Sunday, August 10, 2008

Maya (ilusi) - 3


Didalam alam maya ini, sentiasa hadir perkataan "mungkin" untuk sesuatu yang mana sesuatu itu wajar sahaja berubah samaada dari sudut sesuatu tersebut sendiri mahupun dari pengaruh luaran sesuatu tersebut. Yang mana situasi, bentuk, rupa atau apa sahaja dari sesuatu tersebut "mungkin" sahaja berubah-rubah misalnya hari yang panas kehujan, sihat kesakit, pagi kepetang, hadir dalam kehidupan atau pergi dari kehidupan dan seterusnya.

Perkataan "mungkin" yang berasal daripada bahasa Arab dan telah sebati digunakan didalam Bahasa Melayu bukanlah bermakna "dualiti"(sebagaimana dualiti adalah bererti dua sifat yang berlawanan seperti malam-siang,lelaki-perempuan,hitam-putih dll) tetapi membawa erti adanya berbagai jalan, rupa, penyelesaian, suasana dan lain-lain untuk sesuatu yang dinyatakan berkaitan dengan perkataan mungkin. Misalnya dari warna hitam-putih mungkin adanya warna kelabu.

Dalam pertuturan untuk perkara yang lepas, perkataan mungkin adalah lebih menjurus kepada kebaikan kerana ia lebih menyampaikan adanya suatu pilihan lain, suatu alternatif dari yang dilalui atau yang berlaku, adanya suatu cubaan memperbaiki
dan lain-lain berbandingkan dengan perkataan "kalau", yang lebih menjurus maknanya kepada kekecewaan, ketidak penerimaan terhadap apa yang berlaku atau taqdir sesuatu itu berlaku, penyesalan dan lain-lainnya.(Sebagaimana adanya perbezaan antara
"Probability" dengan "if")

Lantas berpijak diatas perkataan mungkin, segalanya dialam maya ini dipengaruhi oleh kemungkinan, yang mana membawa maksud juga bahawa, tiada yang tetap (kecuali apa yang ditetapkan dan ditunjukkan oleh Pencipta alam). Sebagai contoh, seseorang itu mempunyai I.Q yang tinggi, tetapi kemungkinan E.Qnya rendah atau sebaliknya, seseorang yang begitu mendalami sesuatu bidang tetapi kemungkinan besar dia tidak menguasai segala bidang, seseorang yang mempunyai segala harta-benda tetapi kemungkinan jiwanya tertekan, sesebuah negara yang kelihatan begitu maju dari segi kebendaan tetapi kemungkinan rakyatnya ramai yang mengalami keruntuhan moral, sesesuatu keputusan yang dilihat sebagai penyelesaian buat masaalah kehidupan harian tetapi kemungkinan membawa kesan jangka-panjang yang buruk dan seterusnya.

Atau ubat yang pahit tetapi kemungkinan ubat tersebut membantu mencegah sesuatu penyakit, suasana perkampungan-perkampungan yang kelihatan bosan kehidupannya buat seseorang yang sentiasa bergerak pantas tetapi kemungkinan suasana tersebut dapat menenangkan jiwa, aktiviti-aktiviti amal jariah seperti membantu golongan tidak berupaya, menziarahi sesamanya, berpesan-pesan kearah kebaikan dan lain-lain
yang dilihat sebagai membazirkan waktu tetapi kemungkinan itu adalah suatu yang membawa kebaikan besar pada diri dan masyarakat, kehidupan yang tidak berkiblatkan kebendaan yang dilihat sebagai kemunduran tetapi kemungkinan itulah kehidupan yang membawa ketenangan serta melindungi diri dan masyarakat dan seterusnya.

