Saturday, September 16, 2023

Malaysia

Nama Malaysia ini sebenarnya telah digunakan sejak tahun 1800an lagi dan ianya merujuk kepada Semenanjung Melayu dan kepulauan Melayu, iaitu keseluruhan wilayah Nusantara.

Kepulauan Melayu merujuk kepada kawasan Sumatra, Tanah Jawa, Sulawesi, Tanah Melayu, Kemboja, Siam, Burma, Broneo, Timor, Filipina dll. iaitu mencecah 2 juta Kilometer persegi dengan lebih daripada 25,000 pulau-pulau didalamnya. 

Ini dibuktikan dengan merujuk kepada peta yang dibuat oleh Alexander Keith Johnston F.R.G.S (AK Johnston) pada tahun 1845. Beliau memberi tajuk 'South Eastern Peninsula and Malaysia' kepada peta tersebut dan dimuatkan didalam bukunya "National Atlas of Historical, Commercial and Political Geography".

"....the group (the malay peninsula and the malay archipelago ) has been named Malaysia from the Malays who are the dominant race in the archipelago...."

Nama "Malaysia" adalah gabungan perkataan "Malays" dan akhiran Latin-Yunani "-ia"/"-ία" yang diterjemahkan sebagai "tanah Melayu". (-ia bermakna 'tanah". Cth. Rusia ialah "Tanah Rus", Germania ialah “Tanah German”)

Pada tahun 1826, Jules Dumont d'Urville, penjelajah dari angkatan laut Perancis, yang menjelajahi perairan Pasifik selatan dan barat, Australia, New Zealand dan Antartika menggambarkan Malaysia sebagai "kawasan yang biasanya dikenali sebagai Hindia Timur". 

Kemudian pada tahun 1931, sarjana Jerman Johann Friedrich Blumenbach mengusulkan istilah "Malaysia", "Mikronesia" dan "Melanesia" kepada Société de Géographie untuk memberi perbezaan budaya Pasifik dengan budaya Nusantara yang sebelum ini diberi istilah "Polinesia". 

Dari situlah, nama Malaysia mula digunakan untuk melabel lokasi yang merupakan Kepulauan Melayu atau Nusantara.

Pada tahun 1850, ahli etnologi Inggeris, George Samuel Windsor Earl, menulis dalam Journal of the Indian Archipelago and Eastern Asia, mengusulkan untuk menamakan pulau-pulau di Asia Tenggara sebagai "Melayunesia" atau "Indunesia".

Artikel yang ‭ ‬bertajuk “‭Geographical  Notes in Malaysia and Asia‬” yang ditulis ‭ ‬J.E Tenison Woods memberi maklumat ringkas mengenai catatan perjalanannya ke Semenanjung Tanah Melayu, Labuan, Brunei, Sandakan dan Sulu pada tahun 1883 hingga 1886.

Pada tahun 1914, peta yang dikeluarkan di Chicago oeh Amerika Syarikat menamakan Nusantara sebagai Malaysia.

Atas itu, Filipina juga pernah berniat hendak menamakan negara mereka dengan nama Malaysia, tapi sudah takdir, nama tersebut adalah buat Persekutuan Tanah Melayu, wilayah Sarawak dan wilayah Sabah.

Duit syiling Jepun yang dikeluarkan pada tahun 1942 (2602 kalendar Jepun), juga menggunakan nama Malaysia dimana pada muka depan syiling itu kelihatan tiga cabang daun serta perkataan Malaysia.

