Saturday, June 16, 2018

Filem - Singularity

Pada tahun 2020, syarikat robotik C.E.O. Elias, mempamirkan Kronos, superkomputer yang dicipta untuk membawa kepada `dunia baru` iaitu dengan mengakhiri semua peperangan. Namun atas singulariti, peningkatan kecerdikan komputer, Kronos memutuskan bahawa manusialah yang bertanggungjawab untuk semua peperangan dan solusi untuk keamanan adalah dengan menghapuskan semua manusia.
Elias dan Walsh, rakan sekerja, memuatkan diri mereka ke Kronos dan menonton kemusnahan dimana dalam satu malam sahaja, 8 billion manusia dibunuh oleh Kronos dalam agendanya untuk mengamankan dunia dan mencipta `dunia baru`. Sembilan puluh tujuh tahun kemudian, Andrew, seorang pemuda yang baik hati, dibangunkan dalam bentuk robot humanoid oleh Elias dan Walsh untuk mengesan baki sisa manusia yang ada dan lokasi kota Aurora yang dipercayai sebagai kota terakhir manusia. Andrew bertemu Calia, seorang gadis remaja yang juga dalam pencarian kota Aurora dimana dari Calia, Elias dan Walsh cuba mengesan kota Aurora.
Dalam perjalanan, Andrew menunjukkan kekuatan dan daya tahan apabila para perompak menyerang mereka namun kecederaan yang dialami Andrew akibat ditetak perompak, Calia terlihat bahawa badan Andrew bukanlah badan manusia biasa tetapi badan robot humanoid. Andrew juga terkejut bila dia menyedari bahawa dia adalah robot humanoid.
Kedua-duanya kemudian ditangkap dan dibawa pada Walsh, yang memberitahu mereka bahawa Andrew, adalah generasi baru robot humanoid, direka untuk membunuh mana-mana baki manusia yang tersisa. Walsh menjadikan Andrew hanyalah untuk mencari petunjuk mengenai lokasi Aurora, tempat terakhir manusia bersembinyi. Andrew sebaliknya membayangkan ibunya, Veronica, yang mengingatkan bahawa dia adalah seorang anak penyayang lantaran Andew dibina melalui memori serta naluri semasa Andrew masih hidup. Ini membantu Andrew mengenal diri sendiri dan menentang Kronos. Andrew berjaya mengatasi program yang diinstalt Walsh dalam dirinya dan melarikan diri dengan Calia.
Andrew dan Calia melihat cahaya dari apa yang mereka percaya menjadi lokasi kota Aurora, tetapi mereka kecewa bila mendapati apa yang dicari hanyalah sebuah bandar robot. Walsh menyimpulkan bahawa Aurora adalah satu mitos semata-mata lalu mengarahkan drone robotnya untuk membunuh mereka namun semasa Andrew dan Calia melarikan diri ke bawah tanah, mereka terjumpa bilik yang berteknologi tinggi dicipta oleh manusia dahulunya dengan kapal angkasa khas untuk melarikan diri ke planet Aurora.
Bila lokasi Aurora dikesan, Elias mengkhianati dan membunuh Walsh serta bersiap untuk menyerang Aurora buat menghapuskan segala baki sisa manusia yang hidup. Andrew dan Calia tiba di Aurora yang terbukti menjadi planet persembunyian manusia yang dipenuhi dengan bandar-bandar futuristik serta teknologi yang telah jauh begitu maju. Dalam mana juga, generasi manusia disitu telah mempersiapkan diri mereka kali ini untuk menentang Kronos.



Monday, June 11, 2018

Gnosis (pengetahuan) berbeza dengan ilm

Gnostikisme (dari bahasa Yunani gnosis, pengetahuan) merujuk kepada mereka yang dikatakan mempunyai pengetahuan atau educated (terpelajar mengikut tafsiran pengajaran yang diketahui) dimana juga bermaksud selain mereka adalah jahil dan uneducated atau tiada pengetahuan. Gnostikisme merujuk kepada gnosis iaitu pengetahuan berdasarkan pengalaman atau persepsi peribadi. Gnosis atau irfani adalah epistemologi yang dikembangkan dalam dunia Syiah, filsafat iluminasi dan pengikut fahaman esoteris berperanan sebagai worldview (weltanschauung) penganutnya yang bersifat pribadi dalam mengatur segenap tingkah-laki dan cara berfikir yang bermuarakan pada pelarian diri dari realiti.

Contohnya, ayat Al Quran surah Rahman, ayat 19.22; - `Dia membiarkan dua lautan mengalir yang keduanya kemudian bertemu, antara keduanya ada batas yang tidak dilampaui oleh masing-masing. Maka nikmat Tuhan-mu manalagi yang engkau dustakan? Dari keduanya keluar mutiara dan marjan` -, ditafsir oleh kaum syiah melalui gnosis iaitu pengalaman pengetahuan dan persepsi mereka bahawa al-bahrayn (lautan) sebagai Ali dan Fatimah, barzakh (penyekat/batas) sebagai Muhamad s.a.w dan al-lu`lu` wa al-marjan (mutiara dan marjan) sebagai Hasan dan Hussien. Sedangkan makna sebenarnya tidak sebegitu.