Dalam arus kemungkinan-kemungkinan ini, insan lazim sahaja bereksperimen, mencari penyelesaian keatas sesuatu masaalah, berteka-teki mahupun ia terjebak kedalam sesuatu masaalah, namun darinya juga lahir kefahaman, kematangan, kejayaan, kegagalan dan lain-lainnya. Segala yang dicipta insan samaada untuk kegunaan harian mahupun untuk melalui kehidupan harian lazimnya dibawah faktor ini, misalnya kemungkinan membina roda-roda yang berpusing dapat membantu melancarkan pergerakkan benda-benda berat, lantas dari situ, diciptanya roda dalam berbagai bentuk dan cara dan sehingga kehari ini, penggunaan keatasnya sentiasa dipertingkatkan dalam berbagai bentuk dan sentiasa diperbaharui.

Kemungkinan-kemungkinan juga wujud dalam bentuk lahirian atau batiniah, nyata atau ghaib, sesuatu yang jelas atau sebaliknya, logik atau tidak dan seterusnya. Misalnya adalah jelas dengan beranggota sempurna maka seseorang itu dapat bergerak bebas tetapi bagaimana pula dengan yang beranggota sempurna tetapi tidak dapat bergerak langsung, mungkinkah dia lumpuh, koma atau mungkinkah roh didalam jasadnya yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar telah keluar dari jasadnya? Seorang yang kelihatan begitu sihat mental dan fizikalnya, tiba-tiba meracau-racau, mungkinkah dia mengalami tekanan jiwa, histiria atau dalam pengaruh sesuatu bahan yang mengkhayalkan? Seorang yang kelihatan begitu terpelajar lalu dipilih mengetuai sesuatu masyarakat tetapi tindakan-tindakannya mengundang kehancuran kepada masyarakat tersebut, mungkinkah dia tidak berpengalaman, mementingkan diri sendiri dan seterusnya? Atau seseorang yang mempercayai sesuatu batu, pokok, patung-patung dan lain-lain dapat membantu dalam penyelesian masaalah kehidupan hariannya, tetapi apakah mungkin benda-benda yang tiada langsung bermaya dapat membantunya?

Begitulah dunia maya ini yang terikat dibawah perkataan "mungkin" atau kemungkinan dan kerana adanya ikhtiar serta dugaan yang diberikan kepada insan, Pencipta Alam tidak membiarkan insan hanyut begitu sahaja dalam kemungkinan-kemungkinan insan itu sendiri, tetapi diutusNya para-para anbiya hinggalah kenabi terakhir dan seterusnya dipikul oleh umat nabi terakhir untuk membimbing insan sekelian kearah suatu kebenaran biarpun insan itu sendiri melalui kehidupannya dalam seribu kemungkinan. Dalam mana rangka kehidupan yang ditunjukkan oleh Rasulullah adalah benteng agar umat terlindung daripada kemungkinan-kemungkinan buruk menimpa mereka didunia dan diakhirat.

Bersambung....

Friday, August 01, 2008

Maya (ilusi) - 2


Alam maya, yang mana dalam menghadapi kehidupan seharian dalam waktu-waktu dialam maya, sentiasa adanya suasana atau keadaan bermaya mahupun tidak bermaya. Dari segi fizikal hingga ke mental, lahiriah ke batiniah. Bermaya atau berkeupayaan untuk sesuatu perkara, bidang, ruang, permintaan kehidupan dan seterusnya adalah suatu ikatan yang utama dalam menghadapi kehidupan dialam maya.

Kerana kewujudan setiap sesuatu dialam maya ini bergantung kepada sesuatu asbab, menyabitkan keupayaan sesuatu itu terletak keatas faktor asbabnya. Contohnya sebagaimana yang diketahui melalui penderiaan kasar, bahawa setiap yang hidup bergantung kepada kewujudan air, dari segala haiwan hingga ketumbuh-tumbuhan. Dan dari dari situ juga hadirnya akan keupayaan sesuatu tempat untuk menyediakan dataran untuk kehidupan, kerana semakin kontang kawasannya, maka semakin mengecillah peluang untuk kehidupan samaada untuk tumbuh-tumbuhan hingga ke haiwanat. Disamping bergantung kepada faktor lainnya seperti qualiti air tersebut, quantiti, bahan kandungan air tersebut ( seperti air laut yang masin, untuk kehidupan darat adalah suatu yang tidak sesuai, tetapi untuk kehidupan laut, ia memang memerlukannya) dan seterusnya. Malah bila ia berlebihan pula, ianya sebaliknya berupaya memudaratkan kehidupan itu sendiri seperti fonemena ribut-banjir dan lain-lain.

