Dalam memahami akan sebab dan akibat dalam dunia ini, lazimnya metode hipotesis digunakan buat menduga serta meneliti sebelum sesuatu jawapan yang konkret dihasilkan akan apakah sebab dan akibat sesuatu tersebut.
Hipotesis (hypo – dibawah dan thesis – pendirian) adalah berasal dari bahasa Yunani bermakna akan pendapat yang ditegakkan, dimana ia merupakan jawapan terhadap sesuatu hal dan jawapan ini masih dalam kategori yang seharusnya dibuktikan kebenarannya atau jawapan ini masih boleh dipertikaikan oleh pihak lain sekiranya mereka menemukan jawapan yang lebih terbukti akan kebenarannya.
Setiap lapisan insan wajar sahaja melakukan hipotesisnya tersendiri melalui apa yang diketahui atau melalui pengalaman yang dilalui seperti seorang ibu yang menyediakan makanan dari cendawan yang diambil dari kebun dibelakang rumahnya, namun bila didapati dirinya serta keluarganya mengalami cirit-birit lantaran memakan hidangan cendawan tersebut, maka timbul kemudiannya akan hipotesis bahawa cendawan tersebut adalah beracun dan tidak boleh dimakan. Hatta kanak-kanak wajar sahaja melakukan hipotesis mereka tersendiri dalam ruang dan masa kehidupan yang dilalui, kerana kemampuan berfikir yang setiap insan miliki.
Sedang hipotesis ilmiah adalah suatu percubaan dalam mendapat jawapan akan sesuatu tersebut dengan kaedah penelitian yang mendalam dengan ilmu-ilmu pengetahuan serta diuji berulang kali. Setelah diuji dan didapati sesuatu jawapan tersebut mirip pada kebenaran, maka ia digelar sebagai teori, namun begitu, ia masih terbuka untuk penelitian dan perdebatan buat seterusnya, sekiranya pihak lain dapat membuktikan jawapan yang lebih ideal atau lebih tepat.
Atas itu juga, segala ilmu pengetahuan dialam ini sebenarnya belum bersifat konkret iaitu benar-benar dikuasai oleh insan kerana segalanya boleh sahaja masih boleh diperdebatkan atau diperdalami, dalam mana kemungkinan, adanya jawapan-jawapan lain buat sesuatu tersebut dihari muka. Mungkin jawapan sesuatu ilmu pengetahuan akan sesuatu dialam ini dapat dipergunakan disesuatu zaman, namun kemudian, generasi seterusnya menemukan jawapan lain yang lebih baik kegunaannya untuk kehidupan insan. Mahupun sebaliknya iaitu jawapan yang sedia ada adalah sebaik-baik jawapan, sedang generasi kemudian pula menemukan jawapan yang lain yang disangka itu adalah kebenaran sedangkan ianya tidak.
Atau mungkin juga, lantaran kehidupan yang dilalui berubah seperti contohnya berubah cuaca-cuaca didunia ini akibat pencemaran yang dilakukan oleh insan, maka kemudiannya ditemui jawapan yang baru akan sebab dan akibat berlakunya cuaca buruk yang melanda tidak henti-henti dimana-dimana dan dari situ dicuba akan sebab dan akibat yang lain untuk menghindari akan cuaca buruk tersebut.
Segalanya dalam ilmu ilmiah sebenarnya masih dalam kemungkinan-kemungkinan dan ini berbeza dengan ilmu wahyu dimana ilmu wahyu bukanlah kemungkinan-kemungkinan. Ilmu wahyu adalah ketetapan atas kebenaran, hanya-sanya ia memerlukan kefahaman dan petunjuk buat tafsiran sebenar serta pengamalan yang sebenar, natijah dari kefahaman tersebut. (kecuali sesuatu ajaran atau kitab tersebut telah bertukar dari yang asli, dimana adanya campur-tangan insan yang menokok-tambahkan, maka ia bukan seratus-peratus ilmu wahyu tetapi ilmu wahyu yang dicampur-adukkan dengan ilmu ilmiah insan atau ilmu dari insan disesuatu zaman dimana ia ditokok-tambahkan).
Tetapi disamping itu, antara ilmu wahyu dan ilmu ilmiah, kerap terjadinya pergeseran yang mana membawa impak yang besar, sesejak dahulu lagi. Contohnya terjadinya gerakan besar-besaran diEropa untuk mengawal kekuasaan gereja kerana dilihat sekian lama menyekat kebangkitan ilmu ilmiah dibenua Eropa, dimana seterusnya timbulnya gejala sekular yang memisahkan antara agama dengan duniawi. Pergeseran ini adalah seperti contohnya, Galileo dipenjara hanya kerana pendapatnya bahawa bukan matahari yang mengelilingi bumi tetapi sebaliknya, bumi yang mengelilingi matahari dan ini bercanggah dengah pegangan pihak gereja agama Kristus. Sebegitu juga pergeseran umur dunia yang dikatakan hanya berumur lebih kurang 10,000 tahun mengikut pendapat pihak gereja, sedangkan penemuan ilmiah menyatakan bahawa dunia ini telah berusia lebih dari 6 billion tahun atau mahupun menjangkau sehingga 18 billion tahun.