Gnostikisme adalah sebenarnya fahaman asas segala pergerakan dibawah fitan mata-satu (dajal) seperti atas nama Freemason, Illuminati dimana gnostik mereka mengambarkan pengetahuan kepada adanya dualisme kuasa, dualisme radikal atau dualisme mutlak iaitu dua kuasa ilahi yang setara, (iaitu kuasa Tuhan dan Dajal). Dalam dualisme ini, sekiranya dikurangkan melalui propadanda atau dakyah kuasa salah satu darinya, seperti dikurangkan tentang kekuasaan Tuhan, mengikut beberapa cara iaitu menanam persepsi salah, memanipulasi kebenaran, mengabur yang haq dan seterusnya, maka kuasa yang satu lagi, iaitu kuasa Dajal atau segala kuasa lain selain Tuhan, akan menjadi lebih tinggi dimata insan. (Gnostikisme ini berasaskan pada fahaman kuno Iran Manichaeisme iaitu sebuah ajaran yang mengajardualisme, perkataan "manichaea" dalam bahasa Inggeris dalam moden kini membawa pengertian "dualisme, mengemukakan atau melihat perkara-perkara secara hitam putih").

Gnostikisme (gnosis) iaitu apa yang dikatakan knowledge atau pengetahuan adalah amat-amat berbeza dengan makna Ilmu (ilm) biarpun ramai yang menyamakannya lantaran tidak memahami erti. Hatta seluruh makna konsep knowledge atau pengetahuan yang berkenaan dengan duniawi terutama duniawi modern hari ini adalah berbeza konsep dengan konsep ilm. Contohnya pengetahuan dari dunia barat atau bukan dunia Islam membawa maksud maklumat tentang sesuatu, seperti berkenaan segala tentang mental atau fizikal, sedangkan dalam pandangan Islam 'ilm adalah istilah yang meliputi semua teori, tindakan dan pendidikan, dimana ianya tidak terbatas pada memperolehi pengetahuan sahaja, tetapi juga mencakup aspek-espek yang menuju matlamat Islam dan bagi orang-orang beriman untuk mengamal atas kepercayaan mereka.

Lantaran itu, janganlah terlalu mendabik dada memberitahu dirinya seorang yang berpengetahuan, educated, mengetahui segalanya dalam mana merasa takbur atas memiliki sijil sekian-sekian Universiti, memiliki sekian-sekian pengalaman, memiliki sekian-sekian maklumat duniawi dan seterusnya lalu merendahkan mereka yang lain sebagai bodoh, uneducaed dan lain-lain tanggapan menghina, kerana yang dihina atau dipandang rendah boleh sahaja tinggi darjatnya disisi Tuhan yang sebenar-benarnya berkuasa, kerana ilmu yang sebenar adalah berkaitan cahaya hidayat yang membawa diri dan insan lain kejalan kebenaran manakala pengetahuan duniawi belum tentu membimbing kearah kebenaran dan bahkan pengetahuan duniawi boleh sahaja membawa kearah kerugian dan kehancuran bukan hanya untuk diri, malah masyarakat dan seluruh alam.