Sebagaimana juga, untuk menghadirkan sesuatu tenaga yang samaada untuk menjanakan cahaya, membakar dan seterusnya memerlukan asbab seperti minyak, arang batu dan lain-lain bahan pembakar, tetapi bila diperhatikan matahari mahupun didalam bumi sendiri, adanya tenaga yang hebat yang belum dikenali dengan begitu pastinya dari mana sumber tenaganya yang tidak putus-putus, tetapi tetap saban waktu ia berupaya menghasilkan haba yang dahsyat yang mana juga membantu kelangsungan kehidupan dialam maya ini. Dan sebagaimana asbab air, asbab haba juga sekiranya ia berlebihan, ia bakal memusnahkan kehidupan yang bergantung keatasnya seperti gunung-gunung berapi yang mengeluarkan lahar-laharnya, sinar matahari yang tinggi menembusi atmosphera bumi dan seterusnya.

Kerap juga terjadi, sesuatu unsur yang membawa asbab yang jelas kesan dari asbab tersebut sendiri, boleh berubah. Seperti contohnya, atas faktor asas asbab kejadiaan air iaitu H2O, unsur hidrogen yang merupakan asbab pembakaran dan juga oksigen yang merupakan juga asbab membantu pembakaran tetapi bila dicantumkan menjadi molekul air yang begitu berlawanan dengan segala asbab asasnya yang membantu pembakaran dan malah air berupaya digunakan untuk mencegah kebakaran. Namun diatas unsur asasnya itu, ia dapat pula mengalirkan elektrik yang pada mata kasar adalah bertentangan dengan keupayaan air itu sendiri.

Selain itu, adanya suatu keupayaan yang tidak dapt dilihat dengan mata kasar, hanya dirasai seperti oleh deria sentuhan iaitu udara, bau-bauan, rasa-rasa yang terdapat contohnya didalam makanan, buah-buahan dan lain-lain, bunyi-bunyian, haba dan seterusnya. Mahupun juga keupayaan diatas perasaan insan itu sendiri seperti atas rasa cintanya kepada sesuatu, ia sanggup berkorban apa sahaja, atas rasa takutnya keatas sesuatu, ia merasa tidak aman, atas rasa gembiranya pada sesuatu, ia merasa selesa dan seterusnya. Sedang dalam diri insan itu sendiri, tersimpan sejuta rahsia keupayaan, dari akalnya hingga kejantungnya yang saban detik berupaya mengepam darah keseluruh anggota badan melalui pembuluh-pembuluh darah yang begitu seni saiz salurannya tetapi bila dicantumkan, berkilometer panjangnya.

........bersambung



Keupayaan untuk kelangsungan kehidupan dialam maya, jelas pasti telah diatur akan tahap-tahapnya keupayaan sesuatu tersebut yang mana juga melihatkan adanya suatu kuasa ghaib yang Maha Agung yang melepasi segala faktor asbab dan yang menghadirkan segala asbab. Yang Maha Agung yang menyusun segalanya dibawah tertib yang dikehendakiNya.

Tuesday, July 15, 2008

Maya (ilusi) - 1


Suatu perkataan yang berasal dari bahasa Sanskrit yang telah lazim digunakan didalam kamus Melayu, dan merupakan sebahagian dari Bahasa Melayu membawa terjemahan kepada ilusi, antara nyata dan tidak nyata (alam maya, alam fana, bayangan maya dll).