Tuesday, August 22, 2023

Masa - 10

Pemerhatian (observation) masa. Pemerhatian adalah digunakan untuk memberi sesuatu sokongan kepada suatu penyataan, tanggapan, jangkaan dll. Contohnya, teori ialah perkaitan antara pemerhatian yang memberitahu tentang sesuatu pemahaman atau sesuatu objek.
Pemerhatian memerlukan masa dan dikatakan bahawa manusia, yang proses evolusi pemikirannya yang telah berlalu dalam jarak masa yang beratus-ribu abad, telah berada di suatu kedudukan yang paling maju pemikirannya namun kenyataannya itu tidak benar kerana proses evolusi dan devolusi sentiasa bersilih ganti dalam detik berlalunya masa.
Melalui berbagai medium dunia hari ini, dari tulisan yang merakam pengalaman serta pengetahuan sehingga ke dunia digital dimana dengan segala visual pendengaran mahupun tayangan buat menimba pengetahuan, dalam berlalunya masa, pemerhatian (observation) manusia sewajarnya telah jauh meningkat dan memahami segala tentang kehidupan, namun itu semua tidak menjanjikan kejayaan yang hakiki.
Seorang bayi yang lahir mengambil bertahun masa untuk mula bercakap, berdiri dan seterusnya meningkat dewasa untuk mula mengunakan akal fikirannya dan menjadi matang namun kemudian menjadi tua dan uzur dan kembali berada dalam situasi waktu lahirnya iaitu tidak berupaya.
Yang pastinya, dalam melakukan pemerhatian masa dan mengalami kesedaran dalam berlalunya masa, sentiasa akan dilihat terjadinya proses tua-muda, suka-duka, sihat-sakit, hidup-mati dan seterusnya sehingga naik dan jatuh sesebuah empayer atau kerajaan, dimana semua akhirnya menuju kerugian.
Apa sahaja yang dimiliki oleh manusia, contohnya rumah baru, selang berpuluh tahun rumah tersebut akan rosak, kereta keluaran model terbaru yang mana berpuluh tahun akan datang menjadi model lama atau contoh ahli keluarga yang ramai namun bila berlalunya masa akan meninggal seorang demi seorang.
Masa didunia fana ini menjanjikan kerugian pada setiap yang melaluinya kecuali buat mereka yang beriman, melakukan amal solehan, berpesan-pesan buat kebaikan dan berpesan dengan kesabaran. Kesabaran adalah sebuah ikatan yang terikat dengan masa.

 


Masa - 9

Masa adalah sebenarnya sesuatu bukan dalam dimensi ruang dan keadaan yang diketahui manusia tetapi ianya adalah jauh lebih besar, iaitu merangkumi didalamnya segala yang wujud.

Dari sekecil mahluk atau objek yang ada sehingga sebesar objek sang suria serta lohong hitam termasuk semua yang diketahui manusia sehingga hari ini seperti graviti dan materi lainnya, semuanya dirangkumi masa.
Masa di dunia fana ini bermula bila bermulanya alam ini dan berakhirnya bila terjadinya kiamat, namun selepas itu, masa tetap wujud dalam bentuk kiraan akhirat.
Sebagaimana Rasulullah s.a.w bersabda, “Orang miskin (kalangan orang Muslim) akan memasuki syurga setengah hari terlebih dahulu dari orang kaya (kalangan orang muslim). Setengah hari ini akan sama dengan 500 tahun (menurut ukuran dunia)”.
Atas itu, masa akan sentiasa bergerak hatta ke alam kemudian dan ianya seakan infiniti, tiada penghujung (melainkan alam syurga yang abadi yang tidak memerlukan lagi kewujudan masa).
Dalam pada itu, di dunia, masa dikaitkan dengan punca tarikan graviti, iaitu pusingan mengelilingi matahari, maka terjadilah ukuran-ukuran pada masa sedang hakikatnya masa itu tetap sama berjalan tidak kira diukur mengikut ruang dan keadaan tempatan.
Contohnya, masa di bumi dikira sehari mempunyai 24 jam, 1440 minit atau 86,400 saat. Lantas segala masa diperkirakan mengikut kiraan tersebut, dari kiraan kelajuan sesuatu objek, sesuatu hayat, siang-malam dan seterusnya.
Sedang di Mars, seharinya dalam 24 jam 37 minit, Jupiter dalam 10 jam sehari (9 jam 56 minit) manakala Venus dalam 5,832 jam sehari, bermakna bila manusia menduduki planet lain, maka masa kehidupan sehariannya bukan lagi sebagaimana lazimnya 24 jam dibumi, tetapi berubah mengikut kiraan waktu tempatan di planet tersebut.
Di Mars, yang setahun adalah 687 hari kiraan bumi (bumi setahun 365 hari), maka bila sekumpulan manusia yang purata umur mereka 50 tahun pergi untuk menetap di Mars, maka umurnya adalah dalam lingkungan setengah dari itu, namun secara fizikal, mereka tidak akan menjadi bertambah muda dan panjang usianya, hanya masa yang dilalui berubah mengikut kiraan Mars.
Di Planet Jupiter yang seharinya hanya dalam 10 jam, bermakna siang dan malamnya hanya dalam 5 jam (sekiranya diukur di garisan tengah khatulistiwa Jupiter). Jika dibahagikan aktiviti seharian, maka 3 jam untuk tidur, 3 jam untuk bekerja dan 3 jam untuk berehat bersama keluarga (dan selebihnya, 56 minit untuk masjid). Waktu sholatnya juga rapat, kemungkinan antara zohor dengan asar hanya setengah jam bezanya.
Dimana, tidak bermakna seseorang yang menetap di Jupiter tidak perlu bersholat 5 waktu sehari kerana waktu sholat singkat antara satu sholat dengan sholat yang lain tetapi dirinya tetap wajib bersholat 5 waktu sehari kerana itu adalah suatu kefarduan tidak kira dimana seseorang tersebut berada lantaran sholat terikat dengan hakikat kewujudan masa bukan terikat pada ruang dan keadaan (kecuali sesuatu keuzuran seperti bermusafir yang boleh menjamakkan sholatnya, kedatangan bulan buat kaum wanita dll).
Bersambung…

