Tuesday, June 02, 2009

Fantasia falasi - 3



Dalam melalui pergolakan rentak kehidupan insan seharian, memang tidak dinafikan, fantasi yang dimiliki insan tersebut merupakan salah suatu pemangkin buat kemunduran atau kemajuan samaada untuk induvidu atau sesuatu masyarakat.

Lihat sahaja dari peralatan yang digunakan seharian disekitar samaada didapur hingga keluar ladang, dari cita-rasa sesuatu makanan hingga ubah-suai tempat penginapan, dari bentuk-bentuk pinggan-mangkuk hingga kehujung bentuk atap dan seterusnya, segalanya terhasil dari daya fantasi seseorang atau sekumpulan yang kemudiannya berkembang samaada diikuti seratus peratus bentuk asalnya atau diubah-suai untuk seterusnya.

Dalam pada itu, fantasi juga menyajikan suatu kehidupan yang membahagiakan atau pun menderitakan samaada dari dalam diri atau dari luaran. Kekadang sesuatu bangsa itu begitu jauh maju, namun kerana terdapat suatu fantasia falasi yang dianuti samaada disedari atau tidak, membinasakan segala yang dibina seperti contohnya Firaun Ramses yang keturunannya terkenal atas ketamadunan Mesir bersama piramid-piramidnya, dan mempunyai kekuatan militar namun diatas fantasia falasinya yang menganggap dirinya terlalu mulia hingga ketaraf Tuhan, maka dia menghancurkan diri serta rakyatnya.

Dan hari ini, banyaknya terjadi pertumpahan darah, perebutan kuasa hegemoni keatas sesuatu, permusuhan tidak sudah-sudah adalah berlatarkan fantasia falasi yang dimiliki insan. Ini berlarutan terutama adanya sesuatu kuasa besar dibelakang tirai yang melakukan taktik pecah dan perintah, taktik mengadu-dombakan pihak lain buat kepentingan duniawi mereka, kerana taktik ini adalah berlandaskan menanam pra-sangka permusuhan berlatarkan fantasia falasi seperti contohnya buat sesuatu pihak yang menghasilkan senjata dan menginginkan keuntungan besar, maka diadu-dombakan dua pihak lain sehingga keperingkat berperang dalam mana pihak yang menjual senjata tersebut nanti akan meraih keuntungan besar diatas perniagaan menjual senjatanya.

Sebegitu juga dalam medan hiburan berlandaskan fantasia falasi dengan banyaknya penampilan glamour, pendedahan tubuh badan, penayangan tata-cara memenuhi nafsu atau kebendaan, kehidupan bebas-lepas dan seterusnya dalam mana objek utama penghasilannya adalah semata-mata hanya untuk mengaut keuntungan segera dan segala yang dilakukan secara drastik berulang-ulang hingga pengguna akan transendental dalam sesuatu arus penampilan atau hiburan tersebut lantas seakan terpukau dan sanggup menghabiskan masa serta kewangan untuk mengikut segala yang disajikan contohnya sesuatu band musik yang memainkan sesuatu irama biarpun hanya satu dua lagunya berirama indah, tetapi atas minat keinginan, maka penguna akan mendengar berulang-ulanag kali semua lagu didalam CD yang dibelinya sehingga peringkat dirinya transendental dalam irama yang didengari membuat dia bersedia dan menanti kedatangan segala CD-CD yang berentak irama yang sama. Samaada indah atau tidak iramanya, yang penting dirirnya telah “terpukau“ untuk mentaati irama tersebut.

Lantas dari semua fantasia falasi, perubatan utama untuk menangkisnya adalah pembersihan minda dan cita-rasa diri dan ini adalah suatu proses yang memakan masa dan metho yang benar. Sedang cara hidup Islam sendiri mengikut cara yang ditunjukkan oleh Nabi Muhamad s.a.w dalam mana dakwah iaitu mengajak sekelian insan kearah kebenaran dengan cara hikmah dan berkasih-sayang adalah metho utama kearah pembersihan minda dan cita-rasa.

Dan jika usaha dakwah yang ditunjukkkan caranya oleh Nabi Muhamad s.a.w dilakukan secara berterusan dalam kehidupan seseorang, maka akan tercapailah dia tahap keikhlasan, kerahmatan, berbaik sangka, sifat pemaaf, sifat ikhram dan seterusnya yang mana membawa kealam suatu pemikiran yang penuh dengan fantasia kebenaran dan menuju kearah kebenaran.

