Thursday, December 31, 2009

Produk sejarah - 3


Kedudukan Mekah sendiri secara geografinya adalah dikelilingi oleh tamadun-tamadun besar dalam sejarah insan seperti Mesopotamia iaitu terdiri daripada Sumeria, Akkad, Babylonia, Persian iaitu Medes dan Achaemenid disebelah utara-timur, Kaum Aad dengan kota Iramnya disebelah timur selatan, kaum Tsamud, Saba, Abysinia disebelah selatan-barat, Eygpt disebelah Barat, Kanaan (Phoenician), Empayer Sulaiman, Yunani, Rom dan lain-lain disebelah barat-utara.

Salah-satu antara tamadun lama yang dianggap sebagai yang pertama memiliki bahan penulisan lengkap adalah Sumeria. Sumeria yang merupakan tamadun awal didaerah Mesopotamia dianggarkan bermula seawal 6000 tahun sebelum masehi. Mendirikan tamadun mereka diantara Sungai Tigris dan Furat. (Hari ini dinamakan Iraq)

Dari Tamadun Sumeria ini kemudiannya dalam lebih kurang 4000 SM, lahir seperti Empayer Akkad, dan selepas itu Empayer Babylon dimana Nabi Ibrahim adalah berasal dari situ dan ketika itu Babylon adalah dibawah pemerintahan Raja Namrud bin Kanaan (hidup sekitar 2275SM – 1943 SM)

Raja Namrud yang terkenal kerana membuka banyaknya bandar-bandar baru semasa pemerintahannya dan membina suatu bangunan indah dan hebat yang tercatit dalam catatan sejarah biarpun bangunan tersebut kini telah musnah,bernama Menara Babel (taman tergantung) berserta kompleks istananya yang begitu hebat.(Ada yang menyatakan taman tergantung ini dibuat selepas zamannya iaitu zaman Nebuchadnezzar, namun ada catatan `Tablet`mereka yang menyatakan sejak zaman Namrud lagi ia telah wujud)

Nabi Ibrahim telah diutus untuk mengajak masyarakat disitu untuk menyembah Pencipta alam yang sebenar dan menjalani kehidupan yang diredhai oleh Pencipta. Nabi Ibrahim melakukan usaha dakwahnya tidak henti-henti biarpun dakwahnya ditolak.

Suatu hari, ketika masyarakat disitu keluar dari kota untuk berpesta, Nabi ibrahim mengambil kesempatan ini untuk menghancurkan segala berhala disitu, hanya satu berhala yang terbesar ditinggalkan dengan kapak yang digunakan untuk memecah berhala yang lain dikalung pada berhala tersebut.

Terperanjat masyarakat disitu, melihat patung-patung, berhala-berhala yang mereka sembah, hancur berantakan dan bertaburan diatas lantai sewaktu kembalinya mereka dari tempat pesta. Mereka berkata: "Siapakah yang begitu berani melakukan perbuatan yang jahat dan keji terhadap tuhan-tuhan kita?"

Salah seorang diantara mereka berkata dengan nada pasti:"Sudah tentu Ibrahim yang selalu membangkang sembahan-sembahan kita ini yang menghancurkannya." Lalu mereka menangkap Nabi Ibrahim dan membawanya kehadapan Raja Namrud. Raja Namrud bertanya kepada Nabi Ibrahim:"Apakah engkau yang menghancurkan berhala-berhala dan merosakkan Tuhan-Tuhan kami?"

Nabi Ibrahim menjawab:"Patung besar yang berkalungkan kapak dilehernya itulah yang melakukannya. Cuba tanya saja kepada patung tersebut, siapakah yang menghancurkannya."

Raja Namrud terdiam sejenak lalu berkata:" Engkaukan tahu bahawa patung tersebut tidak dapat berkata-kata, mengapa engkau meminta kami bertanya kepadanya?"