Masa - 8

Masa hadapan (future) dimana manusia mampu berada di masa hadapan. Lazimnya bukan dalam bentuk ruang masa (space time) tetapi dalam bentuk masa itu sendiri. Ahlul kitab serta umat Islam menyakini akan kisah Nabi Musa a.s bertemu dengan Khidir a.s dimana terjadinya peristiwa yang Nabi Musa tidak memahami akan tindakan-tindakan yang dilakukan oleh Khidir lantaran peristiwa-peristiwanya berkaitan masa depan.

Kisah Nabi Musa bertemu Khidir bermula ketika mana Nabi Musa sedang berbicara dengan kaumnya dengan mengatakan bahawa diriya yang paling tinggi ilmunya (bukan dengan niat takabur). Lalu Allah mewahyukan Nabi Musa bahawa terdapat seorang hamba Allah yang pengetahuannya lagi tinggi dari Nabi Musa iaitu Khidir.
Bila Nabi Musa bertemu Khidir, Nabi Musa memohon agar dapat mengembara bersamanya untuk menuntut ilmu. Khidir meletakkan syarat sekiranya mahu mengembara bersamanya, Nabi Musa dilarang bertanya ketika melihat tindakan anehnya yang akan terjadi di sepanjang perjalanan mereka.
وَكَيْفَ تَصْبِرُ عَلَى مَا لَمْ تُحِطْ بِهِ خُبْراً
Dan bagaimana engkau akan sabar terhadap perkara yang engkau tidak mengetahuinya secara meliputi? (Al-Kahfi:68)
قَالَ سَتَجِدُنِي إِن شَاء اللَّهُ صَابِراً وَلَا أَعْصِي لَكَ أَمْراً
Nabi Musa berkata: “Engkau akan dapati aku, Insyaa Allah: orang yang sabar; dan aku tidak akan membantah sebarang perintahmu”. (Al-Kahfi:69)
Dalam perjalanan mereka, peristiwa pertama yang Nabi Musa a.s tidak memahami dan tidak bersetuju bila melihat tindakan Khidir membocorkan perahu yang telah mereka tumpangi.
فَانطَلَقَا حَتَّى إِذَا رَكِبَا فِي السَّفِينَةِ خَرَقَهَا قَالَ أَخَرَقْتَهَا لِتُغْرِقَ أَهْلَهَا لَقَدْ جِئْتَ شَيْئاً إِمْراً
Maksudnya: Lalu berjalanlah keduanya sehingga apabila mereka naik ke sebuah perahu, ia membocorkannya. Nabi Musa berkata “Mengapa kamu melubangi perahu itu yang akibatnya kamu akan menenggelamkan penumpangnya? Sesungguhnya kamu telah berbuat sesuatu kesalahan yang besar”(Al-Kahfi : 71).
Khidir mengingatkan bahawa Nabi Musa tidak akan sabar di dalam perjalanan mereka, lalu Nabi Musa memohon maaf dan mereka kembali meneruskan perjalanan.