Dari Anas ibnu Malik r.a berkata, Nabi Muhamad s.a.w bersabda kepadaku: Wahai anakku, jika kamu mampu menahan hatimu dari berpenyakit kepada insan lain dipagi hari hingga kepetang hari, maka lakukanlah. Kemudian Nabi Muhamad s.a.w bersabda lagi kepadaku: Wahai anakku, itulah sunnahku. Barang siapa menghidupkan sunnahku, sesungguhnya dia mencintaiku dan barang siapa yang mencintaiku, akan bersamaku didalam syurga. (Riwayat Tirmidzi)

Thursday, April 09, 2009

Fantasia falasi - 2




Fantasia falasi adalah gambaran yang direka atau terjelma dan diyakini ianya adalah realiti seperti kerana sesuatu suasana contohnya seorang yang berada didalam suatu bilik gelap yang asing baginya, maka secara spontan terjelmalah berbagai-bagai andaian atau fantasi bergantung kepada perasaan dan pemikirannya. Mungkin untuk seorang yang berjiwa penakut atas pengalaman silam, maklumat-maklumat yang diserap atau sebagainya akan menyebabkan dia berfantasi kemungkinan mahluk yang menyeramkan akan menjelma manakala untuk seorang yang mempunyai jiwa pemberani, mungkin tidak berfantasi akan kewujudan mahluk yang menyeramkan, malah fikirannya giat mengandaikan cara-cara untuk bagaimana keluar dari bilik yang gelap tersebut atau mencari bahan untuk menerangkan bilik tersebut.

Lalu dalam berfantasi, suatu realiti mungkin wujud darinya, seperti contoh diatas, pada yang berfantasi akan kewujudan mahluk yang menyeramkan, bila tiba-tiba terdengar suatu suara, maka terus bulu romanya akan berdiri dan malah sesuatu objek yang hadir terus dilihatnya sebagai suatu mahluk yang menyeramkan dan inilah fantasia falasi, suatu yang realiti pada kaca-matanya biarpun ianya bukan realiti atau belum pasti apakah benar sesuatu tersebut namun wujud padanya sebagaimana yang difantasikannya.

Ini berlaku dalam berbagai-bagai keadaan kehidupan yang dilalui oleh insan dan mengikut kes-kes yang dialaminya. Contoh kes yang lain, seorang yang begitu benci pada jirannya, maka segala gerak-geri jirannya diperhatikan dengan penuh prasangka lalu wujudnya fantasia falasi bahawa jirannya menanam bahan sihir pada sudut rumahnya biarpun realitinya, jirannya yang ketika lalu disitu, hanya tunduk sebentar untuk mengikat tali-kasutnya yang terbuka.

Dan dari kes-kes yang kecil yang tanpa meninggalkan apa-apa kesan, sehinggalah kepada kes-kes yang amat besar yang meragut berjuta nyawa serta kemusnahan besar-besaran keatas harta-benda lantaran fantasia falasi seperti contohnya terjadi pada negara Iraq, yang mana Amerika Syarikat berfantasia falasi bahawa negara Iraq mempunyai senjata pemusnah besar-besaran yang mana membahayakan kepentingannya atau kepentingan sekutunya, lalu diserang dan dihancurkan segala infrastruktur negara Iraq dan rakyat Iraq kemudiannya tinggal menderita disamping berterusan berperang diantara mereka sendiri. Semuanya hanyalah dari fantasia falasi yang meninggalkan kesan yang amat perit.

Dalam bab yang mungkin dianggap seni oleh sesuatu pihak, fantasia falasi juga telah meninggalkan kesan yang amat buruk seperti seorang produser filem berfantasi diatas nafsu-hawanya lalu mereka filem-filem yang menggunakan wanita-wanita mahupun lelaki-lelaki sebagai objek-objek untuk menampilkan apa yang difantasikan tanpa batas syariat. Maka filem-filemnya pun tersebar diseluruh dunia yang mana dari situ,kesan seterusnya pada remaja atau insan lain yang melihat filem tersebut, amat berbahaya kerana meruntuhkan adab-adab kesusilaan. Dan pada insan lain yang menonton filem tersebut, bukan setakat itu, malah mungkin seluruh kehidupan mendatangnya pula akan sentiasa berterusan melihat filem-filem sebegitu dan sentiasa berfantasi tentang apa yang ditontonkan dan malah contohnya bila melihat seorang gadis keseorangan, timbullah fantasia falasinya yang gadis tersebut juga berfantasi sepertinya lalu kemudiannya menyebabkan antara kenapa banyaknya kes-kes rogol terjadi.

