Tuesday, September 28, 2010

Sembang budaya - 8

Pemaknaan budaya adalah bergantung dari perspektif mana ia dilihat dan ditafsir. Contohnya pemaknaan yang wujud dari sudut bahasa telah ada perbezaannya walaupun lazimnya dimengertikan sebagai makna yang sama seperti dari bahasa Melayu yang diambil dari bahasa Sanskrit bererti antara budi dan akal dimana pemaknaan kebudayaan itu lebih cenderong kepada perkara-perkara positif atau kesenian, dari bahasa Latin yang digunakan didalam bahasa Inggeris disebut kultur bererti pengolahan cara hidup dalam aktiviti kehidupan samaada membawa kepada bentuk positif atau negatif sedang dalam bahasa Arab, ia disebut tsaqaafah iaitu ertinya cenderong kepada sesuatu aktiviti atau kehidupan insan yang membina kepada peradaban hidup.

Manakala dari perspektif erti budaya secara menyeluruh, ia adalah bersangkutan kepada kehidupan insan iaitu berkaitan dengan perasaan, pemikiran, perilaku, penampilan, struktur kehidupan, hasil-kerja dan seterusnya dalam mana merangkumi tindakan-tindakan dari kehidupan seperti keadaan kehidupan yang dilalui, amalan seharian seperti cara disiplin hidup, kerja atau usaha yang dilakukan sehingga pada cara pemakanan, pemikiran saban waktu dan penghasilan yang dilakukan seperti bahan artifak sehingga kepada segala peralatan yang diperlukan.

Dari itu, perubahan-perubahan sosial yang berlaku dalam sesuatu kelompok masyarakat mahupun individu-individu adalah berkaitan dengan perubahan-perubahan kebudayaan yang dihidupkan atau telah sedia-ada dipersekitaran seperti samaada sesuatu perubahan yang membawa kearah peradaban yang membina atau perubahan yang membawa kepada kehancuran mahupun gejala kemerosotan moral dikalangan masyarakat atau individu-individu.

Contohnya, mengikut kebudayaan dari sesuatu kepercayaan atau adat tradisi setempat, perkara-perkara yang merangsangkan pada perilaku perbuatan seks, adalah begitu dikawal (tabu) samaada tidak langsung membicarakannya atau hanya kalangan pasangan yang bernikah tetapi hari ini, ia telah menjadi suatu yang lumrah dimana-mana samaada dalam bentuk tulisan, kata-kata (seperti gurauan, maki-makian dan lain-lain), gambar-gambaran dan seterusnya apatah lagi dengan fungsi internet yang mana sesiapa sahaja yang tiada idea, akan menggunakan ini sebagai daya penarik seperti untuk pembaca kepada ruangan tulisan mereka dan ini semuanya membawa kesan keruntuhan moral diatas ransangan yang terbuka keatas perilaku tersebut.

Sebegitu juga contohnya perkara-perkara lain seperti berjudi atau minuman-minuman yang memabukkan dalam masyarakat contohnya yang mengamalkan kebudayaan Islam seperti Malaysia atau Indonesia, ia lazimnya sesuatu yang dicegah namun kini ia menjadi sebahagian dari budaya hidup disitu samaada bentuk loteri sehingga pembinaan besar-besaran kasino-kasino mahupun dari jualan todi-todi murah-murahan sehingga kepada pembukaan bar-bar atau kelab-kelab malam dan ini semua wajarnya mampu mengubah perspektif masyarakat umum atau individu sesuatu tempat tentang apakah itu sesuatu yang benar-benar ditegah dan amat merbahaya atau masih ada lagi ruang bertolak-ansur terhadap perkara-perkara tersebut.

Ini seterusnya menyebabkan berlakunya perubahan sosial dikalangan masyrakatnya kerana perubahan budaya hidup yang dialami dimana suatu waktu dahulu, budaya hidupnya amat tabu atau mengawal akan perkara-perkara yang mengundang kepada kerosakan moral namun kini, apa yang dikatakan unsur-unsur kerosakan moral itu telah menjadi suatu budaya yang lumrah pula. Dalam mana, krisis kejutan budaya (culture shock) terutamanya buat anak-anak muda-mudi yang kurang pengetahuan agama atau pegangan hidup akan terjadi.

Disudut lain, perubahan-perubahan sosial kearah yang positif juga berlaku diatas perubahan-perubahan kebudayaan hidup seperti budaya hidup sesetengah masyarakat Eropa atau Jepun yang berdisplin serta teratur struktur masyarakatnya mempengaruhi masyarakat-masyrakat ditempat lain untuk menjejaki budaya hidup sebegitu dan membangun masyarakatnya dalam bentuk yang lebih teratur.