Dari sudut dunia komputer pula, "Virtual Reality" juga dikenal sebagai realiti maya yang mana adalah teknologi yang membuat pengguna dapat berintegrasi dengan suatu lingkungan yang disimulasikan oleh komputer (computer-simulated environment), lingkungan samaada yang sebenarnya ditiru atau lingkungan yang hanya ada dalam imaginasi. Lingkungan realiti maya terkini umumnya menyajikan pengalaman visual, yang ditampilkan pada sebuah layar komputer atau melalui sebuah penampil stereoskopi (Stereoscopy), dengan beberapa simulasi disertakan tambahan maklumat hasil dari penderiaan, seperti suara melalui speaker dan lain-lain.

Manakala dari tafsiran perkataan maya pula, ia membawa suatu erti yang berbagai dan mendalam, mengikut kefahaman mahupun pegangan seseorang sebagaimana contohnya, dunia ini digelar alam maya, yang mana dalam menghadapi kehidupan seharian yang nyata, insan itu sendiri terperangkap dalam dunia fata-morgananya, dunia ilusinya, dunia mimpinya, dunia antara permintaan zahiriah mahupun lahiriah, dunia yang penuh fonemena yang logik atau pun yang tidak dapat dijangkau oleh segala deria mahupun dengan alat pembantunya dan begitulah seterusnya.

Dan setiap insan yang hadir dalam alam maya ini, akan pergi dan tiada siapa yang mampu tinggal selama-lamanya dalam alam maya ini. Hadir dalam tarikh sekian-sekian, dan akan pergi juga bila tarikh pemergiannya datang. Dalam erti, dunia yang didudukinya tidak dapat dimiliki selama-lamanya, hatta tubuh-badannya sendiri yang mana bukan kepunyaan mutlaknya, akan ditinggalkannya. Biarpun sekian lama diusahakan agar tubuh-badannya awet muda, namun bila datang waktunya, maka menjadilah tubuh-badannya reput, hancur hingga menjadi debu. Atau pun sesuatu yang tidak diduga terjadi kemalangan atau seseuatu penyakit yang menimpa, yang mana menyebabkan kehilangan sebahagian tubuh-badannya. Sebagaimana juga segala harta miliknya yang mana sampai suatu ketika, segalanya terpaksa ditinggalkan, biarpun selama hidupnya, dilakukankan apa sahaja cara untuk menokok-tambahkan hartanya.

Lantas alam (maya, fana) yang tidak kekal ini, memerlukan suatu pengertian akan erti kehadiran setiap yang bernyawa dan manakah arah seterusnya untuk kealam (baqa) yang kekal abadi....


bersambung....

Wednesday, July 02, 2008

Sangkaan 2


Detik-detik kehidupan memang sentiasa dilitari oleh sangkaan-sangkaan tidak kira yang membawa impak kebaikan atau sebaliknya bergantung kepada keadaan seseorang individu mahupun sesebuah masyarakat. Kebiasaannya sangkaan kepada suatu kebaikan membuahkan kebaikan tetapi terjadi juga sangkaan-sangkaan kepada sesuatu yang buruk akan berlaku membawa kebaikan. Misalnya seorang gadis yang menyangka bahawa bila dia bercampur bebas dengan pemuda bukan muhrimnya akan membawa keburukan kepadanya, dalam mana dengan sangkaannya itu, dia secara terang telah melindungi dirinya berbanding gadis-gadis yang menyangka baik kepada sesiapa sahaja lalu terjadi sesuatu yang buruk kepadanya yang mungkin sehingga meragut maruah dirinya.

Sebagaimana sangkaan buruk terhadap sesuatu dalam mana cuba melindungi diri atau sesebuah masyarakat seperti menyangka sesuatu keburukan akan terjadi sekiranya mereka terlalu bertolak-ansur sehingga membelakangkan hak-hak mereka sendiri (seperti campur-tangan pihak asing keatas sesebuah negara, dominan sewenang-wenangnya bangsa asing keatas sesebuah negara yang berdaulat) atau sangkaan buruk keatas kehidupan yang dalam keadaan terlalu "terbuka" (seperti media-media yang terlalu terbuka, pemikiran-pemikiran yang terlalu bebas, keadaan sosial masyarakat sekitar yang terlalu bebas yang mana pemuda-pemudi sewenangnya bercampur-gaul dll), memungkinkan mereka akan melindungi dari terjajah atau tertindas oleh pihak-pihak lain yang hanya mementingkan keuntungan diri, mahupun memungkinkan mereka dapat mengawal keruntuhan moral dikalangan masyarakat.

