
Altruisme ialah amalan untuk mengutamakan orang-orang lain berbanding diri sendiri. Amalan ini adalah sifat-sifat murni didalam kebanyakan budaya mahupun merupakan pokok kepada kebanyakan agama diseluruh dunia.Sebagaimana didalam ajaran Islam altruisme ini mungkin terjemahanya adalah sifat ikram yang membawa tafsir bagaimana menekan kehendak diri atau keperluan diri dalam memenuhi keperluan pihak lain.
Perkataan "altruisme" (berasal daripada bahasa Perancis, autrui, "orang lain") telah dicipta oleh Auguste Comte, pengasas positivisme dari Perancis, untuk memerihalkan doktrin etika yang disokongnya. Beliau mempercayai bahawa individu-individu mempunyai kewajipan moral untuk berkhidmat bagi kepentingan orang lain atau kebaikan kemanusiaan yang lebih besar. Dalam karyanya, Catechisme Positiviste, Comte mengatakan bahawa:
"sudut pandangan sosial tidak boleh mentoleransi tanggapan-tanggapan hak disebabkan tanggapan in berasaskan faham perseorangan. Kita dilahirkan di bawah berbagai-bagai jenis kewajipan kepada pendahulu-pendahulu dan pewaris-pewaris kita, serta orang-orang yang hidup sezaman. Selepas kelahiran kita, kewajipan-kewajipan ini bertambah atau berkumpul buat satu tempoh sebelum kita dapat memulangkan sebarang perkhidmatan... Ini (iaitu hidup untuk orang-orang lain"), rumusan yang paling sahih untuk kesusilaan manusia, memberi kebenaran langsung secara eksklusif kepada naluri-naluri sifat suka membuat kebaikan, punca yang sama untuk kebahagiaan dan kewajipan. Manusia harus berkhidmat untuk Kemanusiaan....."
Disebabkan nama doktrin etika ialah "altruisme", perbuatan yang ditetapkan oleh doktrin etika juga telah diistilahkan sebagai "altruisme", berkhidmat kepada orang-orang lain melalui mengutamakan kepentingan mereka berbanding kepentingan diri sendiri.
Takrif budaya ikram oleh Pro Wan Halim Othman adalah:
Budaya ikram boleh diertikan sebagai cara hidup yang memperlihatkan anggota masyarakat saling menghormati, berbakti, memberikan khidmat, menolong, berbuat jasa, menabur budi, melakukan kebajikan, menunjukkan rasa kasih, dan belas kasihan, bertimbang rasa dan pemurah terhadap golongan yang memerlukan pertolongan dan bantuan.
Anggota masyarakat sentiasa peka dan memberikan perhatian kepada apa-apa yang berlaku di sekeliling mereka; memandang penting dan mengambil endah apa-apa yang berlaku kepada orang lain; menjaga maruah dan memelihara rahsia peribadi orang lain; membantu memelihara golongan yang tertekan dan teraniaya; serta bertanggungjawab dan beramanah terhadap manusia lain.
Ini bererti bahawa budaya ikram bukan melibatkan hanya satu jenis tingkah laku dan amalan sahaja. Ia melibatkan semua aspek kehidupan bermasyarakat yang memerlukan kesediaan seseorang menghulurkan bakti dan pertolongan kepada anggota masyarakat yang memerlukannya walaupun mereka tidak sekeluarga, sejantina, sekaum, ataupun seagama dengannya atas prinsip menghormati dan menyayangi semua makhluk Allah di muka bumi ini.
Sifat ikram bertentangan dengan sifat tidak hirau, leka, lalai, tidak mengambil berat, tidak peduli tentang apa-apa yang berlaku kepada makhluk lain, iaitu setiap orang hanya mementingkan diri sendiri ataupun hanya memberikan khidmat kepada ahli keluarga sendiri sahaja sepanjang hayatnya. Istilah budaya ikram boleh juga disama-ertikan sebagai ´Budaya Menolong`.
bersambung.....
No comments:
Post a Comment