Sunday, February 14, 2010

Perihal hukum - 5


Hukum syarak atau hukum syar´i (hukum fiqh) lazimnya diketahui adalah peraturan-peraturan didalam agama Islam yang merupakan perintah Allah dibawa oleh Nabi Muhamad yang diambil sumber atau dalilnya iaitu Al Quran, Hadis, Ijma` dan Qiyas.

Hukum syarak adalah peraturan buat setiap orang Islam yang akil-baligh (cukup umur) serta berakal sihat dalam mana secara ringkasnya, hukum ini bergantung kepada sebab, syarat serta tegahan-tegahannya. Dan adalah wajib untuk setiap muslim lelaki mahupun wanita mempelajarinya.

Contohnya diwajibkan melakukan solat 5 waktu sehari disebabkan umur telah mencapai akil-baligh, masuknya waktu solat yang merupakan syaratnya disatu-satu waktu dan tidak untuk wanita yang datang haid atau bersalin yang merupakan tegahan. Hukum syarak terbahagi kepada 7 bahagian iaitu wajib atau fardu, sunnat, haram, makruh, mubah atau halal, sah dan batal.

Wajib atau fardu adalah sesuatu hal atau perkara yang mesti dilakukan oleh setiap akil-baligh orang Islam samaada lelaki mahupun wanita. Melakukannya mendatang pahala manakala meninggalkannya akan mendapat dosa.

Sunnat adalah sesuatu hal atau perkara yang bila melakukannya mendapat pahala namun bila meninggalkannya tidak pula mendapat dosa, hanya kerugian pada diri kerana setiap sunat itu besar ganjarannya dan malah untuk kebaikan diri seperti solat tahajud, berzikir dan lain-lain.

Haram adalah sesuatu hal atau perkara yang dilarang untuk setiap muslim lelaki mahupun wanita untuk melakukannya. Melakukannya mendapat dosa manakala meninggalkannya mendapat pahala.

Makruh adalah sesuatu hal atau perkara yang tidak digalakkan untuk melakukannya namun tidak berdosa bila melakukannya.

Mubah atau halal adalah sesuatu hal atau perkara yang tidak dilarang didalam agama Islam manakala bila dikaitkan dengan makanan, ia bermakna hanya makanan halal yang boleh dimakan.

Sah bermakna lengkaplah syarat serta rukun-rukun untuk penerimaan sesuatu tersebut manakala batal bermakna sebaliknya iaitu rosak atau tidak diterima sesuatu tersebut kerana kurangnya syarat mahupun kurang rukunnya.

Dalam pada itu, terdapat perbezaan antara perkataan hukum syariah dengan hukum fiqh yang mana untuk pengertian syariah sendiri, ia adalah terlalu luas maknanya, manakala dalam konteks hukum syariah adalah peraturan yang bersumberkan nash yang qat`i manakala fiqh adalah peraturan bersumber dari nash yang zanni.

Ringkasnya, nash qat´i iaitu bersifat pasti dan tidak mengalami perubahan yang mana tidak mungkin dilakukan penafsiran atau ijtihad dan tiada perbezaan pendapat antara ulamak sebagai contoh, kewajipan bersolat, dalilnya adalah qat´i iaitu dirikan solat "aqimussolat". Manakala ringkasnya makna nash zanni adalah sumber atau dalil yang adanya terbuka ruang untuk berbagai tafsiran atau ijtihad dan ini hanya mujtahid seperti Imam-imam mahzab yang layak melakukannya.

Contohnya seperti berpuasa dibulan Ramadan, nashnya qat`i tetapi bila bermulanya bulan ramadan, nashnya zanni kerana perkataan melihat anak bulan mengandungi penafsiran sebegitu juga memulai solat dengan niat adalah nash qat´i tetapi samada niat itu dilisankan dengan ushalli atau cukup didalam hati, nashnya zanni yang membuka perbezaan pendapat tentang itu.

Kerana itu pentingnya berpegang atau bertaqlid pada sesuatu mahzab dari antara empat mahzab Ahlu Sunnah wal Jamaah iaitu Mahzab Hanafi, Mahzab Maliki, Mahzab Syafii mahupun Mahzab Hambali terutama kepada masyarakat awam, kerana tanpa bertaqlid pada sesuatu mahzab, maka masing-masing wajar sahaja menafsir dengan pemikirannya sendiri dan ini amat merbahaya serta menimbulkan fitnah dikalangan umat Islam.