Kemudian, mereka bertemu dan menghampiri seorang kanak lelaki, Khidir membunuhnya. Tindakan ini membuat Nabi Musa amat terkejut kerana ianya adalah suatu perbuatan yang menyalahi hukum syarak dan tidak berperikemanusiaan.
فَانطَلَقَا حَتَّى إِذَا لَقِيَا غُلَاماً فَقَتَلَهُ قَالَ أَقَتَلْتَ نَفْساً زَكِيَّةً بِغَيْرِ نَفْسٍ لَّقَدْ جِئْتَ شَيْئاً نُّكْراً
“Kemudian keduanya berjalan lagi sehingga apabila mereka bertemu dengan seorang pemuda lalu ia membunuhnya. Nabi Musa berkata “Patutkah engkau membunuh satu jiwa yang bersih, yang tidak berdosa membunuh orang? Sesungguhnya engkau telah melakukan satu perbuatan yang mungkar!“(Al-Kahfi : 74).
Lantas Khidir mengingatkan kembali bahawa Nabi Musa tidak akan sabar dan sekiranya Nabi Musa tidak berhenti bertanya, maka sewajarnya Nabi Musa tidak mengikutinya. Sekali lagi Nabi Musa memohon maaf dan mereka meneruskan perjalanan itu.
Dalam perjalanan seterusnya, dalam keletihan akibat berjalan jauh, mereka singgah di suatu bandar namun tiada seorang pun dari penduduk bandar tersebut membantu mereka.
Akhirnya mereka berehat ditepi sebuah tembok yang hampir roboh keadaannya. Khidir tanpa berlengah lagi, segera membaiki tembok tersebut. Perbuatannya ini menyebabkan Nabi Musa tidak sabar lalu berkata, ”Jikalau kamu mahu, nescaya kamu dapat meminta imbalan untuk itu”.
Lantas Khidir berkata, inilah saat perpisahan mereka kerana Nabi Musa tidak akan sabar dan tidak akan memahami akan segala tindakan yang dilakukan dalam misi khas dirinya.
قَالَ هَذَا فِرَاقُ بَيْنِي وَبَيْنِكَ سَأُنَبِّئُكَ بِتَأْوِيلِ مَا لَمْ تَسْتَطِع عَّلَيْهِ صَبْراً
Maksudnya: Ia menjawab: “Inilah masanya perpisahan antaraku denganmu, aku akan terangkan kepadamu maksud (kejadian-kejadian yang dimusykilkan) yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya. (al Kahfi: 78)
Khidir menyatakan bahawa dia sengaja melubangi perahu yang telah menumpangkan mereka kerana terdapat seorang Raja yang memerintah agar merampas setiap perahu yang elok dan cantik yang mana akan menyebabkan tuan perahu yang mereka tumpangi akan kehilangan perahu yang merupakan sumber utama rezekinya.
Peristiwa kedua, Khidir menjelaskan ada pun tindakannya membunuh seorang kanak tersebut, kerana di masa hadapan, ia akan membesar sebagai seorang anak yang jahat dan akan menyakiti orang tuanya yang soleh. Dibunuhnya atas perintah Allah yang mana akan terganti nanti zuriat yang lebih baik kepada pasangan tersebut.
Manakala peristiwa ketiga, Khidir menjelaskan mengapa beliau membangunkan tembok yang hampir roboh itu adalah kerana dibawahnya tertanam harta anak yatim yang harus dijaga dengan baik. Demikianlah sebelum perpisahan mereka, Khidir menjelaskan setiap satu persoalan Nabi Musa akan tindakannya dan semuanya atas perkara yang akan terjadi di masa hadapan.