Sangkaan-sangkaan adalah berpusat dari dalaman diri, dari keadaan jiwa diri lalu beralatkan pemikiran, ianya bercambah. Bertolak dari anggapan, dugaan, teka-teki, rasa hati, firasat diri serta bersumberkan samaada dari fakta yang benar atau pun sebaliknya. Seterusnya ianya akan lahir kepenampilan. Sewajar sangkaan-sangkaannya adalah berpenghulukan kepada kebaikan atau mengharapkan kebaikan dan bila sesuatu yang masaalah berlaku, langkah pertamanya adalah bagaimana menyelesaikan dalam bentuk yang paling baik berbanding seseorang yang bercelaru jiwanya serta mengharapkan keburukkan yang mana akan mengambil tindakan-tindakan yang meluru yang merumitkan lagi sesuatu keadaan.

Dan lazimnya juga sangkaan-sangkaan yang buruk yang tidak berfaktakan adalah suatu kesilapan, jadi wajarnya bagaimana sangkaan-sangkaan buruk ini dikawal pada tahap minimum, kerana selama-mana ia tidak ditampilkan dalam bentuk kata, perilaku atau bentuk-bentuk penyampaian seperti tulisan, ianya masih berfungsi sebagai suatu perasaan dalaman dalam keadaan mana sentiasa beringat-ingat akan sesuatu keburukan yang bakal menimpa. Dan dalam penyangkaan akan sesuatu keburukan bakal menimpa, sewajarnya ditampilkan dalam bentuk berhikmah atau secara "halus" untuk penyelesaiannya. Katakan seseorang yang begitu curiga perilakunya serta perwatakannya yang kasar, tentunya yang lain harus berhati-hati tetapi selama-mana belum terbukti akan tindakan-tindakan salahnya, maka adalah suatu kesilapan sekiranya menuduh membuta-tuli bahawa dia adalah seorang yang jahat. Mungkin itu hanya adalah pembawakannya samaada dari didikan kecil sebegitu atau keadaan sekitar yang membuatnya bersikap sebegitu, jadi jalan membawanya kearah kebaikan sentiasa terbuka berbanding dengan cara yang berdepan menghinanya atau mencemuhnya, yang menyebabkan persengketaan. Disinilah jugalah tugas-tugas seorang yang mengajak kearah kebaikan memerlukan suatu hikmah yang besar.

Sangkaan-sangkaan yang buruk adalah juga suatu permainan diri yang biasa sahaja mengundang diri kepada kerundungan. Kerana sangkaan-sangkaan buruk yang keterlaluan atau tidak berasas adalah juga antara suatu tekanan jiwa. Tidak kira siapa insan tersebut, dengan sangkaan-sangkaan yang buruk, ianya mengeruhkan keadaan mahupun merungsingkan diri. Misalnya seorang suami atau seorang isteri yang bersangkaan buruk keatas pasangannya tanpa asas, maka hiduplah pasangan tersebut dengan penuh curiga dan dipenuhi perasaan cemburu. Kehormanian rumah-tangan tergugat dan memungkinkan keperingkat keluarga berpecah-belah.