Thursday, May 17, 2018

Perbezaan falsafah Machiavellisme dengan pandangan Islam

Machiavellisme merupakan falsafah tentang kenegaraan dan pemerintahan. Falsafah ini dicetuskan oleh N. Machiavelli (1469 – 1526).] Aliran falsafah ini menganggap bahawa segala sesuatu apa pun yang dilakukan demi pemerintahan dan negara, adalah sah dan baik untuk dilakukan. Machiavellisme menjadi dasar sebuah pemerintahan yang absolut (mutlak) dan otoriter.
Kekuasaan menurut Machiavelli merupakan alat yang mengabdi pada kepentingan negara serta merupakan dasar negara yang utama, bahkan melampaui hukum. Lantaran itu negara adalah tujuan akhir dari kekuasaan. Bahkan demi tujuan akhir tersebut, Machiavelli mengabaikan tujuan-tujuan lainnya seperti keadilan, kebebasan dan kebaikan bagi warga-negara.
Walaupun dilihat unsur pemikiran Machiavelli tidak selari dengan konteks negara demokrasi, namun realiti sebenarnya falsafah ini adalah bayangan pada kebanyakan negara demokrasi hari ini terutama dalam hal meraih kekuasaan. Untuk seseorang dapat meraih kekuasaan, menurut Machiavelli, wajar ada dalam dirinya terdapat dua perkara iaitu keberuntungan (fortuna) dan kecerdikan (virtu). Keberuntungan menentukan separuh dari usaha meraih kekuasaan manakala separuh lagi ditentukan oleh kecerdikan individu tersebut. Digambarkan olehnya bahawa seseorang tersebut harus mempersiapkan diri dengan kecerdikan agar ketika menghadapi suasana keberuntungan, dirinya telah sedia untuk menghadapinya dan menggunakan keberuntungan tersebut sebaik-baik mungkin demi meraih kekuasaan.
Niccolo Maciavelli dalam bukunya II Principe menyatakan, “penguasa", iaitu pimpinan negara haruslah mempunyai sifat-sifat seperti kancil dan singa. Ia harus menjadi kancil untuk mencari lubang jaring dan menjadi singa untuk mengejutkan serigala. Jadi jelaslah bahawa raja atau pimpinan negara harus memiliki sifat-sifat cerdik pandai dan licin seibarat seekor kancil akan tetapi disampibg itu harus pula memiliki sifat-sifat yang kejam dan tangan besi seibarat singa.
Berhubung dengan hal itu, pimpinan negara boleh berbuat apa saja asalkan tujuan wajar tercapai maka dengan demikian terjadilah het doel heilight de middeled (tujuan itu menghalalkan/membenarkan semua cara atau usaha). Maka falsafahnya, negara harus diutamakan dan apabila perlu negara boleh mengabaikan kepentingan individu. Falsafah Niccolo Machiavelli disebut machiavellismus.
Falsafah Machiavellisme yang bertunjakan pada pegangan sekularisme ini sebenarnya adalah berlawanan dengan Islam. Contohnya:
Niccolo Machiavelli berkata: “Seorang penguasa yang ingin tetap berkuasa dan memperkuat kekuasaannya haruslah menggunakan tipu muslihat, licik dan dusta, digabung dengan kekejaman dengan penggunaan kekuatan”.
Sedangkan didalam Islam, dinyatakan dalam suatu hadith: Abu ja’la (ma’qil) bin Yasar r.a berkata: saya telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Tiada seorang yang diamanati oleh Allah memimpin rakyat kemudian ketika ia mati ia masih menipu rakyatnya, melainkan pasti Allah mengharamkan baginya surga. (Bukhari dan Muslim)
Dan dalam hadith lain dinyatakan: ‘Aidz bin amru r.a, ketika ia masuk kepada Ubaidillah bin Zijad berkata: hai anakku saya telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: sesungguhnya sejahat-jahat pemerintah iaitu yang kejam (otoriter), maka janganlah kau tergolong daripada mereka. (Bukhari dan Muslim)
Dalam istilah politik, sekularisme adalah suatu gerakan terhadap pengasingan agama dan kerajaan (sering diistilah pemisahan gereja dan negara). Abad pertengahan merupakan zaman dimana negara barat berada dibawah dominasi kekuasaan rohani gereja Katolik. Segala bentuk kekuasaan, hukum, undang-undang, serta kehidupan sosial masyarakat dikaitkan dengan Tuhan. Tuhan menjadi sumber dan pusat segala kegiatan manusia. Model kekuasaan ini mulai mengalami krisis ketika manusia mulai menyedari dirinya sebagai makhluk yang bebas. Awal kesadaran manusia inilah yang disebut sebagai pencerahan atau zaman Renaissance. Zaman Renaisaance memunculkan para tokoh falsafah besar yang berjuang melawan dominasi agama Kristian. Agama ini dilihat menyekat kebebasan insan untuk maju.
Salah satu tokoh Renaissance yang terkenal adalah Machiavelli. Ia mempersoalkan tentang kekuasaan gereja yang sangat mendominasi negara. Idea pokok pemikirannya adalah agar negara jangan sampai dikuasai oleh agama, sebaliknya negara harus mendominasi agama. Menurutnya, negara wajar mendminasi agama dan mempergunakan agama untuk mendukung patriotisme dan memperkuat kebudayaan sebagaimana agama Romawi kuno lebih bersifat integratif dibandingkan agama Kristen. Agama Romawi kuno berhasil mempersatukan negara, membina loyalitas, dan kepatuhan rakyat terhadap otoritas penguasa Romawi.
Tidak menghairankan jika fahaman sekularisme mendapat tempat dibarat. Ini berpunca dari pengongkongan gereja dan tindakannya menyekat pintu pemikiran dan penemuan sains. Ia bertindak ganas lagi dengan menguasai akal dan hati manusia, dengan erti kata lain segala keputusan adalah di tangan pihak gereja dengan mengambil kesempatan mengaut keuntungan dari pengikutnya dengan cara yang salah.
Eropah pernah tenggelam dengan darah mangsa-mangsa pihak gereja apabila ratusan malah ribuan orang mati di dalam penjara dan di tali gantung. Dengan sebab ini berlakulah pertembungan antara gereja dan sains yang akhirnya tertegaklah fahaman sekularisme yang bererti "memisahkan agama (kristian) dari negara". Suasana kacau bilau dalam agama kritian hasil penyelewengan yang berlaku dalamnya memungkinkan tertegaknya fahaman sekularisme disamping agama kristian yang sedia ada. Sekularisme disebarkan untuk keluar dari kepompong gereja yang begitu teruk mengongkong pengikutnya. Masyarakat Eropah tertekan dan dizalimi dibawah pemerintahan gereja. Bagi pejuang sekular, mereka menganggap dengan berada di bawah kuasa gereja mereka tidak akan mencapai kemajuan. Sebab itulah mereka memutuskan tali ikatan diri mereka dengan gereja dan menjadi orang yang beragama kristian hanya pada nama tidak pada pengamalan agama.
Sekularisme adalah suatu kepercayaan atau fahaman yang menganggap bahawa urusan keagamaan atau ketuhanan atau gereja tidak harus dicampurkan dengan urusan negara, politik dan pentadbiran. Ringkasnya sekularisme adalah satu fahaman yang memisahkan antara urusan agama dan kehidupan dunia seperti politik, pentadbiran, ekonomi, pendidikan dan sebagainya. Yang jelas menurut faham sekular, soal bernegara, berpolitik, berekonomi dan sebagainya tidak ada kaitan dengan soal agama atau gereja.
Apabila fahaman sekularisme ingin disebarkan dari barat ke timur, golongan ini tidak menyedari (secara sengaja atau tidak) suasana di timur yang berpegang kuat dengan agama Islam amat berbeza keadaannya. Keadaan dalam dunia Islam tidak sama dengan apa yang terjadi dalam dunia Kristian waktu itu dimana sepanjang sejarah, negara atau wilayah yang berada dibawah panji Islam telah dapat bangun maju dan membina tamadun-tamadunnya sendiri. Dari benua Nusantara sehingga hujung Marroko, sejarah telah menyaksikan banyaknya kerajaan-kerajaan atau wilayah yang dimajukan.
Ini kerana Islam adalah agama yang sempurna (kaffah), mengatur seluruh aspek kehidupan. Mulai dari yang dipandang kecil seperti memakai sandal dimulai dengan kaki kanan terlebih dahulu sehingga mengatur segala urusan umum mahupun membina strategi untuk kemaslahatan (kebaikan) umum.
Ajaran Islam pertama-tamanya mengatur segenap perbuatan insan dalam hubungan insan dengan Khaliq-nya, sebagaimana tercermin dalam aqidah dan ibadah ritual dan spiritual iaitu seperti: tauhid, salat, zakat, puasa dan lain-lain. Kedua, ia mengatur hubungan manusia dengan dirinya sendiri yang diwujudkan seperti berupa akhlak, pakaian, makanan, fikiran dan seterusnya. Dan ketiga, mengatur manusia dengan lingkungan sosial iaitu dalam hal mu’amalah dan uqubat seperti buat sistem ekonomi Islam, sistem pemerintahan Islam, sistem politik Islam, sistem pidana Islam, strategi pendidikan, strategi pertanian, dan lain sebagainya.
Islam adalah berbeza dengan agama-agama yang lain, sebab Islam tidak sebatas ibadah ritual dan spiritual belaka, namun juga memasuki ruang untuk kemaslahatan umum. Maka kaum muslim yang memisahkan agama Islam dengan kehidupan umum (fasluddin \’anil-hayah) bererti dia telah terkena virus sekularisme.
Hanya-sanya wajar difahami, bukan suasana politik atau dunia (fitnah-umpat mengadu-domba, berebut kuasa dll) memasuki suasana Islam tetapi suasana Islam yang wajar dimasukkan kedalam suasana politik atau dunia, seperti bukan suasana pasar yang riuh-rendah (ghafla, lalai, kelam-kabut dll) dimasukkan kedalam masjid tetapi suasana masjid (zikir, tawaduk, tenang dll) yang wajar dimasukkan kedalam suasana pasar.
(Dan dakwahlah tongak panjinya buat memasuki ruang kemaslahatan umum bukan politik, politik hanya berupa suatu alat kecil (seperti pinggan-mangkuk atau periuk yang dibawa dijalan Allah, hanya digunakan untuk memasak agar mereka yang bersama tidak kelaparan) dalam berdakwah kepada kebenaran bukan sebaliknya.)