Atau penulis-penulis yang menulis hanya bergantung dari fantasinya samaada benar atau tidak, bukan kepada fakta yang sebenar, maka lahirlah nanti pembaca-pembacanya yang berfantasia falasi mengikut segala kedustaan yang ditulisnya…

Bersambung…

Saturday, April 04, 2009

Fantasia falasi - 1



Dalam melalui siri babak-babak pemikiran harian, insan biasa sahaja terjebak dalam fantasia falasinya, yang mana pemikirannya bermain diatas suatu pentas yang bukan realiti malah pentas ini wajar mencundangkannya kedalam suatu gaung ngeri dan adakalanya terperangkap untuk sekian waktunya tanpa ada jalan keluar darinya. Terbelenggu didalam suatu pemikiran gelap lagi mengundahkan seakan didalam peti duri dan tidak berjumpa kunci untuk keluar dari situ.

Fantasia falasi (false) atau juga berbagai-bagai perkataan yang boleh membawa erti sepertinya iaitu sangsi keterlaluan, was-was, salah-sangka, curiga tanpa asas, buruk sangka, membayangkan suatu yang tiada kebenaran, mempercayai sesuatu yang salah, tahyul, khurafat, syu`ul zan dan seterusnya.

Fantasia falasi ini lahir dari pergolakan persekitaran kehidupan yang dilalui, pengaruh persekitaran, suatu kehidupan yang disangka membawa peradapan sedangkan ia suatu kehidupan yang membawa kemusnahan, tekanan jiwa lantaran tiada ketenangan, kerana dendam, dari titik-titik dosa atau kesilapan yang memerangkapkan, dari perasaan keegoan, perasaan keterlaluan individual, perasaan kebendaan, perasaan cemburu, perasaan takut (samaada dari cerita yang didengar atau pengalaman peribadi diatas sesuatu atau dari khayalan), perasaan kebergantungan tetapi kepada perkara yang tiada asas kebenaran, perasaan yang terhimpit dari tekanan sekitar, perasaan yang lahir dari pengalaman pahit ditipu oleh insan lain dan seterusnya.

Kehadiran fantasia falasi ini biasanya kerana kecetekan pengetahuan, kedaifan pengalaman, kekurangan maklumat yang sebenar mahupun sangkaan-sangkaan dari rekaan yang tidak berasas. Hadir juga dari desakan luaran seperti hasutan-hasutan yang salah, masaalah kehidupan yang dilalui dan tidak diketahui cara penyelesaiannya lalu mereka sendiri pandangan-pandangan untuk penyelesaiannya dan seterusnya. Contohnya, seorang petani yang setelah beberapa tahun bercucuk tanam diladangnya, kemudian ladangnya semakin kurang subur lalu mempercayai akan semangat tanah, yang mana mempercayai bahawa dia harus mengorban atau menghidangkan sesuatu untuk semangat tanahnya agar menjadi subur sedangkan sebenarnya dia harus membajakan tanahnya atau menjarakkan masa tanaman sejenis kerana sekiranya dia berterusan menanam tanaman-tanaman yang sama diladangnya untuk jarak-jarak yang rapat maka kesuburan tanah tersebut menjadi berkurangan. Atau seorang suami yang cemburu keterlaluan pada isterinya lalu sentiasa berfantasia falasi yang menghasilkan sangkaan-sangkaan keburukan yang dilakukan oleh isterinya lalu menuduh tanpa asas sehingga keperingkat perceraian.

Fantasia falasi ini mungkin sahaja pada peringkat rendah, ianya tidak membahayakan namun ia mampu mencapai suatu tahap yang membawa kerosakan pada diri mahu pun masyarakat. Sebagaimana contohnya dari kepercayaan khurafat iaitu mempercayai adanya kuasa-kuasa ghaib pada benda yang mati, pada patung-patung, pada batu-batu dan seterusnya yang merupakan kepercayaan yang begitu menyimpang dari kebenaran. Atau contohnya dari sikap suka memandang rendah insan lain lalu menganut fantasia falasi bahawa insan lain terutama mereka yang berkedudukan rendah darinya adalah suatu yang hina atau buruk sebagaimana fantasia falasi seorang yang berpegang pada prinsip kehidupan berkasta, yang mana mereka dikasta atas menganggap kasta dibawah adalah hina, atau mereka yang menerajui pandangan semua dari kulit putih adalah baik lalu memandang rendah pada mereka yang berkulit hitam dan seterusnya.