Kesempatan inilah yang dinanti-nanti, lalu Nabi Ibrahim menjawab: "Jika demikian, mengapa kamu sekelian menyembah patung-patung tersebut, yang tidak dapat berkata, tidak dapat melihat dan tidak dapat mendengar, tidak dapat membawa manfaat atau menolak mudharat, bahkan tidak dapat menolong dirinya sendiri dari kehancuran dan kebinasaan? Tidakkah kamu sekelian dapat berfikir dengan akal yang sihat bahawa persembahan kamu adalah perbuatan yang keliru yang dipesongkan oleh syaitan. Mengapa kamu sekelian tidak menyembah Tuhan sebenar yang menciptakan segalanya dan memberi kamu sekelian di atas bumi ini dengan segala isi dan kekayaan."

Biarpun benar lagi logik kata-kata Nabi Ibrahim, mereka tetap menolak akan kebenaran. Raja Namrud kemudiannya memerintahkan agar Nabi Ibrahim dibakar hidup-hidup dengan melontarnya kedalam api namun bila dilontar kedalam api, Nabi Ibrahim masih selamat, bahkan tiada sedikitpun tubuh badannya terbakar dan ini amat memeranjatkan Raja Namrud serta masyarakat disitu.

Namun atas kesesatan mereka, mereka tetap berpaling dari kebenaran, hanya-sanya selepas melihat mukjizat nabi Ibrahim, tidaklah berani mereka melakukan apa-apa lagi kepada Nabi Ibrahim sehinggalah Nabi Ibrahim mengambil keputusan mengembara keluar dari situ. Raja Namrud juga akhirnya menjadi seorang yang tertekan jiwanya malah hendak berperang dengan Tuhan, sehinggalah diberitakan mati dalam keadaan yang hina lagi menyeksakannya.

Berbalik pada Ketamadunan Sumeria, merekalah yang dikatakan pertama menggunakan roda, membahagikan detik saat pada masa, bahasa yang bertata-tertib dan tercatat sebagai tulisan, pedagang yang hebat, pembina empangan juga terusan-terusan untuk tanam-tanaman mereka yang begitu modern disamping juga kreatif dalam kesenian.



Bersambung...

Tuesday, December 29, 2009

Produk sejarah - 2


Disebelah pantai Timur semenanjung Arab hari ini menyaksikan banyaknya bandar-bandar baru dibina dengan bangunan-bangunan pencakar langit dan seakan tiada henti kepesatan tamadun-tamadun disitu, dari Dubai, Doha, Muscat dan seterusnya yang mana berdekatan dengan daerah ini, pernah wujud suatu ketika dahulu, tamadun insan yang begitu maju dengan lembah yang subur.

Kaum Aad yang dinyatakan didalam Al Quran akan keadaan mereka iaitu kaum yang membina kota Iram, kota bangunan bersama tiang sari yang sebegitu besar dan tidak pernah ada seperti kota-kota sebegini selepasnya. Ibukota bagi kaum Aad dipercayai bernama Ubar yang terletak didaerah Oman (Al Ahqaf antara Hadramaut dan Oman).

Berbahasa Arab-Arabiah juga terkenal dengan tubuh fizikal mereka yang sangat besar dan kuat disamping kemahiran serta kepintaran yang mereka ada. Setelah sekian lama generasi berlalu selepas ditinggalkan oleh Nabi Nuh dan mereka selepasnya , kaum Aad kemudiannya menjadi penyembah berhala-berhala bernama Shamud, Shada dan Al Haba.

Kaum Aad yang diketahui adanya seorang utusan Allah bernama Nabi Hud yang diutus pada kaum tersebut untuk kembali kejalan kebenaran sebelum mereka dibinasakan. Tidak dapat dipastikan tarikh sebenar antara mereka dengan zaman ini dan juga kemuncak ketamadun mereka, hanya diketahui Nabi Hud yang diutus kepada mereka adalah dari keturunan Sam iaitu anak Nabi Nuh. (Hud ibn Shalik ibn Arfakhshand ibn Sam ibn Nuh - riwayat Ibn Jarir, kisah Anbiya Ibn Kathir)

Dengan kepesatan kota yang diduduki dan begitu melimpahnya kemewahan, Kaum Aad akhirnya menjadi kaum yang sombong lagi angkuh diatas kehebatan mereka serta menjadi sebegitu rendah moral mereka. Kedatangan Nabi Hud adalah untuk membimbing mereka kembali kepada kebenaran dan mengkhabarkan akan kemusnahan kepada mereka sekiranya mereka berdegil mengikut jalan yang salah.

