusia pertama sedangkan ianya hanyalah sebagaimana seseorang atau sekumpulan samada lari menyelamatkan diri dari sesuatu bala petaka, keluar berburu, menjelajah atau tersesat didalam hutan, yang tentunya tidak memiliki atau membawa segala barangannya, hanya beberapa alat-alat kecil. Berbalik kaitan Bangsa Austronesia dengan perladangan, sememangnya alam yang sedari dahulu amat subur dan hijau dipersekitaran Benua Sunda amatlah memudahkan aktiviti-aktiviti ini dan malah hasil tanah dari Benua Sunda dibawa keluar ke daerah-daerah lain yang mereka pergi. Salah satu yang merupakan makanan utama penduduk Asia iaitu padi, disebarkan oleh Bangsa Austronesia. Bukti genetik menunjukkan bahawa semua bentuk padi, baik Indica dan Japonica, berasal dari pelestarian padi liar Oryza rufipogon dari budaya perladangan yang berkaitan dengan Bangsa Austronesia. Semasa penghijrahan kelompok dari Bangsa Austronesia ke bahagian selatan Tanah Besar Cina sekitar 13,000 SM hingga 10,000 SM, dimana persekitaran Benua Sunda mula ditenggelami air, bila mereka sampai disitu, maka diusahakan perladangan padi disekitar sungai Yangtze (hari ini dalam negara China). Berdasarkan rekonstruksi bukti linguistik, kata pajei (padi), beRas (beras) dan lesuŋ (lesung) ditemukan di Taiwan, Philipina, serta Nusantara namun tidak ditemukan di kepulauan Pasifik. Beberapa kosa kata yang menunjukkan umbi-umbian seperti tales (talas), quBi (ubi) dan BiRaq (birah) yang diusahakan di kepulauan Pasifik tidak ditemukan di Taiwan, melainkan hanya ditemukan di Nusantara dan di beberapa sebahagian Philipina. Ini menunjukkan tersebarnya sesuatu tumbuhan buat perladangan oleh Bangsa Austronesia bergantung kepada kesesuaian iklim tempat yang diduduki seperti padi yang ditanam di Nusantara dibawa ke Taiwan namun tidak di kepulauan Pasifik manakala umbi-umbian pula yang ditanam di Nusantara dibawa ke kepulauan Pasifik namun tidak ke Taiwan. Selain itu, kata nieur (nyiur) ditemukan di seluruh kepulauan Asia Tenggara dan kepulauan Pasifik kecuali Taiwan (Blust 1984/1985: 220). Bersambung...
Btn_brn_77x28

Tajuk

Abbasiyah (1) altruisme - ikram (3) Aqidah (1) art video (20) Austronesia (10) Bahasa dan penampilan (5) Bangsa Melayu (7) batas sempadan (9) Berita (15) Besi (1) Biography solihin (1) Budaya dan pengertiannya (16) catitan (2) cerdik/bodoh dan antaranya (6) cetusan minda (8) cinta dan syahwat (3) Doha - Qatar (2) Eid Mubarak (5) falsafah (2) Fantasia falasi (3) Fibonacci (1) Filem (2) fitrah (1) Fungsi seni (1) gangsa (1) hukum (6) huruf (2) hutang (1) ijtima (1) Iklan (2) imitasi dan memori (1) infiniti (5) jalan2 (2) kebangsaan/nationalisme (2) kebebasan bersuara (1) Kelahiran kesenian yang mengubah warna dunia. (1) Kembali sebentar tentang erti seni (Islam) (1) kerja otak (1) Kesenian dunia Islam (1) komunikasi (1) konsep kendiri (3) konspirasi (1) Lagu (1) Lentok tangan (1) Malaysia (3) Masa (10) Maslahah atau mafsadah (1) Maya (ilusi) (4) Melaka (1) Melayu (2) Melayu dan Islam (9) minda (2) musik (2) nukilan rasa (1) Pantang dalam berkarya (1) Pause (6) Pembetulan sejarah (3) Pengajian dan pengertian budaya (1) Perasaan dan pemikiran (5) Persepsi / Tanggapan (6) pointillism (2) populasi dunia (9) Produk sejarah (11) Program dan hayat (2) prosa (4) ramadan (2) realiti - kenyataan (7) Sajak (22) Sangkaan (2) sebab dan akibat (18) sejarah (14) sejarah Islam Nusantara (1) sejarah Melayu (4) Sejarah mengubah/terubah (5) Sejarah seni dalam kehidupan insan (1) Sejarah video (1) Seni Bahasa (2) Seni dalam imiginasi (1) seni kata (1) Seni logam (3) Seni textil (budaya berpakaian) (2) Seni-seni mempertahankan diri (1) sound (1) Srivijaya (3) Sunda (6) Tahap kesederhanaan (1) Tahap-tahap kehidupan (14) tenung bintang (1) Terkesan dengan suasana (2) Tradisional dalam makna (1) Ukuran dan kayu pengukurnya (2) updated (1) Usia manusia (3) vision (1) wang (7) Wujudkah kosong? (2) zarzh slide (12)

Catitan lalu

Insuran & Road Tax Online

tetangga