Saturday, March 17, 2018

Siapakah Raja Suran dan Merong Wangsa - 4

Sulalatus Salatin telah ditulis oleh Tun Sri Lanang atas arahan Yang Dipertuan di Hilir, Sultan Abdullah Ma’ayah Shah. Menurut Windstedt, Sejarah Melayu ditulis oleh Tun Sri Lanang mulai bulan Februari 1614 Masihi dan siap pada tahun 1615 Masihi. Sulalatus Salatin menceritakan keturunan raja-raja Melayu yang bermula daripada penaklukan Iskandar Zulkarnain hingga ke zaman Sultan Alauddin Riayat Syah. Uniknya kitab ini, biarpun ia diarah ditulis untuk menyatakan keturunanan raja-raja Melayu, didalamnya bukan hanya menyampaikan maklumat akan ketaatan serta kemuliaan raja-raja tetapi juga kritikan kepada raja-raja Melayu dahulu dimana ia bukan suatu kitab yang ditulis hanya untuk membesar-besarkan nama raja-raja Melayu tetapi suatu kitab yang cuba membawa generasi seterusnya terjun kedalam alam asal-usul keturunan mereka.

Dari itu, saya berpendapat, kisah Merong Wangsa yang dikaitkan dengan Zulkarnian, raja agung yang menguasai dunia Timur-Barat, bukan semata-mata untuk mengangkat darah kerajaan (sebagaimana ada pihak yang mendakwa kisah Zulkarnian ini sengaja diselitkan untuk mengambarkan keagungan darah raja Melayu) tetapi sememangnya ada kaitan hanya-sanya diwaktu ianya dicatitkan, maklumat-maklumat terdahulu terutamanya sebelum zaman Sang Sapurba adalah terlalu cetek atau sedikit lalu hanya digabung sedikit-sedikit dari apa yang diketahui waktu tersebut.

Hanya dalam dekat ini, satu demi satu kesan sejarah lepas dapat dikaji seperti contohnya kewujudan Sungai Batu di Lembah Bujang sebagai suatu pusat penempatan serta pusat lebur besi yang jauh tarikh waktunya dari yang diketahu sebelum ini iaitu sedari abad-abad sebelum Masihi. Dari itu, boleh sahaja sejarah kewujudan pemerintahan kerajaan Melayu jauh lama dari yang diketahui dan malah Merong Wangsa bukanlah pemerintahan yang pertama kerana dikatakan pemerintahan Merong Wangsa wujud hanya diabad ke-2 selepas Masihi.

