Kebebasan adalah berkait-rapat dengan keamanan atau kesejahteraan.Tuntutan untuk mengekalkan kebebasan adalah keamanan atau kesejahteraan. Tanpa ini, apa yang dikatakan kebebasan akan berakhir dalam waktu yang singkat atau memerlukan tenaga demi tenaga saban waktu untuk mempertahankan sesuatu yang dikatakan kebebasan.
Seperti bila dikatakan apa itu kebebasan jiwa, maka perasaan dan fikiran yang menjadi tunjak untuk pengertian apa itu jiwa, memerlukan suatu cara hidup atau suatu jalan hidup yang membawa kearah kesejahteraan yang sebenar. Dan tanpa suatu cara atau jalan hidup yang membawa kearah kesejahteraan yang sebenar berserta hak-haknya, kebebasan jiwa yang dimiliki adalah bersifat sementara atau palsu, sebagaimana seorang yang ketagihan candu yang merasa bebas jiwanya hanya disaat bila dia mendapat candu namun hakikatnya, hidupnya berlanjutan menderita diatas ketagihan candunya.
Apa sahaja medium selain dari yang membawa kearah kesejahteraan yang sebenar hatta medium yang dari zahirnya kelihatan membawa kearah kesejahteraan tetapi medium itu hanyalah berupa alat digunakan untuk mencapai segala kehendak nafsu dirinya sendiri, maka semua itu membawa kearah terbelenggunya jiwa dan kearah penghambaan total diri insan kepada duniawi atau kebendaan.
Contohnya seorang yang mendakwahkan kebenaran Islam dengan menggunakan ayat-ayat yang begitu menakjubkan tetapi niat utamanya adalah untuk menampilkan kehebatan dirinya (riak) atau untuk sesuatu tujuan seperti hanya untuk meraih kekuasaan, maka segala usahanya adalah membawa kearah yang membelenggukan dan menderitakan jiwa, bukan kearah kesejahteraan (sebagaimana semua rejim-rejim yang zalim yang menyatakan bahawa mereka akan membawa rakyatnya kearah negara yang penuh kesejahteraan, tetapi apa yang dilakukan adalah hanya menambahkan kekayaan diri serta sekutunya dengan merampas harta negara yang merupakan hak-hak bagi rakyatnya, menyebabkan rakyat dan negaranya berada dalam kesusahan dengan dibebani tekanan-tekanan hidup saban waktu, bukannya kesejahteraan sebagaimana yang didakwahkan). Manakala seseorang yang mungkin tidak begitu fasih atau pandai, tetapi dirinya berusaha mendakwahkan kebenaran Islam dengan niat utamanya adalah untuk mendapat pengampunan dan keredhaan Allah serta bagaimana dirinya dapat bersama-sama dengan insan-insan lain untuk menuju kearah kebenaran, adalah kalangan mereka yang benar-benar menuju kearah kesejahteraan yang sebenar dan kearah kebebasan jiwanya dari terbelenggu oleh tipu-daya duniawi.
Setiap insan wajar sahaja menggunakan medium-medium tertentu untuk mendapat apa yang dikatakan atau dirasanya sebagai suatu jalan kearah kebebasan jiwanya, namun tanpa mencapai kesejahteraan sebenar buat jiwanya, segalanya adalah hanya sebagai dadah-dadah yang menenangkan tetapi realitinya, dirinya bukanlah dalam kesejahteraan yang sebenar atau bukan dalam perjalanan menuju kearah kesejahteraan yang sebenar.
Atas itu, usaha bukan sahaja mendapatkan medium-medium untuk kebebasan, tetapi yang utama adalah menyedari apa itu kebenaran dan jalan untuk mencapai kearah kesejahteraan yang sebenar.
Contohnya medium untuk mencapai apa yang dikatakan kebebasan jiwa dengan meluahkan perasaan dan fikiran, yang merupakan salah satu bentuk komunikasi antara dunia dalaman diri seseorang dengan dunia luar dirinya, dimana setiap hari insan meluahkan apa yang terpendam atau dialami oleh perasaan mahupun apa yang membebani fikirannya, namun seakan tiada penghujungnya dalam mana kenyataannya ramai yang semakin meluahkan perasaan atau fikirannya, semakin tertekan pula jiwa mereka dan lumrahnya juga terjadi, medium meluahkan perasaan atau fikiran ini menjadi suatu ketagihan yang bukan menyelesaikan apa yang menekan jiwanya tetapi hanya merupakan suatu keseronokan yang sementara.