Contohnya, disesetengah tempat, pemandu kereta tidak akan memberi laluan pejalan kaki untuk melintas biarpun ada garisan untuk pejalan kaki melintas, sedang dikebanyakkan negara Eropa, adalah suatu kemestian buat pemandu kereta berhenti dan memberi laluan pada pejalan kaki (budaya pemandu yang berdedikasi mengurangkan kemalangan dijalan-raya). Atau contohnya adalah menjadi kewajipan pada kerajaan-kerajaan dinegara-negara Eropa untuk memberi sara-hidup bulanan pada mereka yang tidak berkemampuan atau tiada kerja (dengan ini mengurangkan juga jenayah-jenayah seperti ragut, samun, pecah-rumah dan lain-lain), sedangkan dinegara-negara lain, mereka yang tidak berkemampuan atau miskin, lazimnya tiada bantuan langsung keatas mereka, hanya bergantung kepada sedekah-sedekah insan lain yang prihati.

Contoh lain adalah seperti dengan kedatangan kebudayaan Islam yang sebenar disesuatu tempat, maka perubahan sosial besar-besaran kearah positif berlaku seperti kurangnya maksiat-maksiat atau perkara-perkara yang membawa kearah maksiat, kewujudan baitul-mal yang membantu mereka yang miskin, semangat tolong-menolong dan berpesan-pesan kearah kebaikan, penghapusan riba-riba yang menekan mereka yang berhutang, bersopan-santun dan perasaan hormat-menghormati antara muda dengan tua, bertimbang-rasa hatta kepada haiwan dan seterusnya. (Selari dengan perkataan budaya iaitu tsaqaafah yang membina peradaban)

Bersambung...



Saturday, September 25, 2010

Sembang budaya - 7

Keadaan atau suasana yang membentuk sesuatu kebudayaan hidup adalah bermakna kesan dari persekitaran samaada masyarakatnya, dari taraf kehidupannya, dari bentuk muka-bumi yang diduduki, dari iklim setempat, dari keadaan yang aman atau huru-hara dan seterusnya. Dalam mana, impak dari keadaan atau suasana yang membentuk sesuatu budaya hidup, samaada disedari atau tidak, ia lazimnya menjadi sebati dalam diri buat menghadapi kehidupan seharian, sehingga bahkan membentuk mentaliti yang dimiliki.

Seperti contohnya masyarakat asal yang menetap diMalaysia iaitu masyarakat Melayu dibandingkan dengan masyarakat dari benua lain yang datang keMalaysia, dimana budaya bekerja masyarakat yang datang dari benua lain lebih rajin atau gigih dari masyarakat Melayu, bukan kerana mentaliti masyarakat Melayu pemalas, tetapi kerana kesuburan bumi Malaysia yang diduduki sejak beribu-ribu tahun yang mana kehidupan disitu adalah amat mudah, selesa cuacanya serta tanahnya yang subur membuat budaya kerja masyarakat Melayu bersederhana sahaja berbanding masyarakat yang datang dari benua lain yang lazimnya mereka mengalami banyak kepayahan ditempat asal mereka atas berbagai sebab dan ini menzahirkan kesungguhan mereka dalam mencari rezeki.

Sebagaimana negara-negara yang mempunyai empat musim setahun iaitu musim panas, musim gugur, musim sejuk dan musim bunga, yang mana masyarakat disitu bekerja keras mengatur hasil pendapatan bergantung pada musimnya seperti persedian dimusim panas sebelum kedatangan musim sejuk. Juga dari sudut cermatnya menjaga simpanan hasil yang didapati untuk menghadapi musim-musim yang mana tiada apa hasil diperolehi berbanding dinegara-negara beriklim tropika yang sepanjang tahun hampir sama sahaja iklimnya dan tidak memerlukan persedian besar untuk menghadapi musim-musim yang lain.