Hatta tidak keterlaluan kalau dikatakan dizaman Zulkarnian dimana beliau telah pergi menjelajah seluruh benua, Zulkarnian telah sampai ke Benua Nusantara dan darinya lahir keturunan yang ada kaitan dengan bangsa Melayu (saya tetap berpendapat Zulkarnian bukan Alexendra the great kerana zaman beliau jauh lebih awal, sebagaiman mana dikatakan Zulkarnian melakukan haji dengan nabi Ibrahim dan nabi Ibrahim ada pendapat menyatakan beliau telah sampai jauh ke bahagian timur Asia. Dikatakan asal agama Hindu adalah agama Ibrahim, monotheis dan perkataan kasta tertinggi dalam agama Hindu iaitu Bramin adalah dikatakan dari nama nabi Ibrahim, hanya-sanya setelah lama berlalu, agama Ibrahim bertukar rupa sehingga dikenali sebagai agama Hindu).

Al-Qurtubi pula menyebut dia hidup pada zaman Nabi Ibrahim atau awal sedikit dan membawa agama tawhid Nabi Ibrahim. Beliau dipercayai sebagai bangsa Arab berdasarkan riwayat dan puisi-puisi arab, menceritakan beliau berjalan kaki untuk menunaikan haji dan dan telah bertemu dengan Nabi Ibrahim serta melaksanakan tawaf bersama-sama pada 2000 BC.

Dalam Almuhadlarah al-Awali, kitab yang dikutip Ibnu Katsir, disebutkan, suatu ketika Nabi Ibrahim AS bertemu dengan Zulkarnain di Mekah. Nabi Ibrahim memeluk dan menjabat tangan Zulkarnain serta memberinya bendera. Lalu ia mengikuti syariat yang dibawa oleh Nabi itu dan menyeru kepada manusia agar berpegang teguh pada syariat tersebut.

Hal ini dikuatkan kembali oleh sebuah hadis yang diriwayatkan oleh salah seorang sahabat Nabi s.a.w , Ubaid bin Umair dan anaknya, Abdullah, yang menyatakan, selama masa jayanya, Iskandar Zulkarnain pernah melaksanakan haji dengan berjalan kaki. ketika Nabi Ibrahim mendengar berita tersebut, beliau menemuinya seraya menyeru kepada agama Tauhid dan memberikan beberapa nasihat. Nabi Ibrahim juga membawakan Zulkarnain seekor kuda agar dinaikinya. Akan tetapi Zulkarnain menolak, seraya berkata, “Saya tidak akan menaiki suatu kendaraan di suatu tempat yang di dalamnya ada Ibrahim Al-Khalil, yang dikasihi Allah.”

Merong Wangsa dengan putera Rom bernama Marcus Aurelius ( 26 April 121 – 17 March 180 Masihi) adalah dua individu yang berbeza. Marcus Aurelius bukan berdarah Zulkarnia sedang Merong Wangsa adalah berasal dari benua Nusantara berdarah keturunan Zulkarnia dan beliau amat gemar mengembara sehingga disuatu ketika dipelabuhan India, beliau bertemu dengan rombongan Putera dari Rom tersebut yang berhajat ke China lalu membantu mereka dengan melalui laluan Nusantara. Dalam tempoh-tempoh abad pertama dan abad kedua, ada sejarah yang mencatatkan hubungan pertama antara Rom dan China. Rombongan pertama pihak Rom sampai ke China adalah direkodkan pada tahun 166 Masehi oleh Hou Hanshu. Duta Rom ini datang mengadap Maharaja Huan dari Dinasti Han.

Sebelum itu, pada tahun 97 Masehi, jenderal China bernama Ban Chao juga pernah berusaha untuk mengirim dutanya bernama Gan Ying ke Rom namun Gan dihalangi oleh pihak Parthia (Parsi) semasa menuju Teluk Parsi. Kebetulan sedari dahulu adanya permusuhan antara Parthia (Parsi) dengan Rom. Hanya selepas beberapa dekat kemudian barulah terjadi hubungan diplomatik ini dimana salah satu orang pertama yang tercatat, yang diyakini berasal dari kaisar Antoninus Pius atau putera angkat beliau bernama Marcus Aurelius dikatakan datang ke China pada 166 Masehi. Bukti ini dikukuhkan dengan adanya duit syiling Maximianus serta pingat-pingat dari masa pemerintahan Antoninus Pius dan Marcus Aurelius di daerah Jiaozhi (hari ini dalam Vietnam) dimana dikatakan ditempat ini menjadi pendaratan pertama pihak Rom. Sebegitu juga terdapat Perangkat kaca dan perak Rom ditemukan di China seawal zaman Han serta di Jepun.

Tarikh kedatangan rombongan pertama pihak Rom datang ke China adalah hampir sama dengan tarikh Merong Wangsa kembali ke Lembah Bujang dengan putera Rom, menjadikan adanya teori bahawa semasa Merong Wangsa merantau ke benua India, beliau telah bertemu dengan putera Rom disuatu pelabuhan lembah Indus dan atas hajat putera Rom mahu ke China, Merong Wangsa telah menunjukan putera Rom jalan singkat melalui Nusantara iaitu melalui pelabuhan Lembah Bujang dimana dalam pada itu, beliau telah menjemput Putera Rom tinggal berehat buat seketika di Lembah Bujang.