Hatta didalam Mahzab Syafii, biarpun qiyas dibenarkan untuk menetapkan sesuatu hukum namun tertolaknya dasar istihsan iaitu seperti fatwa yang dikeluarkan oleh seorang faqih (ahli fiqh), hanya karena dia merasa hal itu adalah benar seperti contohnya fatwa mengharamkan Maulid Nabi oleh seorang ahli fiqh adalah tertolak kerana ijma ulamak telah membenarkannya.

Sebegitu juga fatwa menghukum dholalah atau sesat sesuatu perbuatan didalam Islam seperti membaca Al Quran dikawasan perkuburan adalah tertolak kerana ijma ulamak telah membenarkannya.

Sebagaimana jumhur ulamak Hanafiah, Syafiyah dan Hambaliah bersepakat bahawa hukum membaca Al-Quran dikawasan perkuburan adalah sunat, berdasarkan riwayat daripada Anas r.a, marfumnya berbunyi:

من دخل المقابرفقرأ فيها (يس) خفف عنهم يومئذ، و كلان له بعددهم حسنات

Maksudnya: "Barangsiapa yang memasuki kawasan perkuburan lalu membaca di dalamnya surah Yasin maka diringankan azab kepada ahli kubur di hari tersebut dan bagi mereka (orang yang membaca al-Quran) adalah memperoleh pahala kebaikan"


Bersambung...

Friday, February 12, 2010

Perihal hukum - 4


Hukum sivil adalah undang-undang yang mengawal hak sivil atau hak awam iaitu antara individu dengan individu, individu dengan masyarakat dan masyarakat dengan individu, dalam kata lain, mengawal kegiatan dalam sesuatu kelompok masyarakat mahupun juga kepada sesebuah negara bila ia dikaitkan dengan sistem perundangan sivil yang lebih luas dan mendalam maknanya .

Manakala hukum umum atau undang-undang umum/am (common law) iaitu suatu sistem perundangan dari Inggeris yang dipercayai diwarisi dari sistem perundangan Islam Amiriah Sicily adalah boleh dikatakan gabungan dari hukum sivil dengan hukum adat-tradisi atau kepercayaan setempat.

Sarjana undang-undang John Makdisi menyatakan bahawa metodologi duluan undang-undang dan pemikiran dengan analogi (Qiyas) adalah mirip antara sistem Islam dengan hukum umum yang mana undang-undang Islam mungkin memberikan asas untuk hukum umum (common law).

Para sarjana lain seperti Monica Gaudiosi, Gamal Moursi Badr dan A. Hudson juga menyatakan bahawa hukum umum Inggeris adalah berasas pada sistem Islam, yang diperkenalkan setelah perang Salib (sewaktu diTimur Tengah) seperti contohnya institusi amanah yang diserapkan dari insitusi Wakaf Islam.

Pada prinsip hukum civil adalah dimana setiap individu sewajarnya dapat mengakses setiap peraturan yang tertulis (mengikut tempat yang ditinggal) yang dikuat-kuasakan keatas mereka dan wajar menturutinya. Hukum sivil dikatakan berasal dari Rom, namun begitu, peraturan yang tertulis atau dikodkan adalah dikesan sesejak zaman Babylon dibawah nama Hammurabi kod.

Terdapatnya perbezaan dengan hukum sivil dengan hukum umum, yang mana hukum sivil ini bila dikaitkan dengan sistem perundangan, ia diamalkan dinegara-negara seperti Switzerland, Perancis, Jepun dan lain-lain, manakala hukum umum adalah dari England serta juga negara-negara yang bekas dibawah pengaruhnya seperti Pakistan, Sri Lanka, Malaysia dan lain-lain.

Dalam pada itu, diMalaysia lazimnya kedengaran, untuk penduduknya yang antara penganut agama Islam dengan bukan penganut agama Islam, adanya hukum sivil dan hukum syariah yang mana hukum sivil adalah untuk keseluruhan manakala hukum syariah adalah untuk penganut beragama Islam.

