
Dalam alam maya ini, wujudnya daya tarikan yang menjadi salah satu sebab berputarnya kehidupan seharian. Daya tarikan ini wujud dalam beribu bentuk samaada yang dapat dicapai oleh pandangan kasar namun lazimnya ia wujud dalam alam yang tidak dicapai oleh pandangan kasar.
Contoh antara daya tarikan yang wujud adalah seperti daya tarikan graviti yang mana asbab seluruh cakerawala berputar pada paksi masing-masing, dari putaran bulan yang mengelilingi bumi pada hubuknya (lorong putarannya), bumi yang mengelilingi suria dan bahkan seterusnya kesetiap lapisan langit yang berbillion-billion planet yang berputar pada hubuk masing-masing.
Daya tarikan seperti magnet yang sentiasa menunjukkan arah dikutub yang hampir padanya, daya tarikan untuk sesuatu kehidupan menghuni disesuatu tempat seperti adanya sumber air, daya tarikan sesuatu makanan samaada dari baunya ataupun atas sebab-sebab individu seperti makanan kegemarannya dan lain-lain, tarikan dari rupa sesuatu samaada penampilan mahupun sifatnya (seperti akhlaknya, karismanya, kebijaksanaanya dan lain-lain), tarikan diatas sebab-sebab keinginan samaada kerana duniawi atau ukhrawi, tarikan dari bunyi-bunyian, tarikan dari penghasilan warna-warna, permintaan dalam memenuhi keperluaan dan seterusnya.
Dan tentunya daya tarikan antara perbezaan jantina adalah merupakan suatu daya tarikan yang begitu besar kesannya dalam kehidupan seharian mahupun dalam kewujudan generasi seterusnya. Samaada dari kehidupan haiwanat yang terhad daya tarikannya, jinnat yang sukar diungkapkan hinggakan kepada insan yang hidup dengan seribu daya tarikan.
Daya tarikan sesuatu tersebut tentunya bergantung kepada kuasa upaya tarikannya sebagaimana suria yang mempunyai kuasa tarikan yang hebat lantas menyebabkan planet-planet lain seakan akur mengelilinginya namun kerana setiap planet lain ada kuasa upaya tarikannya tersendiri maka tidaklah ia menuju menghampiri suria, sebaliknya berlitar diatas daya tarikan suria dengan daya tarikannya sendiri. Sebegitulah dalam kehidupan ini, samaada tarikan yang membawa kesan kebaikan atau sebaliknya sering berlumba-lumba dalam pentas alam maya ini dan masing-masing terikat akan pada daya kuasa tarikannya.
Terbiasa juga sesuatu daya tarikan tersebut membawa kebinasaan seperti kalkatu yang tertarik pada cahaya pelita, lalu terbang menghampirinya sehingga terbakar diri. Atau serangga yang tertarik akan manisan didalam pohon periuk kera, didekati lalu masuk kedalam untuk mengambil manisan tersebut,tetapi ia sebenarnya merupakan perangkap maut. Atau ikan-ikan yang tertarik dengan cacing umpan sepemancing yang mana menyebabkannya kehilangan nyawanya. Atau juga bahan yang menjadi tarikan, membinasakannya kerana tarikan yang dimilikinya seperti daging mentah yang terbiar lalu menjadi tarikan pada langau-langau yang membinasakan daging tersebut.
Dalam kehidupan alam maya ini, insan akan sentiasa terhidang akan kepada satu-satu tarikan buat fikirannya mahupun perasaannya. Tidak kira dimana, selama ia bernyawa, akan sentiasa wujud tarikan untuknya. Mungkin faktor umur, jantina, permintaan kehidupan samaada dari dalaman mahupun luaran, desakan-desakan yang sentiasa mendatang seperti dari sudut fikiran dan seterusnya. Hanya-sanya pertanyaan apakan tarikan-tarikan kearah kejayaan didunia dan akhirat, atau hanya untuk duniawi yang bersifat sementara atau pun juga tarikan-tarikan yang membawa musibah untuk seterusnya?
Sedang Ahli hikmah berpesan, insan sentiasa lupa akan 4 tarikan dalam menempuh alam seterusnya (yang merupakan alam yang benar-benar realiti):
1- Malaikat maut yang akan menarik rohnya.
2- Para ahli waris akan menarik harta atau peninggalannya.
3- Ulat-ulat akan menarik tubuh-badannya.
3- Mereka-mereka yang dizalimi semasa hayat didunia akan menarik amalnya dihari perhitungan.