Sebaliknya, sekiranya diteliti dengan mendalam, dalam dunia Islam, pergeseran antara ilmu wahyu dan ilmu ilmiah tidaklah begitu ketara kecuali pada sesuatu topik atau tema tertentu yang amat bercanggah seperti contohnya pendapat pengikut fahaman evolusi yang amat bercanggah dengan ilmu wahyu yang menyatakan bahawa insan adalah dari keturunan Adam dan Hawa.
Contoh akan tiadanya pergeseran antara ilmu wahyu dan ilmu ilmiah didalam dunia Islam adalah seperti usia sebenar dunia ini, dimana tidaklah terdapat didalam Al Quran mahupun didalam hadis akan keterangan untuk itu. Sebaliknya apa yang digambarkan atau diibaratkan adalah akan bagaimana kekuasaan Allah dalam ruang dan masa alam jagad raya ini. Sebagaimana dinyatakan dalam ayat ke-4, surah Al-Maarij akan sehari itu adalah bersamaan dengan lima puluh ribu tahun kiraan insan didunia ini:
تَعۡرُجُ ٱلۡمَلَـٰٓٮِٕڪَةُ وَٱلرُّوحُ إِلَيۡهِ فِى يَوۡمٍ۬ كَانَ مِقۡدَارُهُ ۥ خَمۡسِينَ أَلۡفَ سَنَةٍ۬
“Para malaikat dan Jibril menghadap Tuhan, dalam sehari, bersamaan dengan lima puluh ribu tahun.” (70:4)
Sebegitu juga dengan kejadian asal akan seluruh alam jagat raya ini sebagaimana dalam ayat ke-30, surah Al-Anbiya serta ayat ke-11, surah Fussilat, terdapat ayat menerangkan bagaimana kejadian asal alam jagad raya ini serta bahan asalnya dijadikan oleh Allah:
أَوَلَمۡ يَرَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوٓاْ أَنَّ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضَ ڪَانَتَا رَتۡقً۬ا فَفَتَقۡنَـٰهُمَاۖ وَجَعَلۡنَا مِنَ ٱلۡمَآءِ كُلَّ شَىۡءٍ حَىٍّۖ أَفَلَا يُؤۡمِنُونَ
Dan apakah orang-orang yang kafir tidak mengetahui bahwasanya langit dan bumi itu keduanya dahulu adalah suatu yang padu, kemudian Kami pisahkan antara keduanya. Dan dari air Kami jadikan segala sesuatu yang hidup. Maka mengapakah mereka tiada juga beriman? (21:30)
ثُمَّ ٱسۡتَوَىٰٓ إِلَى ٱلسَّمَآءِ وَهِىَ دُخَانٌ۬ فَقَالَ لَهَا وَلِلۡأَرۡضِ ٱئۡتِيَا طَوۡعًا أَوۡ كَرۡهً۬ا قَالَتَآ أَتَيۡنَا طَآٮِٕعِينَ
Kemudian Dia menunjukkan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit sedang langit itu masih berupa asap; lalu Dia berfirman kepadanya dan kepada bumi: Turutlah kamu berdua akan perintahKu, samada dengan sukarela atau dengan paksa! Keduanya menjawab: Kami berdua sedia menurut patuh dengan sukarela; (41:11)
Kenyataan dari ilmu wahyu ini malah sekiranya diselidik oleh pakar-pakar ilmu ilmiah akan mengkaguminya sebagaimana Professor Alfred Kroner sendiri berkata, "Bila memikirkan dari mana Muhamad datang....saya menyangka ianya amat mustahil untuk beliau (Nabi Muhamad) mengetahui segala asal usul alam jagad raya ini, kerana saintis mengetahuinya hanya tempoh beberapa tahun yang lepas dengan segala peralatannya yang canggih serta teknologi terkini". Lalu katanya lagi, "Seseorang yang tidak tahu berkenaan nuklear fizik 1400 tahun dahulu, saya rasa bukanlah dalam keadaan yang kenyataannya itu adalah dari dirinya sendiri (tetapi dari wahyu), contohnya kenyataan akan bumi dan langit itu berasal dari sumber yang sama".
Bersambung...
- Dalam pada itu, perlu ditegaskan disini bahawa Al-Quran bukanlah kitab sains, tetapi kitab buat petunjuk buat sekelian insan. Ianya adalah kebenaran buat petunjuk akan kebesaran Allah menjadikan segalanya dan kenyataan bahawa segala asbab termasuk apa sahaja sebab dan akibat dialam ini adalah dibawah kekuasaan Allah semata-mata.