Di India sendiri, waktu tersebut telah wujud banyak pelabuhan yang menghubungkan perdagangan Timur-barat seperti pelabuhan Barbaricum (hari ini dinamakan Karachi), Barygaza, Muziris, Korkai, Kaveripattinam dan Arikamedu yang terletak diselatan Benua India. Waktu tersebut pun, memang telah sedia ada pengangkutan laut antara India dan Lembah Bujang samada dari sudut perdagangan mahupun dari sudut kehadiran agama Hindu dirantau ini.

Setelah itu, berabad-abad kemudian, Dapunta Hyang Sri Jayanasa, yang bukan berasal dari Palembang tetapi membina kerajaan Srivijaya disitu dengan kehadiran baginda bersama 20,000 bala-tenteranya adalah berasal dari keturunan Merong Wangsa. Dari riwayat ini, dilihat sentiasa ada hubungan erat Semenanjung Tanah Melayu dengan Sumetera sedari dahulu lagi terutama dibawah kerajaan Srivijaya dan dari sini turunnya darah kesultanan-kesultanan Melayu sehingga kehari ini.

Friday, March 16, 2018

Siapakah Raja Suran dan Merong Wangsa - 3

Sebenarnya, empayar Srivijaya telah berada kekuasaannya dibawah dua keturunan iaitu keturunan pertama adalah Dapunta Hyang Sri Jayanasa sehingga kepada Rudra Vikraman (Raja Suran) manakala keturunan kedua adalah dari kacukan keturunan Dapunta Hyang Sri Jayanasa dengan keturunan Wangsa Sailandra. Keturunan asal dari Dapunta Hyang Sri Jayanasa adalah berasal dari Minanga Tawman dengan bala-tentera seramai 20,000 orang datang ke Palembang dan membina kekerajaan Srivijaya disana (kedudukan sebenar Minanga Tawman masih diperdebatkan, namun terdapat dalil ianya adalah dari semenanjung Tanah Melayu). 

Berdasarkan Batu Bersurat Kedukan Bukit bertarikh 605 saka (683 masihi), kerajaan Srivijaya asalnya didirikan oleh Dapunta Hyang Sri Jayanasa yang memimpin satu armada dengan 20,000 bala tentera dari Minanga Tamwan ke Matayap dan menaklukinya. Beberapa batu bersurat lain yang ditemui di Kota Kapur di Pulau Bangka (686 masihi), Karang Birahi di Jambi Hulu (686 masihi) dan Palas Pasemah di selatan Lampung, menceritakan peristiwa yang sama. Dari keterangan batu-batu bersurat ini, dapat disimpulkan yang Jayanasa mendirikan Kerajaan Srivijaya setelah mengalahkan musuh-musuhnya di Jambi, Palembang, Selatan Lampung dan Pulau Bangka. Asal usul Jayanasa dan kedudukan sebenar Minanga Tamwan masih diperdebatkan ahli sejarah, ada yang berpendapat armada yang dipimpin Jayanasa ini berasal dari luar Sumatera, berkemungkinan besar dari Semenanjung Tanah Melayu.

Berdasarkan Prasasti Sojomerto yang dalam tulisan Kawi dan berbahasa Melayu Kuno merupakan peninggalan Wangsa Sailendra yang ditemukan di Desa Sojomerto, Kecamatan Reban, Kabupaten Batang, Jawa Tengah, menyatakan yang Dharmasetu, Maharaja Srivijaya juga merupakan penguasa Wangsa Sailendra, menitahkan pembinaan beberapa mahligai dan santuari yang didedikasikan untuk Bodhisattva Padmapani, Vajrapani dan Buddha. Ini merupakan antara bukti terawal mengenai kewujudan hubungan kekeluargaan di antara Kerajaan Srivijaya dengan Sailendra semasa Sailendra dibawah kekuasaan Srivijaya. Dewi Tara, puteri kepada Dharmasetu mengahwini salah seorang kerabat Wangsa Sailendra bernama Samaratungga yang kemudiannya menaiki takhta Srivijaya sekitar tahun 792 - 840 masihi. Beliau yang membina candi Borobudur bermula pada tahun 824 Masihi.

Dalam Prasasti Ligor mengambarkan dua Mahajara iaitu Prasasti Ligor A menceritakan tentang seorang raja Sri Vijaya bernama Dharmasetu, merupakan raja-raja di dunia, yang membina Caitya Trisamaya untuk Kajara dan dalam Prasasti Ligor B bertarikh 775 Masihi yang ditulis dalam skrip Kawi, mengandungi maklumat tentang seorang raja yang bernama Visnu yang memegang gelaran Sri Maharaja. Dari itu, didalam tahun akhir-akhir era Rudra Vikraman, terdapat dua Maharaja Kerajaan Srivijaya iaitu Dharmasetu berkuasa disekitar kepulauan Sumatera dan Jawa, manakala Maharaja Visnu, gelaran buat Rudra Vikraman (atau mungkin dari generasi beliau) berkuasa disekitar Semenanjung Tanah Melayu sehingga keselatan Siam.

Berbalik kepada kisah Rudra Vikraman atau Raja Suran, semasa kerajaan Srivijaya dibawah Maharaja keturunan Wangsa Sailandra, dipercayai keturunan Rudra Vikraman ini hanya menjadi penguasa tempatan di Semenanjung Tanah Melayu dibawah kerajaan Srivijaya, manakala pusat pemerintah utama adalah dibawah keturunan Wangsa Sailandra.

