Tuesday, November 13, 2007

"Terkesan" dengan suasana - 1

Dalam arus suasana sekitar dalam kehidupan harian, pada seseorang insan itu, samaada disedari atau tidak, ianya mampu membawa kesan kedalam jiwa. Kesan keatas pendirian, pemahaman untuk sesuatu, penampilan diri dari sudut pemikiran, perkataan mahupun tingkah-laku.

"Terkesan" dengan suasana, mampu membawa perubahan drastik pada mana-mana jiwa. Ini adalah lumrah, kerana setiap yang berjiwa itu, mempunyai naluri rasa atau perasaan. Yang menjadi persoalannya, apakah sesuatu suasana yang mengajak kearah kebaikan, kearah menjadi jiwa-jiwa yang diredhai Allah atau sebaliknya.

Lazimnya, bila memperkatakan tentang suasana sekitar, ianya membawa erti juga cara kehidupan atau budaya sekitar. Bagaimana insan sekeliling berfikir, berkata, berpakaian dan seterusnya hingga kemuncaknya adalah kepada kepercayaan yang dipegangi.

Dan pengaruh-pengaruh yang mewarnai alam suasana sekitar wajarnya berubah melalui masa atau musim adalah bergantung besar kepada kehidupan yang dilalui seperti dalam keadan aman atau penuh konflik, dalam keadaan suasana insan sekitar adalah kalangan mereka yang beradab atau mereka yang tiada adab, mereka yang berfikiran matang dan mengutamakan kebaikan atau mereka-mereka yang hanya mementingkan diri sendiri tanpa menghirau kesan seterusnya. Dalam mana, boleh dikatakan, semua faktor-faktor yang mempengaruhi alam suasana sekitar adalah berpusat dari insan-insan yang menghuni alam disesuatu waktu tersebut.

Hari ini, faktor-faktor yang mempengaruhi atau membawa kesan kealam suasana sekitar adalah bersifat global tanpa sempadan kerana telah tersedia ada segala bentuk saluran komunikasi seperti dari bahan-bahan cetakan berupa buku-buku, majalah, akhbar-akhbar dan seterusnya kepada alat-alat elektronik. Apa yang terjadi atau diperkatakan, dipertontonkan mahupun dipergayakan disesuatu daerah, dengan sekelip mata dapat diketahui dan dihidupkan didaerah lain yang beribu-ribu kilometer jaraknya.

Biarpun tidak dinafikan, ada unsur-unsur kebaikan dalam keadaan dunia yang bergerak pantas, tetapi lazimnya unsur-unsur keburukan adalah lebih besar dari kebaikan. Kerana adat kebatilan hadir pantas dalam keadaan memenuhi segala keinginan namun lekas juga nanti meninggalkan kesan keburukan berbanding adat kehadiran sesuatu kebenaran (haq) yang mengambil masa dan pengorbanan namun seterusnya membawakan kesan kebaikan yang berpanjangan.

Apa sahaja pengaruh-pengaruh dari hajat bersifat mengejar duniawi yang membawa kesan pada diri ada noktahnya, seperti contohnya, sebanyak mana kita meminati sesebuah lagu, sampai satu ketika akan hadir jemunya. Manakala sesuatu yang bersifat kembali kepada Pencipta, tiada noktahnya dan malah disedari iainya akan menetapkan pegangan diri yang mana sampai suatu tahap, insan tersebut tidak akan "terkesan" dengan suasana. Apa pun suasana sekitarnya, telah tetaplah dirinya dengan jalan yang dilalui dalam kehidupannya sebagai hamba Allah dan pengikut Rasulullah s.a.w.