Manakala negara-negara beriklim panas mahupun berpadang pasir, kebiasaannya dikatakan negara yang mundur atau rakyat yang tidak progresif sebenarnya bukan kerana mentaliti masyarakatnya primitif atau ketinggalan, tetapi kerana iklim disitu membuat segala aktiviti-aktiviti sehariannya terhad. Segala kehidupan disitu adalah dalam rythmus yang perlahan terutama ditengah-hari hingga beberapa jam sebelum matahari terbenam. Ini seterusnya membawa kesan kepada corak budaya kehidupan yang amat perlahan. (Kenyataan ini jelas bila singgah atau menetap dinegara yang suhunya melebihi 40 darjah dan hidup disitu tanpa kemudahan-kemudahan modern seperti penghawa dingin dan sebagainya)

Mungkin kini, diatas faktor budaya kehidupan modern yang menular disetiap benua dengan membawa suatu iklim kehidupan yang hampir sama diseluruh dunia dimana kehidupan hari ini dipenuhi dengan segala kemudahan-kemudahan yang wujud dari dunia modern seperti contohnya dari segala barang-barang elektronik yang memudahkan kehidupan seharian, keperluaan hidup mudah didapati samaada dari bahan makanan, pakaian-pakaian mahupun segala peralatan yang diperlukan, media-media yang membawa segala berita-berita dan seterusnya. Samaada seseorang itu berkemampuan memiliki kemudahan-kemudahan tersebut dengan cara tunai atau hutang, ia persoalan yang sama dimana-mana penjuru dunia hatta dinegara-negara maju.

Dari suatu sudut, dunia modern hari ini telah mengubah pola pemikiran insan dan cara hidupnya menuju suatu budaya globalisasi. Yang mana disetiap penjuru dunia, insan cuba mencapai apa yang dikatakan produk budaya terkini atau kehidupan yang dikatakan “update”, tetapi dari sudut lain, faktor ini juga membuka ruang untuk hegemoni atau dominasi budaya negara-negara maju terhadap negara yang membangun atau negara yang mundur. Dalam mana, masyarakat-masyarakat negara-negara yang membangun atau mundur biasanya bertindak mengambil apa sahaja dari negara-negara maju dan menganggap itu suatu corak hidup terkini yang wajar dicontohi (mungkin diatas sebab kesan dominasi budaya hidup dari zaman penjajahan) tanpa memahami dari apakah latar sesuatu budaya tersebut.

Contohnya budaya dari aliran musik rock & roll, rock dan seterusnya kepada aliran musik lain yang lahir darinya, ramai masyarakat diluar benua Amerika menganggap itu suatu budaya terkini, tambahan diatas kecenderongan sesetengah pihak kepada kehidupan masyarakat kulit putih yang dikatakan sentiasa terkini (update) kerana pengaruh hegemoni masyarakat kulit putih keatas dunia sesejak zaman penjajahan, sedangkan disebalik semuanya itu, irama musik-musik ini adalah berasal dari irama musik blues iaitu dari masyarakat kulit hitam yang merupakan hamba-sahaya dibenua Amerika suatu waktu dahulu. Aliran musik blues ini adalah irama yang berasal dari budaya hidup dipadang-padang kapas tempat masyarakat kulit hitam ditindas serta diperhambakan, sebagaimana juga irama musik jazz yang kini telah menguasai suatu taraf yang tinggi antara musik-musik dunia.

Hegemoni sesuatu budaya keatas budaya lainnya berlaku antaranya kerana perasaan inferio iaitu perasaan rendah terhadap budaya sendiri lalu mengambil budaya lain (cultural-cringe), seperti contohnya terdapat kalangan masyarakat Islam yang segan keatas kebudayaan Islamnya sendiri, lalu menganggap segala budaya yang datang dari luar, terutama dari masyarakat kulit putih adalah budaya terbaik membuat mereka meninggalkan kebudayaan Islamnya dan mengambil sepenuhnya corak hidup budaya lain, sedangkan ini menyebabkan mereka kehilangan pegangan mahupun jati-diri.

Berbalik kepada keadaan atau suasana mampu membentuk sesuatu kebudayaan, sebegitulah dunia modern hari ini yang tiada sempadan, telah membentuk suatu budaya hidup yang berlainan dari sebelumnya dimana-mana sahaja dipenjuru alam dan ini juga mempengaruhi mentaliti insan didunia hari ini. Hatta diMekah hari ini, keadaannya amat berbeza dari suatu waktu dahulu yang mana kini segalanya dalam bentuk budaya pasca-modenisme (post-modernism) tersendiri, sedang rohaniah beribadat masih kekal dikalangan hamba-hamba yang sentiasa ingin menuju kepada Penciptanya.

- Pasca-modenisme (Post-modernism) adalah dari perkataan: pasca bermaksud selepas, sesudah atau setelah manakala modernisme ialah konsep berkaitan hubungan insan dengan lingkungan sekitarnya di zaman modern.

Bersambung...

Thursday, September 23, 2010

Sembang budaya - 6

Fad, gaya atau trend adalah membudayakan sesuatu corak atau rentak hidup yang lazimnya hadir dalam keadaan menyemangatkan seseorang atau sesuatu kelompok masyrakat namun kemudiannya setelah waktu berlalu ia ditinggalkan mahupun diganti kepada corak atau rentak hidup yang lain.

