Thursday, May 07, 2026

Kiblat

 Kiblat awalnya adalah Makkah kemudian beralih ke Baitul Maqdis dan kembali ke Makkah.


‎وَاجْعَلُوا بُيُوتَكُمْ قِبْلَةً

dan jadikanlah rumah-rumah kamu (mengadap) qiblat…. {petikan ayat dari Surah Yunus, 87}


Menurut pendapat Ibnu Abbas r.a, kiblat mereka adalah Makkah kerana kiblat umat-umat terdahulu pun adalah Makkah juga. Kiblat yang dikatakan Baitul Maqdis itu hanya terjadi selepas mereka meninggalkan Mesir dan menuju ke Baitul Maqdis.


Menurut pendapat bahawa Nabi Musa bertemu dengan Nabi Syuaib di Madyan maka jelas, Nabi Musa sebelum diangkat menjadi Nabi di bukit Tursina telah belajar tentang urusan agama dari Nabi Syuaib hatta kiblat buat shalat sebagaimana ucapan Nabi Syuaib, "Dan kamu insya Allah akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sholeh. {petikan dari surah Al-Qashash, ayat 27}


سَتَجِدُنِي إِن شَاءَ اللَّهُ مِنَ الصَّالِحِينَ


Pertama, adanya perkataan insya Allah yang jelas menunjukkan seorang beriman dan kedua adanya perkataan sholehin.


Yang menjadi perbezaan pendapat samada Nabi Musa bertemu dengan Nabi Syuaib adalah kerana tarikh sebenar kewujudan kota Madyan hingga tarikh kemusnahannya sedangkan tarikh sebenarnya masih menjadi perdebatan namun majoriti mempercayai zaman Nabi Syuaib adalah antara zaman Nabi Ibrahim dengan Nabi Musa. 


Tempoh antara Nabi Ibrahim dengan Nabi Musa adalah lebih kurang 7 abad dan waktu itu, usia sekurun-dua mahupun lebih masih normal kerana Nabi Ibrahim sendiri berusia lebih dari sekurun dan tiada dalil Al Quran mahupun dari hadith sahih yang menyatakan bahawa Nabi Syuaib pernah bertemu dengan Nabi Luth.


Ada pendapat Madyan adalah dari generasi keturunan Nabi Ibrahim dengan isterinya bernama Keturah. Keturah adalah isteri Nabi Ibrahim yang dipercayai memiliki darah Arab asli.


Nabi Syuaib adalah berketurunan Arab sebagaimana sabda Nabi Muhamad s.a.w bahawa-sanya Nabi Syuaib adalah antara 4 nabi yang keturunan Arab asli.


Terdapat perbezaan dan definasi antara Arab asli (al-ʿArab al-ʿĀribah) dan bangsa yang diarabkan (al-ʿArab al-Mustaʿribah).


Insan mengerjakan shalat seawal zaman Nabi Adam lagi dengan berkiblatkan Kaabah, disamping Makkah menjadi pusat haji.


Lantaran itu, biarpun generasi terkemudian mula tersebar ke seluruh dunia, Makkah tetap menjadi pusat umat yang beriman sepanjang masa.


Aspek utama dalam penyembahan atau shalat kepada Allah adalah pertama adanya iman, mengagungkan kebesaran Allah, istighfar serta sujud.


Kedatangan Nabi Muhamad sebagai nabi terakhir adalah melengkapi segala yang dibawa oleh nabi-nabi terdahulu.


Kekufuran menyembah selain dari Allah, seperti kepada berhala atau mahluk adalah berlaku selepas zaman Nabi Idris dan selepas itu, kiblat penyembahan menjadi individu, dimana ada berhala atau objek pemujaan mereka, disitulah kiblat mereka.


Disinilah permulaan berpecahnya umat manusia menjadi kumpulan atau bangsa-bangsa tersendiri dimana tiada lagi sesuatu asas yang menyatukan dalam setiap waktu.


Allah tidak memerlukan kiblat tetapi menjadikan kiblat buat arah keseluruhan manusia dituju, sebagimana langit adalah kiblat buat berdoa.


Dilangit ketujuh, sejajar lurus diatas Kaabah dimuka bumi, terdapat Baitul Makmur yang menjadi pusat kiblat keseluruhan para malaikat.


Kaabah-Makkah dibangunkan kembali setelah seluruh dunia dibersihkan (musnah dilanda banjir besar) di zaman Nabi Nuh a.s, kemudian di suatu fasa ia kembali musnah atau ditinggalkan sebelum dibangunkan kembali oleh Nabi Ibrahim a.s.


Di zaman kaum 'Ad yang wujud berkurun-kurun selepas zaman Nabi Nuh, terjadi peristiwa sebelum mereka dihancurkan, mereka ditimpa kemarau selama 3 tahun lalu mengutus utusan mereka ke Baitullah di Makkah buat berdoa, menunjukkan bahawa adanya tradisi adat turun-temurun berkiblatkan Kaabah di Makkah biarpun pada zaman tersebut, mereka telah terpesong.


Ibnu Ishaq meriwayatkan bahawa kaum 'Ad ditimpa kemarau panjang selama tiga tahun yang membuat mereka kelaparan dan menderita, lalu kaum 'Ad mengirim utusan sebanyak 70 orang ke Baitullah di Makkah untuk memohon hujan. (al-Mubtada' wa al-Ba'th wa al-Maghazi)


Di sana mereka singgah di kediaman Mu'awiyah bin Bakr yang ibunya berketurunan kaum 'Ad bernama Jalhadzah binti Al-Khaibari. 


Selama sebulan lamanya utusan tersebut menumpang di kediaman Mu'awiyah sehingga dia merasa tidak enak pada kaumnya lalu menyindir para tetamunya melalui syair yang direkanya.


Setelah mendengar sindiran syair Muawiyah, Qail bin Anaz, pemimpin utusan kaum 'Ad teringat akan maksud sebenarnya lalu bergegas ke Baitullah berdoa memohon hujan.