Nabi Hud berkata kepada kaumnya: "Wahai kaumku! Sesungguhnya Tuhan yang aku serukan ini kepada kamu untuk menyembah-Nya walaupun kamu tidak dapat menjangkau-Nya dengan pancainderamu namun kamu dapat melihat dan merasakan wujudnya dalam diri kamu sendiri sebagai ciptaannya dan dalam alam semesta yang mengelilingimu beberapa langit dengan matahari, bulan dan bintang-bintangnya, bumi dengan gunung-ganangnya, sungai, tumbuh-tumbuhan dan binatang-binatang yang kesemuanya dapat bermanfaat bagi kamu sebagai manusia.

Dan (Tuhan) membuat kamu dapat menikmati kehidupan yang sejahtera dan bahagia. Tuhan itulah yang harus kamu sembah dan menundukkan kepala kamu kepada-Nya. Tuhan Yang Maha Esa tiada bersekutu, tidak beranak dan diperanakan yang walaupun kamu tidak dapat menjangkau-Nya dengan pancainderamu, Dia dekat daripada kamu mengetahui segala gerak-geri tingkah-lakumu, mengetahui isi-hatimu, denyut jantungmu dan jalan fikiranmu.

Tuhan itulah yang harus disembah oleh manusia dengan kepercayaan penuh kepada KeEsaan-Nya dan kekuasaan-Nya dan bukan patung-patung yang kamu perbuat pahat dan ukir dengan tangan kamu sendiri kemudian kamu sembah sebagai tuhan padahal ia suatu barang yang pasif tidak dapat berbuat sesuatu yang menguntungkan atau merugikan kamu. Alangkah bodoh dan dangkalnya fikiranmu jika kamu tetap mempertahankan agamamu yang sesat dan menolak ajaran dan agama yang telah diwahyukan kepadaku oleh Allah Tuhan Yang Maha Esa."

Adapun, kaum Aad tetap tidak mahu mendengar dakwah-dakwah Nabi Hud lalu Allah menghantar angin yang begitu dahsyat yang memusnahkan mereka. Tahap pertama adalah bermulanya dengan kekeringan yang mana memusnahkan segala tanaman mereka, dalam mana Nabi Hud tetap menasihatkan mereka agar bertaubat namun mereka tetap membangkang dakwah Nabi Hud.

Kemudian datang awan tebal yang pada mulanya kaum Aad menyangka bahawa itu adalah hujan rahmat tetapi sebaliknya yang datang adalah azab yang menghancurkan kaum Aad yang durhaka. Angin taufan yang kencang bersusuli bunyi gemuruh telah memusnahkan segala yang ada berserta kaum Aad yang durhaka selama tujuh hari dan tujuh malam tanpa henti.

Timbul pertanyaan, apakah insan sesejak awal sentiasa bersaiz kecil fizikalnya kemudian dengan peredaran zaman mengalami evolusi menjadi fizikal yang lebih besar dan stabil atau sebaliknya mahupun ada yang sedari awalnya bersaiz besar?

Sila lihat video ini sehingga tamat: Giants real or fake Part - 1


Giants real or fake Part - 2


Bersambung…

Monday, December 28, 2009

Produk sejarah - 1


Apakah insan suatu waktu dahulu dipermulaannya adalah berada dalam tahap primitif iaitu tidak tahu apa-apa malah menyembah benda yang mati seperti batu-batu, pokok-pokok mahupun patung-patung lalu kemudiannya menjadi berpemikiran yang tinggi atau insan itu sendiri sebenarnya adalah suatu mahluk yang sentiasa berpemikiran tinggi malah mengenal Penciptanya, namun kemudian insan itu sendiri merendahkan pemikirannya atas sesuatu faktor serta menghancurkan apa yang dibina dahulunya?

