Thursday, March 12, 2009

Bahasa dan penampilannya - 3



Dari segi penampilan bahasa dalam apa medium pun, nada memainkan suatu faktor yang mewarnakan sesuatu bahasa tersebut. Nada hadir dari deria zahir hingga kepada perasaan dan pemikiran seseorang insan samaada disedari atau pun tidak, samaada disengajakan ataupun sebaliknya. Contohnya bila seseorang tersebut merasa suatu kesakitan, dia akan meraungkan nada kesakitan biarpun dalam keadaan tidak disengajakan mahupun disengajakan atas berbagai-bagai faktor seperti untuk mendapatkan perhatian atau bantuan.

Nada juga berkemampuan membentuk penjelasan untuk pengertian-pengertian bahasa yang dilahirkan atau dinyatakan. Contohnya untuk bahasa percakapan, patah perkataan "mahu kemana", yang mana bila dinyatakan dengan nada yang rendah, ia menjadi suatu pertanyaan sebaliknya bila dinyatakan dengan nada yang tinggi, ia merupakan suatu kemarahan.

Manakala dalam bahasa penulisan, nada dimainkan samaada melalui bahasa gambaran atau tulisan-tulisan sebelum mahupun seterusnya, kerana tanpa gabungan sebegini, sesuatu yang disampaikan wajar sahaja berubah makna pada penerima atau pembacanya. Contohnya seorang yang menulis disuatu ruangan komen blogger "mahu kemana", tanpa suatu gambaran atau gabungan, mungkin sahaja menjadi suatu pertanyaan, suatu jenaka atau pun dimengertikan sebagai suatu sindiran.

Tanpa kewujudan nada, segala bahasa penampilan bagaikan suatu filem yang bertajuk layar lasak, tetapi pelakonnya hanya duduk diatas kerusi tanpa melakukan suatu pergerakan dan tiada apa-apa yang aktif sehingga tamat filem tersebut. Sebegitulah contohnya sekiranya tanpa nada dalam kehidupan insan, kerana kenyataannya kehidupan insan itu sendiri penuh dengan nada-nadanya dan ia hadir dalam seribu rentak untuk mewarnai kehidupan seharian juga menghidupkan sesuatu watak yang ditampilkan.

Namun dari semua itu, adanya perbezaan nada insan yang memahami kebesaran Pencipta, bahawa segalanya milik Pencipta, segalanya tertakluk kepada kehendak Pencipta berbanding kepada nada insan yang hanya mengakui akan kebesaran dirinya atau kebesaran kebendaan. Nada sumbang insan yang tidak menyedari akan kebesaran Pencipta wajar menyumbang kepada kerosakan diri mahupun persekitarannya. Ini kerana ia merubah nada fitrah sebenar insaniah yang dijadikan oleh Penciptanya dan adanya aturan-aturan yang digariskan oleh Penciptanya. Kerana insan itu sendiri dijadikan fitrahnya bernada hamba biarpun ia berkedudukan tinggi seperti seorang raja, seorang wazir, seorang pengurus, profesor dan seterusnya. Dalam mana bila fitrah insaniah yang bernada hamba kepada Penciptanya, namun dirobahnya sebagai nada seorang yang bukan hamba PenciptaNya, maka lahirlah kezaliman, kemungkaran, kesombongan dan keburukan-keburukan lain untuk seterusnya.

Dan kenyataannya juga, nada-nada yang melatari buat kehidupan setiap insan pastinya berubah-rubah, dari nada bahasa kanak-kanak, meningkat dewasa hingga keperingkat matang dan terakhir bila waktu meninggalkan alam kehidupan didunia ini. Manakala nada seorang yang menyangka dia akan selama-lamanya tinggal didunia ini tentu tidak sama dengan nada seorang yang memahami, dalam kehidupan ini, dia hanyalah seperti seorang pengembara, datang singgah lalu sampai waktunya terpaksa meninggalkan pergi....

Wednesday, March 04, 2009

Bahasa dan penampilannya - 2




Bahasa adalah merupakan suatu alat yang paling diperlukan dalam konteks komunikasi dan hadir dalam berbagai bentuk seperti butir-butir patah perkataan, tulisan-tulisan, bahasa dalam bentuk gambaran samaada dari objek-objek mahupun warna-warni, bahasa pergerakan tubuh-badan, bahasa isyarat dan seterusnya. Hadir dengan mengikut nada-nada tersendiri seperti contohnya samaada berbudi bahasa atau sebaliknya.