Dan sebagaimana juga dibawah hukum umum, yang mana sesetengah hukum yang bukan dibawah hukum sivil tetapi wajar dituruti oleh kesemua penduduk dimana hukum tersebut dikuat-kuasakan, samaada untuk penganut Islam atau bukan penganut Islam seperti contohnya perlembagaan beraja yang mana, penganut bukan Islam biarpun tidak tertakluk dibawah hukum syariah tetapi tertakluk dibawah peraturan mentaati Raja serta adat-istiadat yang berkaitan dengannya, manakala adalah amanah keatas Raja atau Sultan untuk mempertahankan kemurnian agama Islam.

Ini adalah kerana hukum umum juga didasarkan pada adat-tradisi dan duluan. Institusi-institusi perundangan serupa ini telah wujud secara bersejarah di benua Eropah dan dibenua lain dimana adat-tradisi dan duluan, telah ada pada suatu masa dahulu serta memainkan peranan yang penting dalam sistem kehakimannya.


Bersambung...

Tuesday, February 09, 2010

Perihal hukum - 3


Hukum adat (Hukum `Adi) iaitu suatu hukum yang berlandaskan pada kebiasaan lama atau turun-temurun yang tidak bertulis mahupun yang tertulis. Iainya adalah dari perkataan Arab yang bermaksud kebiasaan, resam, lembaga, peraturan, hukum, norma yang dijunjung oleh sekelompok masyarakat. Ia juga kekadangnya dari sesesuatu yang baru iaitu dari sesuatu perkara yang lumrah dilakukan berulang-ulang disebuah masyarakat.

Hukum adat adalah juga antara apa yang disebut tradisional dan budaya serta disandarkan juga pada pegangan atau kepercayaan sesuatu masyarakat. Tradisional dan budaya, masing-masing membawa maknanya tersendiri biarpun lazimnya ia dikaitkan.

Secara ringkasnya, tradisional adalah bermakna sesuatu cara hidup yang disampaikan dari suatu generasi kegenerasi selepasnya dalam-mana ia lebih terhad kepada sesuatu kaum, penempatan atau hal sedang kebudayaan lebih luas maknanya seperti cara kehidupan yang mempengaruhi samaada sesuatu penempatan mahupun keseluruh alam.

Contohnya makna traditional sesuatu suku atau kaum dalam bangsa Melayu adalah berbeza bila dikatakan dengan kebudayaan bangsa Melayu yang mana traditional adalah sesuatu yang terhad seperti suatu jenis tarian suku atau kaum dalam bangsa Melayu manakala kebudayaan adalah menyeluruh dan tidak boleh diakui hanya milik sesuatu suku atau kaum seperti contohnya batik yang merupakan hasil budaya bangsa Melayu.

Contohnya juga antara traditional dan kebudayaan adalah seperti pemakaian niqab atau furdah yang mana jelas iainya bukan traditional Arab, malah kaum-kaum yang menduduki Tanah Arab tidak memakainya sebelum kedatangan Islam.

Hanya bila ayat diturunkan untuk menutup aurat wanita melainkan wajah dan tapak tangannya, para-para sahabi, iaitu kaum wanita muslim diwaktu itu, yang mana telah mencapai tingginya tahap taqwa dan iman mereka, bertindak menutup wajah mereka dan Nabi Muhamad meredhai tindakan mereka. Dan ini seterusnya menjadi salah satu kebudayaan Islam dan tiada kena-mengena dengan tradisi Arab sebelum Islam.

Berbalik kepada hukum adat, hukum adat ini, lazimnya juga atas sesuatu kefahaman atau pengetahuan, yang diperbaiki atau wajar diperbaiki bila sesuatu hak mengatasinya seperti contohnya, dahulu dalam tradisi Melayu disebut "menyembah" Sultan bila seseorang pergi berjumpa dengan Sultan namun kini hanya digunakan perkataan "mengadap" Sultan kerana menyembah adalah suatu perkataan khas hanya untuk Tuhan.

Sebegitu juga, bersanding atau mengadakan majlis perkahwinan besar-besaran yang mana kini bila jelas sandingan iaitu menayangkan pasangan yang berkahwin pada khalayak ramai samaada muhrim atau tidak, bertentangan dengan kehendak agama, maka majlis sanding wajar dibatalkan atau dilakukan hanya dikalangan muhrim. Sebegitu juga majlis perkahwinan besar-besaran yang mana ramai tidak mampu menanggungnya, wajarlah dipermudahkan mengikut kemampuan kedua-belah pihak terutama diwaktu yang mana statistik kelahiran anak luar nikah yang begitu tinggi dan amat merisaukan.

