
Apakah insan suatu waktu dahulu dipermulaannya adalah berada dalam tahap primitif iaitu tidak tahu apa-apa malah menyembah benda yang mati seperti batu-batu, pokok-pokok mahupun patung-patung lalu kemudiannya menjadi berpemikiran yang tinggi atau insan itu sendiri sebenarnya adalah suatu mahluk yang sentiasa berpemikiran tinggi malah mengenal Penciptanya, namun kemudian insan itu sendiri merendahkan pemikirannya atas sesuatu faktor serta menghancurkan apa yang dibina dahulunya?
Sekiranya dilihat akan tamadun-tamadun lepas, insan dari suatu kurun kesuatu kurun sentiasa berjaya mendirikan tamadun mereka namun kemudian atas sesuatu kesilapan seperti pemujaan kepada selain dari Pencipta alam yang esa, keruntuhan moral atau akhlak kerana melanggar fitrah insaniah yang wajar patuh kepada Penciptanya, lalu mereka dimusnahkan atau mereka sendiri memusnahkan segala yang dibina.
Contohnya, Teotihuacan (dianggarkan pada 300 S.M), salah satu tamadun ulung dibenua Amerika dan menjadi pengaruh kepada tamadun lain disekitarnya seperti Zapotek dan Maya dengan pembinaan piramid bulan dan matahari dalam mana rakyatnya hidup dikota tersebut dalam keadaan harmoni, pembinaan kota-kota yang sistematik, serta kreatif sebagaimana yang didapati dari ukiran-ukiran mereka. Sedang penduduk atau pembina bandar Teotihuacan sendiri tidak dikenali serta tidak diketahui apa bahasa mereka malah nama Teotihuacan juga diberikan nama oleh kaum Aztec.
Sehingga hari ini berbagai-bagai teori yang ada namun segalanya tidak pasti kerana tamadun ini tidak meninggalkan sebarang tinggalan sejarahnya seperti sesuatu yang bertulis, malah kubur raja-rajanya pun tidak ditemui. Yang pasti adalah mereka telah membina suatu struktur kehidupan bermasyarakat yang begitu hebat dengan suatu kebudayaan yang ulung sehinggalah kepada kejatuhannya.
Ada teori menyebut masyarakat disitu kemudiannya mula mengamalkan kepercayaan karut-marut yang mana ada penduduknya dikorbankan, adalah penyebab akan kejatuhannya. Atau juga terdapat sekelompok penduduknya menyembah berhala lalu mereka dihukum bersama penemuan bekas-bekas berhala yang dihancurkan dan dibakar. Apa pun, bandar yang sebegitu besar dan unik, akhirnya ditinggal kekosongan dan penuh tanda-tanya kerana tiada kesan apa dijumpai, hanya tulang serta berhala yang dihancurkan ditemui.
Ini adalah lumrah dimana-mana, setelah waktu berlalu, generasi kemudiannya terkeluar dari arus yang benar mahupun mereka merubah-rubah segala yang asli hatta banyak sejarah menunjukkan, sepeninggalan insan-insan dikalangan mereka yang dahulunya menunjukkan jalan kebenaran kepada mereka, akhirnya setelah waktu berlalu, insan tersebut pula dianggap sebagai Tuhan dan mereka menyembahnya atau mereka menyembah lain dari yang diajar.
Sebagaimana contohnya Zarathustra (Persia) yang mengajar akan Tuhan yang satu namun generasi kemudiannya menyembah api, Laozi (Lao Tzu, China), yang menyatakan Tuhan adalah terlalu agung sehingga tak dapat dibayangkan, namun kemudian sepeninggalannya, beliau pula disembah sebagai Tuhan, mahupun Nabi Isa, memperkatakan akan keesaan Pencipta alam, mengajar akan kalimah yang satu, dianggap pula sebagai anak Tuhan oleh generasi kemudiannya dan kalimah mereka menjadi tiga.
Bersambung…
Part - 2
Part - 3
Part - 4
Part - 5
No comments:
Post a Comment