Pengetahuan masa hadapan yang pasti dan tidak boleh disangkal adalah apa yang difirmankan oleh pencipta masa iaitu Allah Taala, apa yang disabdakan oleh Nabi Muhamad s.a.w. serta apa yang diilhamkan oleh Allah kepada hamba-hambanya seperti buat Khidir a.s. Malah Nabi Muhamad s.a.w pernah pergi bukan sahaja dari sudut masa tetapi dari sudut ruang masa depan iaitu dari sudut lahiriah mahupun batiniah (Physically and mentally having to go through those moments and days) dalam perjalanan beliau dimalam Israk Mikraj.
Contohnya; Anas bin Malik r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Pada malam aku dimikrajkan, aku melalui satu kaum yang mempunyai kuku daripada tembaga. Mereka mencakar muka dan dada mereka. Aku lalu berkata: “Siapa mereka ini, wahai Jibril?” Jibril menjawab: “Mereka ialah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah mereka.” (Hadis Riwayat Ahmad & Abu Daud)
Manakala masa hadapan lazimnya dapat dijangkau atau cuba dijangkau oleh manusia biasa namun kepastiannya belum dapat dipastikan selama mana ianya belum berlaku adalah melalui sesuatu seperti ramalan (predict) atau kiraan seperti melalui kiraan pergerakan awan serta kelajuan angin maka dapat diramal cuaca yang akan datang, de ja vu iaitu mimpi yang kemudiannya menjadi kenyataan di hari muka, ahli nujum atau astrologi (yang mana mampu menghadirkan perkara khurafat), inspirasi terhadap sesuatu karya semasa yang dimasa hadapan ianya menjadi kenyataan atau budaya setempat, hasil penyelidikan para pengkaji yang melahirkan jangkaan tepat dan seterusnya buat beberapa perkara lagi.
Bersambung….

Masa - 7

Antara ruang masa (spacetime) dan masa. Ruang iaitu 3 dimensi, geometri alam semesta (ungkapan spatialnya dari segi koordinat, jarak dan arah) dimana objek dan peristiwa berlaku, iaitu bentuk realiti dunia yang diduduki manusia, manakala hakikat masa ialah kehadiran bukan fizikal yang wujud di luar undang-undang fizik, kimia, graviti atau kelajuan cahaya dan tidak terjejas olehnya apa-apa yang wujud dialam ini sedikit pun.

Terdapat perbezaan bila memperkatakan makna perkataan ruang masa (spacetime) dengan perkataan masa itu sendiri. Ruang masa adalah 3 dimensi yang diduduki oleh manusia dicampur dengan masa, sedang intipati masa itu sendiri adalah suatu detik yang didalamnya dirangkumi keseluruhan alam semesta.
Dan ini juga membawa perbezaan bila memperkatakan samada masa itu mutlak (absolute) atau relatif. Relatif adalah bila masa diambil untuk mengukur sesuatu melalui pengamatan individu atau atas sesuatu lalu menjadi ruang masa manakala mutlak, iaitu intipati masa sebenarnya dimana ianya wujud merangkumi didalamnya segala ruang masa.
Ruang boleh sahaja berubah-rubah namun masa tidak akan berubah. Ruang sahaja tanpa masa boleh berada di waktu silam, kini dan masa hadapan.
Contohnya, seorang pemuda yang terkurung berpuluh tahun dalam satu bunker bawah tanah dengan segala bekalan serta kelengkapan hidup kerana peperangan nukliar, bila keluar dari bunkernya, maka dilihat kota serta dunia disekitarnya telah berubah, yang dulunya dipenghuni oleh manusia bertamadun, kini menjadi primitif lantaran segalanya telah hancur musnah oleh bom-bom nukliar.
Manusia-manusia di kota tersebut pula kagum melihatnya serta bilik bunkernya yang lengkap dengan segala peralatan buat menampung kehidupan hatta mampu mencipta makanan sentetik termasuk daging sentetik serta bekalan air bersih bawah tanah. Mereka telah masuk di suatu ruangan silam kerana ruang bunkernya dibina berpuluh tahun sebelum mereka.
Sedang pemuda yang keluar dari bunker tersebut yang terkejut melihat suasana ruang luar bunkernya, yang begitu dhaif serta mundur hatta untuk mendapat air yang bersih begitu payah sedangkan dulu, kotanya amat maju, telah berada di masa depan.
Namun bila ruang disabit dengan masa, iaitu ruang masa (space time), pemuda tersebut berada di detik yang sama kerana masa berlalu tepat di ketikanya. Ruang bunkernya biarpun dibina puluhan tahun lepas dan amat maju dibandingkan dengan dunia luar yang mundur lantaran peperangan nukliar adalah dalam ruang masa terkini.
Perkara yang lalu, menjadi sejarah manakala perkara yang hadapan menjadi masa hadapan dimana tiada siapa yang boleh kembali ke masa lalu kerana hakikat masa adalah mutlak.
Untuk merakam akan sesuatu ruang ia memerlukan masa untuk wujud lalu terbitnya ayat ruang masa (spacetime) namun masa tidak memerlukan ruang untuk merakam kewujudannya. Kerana hitungan intipati masa buat keseluruhan alam semesta adalah sentiasa serentak, hadir dan memiliki kemampuan tersendiri.
Kewujudan serta-merta masa tidak mengambil masa untuk tiba kerana ia sudah berada di sini, di sana dan di mana-mana pada masa yang sama. Ianya juga melampaui segala dimensi yang diketahui oleh manusia.
Konsep matematik yang dicipta manusia lazimnya boleh mengukur tenaga dan jirim yang bergerak dari titik A ke titik B. Dan seseorang tidak dapat pergi dari titik A ke titik B tanpa menempuh masa, namun bila digunakan untuk ukuran masa, ianya bukan ukuran intipati sebenar masa itu sendiri. Dimana tanpa tenaga dan jirim bergerak dari titik A ke titik B pun masa masih wujud dan ada.
Bersambung…
Btn_brn_77x28

