Thursday, November 09, 2006

Pengajian dan pengertian budaya

Petikan dari kata-kata Prof Dr Sidek Baba- Pengajian budaya sekat liberalisasi Barat
Keupayaan berfikir perlu dipertingkat untuk tapis pengaruh sekular

BUDAYA dalam pengertian yang luas adalah pancaran daripada budi dan daya. Seluruh apa yang difikir, dirasa dan direnung diamalkan dalam bentuk daya menghasilkan kehidupan. Budaya adalah cara hidup sesuatu bangsa atau umat. Makna budaya pada hari ini dibatasi dengan maksud lagu, muzik, tarian, lakonan dan kegiatan seumpamanya.
Budaya tidak lagi dilihat sebagai pancaran ilmu dan pemikiran yang tinggi dan murni dari sesuatu bangsa untuk mengatur kehidupan berasaskan peradaban.
Globalisasi yang melakukan hegemoni atau penguasaan dalam hampir semua kehidupan manusia amat besar kesannya terhadap umat Islam. Pengaruh globalisasi tidak saja subur dalam aspek maklumat tetapi juga amat luar biasa dikembangkan dalam bidang hiburan popular Barat, bidang keilmuan dan penyelidikan, aspek teknologi canggih dan dominasi sistem ekonomi kapitalis-liberal, bidang bahasa dan sistem nilai sehingga menyebabkan proses pembaratan dan pengliberalan berlaku dalam semua aspek kehidupan umat Islam.
Memang ada aspek berbanding yang boleh dimanfaatkan daripada globalisasi, tetapi yang pastinya pengukuhan cara hidup sekular dan liberal semakin kuat. Umat Islam semacam menghadapi krisis identiti dan tidak mampu menawarkan corak budaya serta jalur kehidupan yang mantap berasaskan acuan sendiri. Perubahan dalam maksud yang luas tidak boleh dibatasi secara pengasingan. Perkembangan teknologi maklumat dan telekomunikasi umpamanya menjadikan dunia ini suatu daerah yang semakin kecil dan dekat.
Namun begitu, upaya keilmuan dalam menghasilkan perisian dan program berasaskan acuan sendiri menjadi terbatas menyebabkan pengaruh globalisasi tidak dapat dielakkan malah meletakkan umat Islam sebagai pengguna berorientasi kebaratan. Umat Islam tidak wajar menentang Barat mahupun Timur tetapi proses pembaratan yang menghakis aspek budaya, nilai dan pemikiran murni semakin terancam dan sebahagian besar generasi muda seakan selesa dengan proses yang sedang berlaku.
Apa yang sedang berlaku kini adalah jelmaan terhadap corak kehidupan yang berlaku sebelum 19 70-an iaitu ada kesedaran baru di kalangan generasi muda dan umat Islam untuk menjadikan Islam sebagai sumber budaya serta cara hidup. Ia berkembang selama lebih 30 tahun dan kini sedang menghadapi gugatan pengaruh globalisasi yang amat menekan.
Walaupun ada usaha sesetengah pihak untuk memperkasa budaya tradisi, ia berlaku dalam upaya yang terbatas dan kadang-kadang boleh bersimpang siur. Memerdekakan budaya tidak harus dilihat memutar jarum jam ke belakang sebaliknya dilihat sebagai asas pengukuhan jati diri di samping tidak menolak aspek positif yang berkembang di Barat dan Timur.Acuan budaya Islam umpamanya tidak menolak faktor menyumbang dari tamadun atau budaya lain.
Dengan kekuatan akidah, ilmu dan syariah orang Islam, pemahaman yang baik terhadap kekuatan tamadun silam menjadi faktor penyaring yang berkesan bagaimana kreativiti boleh berlaku dalam budaya, tetapi tetap mengekalkan jati diri Islami.
Pantun sebagai genre puisi Melayu asli mengalami proses pemurnian isi dan maksud apabila elemen Islam dimasukkan ke dalamnya. Syair, gurindam, pepatah-petitih, seloka, nazam, qitah dan seumpamanya melalui proses peMelayuan dan pengIslaman.Walaupun genre puisi itu daripada sumber budaya lain tetapi ia tetap menjadi sebahagian pengucapan seni yang murni, ilmu yang memancarkan kebijaksanaan dan melambangkan pemikiran tinggi kalangan umat Melayu.
Pada hari ini apabila upaya berfikir umat Islam menjadi lesu, daya kreativiti seni menjadi malap, aspek budaya tidak difahami secara tuntas, menyebabkan kemandulan budaya berlaku.
Akhirnya media elektronik mempamerkan dengan gagah aspek budaya menerusi iklan komersial yang mendukung budaya Barat, drama menggambarkan konflik dan tragedi tidak berkesudahan, filem menggambarkan kekecewaan hambar dalam percintaan, rasa pasrah menyalahi takdir, adegan seks murahan merangsang nafsi.Tidak iklan yang mengambil kira budaya setempat amat kaya dengan kesantunan, drama yang merangsang ke arah keluarga bahagia dan nilai murni yang harus didukung, filem pancaran peradaban tinggi patut dikongsi, rasa kekecewaan yang tidak membawa jalan putus asas dan dorongan untuk maju dalam acuan sendiri.
Di sini perlunya azam budaya (cultural will) yang tinggi di kalangan umat memanfaatkan perkembangan teknologi media untuk menghasilkan kreativiti yang sifatnya dinamik tetapi terkandung imej jati diri yang jelas.Sekolah dan institut pengajian tinggi harus memberi fokus terhadap pengajian budaya dan seni supaya di kalangan warga umat terdedah dengan potensi pemahaman budaya secara lebih jelas. Ia bakal mendorong penghasilan kreativiti seni dan budaya yang sifatnya berkembang tetapi dalam acuan sendiri.
Jika tidak, pembelenguan budaya dari faktor luar akan terus gagah dan penampilan budaya sendiri semakin terpinggir, akhirnya pemahaman budaya hanya dalam batas upacara atau majlis tertentu. Ia akan mengekalkan umat Islam sebagai umat pengguna terhadap sumber orang lain dan tidak mampu lahir sebagai umat penyumbang terhadap pembinaan budaya murni untuk umat manusia. Azam budaya memerlukan penyuburan ilmu sepadu, kreativiti tinggi dan bersifat maju.