Ia adalah suatu tingkah-laku yang timbul dari kecenderongan perasaan diatas sesuatu sebab seperti usia, minat atas sesuatu pengaruh, perasaan dalam mencuba meneroka suatu corak kehidupan, pendorong untuk menghasilkan suatu bentuk kreativiti, terkesan dengan suasana sekitar yang berlaku, perasaan seperti kehadapan atau maju atas kelainan gaya hidup, perasaan memberontak keatas sesuatu dan lain-lain.

Lazimnya juga, ia wajar sahaja dianggap bahawa itulah satu-satunya cara hidup yang hendak dituju dan itulah satu-satu cara hidup yang paling kehadapan seperti seorang anak muda yang hidup ditahun 80an dan mula berjinak-jinak dengan musik rock, maka padanya, tiadalah kehidupan tanpa berambut panjang dan bergitar, namun setelah waktu berlalu seperti setelah berusia dan melalui fasa kehidupan yang lain, terasa pula baginya suatu kelucuan bila anak-anaknya terkejut melihat gambar-gambar dirinya diwaktu muda berambut panjang.

Kesan dari fad,gaya atau trend adalah seperti sekumpulan anak muda yang mengikuti sesuatu aliran musik, maka terbentuklah budaya hidup mengikut fashion-fashion dari aliran musik tersebut dimana kecenderongan wajar sahaja mengubah segala perilaku, penampilan, cara bertutur bahasa, cara menghabiskan usia-usia seharian, cara bersosial, cara pemikiran yang dibentuk dan malah ia mampu memberi kesan kepada kepercayaan yang dipegangi bergantung bagaimana mendalamnya ia mengikuti aliran musik tersebut, kepada latar-belakang seperti keluarga yang mendidiknya serta suasana kehidupannya.

Contohnya, mungkin pada anak-muda berlatarkan keluarga yang beragama serta suasana kehidupannya dipenuhi mereka-mereka yang sentiasa berpesan-pesan kearah kebaikan, maka padanya, sesuatu aliran musik itu hanya suatu gaya mahupun minat dan bukan suatu pegangan hidup tetapi untuk anak muda lain yang tiada berlatarkan keluarga yang beragama yang membuat dirinya tidak tahu apa-apa tentang pegangan kepercayaannya serta dimana jiwanya kosong, maka aliran musik ini wajar sahaja mengambil tempat bukan sahaja sebagai budaya hidupnya tetapi sebagai pegangan kepercayaan hidupnya.

Ini kerana kenyataannya yang mana kesan dari sesuatu budaya yang dihidupkan didalam kehidupan seharian, bukan hanya pada lahiriah tetapi kepada rohaniah, dalam mana sesuatu kesan buruk darinya wajar meninggalkan padah seterusnya didalam kehidupan seseorang seperti contohnya anak-anak gadis yang mengikut suatu aliran kehidupan bebas dengan fashion dan musik terkini dan hidup penuh hiburan didiskotek-diskotek atau dikonsert-konsert dimana bercampur-gaul bebas antara bukan muhrim, berakhir dengan kehancuran moral yang menyebabkan dia mengandung anak-luar nikah atau diperhambakan oleh anasir-anasir jahat.

Disudut lain, ia wajar sahaja membawa kearah materialism atau jiwa kebendaan sebagai contoh budaya pop kultur (popular culture) iaitu penghasilan bahan-bahan yang tujuannya hanya untuk diperkenalkan (popular) dan dikonsumi oleh ramai pengguna. Dihasilkan dengan berbagai-bagai tarikan dalam mana kurang dititik-beratkan pada nilai dari sudut penghasilan suatu kesenian mahupun dari fitrah insaniah kerana lazimnya tujuan utamanya adalah mengaut keuntungan disamping memeriahkan aktiviti-aktiviti dalam masyarakat biarpun kebanyakan produk-produknya tiada bernilai langsung untuk suatu kehidupan.

Budaya popular juga disebut budaya plastik yang mana ringan, murah, berbagai-bagai warna "memancar" namun ia mudah rosak atau menjadi tidak menarik dalam waktu yang singkat biasanya diperkenalkan secara drastik oleh madia massa (mass media) dengan tujuan mencapai maksimum pelanggan diatas sesuatu produk-produknya.