Sekiranya dilihat akan tamadun-tamadun lepas, insan dari suatu kurun kesuatu kurun sentiasa berjaya mendirikan tamadun mereka namun kemudian atas sesuatu kesilapan seperti pemujaan kepada selain dari Pencipta alam yang esa, keruntuhan moral atau akhlak kerana melanggar fitrah insaniah yang wajar patuh kepada Penciptanya, lalu mereka dimusnahkan atau mereka sendiri memusnahkan segala yang dibina.

Contohnya, Teotihuacan (dianggarkan pada 300 S.M), salah satu tamadun ulung dibenua Amerika dan menjadi pengaruh kepada tamadun lain disekitarnya seperti Zapotek dan Maya dengan pembinaan piramid bulan dan matahari dalam mana rakyatnya hidup dikota tersebut dalam keadaan harmoni, pembinaan kota-kota yang sistematik, serta kreatif sebagaimana yang didapati dari ukiran-ukiran mereka. Sedang penduduk atau pembina bandar Teotihuacan sendiri tidak dikenali serta tidak diketahui apa bahasa mereka malah nama Teotihuacan juga diberikan nama oleh kaum Aztec.

Sehingga hari ini berbagai-bagai teori yang ada namun segalanya tidak pasti kerana tamadun ini tidak meninggalkan sebarang tinggalan sejarahnya seperti sesuatu yang bertulis, malah kubur raja-rajanya pun tidak ditemui. Yang pasti adalah mereka telah membina suatu struktur kehidupan bermasyarakat yang begitu hebat dengan suatu kebudayaan yang ulung sehinggalah kepada kejatuhannya.

Ada teori menyebut masyarakat disitu kemudiannya mula mengamalkan kepercayaan karut-marut yang mana ada penduduknya dikorbankan, adalah penyebab akan kejatuhannya. Atau juga terdapat sekelompok penduduknya menyembah berhala lalu mereka dihukum bersama penemuan bekas-bekas berhala yang dihancurkan dan dibakar. Apa pun, bandar yang sebegitu besar dan unik, akhirnya ditinggal kekosongan dan penuh tanda-tanya kerana tiada kesan apa dijumpai, hanya tulang serta berhala yang dihancurkan ditemui.

Ini adalah lumrah dimana-mana, setelah waktu berlalu, generasi kemudiannya terkeluar dari arus yang benar mahupun mereka merubah-rubah segala yang asli hatta banyak sejarah menunjukkan, sepeninggalan insan-insan dikalangan mereka yang dahulunya menunjukkan jalan kebenaran kepada mereka, akhirnya setelah waktu berlalu, insan tersebut pula dianggap sebagai Tuhan dan mereka menyembahnya atau mereka menyembah lain dari yang diajar.

Sebagaimana contohnya Zarathustra (Persia) yang mengajar akan Tuhan yang satu namun generasi kemudiannya menyembah api, Laozi (Lao Tzu, China), yang menyatakan Tuhan adalah terlalu agung sehingga tak dapat dibayangkan, namun kemudian sepeninggalannya, beliau pula disembah sebagai Tuhan, mahupun Nabi Isa, memperkatakan akan keesaan Pencipta alam, mengajar akan kalimah yang satu, dianggap pula sebagai anak Tuhan oleh generasi kemudiannya dan kalimah mereka menjadi tiga.


Bersambung…



Part - 2
Part - 3
Part - 4
Part - 5

Friday, December 25, 2009

Tahap-tahap kehidupan - 14


Pada tahap-tahap penglihatan, pengertian, pengamatan dan seterusnya mencipta pengetahuan atau pengalaman kepada insan, lazimnya segala yang diketahui terjadi didunia ini adalah kerana adanya penyebab-penyebab atau asbab-asbab.

Dan ini adalah kenyataan yang mana dalam kehidupan ini, segalanya dilihat terikat pada asbab-asbab seperti adanya sinaran dipagi hari adalah kerana matahari terbit atau gelapnya hari kerana matahari tengelam.

