Dalam memperkatakan dimana batas sempadan akan hak-hak buat individu atau sesuatu masyarakat, dunia telah dan akan sentiasa bergolak tidak kira dizaman apa. Samada antara kanak-kanak kecil yang bergaduh kerana barang permainan mereka, adik-beradik atas perebutan harta warisan, suami-isteri, jiran-tetangga, kelompok-kelompok yang mempunyai perbezaan ideologi atau atas perkara-perkara yang bertentangan dan seterusnya kepada negara dengan suatu negara yang lain.
Dalam mana masing-masing akan meletakan apakah batas sempadan yang dipercayai itu adalah kebenaran, itu adalah miliknya, itulah yang sepatutnya dan seterusnya manakala antara kebenaran dengan sebaliknya adalah telah tersimpul hanya kebiasaannya kabur lantaran sesuatu kepentingan atau keadaan.
Juga disebalik semua segala peristiwa yang terjadi, lazimnya terselit hikmah atau iktibar untuk diambil kira. Kekadang terjadinya suatu petaka buruk adalah sebab untuk suatu kebaikan sebegitu juga sebaliknya. Kerana sejarah kehidupan insan tidak pernah tenang untuk suatu jangka masa yang panjang, biar apa pun yang diusahakan. Namun hanya, mereka yang giat berusaha kearah kebaikan dan keamanan tidak kira dalam keadaan apa, merekalah yang sentiasa akan mendapat imbalan kebaikan kembali.
Hari ini, dunia menyaksikan akan perubahan demi perubahan drastik yang berlaku sesejak dari beberapa abad yang lepas. Dari peperangan dunia pertama dan kedua yang menyebabkan merosotnya kuasa penjajah sehingga menjadi faktor banyaknya negara-negara yang dijajah berpeluang mencapai kemerdekaan, pertukaran tampok-tampok pemerintahan juga ideologi. Seterusnya kepada runtuhnya blok-blok komunis dan kini kepada tumbangnya satu-persatu rejim-rejim diktaktor didunia Arab. Hatta China yang merupakan satu-satu kuasa besar yang masih mempertahankan ideologi komunisnya, telah merubah ideologinya dalam bentuk yang lebih terbuka.
Mengapakah perubahan secara drastik ini terjadi dimana setiap insan lebih cenderung untuk memperjuangkan hak-hak kebebasannya dibandingkan dengan zaman silam. Mungkinkah kerana batas sempadan buat cara sistem pemerintahan majoriti penduduk dunia adalah kini dalam menuju acuan falsafah liberalisme, yang mana ideologi dari falsafah ini pertama-tamanya memperjuangkan hak-hak setiap individu? Atau mungkinkah ini semua terjadi kerana penduduk dunia kini lebih matang akan hak-hak masing-masing serta adanya alat-alat atau peluang untuk meraihnya? Atau mungkinkah kerana informasi yang batas sempadannya semakin meluas, pengetahuan yang sesiapa sahaja wajar meraihnya serta dunia komunikasi yang semakin tiada halangan dimana-mana?
Bila memperkatakan bahawa ini adalah dari kesan falsafah liberalisme, maka pengenalan kepada falsafah liberalisme ini yang mana sistem demokrasi (samada republik atau raja berpelembagaan) adalah merupakan sebahagian darinya, bukanlah dari sistem penjajahan tetapi dari kebangkitan atas kesedaran sesetengah pihak dibenua Eropa yang memperjuangkan kebebasan untuk mengubah keadaan dunia mereka yang dianggap dalam kegelapan pemikiran dan kezaliman diatas kuasa autoritarianisme yang hanya dipegang sekian lama oleh sekelompok kecil pihak atasan.
Seperti autoriti penuh yang dipegang oleh pihak diraja dan juga dengan pihak atasan gereja yang mempunyai segala kekebalan dari undang-undang yang wujud, membuat pihak lain terutama pihak awam kehilangan hak-hak mereka serta hidup dalam keadaan tertindas, menyebabkan kebangkitan diabad ke-16, ke-17, ke-18 dan abad-abad seterusnya dibawah falsafah liberalisme ini, untuk menukar keadaan seperti contohnya kewujudan sistem raja berpelembagaan dimana kuasa pihak diraja tiada lagi mempunyai kekuasaan mutlak serta tiada mempunyai kekebalan mengatasi undang-undang.
Liberalisme ini sebenarnya juga mengalami proses-proses pembaikan dari suatu abad kesuatu abad dimana sehinggalah hari ini, ia merupakan asas tunjang ideologi majoriti negara didunia hari ini. Ini termasuk dengan sentiasa memasuki elemen-elemen baru yang berkaitan dengan moral disamping yang berkaitan dengan budaya serta kepercayaan kedalamnya. Kerana biasa terjadi, mereka yang dikatakan liberal dimana prinsipnya adalah memperjuangkan kebebasan, tetapi kemudiannya merampas atau membatasi kebebasan pihak lain seperti contohnya pemaksaan keatas sistem pengundian kepada pihak yang berkecuali atau tidak mahu mengundi, sedangkan itu juga adalah suatu kebebasan samada seseorang tersebut mahu mengundi atau tidak.
Apatah lagi dengan tindakan ketenteraan yang sewenang-wenangnya dilakukan oleh sesebuah negara bertaraf kuasa dunia keatas negara lain diatas slogan kebebasan dan demokrasi sehingga menyebabkan berjuta-juta insan yang tidak berdosa terkorban dalam mana juga negara yang mahu didemokrasikan (seperti contohnya Iraq atau Afghanistan), bukannya menjadi lebih aman, malah semakin menuju kearah kehancuran dengan pergolakan dalamannya. Ditambah juga kenyataan bahawa negara contoh utama falsafah liberalisme iaitu Amerika Syarikat inilah yang membantu dan menaugi diktaktor-diktaktor yang merampas hak-hak rakyatnya dengan berbagai kekejaman, seperti dibeberapa negara Arab termasuk juga diktaktor-diktaktor yang dahulunya berkuasa diAmerika Selatan tetapi kini telah ditumbangkan.
Justeru disini jelas dunia hari ini memerlukan pembaikan dalam langkah kearah liberalisme mereka dan dalam menentukan batas sempadan buat suatu tindakan dibawah nama kebebasan, yang mana batas sempadan ini bukanlah ditentukan sewenang-wenangnya oleh sesuatu pihak seperti dengan kuasa veto oleh negara yang menyalah-gunakan kuasa veto ini untuk menghalalkan darah penduduk Palestine buat Israel.
Bersambung...