Medium dengan meluahkan perasaan atau fikiran ini mungkin dapat meredakan tekanan jiwa yang dialami atau menghuraikan kekusutan jiwanya disuatu-suatu masa seperti seorang jejaka yang jatuh-cinta kepada seorang gadis, mendapat ruang untuk menyatakan perasaan cintanya kepada gadis tersebut maka redalah perasaan dan fikirannya, tetapi risiko kemudiannya mungkin pula dihimpit oleh tekanan-tekanan yang lain seperti sigadis menolak atau mempertawakannya. Atau mungkin sigadis menerima cintanya tetapi timbul masaalah-masaalah lain yang membebani perasaan dan fikirannya seperti bagaimana meminang sigadis, masaalah penerimaan keluarga, masaalah belanja kahwin, masaalah dalam bercinta dan lain-lain atau mungkin masaalah yang lebih buruk bila kedua-duanya terlanjur melakukan perbuatan yang menyebabkan sigadis kehamilan sebelum mereka bernikah.
Hari ini sebenarnya, medium meluahkan perasaan dan fikiran telah sampai diperingkat batas sempadan tertinggi yang belum pernah dialami oleh insan-insan sebelum zaman ini. Medium meluahkan perasaan dan fikiran adalah contohnya dari bentuk tulisan-tulisan, suara-suara, gambar-gambaran dan lain-lain iaitu seperti surat-surat, majalah-majalah, buku-buku atau kitab-kitab dan seterusnya menjadi kini begitu drastik dengan kehadiran medium elektronik seperti internet yang jauh lebih mudah dan terbuka dalam meluahkan perasaan dan fikiran seseorang.
Disamping itu, bukan sahaja medium meluahkan perasaan dan fikiran insan telah sampai keperingkat tertinggi, tetapi proses pengisian kepada perasaan dan fikiran insan juga telah berada ditahap yang amat berbeza dengan generasi zaman silam. Pengisian samada yang berbentuk negatif atau positif adalah merupakan proses yang berlaku saban detik iaitu dari segala aktiviti dipersekitarannya. Bahkan bukan sahaja dipersekitaran dirinya, malah dari apa yang berlaku diseluruh dunia seperti berita-berita politik, peperangan, hiburan-hiburan, fashion-fashion pakaian dan lain-lain yang tersaji disurat-surat akhbar, majalah-majalah, media-media elektronik dan seterusnya. Seakan-akan dunia hari ini tidak mengenal apa itu erti kesunyian atau kebosanan diatas proses aktiviti insan yang rancak hari ini, tetapi apakah itu kenyataan atau kebenaran? Apakah semakin insan berpeluang meluahkan apa sahaja yang menekan perasaannya serta apa sahaja yang terlintas difikirannya dapat membebaskan jiwanya serta tetap dalam kesejahteraan?
Berbalik kepada kaitan kesejahteraan dengan kebebasan jiwa, pertanyaan pertamanya, apakah erti sebenar suatu kesejahteraan. Tentunya masing-masing akan menghuraikanya mengikut fahaman masing-masing. Kerana itu, pertamanya perlu akui, segala pada diri insan wajar sahaja berubah-ubah keadaan dirinya diatas fahaman yang dimiliki. Dan perubahan sesuatu fahaman buat diri insan ini berlaku diatas evolusi perasaan dan fikiran dalam hidupnya yang berkait antara dirinya dengan alam sekitarnya untuk menuju kearah kebenaran atau sebaliknya.