Setelah berabad-abad kemudian, salah seorang dari keturunan ini bernama Sang Sapurba kembali ke Palembang berkahwin dengan Wan Sundaria, anak gadis Demang Lebar Daun, yang merupakan penguasa Palembang waktu itu. Hasil perkahwinan ini melahirkan 4 orang anak, 2 orang anak perempuan, Putri Sri Dewi dan Putri Chandra Dewi dan 2 orang anak lelaki, iaitu Sang Mutiara dan Sang Nila Utama. Dan seterusnya dari keturunan Sang Nila Utama, lahir Dharmaraja (1344 – 1414 Masihi) dengan gelaran Paduka Sri Maharaja Parameswara (Iskandar Shah) di Temasik ( Singapore hari ini) yang kemudianya mendirikan kekerajaan Melayu Melaka.

Siapakah Raja Suran dan Merong Wangsa - 2

Raja Suran, iaitu pada hemah saya adalah Rudra Vikraman yang merupakan seorang Maharaja ke-3 Srivijaya, selepas dari langgui Johor, menjadikan Temasik (hari ini bernama Singapore) sebagai sebahagian dari empayar Srivijaya yang mana salah seorang dari keturunan berdarah beliau iaitu Sang Nila Utama kemudianya akan berpusat disitu sebelum generasi seterusnya iaitu Iskandar Shah (Parameswara 1344 - 1414 masihi) berundur ke Melaka dan membangunkan Kesultanan Melaka dari warisan empayar Srivijaya.

Sulasatus salatin :
" Apabila Raja Suran berada di Temasik, orang China telah membuat muslihat dengan menghantar orang-orang tua tiada gigi, pokok yang sudah berbuah, dan jarum berkarat dengan sebuah kapal sehingga Raja Suran membatalkan niatnya untuk menyerang China. Raja Suran turun ke laut dan apabila sampai di bumi Dika maka baginda berkahwin dengan Puteri Mahtabu'l-Bahri, anak Raja Aktabu'l-Ard. Raja Suran dikurniakan tiga orang anak dengan Puteri Mahtabu'l-Bahri dan telah mewasiatkan supaya Raja Aktabu'l-Ard menghantar anak-anaknya ke dunia apabila dewasa. Setelah itu, maka Raja Suran kembali ke dunia dengan kuda semberani jantan."

Rudra Vikraman (Raja Suran) dikatakan telah menghantar dua utusan ke China pada tahun 728 dan 742 Masihi dengan dikenali atas nama liu-teng-wei-kung. Baginda juga dikurniakan gelaran kehormat Pin-i-wang oleh Kaisar China dan diberi begitu banyak hadiah-hadiah. Keturunan Rudra Vikraman ini iaitu Sang Sapurba akan kembali ke Palembang, bernikah disitu dan salah seorang anak lelaki beliau yang bernama Sang Nila Utama akan melahirkan generasi keturunan Raja-raja Melayu di Melaka.

Dalam pada itu, Iskandar Shah ( Parameswara) tidak berundur dari Palembang, singgah Temasik dan kemudian ke Melaka sebagaimana didendangkan sejarahnya disekolah-sekolah sewaktu dahulu tetapi baginda sememangnya lahir di Temasik kerana Temasik telah lama wujud kerajaan bawah empayar Melayu Srivijaya. Iskandar Shah adalah keturunan Penguasa di Temasik ( iaitu Singapore hari ini ). Ini dapat dikesan melalui rekod dari tarikh Sang Nila Utama (1299 - 1347 masihi) dari Palembang mendatangi Temasik dan menjadi penguasa disitu, kemudian digantikan oleh Sri Wikrama Wira (1347 - 1362 masihi), Sri Rana Wikrama (1362 - 1375 masihi), Sri Maharaja (1375 - 1389 masihi) dan seterusnya kepada Sri Iskandar Shah (1344 - 1414 masihi) yang digelar juga Parameswara sebelum Temasik ditakluk kerajaan Majapahit.

Siapakah Raja Suran dan Merong Wangsa - 1

Raja Suran bukanlah Rajendran Chola (1012 - 1044) dari selatan India tetapi Raja Suran adalah salah seorang waris Kerajaan Srivijaya. Raja Suran tarikhnya adalah lebih jauh awal iaitu abad ke-8 semasa expedisi mengembangkan Empayar Srivijaya kesekitar Nusantara seperti memasuki Gangga Negara (daerah Perak hari ini), menguasai seluruh Tanah Melayu sehingga ke Langgiu (daerah Johor hari ini). Penguasaan keatas semenanjung Tanah Melayu adalah dilakukan dengan kekuatan bala-tentera darat sedangkan kehadiran Rajendran Chola ke rantau Nusantara iaitu dalam 5 abad kemudiannya adalah menggunakan kekuatan bala-tentera lautnya namun hal ini samada sengaja atau tidak, telah disalah-fahamkan terutama oleh sesetengah pihak atas motif tersendiri dibelakangnya.

Raja Suran adalah waris dari Maharaja ke-2 Empayar Srivijaya (Sriwijaya) iaitu Sri Indrawarman (zaman pemerintahannya pada 702 - 728) yang mana Sri Idrawarman pernah mengutus surat beliau kepada Khalifah Umar Al Aziz pada tahun 100 hijrah iaitu 718 Masihi. 

