
IPOH 29 Jun - Angka yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bahawa terdapat 81,000 anak luar nikah berdaftar ketika ini merupakan perkembangan yang membimbangkan.
Presiden Institut Integriti Malaysia (IIM), Datuk Dr. Mohd. Tap Salleh berkata, antara punca yang menyumbang kepada peningkatan gejala sosial tersebut ialah penyaluran maklumat tanpa batasan dan perubahan budaya masyarakat.
Menurutnya, sebanyak 55 peratus rakyat Malaysia dilaporkan oleh Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) sebagai 'gila Internet' dan mereka mempunyai akses terhadap penyaluran maklumat melalui alam maya yang begitu luas.
''Perkenalan melalui Facebook dan laman sosial lain akhirnya mengundang kepada pergaulan bebas sehingga membawa kepada keterlanjuran dan sebagainya.
''Ini berlaku jika kita tidak memiliki benteng dan integriti diri yang kuat dalam era globalisasi kini,'' katanya pada Seminar Pengukuhan Integriti Pemimpin Masyarakat Peringkat Negeri Perak di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengarah Sektor Sosio Budaya IIM, Hamilye Sham Harun. Seminar sehari tersebut dirasmikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Hashim.
Menurut Mohd. Tap, penyaluran maklumat secara berleluasa menyebabkan masyarakat terutama golongan muda lebih terdedah kepada budaya yang bertentangan dengan amalan masyarakat di negara ini dan tanpa disedari ia meresap ke dalam diri mereka.
Dalam hal itu, katanya, semua pemimpin masyarakat perlu memberi tumpuan dalam melaksanakan usaha pengukuhan integriti golongan belia yang merangkumi 11.8 juta atau 42 peratus daripada keseluruhan penduduk Malaysia.
-------------------------------------------------------------------
Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Dato’ Alwi Ibrahim memberitakan sepanjang tempoh lima iaitu dari tahun 2005 sehingga 2009, sebanyak 214,033 bayi pelbagai bangsa “didaftarkan dengan status anak tidak sah taraf, termasuk kes anak yang tidak berbapa 104,834orang”.
Dalam tempoh lima tahun tersebut, anak luar nikah kaum Melayu adalah sebanyak 74,723 kes, kaum India sebanyak 23,696 kes, kaum Cina sebanyak 23,692 kes manakala selebihnya 91,922 kes adalah dari kaum-kaum yang lain.
-------------------------------------------------------------------