Kenyataan inilah seterusnya menyokong pada kendalinya akal insan, yang mana fungsi untuk tahap-tahap akal atau juga disebut logik akal. Namun dalam pada itu, tahap hanya menggunakan logik akal adalah sebenarnya berbentuk tentatif bukan definitif. Sebagaimana kita telah melihat banyaknya teori-teori yang pada mulanya dipercayai itulah kebenaran mutlak tetapi kemudian dapat disangkal oleh penemuan teori-teori yang baru yang mana merubah keputusan dari teori yang lama.

Tentatif adalah suatu yang bukan muktamat atau ketetapan terakhir sebagaimana contohnya suatu perjumpaan dibuat pada tarikh tentatif yang dipilih pada sekian-sekian hari yang mana tarikh tersebut mungkin ditukar sekiranya ahli-ahlinya tidak bersetuju. Tarikh tentatif digunakan kerana kemungkinan ada perubahan dan bukan ketetapan. Manakala definitif pula adalah suatu ketetapan yang mana tidak lagi ditukar-tukar atau berubah-ubah.

Logik akal adalah berkisar pada pengertian, pemahaman mahupun pengetahuan insan namun ia mungkin sahaja bukan suatu kemestian. Contohnya suatu waktu dahulu, pada logik insan bumi adalah berbentuk latar kerana dimana-mana mereka bergerak, bumi tetap latar baginya lalu melalui asbab itu, dipercayai bumi ini latar, namun kemudian akalnya menemui logik yang lain bila dia berjalan jauh iaitu, titik penghujung yang dilihat pada diawal permulaan perjalanannya tidak disitu, malah semakin luas lagi pandangan disebalik titik penghujung tersebut yang membuktikan bahawa bumi ini bulat.

Atau pada suatu tahap, insan pada logiknya melihat bahawa matahari yang mengelilingi bumi kerana dilihat bagaimana putaran matahari terbit sehingga matahari tengelam, yang mana pada logiknya, dia tidak bergerak tetapi matahari yang bergerak, tetapi kemudiannya bila penemuan-penemuan baru akan bagaimana berputarnya planet-planet pada suatu garisan yang mengelilingi matahari, yang mana tempat bumi yang dipijaknya yang berputar mengelilingi matahari, maka teori lama sekali-gus berubah dan malah diketawakan.

Sebegitu juga pada logik akal, bila insan bangkit mencipta tamadunnya, mempunyai kota-kota besar, pengetahuan-pengetahuan yang tinggi, hidup penuh keselesaan, budaya-budaya yang ulung maka rakyat disitu adalah mereka yang hebat peradabannya dan diduga akan itulah contoh-contohnya insan yang wajar diikuti seratus persen oleh mereka yang tinggal didaerah lain yang ketinggalan, (sebagaimana lazimnya penduduk desa memandang tinggi pada penghuni kota)namun hakikatnya pula ramai penghuni-penghuni kota tersebut mengalami keruntuhan moral atau bermasaalah jiwa dari tekanan-tekanan hidup seperti stress harian dan seterusnya dalam memenuhi keperluan hidupnya.

Disinilah kenyataannya, segala yang menjadi asbab-asbab sesuatu terjadi didunia ini pada hakikatnya bukan kemestian keputusannya sebagaimana yang diduga logik akal oleh insan tetapi sebaliknya ada suatu kuasa yang maha besar yang mengolah serta membuat keputusan muktamat, kerana asas atau permulaan sesuatu asbab tersebut didunia ini bukanlah terletak pada deria atau akal insan tetapi terletak pada Pencipta alam.

Difinitif kehadiran insan dimuka bumi ini adalah adanya kelahiran dan adanya kematian dan antara kedua itu adalah bagaimana dia berikhtiar mencapai pengertian sebenar akan maksud kejadiannya dialam ini dan cuba mengenal secara definitif akan Penciptanya yang sebenar sebelum berakhir hayatnya dialam ini. Dalam mana diatas kerahmatan Pencipta alam ini, sentiasa Pencipta alam ini menghantar para-para utusanNya sehinggalah pada utusan terakhir iaitu Nabi Muhamad untuk membimbing insan kearah kebenaran tersebut.