Dalam keadaan kehidupan sesebuah, setiap insan akan sentiasa berubah-rubah keadaannya bergantung kepada amalan kehidupan sehariannya. Dalam kehidupan seorang muslim, berpandukan ajaran Islam, setiap insan yang menghayati pegangannya serta juga melaksanakan amalan-amalan yang ditunjukkan oleh Rasulullah, keadaan perasaan seseorang tersebut diikat untuk membawa kearah kedamaian diri. Perasaan dirinya yang tidak terlalu tertumpu kepada mahluk, perasaan diri yang tidak mementingkan diri sendiri, perasaan diri berbentuk sederhana, perasaan diri yang dikawal dalam bentuk beradab, perasaan diri yang menghargai kehidupan lain, perasaan diri yang risau merana didunia serta akhirat dan lalu beralatkan pemikiran yang sentiasa menuju proses kematangan tentunya membuahkan suatu hasil kedamaian jiwa.

Dan didalam ajaran Islam, syaitan akan sentiasa mengatur rancangan-rancangannya dengan menghasut iaitu menaburkan racun-racun keburukkan serta persengketaan. Kekuatan syaitan bukanlah dalam bentuk fizikal, tetapi bagaimana hasutan-hasutan jahatnya dapat tampil kedalam kehidupan seseorang individu mahupun sesebuah masyarakat tidak kira dalam bentuk apa pun, sehinggakan insan atau sesebuah masyarakat itu sendiri mengambil langkah fizikal seperti terjadinya persengketaan, kezaliman dan seterusnya.

bersambung...

Friday, June 27, 2008

Sangkaan 1


Salah satu yang mencorakkan kehidupan seseorang atau sesebuah masyarakat adalah melalui sangkaan-sangkaan mereka saban waktu. Sangkaan dari individu kekadang mampu mempengaruhi masyarakat sebagaimana sangkaan dari sesebuah masyarakat mampu mencorak individu-individu yang berpegang pada sangkaan-sangkaan tersebut.
Begitulah hebatnya pengaruh-pengaruh dari sangkaan hinggakan peringkat membabitkan pegangan mahupun kepercayaan.

Sangkaan-sangkaan adalah lahir dari rasa diri akibat seperti khabar yang didapati, sesuatu yang dipelajari, sesuatu yang diketahui tidak kira dari sumber mana mahupun deria mana seperti dari deria penglihatan, pendengaran, sentuhan, rasa lidah lalu kemudian seterusnya maklumat yang didapati ini dibentuk melalui alat pemikiran yang menghasilkan sangkaan bercambah, kemudian pula ditambah samaada adanya sumber yang benar atau yang batil. Dari sangkaan -sangkaan yang remeh hingga kepada sesuatu sangkaan-sangkaan yang berat yang mampu mencorak kesan besar darinya.

Sangkaan-sangkaan terbahagi kepada yang baik mahupun yang benar, sangkaan-sangkaan biasa dan juga yang jelek serta penuh dusta. Yang baik misalnya yang dipanggil husnul zhan (berbaik sangka) selalunya mengundang kebaikan apatah lagi jika sangkaan-sangkaan yang lahir dari kebenaran seperti menyangka dengan membantu fakir miskin akan menghasilkan kebaikan pada diri dan seterusnya. Manakala sangkaan-sangkaan biasa adalah spontan dalam merempuh kehidupan harian seperti bila melihat awan, disangka akan turun hujan sedang sangkaan-sangkaan yang jelek misalnya suul zhan (berburuk sangka) biasanya lebih mengundang kepada keburukan atau juga sangkaan-sangkaan yang lahir dari keburukan seperti menyangka bila dibantu fakir-miskin maka rugilah nanti diri dan seterusnya. Suul zhan biasa juga membawa pertelingkahan kerana ia biasanya menyebabkan perasaan curiga keterlaluan, benci, dendam dan seterusnya kepada perasaan yang tidak menaruh langsung kepercayaan keatas sesesuatu atau seseorang walaupun telah terbukti kebenarannya.

Sangkaan-sangkaan akan sentiasa berligar diminda-minda insan, tidak kira samaada yang kaya mahu pun yang miskin, yang kuat mahu pun yang lemah, yang bijak mahu pun yang kurang bijak, yang sihat mahu pun yang sakit dan seterusnya.