Bahasa lazimnya hadir antara perasaan dan pemikiran, dan ditampilkan sebagaimana perasaan yang dialami atau diatur-kawal mengikut pemikiran diri. Sebagai contoh seorang tua melihat seorang anak muda membonceng motor dengan laju didepannya, dari perasaan marah tanpa memikir, dia mengeluarkan bahasa kasar melaknat dan mengharap agar kecelakaan menimpa anak muda tersebut atau sebaliknya, dengan perasaan simpati memikirkan mungkin kemalangan menimpa anak muda tersebut, dia berdoa petunjuk dan pelindungan mahupun menasihati anak muda tersebut.

Seorang penyajak, seorang penyanyi, seorang penulis, seorang ahli politik dan seterusnya, hanya dengan mengikut perasaannya tanpa memikirkan apakah objektif sebenar yang disampaikan, bentuk bahasa penyampaiannya akan kelihatan kekosongan. Contohnya bahasa-bahasa ikhlan dimedia-media samaada media cetak atau elektronik, yang mempunyai objektif atau matlamat bagaimana apa yang disampaikan dapat menarik kepada apa yang diikhlankan. Disini, suatu usaha menarik perasaan dan lantas juga membuat pemikiran yang melihat ikhlan tersebut menuju padanya. Dan bahasa-bahasa ikhlan sendiri tampil dengan kemampuan memanipulasi perasaan mahupun pemikiran dalam mana, seluruh dunia sebenarnya saban waktu bergerak dibawah arus tersebut. Hanya pertanyaan, apakah yang diikhlankan merupakan sesuatu yang mendatangkan kemanfaat atau sebaliknya.

Objektif atau matlamat tentang apa yang hendak disampaikan adalah pemangkin pada setiap sesuatu bentuk bahasa yang digunakan. Sejauh mana objektif yang hendak disampaikan, sekuat itulah isi penampilannya. Kekadang, ianya adalah suatu yang amat kecil dipandangan mata seperti berbahasa salam samada ucapan "Assalamualaikum", "Selamat pagi" dan seterusnya, hanyalah dua-tiga patah perkataan namun kerana ada objektif beradab lahir bersama dalam berbahasa sebegitu, ia wajar sahaja membawa kesan kebaikan biarpun sedikit seperti perasaan dihormati, disenangi dan seterusnya. Atau pun bahasa sindiran, mungkin hanya dua-tiga patah namun wajar melukakan hati yang disindir.

Dan dengan kehadiran jaringan-jaringan internet yang mana mampu melepasi segala sempadan-sempadan penghalang dalam berkomunikasi, setiap insan mampu sahaja menampilkan apa sahaja bentuk bahasa yang dikehendaki. Tetapi dalam pada itu juga, ramai yang terperangkap diatas perasaan mahupun pemikirannya. Contohnya dalam forum-forum, chat-chat online atau blog-blog terutama yang memperkatakan tentang politik semasa dan seterusnya, segalanya mudah untuk mencurahkan apa sahaja perasaan tanpa berlapik diatas papan-papan keyboard. Mungkin masing-masing mempunyai objektif tersendiri namun lazimnya ramai yang terperangkap dalam suatu arus kehidupan yang bukan seperti dialam kehidupan realiti. Segala perasaan seperti contohnya perasaan marah, perasaan kecewa, perasaan bangga diri, perasaan gembira dan seterusnya dapat dicurahkan semahu-mahunya berserta dengan pemikiran yang hanya ditumpukan disitu saban waktu, tanpa tembuk penghalang. Dan ini adalah suatu kebenaran dimana terdapat berjuta-juta insan yang terbelenggu didepan kaca monitor komputernya siang dan malam tanpa menyedari, waktu kehidupannya dialam realiti semakin terbuang kosong. Terbelenggu dalam bahasa elektroniknya......



bersambung....

Monday, March 02, 2009

Bahasa dan penampilannya - 1


Kehadiran setiap bahasa adalah benar-benar suatu yang unik dalam mana setiap bahasa tersemadi didalamnya berpuluh-puluh ribu perkataan yang masing-masing membawa sesuatu makna. Dalam mana untuk menyampaikan sesuatu atau mengambarkan sesuatu, patah-patah perkataan yang digunakan adalah begitu bererti. Ianya memainkan peranan sesejak mula kewujudan insan sebagai perantaraan dalam menyampaikan apa yang didalam diri hingga kepersekitaran.