Tidak dinafikan bahawa dari fad, gaya atau trend adanya kebaikan kerana ia mendorong suatu kreativiti, suatu semangat kehadapan, suatu yang membuat waktu-waktu hidup tidak dihabiskan dengan kosong serta malah sesuatu yang menjadi sumber pendapatan namun masaalahnya, ia lazimnya membuat individu atau masyarakat yang mengkonsumi sesuatu produk atau sesuatu aliran darinya, bakal menjadi mangsa-mangsa yang mana disumbatkan kepada mereka setiap waktu produk-produk yang wajar dimiliki atau dibeli sedang itu sebenarnya sesuatu yang tidak bermanfaat.

Contohnya, keluaran-keluaran berbagai aliran musik telah menghasilkan berpuluh juta jenis irama diseluruh dunia, yang lazim objeknya hanyalah untuk mengaut keuntungan atau untuk mempopularkan sesebuah band serta individu dimana kebanyakannya samaada tiada nilai disudut penghasilan sesuatu seni mahupun hanya membawa pengaruh-pengaruh negatif, tetapi diatas drastiknya sesuatu media massa memperkenalkannya dikalangan masyarakat umum, maka ramailah yang kehidupannya hanya digunakan untuk mengikut perkembangan-perkembangan musik-musik tersebut dimana segala tenaga, fikiran serta kewangan dikorbankan keatas itu dan ini jelaslah adalah suatu pembaziran yang amat besar serta mensia-siakan waktu kehidupan yang singkat didunia fana ini.

Bersambung...

Tuesday, September 21, 2010

Sembang budaya - 5

Budaya berfikir adalah antara tunjak kepada kewujudan sesuatu kebudayaan kerana asal perkataan budaya itu sendiri iaitu buddhayah, yang diambil dari bahasa Sanskrit (bermakna perkara-perkara yang berkaitan dengan budi dan akal insan), boleh diberikan erti juga bahawa kehadiran sesuatu kebudayaan adalah sebabnya dari pemikiran insan.

Budaya berfikir bukanlah bermaksud angan-angan kosong, termenung membuang waktu atau berfikir atas sesuatu sebab seperti rindu, dendam, benci, dengki dan sebagainya tetapi lebih diertikan kepada pemikiran yang membina sesuatu seperti penghasilan idea-idea mahupun pandangan-pandangan yang bernas, mencari penyelesaian keatas sesuatu masaalah (brainstorming), menghuraikan sesuatu yang bermakna buat kehidupan, visionari, daya kreatif, innovasi, pemikiran yang menghasilkan bahan-bahan penulisan ilmiah, memikirkan cara menyelamatkan umat dan seterusnya.

Budaya berfikir kenyataannya juga bukanlah milik segelintir masyarakat seperti golongan elit, para seniman, think-tank, pihak atasan dan sebagainya tetapi ia adalah milik setiap insan hatta kanak-kanak seharusnya dilatih agar memiliki budaya berfikir dalam konsep yang membawa kearah hidup yang positif. Memperkatakan budaya berfikir hanya milik sekelompok insan atau hanya buat segelintir masyarakat samalah dengan seorang pelukis yang memperkatakan bahawa seni itu hanyalah berbentuk lukisan, sedangkan apa yang diperkatakan adalah suatu kesilapan diatas ketiada-fahamannya akan erti sebenar seni.

Berfikir hakikatnya adalah fitrah insan, dalam mana tanpa menggunakan fikiranya saban waktu, jadilah kewujudannya seperti haiwanat didunia ini. Menegah budaya berfikir adalah suatu kezaliman yang amat besar, kerana budaya berfikir itu adalah hak setiap insan. Hanya apa yang wajar diusahakan adalah sempadan atau pedoman buat budaya berfikir kerana tanpa sempadan atau pedoman, insan akan mencipta kehancuran demi kehancuran dari pemikirannya biarpun pada awalnya ia menyangka itu membawa kebaikan, sebagaimana telah termaktub dalam sejarah demi sejarah kehidupan insan.

Apa yang difikir insan adalah asasnya dari pandangan semesta (Weltanshauung), iaitu persepsi terhadap dunia yang dipenghunikan atau kefahamannya akan apa dan bagaimana kewujudan segala dalam alam hidupnya, dalam mana dari situlah insan membina seterusnya suatu kebudayaan dan kebudayaan ini kemudiannya mampu mempengaruhi serta memberi kesan pada pemikiran mahupun cara hidup pada insan lain atau generasi seterusnya.

Seperti suatu pusingan ekologi sistem contohnya awan yang menurunkan hujan, lalu airnya yang mengalir atau bertakung akan membantu kehidupan dialam ini, kemudiannya tersejat keudara menjadi awan dan awan ini menurunkan kembali air tersebut sebagai hujan dalam pusingan ekologinya, sebegitulah misalnya akan fikir insan itu mampu mencipta suatu budaya dan budaya ini pula kemudianya mampu mempengaruhi akan cara insan untuk berfikir seterusnya.

