Thursday, April 26, 2007

Sejarah seni dalam kehidupan insan- 1

Seni atau apa yang dikatakan bidang kesenian adalah suatu bahagian dalam kesampingan kehidupan yang dilalui oleh manusia didunia ini. Hadir diatas permintaan untuk memenuhi kehidupan harian mahupun juga dihadirkan atas cita-rasa insan yang mempunyai naluri tersendiri. Dan iainya hadir dalam berbagai bentuk hasil aktiviti-aktiviti kehidupan insan itu sendiri.
Selalunya ia membantu mengindahkan, memudahkan mahupun membina pemikiran yang cergas, namun tidak juga dinafikan bahawa kekadang kehadirannya dalam bentuk yang salah mampu memberi kesan yang mengundang keburukan pada kehidupan insan itu sendiri.
Sebagai misalnya, kehadiran awal seni membina atau melakar bentuk-bentuk mahluk hidup yang mana bermula seawal sejarah insan itu sendiri. Bermula antara zaman Nabi Adam dengan zaman Nabi Nuh. Antara Nabi Adam dan Nabi Nuh, diberitakan oleh Ibn Abbas adalah sepuluh "Qarn", iaitu sepuluh kurun atau sepuluh keturunan, dan didalam jarak ini, lahirnya beberapa generasi solehan. Antaranya adalah Wadd, Yaghuth, Yakuq, Suwa dan Nasr. Wadd merupakan yang tertua, terpintar serta tinggi darjat kesolehannya.
Namun selepas kematian para-para solehan ini, syaitan membisik dan mengilhamkan generasi seterusnya untuk membina sesuatu buat mengenangkan mereka. Mulanya diukir patung-patung yang mirip bentuknya mahupun melakar gambar-gambar serta memanggil-manggil seperti mengarang kata-kata yang indah buat mengenang para-para solehan ini. Malah untuk memanggil hujan pun, disebut-sebut nama-nama mereka.
Setelah berlalu beberapa generasi, akhirnya generasi kemudiannya mengangkat para-para solehan tersebut setaraf dengan Allah (Nauzubillah), dan tenggelamlah insan diwaktu itu dibawah kesyirikan sehinggalah kehadiran Nabi Nuh yang menyeru kembali insan agar menyembah Allah yang esa.
Berhala-berhala dalam bentuk-bentuk rupa Wadd, Yaguth, Yaquq, Suwa dan Nasr adalah berhala-berhala yang mula-mula disembah oleh insan yang hidup dalam kesyirikan dan sejarah telah membuktikan, perkara-perkara sebegini kerap berulang, lantaran itu, Islam hadir dengan syariat-syariat yang ditunjukkan oleh Nabi Muhamad s.a.w, bukan sahaja membimbing insan sekalian kearah kebenaran, malah melindungi agar kealfaan atau kesilapan yang lalu tidak berulang.

Wednesday, March 14, 2007

Tahap kesederhanaan seni- 1.