Kerana ini adalah sebahagian dari unsur kompleks kejadian insan, iaitu mempunyai lingkaran komunikasi yang hebat sekiranya dibandingkan dengan kehidupan lain iaitu haiwanat. Malah dalam hal ini juga, biarpun bila seseorang tersebut bisu misalnya, dia masih mampu mengungkap apa didalam dirinya hingga kepersekitarannya melalui bentuk-bentuk bahasa alternatif seperti dengan mimik muka, tangannya dan sebagainya.

Setiap bangsa samaada yang merangkupi bangsa-bangsa besar jumlah penduduknya atau pun besar pengaruhnya dalam mana sekali-gus meluas bahasanya seperti Mandarin, Arab, Melayu, Inggeris, Urdu, latin dan lain-lain, kebiasaannya bahasa-bahasa tersebut pada setiap zaman akan dilengkapi dengan patah-patah perkataan baru samaada diambil dari bahasa lain atau pun wujud patah-patah perkataan baru mengikut perkembangan masa atau permintaan semasa.

Bahasa juga melambangkan bangsanya, dan dari situ juga terbinanya tamadun disesuatu tempat samaada dari sudut budaya kehidupan, penyampaian kepercayaan, rukun tata cara kehidupan seharian dan seterusnya kepada pembinaan struktur generasi kemudian.
Dan bahasa juga yang sekiranya didalami, tentu sahaja terserlah akan ketinggian atau kemunduran sesuatu bangsa. Misalnya bahasa Melayu, bila didalami, bahasa ini sebenarnya dimiliki oleh bangsa yang berfikiran tinggi samaada disudut pengertian zahir dan batin mahupun dari sudut kefalsafahan kehidupan hariannya.

Contohnya yang jelas, bila memperkatakan tentang perasaan yang mana diakhir abad-abad ini, pengajian tentang psykologi begitu mendalam memperkatakannya, sedang dalam bahasa Melayu sendiri, ianya adalah suatu topik yang lumrah diperkatakan sesejak dahulu. Sebagaimana didalam bahasa Melayu banyaknya ungkapkan tentang perasaan atau berkait dengan hati seperti kecil hati, besar hati, sakit hati, susah hati, pedih hati, makan hati, suka hati dan seterusnya sehinggalah perkataan amuk dalam menyatakan suatu tekanan jiwa yang maha hebat sehingga lupa diri, luas dipergunakan diseluruh dunia.

Dari situ juga menunjukkan betapa beradabnya bangsa Melayu kerana mengambil kira akan perasaan insan lain, bukan hanya dari zahirnya. Malah patah-patah perkataan tentang perasaan yang mana merupakan suatu yang batin, wujudnya begitu banyak digunakan dalam kehidupan seharian seperti tunjuk perasaan, perasan, rasa tertekan, rasa kecewa, rasa gembira, rasa cemburu, rasa kasihan, rasa bangga diri, rasa segan, rasa terluka dan seterusnya. Ditambah dengan kemasukkan Islam dirantau nusantara, terutama yang ada kena-mengena dengan aliran tasawuf, maka berkembang pesat kedalam ungkapan bahasanya terutama disudut kerohanian seperti yang berkaitan dengan dalam diri insan atau penampilan luar iaitu akhlak.

Dalam mana juga, kehebatan seseorang itu bukan diukur hanya melalui luarannya seperti bergulung-gulung ijazah yang dimilikinya, kehebatan dalam berpidato dan sebagainya tetapi juga melalui penampilan yang datang dari dalaman dirinya. Contohnya, seseorang yang kelihatan berilmu hebat pada mereka yang belum mengenalnya, tetapi mempunyai budi-pekerti yang rendah seperti membidaahkan orang lain sesuka hatinya, memperkecilkan orang lain, mencerca atau mengeji tanpa bukti yang kukuh dan seterusnya, membuatnya diukur sebagai seorang yang hina kerana penampilan dalaman dirinya yang tiada berakhlak.



bersambung.....