Pandangan semesta samaada dari individu mahupun masyarakat adalah dari keunikan gabungan pengalaman-pengalaman buat alam yang diduduki dimana pengalaman-pengalaman ini kemudiannya menjadi kutipan-kutipan yang bersambung-sambung dari satu masa kesatu masa atau dari suatu generasi kesuatu generasi. Dalam kata lain, apa yang diketahui hari ini serta apa yang terbina hari ini, asalnya adalah dari pengalaman-pengalaman insan-insan yang lepas terutama bila adanya catitan-catitan atau data-data yang tersimpan dan dapat disampaikan seterusnya kepada generasi-generasi kemudian.

Seperti contohnya peta dunia atau rupa akan bentuk muka bumi yang diduduki, suatu waktu dahulu, insan dari pengalamannya hanya mengetahui apa yang dapat dicapai oleh pandangan mata-kasarnya, kerana itu ada yang menganggap dunia ini bentuknya seperti diatas sebuah papan yang mana bila seseorang berjalan kehujung dunia, ia akan terjatuh dari papan tersebut, namun kemudian diatas pengalaman bahawa tiada pula berlaku kejatuhan bila insan mengembara atau berlayar ketempat apa yng dianggap dahulunya hujung dunia, mengubah akan persepsinya tentang keadaan dunia ini. Lalu juga kemudiannya dari pengalaman-pengalaman insan yang kerap bergerak keseluruh sudut dunia maka terciptanya peta-peta akan rupa bentuk dunia ini. Proses sebegini akhirnya menghasilkan suatu persepsi yang pasti akan rupa-bentuk alam ini, apatah lagi buat generasi kini yang dapat melihat bentuk alam ini dari sudut jauh diangkasa.

Pandangan semesta atau persepsi tentang alam ini buat individu mahupun masyarakat akan sentiasa berkembang atau menjadi luas akan pengertian setiap sesuatu dialam ini terutamanya dizaman ini yang mana dunia semakin mengecil dengan segala kemudahan modern seperti dari sudut mudahnya mengakses data berkenaan sesuatu bahan, mudahnya untuk berkomunikasi dari segala penjuru dunia, adanya pengangkutan untuk bergerak kemana-mana dan pantas, sudut teknologi yang semakin maju dimana-mana dan seterusnya.

Namun apakah semua itu membantu insan mencapai suatu pemikiran yang tinggi, maju bertamadun dan membina segala kebaikan buat diri juga buat alam yang diduduki sedangkan apa yang terjadi adalah sebaliknya iaitu pencemaran misalnya dari sudut pemikiran mahupun budaya hidup yang dicipta oleh insan dari masa kesemasa. Alam yang didudukinya ini pun semakin tenat diatas pencemaran yang berterusan dilakukan insan, dalam mana biarpun ada usaha untuk memulihkannya atau meminimumkan pencemaran tersebut namun aktiviti-aktiviti terutamanya dari sudut komercial (yang berterusan melakukan pencemaran seperti pencemaran udara, air dan lain-lain) adalah saban hari lebih besar dari usaha pemulihannya.

Sebagaimana biarpun ada aktiviti-aktiviti insan untuk memulihkan budaya berfikir dikalangan insan, namun jiwa kebendaan atau jiwa tamak insan lain wajar memusnahkan atau menenggelamkan proses-proses pemulihan ini. Seperti contohnya, ada kalangan para seniman yang berusaha menggunakan wadah seni dalam memperkatakan mahupun memperjuangkan sesuatu yang hak, tetapi terpaksa berdepan dengan berjuta-juta pihak yang lain yang menggunakan wadah seni hanya untuk mengaut keuntungan atau kepopulariti semata-mata dengan menghalalkan apa sahaja cara untuk itu biarpun caranya adalah menghancurkan serta merendahkan sendiri tentang apa itu erti sebenar suatu seni.

Justeru itu, dalam menghidupkan budaya berfikir, perlunya suatu garisan sempadan atau pedoman buat insan yang mana dengan itu, dapat ia seperti menilai pandangan semestanya dengan sesuatu yang hak lalu membaiki, membentuk, menapis unsur-unsur negatif disamping memahami kebenaran dan berdiri diatas kebenaran. Dan didalam ajaran agama Islam, telah ditunjukkan akan apa itu sempadan serta pedoman untuk insan menghadirkan budaya fikirnya.