Saturday, September 01, 2007

Thursday, April 26, 2007

Sejarah seni dalam kehidupan insan- 1

Seni atau apa yang dikatakan bidang kesenian adalah suatu bahagian dalam kesampingan kehidupan yang dilalui oleh manusia didunia ini. Hadir diatas permintaan untuk memenuhi kehidupan harian mahupun juga dihadirkan atas cita-rasa insan yang mempunyai naluri tersendiri. Dan iainya hadir dalam berbagai bentuk hasil aktiviti-aktiviti kehidupan insan itu sendiri.
Selalunya ia membantu mengindahkan, memudahkan mahupun membina pemikiran yang cergas, namun tidak juga dinafikan bahawa kekadang kehadirannya dalam bentuk yang salah mampu memberi kesan yang mengundang keburukan pada kehidupan insan itu sendiri.
Sebagai misalnya, kehadiran awal seni membina atau melakar bentuk-bentuk mahluk hidup yang mana bermula seawal sejarah insan itu sendiri. Bermula antara zaman Nabi Adam dengan zaman Nabi Nuh. Antara Nabi Adam dan Nabi Nuh, diberitakan oleh Ibn Abbas adalah sepuluh "Qarn", iaitu sepuluh kurun atau sepuluh keturunan, dan didalam jarak ini, lahirnya beberapa generasi solehan. Antaranya adalah Wadd, Yaghuth, Yakuq, Suwa dan Nasr. Wadd merupakan yang tertua, terpintar serta tinggi darjat kesolehannya.
Namun selepas kematian para-para solehan ini, syaitan membisik dan mengilhamkan generasi seterusnya untuk membina sesuatu buat mengenangkan mereka. Mulanya diukir patung-patung yang mirip bentuknya mahupun melakar gambar-gambar serta memanggil-manggil seperti mengarang kata-kata yang indah buat mengenang para-para solehan ini. Malah untuk memanggil hujan pun, disebut-sebut nama-nama mereka.
Setelah berlalu beberapa generasi, akhirnya generasi kemudiannya mengangkat para-para solehan tersebut setaraf dengan Allah (Nauzubillah), dan tenggelamlah insan diwaktu itu dibawah kesyirikan sehinggalah kehadiran Nabi Nuh yang menyeru kembali insan agar menyembah Allah yang esa.
Berhala-berhala dalam bentuk-bentuk rupa Wadd, Yaguth, Yaquq, Suwa dan Nasr adalah berhala-berhala yang mula-mula disembah oleh insan yang hidup dalam kesyirikan dan sejarah telah membuktikan, perkara-perkara sebegini kerap berulang, lantaran itu, Islam hadir dengan syariat-syariat yang ditunjukkan oleh Nabi Muhamad s.a.w, bukan sahaja membimbing insan sekalian kearah kebenaran, malah melindungi agar kealfaan atau kesilapan yang lalu tidak berulang.

Wednesday, March 14, 2007

Tahap kesederhanaan seni- 1.

Jalur seni didalam Islam itu sendiri adalah berlandaskan kesederhanaan samaada dari segi penampilannya hingga kepemikirannya. Disini kita akan bertanya, apakah erti kesederhanaan, dan pertanyaannya kekadangnya akan kembali pada pengertiaan melalui tahap perjalanan kehidupan harian dan pemikiran seseorang insan.
Untuk tahap lumrah buat sekelian insan, tahap kesederhanaan adalah sama seperti tahap suhu badan seseorang insan biasa, adalah 37 darjah dan bila suhunya meningkat hingga ketahap ekstrim panasnya, maka kita akan mengalami deman panas bahkan keperingkat membahayakan tubuh badan, manakala bila suhunya menurun, akan menganggu juga kesihatan diri, sehingga keperingkat yang boleh meragut nyawa.
Untuk tahap kesederhanaan yang terikat pada suasana disekitar, ianya bergantung kepada keadaan sekelilingnya seperti bila kita berada hampir dengan kutub utara maka kita akan mengalami suatu cuaca yang terlalu sejuk, hanya mereka yang biasa tinggal disitu (Eskimo), dapat menyesuaikan diri mereka sebaliknya juga, bila kita berada digurun sahara, cuacanya pula terlalu panas yang mana tubuh badan kita pun tidak sanggup menanggungnya, kecuali mereka yang biasa menetap disitu seperti kaum Nomad Badawi.
Seterusnya untuk tahap cita-rasa yang berkait dengan tahap lumrah biasa seorang insan dan juga tahap yang berkaitan dengan keadaan suasana sekitar adalah misalnya seperti bila seseorang itu biasa memakan makanan yang pedas rasanya, kerana setiap hari dijamu sebegitu, tambahan pula suasana sekitar dari ahli keluarga yang biasa memakan makanan yang pedas, bila dihidangkan dengan makanan yang tiada berasa pedas, maka terasalah dia akan suatu kekurangan yang besar dalam makanannya dan ini memotong selera makannya walaupun dia tahu bahawa makanan pedas tersebut tidak baik untuk penyakit ulsernya. Sebaliknya bila seseorang itu biasa dihidangkan dengan makanan yang tidak pedas, maka terasalah dia kepedasannya dan sampai kesuatu peringkat, makanan tersebut terpaksa ditinggalkannya kerana terlalu pedas, walaupun kini telah dibuktikan oleh para sainstis, cili dapat membantu membunuh sel kanser tanpa meninggalkan kesan buruk pada sel yang lainnya dibandingkan dengan ubat-ubatan melawan kanser yang biasa..
Misal-misal diatas adalah persamaan dengan kehidupan yang kita lalui, alami atau rasai mahupun kita fikirkan, dapat mencorakkan pengertan dan cita-rasa seseorang tentang tahap kesederhanaannya. Apa yang kita yakini, yang kita pelajari, yang kita dengar, lihat mahupun suasana kehidupan yang kita tempuhi adalah sumber yang membuat kita memutuskan apakah tahap sesuatu itu.
Susana kehidupan dunia dari sejarah silam hingga kehari ini, menunjukkan manusia hidup didalam tahap-tahap kehidupan yang dilalui. Seperti ada yang terlalu mengejar duniawi, berhempas-pulas bekerja lebih waktu untuk mendapatkan dan memperagakan duniawinya dengan apa sahaja yang memuaskan nafsu duniawinya. Manakala disudut lain, ada yang meninggalkan dunia terus-menerus seperti tidak membenarkan dirinya berkahwin.
Jesteru itu, ajaran Islam sendiri adalah berlandaskan kesederhanaan dan kesederhanaannya bukan ditahap-tahapkan melalui suasana atau cita-rasa seseorang, tetapi melalui tahap petunjuk yang ditunjukkan oleh Nabi Muhamad s.a.w. Misalnya didalam tahap makanan, dianjurkan memakan makanan yang baik, namun dilarang memakan berlebih-lebihan dan malah ditegah untuk mereka yang berpuasa berterus-terusan. (Kecuali mereka yang benar-benar tidak berkemampuan untuk bernikah, untuk mengawal nafsu dari menjurus kearah yang mengundang perzinaan, dibenarkan berpuasa berterusan) Sebegitu juga dalam berpakaian, dianjurkan tidak berpakaian bermewah-mewahan seperti kain sustera untuk kaum lelaki, tetapi tidak juga digalakkan berpakaian yang terlalu comot dan kotor, apatah lagi yang menunjukkan aurat diri.
Dari situ juga, dapat difahami tahap kesederhanaan dalam berseni didalam Islam, yang mana dilarang seni-seni yang berlebih-lebihan seperti melukis bentuk-bentuk mahluk hidup, memaparkan sesuatu yang ganas, hiburan-hiburan melampau seperti konsert-konsert yang bercampur lelaki dan wanita yang bukan muhrim, pembaziran dari sudut kewangan, tulisan-tulisan yang tidak berakhlak yang ditulis samaada dalam bentuk puitis, cerpen, novel dll, manakala tidak ditegah menghasilkan seni-seni seperti menulis syair-syair kecintaan pada Allah dan RasulNya, menulis puisi, cerpen, novel dll tentang kebenaran, lukisan-lukisan yang indah tentang alam mahupun inspirasi diri, nat atau gurindam tanpa alat-alat instrument (melainkan gendang dan yang sepertinya), ukiran-ukiran geometrik mahupun ayat-ayat Al Quran dll.