Sunday, February 08, 2009

Program dan hayat - 2


Setiap yang berhayat pada asasnya telah tersemadi sesuatu atau berbagai-bagai program didalamnya. Sebagaimana tumbuh-tumbuhan, yang mana setiap benih telah ada program asas iaitu bagaimana bentuknya, kaedah yang diperlukan untuk pertumbuhannya (misalnya sebiji bijiran yang terdampar ditanah beku dimusim sejuk, selagi-mana belum mendapat suhu, kelembapan dan lain-lain yang diperlukannya seperti kedatangan musim bunga, selagi itu ia tidak akan tumbuh).

Sebegitu juga dengan haiwanat, yang mana setiap jenis haiwanat, ada cara-cara tersendirinya dalam membentuk kehidupannya samaada diperturunkan oleh generasi kegenerasi atau secara semulajadi tabiinya (misalnya ayam yang berkokok diwaktu pagi sebelum terbitnya matahari sehinggalah kepada kehidupan hariaannya sebagaimana ayam jantan dikelilimgi oleh banyak ayam betina dan seterusnya).

Pada kehidupan insaniah sendiri juga ada program-program asas yang mana sama sahaja pada asasnya tidak kira dari mana asalnya samaada Afrika, Asia atau Eropa, tidak kira warna kulitnya, bahasa ibunda dan seterusnya, yang mana asas programnya ini lahir dari fitrahnya sebagai insaniah yang berdiri diatas sifat haiwanat dan kemalaikatan. Antara nafsu dan akal, keperluan diri serta juga peraturan alamiah dan seterusnya semuanya dibawah peraturan Pencipta.

Hanya-sanya insaniah adalah berbeza dari kehidupan lainnya kerana dicipta dalam-mana setiap insan yang sihat akal pemikirannya wajar merupakan programer yakni berkemampuan memprogram kehidupannya, alam sekitar atau suasana, samada dalam quantity yang kecil sehinggalah kepada jumlah yang besar, bergantung kepada unsur seperti peranan, pengaruh, pengajak, penyata, penyebab, pengetahuan, pengayaan, perwatakan dan seterusnya yang mana juga membawa akibat kepada kebaikan atau sebaliknya.

Misalnya dari seorang ibu atau ayah yang secara semula-jadi adalah programer kepada anak-anaknya, seorang petani yang memprogramkan untuk apa dan bagaimana tanah yang diusahakan, seorang pengusaha bas-bas yang memprogramkan keperluan diatas pengangkutan disesuatu tempat dan seterusnya sehinggalah kepada seorang penjual rokok yang seakan dapat memprogramkan insan-insan lain datang kekedainya saban waktu untuk membeli rokok.

Semuanya hadir kerana insan diberi kemampuan berikhtiar atau membuat pilihan dan dunia amnya adalah dibawah "darul asbab", iaitu bergantung kepada sesuatu sebab, sebagaimana sebab seorang kanak-kanak menjadi baik adalah kerana didikan orang tuanya, sebab petani dapat menjana kehidupannya yang selasa kerana tanahnya yang subur, sebab seorang pengusaha bas dapat mengaut keuntungan kerana adanya permintaan yang tinggi diatas perkhidmatannya dan seterusnya sehinggalah sebab seorang penjual rokok dapat mengaut dari bahan tembakau yang kelihatan tidak membawa apa-apa kebaikan adalah kerana ketagihan perokok-perokok diatas sebab tembakau tersebut.

Sesuatu program tersebut lahir kerana adanya kaitan dengan sebab keperluan atau permintaan keatas sesuatu program tersebut tidak kira disudut manfaatnya atau mudaratnya. Namun yang membezakannya adalah apakah sesuatu program tersebut adalah untuk membantu sesuatu hayat atau sesuatu kehidupan tersebut memang dilahirkan untuk diprogramkan?

Dalam unsur negatif yang mana insan lazimnya diprogramkan seakan robot dan mematikan rasa insaniahnya adalah berpijak dari kawalan keatas insan tersebut samaada dari sudut perasaan mahupun pemikiran lalu tidak dapat lagi berfikir secara fitrahnya. Seakan sesuatu dadah yang disalurkan kedalam tubuhnya yang membuat dirinya ketagihan, jiwanya serta fikirannya terbelenggu lantas memenuhi permintaan untuk mendapatkan dadah tersebut biarpun diketahui ianya bukan suatu kebaikan. Atau suatu kuasa pukau yang menguasai dirinya lantas bertindak mengikut pemukaunya.