Pada suatu peringkat juga, fantasia falasi ini yang bagaikan suatu penyakit mampu menjalar pada setiap bangsa, peringkat, kedudukan dan seterusnya dalam mana tidak dinafikan juga kekadang adanya kebaikan lahir darinya bila mana pada tahap minimum sebagaimana seorang insan yang mengunci pintu rumahnya dengan berfantasi kemungkinan pencuri akan memasuki jika dibiarkan terbuka dan ini adalah suatu persediaan yang baik dalam menghadapi kemungkinan-kemungkinan yang buruk, namun jika sampai berpuluh-puluh kunci dipasang pada pintunya, maka ini adalah suatu fantasia falasi yang kronik.

Seperti kekronikan fantasia falasi insaniah kepada Penciptanya yang membuatnya menyangka Penciptanya berkedudukan begitu rendah, misalnya menyangka rupa Penciptanya adalah bertubuh seperti insaniah, seperti haiwan dan seterusnya, atau menyangka Penciptanya beranak-pinak, atau berupa mahluk-mahluk yang mengerikan, atau menetap disuatu tempat seperti dibatu-batu, pokok-pokok, disesuatu tempat diangkasa raya dan lain-lain atau menyangka Penciptanya mempunyai kelemahan-kelemahan dan seterusnya yang mana fantasia falasi ini melingkupkan sendiri fantasi murni yang dimiliki insaniah yang dicipta serta memudaratkan pemikiran insaniah sendiri seperti terbelenggu dalam fantasi tahyul dan khurafatnya lantas merugikan dirinya.

Manakala dalam media dari curahan sesuatu yang disangka seni seperti fantasia falasi seorang penulis, pemuzik, pengarah filem-filem dan seterusnya yang mana segala fantasia falasinya, dicurahkan diatas karyanya dan mana wajar mempengaruhi dan menarik pembaca atau penonton lainnya untuk berfikir diatas fantasia falasinya. Dan lazimnya ia merupakan suatu permintaan yang tinggi pada karya-karyanya yang berlatarkan fantasia falasi dalam mana juga dia dapat mengaut begitu banyak keuntungan. Sedangkan inti-pati dari karyanya adalah suatu kekosongan tanpa erti. Malah lahirnya peminat-peminatnya yang berfantasia falasi sepertinya sehingga pada sesuatu tingkat, peminat-peminat ini menjadi seakan penganut-penganut pula pada fantasia falasi tersebut.

Antara kesan dari fantasia falasi yang kronik wajar juga menjadikan seseorang itu pengumpat iaitu sentiasa berfantasia buruk kepada insan lain dan menampilkan fantasia falasinya melalui umpatan-umpatannya, atau seorang yang tidak berpandangan jauh kerana pemikiran sehariannya dibelenggui oleh fantasia falasinya, tidak optimus, tidak terbuka mindanya mahupun hatinya tidak ada rahmat dan seterusnya……

Bersambung….

Thursday, March 12, 2009

Bahasa dan penampilannya - 3



Dari segi penampilan bahasa dalam apa medium pun, nada memainkan suatu faktor yang mewarnakan sesuatu bahasa tersebut. Nada hadir dari deria zahir hingga kepada perasaan dan pemikiran seseorang insan samaada disedari atau pun tidak, samaada disengajakan ataupun sebaliknya. Contohnya bila seseorang tersebut merasa suatu kesakitan, dia akan meraungkan nada kesakitan biarpun dalam keadaan tidak disengajakan mahupun disengajakan atas berbagai-bagai faktor seperti untuk mendapatkan perhatian atau bantuan.

Nada juga berkemampuan membentuk penjelasan untuk pengertian-pengertian bahasa yang dilahirkan atau dinyatakan. Contohnya untuk bahasa percakapan, patah perkataan "mahu kemana", yang mana bila dinyatakan dengan nada yang rendah, ia menjadi suatu pertanyaan sebaliknya bila dinyatakan dengan nada yang tinggi, ia merupakan suatu kemarahan.

Manakala dalam bahasa penulisan, nada dimainkan samaada melalui bahasa gambaran atau tulisan-tulisan sebelum mahupun seterusnya, kerana tanpa gabungan sebegini, sesuatu yang disampaikan wajar sahaja berubah makna pada penerima atau pembacanya. Contohnya seorang yang menulis disuatu ruangan komen blogger "mahu kemana", tanpa suatu gambaran atau gabungan, mungkin sahaja menjadi suatu pertanyaan, suatu jenaka atau pun dimengertikan sebagai suatu sindiran.

Tanpa kewujudan nada, segala bahasa penampilan bagaikan suatu filem yang bertajuk layar lasak, tetapi pelakonnya hanya duduk diatas kerusi tanpa melakukan suatu pergerakan dan tiada apa-apa yang aktif sehingga tamat filem tersebut. Sebegitulah contohnya sekiranya tanpa nada dalam kehidupan insan, kerana kenyataannya kehidupan insan itu sendiri penuh dengan nada-nadanya dan ia hadir dalam seribu rentak untuk mewarnai kehidupan seharian juga menghidupkan sesuatu watak yang ditampilkan.