Lalu datanglah tiga jenis awan: putih, merah dan hitam berserta suara dari langit meminta mereka untuk memilih salah satu dari jenis awan tersebut. 


Qail bin Anaz memilih awan hitam kerana menyangka itu petanda membawa hujan lebat namun suara tersebut menyatakan bahawa awan yang dipilih itu adalah hujan batu yang akan memusnahkan kaum 'Ad.


Diwaktu yang sama, di negeri kaum 'Ad, munculah awan hitam dan para penduduk semuanya bergegas keluar ke sebuah lembah bernama Al-Mughits. Mereka merasa amat gembira kerana menyangka itu adalah awan yang mengandung hujan.


Sedang salah seorang wanita dari kaum 'Ad bernama Mahd menyedari bahawa awan tersebut bukan membawa hujan tetapi berisi angin yang membinasakan dan kerana terlalu ketakutan, dia jatuh pingsan. 


Setelah sedar, wanita tersebut cuba menjelaskan kepada yang lain bahawa telah melihat angin yang membawa kobaran api namun telah terlewat kerana proses pembinasaan ke atas kaum 'Ad telah bermula.


Bagaimana pun, Ibn Kathir berpendapat ini terjadi kepada kaum 'Ad dizaman fasa kedua iaitu selepas Nabi Ibrahim membangunkan kembali Kaabah, bukan kaum 'Ad awal atau pertama dimana zaman Nabi Hud berada. 


Yang pastinya, jelas kaum mahupun suku-suku Arab dipersekitaran telah wujud tradisi kiblat mereka ke arah Makkah dari zaman awal lagi. Hanya-sanya, dizaman Jahiliah, kiblat ke Kaabah bukan kiblat shalat harian mereka tetapi lebih kepada adat turun-temurun sebagaimana haji yang mereka lakukan ke Makkah saban tahun.


Kiblat diarahkan ke Baitul Maqdis hanya selepas peristiwa Isra Mikraj dimana Nabi Muhamad s.a.w mengimamkan shalat buat para Anbiya disitu.


Ini kerana terdapat riwayat bahawa Kaabah merupakan kiblat Nabi Muhamad s.a.w di Makkah sebelum dialihkan ke Baitul Maqdis yang terletak di Jerusalem dalam peristiwa Isra Mikraj.


Bukhari meriwayatkan dari ‘Abdullah bin Mas’ud r.a bahawa Nabi Muhamad s.a.w suatu ketika shalat dekat Ka’bah (berkiblatkan kaabah) sementara Abu Jahal dan teman-temannya sedang duduk-duduk. Tiba-tiba salah seorang dari mereka berkata, “Siapa yang berani untuk mengambil isi perut unta di pemotongan Bani Fulan kemudian meletakkannya di atas punggung Muhammad ketika ia sedang sujud?”


Akhirnya berdirilah orang yang paling jahat di antara mereka iaitu ‘Uqbah bin Abi Mu’aith. Tidak lama kemudian, dia datang membawa kotoran tersebut dan menunggu hingga Nabi Muhammad sujud, lalu meletakkannya di atas punggung dan di antara pundaknya. Mereka melihatnya sambil tertawa, sementara saya (Ibnu Mas’ud) melihatnya dan tidak mampu berbuat apa-apa. Beliau s.a.w tetap sujud dan tidak bangun dari sujudnya sehingga datang puterinya, Fatimah r.anha lalu membersihkan kotoran tersebut. Setelah itu, Rasulullah s.a.w bangun dari sujudnya….. (petikan dari hadith panjang dalam sahih Bukhari)


Diriwayatkan juga, suatu ketika, Abu Jahal menemukan Rasulullah s.a.w dalam keadaan shalat (mengadap Kaabah). Dia mendatanginya dengan maksud menginjak pundak Rasulullah s.a.w, tiba-tiba ia mundur sambil mengangkat tangannya dalam keadaan ketakutan. Mereka yang hadir bertanya, “Apa apa wahai Abu Al-Hakam?” Dia berkata, “Saya melihat di depan saya, ada parit dari api, kengerian dan sayap-sayap (yang menakutkan).” Rasulullah s.a.w bersabda, “Seandainya dia mendekati saya, maka malaikat akan memotong-motong badannya.” (HR. Muslim, no. 2797)


Pada bulan Syaaban tahun kedua hijrah, terjadinya peristiwa peralihan kembali kiblat  dari Baitul Maqdis di Jerusalam ke Kaabah di Makkah.


Sehingga hari ini, Masjid Bani Salamah, Masjid Qiblatain (Masjid Dua kiblat) yang berada di Madinah amat terkenal dan dikunjungi saban waktu oleh ribuan umat Islam buat mengenang akan peristiwa peralihan kiblat ini.


Kiblat adalah merupakan arah kesatuan dan Kaabah adalah pusat penyatuan umat sekalian.


Bila umat Islam berdiri mengerjakan shalat mengadap kiblat, semuanya berdiri seiring bersampingan dengan menanggalkan bangsa-kaum, warna kulit, kedudukan, pangkat, rupa-wajah mahupun fizikal, kaya-miskin, dewasa atau kanak-kanak dan seterusnya.


Disisi Allah Taala, semua manusia adalah sama dan yang membezakan mereka adalah taqwa. Dan setiap dari jiwa musliman serta muslimat adalah amat berharga sebagaimana sabda Nabi Muhamad s.a.w:


“Sesiapa yang menyakiti seorang Muslim secara zalim, seolah-olah dia telah memusnahkan Kaabah” (Tabarani)


Ramai kalangan sahaba telah melaporkan bahawa suatu ketika apabila Nabi memandang Kaabah, baginda berkata (kepada Kaabah): “Allah telah menganugerahkan kamu kehormatan, kemuliaan dan penghormatan tetapi orang mukmin itu lebih mulia daripada kamu”. (Ibn Majah dan Tabarani)


Dalam kiblat, arah mengadap Kaabah terdapat juga pengertian antara tafwid dan takwil.