Unsur-unsur negatif yang memprogramkan insaniah, wujud dari pengaruh, himpitan mahupun permintaan kehidupan yang dilaluinya, sebagaimana misalnya seorang remaja yang begitu tertekan kerana masaalah keluarga mahupun masaalah dalam diri lalu mencari jalan keluar mengikut arus sekitar yang negatif. Atau atas unsur permintaan nafsu yang dirasakan membuat perasaannya melampau gembira samaada kerana kekayaan, kemegahan mahupun kekuasaan, lantas bersedia bertindak melakukan apa sahaja untuk memenuhi nafsu serakahnya. Atau juga unsur-unsur seperti dendam, dengki, khianat, angkuh, curiga yang berlebihan dan seterusnya dalam mana, tanpa disedari,dirinya tersepit dalam suatu program yang membawa kehancuran buat diri dan seterusnya buat sekitarnya. Dan tanpa disedarinya juga, jadilah dirinya sebagai robot-robot tentera syaitan yang bertindak memerangi kebenaran.

Unsur-unsur negatif juga banyak lahir dari dunia media, yang mana ramai insan sesejak kecil dibentangkan kepada sesuatu yang membuatnya berfikir, bertindak dan seterusnya melalui kehidupan sebagaimana apa yang didapati dari media. Dari situ juga mudah insan diprogramkan mengikut yang memprogramkannya dan ini adakah kenyataan sehingga tidak lagi hidup dalam alam fitrah insaniahnya sendiri tetapi mengikut tata-cara kehidupan yang disalurkan dari saluran media. "Mind control", pemikiran yang dikawal oleh sesuatu bahan yang membuat seseorang tersebut menuruti sahaja apa yang mengawal pemikirannya tanpa memikir manfaat atau mudaratnya.

Memang tidak dinafikan, ada juga manfaatnya dari media terutama yang berdiri dilandasan kebenaran tetapi mudaratnya dari yang berdiri dilandasan kebatilan telah menguasai dunia samaada dari studio-studio diHollywood, Bollywood sehinggalah kestudio-studio persendirian. Lihat sahaja contohnya tentang gaya mendedahkan tubuh badan yang dipamerkan lantas menjadi ikutan diseluruh dunia yang mana seterusnya banyaknya kes-kes keruntuhan moral berlaku angkara pemikiran yang diprogramkan oleh sesuatu pengaruh media yang merangsang kearah tersebut.

Dan salah satu contoh bagaimana media mengawal pemikiran adalah mengenai tindakan sesuatu negara yang berkuasa menyerang dan memusnahkan negara yang lemah dengan alasan-alasan yang tidak benar tetapi digunakan media sebagai alat propagandanya dalam mengaburi minda rakyat dunia keseluruhannya. Dan ini adalah realiti, dalam mana ribuan hingga keangka jutawan rakyat disatu-satu negara menderita disudut kehilangan nyawa mahupun harta-benda, namun media pihak bersalah yang menyerang negara tersebut tetap mempropagandakan bahawa mereka melakukan tindakan yang benar.


.......bersambung

Thursday, October 02, 2008

Program dan hayat - 1



Program boleh dikatakan suatu sistem, kaedah, cara, amal, bentuk, kerangka, atur-cara dan seterusnya yang diaplikasikan kepada sesuatu alat atau kehidupan dalam mana menghidupkan, melancarkan, menjayakan, menyelesaikan ataupun mengaturkan sesuatu yang terbabit dengannya.

Program yang samaada merupakan sampingan atau pun asas untuk sesuatu yang terbabit misalnya program untuk sesuatu alat seperti komputer, mesin-mesin, program kerakyatan atau masyarakat, program harian diri dan seterusnya adalah berpijak kepada situasi-situasi, keperluaan-keperluaan, pergantungan atau kaitan sesuatu tersebut dengan program yang tersedia.

Hayat pula adalah sesuatu yang berkemampuan untuk "digerakkan" atau "bergerak" dengan sendiri samaada yang tidak mempunyai roh seperti peralatan, tumbuh-tumbuhan dan seterusnya, ataupun sesuatu yang mempunyai roh seperti haiwanat mahupun seterusnya untuk insan, dan adalah lazimnya termaktub dalam pengiraan umur atau jangka masa kewujudan sesuatu tersebut.