Hukum adat adalah diakui banyaknya kebaikan darinya kerana ia lazimnya adalah dari kebiasaan dalam menjelmakan adab-adab atau norma kehidupan tersusun buat sesebuah masyarakat. Kerana tanpa adab atau norma-norma kehidupan yang tersusun, maka mudah punah atau runtuh generasi seterusnya dalam sesebuah masyarakat, terutama kerana ketiadaan jati diri pada mereka.


Bersambung...

Thursday, February 04, 2010

Perihal hukum - 2


Hukum alam atau juga dengan perkataan yang membawa maksud yang hampir dengannya seperti fitrah kejadian, naturalism, hukum alam semesta, hukum karma dan seterusnya manakala perkataan yang paling tepat untuk hukum alam adalah sunnatullah iaitu ketentuan-ketentuan didalam alam ini yang ditetapkan oleh Pencipta alam.

Lazimnya ia adalah samaada berkaitan dengan pergerakan didalam alam semesta, kesimpulan-kesimpulan yang diambil dari kejadian-kejadian alamiah mahupun yang diperjelaskan secara mendalam oleh kajian-kajian ilmiah.

Hukum alam ini adalah pengiraan yang dilakukan melalui pengamatan pada alam sekitar serta kehidupan yang terbina dialam semesta ini dan apakah sesuatu tersebut seperti dari eko-system dan kesan-kesannya, mahluk-mahluk yang menghuni didalamnya iaitu pembiakan serta tindak-balas dari perilakunya dan juga sesuatu kesimpulan yang terjadi dalam keberadaan kehidupan didalamnya, misal suatu perbuatan baik akan dibalas dengan kebaikan atau sebaliknya.

Segala yang berada dialam alam ini adalah seakan dalam suatu sistem yang sedia terprogram samaada dari segi bentuk strukturnya sehinggalah kebentuk bagaimana kejadiannya dan samaada yang pasif atau yang aktif mahupun yang bernyawa atau tidak bernyawa serta seterusnya kepada akibat-akibat dari sesuatu penyebab.

Sebagaimana contohnya kehadiran tumbuh-tumbuhan yang memerlukan proses-proses alamiah untuk membantunya, haiwanat-haiwanat yang terdiri dari yang maging atau sebaliknya sehinggalah pada pergerakan segala alam suria yang menyediakan malan dan siang, sejuk dan panas dan seterusnya.

Sebegitu juga, hukum alam ini membuat sesuatu species tidak akan berkelamin dengan species lain seperti ayam tidak akan berkelamin dengan itik, debunga pokok mawar tidak akan bersatu dengan debunga pokok mangga, insan tidak akan berkelamin dengan jin dan seterusnya (kecuali dalam kes-kes tertentu seperti insan menyatukan antara kuda dan keldai lalu lahir species balgha atau percantuman antara berbeza tumbuhan untuk menghasilkan baka terbaik).

Ketetapan hukum alam juga membuat sesuatu species kehidupan atau mahluk didalam alam ini mengadaptasikan diri pada alam ini mengikut musim sesuatu daerah mahupun cara kehidupan disitu. Contohnya haiwan liar adalah amat berbeza dengan sifat haiwan ternakan atau belaan manusia kerana kehidupannya dialam bebas membuatnya lebih berdikari disamping tingginya bahaya dipersekitaran membuatnya lebih lasak mahupun garang.

Dalam pada itu, ia juga amat berkaitan dengan tindakan insan itu sendiri biarpun insan itu hakikatnya berada dalam taklukan hukum alam seperti kejadian fitrahnya, tetapi selebih dari itu, jelas sesuatu kejadian dialam ini berlaku juga atas pengaruh-pengaruh dari tindakan-tindakan insan samaada dari kebaikan yang datang mahupun petaka yang menimpa.

Sesuatu daerah yang subur lagi makmur mampu sahaja menempah kehancurannya samaada bala-petaka seperti ribut dan lain-lain atau peperangan lantaran kemungkaran yang dilakukan oleh insan atau sebaliknya sesuatu daerah yang kering dan tidak subur tetapi kehidupan disitu adalah aman sentosa kerana kebaikan yang dilakukan antara insan disitu.