Tafwid, penyerahan makna atas melakukan semata-mata perintah Allah manakala takwil pula huraian bahawa dengan mengadap Kaabah dalam shalat, bukan Kaabah yang disembah tetapi ianya adalah suatu kesamaan arah buat sekalian umat sedang Allah tidak memerlukan arah mahupun tempat.


(Contohnya dalam bab aqidah, tafwid menyerahkan makna kepada Allah, manakala takwil mengubah makna zahir kepada makna lain yang dianggap layak bagi Allah)


Umat Islam adalah umatan wasatan, umat pertengahan. Allah akan sentiasa menguji umat ini hatta sewaktu peristiwa perintah menukar kiblat, ia adalah suatu bentuk ujian. 


“Dan demikian pula Kami telah menjadikan kamu (umat Islam) ”umat pertengahan” agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu. Kami tidak menjadikan kiblat yang (dahulu) kamu (berkiblat) kepadanya melainkan agar Kami mengetahui siapa yang mengikuti Rasul dan siapa yang berbalik ke belakang. Sungguh, (pemindahan kiblat) itu sangat berat, kecuali bagi orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah. Dan Allah tidak akan menyia-nyiakan imanmu. Sungguh, Allah Maha Pengasih, Maha Penyayang kepada manusia. {surah al Baqarah, ayat 143}


Dari tafsir ayat, dijelaskan bahawa perubahan kiblat dari Baitul Maqdis ke Ka'bah adalah untuk menguji manusia, siapa di antara mereka yang benar-benar beriman dan mengikuti Rasul serta siapa pula yang lemah imannya, membelok dari jalan yang lurus. Memang pemindahan kiblat itu dirasakan sangat berat oleh orang yang fanatik kepada kiblat yang pertama, kerana manusia pada umumnya sulit untuk mengubah dan meninggalkan kebiasaannya. Tetapi orang yang mendapat petunjuk dari Allah dengan mengetahui hukum-hukum agamanya dan rahsia syariatnya, mereka sedar bahawa melaksanakan ibadah dengan menghadap kiblat itu adalah semata-mata kerana perintah Allah bukan kerana suatu rahsia yang tersembunyi pada tempat itu dan bahawa penempatan kiblat itu untuk menghimpun manusia pada satu arah serta untuk persatuan umat. (Tafsir kemenag)

Wednesday, May 06, 2026

Generasi tenaga fosil

Manusia hari ini adalah generasi tenaga fosil. Segala kemajuan yang dikenali dunia hari ini berkembang dari era tenaga fosil.


Sebelumnya, manusia menggunakan seperti tenaga angin untuk belayar, menggunakan minyak dari haiwan dan tumbuhan untuk menerangi malam, tenaga haiwan untuk kenderaan dll.


Tenaga fosil bermula dari penggunaan arang batu yang awalnya digunakan buat peleburan besi dan kemuncaknya pada sistem wap yang menjana kapal-kapal belayar sehingga pada era revolusi industri dimana kilang-kilang mula memproduksi secara besar-besaran barang-barang kegunaan harian.


Dan bila era tenaga fosil dari minyak dan gas dimulai maka seluruh peradaban dunia berubah secara drastik dan kesannya sehinggalah ke hari ini.


Lantaran itu, manusia yang wujud hari ini adalah generasi tenaga fosil dan tanpanya, ramai menyangka itu adalah seperti kiamat, seakan segalanya akan berakhir.


Ini adalah kerana, kesan tenaga fosil ini menyebabkan majoriti manusia hidup dalam jiwa kehambaan pada material (kebendaan) dan mendambakan diri pada wang fiat (USd) sebagaimana cth.nya ramai warga Jepun kerja siang-malam, namun kehidupan tetap dibelenggu tanpa mampu membeli rumah, takut memiliki anak dll. dibandingkan ramainya rakyat di negara lain yang kurang waktu kerjanya tetapi menikmati lebih nyaman kehidupan sehariannya.


Sejarah bermulanya tenaga fosil ini juga menyaksikan bagaimana zaman kolonial berkembang, zaman penghambaan berjuta-juta manusia berlaku, zaman peperangan seakan tiada hentinya sehingga kemuncaknya pada perang dunia pertama dan kedua.


Setelah perang dunia kedua, manusia tersedar dari kesilapan mereka maka terjadilah usaha drastik mencipta piagam hak asasi manusia dimana banyaknya negara-negara merdeka dan tercipta norma antarabangsa.


Hari ini, bahan tenaga fosil meliputi 80 % dari tenaga dunia dan masih terdapat kalangan generasi tenaga fosil ini yang bertindak luar dari norma antarabangsa dan piagam hak asasi dengan menakluk sewenang-wenangnya negara lain dalam menguasai tenaga fosil.


Thursday, November 30, 2023

Pembetulan sejarah - 3

Zaman Nabi Ibrahim berhijrah menetap di Palestin adalah zaman dimana dibawah pemerintahan Hyksos, iaitu kekerajaan Aamu (Kanaan-Palestin).