Bersambung...

Sunday, September 19, 2010

Sembang budaya - 4

Bahasa memainkan elemen penting dalam sesuatu kebudayaan kerana ia adalah suatu alat utama dalam komunikasi mahupun dalam catitan-catitan atau gambaran-gambaran tentang segala yang berkaitan tentang sesuatu kehidupan atau sesuatu kebudayaan. Bahasa juga dikatakan jambatan antara peradaban dengan kebudayaan.

Bahasa iaitu samaada berbentuk tulisan, lisan (bunyi-bunyian), gerakan bahasa isyarat, gambaran-gambaran, lakaran-lakaran dan seterusnya yang berkaitan dengan komunikasi dalam tujuan menyampaikan sesuatu maksud atau menampilkan sesuatu, kini telah berada diera yang mana segala bentuk-bentuk tersebut dapat disatukan seperti melalui filem-filem, slide-show dan lain-lain, dan dapat disebarkan melalui internet dalam beberapa saat sahaja keseluruh penjuru dunia.

Bagaimana pun, asas utama bahasa adalah yang diungkapkan melalui lisan (bunyi-bunyian) atau tulisan merupakan suatu warisan asas dalam pengenalan akan kebudayaan bersama untuk sesebuah bangsa atau kaum. Dalam kata lain, penggunaan sesuatu bahasa wajar sahaja mencerminkan gambaran rupa akan kebudayaan sesebuah bangsa.

Lazimnya sesebuah bangsa mempunyai suatu bahasa induk untuk menyatukan mereka dalam suatu masyarakat biarpun didalamnya terdapat berbagai-bagai bentuk budaya seperti multi-kultur, yang mana bahasa induk tersebut memainkan peranan sebagai penyatuan buat semua budaya dibawahnya hingga terbentuk suatu kebudayaan bangsa sesebuah negara. (Hanya terkecuali negara Switzerland kerana sesejak awal pembentukann negaranya yang kini telah berusia lebih 700 tahun, ia adalah gabungan daerah berbahasa German, daerah berbahasa Perancis, daerah berbahasa Itali dan Suise Romance membuatnya memiliki 4 bahasa kebangsaan dan sebagai negara neutral ditengah-tengah Eropa)

Ini kerana bahasa memainkan suatu elemen penting dalam membantu pembentukan peradaban kebudayaan sesebuah bangsa yang sebagaimana contohnya diEropa, buku-buku berbahasa Yunani dan Latin diterjemahkan kedalam bahasa-bahasa Eropa yang lain sehingga banyak perkataan Yunani dan Latin dipinjam kedalam bahasa Inggris, German dan sebagainya serta kemudiannya juga buku-buku ilmiah dari dunia Islam yang berbahasa Arab diterjemahkan kedalam bahasa-bahasa Eropa yang mana ini semua membantu membentuk peradaban proses kebudayaan baru Eropa.

Sebegitu juga dengan bangsa Jepun yang membawa buku-buku ilmiah dari dunia Eropa dan diterjemahkan kedalam bahasa Jepun sehingga membantu proses kebangkitan peradaban buat kebudayaan bangsa Jepun dan seterusnya mampu setanding mahupun mengatasi peradaban Eropa.

Contoh lain adalah Korea atau China, menggunakan bahasa mereka dalam proses mengekalkan serta meningkatkan kebudayaan mereka. Mungkin China berbeza sedikit kerana kebudayaannya yang ada hari ini lebih kepada kebudayaan yang wujud dari ideologi Komunis, dimana sewaktu awal revolusi Komunisnya, kaum muda ditanah China begitu keras untuk menghapuskan segala kebudayaan warisan mereka sehingga banyaknya pertumpahan darah serta penyiksaan dilakukan kepada mereka yang dipanggil kaum tua, iaitu pihak yang cuba mempertahankan kebudayaan warisan China. Dalam begitu pun, ideologi Komunis diserapkan dalam kebudayaan China dengan perantaraan bahasa Cina sehingga menghasilkan suatu peradaban kebudayaan komunis China.

Langkah-langkah mengekalkan bahan-bahan ilmiah kekal didalam bahasa asing tanpa menterjemahkannya kedalam bahasa sendiri, menyebabkan hanya sekelompok yang boleh berbahasa asing sahaja dapat mengakses bahan ilmiahnya manakala yang lain hanya bergantung kepada yang memahami bahasa asing tersebut dan ini wajar membuat sesuatu proses peningkatan peradaban dalam rangka kebudayaan sendiri bergerak perlahan atau ketinggalan dalam arus dunia yang semakin pantas bersaing antara satu sama lain.