Jalur seni didalam Islam itu sendiri adalah berlandaskan kesederhanaan samaada dari segi penampilannya hingga kepemikirannya. Disini kita akan bertanya, apakah erti kesederhanaan, dan pertanyaannya kekadangnya akan kembali pada pengertiaan melalui tahap perjalanan kehidupan harian dan pemikiran seseorang insan.
Untuk tahap lumrah buat sekelian insan, tahap kesederhanaan adalah sama seperti tahap suhu badan seseorang insan biasa, adalah 37 darjah dan bila suhunya meningkat hingga ketahap ekstrim panasnya, maka kita akan mengalami deman panas bahkan keperingkat membahayakan tubuh badan, manakala bila suhunya menurun, akan menganggu juga kesihatan diri, sehingga keperingkat yang boleh meragut nyawa.
Untuk tahap kesederhanaan yang terikat pada suasana disekitar, ianya bergantung kepada keadaan sekelilingnya seperti bila kita berada hampir dengan kutub utara maka kita akan mengalami suatu cuaca yang terlalu sejuk, hanya mereka yang biasa tinggal disitu (Eskimo), dapat menyesuaikan diri mereka sebaliknya juga, bila kita berada digurun sahara, cuacanya pula terlalu panas yang mana tubuh badan kita pun tidak sanggup menanggungnya, kecuali mereka yang biasa menetap disitu seperti kaum Nomad Badawi.
Seterusnya untuk tahap cita-rasa yang berkait dengan tahap lumrah biasa seorang insan dan juga tahap yang berkaitan dengan keadaan suasana sekitar adalah misalnya seperti bila seseorang itu biasa memakan makanan yang pedas rasanya, kerana setiap hari dijamu sebegitu, tambahan pula suasana sekitar dari ahli keluarga yang biasa memakan makanan yang pedas, bila dihidangkan dengan makanan yang tiada berasa pedas, maka terasalah dia akan suatu kekurangan yang besar dalam makanannya dan ini memotong selera makannya walaupun dia tahu bahawa makanan pedas tersebut tidak baik untuk penyakit ulsernya. Sebaliknya bila seseorang itu biasa dihidangkan dengan makanan yang tidak pedas, maka terasalah dia kepedasannya dan sampai kesuatu peringkat, makanan tersebut terpaksa ditinggalkannya kerana terlalu pedas, walaupun kini telah dibuktikan oleh para sainstis, cili dapat membantu membunuh sel kanser tanpa meninggalkan kesan buruk pada sel yang lainnya dibandingkan dengan ubat-ubatan melawan kanser yang biasa..
Misal-misal diatas adalah persamaan dengan kehidupan yang kita lalui, alami atau rasai mahupun kita fikirkan, dapat mencorakkan pengertan dan cita-rasa seseorang tentang tahap kesederhanaannya. Apa yang kita yakini, yang kita pelajari, yang kita dengar, lihat mahupun suasana kehidupan yang kita tempuhi adalah sumber yang membuat kita memutuskan apakah tahap sesuatu itu.
Susana kehidupan dunia dari sejarah silam hingga kehari ini, menunjukkan manusia hidup didalam tahap-tahap kehidupan yang dilalui. Seperti ada yang terlalu mengejar duniawi, berhempas-pulas bekerja lebih waktu untuk mendapatkan dan memperagakan duniawinya dengan apa sahaja yang memuaskan nafsu duniawinya. Manakala disudut lain, ada yang meninggalkan dunia terus-menerus seperti tidak membenarkan dirinya berkahwin.
Jesteru itu, ajaran Islam sendiri adalah berlandaskan kesederhanaan dan kesederhanaannya bukan ditahap-tahapkan melalui suasana atau cita-rasa seseorang, tetapi melalui tahap petunjuk yang ditunjukkan oleh Nabi Muhamad s.a.w. Misalnya didalam tahap makanan, dianjurkan memakan makanan yang baik, namun dilarang memakan berlebih-lebihan dan malah ditegah untuk mereka yang berpuasa berterus-terusan. (Kecuali mereka yang benar-benar tidak berkemampuan untuk bernikah, untuk mengawal nafsu dari menjurus kearah yang mengundang perzinaan, dibenarkan berpuasa berterusan) Sebegitu juga dalam berpakaian, dianjurkan tidak berpakaian bermewah-mewahan seperti kain sustera untuk kaum lelaki, tetapi tidak juga digalakkan berpakaian yang terlalu comot dan kotor, apatah lagi yang menunjukkan aurat diri.
Dari situ juga, dapat difahami tahap kesederhanaan dalam berseni didalam Islam, yang mana dilarang seni-seni yang berlebih-lebihan seperti melukis bentuk-bentuk mahluk hidup, memaparkan sesuatu yang ganas, hiburan-hiburan melampau seperti konsert-konsert yang bercampur lelaki dan wanita yang bukan muhrim, pembaziran dari sudut kewangan, tulisan-tulisan yang tidak berakhlak yang ditulis samaada dalam bentuk puitis, cerpen, novel dll, manakala tidak ditegah menghasilkan seni-seni seperti menulis syair-syair kecintaan pada Allah dan RasulNya, menulis puisi, cerpen, novel dll tentang kebenaran, lukisan-lukisan yang indah tentang alam mahupun inspirasi diri, nat atau gurindam tanpa alat-alat instrument (melainkan gendang dan yang sepertinya), ukiran-ukiran geometrik mahupun ayat-ayat Al Quran dll.

bersambung...insyaallah..