Palestin iaitu nama lamanya Kanaan dikatakan memerintah dari selatan tanah Syam menjangkau ke utara Mesir dibawah nama Hyksos (sekitar 1750-1550 SM).
Namun tarikh kewujudan Hyksos sebenarnya adalah lebih awal dari itu iaitu sekitar 1900 SM, iaitu zaman Nabi Ibrahim berhijrah ke situ.
Tarikh kewujudan Hyksos (Aamu) seawal sekitar 1900 SM sebagaimana digambarkan di Makam Khnumhotep 11, iaitu gambaran seorang lelaki yang digambarkan sebagai "Abisha the Hyksos", Heqa-kasut untuk "Hyksos", ketua kumpulan Aamu (Hyksos).
Kerajaan Hyksos (Palestin), yang kemudiannya menguasai utara Mesir sekitar 1750 SM dan menjadikan Avaris (Tell el-Daba) sebagai ibukotanya.
Dari tarikh itu, sehingga sekitar 1550 SM, Mesir terbahagi kepada dua bahagian, bahagian utara dan tengah dikuasai kerajaan Hyksos (Palestin) manakala bahagian selatan masih dikuasai oleh kerajaan Firaun Mesir.
Dalam Aegyptiaca, sejarah Mesir yang ditulis oleh pendeta dan ahli sejarah Yunani-Mesir Manetho pada abad ke-3 SM, istilah Hyksos digunakan secara etnik untuk menamakan orang yang berasal dari Semit Barat, Levantine (Palestin).
Di lembah kekuasaan Hyksos ini juga kemudiannya lahirlah bani Israel dari keturunan Nabi Yakub. Nabi Yakub (1834-1689 SM) adalah anak kepada Nabi Isyak.
Semasa pemerintahan Hyksos (Palestin), zaman Nabi Yusuf dilantik menjadi menterinya, bani Israel hidup dengan aman dibawah kekerajaan Hyksos sehingga zaman Firaun Mesir kembali menguasai utara Mesir dan menjajah wilayah Palestin.
Rumusannya, zaman Nabi Ibrahim berhijrah ke tanah Syam, selepas baginda di Mesir, tanah Syam adalah zaman dibawah kekuasaan Hyksos (Palestin) dan penduduk disitu bertolaransi keatas keturunan Nabi Isyak dimana seterusnya buat kewujudan bani Israel disitu.



Pembetulan sejarah - 2

Kisah pembakaran Nabi Ibrahim dipercayai berlaku di kota Ur, bukan Urfa di Turki hari ini dan bukan juga di kota Babilon kerana kota Babilon hanya dimajukan bila ditawan oleh pihak Amorite pada tarikh selepas Nabi Ibrahim berhijrah ke Palestin. Ur adalah wilayah dalam wilayah Babel purba.

Wilayah Babel purba merangkumi seluruh Mesopotamia dan tempat turunnya malaikat Harut dan Marut, adalah kota Babel purba yang telah lama musnah. Diatas tapak wilayah kota Babel ini kemudiannya didirikan kota Kish, Babilon, Ur dll.
Kota Babel purba, asalnya telah jauh maju beribu-ribu abad sebelum kota Babilon yang dikenali hari ini yang dibangunkan oleh Sumuabum, berkuasa sekitar 1830 - 1817 SM, dibawah kerajaan Amorite. Kota Kish yang juga dibina atas wilayah kota purba Babel (dalam 12 km dari kota Babilon yang dikenali hari ini), telah pun jauh lebih lama maju dari kota Babilon baru.
Sumuabum memilih tapak kota Babilon yang dikenali hari ini, yang waktu itu hanyalah sebuah pekan kecil untuk memajukannya dan sebagai ibukota kepada Dinasti Babilon.
Dinasti Babilon menjadi bertambah maju dizaman Hammurabi (berkuasa sekitar 1792 - 1750 SM) namun kemudian kekuasaan bertukar-alih antara berbagai kekerajaan seperti Hittite, Kassites, Assyrian, Elam sebelum kembali kepada Akkad-Sumeria dengan salah seorang raja terkenalnya Nebuchadnezzar II (634 - 562 SM).
Berdasarkan pada Injil, Nebuchadnezzar II telah menakluk kerajaan Judah dan memusnahkan sebahagian besar bandar Baitulmaqdis (Jerusalam) termasuk istana yang dibina dulunya oleh Nabi Sulaiman serta membawa banyak tawanan dari bani Israel ke Babilon.
Nebuchadnezzar II dikenali dengan pembinaan Taman Tergantung Babilon diberi gelaran raja Babilon, raja Sumeria-Akkad, raja dunia serta penghukum atas kesalahan bani Israel. Beliau dikisahkan dalam buku Daniel dan juga disebut dalam beberapa bab dalam Injil.
Dikhabarkan Nabi Daniel (Arabic: دانيال, Daniyal), yang asalnya adalah kalangan tawanan bani Israel yang dibawa ke kota Babilon oleh Nebuchadnezzar II (sekitar 634 – 562 SM), diutus kepada bani Israel disitu.
Lantaran itu, ahlu kitab banyak menungkilkan akan kota Babilon baru hatta menyatakan ianya kota Babel purba serta mengaitkan nama Namrud (Nimrud) dengan zaman Nabi Ibrahim kerana kemungkinan pengetahuan mereka terhad pada persekitaran Babilon baru diabad tersebut.
Kemajuan kota Babel purba (bukan kota Babilon yang dibina kemudian) suatu ketika dahulu tidak dapat digambarkan kerana kehadiran mailaikat Harut dan Marut yang mengajar manusia berbagai-bagai jenis pengetahuan termasuk ilmu alam ghaib.
Namun syaitan berjaya memesongkan pengetahuan yang Harut dan Marut turunkan kepada manusia sebagai ilmu gelap atau ilmu sihir dan dari situ, tersebarlah pengetahuan tentang ilmu sihir ke seluruh dunia.
Dizaman Nabi Sulaiman, baginda telah memerintah agar ilmu-ilmu sihir ini dihapuskan namun kerana ianya telah tersebar disetiap sudut dunia, maka sukar ianya dilakukan kerana itu sehingga kini ada sahaja pengamal ilmu-ilmu sihir di setiap ceruk dunia.




Pembetulan sejarah - 1

Nama Namrud tidak wujud dalam sejarah Nabi Ibrahim a.s melalui kaitan fakta kajian sejarah terkini dan catitan tablet kuno Sumeria.