bersambung...insyaallah..
Btn_brn_77x28

Tajuk

Abbasiyah (1) altruisme - ikram (3) Aqidah (1) art video (20) Austronesia (10) Bahasa dan penampilan (5) Bangsa Melayu (7) batas sempadan (9) Berita (15) Besi (1) Biography solihin (1) Budaya dan pengertiannya (16) catitan (2) cerdik/bodoh dan antaranya (6) cetusan minda (8) cinta dan syahwat (3) Doha - Qatar (2) Eid Mubarak (5) falsafah (2) Fantasia falasi (3) Fibonacci (1) Filem (2) fitrah (1) Fungsi seni (1) gangsa (1) hukum (6) huruf (2) hutang (1) ijtima (1) Iklan (2) imitasi dan memori (1) infiniti (5) jalan2 (2) kebangsaan/nationalisme (2) kebebasan bersuara (1) Kelahiran kesenian yang mengubah warna dunia. (1) Kembali sebentar tentang erti seni (Islam) (1) kerja otak (1) Kesenian dunia Islam (1) komunikasi (1) konsep kendiri (3) konspirasi (1) Lagu (1) Lentok tangan (1) Malaysia (3) Masa (10) Maslahah atau mafsadah (1) Maya (ilusi) (4) Melaka (1) Melayu (2) Melayu dan Islam (9) minda (2) musik (2) nukilan rasa (1) Pantang dalam berkarya (1) Pause (6) Pembetulan sejarah (3) Pengajian dan pengertian budaya (1) Perasaan dan pemikiran (5) Persepsi / Tanggapan (6) pointillism (2) populasi dunia (9) Produk sejarah (11) Program dan hayat (2) prosa (4) ramadan (2) realiti - kenyataan (7) Sajak (22) Sangkaan (2) sebab dan akibat (18) sejarah (14) sejarah Islam Nusantara (1) sejarah Melayu (4) Sejarah mengubah/terubah (5) Sejarah seni dalam kehidupan insan (1) Sejarah video (1) Seni Bahasa (2) Seni dalam imiginasi (1) seni kata (1) Seni logam (3) Seni textil (budaya berpakaian) (2) Seni-seni mempertahankan diri (1) sound (1) Srivijaya (3) Sunda (6) Tahap kesederhanaan (1) Tahap-tahap kehidupan (14) tenung bintang (1) Terkesan dengan suasana (2) Tradisional dalam makna (1) Ukuran dan kayu pengukurnya (2) updated (1) Usia manusia (3) vision (1) wang (7) Wujudkah kosong? (2) zarzh slide (12)

Catitan lalu

Insuran & Road Tax Online

tetangga