Tajuk

Abbasiyah (1) altruisme - ikram (3) Aqidah (1) art video (20) Austronesia (10) Bahasa dan penampilan (5) Bangsa Melayu (7) batas sempadan (9) Berita (15) Besi (1) Biography solihin (1) Budaya dan pengertiannya (16) catitan (2) cerdik/bodoh dan antaranya (6) cetusan minda (8) cinta dan syahwat (3) Doha - Qatar (2) Eid Mubarak (5) falsafah (2) Fantasia falasi (3) Fibonacci (1) Filem (2) fitrah (1) Fungsi seni (1) gangsa (1) hukum (6) huruf (2) hutang (1) ijtima (1) Iklan (2) imitasi dan memori (1) infiniti (5) jalan2 (2) kebangsaan/nationalisme (2) kebebasan bersuara (1) Kelahiran kesenian yang mengubah warna dunia. (1) Kembali sebentar tentang erti seni (Islam) (1) kerja otak (1) Kesenian dunia Islam (1) komunikasi (1) konsep kendiri (3) konspirasi (1) Lagu (1) Lentok tangan (1) Malaysia (3) Masa (10) Maslahah atau mafsadah (1) Maya (ilusi) (4) Melaka (1) Melayu (2) Melayu dan Islam (9) minda (2) musik (2) nukilan rasa (1) Pantang dalam berkarya (1) Pause (6) Pembetulan sejarah (3) Pengajian dan pengertian budaya (1) Perasaan dan pemikiran (5) Persepsi / Tanggapan (6) pointillism (2) populasi dunia (9) Produk sejarah (11) Program dan hayat (2) prosa (4) ramadan (2) realiti - kenyataan (7) Sajak (22) Sangkaan (2) sebab dan akibat (18) sejarah (14) sejarah Islam Nusantara (1) sejarah Melayu (4) Sejarah mengubah/terubah (5) Sejarah seni dalam kehidupan insan (1) Sejarah video (1) Seni Bahasa (2) Seni dalam imiginasi (1) seni kata (1) Seni logam (3) Seni textil (budaya berpakaian) (2) Seni-seni mempertahankan diri (1) sound (1) Srivijaya (3) Sunda (6) Tahap kesederhanaan (1) Tahap-tahap kehidupan (14) tenung bintang (1) Terkesan dengan suasana (2) Tradisional dalam makna (1) Ukuran dan kayu pengukurnya (2) updated (1) Usia manusia (3) vision (1) wang (7) Wujudkah kosong? (2) zarzh slide (12)

Catitan lalu

Insuran & Road Tax Online

tetangga