Sebagaimana juga dalam putaran kehidupan seharian yang mana kebaikan-kebaikan yang dilakukan, akan menghasilkan tindak-balas kebaikan kembali kepadanya, contohnya seorang yang membantu dengan ihklas seorang insan lain yang begitu daif dan memerlukan bantuan, dihari kemudian, dia pula dibantu ketika dirinya dalam sesuatu kesusahan samaada dari insan yang sama yang dibantunya atau dari insan yang lain atau pun dari sesuatu perkara yang lain.

Atau juga tindakan-tindakan insan merubah-rubah alam semesta mengikut kehendak nafsunya terutama dalam bentuk drastik atau besar-besaran untuk mengaut keuntungan semata-mata seperti genetik manipulasi keatas tumbuh-tumbuhan atau haiwanat diklonkan untuk menghasilkan baka yang baik yang mana kesan jangka-panjangnya akan menghadirkan tindak-balas keburukan biarpun ini ada yang menafikan.



Bersambung...

Tuesday, February 02, 2010

Perihal hukum - 1


Hukum, adalah suatu perkataan yang lumrah terdengar dalam kehidupan seharian. Namun apakah definisinya (pernyataan mengenai ciri-ciri penting suatu tersebut) dan apakah perbezaan-perbezaan yang wujud selepas dari perkataan hukum serta juga apakah kesan darinya?

Hukum alam, hukum sivil, hukum syariah, hukum akal (aqli), hukum adat (`adi) adalah antaranya, sebegitu juga untuk sesuatu bidang khusus seperti hukum keabdian atau hukum graviti dan seterusnya untuk hal-hal yang lain.

Hukum adalah lazimnya dihuraikan atau dinyatakan pada mereka yang berakal waras kerana pada mereka yang tidak waras maka tiadalah kefahaman padanya tentang erti sesuatu hukum. Mungkin atas sesuatu, seseorang yang tidak waras dihukum atau dijatuhkan hukuman tetapi pada dirinya yang tidak waras, tidaklah difahami langsung apa erti semua hukum tersebut serta apa perlu semua itu untuk dirinya.

Kerana itu, pertamanya, dimulai tentang hukum akal (aqli), iaitu kewajaran sesuatu pemikiran rasional atau pemikiran jelas yang terletak pada kewarasan mahupun kesempurnaan akal insan, tetapi kekadang ia juga terpesong lantaran ketandusan sumber-sumber kebenaran atau yang hak.

Erti hukum akal adalah meletakkan sesuatu barang, hal, perkara dan seterusnya kerana adanya sesuatu mahupun punca atau dalam kata lain, meletakkan sesuatu akibat lantaran sesuatu penyebab dan sebegitu juga sebaliknya iaitu menidakkan sesuatu lantaran tiadanya sesuatu mahupun punca atau menafikan sesuatu akibat lantaran ketiadaan penyebabnya.

Ini lazimnya kerana dari akal, terbina "ilmu dharuri", iaitu ilmu yang tidak memerlukan dalil-dalil atau keterangan, hanya apa yang perlu atau dihajati serta juga ilmu "Nadzhari" iaitu ilmu yang memerlukan dalil-dalil atau keterangan.

Seperti samaada tanpa memerlukan dalil, akal telah menghukum perlunya berpakaian tebal dimusim sejuk atau juga kerana dalil-dalil seperti jatuh sakit bila terdedah pada suhu yang sejuk, lantas dari itu, perlunya berpakaian tebal dimusim sejuk.

Hukum akal terbahagi kepada tiga iaitu, wajib, mustahil dan jaiz. Wajib adalah sesuatu yang wajar diterima oleh akal seperti adanya kelahiran dan kematian, adanya kedukaan dan keriangan, adanya siang dan malam, adanya kejayaan dan kegagalan, adanya sakit dan sihat, adanya muda dan tua dan seterusnya sehinggalah kepada adanya pencipta alam ni.

Mustahil adalah sesuatu yang tidak dapat diterima oleh akal seperti tiadanya kematian, boleh kembali kewaktu silam yang telah berlalu, bernafas tanpa bantuan sesuatu alat didalam air, melihat sekitar tanpa cahaya, merasa sesuatu tanpa bantuan deria-deria dan seterusnya.