Dan seterusnya disambung usaha dalam pengenalan akan erti sebenar kehidupan ini oleh para-para ulamak seperti al-mujaddid Imam Abu Hamid Al-Ghazali rah yang beraliran Sunni Mahzab Syafii dari Khurasan, Persia (1058-1111).

Thursday, December 24, 2009

Tahap-tahap kehidupan - 13


Secara amnya diseluruh dunia, terdapat persamaan-persamaan tentang tahap-tahap yang dilalui dalam usia-usia insan. Yang mana juga dari tahap-tahap ini atau apa yang dicenderungkan pada sesuatu tahap, maka ia mencipta suasana sekelilingnya seperti bagaimana teman-teman atau kenalan-kenalan dipersekitarannya tidak kira didunia realiti mahupun didunia komunikasi internet yang mana kenalan-kenalannya adalah tanpa batas sempadan serta juga terdapat kenalan-kenalan yang tidak pernah ditemui dialam nyata.

Pada usia-usia muda seperti kanak-kanak, lumrahnya tema yang digemari untuk diikuti adalah berkenaan permainan. Dari permainan kejar-mengejar, permainan sembunyi-sembunyi, layang-layang, bola, takraw dan seterusnya kepada permainan modern hari ini iaitu video game, game boy dan seterusnya.

Seterusnya bila usia meningkat remaja maka arus budaya yang berlaku disekitar adalah tema yang lumrahnya diminati seperti band-band musik, cerita-cerita filem, berkenaan perasaan jatuh cinta atau mencari pasangan hidup, pakaian-pakaian fesyen semasa, sukan-sukan, jentera tungangan seperti motosikal atau kereta, buku-buku dan seterusnya.

Manakala diusia pertengahan adalah suatu langkah perubahan yang mana suatu alam yang lebih menggunakan otak-fikiran dan yang dimaksudkan bukan dalam bentuk pengajian atau pengetahuan tetapi lebih menjurus tentang bagaimana menggunakan pemikiran untuk mengkaji sesuatu tema dalam kehidupannya dengan lebih mendalam dan tema-tema itu pula bergantung kepada apa yang mempengaruhi dirinya seperti contohnya tentang pegangan atau falsafah hidupnya.

Pada usia ini, insan mula menggunakan fikirannya pada perkara-perkara yang berat dan juga lebih serius diambilnya seperti tentang sesuatu topik hala tuju sebenar dirinya atau insan, arus kehidupan yang membawa kejayaan atau kegagalan, pengertian terhadap sesuatu tema yang lebih mendalam ingin diketahui, tentang perjalanan dunia seperti berita-berita semasa dan apakah kesannya dan seterusnya. Midlife crisis iaitu krisis diusia pertengahan biasa sahaja terjadi kerana peningkatan kepada pemikiran tentang keadaan hidupnya.

Namun dalam pada itu, ramai yang telah berada ditahap pertengahan usia namun mindanya masih minda semalam, iaitu minda kanak-kanak atau para remaja. Temanya masih tentang tema semalam seperti tema remaja-remaja mahupun sehingga apa yang dihasilkan juga adalah setahap para remaja tanpa menginginkan atau suatu usaha peningkatan yang seterusnya dalam erti kata menuju kematangan.

Dan sekiranya pada usia pertengahan ini, dilalaikan dengan tahap-tahap dirinya semalam, iaitu tahap-tahap zaman remajanya yang lepa maka bila meningkat kesuatu tahap seterusnya usianya iaitu bila melebihi 40 tahun, maka sesuatu tahap tersebut wajar sahaja menjadi tabiat yang sebati dalam dirinya dan semakin sukar baginya untuk dihakis dari dirinya.

Insan itu sendiri tidak kira apa kedudukan, pangkat, pengetahuan, pengalaman, minat, rupa fizikal, jantina dan seterusnya adalah sama iaitu menuju kealam kematangan sebelum usia menjangkau tua dan sebelum berakhir usianya. Kerana itu, bukan hanya mereka yang berkedudukan tinggi atau berpengetahuan tinggi berhak untuk berfikir tetapi setiap insan mempunyai hak untuk itu kerana hidup didunia ini hanyalah sekali, masa yang dilalui tidak akan berulang sedang masa itulah kesaksian akan pencapaian kematangan dirinya.