Dalam Al Quran, tiada disebut nama Namrud. Ianya digunakan oleh Ahlu kitab terdahulu dan disabitkan dengan raja Babilon iaitu raja Nimrud. Nabi Ibrahim lahir dikota Ur, zaman kekuasaan kerajaan Isin di wilayah Mesopotamia dan cuba dibakar disana, bukan dikota Urfa (dalam negara Turki hari ini) yang dikunjungi ribuan manusia saban waktu kerana menyangka ia tempat kejadian itu.
Kisah Nabi Ibrahim a.s adalah berpusat di sekitar negara Iraq hari ini. Yang dikatakan Namrud, nama sebenarnya bila diteliti adalah Ishbi-Erra, (2017-1985 SM) atau penganti selepasnya, Shu-llishu (1985-1975 SM).
Ianya bermula bila pemerintahan Sumeria baru (Neo Sumeria Empire) dipenghujungnya kekuasaannya iaitu dibawah raja Ibbi-Sin (2028-2004 SM).
Ishbi-Erra pada awalnya merupakan jeneral-komander kepada raja Ibbi-Sin. Raja Ibbi-Sin memerintah agar Isbi-Erra mengumpul gandum dari beberapa wilayah untuk dibawa ke Ur kerana menghadapi krisis makanan.
Ishbi-Erra tidak dapat menunaikannya kerana menghadapi tentangan oleh tentera Amorites dipertengahan jalan dan tidak dapat meneruskan perjalanan ke Ur.
Surat Ishbi-Erra kepada Ibn-Sin:
“Tuan yang mulia telah mengarah saya ke bandar Isin dan Kazallu untuk membeli dan mengumpul gandum. Dengan harga pertukaran mencapai 1 shekel perak untuk setiap gar (kiraan berat buat Mesopotomia), 20 talents perak telah digunakan untuk membelinya”.
“Namun saya mendengar, angkatan tentera Amorite telah memasuki wilayah yang mulia. Bersama saya sebanyak 72,000 gar gandum dan kami dibandar Isin. Lantaran halangan tentera Amorite, saya tidak dapat menyampaikan gandum ini kepada tuan..”
Ishbi-Erra menetap di bandar Isin dan bila kuasa raja Ibbi-Sin semakin melemah, Ishbi-Erra mengistiharkan kemerdekaan dan bermulalah kekerajaan Isin pada 2017 SM.
Kekalahan kota Ur dibawah Elam pada tahun 2004 SM, juga membuat banyak wilayah lain yang dulunya dibawah Kerajaan Sumeria Baru berpecah dan mengistiharkan kemerdekaan masing-masing.
Semuanya ini dapat dibuktikan dengan penemuan artifak serta tablet bertulis yang dicatit dalam bahasa Sumeria.
Kerajaan Isin (2017-1794 Sm) yang kemudiannya berkembang dengan menawan kota-kota lain disekitarnya termasuk kota Ur, juga digelar kerajaan Sumeria ke-3 kerana segala sistem perundangan dan pemerintahannya tiada beza dengan pemerintahan Sumeria terdahulu.
Ishbi-Erra juga bila dipuncak kuasa kemudiannya membina patung berhala dirinya dan mengaku dirinya Tuhan sebagaimana agama kepercayaan kuno zaman tersebut. Pengantinya, Shu-llishu yang mengelar dirinya sebagai „“tuhan buat rakyatnya“, membina tembok kota Isin serta banyak binaan lain termasuk berhala besar Nanna (tuhan bulan).
Nabi Ibrahim a.s lahir di kota Ur dimana waktu itu berada dibawah kekuasaan Kerajaan Isin dibawah Ishbi-Erra, (2017-1985 SM), yang mengambilnya kembali dari jajahan Kerajaan Elam. Atas itu, Nabi Ibrahim berdepan dengan Ishbi-Erra atau Shu-llishu sebelum penghijrahan baginda ke Mesir.





Saturday, September 16, 2023

Malaysia

Nama Malaysia ini sebenarnya telah digunakan sejak tahun 1800an lagi dan ianya merujuk kepada Semenanjung Melayu dan kepulauan Melayu, iaitu keseluruhan wilayah Nusantara.

Kepulauan Melayu merujuk kepada kawasan Sumatra, Tanah Jawa, Sulawesi, Tanah Melayu, Kemboja, Siam, Burma, Broneo, Timor, Filipina dll. iaitu mencecah 2 juta Kilometer persegi dengan lebih daripada 25,000 pulau-pulau didalamnya. 

Ini dibuktikan dengan merujuk kepada peta yang dibuat oleh Alexander Keith Johnston F.R.G.S (AK Johnston) pada tahun 1845. Beliau memberi tajuk 'South Eastern Peninsula and Malaysia' kepada peta tersebut dan dimuatkan didalam bukunya "National Atlas of Historical, Commercial and Political Geography".

"....the group (the malay peninsula and the malay archipelago ) has been named Malaysia from the Malays who are the dominant race in the archipelago...."

Nama "Malaysia" adalah gabungan perkataan "Malays" dan akhiran Latin-Yunani "-ia"/"-ία" yang diterjemahkan sebagai "tanah Melayu". (-ia bermakna 'tanah". Cth. Rusia ialah "Tanah Rus", Germania ialah “Tanah German”)

Pada tahun 1826, Jules Dumont d'Urville, penjelajah dari angkatan laut Perancis, yang menjelajahi perairan Pasifik selatan dan barat, Australia, New Zealand dan Antartika menggambarkan Malaysia sebagai "kawasan yang biasanya dikenali sebagai Hindia Timur". 

Kemudian pada tahun 1931, sarjana Jerman Johann Friedrich Blumenbach mengusulkan istilah "Malaysia", "Mikronesia" dan "Melanesia" kepada Société de Géographie untuk memberi perbezaan budaya Pasifik dengan budaya Nusantara yang sebelum ini diberi istilah "Polinesia". 

Dari situlah, nama Malaysia mula digunakan untuk melabel lokasi yang merupakan Kepulauan Melayu atau Nusantara.

Pada tahun 1850, ahli etnologi Inggeris, George Samuel Windsor Earl, menulis dalam Journal of the Indian Archipelago and Eastern Asia, mengusulkan untuk menamakan pulau-pulau di Asia Tenggara sebagai "Melayunesia" atau "Indunesia".

Artikel yang ‭ ‬bertajuk “‭Geographical  Notes in Malaysia and Asia‬” yang ditulis ‭ ‬J.E Tenison Woods memberi maklumat ringkas mengenai catatan perjalanannya ke Semenanjung Tanah Melayu, Labuan, Brunei, Sandakan dan Sulu pada tahun 1883 hingga 1886.