Btn_brn_77x28

Tajuk

Abbasiyah (1) altruisme - ikram (3) Aqidah (1) art video (20) Austronesia (10) Bahasa dan penampilan (5) Bangsa Melayu (7) batas sempadan (9) Berita (15) Besi (1) Biography solihin (1) Budaya dan pengertiannya (16) catitan (2) cerdik/bodoh dan antaranya (6) cetusan minda (8) cinta dan syahwat (3) Doha - Qatar (2) Eid Mubarak (5) falsafah (2) Fantasia falasi (3) Fibonacci (1) Filem (2) fitrah (1) Fungsi seni (1) gangsa (1) hukum (6) huruf (2) hutang (1) ijtima (1) Iklan (2) imitasi dan memori (1) infiniti (5) jalan2 (2) kebangsaan/nationalisme (2) kebebasan bersuara (1) Kelahiran kesenian yang mengubah warna dunia. (1) Kembali sebentar tentang erti seni (Islam) (1) kerja otak (1) Kesenian dunia Islam (1) komunikasi (1) konsep kendiri (3) konspirasi (1) Lagu (1) Lentok tangan (1) Malaysia (3) Masa (10) Maslahah atau mafsadah (1) Maya (ilusi) (4) Melaka (1) Melayu (2) Melayu dan Islam (9) minda (2) musik (2) nukilan rasa (1) Pantang dalam berkarya (1) Pause (6) Pembetulan sejarah (3) Pengajian dan pengertian budaya (1) Perasaan dan pemikiran (5) Persepsi / Tanggapan (6) pointillism (2) populasi dunia (9) Produk sejarah (11) Program dan hayat (2) prosa (4) ramadan (2) realiti - kenyataan (7) Sajak (22) Sangkaan (2) sebab dan akibat (18) sejarah (14) sejarah Islam Nusantara (1) sejarah Melayu (4) Sejarah mengubah/terubah (5) Sejarah seni dalam kehidupan insan (1) Sejarah video (1) Seni Bahasa (2) Seni dalam imiginasi (1) seni kata (1) Seni logam (3) Seni textil (budaya berpakaian) (2) Seni-seni mempertahankan diri (1) sound (1) Srivijaya (3) Sunda (6) Tahap kesederhanaan (1) Tahap-tahap kehidupan (14) tenung bintang (1) Terkesan dengan suasana (2) Tradisional dalam makna (1) Ukuran dan kayu pengukurnya (2) updated (1) Usia manusia (3) vision (1) wang (7) Wujudkah kosong? (2) zarzh slide (12)

Catitan lalu

Insuran & Road Tax Online

tetangga