Friday, February 09, 2007

Pantang dalam berkarya

Segala yang ada didalam alam ini adalah makhluk Allah, yang mana tercipta secara spontan menurut perintah Allah, "kun fayakun- jadi, maka terjadilah ia". Allah yang mencipta segalanya adalah amat berbeza dari segala makhluk yang diciptaNya, "Walam yakullahu kufuan ahad- dan tiada suatu apa pun yang menyerupaiNya".
Dan inilah hakikat sebenarnya, iaitu perbezaan ketara antara makhluk dan Khaliq.

Segala dilangit mahupun dibumi adalah makhluk ciptaan Allah, dalam mana semuanya tertakluk pada proses-proses kemahlukkan. Allahlah yang berkuasa mutlak meminda, merubah menghidupkan, mematikan, membesarkan, menggecilkan dan melakukan apa sahaja kepada bentuk rupa ciptaanNya.

Segala sebab untuk terjadinya apa sahaja adalah dibawah keizinanNya.
Hakikat yang sebenar bahawa tiada yang menyerupai Allah, adalah tahap larangan untuk mahlukNya dari mengambarkan rupa Allah, memikirkan zat Allah, mahupun menyamakan Allah dengan sesuatu dialam ini samaada dalam bentuk tulisan seperti karya-karya novel, puisi-puisi, dalam lukisan-lukisan, ukiran-ukiran dan seterusnya.
Bayangkan hanya sifat rahmat Allah, yang mana menurut suatu hadis, rahmat yang diturunkan didunia ini oleh Allah, hanyalah satu peratus dari rahmat Allah, yang mana disebarkan keseluruh alam, sehinggakan seekor binatang buas, tidak akan memijak anaknya (kerana adanya sifat rahmat dihatinya kepada anaknya). Selebihnya, adalah untuk hari pembalasan, yang mana segalanya memerlukan rahmat Allah lantaran dahsyat dan ngerinya hari pembalasan tersebut.
Jadi, cukuplah untuk kita membayangkan sifat-sifat kebesaran Allah yang mana lahir dari Asma Ul Husna, nama-nama mulia Allah, manakala untuk kita memikirkan zat-zat Allah, tiadalah kita berkemampuan.
Akal manusia itu sendiri adalah terbatas sebagaimana segala fizikal yang dimilikinya, hatta mengunakan alat-alat pembantu. Seseorang itu, bila dijamu makanan, berapa pinggang yang mampu dimakan, dua-tiga pingang nasi, dan kemudiannya, tidaklah berkemampuan untuknya menyambung memakannya, kerana perutnya penuh, perutnya yang mempunyai batas-batas kemampuan. Sebegitulah dengan akalnya, yang sentiasa terbatas dalam ruang sebagai mahluk yang lemah.
Jadi, dalam hakikat ini, amatlah mustahil untuk seseorang itu menghasilkan karya samaada dari hati-fikirannya atau ditiru dari yang lainnya, buat rupa Allah seperti penghasilan berhala-berhala dari ukiran kayu-kayu atau batu-batu oleh artis-artis dizaman Jahilliyah.