Pada tahun 1914, peta yang dikeluarkan di Chicago oeh Amerika Syarikat menamakan Nusantara sebagai Malaysia.

Atas itu, Filipina juga pernah berniat hendak menamakan negara mereka dengan nama Malaysia, tapi sudah takdir, nama tersebut adalah buat Persekutuan Tanah Melayu, wilayah Sarawak dan wilayah Sabah.

Duit syiling Jepun yang dikeluarkan pada tahun 1942 (2602 kalendar Jepun), juga menggunakan nama Malaysia dimana pada muka depan syiling itu kelihatan tiga cabang daun serta perkataan Malaysia.

Tuesday, August 22, 2023

Masa - 10

Pemerhatian (observation) masa. Pemerhatian adalah digunakan untuk memberi sesuatu sokongan kepada suatu penyataan, tanggapan, jangkaan dll. Contohnya, teori ialah perkaitan antara pemerhatian yang memberitahu tentang sesuatu pemahaman atau sesuatu objek.
Pemerhatian memerlukan masa dan dikatakan bahawa manusia, yang proses evolusi pemikirannya yang telah berlalu dalam jarak masa yang beratus-ribu abad, telah berada di suatu kedudukan yang paling maju pemikirannya namun kenyataannya itu tidak benar kerana proses evolusi dan devolusi sentiasa bersilih ganti dalam detik berlalunya masa.
Melalui berbagai medium dunia hari ini, dari tulisan yang merakam pengalaman serta pengetahuan sehingga ke dunia digital dimana dengan segala visual pendengaran mahupun tayangan buat menimba pengetahuan, dalam berlalunya masa, pemerhatian (observation) manusia sewajarnya telah jauh meningkat dan memahami segala tentang kehidupan, namun itu semua tidak menjanjikan kejayaan yang hakiki.
Seorang bayi yang lahir mengambil bertahun masa untuk mula bercakap, berdiri dan seterusnya meningkat dewasa untuk mula mengunakan akal fikirannya dan menjadi matang namun kemudian menjadi tua dan uzur dan kembali berada dalam situasi waktu lahirnya iaitu tidak berupaya.
Yang pastinya, dalam melakukan pemerhatian masa dan mengalami kesedaran dalam berlalunya masa, sentiasa akan dilihat terjadinya proses tua-muda, suka-duka, sihat-sakit, hidup-mati dan seterusnya sehingga naik dan jatuh sesebuah empayer atau kerajaan, dimana semua akhirnya menuju kerugian.
Apa sahaja yang dimiliki oleh manusia, contohnya rumah baru, selang berpuluh tahun rumah tersebut akan rosak, kereta keluaran model terbaru yang mana berpuluh tahun akan datang menjadi model lama atau contoh ahli keluarga yang ramai namun bila berlalunya masa akan meninggal seorang demi seorang.
Masa didunia fana ini menjanjikan kerugian pada setiap yang melaluinya kecuali buat mereka yang beriman, melakukan amal solehan, berpesan-pesan buat kebaikan dan berpesan dengan kesabaran. Kesabaran adalah sebuah ikatan yang terikat dengan masa.

 


Masa - 9

Masa adalah sebenarnya sesuatu bukan dalam dimensi ruang dan keadaan yang diketahui manusia tetapi ianya adalah jauh lebih besar, iaitu merangkumi didalamnya segala yang wujud.

Dari sekecil mahluk atau objek yang ada sehingga sebesar objek sang suria serta lohong hitam termasuk semua yang diketahui manusia sehingga hari ini seperti graviti dan materi lainnya, semuanya dirangkumi masa.
Masa di dunia fana ini bermula bila bermulanya alam ini dan berakhirnya bila terjadinya kiamat, namun selepas itu, masa tetap wujud dalam bentuk kiraan akhirat.
Sebagaimana Rasulullah s.a.w bersabda, “Orang miskin (kalangan orang Muslim) akan memasuki syurga setengah hari terlebih dahulu dari orang kaya (kalangan orang muslim). Setengah hari ini akan sama dengan 500 tahun (menurut ukuran dunia)”.
Atas itu, masa akan sentiasa bergerak hatta ke alam kemudian dan ianya seakan infiniti, tiada penghujung (melainkan alam syurga yang abadi yang tidak memerlukan lagi kewujudan masa).
Dalam pada itu, di dunia, masa dikaitkan dengan punca tarikan graviti, iaitu pusingan mengelilingi matahari, maka terjadilah ukuran-ukuran pada masa sedang hakikatnya masa itu tetap sama berjalan tidak kira diukur mengikut ruang dan keadaan tempatan.
Contohnya, masa di bumi dikira sehari mempunyai 24 jam, 1440 minit atau 86,400 saat. Lantas segala masa diperkirakan mengikut kiraan tersebut, dari kiraan kelajuan sesuatu objek, sesuatu hayat, siang-malam dan seterusnya.
Sedang di Mars, seharinya dalam 24 jam 37 minit, Jupiter dalam 10 jam sehari (9 jam 56 minit) manakala Venus dalam 5,832 jam sehari, bermakna bila manusia menduduki planet lain, maka masa kehidupan sehariannya bukan lagi sebagaimana lazimnya 24 jam dibumi, tetapi berubah mengikut kiraan waktu tempatan di planet tersebut.
Di Mars, yang setahun adalah 687 hari kiraan bumi (bumi setahun 365 hari), maka bila sekumpulan manusia yang purata umur mereka 50 tahun pergi untuk menetap di Mars, maka umurnya adalah dalam lingkungan setengah dari itu, namun secara fizikal, mereka tidak akan menjadi bertambah muda dan panjang usianya, hanya masa yang dilalui berubah mengikut kiraan Mars.
Di Planet Jupiter yang seharinya hanya dalam 10 jam, bermakna siang dan malamnya hanya dalam 5 jam (sekiranya diukur di garisan tengah khatulistiwa Jupiter). Jika dibahagikan aktiviti seharian, maka 3 jam untuk tidur, 3 jam untuk bekerja dan 3 jam untuk berehat bersama keluarga (dan selebihnya, 56 minit untuk masjid). Waktu sholatnya juga rapat, kemungkinan antara zohor dengan asar hanya setengah jam bezanya.
Dimana, tidak bermakna seseorang yang menetap di Jupiter tidak perlu bersholat 5 waktu sehari kerana waktu sholat singkat antara satu sholat dengan sholat yang lain tetapi dirinya tetap wajib bersholat 5 waktu sehari kerana itu adalah suatu kefarduan tidak kira dimana seseorang tersebut berada lantaran sholat terikat dengan hakikat kewujudan masa bukan terikat pada ruang dan keadaan (kecuali sesuatu keuzuran seperti bermusafir yang boleh menjamakkan sholatnya, kedatangan bulan buat kaum wanita dll).
Bersambung…