Jaiz pula adalah sesuatu samaada yang harus diterima mahupun ditolak oleh akal seperti kata-kata bahawa nasi adalah makanan utama insan dan perlu dimakan setiap hari, memiliki kereta adalah perlu untuk setiap penghuni kota dan seterusnya.

Manakala hukum akal tanpa sumber-sumber kebenaran pula lazimnya adalah sesuatu yang dusta seperti menghukum seseorang yang lain lebih hina dari dirinya kerana kedaifan, kurang pelajaran, rendah pangkat, warna kulit, jantina dan seterusnya, sedangkan itu datang dari sifat sombongnya yang memandang rendah pada pihak lain, bukan dari sumber kebenaran.

Atau menghukum sewenang-wenangnya pihak lain seperti kes-kes Islamophopia iaitu menghukum setiap muslim adalah penganas kerana sumber media dusta yang dituruti, sebagaimana juga meletakkan hukum wajar untuk Amerika dan Britain menghancurkan Iraq, membunuh ratusan ribu nyawa insan yang tidak bersalah dengan alasan Iraq mempunyai bom pemusnah besar-besaran sedangkan Iraq tidak mempunyainya.

Dan hukum akal yang paling terkutuk dan membawa kerosakan besar adalah bila dengan fikirannya, seseorang insan menghukum bahawa alam ini tiada penciptanya atau tiada hari kebangkitan selepas kematian. Lantas dirasanya hidup didunia ini adalah suatu kebebasan mutlak dan ini adalah penyebab utama keruntuhan kehidupan buat seseorang insan mahupun pada sesebuah masyarakat.




Bersambung...
Btn_brn_77x28

Tajuk

Abbasiyah (1) altruisme - ikram (3) Aqidah (1) art video (20) Austronesia (10) Bahasa dan penampilan (5) Bangsa Melayu (7) batas sempadan (9) Berita (15) Besi (1) Biography solihin (1) Budaya dan pengertiannya (16) catitan (2) cerdik/bodoh dan antaranya (6) cetusan minda (8) cinta dan syahwat (3) Doha - Qatar (2) Eid Mubarak (5) falsafah (2) Fantasia falasi (3) Fibonacci (1) Filem (2) fitrah (1) Fungsi seni (1) gangsa (1) hukum (6) huruf (2) hutang (1) ijtima (1) Iklan (2) imitasi dan memori (1) infiniti (5) jalan2 (2) kebangsaan/nationalisme (2) kebebasan bersuara (1) Kelahiran kesenian yang mengubah warna dunia. (1) Kembali sebentar tentang erti seni (Islam) (1) kerja otak (1) Kesenian dunia Islam (1) komunikasi (1) konsep kendiri (3) konspirasi (1) Lagu (1) Lentok tangan (1) Malaysia (3) Masa (10) Maslahah atau mafsadah (1) Maya (ilusi) (4) Melaka (1) Melayu (2) Melayu dan Islam (9) minda (2) musik (2) nukilan rasa (1) Pantang dalam berkarya (1) Pause (6) Pembetulan sejarah (3) Pengajian dan pengertian budaya (1) Perasaan dan pemikiran (5) Persepsi / Tanggapan (6) pointillism (2) populasi dunia (9) Produk sejarah (11) Program dan hayat (2) prosa (4) ramadan (2) realiti - kenyataan (7) Sajak (22) Sangkaan (2) sebab dan akibat (18) sejarah (14) sejarah Islam Nusantara (1) sejarah Melayu (4) Sejarah mengubah/terubah (5) Sejarah seni dalam kehidupan insan (1) Sejarah video (1) Seni Bahasa (2) Seni dalam imiginasi (1) seni kata (1) Seni logam (3) Seni textil (budaya berpakaian) (2) Seni-seni mempertahankan diri (1) sound (1) Srivijaya (3) Sunda (6) Tahap kesederhanaan (1) Tahap-tahap kehidupan (14) tenung bintang (1) Terkesan dengan suasana (2) Tradisional dalam makna (1) Ukuran dan kayu pengukurnya (2) updated (1) Usia manusia (3) vision (1) wang (7) Wujudkah kosong? (2) zarzh slide (12)

Catitan lalu

Insuran & Road Tax Online

tetangga