Lantas dari itu, apakah erti tahap-tahap kematangan dan dari mana ia diukur? Tahap kematangan bukanlah bermakna seseorang tersebut tidak boleh bergurau, berhikmah dalam berkata-kata seperti membicarakan tentang layang-layang pada seorang kanak-kanak, bersukan, berkarya dalam bentuk ringan, melakukan kesilapan dan seterusnya, tetapi tahap kematangan adalah bila ia menginginkan kebenaran dengan menggunakan kelebihan akal-fikirannya untuk kearah kebenaran, bukan hanya mengikut emosinya dalam mana pertimbangan-pertimbangan untuk sesuatu adalah dilakukan dengan lebih berhati-hati.

Dalam pada itu, didapati ada remaja-remaja yang lebih matang dari sesetengah mereka yang ditahap usia pertengahan mahupun usia lanjut kerana adanya sesuatu arus kebenaran yang diikuti. Sesuatu arus seperti pada jalan budaya hidup yang cenderung kepada kebaikan, kepada jalan kebenaran mahu pun juga serius dalam pencarian apakah erti sebenar kehidupan didunia ini.

Bersambung…
Btn_brn_77x28

Tajuk

Abbasiyah (1) altruisme - ikram (3) Aqidah (1) art video (20) Austronesia (10) Bahasa dan penampilan (5) Bangsa Melayu (7) batas sempadan (9) Berita (15) Besi (1) Biography solihin (1) Budaya dan pengertiannya (16) catitan (2) cerdik/bodoh dan antaranya (6) cetusan minda (8) cinta dan syahwat (3) Doha - Qatar (2) Eid Mubarak (5) falsafah (2) Fantasia falasi (3) Fibonacci (1) Filem (2) fitrah (1) Fungsi seni (1) gangsa (1) hukum (6) huruf (2) hutang (1) ijtima (1) Iklan (2) imitasi dan memori (1) infiniti (5) jalan2 (2) kebangsaan/nationalisme (2) kebebasan bersuara (1) Kelahiran kesenian yang mengubah warna dunia. (1) Kembali sebentar tentang erti seni (Islam) (1) kerja otak (1) Kesenian dunia Islam (1) komunikasi (1) konsep kendiri (3) konspirasi (1) Lagu (1) Lentok tangan (1) Malaysia (3) Masa (10) Maslahah atau mafsadah (1) Maya (ilusi) (4) Melaka (1) Melayu (2) Melayu dan Islam (9) minda (2) musik (2) nukilan rasa (1) Pantang dalam berkarya (1) Pause (6) Pembetulan sejarah (3) Pengajian dan pengertian budaya (1) Perasaan dan pemikiran (5) Persepsi / Tanggapan (6) pointillism (2) populasi dunia (9) Produk sejarah (11) Program dan hayat (2) prosa (4) ramadan (2) realiti - kenyataan (7) Sajak (22) Sangkaan (2) sebab dan akibat (18) sejarah (14) sejarah Islam Nusantara (1) sejarah Melayu (4) Sejarah mengubah/terubah (5) Sejarah seni dalam kehidupan insan (1) Sejarah video (1) Seni Bahasa (2) Seni dalam imiginasi (1) seni kata (1) Seni logam (3) Seni textil (budaya berpakaian) (2) Seni-seni mempertahankan diri (1) sound (1) Srivijaya (3) Sunda (6) Tahap kesederhanaan (1) Tahap-tahap kehidupan (14) tenung bintang (1) Terkesan dengan suasana (2) Tradisional dalam makna (1) Ukuran dan kayu pengukurnya (2) updated (1) Usia manusia (3) vision (1) wang (7) Wujudkah kosong? (2) zarzh slide (12)

Catitan lalu

Insuran & Road Tax Online

tetangga