Fahaman yang diperolehi oleh insan wajar seterusnya mengatur sesuatu detik kehidupan yang dilalui atau kehidupan yang diingini seperti contohnya seorang remaja nakal yang suka menunggang motosikalnya dengan laju tanpa mempedulikan pihak lain, diatas fahamannya itu adalah suatu yang dapat menonjolkan kehebatannya tetapi kemudian dirinya terlibat dengan kemalangan dimana menyebabkan seorang kanak-kanak yang tidak bersalah mengalami kecederaan yang parah, lalu timbul suatu fahaman yang lain pada dirinya iaitu bahawa membawa motosikal secara laju tanpa berhati-hati bukanlah sesuatu yang menonjolkan kehebatan dirinya, tetapi sesuatu yang membawa kecelakaan, dimana fahaman ini membuat dirinya menjadi seorang yang lebih berhati-hati bila menunggang motosikalnya.
Atau seperti contoh seorang pelajar yang diajar akan sekian-sekian perkara menyebabkan terjadinya sesuatu perkara yang lain, sedangkan apa yang dipelajarinya adalah suatu yang silap namun ini menjadi suatu fahaman buat dirinya kerana itu yang dipelajarinya, tetapi kemudian, pelajar tersebut menemukan suatu jawapan baru yang lebih logik namun bercanggah dengan apa yang dipelajarinya sebelum ini, maka diatas rasional dan yakinnya pada jawapan yang baru ditemui, fahaman diri pelajar tersebut akan sebab yang menyebabkan sesuatu itu terjadi, berubah pada jawapan baru yang ditemui (seperti diajar bahawa hanya yang zahirnya iaitu contohnya pelita menyala kerana adanya bahan-api iaitu minyak-tanah, tetapi kemudian diajar akan hakikat bahawa yang menyalakan pelita adalah kuasa Penciptanya, seperti yang memberikan tenaga bahan-api untuk matahari agar dapat bersinar setiap hari sesejak jutaan tahun adalah kuasa Penciptanya).
Saban waktu, dari usia remaja sehingga meningkat dewasa, mahupun seterusnya kealam mereka yang dikatakan berumur, insan akan mengambil sesuatu dari alam persekitarannya buat suatu fahaman tentang apakah itu suatu kehidupan atau apakah erti pada setiap perkara yang dilalui. Fahaman buat sesuatu tersebut samada yang berbentuk kebenaran atau sebaliknya atau bercampur aduk antara kedua-duanya adalah arus hidup yang dilalui oleh setiap insan, samada disedari atau tidak.Seperti contohnya apakah fahaman tentang kebebasan dan apakah batas sempadan buatnya.
Segala pengetahuan yang dipelajari atau pengalaman yang ditimba sepanjang usia seseorang insan akan menjadi dalil-dalil serta fungsi utama dalam menentukan akan bentuk fahaman yang dimiliki untuk sesuatu atau apakah sesuatu tersebut. Disinilah pentingnya usaha-usaha keatas arah menuju kebenaran yang wajar dilakukan berlanjutan tanpa henti-henti disetiap masa dan zaman, kerana usaha-usaha keatas arah kebenaran inilah yang akan mengiring atau mengimbangi pengetahuan serta pengalaman yang ada pada setiap insan agar sentiasa berada didalam batas-batas sempadan kebenaran dan sentiasa mempunyai fahaman yang benar tentang kehidupan yang dilalui.
Dan atas fungsi berkemampuan berubah-ubah fahaman yang dimiliki oleh setiap insan, pihak-pihak yang mendakwahkan kebenaran atau seseorang yang melakukan usaha-usaha untuk kearah kebenaran sewajarnya tidak berputus-asa diatas usahanya kerana kemungkinan hari ini kelihatan begitu ramai pihak-pihak lain yang sentiasa melakukan kesilapan atau menuju kearah kemungkaran diatas fahaman salah mereka, tetapi tidak mustahil (atas hidayat Allah) pihak-pihak tersebut kemudiannya mendapat fahaman yang benar, dimana mereka pula yang akan sama-sama memperjuangkan kebenaran. (Seperti kalangan bangsa Arab yang pada mulanya menolak ajaran Nabi Muhamad serta mencerca Nabi Muhamad, tetapi kemudiannya setelah mendapat hidayat dengan fahaman yang benar mengikut tunjuk-ajar Nabi Muhamad, mereka ini kemudiannya bukan sahaja beriman mengikut apa yang dibawa oleh Nabi Muhamad, tetapi sebagai mereka-meraka yang membantu mengembangkan ajaran Nabi Muhamad s.a.w.)