Wednesday, December 06, 2006

Kesenian dunia Islam

Kesenian yang dihasilkan dalam dunia umat Islam, lazimnya suatu kesenian yang bercorak saujana atau sebagai "seni infiniti" (tanpa sempadan). Biarpun pada lahirnya kelihatan terikat pada aturan-aturan seperti tiadanya bentuk-bentuk mahluk hidup, tetapi dari sebalik itu, wujudnya suatu seni yang berpadu pada imaginasi penghasilnya sendiri tanpa atau kurang terkesan pada suasana mahupun mahluk sekitarnya. Sebagaimana penyataan estetik yang dinamakan "Arabesque", iaitu antara contohnya adalah lakiran, ukiran atau lukisan berbentuk geometrik yang dibentuk berulang-ulang atau sambung-menyambung, atau kekadang diselangi dengan tulisan-tulisan khat dari huruf Arab (Jawi), merupakan suatu identiti yang selaras dengan prinsip-prinsip estetik ideologi Islam. "Arabesque", memancarkan suatu penghasilan nilai saujana (infiniti) untuk pemerhatinya, iaitu sesuatu yang dihidangkan diluar lingkungan ruang-masa.
Penafsiran terhadap kesenian Islam yang menolak seni yang membabitkan bentuk mahluk hidup, kekadang juga melahirkan seni berbentuk "abstrak", iaitu melahirkan bentuk-bentuk atau adunan warna-warna yang penuh rahsia tersendiri. Sayugia ditekankan, dalam Islam, segala ciptaan Allah adalah indah dan mempunyai ciri-ciri tersendiri, lantas itu, tidaklah wajar bagi seorang Islam menghina atau memandang buruk pada mahluk-mahluk ciptaan Allah, dan penghasilan seni-seni Islam bukanlah untuk menandingi kehebatan ciptaan Allah, malah asas penghasilan seni-seni Islam adalah untuk mengajak pemerhati mengerti akan kebesaran dan kehebatan Allah, disamping mensyukuri anugerah Allah yang mana membenarkan setiap insan melahirkan atau menzahirkan sesuatu menurut ilham individu samaada diatas kertas, diukiran kayu-kayu dan seterusnya dan dalam mana berpandu pada garis-garis petunjuk yang ditunjukkan oleh Nabi Muhamad s.a.w.
Seni-seni mahupun kebudayaan menyeluruh selain daripada Islam biasanya menganggap dan menumpukan manusia sebagai "ukuran bagi semua perkara", atau alam satu-satunya penentu, manakala seni-seni mahupun kebudayaan menyeluruh Islam adalah sebaliknya iaitu berasaskan pada tumpuan untuk Allah, dan sifat-sifat AgungNya, disamping penghormatan keatas kemuliaan maqam yang diduduki oleh Nabi Muhamad s.a.w. sebagai Nabi terakhir yang diutus sebagai rahmat untuk sekelian alam. Dan dengan itu juga, lazimnya seni-seni mahupun kebudayaan menyeluruh didalam Islam mempunyai matlamat yang sama atau selari dengan matlamat Al Quran, iaitu mengajar dan memperkukuhkan wawasan setiap insan tentang matlamat atau maksud arah tuju sebenar hidupnya didunia yang sementara ini.
Btn_brn_77x28

Tajuk

Abbasiyah (1) altruisme - ikram (3) Aqidah (1) art video (20) Austronesia (10) Bahasa dan penampilan (5) Bangsa Melayu (7) batas sempadan (9) Berita (15) Besi (1) Biography solihin (1) Budaya dan pengertiannya (16) catitan (2) cerdik/bodoh dan antaranya (6) cetusan minda (8) cinta dan syahwat (3) Doha - Qatar (2) Eid Mubarak (5) falsafah (2) Fantasia falasi (3) Fibonacci (1) Filem (2) fitrah (1) Fungsi seni (1) gangsa (1) hukum (6) huruf (2) hutang (1) ijtima (1) Iklan (2) imitasi dan memori (1) infiniti (5) jalan2 (2) kebangsaan/nationalisme (2) kebebasan bersuara (1) Kelahiran kesenian yang mengubah warna dunia. (1) Kembali sebentar tentang erti seni (Islam) (1) kerja otak (1) Kesenian dunia Islam (1) komunikasi (1) konsep kendiri (3) konspirasi (1) Lagu (1) Lentok tangan (1) Malaysia (3) Masa (10) Maslahah atau mafsadah (1) Maya (ilusi) (4) Melaka (1) Melayu (2) Melayu dan Islam (9) minda (2) musik (2) nukilan rasa (1) Pantang dalam berkarya (1) Pause (6) Pembetulan sejarah (3) Pengajian dan pengertian budaya (1) Perasaan dan pemikiran (5) Persepsi / Tanggapan (6) pointillism (2) populasi dunia (9) Produk sejarah (11) Program dan hayat (2) prosa (4) ramadan (2) realiti - kenyataan (7) Sajak (22) Sangkaan (2) sebab dan akibat (18) sejarah (14) sejarah Islam Nusantara (1) sejarah Melayu (4) Sejarah mengubah/terubah (5) Sejarah seni dalam kehidupan insan (1) Sejarah video (1) Seni Bahasa (2) Seni dalam imiginasi (1) seni kata (1) Seni logam (3) Seni textil (budaya berpakaian) (2) Seni-seni mempertahankan diri (1) sound (1) Srivijaya (3) Sunda (6) Tahap kesederhanaan (1) Tahap-tahap kehidupan (14) tenung bintang (1) Terkesan dengan suasana (2) Tradisional dalam makna (1) Ukuran dan kayu pengukurnya (2) updated (1) Usia manusia (3) vision (1) wang (7) Wujudkah kosong? (2) zarzh slide (12)

Catitan lalu

Insuran & Road Tax Online

tetangga