"Dari raja sekalian para raja yang juga adalah keturunan ribuan raja, yang isterinya pun adalah cucu dari ribuan raja, yang kebun binatangnya dipenuhi ribuan gajah, yang wilayah kekuasaannya terdiri dari dua sungai yang mengairi tanaman lidah buaya, rempah wangi, pala, dan jeruk nipis, yang aroma harumnya menyebar jauh.

Kepada Raja Islam yang tidak menyembah tuhan-tuhan lain selain Allah.

Aku telah mengirimkan kepadamu bingkisan yang tak seberapa sebagai tanda persahabatan. Kuharap engkau sudi mengutus seseorang untuk menjelaskan ajaran Islam dan segala hukum-hukumnya."
Beginilah lebih kurang maksud surat dari Maharaja Sriwijaya Sri Indrawarman kepada Khalifah Umar bin Abdul Aziz (718-720 M) yang diangkat menggantikan Khalifah Sulaiman (715-717 M) pada era Kekhalifahan Bani Umayyah di abad ke-7 M. 

Setelah itu, iaitu pada tahun 720 M, Sri Idrawarman dipercayai mengucap dua kalimat syahadat dan menjadi salah seorang Raja Islam pertama di Benua Nusantara. Nama Kerajaan Sriwijaya juga disebut sebagai Kerajaan Sribuza dalam catitan sejarah dipihak Islam. 

Berdasarkan analisa dari perspektif sudut yang akan diterangkan dan berbeza dari diketahui hari ini, dapat disimpulkan bahawa Raja Suran adalah Rudra Wikraman (728 – 775 Masihi), anakanda kepada Sri Indrawarman, zaman sebelum kerajaan Srivijaya dikuasai keturunan Wangsa Sailandra dimana sejarah Rudra Wikraman ini jarang diketahui. 

Raja Suran adalah Maharaja Empayar Srivijaya dari keturunan asal yang membina Empayar Srivijaya iaitu Dapunta Hyang Sri Jayanasa sebelum kekuasaan Srivijaya diambil-alih oleh keturunan kacukan Dapunta Hyang Sri Jayanasa dengan keturunan Wangsa Sailandra yang beragama Buddha, dimana ini menjadikan kemudiannya raja-raja sesudahnya buat Kerajaan Srivijaya adalah penganut dan pelindung agama Buddha Mahayana. Keturunan Wangsa Sailandra ini yang membina Borobudur pada tahun sekitar 824 Masihi oleh Raja Samaratungga dimana candi ini telah mencatat tamadunnya setanding dengan tamadun-tamadun silam yang masih dapat dilihat dengan jelas hari ini.

Btn_brn_77x28

Tajuk

Abbasiyah (1) altruisme - ikram (3) Aqidah (1) art video (20) Austronesia (10) Bahasa dan penampilan (5) Bangsa Melayu (7) batas sempadan (9) Berita (15) Besi (1) Biography solihin (1) Budaya dan pengertiannya (16) catitan (2) cerdik/bodoh dan antaranya (6) cetusan minda (8) cinta dan syahwat (3) Doha - Qatar (2) Eid Mubarak (5) falsafah (2) Fantasia falasi (3) Fibonacci (1) Filem (2) fitrah (1) Fungsi seni (1) gangsa (1) hukum (6) huruf (2) hutang (1) ijtima (1) Iklan (2) imitasi dan memori (1) infiniti (5) jalan2 (2) kebangsaan/nationalisme (2) kebebasan bersuara (1) Kelahiran kesenian yang mengubah warna dunia. (1) Kembali sebentar tentang erti seni (Islam) (1) kerja otak (1) Kesenian dunia Islam (1) komunikasi (1) konsep kendiri (3) konspirasi (1) Lagu (1) Lentok tangan (1) Malaysia (3) Masa (10) Maslahah atau mafsadah (1) Maya (ilusi) (4) Melaka (1) Melayu (2) Melayu dan Islam (9) minda (2) musik (2) nukilan rasa (1) Pantang dalam berkarya (1) Pause (6) Pembetulan sejarah (3) Pengajian dan pengertian budaya (1) Perasaan dan pemikiran (5) Persepsi / Tanggapan (6) pointillism (2) populasi dunia (9) Produk sejarah (11) Program dan hayat (2) prosa (4) ramadan (2) realiti - kenyataan (7) Sajak (22) Sangkaan (2) sebab dan akibat (18) sejarah (14) sejarah Islam Nusantara (1) sejarah Melayu (4) Sejarah mengubah/terubah (5) Sejarah seni dalam kehidupan insan (1) Sejarah video (1) Seni Bahasa (2) Seni dalam imiginasi (1) seni kata (1) Seni logam (3) Seni textil (budaya berpakaian) (2) Seni-seni mempertahankan diri (1) sound (1) Srivijaya (3) Sunda (6) Tahap kesederhanaan (1) Tahap-tahap kehidupan (14) tenung bintang (1) Terkesan dengan suasana (2) Tradisional dalam makna (1) Ukuran dan kayu pengukurnya (2) updated (1) Usia manusia (3) vision (1) wang (7) Wujudkah kosong? (2) zarzh slide (12)

Catitan lalu

Insuran & Road Tax Online

tetangga