Masa - 8

Masa hadapan (future) dimana manusia mampu berada di masa hadapan. Lazimnya bukan dalam bentuk ruang masa (space time) tetapi dalam bentuk masa itu sendiri. Ahlul kitab serta umat Islam menyakini akan kisah Nabi Musa a.s bertemu dengan Khidir a.s dimana terjadinya peristiwa yang Nabi Musa tidak memahami akan tindakan-tindakan yang dilakukan oleh Khidir lantaran peristiwa-peristiwanya berkaitan masa depan.

Kisah Nabi Musa bertemu Khidir bermula ketika mana Nabi Musa sedang berbicara dengan kaumnya dengan mengatakan bahawa diriya yang paling tinggi ilmunya (bukan dengan niat takabur). Lalu Allah mewahyukan Nabi Musa bahawa terdapat seorang hamba Allah yang pengetahuannya lagi tinggi dari Nabi Musa iaitu Khidir.
Bila Nabi Musa bertemu Khidir, Nabi Musa memohon agar dapat mengembara bersamanya untuk menuntut ilmu. Khidir meletakkan syarat sekiranya mahu mengembara bersamanya, Nabi Musa dilarang bertanya ketika melihat tindakan anehnya yang akan terjadi di sepanjang perjalanan mereka.
وَكَيْفَ تَصْبِرُ عَلَى مَا لَمْ تُحِطْ بِهِ خُبْراً
Dan bagaimana engkau akan sabar terhadap perkara yang engkau tidak mengetahuinya secara meliputi? (Al-Kahfi:68)
قَالَ سَتَجِدُنِي إِن شَاء اللَّهُ صَابِراً وَلَا أَعْصِي لَكَ أَمْراً
Nabi Musa berkata: “Engkau akan dapati aku, Insyaa Allah: orang yang sabar; dan aku tidak akan membantah sebarang perintahmu”. (Al-Kahfi:69)
Dalam perjalanan mereka, peristiwa pertama yang Nabi Musa a.s tidak memahami dan tidak bersetuju bila melihat tindakan Khidir membocorkan perahu yang telah mereka tumpangi.
فَانطَلَقَا حَتَّى إِذَا رَكِبَا فِي السَّفِينَةِ خَرَقَهَا قَالَ أَخَرَقْتَهَا لِتُغْرِقَ أَهْلَهَا لَقَدْ جِئْتَ شَيْئاً إِمْراً
Maksudnya: Lalu berjalanlah keduanya sehingga apabila mereka naik ke sebuah perahu, ia membocorkannya. Nabi Musa berkata “Mengapa kamu melubangi perahu itu yang akibatnya kamu akan menenggelamkan penumpangnya? Sesungguhnya kamu telah berbuat sesuatu kesalahan yang besar”(Al-Kahfi : 71).
Khidir mengingatkan bahawa Nabi Musa tidak akan sabar di dalam perjalanan mereka, lalu Nabi Musa memohon maaf dan mereka kembali meneruskan perjalanan.

Kemudian, mereka bertemu dan menghampiri seorang kanak lelaki, Khidir membunuhnya. Tindakan ini membuat Nabi Musa amat terkejut kerana ianya adalah suatu perbuatan yang menyalahi hukum syarak dan tidak berperikemanusiaan.
فَانطَلَقَا حَتَّى إِذَا لَقِيَا غُلَاماً فَقَتَلَهُ قَالَ أَقَتَلْتَ نَفْساً زَكِيَّةً بِغَيْرِ نَفْسٍ لَّقَدْ جِئْتَ شَيْئاً نُّكْراً
“Kemudian keduanya berjalan lagi sehingga apabila mereka bertemu dengan seorang pemuda lalu ia membunuhnya. Nabi Musa berkata “Patutkah engkau membunuh satu jiwa yang bersih, yang tidak berdosa membunuh orang? Sesungguhnya engkau telah melakukan satu perbuatan yang mungkar!“(Al-Kahfi : 74).
Lantas Khidir mengingatkan kembali bahawa Nabi Musa tidak akan sabar dan sekiranya Nabi Musa tidak berhenti bertanya, maka sewajarnya Nabi Musa tidak mengikutinya. Sekali lagi Nabi Musa memohon maaf dan mereka meneruskan perjalanan itu.
Dalam perjalanan seterusnya, dalam keletihan akibat berjalan jauh, mereka singgah di suatu bandar namun tiada seorang pun dari penduduk bandar tersebut membantu mereka.
Akhirnya mereka berehat ditepi sebuah tembok yang hampir roboh keadaannya. Khidir tanpa berlengah lagi, segera membaiki tembok tersebut. Perbuatannya ini menyebabkan Nabi Musa tidak sabar lalu berkata, ”Jikalau kamu mahu, nescaya kamu dapat meminta imbalan untuk itu”.
Lantas Khidir berkata, inilah saat perpisahan mereka kerana Nabi Musa tidak akan sabar dan tidak akan memahami akan segala tindakan yang dilakukan dalam misi khas dirinya.
قَالَ هَذَا فِرَاقُ بَيْنِي وَبَيْنِكَ سَأُنَبِّئُكَ بِتَأْوِيلِ مَا لَمْ تَسْتَطِع عَّلَيْهِ صَبْراً
Maksudnya: Ia menjawab: “Inilah masanya perpisahan antaraku denganmu, aku akan terangkan kepadamu maksud (kejadian-kejadian yang dimusykilkan) yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya. (al Kahfi: 78)
Khidir menyatakan bahawa dia sengaja melubangi perahu yang telah menumpangkan mereka kerana terdapat seorang Raja yang memerintah agar merampas setiap perahu yang elok dan cantik yang mana akan menyebabkan tuan perahu yang mereka tumpangi akan kehilangan perahu yang merupakan sumber utama rezekinya.
Peristiwa kedua, Khidir menjelaskan ada pun tindakannya membunuh seorang kanak tersebut, kerana di masa hadapan, ia akan membesar sebagai seorang anak yang jahat dan akan menyakiti orang tuanya yang soleh. Dibunuhnya atas perintah Allah yang mana akan terganti nanti zuriat yang lebih baik kepada pasangan tersebut.
Manakala peristiwa ketiga, Khidir menjelaskan mengapa beliau membangunkan tembok yang hampir roboh itu adalah kerana dibawahnya tertanam harta anak yatim yang harus dijaga dengan baik. Demikianlah sebelum perpisahan mereka, Khidir menjelaskan setiap satu persoalan Nabi Musa akan tindakannya dan semuanya atas perkara yang akan terjadi di masa hadapan.