Atau disudut lain, (contohnya dalam menanam budaya membaca) kesilapan adalah menterjemahkan banyaknya buku-buku dari bahasa asing yang bukan bahan ilmiah seperti novel cinta, novel seram dan lain-lain yang mana bahan bacaan ini kurang membantu peningkatan proses peradaban dalam rangka kebudayaan sendiri dikalangan rakyat marhain, sedangkan yang membantu proses peningkatan kebudayaan seperti buku-buku yang mengandungi bahan ilmiah atau juga seperti kitab-kitab agama contohnya karangan ulama-ulama tersohor Ahlu Sunnah wa Jamaah, tidak diterjemahkan dengan banyak, mahu pun diletakkan harga yang terlalu tinggi untuk buku yang diterjemahkan, membuat hanya segelintir sahaja yang berpeluang memiliki buku-buku tersebut.

Maka kesan seterusnya iaitu pihak awam yang tidak memahami bahasa Arab atau bahasa-bahasa asing yang lain serta tidak berkemampuan untuk memiliki buku-buku terjemahan bahan ilmiah yang tinggi harganya akan meminggirkan usaha untuk menggali bahan ilmiah dari dunia luar mereka dan ini jelas telah merugikan proses peradaban kebudayaan bangsa Melayu.

Sedang bila sebaliknya banyak usaha-usaha menterjemahkan bahan-bahan ilmiah kedalam bahasa Melayu seperti contohnya menterjemahkan Al Quran kedalam bahasa Melayu sewaktu dahulu, maka ia telah mendorong kepada peningkatan kefahaman agama Islam serta membantu penyebaran agama Islam itu sendiri dirantau Nusantara dalam mana juga, banyaknya perkataan-perkataan Arab dipinjam dalam kamus bahasa Melayu. Dan ini membantu membentuk peradaban kebudayaan Melayu-Islam sebagaimana yang dikenali hari ini.

Bersambung...
Btn_brn_77x28

Tajuk

Abbasiyah (1) altruisme - ikram (3) Aqidah (1) art video (20) Austronesia (10) Bahasa dan penampilan (5) Bangsa Melayu (7) batas sempadan (9) Berita (15) Besi (1) Biography solihin (1) Budaya dan pengertiannya (16) catitan (2) cerdik/bodoh dan antaranya (6) cetusan minda (8) cinta dan syahwat (3) Doha - Qatar (2) Eid Mubarak (5) falsafah (2) Fantasia falasi (3) Fibonacci (1) Filem (2) fitrah (1) Fungsi seni (1) gangsa (1) hukum (6) huruf (2) hutang (1) ijtima (1) Iklan (2) imitasi dan memori (1) infiniti (5) jalan2 (2) kebangsaan/nationalisme (2) kebebasan bersuara (1) Kelahiran kesenian yang mengubah warna dunia. (1) Kembali sebentar tentang erti seni (Islam) (1) kerja otak (1) Kesenian dunia Islam (1) komunikasi (1) konsep kendiri (3) konspirasi (1) Lagu (1) Lentok tangan (1) Malaysia (3) Masa (10) Maslahah atau mafsadah (1) Maya (ilusi) (4) Melaka (1) Melayu (2) Melayu dan Islam (9) minda (2) musik (2) nukilan rasa (1) Pantang dalam berkarya (1) Pause (6) Pembetulan sejarah (3) Pengajian dan pengertian budaya (1) Perasaan dan pemikiran (5) Persepsi / Tanggapan (6) pointillism (2) populasi dunia (9) Produk sejarah (11) Program dan hayat (2) prosa (4) ramadan (2) realiti - kenyataan (7) Sajak (22) Sangkaan (2) sebab dan akibat (18) sejarah (14) sejarah Islam Nusantara (1) sejarah Melayu (4) Sejarah mengubah/terubah (5) Sejarah seni dalam kehidupan insan (1) Sejarah video (1) Seni Bahasa (2) Seni dalam imiginasi (1) seni kata (1) Seni logam (3) Seni textil (budaya berpakaian) (2) Seni-seni mempertahankan diri (1) sound (1) Srivijaya (3) Sunda (6) Tahap kesederhanaan (1) Tahap-tahap kehidupan (14) tenung bintang (1) Terkesan dengan suasana (2) Tradisional dalam makna (1) Ukuran dan kayu pengukurnya (2) updated (1) Usia manusia (3) vision (1) wang (7) Wujudkah kosong? (2) zarzh slide (12)

Catitan lalu

Insuran & Road Tax Online

tetangga