Hayat sesuatu kehadiran yang dikira dari penglihatan mata-kasar (seperti jangka-hayat sesuatu alat atau kehidupan lahiriah dialam ini), dari yang terlalu halus seperti kuman hinggakan kepada yang terlalu besar seperti planet-planet serta juga sesuatu yang tidak dilihat oleh mata-kasar dan malah juga menjurus lebih mendalam maksudnya jika dikaitkan dengan sesuatu yang mempunyai roh (soul) .

Timbul pertanyaan apakah sesuatu hayat itu hadir untuk diprogramkan atau sesuatu program itu hadir untuk membantu sesuatu hayat tersebut? Terutama untuk insan, apakah kehadirannya untuk diprogramkan seperti mesin-mesin atau komputer dalam kata lain sebagai robot atau sesuatu program tersebut membantu kelangsungan hayatnya dalam kata sebagai "insan" yang sebenar?

Dalam dunia yang lazimnya direncanakan oleh insan, hadir banyaknya program-program samaada wujud dalam bentuk dari ideologi, atur-cara sesuatu masyarakat, jati diri, pegangan, hala tuju, tradisi, ketertiban, sesuatu yang untuk mengisi kelopongan masa, sesuatu pekerjaan dalam memenuhi keperluaan, dari minat atau kegemaran dan seterusnya.

Sesuatu program itu samaada ditekankan dalam bentuk pemaksaan atau sebaliknya yang mana keputusannya kekadang dapat menjayakan apa yang diharapkan atau juga menghasilkan implikasi, kesan musibah yang mengagalkan apa yang diharapkan.

Yang pasti, program lazimnya sesuatu yang jelas atau sesuatu yang mudah diperjelaskan sedang kehidupan terutama bila ditujukan kepada yang bukan hanya bentuk lahirah tetapi membabitkan kerohaniah, kewujudannya adalah sesuatu yang komplex, penuh tanda-tanya dan wajar juga diungkapkan sebagai penuh misteri yang mana juga berubah-ubah mengikut keadaan dalam jangka-hayat kehadirannya.

Misalnya seperti program untuk mengatur kehidupan sesuatu masyarakat yang terhasil dari ideologi iaitu samaada komunis, sosialis, kapitalis, sistem feudal, demokrasi, diktator dan lain-lain, bentuknya nampak jelas terutama bila diperjelaskan tetapi bila diaplikasikan kepada kehidupan insan, ia berubah menjadi sesuatu pertanyaan, apakah ada kejayaan disitu atau sebaliknya. Komunis misalnya yang memperkatakan kesama-rataan, tetapi apakah mungkin seseorang yang bekerja keras mendapat ganjaran dengan seorang yang tidak bekerja keras, atau demokrasi misalnya, apakah mungkin suara majoriti yang terlihat akan kesongsangannya (seperti majoriti membenarkan perkahwinan sejenis dll) mengatasi suara minoriti yang berdiri dilandasan benar? Atau kapitalis yang jelas siapa yang berusaha, dia mengaut keuntungannya tetapi apakah ini adalah lesen untuknya memonopolikan segala keuntungan dan menindas mereka yang dipihak kurang bernasib baik? Atau sistem feudal, apakah ini merupakan lesen untuk mereka yang berkuasa atau berdarah diraja boleh melakukan apa-apa kesalahan tanpa diadili?

Manakala misalnya dari sudut yang dipangil seni atau budaya samaada untuk penampilan bakat, penampilan fikiran, usaha diri, hiburan, pengisian masa-masa yang terlopong dan seterusnya yang mana hadir darinya program-program dalam berbagai bentuk untuk aktiviti kearah mempergiatkan kreativiti diri, perjumpaan-perjumpaan diatas sesuatu rencana, perangsangan keatas pemikiran, sesuatu untuk menghiburkan diri atau perkumpulan lazimnya juga mengundang kearah hayat yang diprogramkan untuk sesuatu tersebut dalam mana samaada disedari atau tidak dan samaada membawa kesan kebaikan atau sebaliknya.