Namun dari semua itu, adanya perbezaan nada insan yang memahami kebesaran Pencipta, bahawa segalanya milik Pencipta, segalanya tertakluk kepada kehendak Pencipta berbanding kepada nada insan yang hanya mengakui akan kebesaran dirinya atau kebesaran kebendaan. Nada sumbang insan yang tidak menyedari akan kebesaran Pencipta wajar menyumbang kepada kerosakan diri mahupun persekitarannya. Ini kerana ia merubah nada fitrah sebenar insaniah yang dijadikan oleh Penciptanya dan adanya aturan-aturan yang digariskan oleh Penciptanya. Kerana insan itu sendiri dijadikan fitrahnya bernada hamba biarpun ia berkedudukan tinggi seperti seorang raja, seorang wazir, seorang pengurus, profesor dan seterusnya. Dalam mana bila fitrah insaniah yang bernada hamba kepada Penciptanya, namun dirobahnya sebagai nada seorang yang bukan hamba PenciptaNya, maka lahirlah kezaliman, kemungkaran, kesombongan dan keburukan-keburukan lain untuk seterusnya.

Dan kenyataannya juga, nada-nada yang melatari buat kehidupan setiap insan pastinya berubah-rubah, dari nada bahasa kanak-kanak, meningkat dewasa hingga keperingkat matang dan terakhir bila waktu meninggalkan alam kehidupan didunia ini. Manakala nada seorang yang menyangka dia akan selama-lamanya tinggal didunia ini tentu tidak sama dengan nada seorang yang memahami, dalam kehidupan ini, dia hanyalah seperti seorang pengembara, datang singgah lalu sampai waktunya terpaksa meninggalkan pergi....
Btn_brn_77x28

Tajuk

Abbasiyah (1) altruisme - ikram (3) Aqidah (1) art video (20) Austronesia (10) Bahasa dan penampilan (5) Bangsa Melayu (7) batas sempadan (9) Berita (15) Besi (1) Biography solihin (1) Budaya dan pengertiannya (16) catitan (2) cerdik/bodoh dan antaranya (6) cetusan minda (8) cinta dan syahwat (3) Doha - Qatar (2) Eid Mubarak (5) falsafah (2) Fantasia falasi (3) Fibonacci (1) Filem (2) fitrah (1) Fungsi seni (1) gangsa (1) hukum (6) huruf (2) hutang (1) ijtima (1) Iklan (2) imitasi dan memori (1) infiniti (5) jalan2 (2) kebangsaan/nationalisme (2) kebebasan bersuara (1) Kelahiran kesenian yang mengubah warna dunia. (1) Kembali sebentar tentang erti seni (Islam) (1) kerja otak (1) Kesenian dunia Islam (1) komunikasi (1) konsep kendiri (3) konspirasi (1) Lagu (1) Lentok tangan (1) Malaysia (3) Masa (10) Maslahah atau mafsadah (1) Maya (ilusi) (4) Melaka (1) Melayu (2) Melayu dan Islam (9) minda (2) musik (2) nukilan rasa (1) Pantang dalam berkarya (1) Pause (6) Pembetulan sejarah (3) Pengajian dan pengertian budaya (1) Perasaan dan pemikiran (5) Persepsi / Tanggapan (6) pointillism (2) populasi dunia (9) Produk sejarah (11) Program dan hayat (2) prosa (4) ramadan (2) realiti - kenyataan (7) Sajak (22) Sangkaan (2) sebab dan akibat (18) sejarah (14) sejarah Islam Nusantara (1) sejarah Melayu (4) Sejarah mengubah/terubah (5) Sejarah seni dalam kehidupan insan (1) Sejarah video (1) Seni Bahasa (2) Seni dalam imiginasi (1) seni kata (1) Seni logam (3) Seni textil (budaya berpakaian) (2) Seni-seni mempertahankan diri (1) sound (1) Srivijaya (3) Sunda (6) Tahap kesederhanaan (1) Tahap-tahap kehidupan (14) tenung bintang (1) Terkesan dengan suasana (2) Tradisional dalam makna (1) Ukuran dan kayu pengukurnya (2) updated (1) Usia manusia (3) vision (1) wang (7) Wujudkah kosong? (2) zarzh slide (12)

Catitan lalu

Insuran & Road Tax Online

tetangga