Pengetahuan masa hadapan yang pasti dan tidak boleh disangkal adalah apa yang difirmankan oleh pencipta masa iaitu Allah Taala, apa yang disabdakan oleh Nabi Muhamad s.a.w. serta apa yang diilhamkan oleh Allah kepada hamba-hambanya seperti buat Khidir a.s. Malah Nabi Muhamad s.a.w pernah pergi bukan sahaja dari sudut masa tetapi dari sudut ruang masa depan iaitu dari sudut lahiriah mahupun batiniah (Physically and mentally having to go through those moments and days) dalam perjalanan beliau dimalam Israk Mikraj.
Contohnya; Anas bin Malik r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Pada malam aku dimikrajkan, aku melalui satu kaum yang mempunyai kuku daripada tembaga. Mereka mencakar muka dan dada mereka. Aku lalu berkata: “Siapa mereka ini, wahai Jibril?” Jibril menjawab: “Mereka ialah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah mereka.” (Hadis Riwayat Ahmad & Abu Daud)
Manakala masa hadapan lazimnya dapat dijangkau atau cuba dijangkau oleh manusia biasa namun kepastiannya belum dapat dipastikan selama mana ianya belum berlaku adalah melalui sesuatu seperti ramalan (predict) atau kiraan seperti melalui kiraan pergerakan awan serta kelajuan angin maka dapat diramal cuaca yang akan datang, de ja vu iaitu mimpi yang kemudiannya menjadi kenyataan di hari muka, ahli nujum atau astrologi (yang mana mampu menghadirkan perkara khurafat), inspirasi terhadap sesuatu karya semasa yang dimasa hadapan ianya menjadi kenyataan atau budaya setempat, hasil penyelidikan para pengkaji yang melahirkan jangkaan tepat dan seterusnya buat beberapa perkara lagi.
Bersambung….
Btn_brn_77x28

Tajuk

Abbasiyah (1) altruisme - ikram (3) Aqidah (1) art video (20) Austronesia (10) Bahasa dan penampilan (5) Bangsa Melayu (7) batas sempadan (9) Berita (15) Besi (1) Biography solihin (1) Budaya dan pengertiannya (16) catitan (2) cerdik/bodoh dan antaranya (6) cetusan minda (8) cinta dan syahwat (3) Doha - Qatar (2) Eid Mubarak (5) falsafah (2) Fantasia falasi (3) Fibonacci (1) Filem (2) fitrah (1) Fungsi seni (1) gangsa (1) hukum (6) huruf (2) hutang (1) ijtima (1) Iklan (2) imitasi dan memori (1) infiniti (5) jalan2 (2) kebangsaan/nationalisme (2) kebebasan bersuara (1) Kelahiran kesenian yang mengubah warna dunia. (1) Kembali sebentar tentang erti seni (Islam) (1) kerja otak (1) Kesenian dunia Islam (1) komunikasi (1) konsep kendiri (3) konspirasi (1) Lagu (1) Lentok tangan (1) Malaysia (3) Masa (10) Maslahah atau mafsadah (1) Maya (ilusi) (4) Melaka (1) Melayu (2) Melayu dan Islam (9) minda (2) musik (2) nukilan rasa (1) Pantang dalam berkarya (1) Pause (6) Pembetulan sejarah (3) Pengajian dan pengertian budaya (1) Perasaan dan pemikiran (5) Persepsi / Tanggapan (6) pointillism (2) populasi dunia (9) Produk sejarah (11) Program dan hayat (2) prosa (4) ramadan (2) realiti - kenyataan (7) Sajak (22) Sangkaan (2) sebab dan akibat (18) sejarah (14) sejarah Islam Nusantara (1) sejarah Melayu (4) Sejarah mengubah/terubah (5) Sejarah seni dalam kehidupan insan (1) Sejarah video (1) Seni Bahasa (2) Seni dalam imiginasi (1) seni kata (1) Seni logam (3) Seni textil (budaya berpakaian) (2) Seni-seni mempertahankan diri (1) sound (1) Srivijaya (3) Sunda (6) Tahap kesederhanaan (1) Tahap-tahap kehidupan (14) tenung bintang (1) Terkesan dengan suasana (2) Tradisional dalam makna (1) Ukuran dan kayu pengukurnya (2) updated (1) Usia manusia (3) vision (1) wang (7) Wujudkah kosong? (2) zarzh slide (12)

Catitan lalu

Insuran & Road Tax Online

tetangga