Seperti ada yang bekerja keras sepanjang minggu hanya untuk menanti kedatangan hujung minggu atau malam minggu untuk dihabiskan masa dikelab-kelab hiburan, kasino dan lain-lain aktiviti yang mematikan perasaan keinsanannya sendiri. Atau yang menjadi peniru bulat-bulat dalam mengikuti penampilan sesuatu kumpulan contohnya musik yang diminati tanpa menghiraukan halal dan haram seperti pergaulan bebas antara bukan mahram atau tingkah-laku yang bercanggah dengan norma-norma insaniah dan dimengertikan itulah suatu kewajaran untuknya. Atau yang terjebak dalam kotak sesuatu pemikiran yang terhasil dari tulis-tulisan atau pengambaran seperti liberialismus, hidoismus, materialismus yang mana itulah hayat yang dimengertikan. Lalu kerana itu, terbelenggulah dalam suatu kancah kehidupan yang diprogramkan tanpa mengenal mana manfaat atau arah yang dituju darinya dan jadilah seperti robot-robot yang diprogramkan.


bersambung...

- Sedang Maha Pencipta yang menciptakan segalanya telah menyediakan program-program untuk membantu insan itu sendiri dalam menghayati kehidupannya. Samaada sesuatu program yang diwajibkan (seperti solat 5 waktu yang mana membawa insan itu sendiri terikat dalam hayat sebagai hambaNya disamping penegasan untuk khusyuk didalam solat agar hidupnya roh hamba dalam diri insan yang merupakan suatu kebenaran dan seterusnya) atau sesuatu yang digalakkan (seperti solat sunat tahajud dan lain-lain, ziarah-menziarahi untuk merapatkan siratul-rahim, bersedekah, menganjurkan kedamaian dan seterusnya) yang bila program-program ini diaplikasikan kedalam kehidupan seharian, hayat insan itu sendiri adalah terbebas dari belenggu sesuatu yang mematikan jiwanya atau sesuatu yang "merobotkan" dirinya.
Btn_brn_77x28

Tajuk

Abbasiyah (1) altruisme - ikram (3) Aqidah (1) art video (20) Austronesia (10) Bahasa dan penampilan (5) Bangsa Melayu (7) batas sempadan (9) Berita (15) Besi (1) Biography solihin (1) Budaya dan pengertiannya (16) catitan (2) cerdik/bodoh dan antaranya (6) cetusan minda (8) cinta dan syahwat (3) Doha - Qatar (2) Eid Mubarak (5) falsafah (2) Fantasia falasi (3) Fibonacci (1) Filem (2) fitrah (1) Fungsi seni (1) gangsa (1) hukum (6) huruf (2) hutang (1) ijtima (1) Iklan (2) imitasi dan memori (1) infiniti (5) jalan2 (2) kebangsaan/nationalisme (2) kebebasan bersuara (1) Kelahiran kesenian yang mengubah warna dunia. (1) Kembali sebentar tentang erti seni (Islam) (1) kerja otak (1) Kesenian dunia Islam (1) komunikasi (1) konsep kendiri (3) konspirasi (1) Lagu (1) Lentok tangan (1) Malaysia (3) Masa (10) Maslahah atau mafsadah (1) Maya (ilusi) (4) Melaka (1) Melayu (2) Melayu dan Islam (9) minda (2) musik (2) nukilan rasa (1) Pantang dalam berkarya (1) Pause (6) Pembetulan sejarah (3) Pengajian dan pengertian budaya (1) Perasaan dan pemikiran (5) Persepsi / Tanggapan (6) pointillism (2) populasi dunia (9) Produk sejarah (11) Program dan hayat (2) prosa (4) ramadan (2) realiti - kenyataan (7) Sajak (22) Sangkaan (2) sebab dan akibat (18) sejarah (14) sejarah Islam Nusantara (1) sejarah Melayu (4) Sejarah mengubah/terubah (5) Sejarah seni dalam kehidupan insan (1) Sejarah video (1) Seni Bahasa (2) Seni dalam imiginasi (1) seni kata (1) Seni logam (3) Seni textil (budaya berpakaian) (2) Seni-seni mempertahankan diri (1) sound (1) Srivijaya (3) Sunda (6) Tahap kesederhanaan (1) Tahap-tahap kehidupan (14) tenung bintang (1) Terkesan dengan suasana (2) Tradisional dalam makna (1) Ukuran dan kayu pengukurnya (2) updated (1) Usia manusia (3) vision (1) wang (7) Wujudkah kosong? (2) zarzh slide (12)

Catitan lalu

Insuran & Road Tax Online

tetangga