Dalam dunia seni atau kebudayaan, dari sangkaan-sangkaan, tanpa disedari banyak mempengaruhi atau mencorakkannya. Ini kerana, sangkaan adalah terhasil dari minda imiginasi, imitasi mahupun ilusi. Salah satu contohnya; seseorang itu menyangka bila dia memakai pakaian sekian-sekian rupa, dia kelihatan hebat, lalu dipakainya yang mana kemungkinan ditiru pula oleh pihak lain atau dikeji kerana kelihatan ganjil. Tetapi disitu telah bermula sesuatu dari sangkaan-sangkaan. Ini jelas berlaku dalam berbagai hal dan impaknya telah mencorak kehidupan seseorang mahupun sesuatu masyarakat.

Dalam pegangan pula, samaada menghasilkan sangkaan yang membawa kerugian diri seperti sangkaan yang dipanggil khurafat iaitu menyangka sesuatu seperti batu, patung, pokok-pokok dan lain-lain berkuasa (sedangkan iainya mahluk dan tiada berkuasa) ,atau sangkaan-sangkaan yang membawa kebaikan pada diri seperti sangkaan terhadap keEsaan Allah, kebesaran Allah dan seterusnya, yang membuat diri mempunyai sifat syukur, tawakal, menerima taqdir dan seterusnya.

Bersambung…..
Btn_brn_77x28

Tajuk

Abbasiyah (1) altruisme - ikram (3) Aqidah (1) art video (20) Austronesia (10) Bahasa dan penampilan (5) Bangsa Melayu (7) batas sempadan (9) Berita (15) Besi (1) Biography solihin (1) Budaya dan pengertiannya (16) catitan (2) cerdik/bodoh dan antaranya (6) cetusan minda (8) cinta dan syahwat (3) Doha - Qatar (2) Eid Mubarak (5) falsafah (2) Fantasia falasi (3) Fibonacci (1) Filem (2) fitrah (1) Fungsi seni (1) gangsa (1) hukum (6) huruf (2) hutang (1) ijtima (1) Iklan (2) imitasi dan memori (1) infiniti (5) jalan2 (2) kebangsaan/nationalisme (2) kebebasan bersuara (1) Kelahiran kesenian yang mengubah warna dunia. (1) Kembali sebentar tentang erti seni (Islam) (1) kerja otak (1) Kesenian dunia Islam (1) komunikasi (1) konsep kendiri (3) konspirasi (1) Lagu (1) Lentok tangan (1) Malaysia (3) Masa (10) Maslahah atau mafsadah (1) Maya (ilusi) (4) Melaka (1) Melayu (2) Melayu dan Islam (9) minda (2) musik (2) nukilan rasa (1) Pantang dalam berkarya (1) Pause (6) Pembetulan sejarah (3) Pengajian dan pengertian budaya (1) Perasaan dan pemikiran (5) Persepsi / Tanggapan (6) pointillism (2) populasi dunia (9) Produk sejarah (11) Program dan hayat (2) prosa (4) ramadan (2) realiti - kenyataan (7) Sajak (22) Sangkaan (2) sebab dan akibat (18) sejarah (14) sejarah Islam Nusantara (1) sejarah Melayu (4) Sejarah mengubah/terubah (5) Sejarah seni dalam kehidupan insan (1) Sejarah video (1) Seni Bahasa (2) Seni dalam imiginasi (1) seni kata (1) Seni logam (3) Seni textil (budaya berpakaian) (2) Seni-seni mempertahankan diri (1) sound (1) Srivijaya (3) Sunda (6) Tahap kesederhanaan (1) Tahap-tahap kehidupan (14) tenung bintang (1) Terkesan dengan suasana (2) Tradisional dalam makna (1) Ukuran dan kayu pengukurnya (2) updated (1) Usia manusia (3) vision (1) wang (7) Wujudkah kosong? (2) zarzh slide (12)

Catitan lalu

Insuran & Road Tax Online

tetangga